Showing posts with label Senyuman Perantau. Show all posts
Showing posts with label Senyuman Perantau. Show all posts

Wednesday, 2 May 2018

HITAM - Senyuman Perantau




HITAM
============================
Mulut Heliza terkumat-kamit, seolah membaca mantera. Itulah amalannya apabila sedang rancak memikirkan idea, lalu diterjemahkan dalam bentuk penulisan seram.

Ya. Dia seorang penulis cerpen seram yang mula meningkat naik.

Bermula dari bawah, merangkak sejengkal, maju sehasta, mengorak langkah sedepa lalu meningkat maju sehinggalah terbit beberapa antologi cerpen miliknya.

Bibir mulut Heliza masih terkumat-kamit sambil mata hitamnya hilang, meninggalkan mata putih pucat.

Tangan kanan Heliza terus menghayun abjad demi abjad, diselangi tanda baca dan kadang-kadang diakhiri dengan lukisan pelik.

Mungkin membayangkan setiap watak seram yang diciptakan khas demi novel seram sulungnya.
Atau mungkin dia mempunyai ilmu?

----
Heliza terlena di atas meja kayu.
"Slurpp," saki baki air liur basi yang tersisa di bibir, disedut agar tidak tertumpah ke atas kertas lakaran.

"Ija, kau ni rajin sangat ni, cuba bawa bertenang. Kami tahu kau nak menulis. Kita naik sama-sama, bawa bertenang beb!" tegur Maryam.

"Ya la Ija. Kau ni makin lama, makin stress aku tengok. Dengan makannya tak, minum tak menentu," nasihat Atikah.

"Aku tahu, Maryam, Tika. Aku baru je nak bergiat dalam bidang ni. Aku kena bersungguh-sungguh. Aku nak jadi macam korang. Korang idola aku," bercahaya mata Heliza saat membalas jawapan sahabat seperjuangan -ikhlas.

"Kami tahu. Tapi kami sayangkan kau. Kami tak nak kau sakit Ija. Kau makin pelik," balas Atikah.

"Ya la Ija. Aku pun rasa benda yang sama. Kau belajar ilmu hitam ye??" tebak Maryam.

Lidah Heliza kelu. Lantas, buku lakaran peta mindanya ditutup dan dicampakkan ke tepi.

"Dah la Maryam, Tika. Aku nak tidur."

"Kan aku dah kata?" Maryam mencuit bahu Atikah.

Atikah sempat menganggukkan kepala dua tiga kali.
----

Enam bulan kemudian...
Alhamdulillah. Siap juga hasil penulisan novel solo ku. -bisik hati kecil Heliza.

Hari ini merupakan detik bersejarah, pelancaran novel sulung Heliza bertajuk, 'HITAM' sempena PBAKL 2020.

"Cik Cinta Darah, bagaimana tercetus idea untuk menghasilkan karya yang sebegini ikhlas dan tulus?" soal salah seorang pencinta novel seram.

"Saya asalnya penganggur dari kampung. Saya bermula dari kosong, mengasah bakat dan terus belajar sehingga terhasil karya sebegini. Terima kasih tak terhingga kepada dua rakan penulis saya yang selama ini yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan memberikan saya idea," jawab Heliza.

"Cik Cinta Darah, kenapa memilih nama pena sebegini ye?"

"Entah. Saya pilih nama ni untuk menyerlahkan lagi jiwa saya dalam bidang seram. Takkan nama Qaseh Adelia? Tak sesuai kan?" balas Heliza sambil ketawa kecil.

Sesi pelancaran novel HITAM berakhir dengan jayanya. Heliza memalingkan muka setelah semuanya berakhir.

Bibir mulutnya terus berkumat-kamit, sambil menghembuskan sesuatu. Kedua telapak tangam disatukan terus disapukan tiga kali di atas wajahnya yang berseri.

"Bangsat! Aku dah agak!"

Sepasang mata gigih mencuri perlakuan Heliza.

Hitam hati kau, Heliza!

******
'Novelis Cik Cinta Darah pengamal ilmu hitam?

Karya HITAM terselit ilmu hitam!

Demi karya penuh penghayatan, novelis muda sanggup mensyirikkan Allah!

Ilmu guna-guna, khayalkan peminat setia Cik Cinta Darah.

Saksikan video novelis seram membaca mantera ketika sidang pelancaran novel.. Sila klik link di bawah..'

Jantung Heliza seolah berhenti berdegup akibat beberapa berita di beberapa laman media sosial.

Segala kejayaan dia selama dua tahun sebagai seorang penulis seram bagai direnggut jatuh.

"Apa kena dengan mereka ini?"

"Apa dosa aku terhadap mereka?"

"Salahkah aku berkarya demi sesuap nasi?"

"Allah, kenapa ujian ini yang kau uji aku?"

"Allah, teguhkan lah hati aku untuk menghadapi semua ini."

Satu demi satu pautan berita ditekan, dibacanya. Siapa yang tergamak buat dia begini. Air mata Heliza gugur lagi.

Kecewa.

Siapa?
Siapa?
Siapa?

Tergamak kau... 
Sampai hati kau...


****
Seminggu selepas itu...

"Best tak bercuti, Tika?"

"Best la gila. Tenang sikit tak jumpa perempuan puaka ilmu hitam tu, hahaha."

"Tenangkan bayu laut. Tenang rasanya," Maryam menikmati setiap hembusan angin sambil tangan terus membaca laman berita di tablet.

Tiba-tiba muka Maryam berubah, pucat. Badan bersandar dialihkan ke hadapan, postur badan diubahkan tepat ke arah Atikah.

"Tika. Tika. Cuba baca ni."

"Apa kau ni? Baca cerita hantu ke? Pucat semacam je!"

'NOVELIS SERAM TERKENAL DIJUMPAI MATI'

"Alah, relaks la. Setan dia la bunuh dia tu," pujuk Atikah.

"Kau rasa salah kita?" tanya Maryam.

"Kenapa pula salah kita?" Atikah.

"Entah-entah dia bunuh diri sebab tertekan!" Maryam.

"Dahlah. Kalau betul pun bukan masalah kita. Kita enjoy. Padan muka dia. Nak berjaya sangat kan?"

Atikah ketawa besar. Maryam turut tertawa, seumpama mendapat berita baik.

****
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan/irihati (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (An-Nisa' ayat 32)

******
Dengki merupakan di antara penyakit hati yang bahaya.
Tak perlu mendengki apa yang tidak pasti.
Fokuskan doa dan berharap rezeki kita dipermudahkan.

Cerpen di atas aku nukil khas buat pedoman bersama.
Benarkah Heliza mengamalkan ilmu hitam?
Atau sekadar dengki sahabatnya, Maryam dan Atikah?
Wallahu a'lam.
Dengki boleh menjurus kepada titik-titik HITAM yang lebih bahaya...
==============================
Gambar: Dikmang
Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Wednesday, 21 March 2018

HOTEL, KUCHING! - Senyuman Perantau


HOTEL, KUCHING!
----

Tak pernah terjangkau dek akal untuk aku menabur bakti dan menetap di sini. Sebuah negeri yang aman, berbilang kaum dan terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa. Iban, Bidayuh, Melanau, Cina, Melayu, India, Orang Ulu, Lun Bawang dan banyak lagi. Masing-masing tak kekok bertutur dalam bahasa selain daripada bahasa ibunda sendiri. Aku kagum.

Aku banyak belajar. Sudut bahasa. Sudut kasih sayang masyarakatnya. Tutur sopan, baik budi pergaulan. Dan yang paling penting, aku punya beberapa pengalaman seram sepanjang lima tahun menetap di sini!

Kuching.

Ibu negeri Sarawak, cukup banyak lokasi mistik tersendiri. Aku sendiri terpaku mendengar semua kisah seram di sini. Semuanya aku simpan dan sorokkan kemas di dalam gerobok hatiku. Berdoa agar setiap yang didengari, kekal sebagai ‘cerita orang’.

----

Kejadian ni baru berlaku raya haji tahun lepas.


Tiket kapal terbang terlalu mahal untuk aku sekeluarga pulang. Maka, atas saranan kawan sekerja bini aku, depa bagi saranan untuk kami menginap di salah sebuah hotel di Kuching ni.

Dah menjadi kebiasaan guru-guru di sini, mereka akan menginap di hotel tika hujung minggu untuk meredakan tekanan, sambil membawa anak-anak untuk mandi-manda di kolam renang.

Harga hotel di sini juga boleh dikatakan murah jika dibandingkan harga di semenanjung. Boleh kata, dengan bayaran RM 250 anda boleh dapat bilik yang luas dan mewah.

Pendek kata, hari Khamis pagi, aku pun daftar masuk hotel tu. Hotel mana dan di mana terpaksa aku rahsiakan.

Yang penting, hotel tu terletak di kawasan Waterfront Kuching. Mulanya, tiada apa yang pelik. Aku parkir kereta di tingkat atas. Anak dan isteri aku menunggu di lobi.

Kami pun acah-acah pelancong. Pekerja hotel tanya kami, dari mana tuan?

"Bercuti. Selangor."
Buruk bunyinya loghat semenanjung aku.
Jujur aku katakan, loghat Bahasa Melayu Sarawak mula sebati dalam diri aku.
"Saya nak bilik yang menghadap sungai ye."
"Ok encik. Tapi."
"Tapi apa?"
"Tinggal satu bilik je. Yang lain penuh. Boleh ke?"
"Takda masalah." Aku lempar sekuntum senyuman.

----

Aku pun naik bilik.
Fuhhh..

Boleh tahan bilik hotel ni. Walaupun hotel ni lama, biliknya agak luas dan selesa.

Cuma pengering rambut dia, agak old school dan tak berapa panas dah.

Hal kecil je tu bagi aku.

Kami sekeluarga berehat. Turun berenang. Jalan-jalan shopping complex hotel tu.

Maghrib baru je mahu menjengah. Aku pun nak pergi bayar parking untuk keluar makan area pekan. Orang Sarawak panggil pasar.

Anak dan isteri aku tunggu dalam kereta. Sepatutnya tiket parking, tak perlu dibayar jika menginap di hotel tersebut.

Tapi sebab aku bangang, tak bertanya. Aku pun pergi la kat mesin autopay parking.

Masa tu senja. Agak gelap jika di bumi borneo.

Warna merah di kaki langit pun mulai pudar.


Kriiikkk..

Tiket parkir aku masukkan. RM 2.

Not biru dua keping aku keluarkan dan masukkan ke dalam mesin.

"Hai anak."

Satu suara serak tapi agak lembut menegurku.


Aku berpaling ke belakang. Mengintai ke arah tangga.

Seorang pakcik, berjanggut putih separas sejengkal, tersenyum dan merenung tepat ke arahku.

"Ya pakcik, kenapa?" Balasku.

"Bawa anak kecil jalan-jalan senja ni jaga. Bukan semua tempat bagus untuk kita berjalan. Tambah-tambah waktu Maghrib."

Aku terkedu. Seram bukan sebab muka pakcik tu pucat ke, atau berdarah-darah.

Tetapi, macam mana pakcik ni tahu aku ada anak??

Walhal anak dan isteri aku sedang tunggu di dalam kereta di tingkat bawah.

"Satu lagi, anak. Tidur malam ni hati-hati. Bukan manusia je ada kat dunia ni."

Pakcik tu berpesan sekali lagi, sambil membetulkan jaket coklat. Dia lempar sebuah senyuman, menampakkan suku gigi kacip atas.

Hati aku tak sedap. Kaki aku mula menggeletar.


"InsyaAllah pakcik. Terima kasih."
Itu je yang keluar dari mulutku.
Kringgg..Kringgg..Kringg..
Telefon pintar berbunyi.

"Bang, lamanya bayar parking. Dah tiga kali call ni, tak ada bunyi pun. Ni kali keempat baru ada. Jom bang. Seram pulak kat bawah ni. Cepat bang!"

"Ya.. Ya.. Abang dah bayar jap."

Tutt..

Panggilan diputuskan. Aku berkalih semula ke arah tempat persandaran pakcik tadi.

Kosong. Aku menjengah ke arah tangga menuruni ke bawah dan ke tingkat atas.

Sunyi. Tak ada jejak orang, mahupun bunyi langkahan seseorang.

Mustahil seorang manusia dapat bergerak selaju itu.


Seram. Aku cabut, dan keluar makan di RJ Ayam Penyet.

----

Malam tu??

Malam tu anak aku tak boleh tidur.

Menangis pukul 11-12 malam. Tengah anak aku menangis. Menangis meraung bagai.

Tiba-tiba...

Black out.

Gelap.

Semua lampu padam.


Lama juga. 10-15 minit juga la.

Mujur tingkap balkoni menghadap ke lampu jalan. Tak ada la gelap sangat.


Aku hubungi pihak receptionist hotel. Tergagap mereka jawab.

"Eh. Lama dah ke encik? Kejap-kejap."

Aku keraskan suara. Keras bukan bermaksud aku kurang ajar, tapi jujur aku seram, sambil terdengar suara hilaian wanita di sebelah bilik.

Aku cuba positifkan diri. Mungkin orang bilik sebelah.

Yang bestnya, black out tu berulang sehingga tiga kali.

Setiap kali bilik gelap gelita, setiap itulah bunyi perempuan mengilai berdendang. Mendayu-dayu.
Fuhhh.

Bunyi biasa.

Tak ada la seram sangatkan.
Tapi kalau dialami sendiri.

Bergegar juga tempurung lutut aku.
Korang pernah rasa apa aku rasa??
Pakcik tu?

Kekal misteri.
Siapa gerangan empunya badan, kalau ada dalam ni, sila mengaku..
Orang Kuching jemput baca la ye.
Hati-hati. Doa masa nak tidur mana-mana hotel.

Ada masa, aku cerita lagi!
Mun ada masa kelak mek cerita gik!


----
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Wednesday, 14 March 2018

MISTIK SEBATANG GIGI - Senyuman Perantau


Mistik Sebatang Gigi

"Puan nak cabut ke akar gigi yang tinggal ni?" soal aku perlahan. Sebut sahaja perkataan cabutan, boleh meremang satu badan. Maka, pemilihan intonasi dan cara bertanya mesti kena dengan cara.

"Er. Er. Doktor. Tak salahkan saya simpan, tak pernah sakit pun." - wanita separuh umur itu cuba menafikan cadangan yang diberikan.

"Ya puan. Sekarang tak sakit. Tapi keadaan tunggul ni dah membengkak. Kalau kita tak cabut awal, nanti ditakuti ada jangkitan, membengkak dan bernanah. Agak bahaya."

Aku menerangkan dengan agak panjang lebar. Jika tiada pesakit, agak panjang juga aku berceloteh memberikan nasihat. Tetapi jika pesakit terlalu ramai, nasihat yang diberikan hanyalah sekadar maklumat ringkas dan padat.

"Emm. Tak yah la doktor. Mak cik datang ni saja-saja je. Nak buat gigi palsu. Buat gigi palsu je la!” tegas wanita Melayu itu.

"Tak boleh puan. Kalau ada gigi tak cabut, kita buat gigi palsu, boleh menyebabkan gigi palsu tak terletak betul-betul di atas gusi. Selain itu, sisa makanan juga boleh melekat di tunggul tadi, dan risiko jangkitan macam saya terangkan di atas."

"Macam-macam la doktor ni. Saya minta apa. Buat je la!"

Aku tersenyum. Kenangan 2 tahun lalu tiba-tiba muncul.

----

Titisan peluh kecil mula berkumpul di tapak dahiku. Sudah setengah jam aku cuba mengeluarkan tunggul gigi geraham di bahagian bawah.

Pelik. Selalunya jika struktur gigi yang reput begini agak senang dicabut. Sekadar menggunakan Forceps akar atau menggunakan Coupland sahaja sudah memadai.

Tapi berlainan untuk kes kali ini. Letih.

Forceps akar aku kepit, aku cuba tarik.

Hampa. Sedikit pun tidak bergoyang. Sisa rapuh gigi juga tidak langsung pecah atau retak.

"Kak, ambil saya Coupland size 2," aku meminta kepada DSA (Dental Surgery Assistant/ Pembantu Pembedahan Pergigian) Liza.

Coupland size 2 dituil kiri dan kanan.

Masih tiada apa-apa pergerakan.

Sudah setengah jam aku menggodek-godek akar gigi. Belakang badan aku mulai lencun dengan peluh.

Jam dinding aku kerling sebentar. Sudah 4.00 petang.

Nasib aku baik. Pesakit hari ini kurang dan ini merupakan pesakit terakhir. Aku sedikit lega.

"Encik, saya cuba cabut gigi ni tapi susah sikit. Tak ada goyang langsung gigi ni. Saya cuba sikit lagi. Kalau tak dapat, kita ambil X-ray ye."


"Baik doktor."

Sarung tanganku digantikan dengan yang baru. Sarung tangan tadi sudah dipenuhi darah pekat yang penuh membasah, menimbulkan rasa licin dan kurang selesa.

Sambil aku menyarung sarung tangan tadi, mata aku menatap cermin di sinki, pantulan imej pesakit jelas di pandanganku.

Di dalam pantulan cermin, terdapat aku, yang duduk agak jauh. Kedua, Pembantu Pembedahan Pergigianku, DSA Liza yang berdiri di sebelah kiri pesakit. Ketiga, pesakit yang sedang berbaring sambil mulut dibukakan separa.

Tetapi… Muka aku berpeluh kembali. Akan tetapi, kali ini peluh yang didatangi dengan perasaan seram dan menakutkan.

Ya. Ada imej keempat. Imej pantulan keempat, seorang perempuan berambut panjang menutupi hampir keseluruhan muka. Susuk tubuh keempat ini sedang bertinggung sambil kepalanya diusap berulang-kali di atas dada pesakit. Sesekali lidahnya dijelirkan, lalu dijilat ke dalam mulut pesakit, mencari tunggul yang aku cuba cabut.

Pandangan aku dialihkan dari cermin dan memandang tepat ke arah pesakit.

Gulp!

Terasa pahit air liur yang ditelan. Perempuan berambut panjang tadi masih berbantalkan dada pesakit sambil dijegilkan mata. Tepat memandang anak mataku.

Seram sejuk. Menggigil kedua belah kakiku.

"Encik. Encik nak cabut lagi ke?" Tanya aku, sambil berdoa agar pesakit berhasrat untuk memberhentikan rawatan.

"La, tadi doktor yang sarankan saya cabut. Macam mana ni?"

"Tak ada apa-apa. Saya takut encik letih. Esok boleh sambung," ujar aku sekadar berbasa-basi.

"Kihkihkih! Kau nampak aku manusia! Usah berpura-pura lagi!"

Suara sosok perempuan tadi mengilai sederhana kuat. Tapi cukup menggentarkan hatiku sebagai manusia.

"Doktor, tercongok apa tu, nak pukul lima dah. Tunggu apa lagi?"

"Ok. Ok. Saya sambung."

"Encik Azlan, Kak Liza. Sila selawat," aku beri arahan. Tegas.

Allahumma Solli 'Ala Muhammad Wa 'Ala Ali Muhammad.

Lafaz selawat berulang-kali dibaca tanpa banyak dipersoalkan.

Arghhhh!!! Kau kacau makanan aku! Tempat tinggal aku doktor celaka!

Suara jeritan bingit kali ni diabaikan. Aku terus menyambung sesi cabutan. Sekali dua gerakan..
Alhamdulillah. Akar gigi tadi keluar.


Akar gigi yang telah dicabut lalu diletak di dalam tray besi. Alhamdulillah.

Aku berbisik sendiri. Jauh sudut hati, aku rasa lega. Pesakit pun mula tersenyum.

"Kenapa doktor suruh kami selawat tadi? Nampak hantu?" soal Puan Liza.

"Ala, untuk mudah cabutan la," aku cuba berdolak-dalih.

Sebelum aku menuju ke sinki untuk membasuh tangan, aku sempat menjeling ke arah akar gigi yang telah dicabut.

Slurrpp.. Slurrpp.. Slurrpp..

Perempuan berambut panjang masih enak menjilat saki-baki darah yang bersisa di permukaan akar gigi. Matanya buntang menjeling ke arahku.

Thanks doctor!
----

Lamunanku terhenti.

"Macam mana puan. Nak cabut tak?" -aku meminta kepastian dari pesakitku hari ini.
"Apa lagi kesan kalau tak cabut tunggul gigi ni doktor?"


"Kalau dari segi saintifik, macam di atas yang saya terangkan tadi la. Tapi..." -ayatku terhenti seketika.

"Tapi apa doktor?"

"Tapi satu je saya nak cakap, syaitan iblis suka benda-benda kotor ni. Tu je la."

Aku tersenyum nipis sambil menganggukkan kepalaku.

“Tahyul la doktor ni. Belajar tinggi-tinggi! Percaya benda mengarut macam ni!” –perempuan tadi meninggikan suara, sambil mencebikkan bibir.

“La, saya nasihat guna maklumat saintifik, puan tak nak dengar. Saya cakap hal-hal macam ni pun puan kata saya tahyul. Islam sendiri menyuruh kita menjaga kebersihan mulut tau,” tegur aku lembut.

“Huh! Susah dapat doktor macam ni!” bentak wanita tadi sambil berlalu meninggalkan bilik surgeriku.

Aku tersentak dengan ayat terakhir wanita tadi. Tapi itulah lumrah kami sebagai pekerja kesihatan. Ada yang memuji, tak kurang juga mengherdik dan mengkeji. Yang penting aku dah memberikan nasihat sebaiknya, yang lain terserah kepada pesakit itu sendiri.

“Doktor Jie. Doktor Jie,” panggil DSA Herdy.
“Ya, Herdy. Kenapa pucat ni?” soal aku kehairanan.
“Doktor punya pesakit tadi kan? Yang marah-marah tu?”
“Ya, patient aku. Apsal?”
“Kenapa makcik tu kendong perempuan rambut panjang, kusut-masai! Macam han..”
“Dah Herdy. Jam pun 10 minit lagi nak punch card. Jom!”

-----

Kalian pembaca ada tunggul gigi atau gigi rosak teruk dalam mulut?
Kebersihan mulut betul-betul terjaga ke?
Aku bukan nak ajar percaya benda tahyul, tapi..
Syaitan dan iblis tu wujud dan sukakan tempat kotor.

Tak mustahil perempuan rambut panjang sedang menjilat-jilat rongga mulut anda!
Anda takut doktor gigi atau perempuan rambut panjang?
Renung-renungkanlah..

----
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Wednesday, 28 February 2018

GENTING PERAS - Senyuman Perantau


GENTING PERAS
"Riz, Man, jadi ke nak ikut aku balik kampung petang ni?" Soal aku sambil tangan silih berganti memasukkan baju ke dalam beg beroda.

Padat dan penuh. Tetapi begitulah aku, jika pergi ke mana sekalipun, beg sentiasa penuh.

Macam nak balik setahun! Itulah usikan keramat arwah abah. Aku tersenyum, mengingati kenangan manis yang masih melekat kemas di sudut memoriku.

"Aku okay je, tapi tak tau la ngan budak gemuk Riz ni!" Balas Salman sambil memlontar duit syiling tepat ke arah pusat Rizky. Bergolek syiling dua puluh sen melintasi lubang pusat yang berlekuk dalam.

"Huwarghh. Aku tak kisah. Aku bawa 2, 3 helai baju je." Rizky melekapkan kemas telapak tangannya tepat di bukaan mulut ternganga luas.

"Kalau camtu jom la. Kemas la beg, pukul lima kang kita jalan la. Tak jam aku rasa. Oh ye, kalau sempat ada, awal sampai, aku belanja korang sate tulang!"

"Hek eleh. Sate tulang boleh makan apa. Nama pun tulang. Kenyang ke perut aku nanti?" -berkerut muka Rizky.

"Benda lain boleh buat gurau, bab makan jangan!" Balas Salman spontan.

"Haha. Tulang dia ada daging la. Tulang pun lembut, kau boleh makan punya. Sedap Riz. Spesial! Exclusive at Jelebu!"

Salman dan Rizky bingkas bangun. Salman mencapai beg galasnya manakala Rizky menjinjing beg plastik biru berisi pakaiannya sepanjang dua hari.

"Jom."
----
Lebuh raya Plus menuju ke selatan begitu sesak. Kelajuan kenderaan masing-masing bergerak 10 hingga 20km sejam sahaja.

Ceh! Patut la slow dari tadi! Laporan trafik melalui corong radio sebentar tadi cukup merimaskan.

Cis, bosan! - aku menjerit sendiri.

Ampang ke Seremban. Kebiasaannya, hanya mengambil 40-60 minit sahaja, tetapi, jika kesesakan, mahu memakan masa satu jam lebih hingga dua jam.

Mata aku letih dan mengantuk. Cahaya matahari terang bersinar menyilaukan pandanganku. Menambahkan lagi pekat perasaan mengantukku.

"Woi, tak boleh jadi ni. Aku patah balik kita ikut Bukit Ampang. Lepas tu lalu Genting Peras? Boleh?" Soalku sekadar syarat, sambil tangan aku terus memusingkan stereng kereta.

"Eleh, buat-buat tanya. Tapi sekarang pukul 6 dah Jie. Bukan kau kata Bukit Peras tu seram ke?" Balas Salman.

"Shhh. Mulut tu!" Aku memandang tajam ke tempat duduk sebelah.
Sesekali aku mengintai cermin pandang belakang. Sakit hati aku!

Kelihatan Rizky sedang berbaring separuh badan di atas tempat duduk belakang.
Natey gemuk. Sedap tey tidur!
Idea jahat aku menyerang. Pandanganku dilirik ke sebelah. Tersenyum Salman melihat ukiran senyumanku.

"Kau nak buat apa ni setan. Semacam je sengih ni?" Salman seakan dapat menghidu perkara bakal terjadi.
"Shhhh. Kau diam, buat relaks je."

Kereta depan mula menjarakkan diri. Sengaja aku tak gerakkan kereta. Bila kereta hadapan sudah terhenti kira-kira 50 meter.
Pedal minyak aku tekan sekuat hati.
Eeeittttt... Bam!

Bunyi brek mencengkam jalan disusuli bunyi badan manusia menyembah lantai kereta.
"Aduh! Sakit bontot aku. Kenapa kau brek mengejut ni anjing!"
"Hahaha. Hilang ngantuk aku!"
"Kahkahkah. Otak kau memang jahat Jie!" Salman tertawa sambil kepalanya ditoleh ke belakang.
"Aduh.. Sakit dubur aku gila!"

----

Kereta Viva ku meluncur turun Bukit Ampang, lalu tiba di Pekan Hulu Langat Batu 14. Lega. Perjalanan lancar.
Lampu isyarat bersebelahan masjid bertukar merah.
"Woi, Jie. Sekarang jam pukul 6.40 petang. Nak tunggu Maghrib kat sini ke nak jalan terus?" Salman menampar bahuku.
"Gila kau. Maghrib 7.30 la. Jalan la dulu. Kita solat kat Jelebu je."
"Sempat ke?" Soal Salman sekali lagi.
"Sempat. Jarang jam jalan ni. Tapi tu lah. Hurm, gelap pun takda hal. Kitakan bertiga."
"Tiga orang apa, sekoq lagi berdengkur belakang tu!"
----
Pekan Hulu Langat ditinggalkan. Aku terus memandu sambil sesekali menutup mulut yang ternganga luas menguap.
Salman di sebelahku sesekali tersengguk keletihan. Langit jingga mulai beralih suasana.
Langit bertukar gelap. Hilang warna jingga menandakan waktu Maghrib menjengah.
Bukit Hantu!
Tak ramai yang tahu akan nama Bukit Hantu. Kecuali warga tempatan dan popular di kalangan geng motor dan basikal.
Kayuhan selalunya bermula dari Bukit Ampang, menyusuri Bukit Hantu lalu ditamatkan di Genting Peras.

Ada yang mengaitkan kisah mistik Bukit Hantu seiring dengan namanya.
Ala, tak ada apa pun. Aku tak pernah jumpa, selama aku lalu sini -monologku dalam hati.
Empangan Semenyih di sebelah kiri kelihatan indah. Biru gelap, tenang dan sedikit berkabus.
Lagu Menanti di Barzakh alunan kumpulan nasyid Far East dimainkan di corong radio Hot FM.
Biasa la. Waktu Maghrib, nasyid akan dimainkan sementara azan Maghrib.

Jantung berdegup kencang,
Menantikan malaikat datang,
Menggigil ketakutan,
Gelap pekat di pandangan,
Selama ini diceritakan,
Kini aku merasakan,
Di alam barzakh jasad dikebumikan.


Timbul insaf dalam diri aku. Air mata keinsafan mengalir turun. Perasaan bercampur-baur.
Antara teringatkan arwah abah dan teringat nasib sakaratul maut yang bakal menungguku. Husnul Khotimah atau Suul Khotimah. Baikkah atau burukkah pengakhiranku?
Asyik melayan perasaan pabila berseorangan. Salman terlentuk tersandar di pintu kereta. Rizky masih nyenyak dibuai mimpi.
Allahu Akbar Allahu Akbar..

Azan berkumandang di corong radio. Seusai azan berakhir, tiba-tiba kabus putih menyerbu di sekeliling kereta.
Putih. Pekat dan semakin memekat. Keseluruhan pemandanganku tertutup akibat kabus putih ini.
Semakin aku tinggikan lampu, semakin penglihatanku terhad. Aku buntu. Aku memandu menggunakan gerak hati dan pengalamanku menyusuri laluan yang berliku ini.
"Allahuma Solli Ala Muhammad Wa 'Ala Ali Muhammad."
Lafaz suci selawat diulang berulang-kali. Titis peluh mula berkumpul di dahi.
Fussshhhh...

Angin bertiup kencang secara tiba-tiba, menerbangkan kepulan kabus putih.
Fuh.. Aku menghela nafas lega.
Jalan berliku-liku di hadapan mula menampakkan wajah. Gaung kiri dan kanan. Peluh di permukaan dahi 
ditekap perlahan menggunakan sapu tangan.

Alhamdulillah. Kelebihan selawat. -bisik hatiku.

Aku memandu melepasi papan tanda sempadan Selangor-Negeri Sembilan. Tidak semena-mena, mataku seakan-akan menangkap sesusuk tubuh. Aku yakin dia wanita!
Busananya kebaya pendek berona putih dan berkain sarong warna lumpur tanah. Di kepalanya, terletak sehelai selendang menutupi rambutnya yang sedikit terjulur keluar.
Eh, sejak pula jalan ni ada orang lalu lalang?

Mainan perasaan aku kah?
Mata aku terus mencari jika ada kenderaan yang tersadai atau rosak di tepi jalan. Kiri. Kanan. Kosong.
Wanita tadi tegak berdiri tanpa memberikan apa-apa isyarat. Terus setia berdiri di sisi tiang papan tanda sempadan sambil menghadiahkan sekuntum senyuman menampakkan baris gigi putih. Manis dan menawan!

"Weh! Kau berhenti kat tengah jalan ni dah kenapa?" Sergah Rizky.
"Allah. Terkejut aku, Rizky. Eh, kau cuba tengok sana tu," sambil aku menunjukkan ke arah wanita itu berdiri dan...

Kosong.
Wanita tadi dah hilang. Yang tinggal hanyalah seketul batu seumpama batu sungai sepanjang satu hasta.

"Eh, tadi aku nampak sorang perempuan cantik. Kau nampak tak Riz?"
"Mengarutlah kau. Tak ada apa pun." Rizky membangkang.
Habis aku nampak siapa tadi?
Perempuan atau gangguan?

Aku terus berteka-teki. Mulut aku kembali berkumat-kamit berselawat.
"Jangan ganggu aku. Jangan ganggu aku!" Salman berteriak di sebelahku.
"Kau dah kenapa mangkuk!" Herdik Rizky sambil ditunjal belakang kepala Salman.
"Ya Allah, aku mimpi. Kita lalu Genting Peras dan jumpa hantu orang-orang lama!" Suara Salman terketar-ketar.

"Kau jangan main-main Man! Kita atas Genting Peras la ni. Tak lawak okay!" Bentak Rizky.
"Selawatlah. Kita lalu tempat dia ni. Waktu Maghrib pulak tu. Dengan kita tak solat lagi," tegur aku.
Tombol gear aku tarik kembali ke posisi D4. Aku terus memandu.
Suasana kembali tenang. Keretaku sunyi sepi. Mungkin mulut masing-masing terus melafazkan kalimah suci.

----
"Alhamdulillah. Selamat pun kita turun Genting Peras."
"Dah tu nak solat mana? Jam pukul 8 dah ni." Salman menilik tepat jam tangan kirinya.
"Baik solat dulu. Sampai Jelebu boleh terus singgah makan sate tulang," kata Rizky sambil tersenyum lebar.

"Eh tu? Orang berjubah berjalan masuk simpang kiri tu? Mesti ada masjid kan?" Salman menuding jari ke arah simpang menuju ke Jeram Gading.
"Ok. Kita ikut je la pak haji tu."
Keretaku terus menuju masuk simpang ke kiri, membuntuti lelaki berjubah, berserban yang terus berjalan.
80 km/jam!

Aku sedikit terkejut dan kaget. Laju juga orang tua ni jalan. Kelajuan keretaku tetap tidak dapat melepasi daya langkahan kakinya.
"Eh, tu ada masjid hijau di seberang sungai tu?" Rizky memuncungkan bibir ke sebelah kiri.
"Masjid?" Soal aku hairan.
"Ye la Jie. Masjid tu. Warna hijau seberang sungai," sokong Salman.
Ada masjid ke sini?

Aku orang Jelebu, tapi setahu aku tiada masjid di kawasan ini.
"Jie. Apa tunggu lagi, park je la kereta bawah pokok tu," cadang Rizky.
Kelibat orang tua berjubah tadi pun sudah tidak kelihatan. Kereta aku diparkir betul-betul di tepi sungai.
Pelik.

Masjid hijau itu terletak betul-betul di seberang sungai, bersebelahan tanah hutan. Seni bina masjid sangat indah diukir bentuk kelopak bunga, bulan dan bintang. Tulisan khat thuluth juga menghiasi setiap ruang dinding masjid. Indah dan halus seni kaligrafi.

Dinding masjid dua tingkat itu berkilauan, seolah-olah bertatah berlian atau kaca, memantulkan cahaya lampu. Permukaan dinding masjid juga lut sinar menampakkan segenap ruang masjid.
Ramai jemaah memenuhi ruang solat. Ada yang berzikir. Ada yang menunaikan solat sunat. Terdapat juga anak-anak kecil yang berlari-lari di sekitar kaki lima tingkat dua masjid.
"Mewah masjid ni." Salman kagum.
"Jie. Tunggu apa lagi tu. Jom solat."

----
Salman selesai mengimami solat kami. Aku sempat berjalan melintasi segenap penjuru masjid. Memang indah.

Sejuk dan nyaman. Walaupun tiada penghawa dingin. Mungkin kesejukan angin semula jadi memberikan pengudaraan yang baik.

Setiap perabot dan rak kayu bewarna kuning keemasan serta tertanam batu-batu berkilauan. Lantai masjid juga lut sinar menampakkan air sungai yang mengalir di bawah masjid.

Subhanallah. -bisik hatiku.
"Assalamualaikum anak bertiga. Jemput makan, kami ada sedikit kenduri tahlil ni. Ada makanan istimewa Jelebu, sate tulang," pelawa seorang pak cik yang berserban, berjubah putih seakan-akan tubuh yang kami ekori tadi.
"Tapi kami nak cepat ni pak cik. Nanti risau pula ibu saya nanti," aku memberi alasan.
"Jamah la sikit. Tak baik nak. Rezeki ni," sambung pak cik tadi.
"Baik pak cik."
"Jemput makan semua."
Bismillahirrahmanirrahim

----

Kring! Kring!
"Assalamualaikum along. Along kat mana tu?"
Kepalaku terasa berat. Aku toleh kiri kanan. Aku sedang terbaring di atas batu kerikil sungai. Anggota wuduk ku basah, seumpama baru saja selesai menunaikan solat Maghrib.
"Waalaikumussalam ibu. Along kat masjid hijau nama apa tah kat Jeram Gading tu," aku menjawab jujur.

Tangan kiri aku terus memicit kepala yang berdenyut-denyut. Deria rasaku melekat rasa pahit dan hanyir.
"Along buat apa kat Jeram Gading tengah malam-malam buta tu? Pukul 2 pagi dah ni!"
"Ibu, jangan risau. Along dengan Salman dengan Rizky ni. Balik Jelebu, depa nak pekena sate tulang."

"Along balik lekaih. Hang ni okay dak ni? Cepat balik."
"Awat bu?"
"Salman dan Rizky yang call ibu sejak pukul 7.00 tadi lagi. Depa kata hang pi tinggai depa tengah kencing kat atas Genting Peras tadi."
"Hahh???"

Telefon pintar terlepas dari genggaman tangan kiri. Tangan kanan aku dimasukkan ke dalam mulut, menarik keluar ketulan hitam merah berlendir. Hanyir, busuk melekat di dalam rongga mulut.
Kepala aku berpinar. Aku sempat menoleh ke arah seberang sungai.
Masjid hijau masih tersergam indah, sambil semua jemaah berdiri dan melambai tangan ke arahku.
"Ta'al, ta'al ya akhi.."
Pandanganku kelam dan gelap. Aku kembali tidak sedarkan diri.

TAMAT
----
Gambar: Sumber carian Google

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.