Tajuk: Aku & Ali Setan
"Kau layan lagi filem retro tu? Come onlah kawan…"
"Kau apa peduli? Aku suka filem klasik…" Jawabku selamba sambil terus melayani filem Ali Setan di laptopku.
"Lantak kaulah Carl…"
Secara jujurnya bukan setakat filem Ali Setan sahaja yang menjadi filem ulang tayangku. Bahkan banyak lagi sebenarnya filem-filem klasik yang selalu menjadi bahan tontonanku andaikata ada sahaja masa yang terluang. Walaubagaimanapun setiap inci filem yang dilakonkan dan diarahkan oleh seniman agung Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin juga yang menjadi pujaan hatiku. Aku juga meminati Tan Sri Dr. P. Ramlee dan karya-karyanya tetapi tidaklah sebagaimana fanatikku pada Jins Shamsuddin. Dialah satu-satunya James Bond Melayu - Jefri Zain yang terkadang mengalir altar egonya di dalam diriku. Argh, sibuk membicarakan tentang inspirasiku pula. Ali Setan. Ya, Ali Setan. Mengapa harus ada Ali Setan?
"Carl, nanti kau jangan lupa pulak tutup lampu dan kunci pintu ofis sebelum kau balik nanti." Pesan Rozi sebelum aku ditinggalkan bersendirian di dalam kubikelku yang penuh sendat dengan lambakan fail dan kertas kerja yang menjadi mainan harianku.
"Beres bro…" Jawabku tenang.
Mataku mula memberat.
DUMM.
Bunyi hentakan pintu utama pejabat dihempas sekuatnya. Kini aku benar-benar bersendiri. Mataku terus fokus melihat sebuah babak daripada filem itu di mana Asmidar menerima sebuah bungkusan hadiah daripada Ali ketika dia sedang menyambut majlis sambutan harijadinya.
"Pssst…"
"Sorang je ke?"
Aku tersentak tatkala terdengar pertanyaan tersebut. Bukankah aku seorang sahaja yang sedang berada di dalam pejabat pada ketika ini? Aku melihat di sekelilingku. Sunyi, tiada sesiapa yang berada di sini kecuali diriku. Argh, mungkin itu hanyalah khayalanku barangkali.
Aku menyambung kembali menonton filem Ali Setan dengan penuh khusyuk. Tak lama kemudian kesemua lampu mula berkelip seakan-akan dibelenggu dengan masalah fius. Mustahil kerana mentol lampu yang digunakan adalah daripada jenis LED. Ianya tidak lagi menggunakan fius. Sambungannya adalah sambungan terus dengan arus elektrik. Mungkinkah berlaku gangguan pada arus elektrik? Juga mustahil kerana laptopku tidak terkesan langsung. Melainkan seseorang sedang memainkan setiap suis lampu di situ. Tidak mungkin kerana hanya aku sahaja yang berada di sini pada ketika ini.
"Eh, kenapa pulak dengan lampu ofis ni? Berkelip-kelip?" Soalku sendiri. Bulu romaku merinding.
"Pssst…Sorang je ke? Mana orang lain?"
"Siapa tu?" Soalanku yang pada hemahnya tidak kena pada ruang, masa, dan tempatnya.
"Aku kat sebelah kau, atas bahu kau."
"Allahuakbar…"
"Ok, CUT! Sekarang untuk scene ke 34…"
"Ebby, kali ni aku nak kau, Shah, dan Azmil berjalan masuk ke dalam library one by one…"
"Ok GO, 34, take 2." Jerit seorang handler.
"CAMERA READY, RUNNING , AND ACTION!" Dia pula yang memberi arahan.
Apa yang sudah terjadi? Adakah aku sedang bermimpi ataupun aku sememangnya merupakan sebahagian daripada produksi filem Ali Setan?
"Erm…Tuan…"
"Argh…Spoil! CUT!" Dia menjerit dan Mereka semua berhenti apabila mendengar arahan tersebut.
"Kau ni siapa? Kau tau satu roll film berapa kosnya? Kau nak bayar?" Dia menyoalku dalam tonasi suara yang agak kasar.
"Ermm…Ermmm…"
"Aku tanya ni. Jawablah. Macam orang ternampak hantu je kau ni."
"Saya…" Terketar-ketar kakiku. Lidahku berat dan bibirku seakan-akan dilekatkan dengan pita pelekat yang begitu kuat. Aku hanya diam bungkam tertunduk segan.
Aku berdiri agak jauh daripada Mereka semua. Aku hanya memerhatikan sahaja gerak langkah orang seni yang sedang menghasilkan sebuah karya yang bakal menjadi sebuah karya lagenda sepanjang zaman. Benar kerana ia adalah sebuah mahakarya yang bakal meninggalkan impak yang cukup kuat di sanubari rakyat jelata. Walaupun temanya adalah tentang kisah cinta dan kehidupan sosial pelajar-pelajar di universiti tetapi ia bakal menjadi fenomena dan 'Trend Setter' bagi industri perfileman Malaysia dalam kategori seni sosial.
"CUT! Well done." Kali ini Dia tersenyum puas apabila syot yang diambil menjadi seperti yang dirancang. Dia berdiri, berjalan menuju ke arah subjek yang terlibat sambil membincangkan tentang rakaman bagi babak yang seterusnya.
"Ok. WRAP. Din, tolong panggilkan Izi dan Ogy sekarang jugak. Mustahak." Terdengar lagi arahan keramat darinya. Aku kagum dengan cara Dia melampiaskan nafsu kerjanya itu. Tegas dan berdisiplin. Tiada sesiapa yang terlepas daripada pandangan matanya - Termasuklah Aku.
"Syarizan, you should check the prop for a next scene…"
"Are you serious?" Soalku terkejut. Seorang wanita India dalam lingkungan pertengahan 20an menegurku sambil menggulung kabel kamera di tangannya.
"Kau tahu…Nanti DIA mengamuk habis KITA semua nanti." Jelas wanita India itu lagi.
Jam 7 malam, set untuk babak di kolam renang.
"Syarizan, mana gitar dan dua set barbeque grill yang aku pesan tu?" Dia bersoal tegas. Mukanya merah padam. Merah seperti udang kena bakar. Kesemua pelakon utama, tambahan, dan krew lain terdiam seribu bahasa. Mereka semua memandangku dengan pandangan yang agak sayu.
"Sekejap bos." Jawabku tenang.
"Lekas sikit. Time is money, don't be a burden to us." Tegurnya lagi. Dia kembali semula ke kerusinya, membelek skrip lakon layar yang menjadi nadi tunjang kepada filem ini.
"Sementara dia pergi ambil prop, semua boleh take five." Pesannya kepada seluruh produksi yang sudah sekian lama menunggu untuk melaksanakan tugas masing-masing.
Ralat pula rasanya. Dek kerana kecuaianku, segala perancangan tergendala. Dengan perasaan serba salah, aku terkedek-kedek berjalan keluar daripada set penggambaran itu. Sebenarnya fikiranku buntu kerana aku tidak tahu di mana hendak mendapatkan prop yang dipinta olehnya.
"Pssst…"
Sedang aku terkial-kial memikirkan masalah itu, aku terdengar suara seseorang memanggilku.
"Pssst…Aku tahu barang-barang tu ada kat mana..."
"Siapa tu?"
Dalam samar-samar gelap itu aku ternampak kelibat seorang lelaki yang memakai topi koboi sedang duduk di atas tangga di tepi dewan kuliah tak jauh dari set tadi.
"Kau naik kat tingkat atas, dalam stor sebelah kelas 4B1. Kat situ ada barang-barang yang kau perlukan. Pergi sekarang jugak Syarizan."
Aku tanpa berfikir panjang hanya menuruti arahan lelaki tersebut. Gelap dan sunyi lorong kaki lima menuju ke stor tersebut. Alamak, jam di tangan sudah menunjukkan ke angka 8:30 malam. Aku harus pantas. Aku kini menjadi beban kepada seluruh produksi filem ini. Aku bimbang sekiranya Dia mengamuk lagi. Takut, gelisah, panik - Semuanya ada. Sekarang aku sudah berada di hadapan kelas 4B1. Stor. Tiada stor yang berada di situ.
"Pssst…Pssst..."
"Stor tu kat dalam kelas tu."
Aku melangkah masuk ke dalam kelas itu. Gelap. Gelap kerana lampunya tidak dihidupkan. Aku harus pantas. Aku ternampak sebuah pintu di belakang kelas itu. Mungkin inilah stor yang dimaksudkan oleh lelaki bertopi koboi tersebut.
"Macam mana aku nak pikul gitar dan set barbeku ni?" Soalku sendiri. Aku perlukan bantuan.
Aku keluar daripada stor itu dan berjalan menuju ke pintu hadapan kelas itu.
"Pssst…"
"Siapa tu???" Soalku kepanasan kerana suara tersebut asyik muncul tanpa bersebab.
"Pssst…Ogy tunggu kau kat luar."
"Siapa kau? Kau kat mana sial!" Jeritku lagi.
"Aku kat sebelah kau je dari tadi. Atas bahu kau."
31 Disember 2017, Pejabat Sid Tech, 9:45 malam - Gelap.
"Allahuakbar, apa yang dah jadi tadi tu?" Aku tersedar. Seluruh pejabatku gelap. Aku cuba mengingati semula kejadian aneh yang baru sahaja berlaku sebentar tadi. Atmosfera sudah kembali kepada asal.
Di dalam kegelapan malam itu, aku teringatkan sesuatu. Kenapa mereka semua memanggilku dengan nama Syarizan? Aku adalah Carl, bukannya Syarizan. Lampu pejabat kembali pulih seperti sediakala. Mataku tertangkap sesuatu yang aneh di desktop laptopku. Ia adalah kerlipan notifikasi bagi program Microsoft Word. Dengan cermatnya aku menghalakan kursor lalu mengklik program tersebut.
[Carl - Tadi kau adalah Syarizan. Itu adalah pengalaman dan hadiah bagi dirimu yang terlalu OBSES dengan karyanya.
Carl - Kau tak perlu merasa terkejut ataupun takut kerana aku hanya memenuhi hasrat yang tersimpan rapi di dalam jiwamu.
Carl - Syarizan itu hanyalah sekadar nama dan watak ciptaan yang dicipta olehKu.
Carl - Kita akan bersua lagi. Aku akan ada dan sentiasa ada.
Carl - Pssst Pssst Pssst. Sorang saja ke?
♥Chief Of Quantum Twilight Zone♥]
Aku terkejut. Aku menggigil keseorangan. Lalu aku membuka aplikasi Google Chrome dan mula mencari maklumat tentang 'Chief Of Quantum Twilight Zone'. Hampa dan hambar kerana tiada satu pun maklumat yang menunjukkan tentang kewujudannya. Tanpa membuang masa aku mematikan laptop, mengemas meja kerja, mematikan suis penghawa dingin dan lampu pejabat lalu pulang ke rumah. Kepalaku berserabut memikirkan kejadian yang telah berlaku itu.
Akibat daripada keserabutan itu, dalam sedar tak sedar aku telah memandu jauh sehingga ke Hulu Klang. Aku kini sedang melewati banglo milik Allahyarham Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin. Aku memberhentikan keretaku di tepi jalan. Lalu aku menyedekahkan bacaan surah Al-Fatihah kepadanya. Air mataku bergenang tatkala teringatkan keuzurannya akibat diserang oleh penyakit Alzheimer pada suatu ketika dahulu. Disiplin, ketegasan, keberanian, dan kualiti di dalam setiap hasil kerja dan hidupnya wajar dijadikan contoh bagi seluruh generasi pelapis yang akan datang.
"Pssst…Pssst…Pssst...Sorang saja ke?"
TAMAT.
Karya ini aku tujukan khas sebagai 'Tribute' kepada salah seorang daripada idolaku iaitu Allahyarham Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin. Ianya adalah sebuah karya penutup daripadaku untuk tahun 2017 dan bagi permulaan tahun 2018 yang akan datang. Sekian, terima kasih. Al-Fatihah.
-Carlito Rocker 2017-
Suntingan gambar: Nil Kuhaku
Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaan pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!
No comments:
Post a Comment