ALISHA (Bahagian 2)
Karya: Shaha Rahman
Langkah kaki aku dihayun sedikit laju, berjalan seiringan dengan Hanif. Cuaca yang panas terik ini membuatkan keringat mula mengalir laju. “Panasnya hari nie Hanif.. Dah rasa nak cair nie..” kata aku memecahkan kesunyian. Hanif yang berada di tepi aku hanya tersenyum manis lalu mengangguk, tidak membalas walau sepatah. Aku sesekali berlari kecil, ingin segera sampai di tempat parkir motorsikal.
“Isshhh.. Terik betul ni Hanif.. Dah jadi macam ikan kering kita nie, dijemur panas.. Kenapa la tak mendung hari nie ya..” aku membuka bicara lagi, sedikit mengeluh, panasnya bukan kepalang.
“Alhamdulillah.. Mujur panas Uwais.. Kalau hujan ribut, habis basah lencun kita berdua nie..” balas Hanif lembut, masih menguntumkan senyuman.
Aku tersentak, ada betulnya kata-kata Hanif. “Astagfirullah..” aku mula beristigfar. Terasa mulut lancang dalam menuturkan kata-kata, tanpa disedari mempersoalkan aturan Tuhan yang Maha Mengetahui.
Memang begitulah kebanyakan sikap manusia, tidak tahu akan erti syukur. Aku mula mengelamun, terasa bersalah dengan kata-kata yang terbit dari mulut sebentar tadi. Kaki yang melangkah mula dihayun perlahan.
“Paaappppp..” bahuku ditepuk lembut, digenggam kemas. Aku menoleh ketepi, menatap wajah Hanif.
“Kita semua pendosa Uwais.. Kita hanya manusia biasa.. Segeralah kembali kepada Allah SWT apabila hati kita dijentik dengan rasa bersalah..” kata Hanif lembut seraya tersenyum. Aku mengangguk laju sambil membalas senyuman Hanif, mengiakan kata-kata sahabat dunia akhirat itu. Langkah kaki dihayun laju kembali, kali ini diisi dengan zikrullah di dalam hati. Hanya dengan mengigati Allah, hati akan menjadi tenang.
Aku mengerling jam G-Shock hitam yang dikenakan di tangan kanan. Jam yang sedikit pudar warnanya itu ditenung tajam, cuba memastikan nombor yang tertera.
“Pukul 12.15, patut laaa tak ramai orang..” gumam hatiku sendirian. Suasana pada tengahari itu sedikit lengang, tidak ramai pelajar yang lalu lalang seperti kebiasaan. Mata aku laju melilau sekeliling, menikmati alam indah ciptaan Tuhan.
“Ehhhh.. Tu bukan Najihah ke Hanif?” soal aku sambil tangan kanan diangkat, lalu jari telunjuk diluruskan.. Dihalakan ke arah pondok yang berada tidak jauh dari kami.
“A’ahhh..” jawab Hanif ringkas apabila melihat kelibat rakan sekelas kami itu. Najihah sedang duduk bersebelahan dengan seorang siswi, kedua tangannya memegang bahu gadis tersebut seperti cuba menenangkan. Gadis tersebut pula menekup mukanya menggunakan kedua tapak tangan, sikunya disandar di atas meja baju berbentuk bulat di hadapannya. Sesekali badannya bergerak-gerak seperti menahan tangisan.
“Hanif.. Jom..” ajak aku sambil melencongkan arah langkah kaki ke arah pondok tersebut. Hanif hanya mengangguk, mengikuti di belakang tanpa bersoal.
“Assalamualaikum..”.. Aku memberi salam apabila berada di hadapan mereka.
“Wa.. Wa’alaikummussalam.. Ehh.. Uwais dan Hanif..” balas Najihah sedikit terperanjat dengan kehadiran kami berdua. Gadis di sebelah Najihah mendongak, melihat kami berdua. Telapak tangan yang menekup mukanya kini sudah dialih, mempamerkan wajahnya yang polos. Airmata di pipinya dikesat laju.
“Wa’ala.. Wa’alaikummussalam..”.. Dia menjawab salam, suaranya bergetar dan sedikit perlahan, antara dengar dan tidak.
“Korang nak kemana nie?” soal Najihah sedikit gelabah, tidak sangka dengan kehadiran kami.
“Ohhh.. Kami nak balik rumah sewa dah nie.. Nampak Najihah kat sini, singgah sekejap.. Hehe.. Maaf ganggu..” jawab aku panjang lebar. Sesekali aku menjeling gadis di sebelah Najihah, dia memandang Hanif, lama, matanya sayu.
“Ehhh.. Tak apa.. Tak ganggu pun..” balas Najihah pula. Hanif hanya mendiamkan diri, pandangannya dialihkan ke arah lain. Dia tahu siswi di sebelah Najihah sedang menatapnya.
“Oh ya.. Nie Alisha.. Kawan sebilik saya.. Junior kita..” terang Najihah sambil tersenyum, memperkenalkan gadis di sebelahnya. Aku mengangguk faham.
“Alisha, nie kawan sekelas Kak Na.. Nie Uwais.. Dan nie Hanif..”.. Najihah memperkenalkan kami kepada Alisha. Alisha mengangguk lemah, sambil cuba mengukir sebuah senyuman. Matanya bengkak kemerahan, mungkin kerana menangis terlampau lama. Wajahnya pula pucat seperti mayat, bagaikan tiada berdarah. Pandangan matanya kosong, tiada sedikit pun semangat yang kelihatan pada anak matanya. Dia kelihatan seperti mayat hidup, bernyawa tetapi tiada jiwa.
“Urrmmmm.. Ok ke nie?” aku menyoal, membunuh kesunyian.
“Maksud Uwais?” soal Najihah kembali. Dia dan Alisha memandang aku serentak.
“Oh.. Maaf.. Tadi saya nampak Alisha macam menangis..” aku menjawab soalan yang diajukan.
“Owh... Errmmmm..”.. Najihah kelihatan serba salah untuk menjawab, pandangannya dialihkan ke arah lain, seperti memikirkan sesuatu.
“Ermmmm.. Alisha.. Dia.. Ermmm..” Najihah teragak-agak dalam menutur kata-kata.
Tangan Najihah disentuh lembut, digenggam erat oleh Alisha. Dia tersenyum lalu memandang ke arah kami berdua.
“Saya diganggu saka..” kata Alisha ringkas. Aku tersentak mendengar kata-kata Alisha. Hanif pula memejamkan mata, seperti sudah dapat menduga.
“Gangguan yang macam mana?” soal aku setelah diam untuk seketika.
“Gangguan di dalam mimpi dan juga di alam nyata..” ujarnya lagi.
“Kenapa dia ganggu Alisha ya?”aku cuba mencungkil.
“Dia nak saya terima dia sebagai khadam, dia nakkan tuan..” jelas Alisha, masih cuba tersenyum. Dengan serta merta, bulu romaku mula meremang.
“Urmm.. Alisha tak cuba berubat ke?” soal aku berhati-hati menuturkan kata, risau jika perasaannya terguris.
“Dah cuba, banyak tempat dah saya pergi berubat. Ok untuk beberapa hari, lepas tu dia datang balik..” jelas Alisha lagi. Matanya mula berkaca, bila-bila masa saja airmatanya akan mengalir. Najihah pula hanya menunduk memandang lantai, tidak berkata walau sepatah.
“Dia sering seksa saya di dalam mimpi, badan saya dirobek hidup-hidup.. Rasa sakitnya seperti nyata.. Bila bangun pagi, mesti badan akan berbekas lebam..” jelas Alisha panjang lebar tanpa dipinta. Kali ini, airmatanya mengalir laju namun dia tetap cuba tersenyum.
“Amalan-amalan yang diberikan perawat semua saya amalkan, namun.... Mungkin ujian ini untuk saya menjadi lebih kuat. Kesian Kak Na, setiap malam dengar saya meracau menjerit-jerit. Saya minta maaf ya Kak Na..” kata Alisha lagi sambil memandang Najihah.
Najihah yang sedari tadi memandang lantai mula mengangkat wajahnya memandang Alisha. Rupanya dia juga menangis dalam diam, cuma bunyi tangisannya ditahan agar tidak kedengaran. Najihah memeluk erat Alisha, rasa sayangnya kepada Alisha melebihi rasa kasihan pada rakan sebiliknya itu, yang dianggap seperti adiknya sendiri. Aku mula menjadi serba salah, tidak tahu apa yang patut dibuat.
“Setiap rawatan itu memerlukan jodoh.. Seperti bulan pasangannya bintang, seperti pantai yang pasangannya ombak.. Yang penting jangan berputus asa dari berikhtiar dan jangan putus harapan kepada Allah SWT.. Bila tiba masanya, pasti berjumpa rawatan yang serasi, umpama buku bertemu ruas..” ujar Hanif panjang lebar setelah lama berdiam diri sedari tadi. Alisha tersenyum sambil mengangguk perlahan, ini kali pertama dia mendengar suara Hanif.
Hanif mengangkat tangan kanannya separa wajahnya, digenggam menjadi penumbuk, lalu mulutnya berkumat kamit membaca ayat-ayat suci dari kitab Al-Quran. Apabila selesai, dia menghembuskan pada tangan kanannya yang digenggam erat. Dia menghampiri Alisha yang berada di hadapannya.
“Fikirkan satu senjata yang awak suka..” kata Hanif sambil memandang wajah Alisha.
“Senjata?” soal Alisha terpinga.
“Ya.. Senjata yang awak suka, yang awak rasa boleh gunakan apabila keadaan terdesak..” jawab Hanif sambil menguntumkan senyuman. Alisha memandang Najihah, cuba meminta jawapan. Najihah hanya tersenyum sambil mengangguk, tidak berkata-kata.
“Busur..” jawab Alisha ringkas. Hanya itu yang bermain di fikirannya.
“Baik. Tadah tangan.” pinta Hanif lembut.
Alisha tanpa bersoal terus menghulur tangannya, mengikuti kata-kata Hanif. Hanif mengangkat kembali tangannya yang digenggam erat ke arah tangan Alisha yang sedang menadah, lalu genggamannya dibuka seperti melepaskan sesuatu ke dalam tangan Alisha.
“Genggam erat..” kata Hanif. Alisha mengangguk lalu menggenggam telapak tangannya.
Gadis muda itu terasa bagaikan ada aura sejuk berada di dalam genggaman, lalu menjalar ke seluruh tangannya.
“Malam nie makhluk tu akan datang lagi. Jangan lari ya.. Cuba lawan. Sebelum tidur ambik wuduk, baca doa dan ayat-ayat pendinding..” pesan Hanif panjang lebar. Alisha tersenyum sambil mengangguk laju, pesan Hanif tersemat di dalam hatinya.
* * *
Alisha terbaring di atas katil memandang siling, kosong. Entah mengapa malam ini matanya terasa segar bugar, payah untuk lelap seperti kebiasaan. Dia menoleh ke arah Najihah yang telah tidur lena di katil sebelah, kakak sebiliknya itu telah belayar jauh ke alam mimpi. Sesekali kedengaran Najihah berdengur perlahan. Alisha tergelak kecil, terasa lucu di dalam hatinya.
“Letih sangat laaa tuu..” gumam Alisha sambil tersenyum. Tidak dapat dinafikan Najihah seorang siswi yang aktif, sentiasa kesana kemari menguruskan program.
Alisha mengerling jam di dinding. Suasana bilik yang gelap membataskan penglihatan Alisha, hanya lampu koridor yang terbias melalui cermin nako menjadi punca cahaya ketika itu. Jam plastik yang berwarna hijau tua itu direnung lama, cuba memastikan jarum jam menunjukkan pada angka berapa.
“Dah pukul 2.45 pagi..” bisik hati Alisha. Dia cuba memejamkan mata, mengulang sekali lagi bacaan Ayatul Kursi dan 3 Qul.
“Bismikallah humma ahya wa amut..” kedengaran Alisha membaca doa tidur dalam nada berbisik. Setelah beberapa minit, dia akhirnya terlena, menuju ke alam lain.
* * *
Hanif hanya duduk bertafakur di atas sejadah sedari tadi. Matanya dipejam rapat, jari jemarinya mengerak-gerakkan biji tasbih yang berada di dalam genggaman. Setelah menunaikan solat hajat 2 rakaat tadi, dia terus duduk bersila tanpa bergerak kemana-mana. Lagaknya umpama seorang pendekar yang sedang bertapa.
Mata aku mula pedih kerana menahan rasa mengantuk yang luar biasa. Buku yang berada di hadapan ditutup, pen yang berada di tangan diletakkan di tepi. Aku bangun menuju ke arah tandas untuk berwuduk, tugasan yang belum siap itu akan aku selesaikan esok. Setelah menghenyakkan diri ke atas katil, aku meraup air wuduk yang bersisa di wajah. Doa dibaca, selimut ditarik ke paras dada. “Selamat malam Hanif..” ucapku sebelum tertidur.
* * *
Alisha memerhati keadaan sekeliling, tempat itu terasa asing bagi dirinya. Dia berada di kawasan padang yang luas. Kakinya yang tidak beralas terasa geli apabila rumput pendek menggesel lembut pada kakinya ketika ditiup angin. Dia mendongak ke langit, kelihatan bulan purnama penuh, memancarkan cahaya yang terang menyimbah bumi. Bintang-bintang pula berkelip-kelip menjadi penyeri, peneman kepada sang rembulan. Nyaman. Dia telah lama tidak merasakan suasana yang tenang sebegini di dalam hidupnya.
Alisha berlari riang, kakinya laju menapak langkah ke kiri dan kanan. Kedua tangannya didepangkan, membiarkan seluruh tubuhnya dijamah bayu malam yang sejuk. Matanya dipejam rapat. Dia tersenyum. Lama dia berkeadaan begitu, membatukan dirinya seperti sebatang pokok rendang. Suasana itu dinikmati sehabis baik, jika boleh, dia inginkan keadaan itu berkekalan, sampai bila-bila.
“Seronok nampak..” satu suara menegurnya dari belakang membuatkan Alisha terperanjat setengah mati. Dada Alisha berombak laju, dia kenal benar akan pemilik suara tersebut. Dia segera menoleh ke belakang, dari arah suara tersebut terbit.
Karya: Shaha Rahman
Suntingan Gambar (sumber Internet): DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment