RAHSIA BUKIT TOK DIN PART 3
Nukilan: @Azman Zainordin
============================================
RAHSIA BUKIT TOK DIN (PART 1)
RAHSIA BUKIT TOK DIN (PART 2)
Beberapa cebis roti canai dikunyah perlahan-lahan, sebelum ditelan masuk ke dalam perut. Teh ais limau dihirup bagi melancarkan pergerakan roti di anak tekak. Setelah selesai, dia menepuk-nepuk perut tanda lega.
"Apahal?" Soal Adi setelah sejak tadi Hafiz memerhatikannya.
"Apahal apa? Kau cakap nak cerita benda yang kau nampak tadi." Jawab Hafiz. Sedikit tidak berpuas hati. Syah yang bersama mereka hanya mendiamkan diri sambil bermain dengan telefon pintarnya.
"Cerita? Oh haa. Pasal tu. Nak mula dari mana?" Tanya Adi semula.
"Aduh. Mula dari kau nampak la. Nanti ada jugak yang kena tepuk dahi ni karang." Hafiz menahan sabar. Bungkusan nasi lemak diramas-ramas geram.
"Hahaha. Okay okay. Sebelum tu aku dah kena dah. Aku kena kat trek yang ada pokok tumbang tu. Masa aku lalu kat bawah tu, aku rasa macam panas. Bahang. Macam ada api kat atas aku. Lepas tu aku dengar macam bunyi hembusan nafas. Kuat. Tapi aku buat taktau la. Entah la kalau kau dengan Syah kena macam aku kena jugak ke tak." Adi memerhati Hafiz dan Syah. Syah hanya tersenyum.
Jam menunjukkan pukul 10:20 pagi. Warung yang tadi hanya ada 4-5 orang pelanggan, kini bertambah jumlahnya.
"Lagi?" Sekali lagi Hafiz menyoal.
"Lagi..."
************************
Tanpa menanggalkan kasut, terus Adi melangkah naik ke dalam pondok. Beg galasnya diletak di tepi dinding. Cahaya lampu suluh Syah semakin malap. Manakala lampu Hafiz pula semakin menjauh ke sebelah kanan puncak bukit.
"Luas jugak pondok ni." Bisiknya sendirian. Adi terus merebahkan badan di lantai pondok sambil menghela berat nafas. Letih mendaki masih dirasa. Peluh masih belum kering.
Ketika berbaring, dia terdengar daun-daun anak pokok di luar pondok bergerak seperti disentuh sesuatu. Dengan pantas dia bangun dan menyuluh ke arah bunyi tersebut.
"Angin kot." Getus hatinya setelah dia tidak melihat apa-apa selain daun-daun anak pokok yang bergerak perlahan.
"Pak! Pak! Pak!" Tiang pondok diketuk. Adi terkejut sambil mengundur ke belakang. Dia menyuluh sekeliling. Telinganya menangkap satu bunyi. Bunyi tapak kasut yang bergerak menuju ke arahnya. Semakin lama semakin dekat. Adi berpaling perlahan-lahan.
Sekali lagi dia terkejut. Syah rupanya.
"Apahal weh?" Tanya Adi. Gugupnya tadi beransur hilang. Dan berlagak tenang. Seperti tiada apa yang berlaku.
"Aku bosan. Sana banyak nyamuk. Nak buat unggun api, tak bawak lighter pulak. Hahaha. Tu yang aku jalan-jalan sampai sini." Jawab Syah setelah dia melabuhkan punggung dipondok.
"Macam mana? Okay kat sini?" Giliran Adi pula disoal.
"Boleh la. Setakat bunyi-bunyi tu ada la." Jawab Adi sambil melunjurkan kaki.
"Kalau nasib baik, kejap lagi boleh dengar perempuan menyanyi." Ujar Syah pendek seraya turun dari pondok.
"Perempuan menyanyi? Siapa?" Adi kehairanan.
"Ada la. Nanti kau dengar la." Syah membalas sambil melangkah ke tebing sebelum kembali ke pondok.
"Aku dah banyak kali naik bukit ni. Kalau tak dengan orang, aku naik sorang diri. Kadang-kadang jogging kat bawah. Saja cari jalan baru. Selalu jugak la kena kacau. Ada sekali tu masa aku tengah jogging sorang-sorang kat bawah, ada benda tarik beg aku sampai aku terjatuh dalam semak." Tambah Syah lagi. Adi hanya mendengar tanpa berkata sepatah pun.
"Haa tu. Kau dengar tak?" Tanya Syah.
"Dengar apa?" Adi hairan.
"Suara perempuan menyanyi la."
"Perempuan menyanyi?" Adi mula memasang telinga. Sayup-sayup kedengaran alunan lembut serta merdu suara wanita.
"Bunyi macam dari bawah bukit." Mata Adi meliar.
"Memang dari bawah. Dari kampung." Jawab Syah selamba.
"Kampung? Mana ada kampung orang kat sini. Hutan kot." Adi menoleh ke arah Syah.
"Memang bukan kampung orang. Tapi kampung bunian. Ada kat bawah." Syah mengeluarkan sebatang rokok dari kotak berwarna kelabu. Sedari yang dia tidak membawa lighter, rokok itu disimpan kembali.
"Ada kampung bunian kat sini? Aku taktau pun. Kat mana kampung tu?" Soal Adi lagi.
"Tak ramai yang tau. Hari tu aku cakap kat Hafiz. Sini macam-macam ada. Tinggal nampak dengan tak nampak saja. Macam tadi kat pintu rimba. Ada sekor kat tepi trek. Kalau boleh nampak, dia duduk betul-betul tepi kaki kita. Kecik ja. Hahaha. Kampung bunian tu ada kat sungai kat bawah sana." Jawab Syah sambil menunjuk ke arah kiri mereka.
"Ada sungai?" Adi sekali lagi hairan.
"Ada. Tapi tak ramai yang tau. Tak ramai yang jumpa. Aku pernah jumpa. Air dia jernih. Kawasan pun bersih, macam ada orang jaga. Tapi biarlah orang tak tahu. Nanti bersepah pulak situ. Buang sampah merata. Buat maksiat." Syah bersandar pada dinding.
"Aku dengar tak lama lagi pihak Felda nak tutup bukit ni dari orang awam." Syah menambah.
"Apasal nak tutup pulak?" Adi sedikit terkejut.
"Iyalah. Bukan semua orang reti jaga alam sekitar. Kau sendiri tengok. Sampah merata. Puntung rokok bersepah kat tempat parking bawah. Atas ni lagi la. Setiap hujung minggu, naik motor sampai ke puncak ramai-ramai lepas tu buat bising. Ada yang gatal tangan rosakkan anak-anak pokok yang pihak Felda tanam. Kalau aku, aku pun tutup." Syah seolah melepaskan geram. Geram yang telah lama terpendam. Adi hanya mendiamkan diri. Ada betulnya kata-kata Syah itu. Sekarang ramai yang mendaki semata nak bergambar, sekadar ingin mengejar populariti dilaman sosial. Tapi tak pandai jaga alam sekitar.
Suara perempuan menyanyi masih lagi kedengaran. Tapi mereka berdua tidak dapat mendengar dengan jelas bait-baitnya.
Ketika mereka sedang duduk-duduk, lantai pondok diketuk dengan kuat dari bawah membuatkan Adi terkejut.
"Takut?" Tanya Syah sambil ketawa.
"Bukan la. Terkejut je." Balas Adi sambil mengurut dada.
"Aku tengok kau rileks je. Tak takut pun." Soal Adi kepada Syah.
"Nak takut apa. Aku dah biasa dah. Lagi teruk dari ni pun ada." Jawab Syah sambil membelek-belek telefon pintarnya.
"Macam mana lagi kau kena?" Adi ingin tahu.
"Masa aku jogging kat jalan hutan belakang sana, aku nampak babi hutan sebesar van, tengah perhati aku dari jauh. Ada jugak aku dengar perempuan menangis mintak tolong, perempuan gelak. Suara marah pun ada. Ada satu hari tu dalam pukul 6 petang. Aku nampak satu makhluk, macam mawas. Tapi lagi tinggi. Dalam 6-7 kaki macam tu. Bulu dia satu badan. Lebat. Warna coklat. Dia jalan membelangaki aku."
"Bigfoot?" Adi memotong.
"Entah la. Buat masa sekarang, takda lagi kes atau cerita pasal orang terjumpa benda tu." Syah menyandarkan kepalanya di penghadang pondok.
"Lepas tu kau buat apa?" Tanya Adi lagi.
"Lepas tu aku jogging macam biasa. Buat taktau. Risau jugak la. Kalau benda-benda tu okay lagi. Aku cuma risau kalau binatang buas je. Dah la aku sorang-sorang masa tu." Syah tergelak sedikit.
"Apa lagi gangguan yang kau kena?" Soal Adi penuh minat. Masakan tidak. Dia adalah leader bagi satu team paranormal Perlis.
"Banyak sebenarnya. Hari tu aku ada bawak students naik. Dalam 4 orang. Campur aku jadi 5 orang. Semua orang luar. Maksud aku bukan orang utara. Sorang tu aku kenal. Kami naik sebelum subuh. Mula tu aku kira semua 5 orang termasuk aku. Sampai kat tengah jalan, masa rehat tu aku kira lagi sekali. Ada 6 orang. Hairan jugak aku. Dari mana datang sorang lagi tu. Kami gerak naik, yang sorang tu pun ikut naik. Aku baca ayat sikit dalam hati, yang sorang tu pun hilang. Tapi aku diam la benda ni. Tak bagitau pun. Kalau bagitau nanti mau ada yang keras kat situ. Hahaha." Syah dan Adi ketawa.
Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan laungan azan dari puncak satu, puncak di mana Hafiz duduk.
"Weh, tu suara Hafiz tu. Jom kita..." Adi menoleh ke arah suara itu dan menoleh ke arah Syah. Alangkah terkejutnya dia apabila tiada orang di sebelahnya. Langsung tiada kelibat Syah.
Keadaan di puncak satu semakin hebat. Laungan azan dan bunyi bising memecah hening pagi yang sunyi. Adi terkelu. Dari jauh dia ternampak lampu suluh Syah dinyalakan dan menuju ke arahnya. Adi memerhati sambil menelan air liur. Syah berlari pantas menuju ke puncak dua.
"Adi! Jom!" Syah berhenti mengambil nafas dihadapan pondok dua. Adi hanya mendiamkan diri, lidahnya seakan terlekat dan bibirnya seperti digam.
Syah sedar ada sesuatu yang tak kena. Segera dia membaca sesuatu dan menepuk bahu Adi. Adi mula tersedar.
"Syah. Tadi..."
"Dah. Jom kita pergi kat Hafiz." Syah memotong percakapan Adi. Seperti dipukau, Adi bergerak pantas mengikut Syah dari belakang.
Laungan azan belum berhenti. Manakala pondok digoyang dengan begitu kuat. Bunyi ketukan papan dapat didengari oleh Syah dan Adi. Mereka mempercepatkan langkah. Pada masa yang sama Syah membaca beberapa ayat suci setelah dia ternampak pondok satu dikelilingi dengan banyak makhluk ghaib. Seusai surah Yasin ayat 9 dan ayat Kursi dibacakan, makhluk-makhluk yang mengelilingi pondok itu mula ghaib. Meninggalkan Hafiz duduk memeluk lutut sambil menundukkan kepala.
"Hafiz! Okay ke?" Jerit Syah dari jauh. Hafiz mendongakkan kepalanya.
"Aku okay! Aku okay!" Hafiz membalas.
Syah menghembus nafas tanda lega. Hafiz turun dari pondok setelah Syah dan Adi semakin hampir dengannya. Tak sanggup dia nak duduk situ lama lagi. Terus dia mendapatkan Syah dan Adi. Syah menghulurkan tangan untuk bersalam. Hafiz seakan terpaku seketika namun salamnya tetap disambut.
"Dah, jom kita duduk kat puncak dua." Ajak Syah. Hafiz dan Adi hanya mengangguk tanda setuju. Mereka bertiga bergerak pantas meninggalkan puncak satu.
****************
Teh ais limau dihirup sehingga habis. Hafiz memerhatikan Adi.
"Betul ke ni?" Tanya Hafiz. Keningnya dijungkit sedikit.
"Betul weh. Kalau tak percaya, tanya Syah." Adi mengalihkan pandangan kepada Syah yang dari tadi mendiamkan diri, hanya memasang telinga.
"Hahaha. Lawak weh muka Adi masa dia nampak aku tu. Mata terbeliak macam nampak artis." Jawab Syah sambil ketawa.
"Eleh. Banyak la artis. Nak balik pukul berapa ni? Sekarang dah pukul 11:45 dah." Adi cuba menukar topik.
"Jom la balik." Syah mengajak.
"Jom." Hafiz dan Adi menjawab hampir serentak.
"Hafiz, nanti kalau nak hiking lagi, bagitau aku. Hahaha." Gurau Syah sambil mengeluarkan dompet dari dalam beg galasnya.
"Hahaha, boleh. Takda hal." Balas Syah sambil ketawa.
===================================
Gambar: Azman Zainordin (AANRC)
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment