Showing posts with label Daliana Zainal Abidin. Show all posts
Showing posts with label Daliana Zainal Abidin. Show all posts

Sunday, 14 January 2018

BISIKAN, ADAM - Daliana Zainal Abidin


BISIKAN, ADAM
==================


Jarum jam hampir ke pukul enam petang. Kau masih berteleku di tempat duduk sambil menyiapkan saki-baki tugasan yang tidak akan pernah habis. Siap hari ini, esok akan datang lagi yang lain. Begitulah rutin hidup kau sebagai seorang pekerja yang makan gaji. Kelulusan yang kau pegang cuma ada segulung ijazah dalam fakulti pentadbiran. Mahu menyambung ke peringkat lebih tinggi, kau terpaksa berfikir berpuluh-puluh kali. Sedang ralit membuat tugasan, sesambil itu akal fikiran kau berfikir mana kau nak cari duit tambahan yang lain bagi menampung perbelanjaan kau dan keluarga. 

Bapa beranak dua pun sudah sesak sebelum cukup bulan, apatah lagi mereka yang daif kehidupannya, perolehi anak yang ramai. Barangkali rezeki yang berkat, tidak lupa pada TUhan dan berdoa agar dipermudahkan dalam segala urusan dunia. Sebab itu agaknya perjalanan hidup orang-orang yang terpilih itu lebih mudah meskipun makan dan pakai apa yang ada sahaja.


Kau yang lebih banyak mengeluh itu dan ini, masih tidak bersyukur sudah punya rumah, kereta, perkerjaan tetap, isteri dan anak-anak di sisi. Nikmat apa yang perlu kau dustakan?

“Eh, Adam. Belum balik lagi kau rupanya. OT lagi ke?”

Tegur Rashid yang kebetulan baru keluar dari bilik air. Rashid melepaskan hajat terlebih dahulu sebelum pulang. Mana tahu jikalau tersangkut kesesakkan lalu lintas, tidaklah kau menanggung seksanya pundi kencing menahan sisa kumbahan di dalam kereta. Kuala Lumpur, mana pernah sunyi dari kesesakkan lalu lintas. Dari gelapnya pagi sampailah gelapnya malam, penuh kenderaan.

“Nampaknya macam itulah Rashid. Banyak lagi kerja belum siap. Esok datang lagi yang lain pulak. Kalau dapat habiskan hari ini, sekurang-kurangnya tidak banyak nak hadap yang esok punya.”

Kata kau seraya ditanya. Sedangkan sebenarnya sudah hampir dua bulan kau kerap balik lewat. Selagi belum angka sepuluh malam, selagi itu skrin komputer kau masih terpapar tugasan yang perlu dilunaskan. Pada mulanya kau begitu bersemangat membuat tugasan pada lebihan waktu kerja. Namun semenjak sebulan dua ini, kau kerap letih. Kurang tidur, makan tidak menentu malahan perhatian terhadap keluarga pun sedikit terjejas.

Penampilan diri yang dahulu kemas dan teratur bertukar biasa-biasa sahaja. Baju dan seluar kerap kali kau guna yang sama dari minggu ini sampailah ke minggu depan dan seterusnya. Tiada pakaian baru, pakai apa yang ada sehingga nampak pudar warnanya. Isi perut, perbelanjaan dan keperluan anak serta isteri kau dahulukan dari diri sendiri. Tapak kasut pula semakin menghaus. Kalau dahulu kau keluar bekerja menaiki kereta, sekarang motor kapcai peninggalan arwah orang tua mu menjadi kenderaan utama dalam mencari rezeki.

“Aku bukanlah nak cakap apa Adam, iyalah aku pun bukan berada di tempat kau. Jerit perit hidup, kau yang menanggung dan aku sebagai orang luar senang aje bercakap. Tapi itulah, kerja tu kerja jugak Adam, tapi kesihatan dan masa untuk keluarga perlu juga kau titik beratkan. Maaflah kalau apa yang aku cakap ni buat kau terasa hati. Aku tak ada niat apa-apa cuma sebagai rakan sekerja dan sahabat kau, itu sahajalah yang dapat aku nasihatkan.”

Kau sekadar tersenyum. Masalah yang kau hadapi kau telan seorang diri. Agak janggal mahu menceritakan kisah hidup yang kau lalui sekarang. Keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, barang keperluan menjadi mahal. Kadang-kadang kau buat sistem budjet konon berjimat cermat, kos perbelanjaan hampir-hampir melebihi daripada kadar pendapatan. Kenaikkan gaji tidak menentu, tahun ini kalau dapat sikit apa yang boleh kau suarakan? Kalau banyak, hutang masih keliling pinggang. Namun kau masih tahu untuk berterima kasih kerana ada juga kenaikkan tangga gaji walaupun sekadar lima puluh ringgit.

“Nak buat macam mana Rashid. Isteri aku baharu sahaja berhenti kerja dua bulan lepas. Jadi aku kenalah mencari duit lebih sedikit. Anak-anak tak lama lagi nak masuk sekolah. Eh, kau tak nak balik lagi ke?”

Itulah sahaja sedikit perkongsian rasa yang dapat kau luahkan. Cepat-cepat kau cuba menukar topik supaya mulut ini tidak terlepas menceritakan segala bebanan yang kau tanggung demi tidak melihat anak dan isteri kelaparan.

“Aku nak baliklah ni. Hujan pun dah berhenti. Kalau tidak, pukul lima setengah tadi aku dah cabut. Seperti yang aku kata tadi Adam, seimbangkan hal kerja dan kehidupan kau ya. Aku jalan dulu, kalau ada apa-apa jangan segan-segan minta tolong. Apa guna sahabat kan?”

Rashid menepuk-nepuk belakang kau dan kau pula rasa sebak. Ingin sahaja kau menjerit bahawa perit dan jerihnya mencari sesuap nasi apatah lagi kau tidak mahu menyusahkan sesiapa. Segalanya kau pendam sendirian sehinggakan kau rasa begitu tertekan.

*****

“Abang, beras dengan lauk dah nak habis. Nanti jangan lupa singgah beli barang dapur sikit balik dari kerja tu ya.”

Pesanan yang kau terima dari isterimu dan segera kau memeriksa dompet kecil yang hampir lusuh dan terkoyak. Tinggal not lima puluh ringgit, dalam akaun entah berapa lagi baki masih ada. Kau tidak mampu untuk bersuara. Iyakan sahaja permintaan isteri kau sebab tidak mahu mereka kelaparan.

“Iyalah, ada apa-apa lagi nak dipesan tak? Abang balik lewat sikit hari ni. Ada kerja nak kena buat.”

Kau sedih sebenarnya sebab kerap kali membiarkan isteri kau yang menguruskan segalanya tentang rumah dan perihal anak-anak. Hujung minggu pun kadang-kadang kau masuk ke pejabat. Kau tahu kau sudah kerap abaikan mereka. Kurang member perhatian dan tidak cukup masa untuk keluarga. Namun apalah daya kau, untuk mencakupi isi perut banyak perkara yang terpaksa kau korban.

“Itu sahajalah bang buat masa ni. Oh ya, bulan ni dapat gaji, jangan lupa ya kita keluar beli barang anak-anak. Sekolah nak buka tidak lama lagi ni. Kalau lambat-lambat takut tak sempat pulak. Bulan Disember ni banyak urusan nak dibuat.”


Lagi sekali dada kau ditebak. Masa berlalu pantas, tidak sedar anak kau semakin membesar, mereka jarang bertemu muka dengan kau. Awal pagi kau keluar, mereka masih lena dan apabila kau pulang mereka sudah terlena. Air mata mula bergenang, kau rasa sempitnya dada.

Suasana sunyi di pejabat. Akhirnya kau menuju ke bilik air dan mengambil whuduk. Kau mengerjakan perkara wajib dan akhirnya di atas sejadah kau merintih meluahkan segalanya.

“Ya Allah, aku tidak kuat. Peritnya menjalani kehidupan di zaman yang penuh dengan dugaan dan ujian. Ya Allah, KAU murahkanlah rezekiku, permudahkan segala urusan dan hutang-hutang yang ada.”

Teresak-esak kau mengadu domba. Tiba-tiba kau seakan terdengar bisikan yang menggerunkan. Kau toleh kiri dan kanan, tiada sesiapa yang berhampiran dengan kau. Cepat-cepat air mata kau lap dan sejadah dilipat.


‘ADAM!’

Sekali lagi kau terdengar panggilan itu. Sebentar tadi halus sahaja kedengaran bunyinya kini semakin keras dan sedikit lantang. Kau bingkas bangun dan menuju ke tempat duduk. Jam baru sahaja pukul lapan malam. Sedikit tersasar menunaikan solat Maghrib. Begitulah keadaan kau sejak akhir-akhir ini, solat sering kali kau lewatkan. Jika dahulu, habis sahaja azan terus kau menghampar sejadah sujud kepada Yang Maha Esa.

Akhirnya kau buat keputusan, malam ini kau pulang awal sedikit. Suis komputer kau tutup dan kau berlalu pulang. Berjalan kaki menuju ke parkir motorsikal yang terletak jauh sedikit dari pejabat. Kelihatan hanya tinggal beberapa buah motorsikal yang tinggal. Segugus kunci kau keluarkan dari beg sandang yang kau bawa. Punat kunci kau pulas dan akhirnya motor kau gerakkan.

Sampai satu simpang kau terdengar lagi suara bisikan itu memanggil seolah-olah berada di belakang kau sahaja. Paling, kosong tempat duduk belakang. Kau bukan takut tapi kau rimas, bisikan demi bisikan memanggil nama kau berulang kali.

"Laju lagi bawa motor kau ni Adam!"

Bisikan itu seakan memujuk kau agar bertindak tidak wajar. Kau hampir-hampir memulas minyak dari desakan yang kau dengar. Kau tersedar kembali, langsung pulasan itu kau perlahankan. Kau mengambil keputusan tidak mengambil tahu dengan bisikan tersebut.

"Kau takut mati ke Adam? Ha Ha Ha"

Kau buat tak tahu, kau hampir sampai ke destinasi. Agak keletihan tetapi kau masih gagahkan diri untuk cepat sampai ke rumah. Mata hampir-hampir pedih menahan kantuk. Dengan sisa tenaga yang masih ada, kau sampai di rumah.

“Assalamualaikum...”

Kau membuka pintu dengan perlahan. Terkejut anak-anak kau melihat kau pulang sedikit awal malam ini. Berlari bekerjaran mereka berdua mendapatkan kau. Isteri kau yang bergegas ke depan terkejut melihat kepulangan kau.

“Waalaikumsalam. Eh, awal abang balik. Tadi kata balik lewat? Abang beli tak barang-barang yang saya kirim? Malam ni dapat goring telur kicap sahaja. Lauk habis langsung.”

Kau duduk pun belum, keletihan membuatkan badan kau benar-benar penat. Anak-anak yang mendekati tiba-tiba kau rasa rimas. Soalan isteri kau pula buat kau sesak. Duduk pun belum menghilangkan lelah, sudah dipalu dan dirapati anak-anak.

"Marah mereka Adam. Mereka ini selalu menyusahkan engkau sahaja bukan?"

Bisikan itu masih kedengaran. Emosinya makin menggelegak dan hati kau mula terasa panas.

“Tepilah! Ayah penatlah! Korang menyibuk dekat sini buat apa! Pergi masuk bilik korang, belajar!”

Kau bertempik dan anak-anak ketakutan. Pertama kali disergah sebegitu dan isteri kau datang merapati. Anak-anak kau menyorok belakang isterimu, takut akan kelakuan kau yang tiba-tiba berubah mendadak. Dahulu, kau seorang bapa yang penyayang dan penat macam mana sekalipun kau tetap melayan kerenah mereka dan tersenyum. Tetapi tidak pada malam ini, jauh benar sifatmu.

"Bagus, kau marah sahaja sesiapa yang menyesakkan fikiran kau!"

“Apa abang ni. Balik nak marah anak-anak pulak. Diaorang ni bukan dapat selalu jumpa abang tau. Sekurang-kurangnya sambutlah anak-anak yang hari-hari diaorang tunggu abang. Sampai terkantuk-kantuk menunggu abang balik.”

Kau semakin rasa panas di hati. Mulut isteri kau yang becok ingin sahaja kau tampar sekuat hati. Kau bangkit dan menuju ke bilik.

“Humaira dan Adib masuk bilik ya. Biar ibu pujuk ayah. Penat agaknya ayah tu. Main dalam bilik masing-masing ok. Kalau dah penat, terus masuk tidur.”


Kau terdengar isteri kau memujuk anak-anak yang kau tengking sebentar tadi. Kau memejamkan mata dan timbul sedikit penyesalan kerana terpedaya pada bisikkan tadi. Kurang sabar menahan amarah.

“Abang ni kenapa tiba-tiba balik rumah nak marah-marah. Anak-anak tu takut dengan abang. Sudahlah budak-budak tu jarang nampak abang ada dekat rumah. Saya ni yang selalu pujuk budak-budak ni kena faham yang abang keluar kerja cari duit. Kot ye pun tegurlah anak-anak tu elok sedikit. Saya tak pernah tengok abang macam ini tau.”

Kemarahan kau baru hendak reda, masuk sahaja isteri kau berleter terasa panas kembali. Tangan kau begitu ringan untuk menampar pipi mulus itu. Yakni teman sebantal kau selama sepuluh tahun. Kau bangkit dan mula hilang arah pertimbangan.

‘Ya, tampar pipi tu Adam! Tampar sekuat hati kau! Biar dia rasa betapa sakitnya hati kau yang kau tanggung seorang diri. Bebankan hidup kau! Kau bunuh mereka pun bagus!’


Bisikan itu mempengaruhi emosi kau. Semakin lama kau semakin tidak berdaya dan hampir membenarkan bisikan itu mengawal dan menguasai fikiran kau. Kau mula mendekati isteri kau, bisikan itu terus-terusan mendesak kau. Tangan kau angkat tinggi dan wajah itu kau tampar sekuat hati. Tersengkur tubuh itu akibat dari impak tamparan yang kau hadiah.

“Jangan memekak boleh tak? Aku penat-penat balik kerja korang semua buat aku rimas! Mintak itu ini, korang ingat aku cop duit! Kau, elok-elok kerja pergi berhenti! Menyusahkan aku tak habis-habis. korang semua lebih baik mampus cepat! Sial betullah!”

Kasarnya bahasa kau lemparkan. Hati isteri kau sanggup kau sakiti. Kata-kata kau begitu menusuk kalbu. Lontaran suara kau yang langsung tiada kelembutan. Berlari isteri kau menuju ke bilik anak-anak tetapi amarah kau masih berleluasa. Rambut isteri kau, kau tarik sekuatnya sehingga terjerit kesakitannya. Awal perkahwinan, kau tidak pernah berkasar dengannya.


“Kau nak lari ke mana!”

Kau mengejar, pisau di dapur pantas kau ambil. Isteri dan anak-anak kau ketakutan di balik pintu yang terkunci. Kau bagaikan orang gila menetak-netak pintu sampai berlubang-lubang. Menendang-nendang pintu dan hampir roboh. Isteri dan anak-anak kau meraung dan merayu supaya kau tersedar dan menghentikan perbuatan yang menakutkan. Kau sudah tidak peduli, makin kau dengar tangisan mereka, makin membuak nafsu kau ingin menamatkan riwayat mereka. Tendangan terakhir pintu bilik yang hanya papan biasa berjaya kau robohkan. Biasan pisau pemotong daging yang tajam kau lihat begitu mengasyikkan.


*****

Kau bangkit dan terpisat-pisat dari lena yang panjang. Badan kau terasa melekit dan berbau hanyir. Kau memerhatikan keadaan sekeliling dan mata kau terbelalak melihat tiga tubuh yang bergelimpangan tidak berkutik. Kau mendapatkan ketiga-tiga tubuh yang sudah tidak bernayawa. Darah likat memenuhi ruang di dalam bilik anak-anak kau.

Isteri kau, hancur mukanya ditetak bertubi-tubi. Anak-anak kau pula tubuh kecil itu kau pisahkan tangan dan kaki mereka. Dada mereka penuh dengan tetakkan. Kau meraung melihat kejadian berdarah hasil dari tangan kau sendiri. Bisikan itu berjaya mempengaruhi kau, memperdayakan emosi kau dan akhirnya kau mengikut rentak itu. Kesemua kesayangan hilang nyawa dalam satu malam!

Jeritan dan tangisan mereka yang menggila agar kau berhenti dan sedarkan diri tidak lagi kau peduli. Apa yang membuatkan kau semakin berkobar-kobar merampas nyawa mereka. Kau puas perlakukan mereka sebegitu akibat hilang dari pertimbangan. Kau lebih teruja dengan bisikan demi bisikan yang mengarahkan kau membuat perkara yang sedemikian. Seolah-olah mereka tiada nilai!

“Maafkan abang, Suria. Abang dah bunuh awak. Bunuh anak-anak kita!”

Maafkan ayah wahai anak-anakku. Ayah tak sengaja! Ayah... ayah... tidakkkkkkkk!”

Pisau pemotong daging itu kau ambil dan akhirnya sekali hirisan yang laju, kau terkutik dan pandangan kau semakin kelam. Air mata yang basah tidak mampu menghidupkan kembali mereka yang telah kau ambil nyawanya.

"Bagus, semuanya mati!"

Siapa lagi mangsa seterusnya? Kau?

"Ya, kau yang baca kisah ini, mahu aku bisikan pada telingamu?"



*****
TAMAT
Suntingan dan gambar: Nil
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negera.

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Friday, 12 January 2018

BAHAGIA - Daliana Zainal Abidin


BAHAGIA

Anna (12 tahun)
Rizman (37 tahun)
Nazira (30 tahun)
Zahirah (35 tahun)


Rizman, seorang lelaki yang berkerjaya dan berjawatan tinggi. Keramahannya disenangi oleh pekerja bawahannya. Umur yang maaih muda, Rizman sudah mempunyai syarikatnya sendiri. Hasil penat lelahnya berbaloi. Namun, disebalik kejayaannya, ada pengorbanan yang dituntut.

Anna, kanak-kanak yang berusia 12 tahun merupakan anak tunggal Rizman. Sering bersendirian di rumah mahupun di sekolah. Anna lebih gemar membuat halnya sendiri. Hubungan Rizman dan Anna tidak rapat. Rizman terlalu leka dengan kerjayanya sehingga lupa dengan kewujudan Anna di dalam hidupnya.

Nazira hadir di dalam kehidupan mereka berdua. Nazira telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal-hal di rumah dan juga Anna oleh Rizman. Pembantu muda yang ramah, berperwatakkan menarik dan senantiasa menurut perintah apabila disuruh, menyenangkan hati Rizman. Lama-kelamaan Rizman jatuh hati dengan kelembutan Nazira.

Janji sehidup semati bersama arwah isterinya, Zahirah terkubur begitu sahaja. Rizman menyatakan hasrat untuk memperisterikan Nazira mula mendapat tentangan hebat dari Anna.

"Ayah tak tahu perangai Mak Cik Nazira yang sebenar. Anna lebih tahu!"

Rizman seakan dipukau dan tidak mengendahkan amaran Anna. Baginya, hati sudah sebulat buat Nazira. Perasaan yang tidak sama ketika dia bersama Zahirah.

"Ini keputusan muktamad ayah! Sama ada Anna suka ataupun tidak, perkahwinan ayah dengan Mak Cik Nazira akan diteruskan! Ini hak ayah! Ibu sudah lama mati! Wake up Anna! Life must go on with no matter what!"

Rizman melengking dan Anna begitu kecewa. Menganggap ayahnya berlaku curang meskipun ibunya telah tiada. Kubur arwah ibunya masih merah, ayahnya sudah pasang angan-angan untuk bernikah sekali lagi. Enam bulan yang lalu, ibunya terlibat dengan kemalangan kereta ketika ingin mengambilnya pulang dari sekolah. Akibat daripada kemalangan itu, Anna senantiasa menyalahkan dirinya. Jika dia tidak berkeras memaksa ibunya datang, tentu tidak akan tragedi tersebut.

Anna bungkam. Dunianya yang sudah pun gelap, semakin ditelan pekatnya hitam.

Nazira tersenyum meleret. Tidak sia-sia usahanya cuba meraih perhatian majikan mudanya itu. Ketika Zahirah masih ada, matlamatnya terbantut dan terpendam begitu sahaja. Kini, penghalangnya sudah tiada, cita-citanya harus dilunaskan! Bahagia yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

"Kau harus terima kehadiran aku! Nyawa ayahmu berada di hujung jariku! Kau buka mulut, nyawamu akan aku tamatkan dengan lebih sadis dari arwah ibumu!"

Anna cukup tertekan dengan ugutan itu. Tiada siapa yang sudi mendengar ceritanya. Zahirah juga tidak percaya sikap sebenar Nazira. Depan nampak sahaja baik, tetapi dibelakang seperti manusia yang bertopengkan syaitan! Rakan-rakan di sekolah menganggap dirinya budak pelik. Anna kemurungan setiap hari. Rasa marah terendam di dalam hati.

'Sebelum aku, kau bunuh... nyawamu juga menjadi taruhan!'

*****

"Ibu... Anna nak cakap sikit. Petang nanti ibu kena ambil Anna dekat sekolah. Rahsia ni boleh cerita di dalam kereta ibu sahaja. Datang tau, janji dengan Anna?"

Aku sedikit mendesak. Rahsia yang aku simpan sedalam-dalamnya. Pembantu rumah yang diupah oleh ayah bukanlah pembantu yang baik. Ketika ibu dan ayahnya keluar bekerja, Nazira akan bertukar watak. Kononnya lemah lembut, bersopan santun, rupanya memuja syaitan dalam diam! Pernah sekali aku merakam aktivitinya namun terbongkar. Telefonku menjadi mangsa. Nazira tersenyum sinis.

Bila aku suarakan pada ayah dan ibu, aku pula dimarahi. Sebelum aku laporkan, rupanya Nazira terlebih dahulu konon mengakui terjatuhkan telefon bimbitku! Sedangkan hanya dia dan aku yang tahu perkara sebenar. Dasar penipu!

"Iyalah... tapi ibu sibuk sikit hari ni. Takut tak sempat pula. Kenapa tiba-tiba minta ibu ambil Anna hari ni? Kan Pak Samad ada boleh ambilkan?"

Pak Samad rupanya sekutu dengan Nazira. Orang tua tidak sedar diri, kubur kata mari masih lagi membuat perkara terkutuk. Nazira memberikan tubuhnya sebagai galang ganti dengan menarik Pak Samad menjadi pengikut pujaan syaitannya itu!

Pak Samad juga sudah berubah!

"Apa sahaja dua beranak ini bualkan. Boleh ayah tahu?"

Rizman menghampiri. Bisikan antara Anna dan Zahirah terhenti. Namun sayang, Nazira mendengari perbualan itu tanpa Anna sedari.

"Tak boleh! Rahsia!"

Rizman tertawa dan menjungkitkan bahunya. Zahirah tersenyum. Anna hanya mendiamkan diri dan menyambung sarapannya. Nazira memanggil Pak Samad menuju ke tempat persembunyian pemujaaan mereka apabila tiga beranak itu menuju destinasi masing-masing.

"Samad! Kau kena buat sesuatu. Budak jahanam tu nak beritahu rahsia kita! Kau uruskan Zahirah. Si Anna tu tahu lah bagaimana aku nak kerja kan!"

Tingkah Nazira bengang. Sudah diberi amaran, namun Anna masih tidak endahkan. Cara lembut tidak menjadi!

"Sayangku Nazira, apa sahaja untukmu akan aku turutkan. Kereta Zahirah itu nanti pandai-pandailah aku uruskan nanti. Sebelum itu, aku mahu upah seperti biasa."

Pak Samad menayangkan giginya putih bersih itu.

'Orang tua ini, nafsu mengalahkan binatang! Menyesal pula buat tawaran tetapi hanya dia sahaja yang boleh bantu aku lunaskan cita-cita aku!'

Omel Nazira sendirian.

"Jalankan tugas dulu baru aku bagi upah. Pastikan nyawa Zahirah dan budak celaka itu melayang! Bila sudah dipastikan berdua itu mampus, kau buatlah sesuka hati kau!"

Tanpa Pak Samad sedari, tubuh yang diratah bukanlah tubuh Nazira tetapi belaannya. Masakan dia boleh mahu menyerah begitu sahaja? Pak Samad itu yang bodoh, kalah dengan nafsu serakah.

*****

Anna sengaja mengekori Nazira dan Pak Samad pada lewat tengahari itu. Secara kebetulan dia menaiki van sekolah awal. Selalunya dia duduk berteleku di perpustakaan. Namun, hari ini diubah jadualnya tidak seperti selalu.

"Apa yang dibuat oleh dua orang ini semasa ketiadaan kami di rumah?"

Omel Anna sendirian. Secara diam-diam dia membuntuti dari belakang. Tubuhnya yang kecil senang untuk menyorok dibalik pokok.

Sampai di satu kawasan, alangkah terkejutnya Anna menyaksikan perlakuan kedua manusia itu.

Pak Samad didampingi sesuatu, manakala Nazira masih duduk bertapa sambil memuja.

"Ibu... ayah..."

Anna jatuh pengsan.

*****

Tragedi kemalangan yang berlaku meragut nyawa Zahirah. Walau bagaimanapun, Anna terselamat dari tragedi yang menimpa. Selama tiga bulan Anna koma di hospital. Pada mulanya tiada harapan. Namun, Allah mengatur segala-galanya.

Setelah tersedar dari koma dan hampir pulih, Anna pulang ke rumah. Masih terngiang-ngiang difikiran Anna ketika kemalangan maut itu terjadi.

Entah bagaimana break kecemasan tidak berfungsi. Zahirah terbabas apabila sesuatu melintasi kenderaannya selepas mengambil Anna pulang dari sekolah. Rahsia yang cuba Anna sampaikan tidak kesampaian.

Anna murung dan sering menyalahkan dirinya sendiri. Rizman pula tidak dapat menerima hakikat. Namun, lama-kelamaan dia melupakan perkara hitam itu. Harinya senantiasa didampingi Nazira dan hati sunyinya terisi. Anna tidak dapat menerima kehadiran Nazira sebagai ibu tirinya.

Selepas kejadian yang menimpa Zahirah, Pak Samad hilang begitu sahaja. Apabila ditanya oleh Rizman, Nazira mengatakan Pak Samad berhenti serta merta kerana terlalu sedih di atas pemergian Zahirah.

Sedangkan Pak Samad sudah menjadi santapan makhluk yang dipuja oleh Nazira.

Kini giliran Anna bakal menyusul!

*****

Di hari persandingan Rizman dan Nazira hanya dihadiri rakan kenalan serta kaum keluarga Rizman sahaja. Nazira dikatakan anak yatim piatu dan berwalikan hakim sahaja dalam upacara ijab dan kabul. Anna tiada perasaan semasa hari bahagia Rizman dan Nazira. Masih dia ingat kata-kata sinis ibu tiri barunya itu.

"Rizman sudah berjaya aku takluki. Kau kena patuh pada arahanku. Sekali kau ingkar, padah menantimu! Ingat Anna, nyawa kalian berdua dalam tanganku."

Anna menyimpan dendam jauh dilubuk hatinya. Dia tidak pernah takut akan ugutan Nazira

"Aku tak takut pada ugutan kau, manusia lahanat!"

Entah dari mana datang kekuatan Anna untuk mematahkan kata-kata Nazira.

Nazira bengang. Mahu sahaja mulut gadis itu ditampar sekuat hati. Namun tidak diteruskan rancangan apabila kelibat Rizman menghampiri. Tiba-tiba dia melurut rambut lurus Anna.

"Sayang... tengok Anna ni. Dia tak mahu hadiri majlis resepsi sebab katanya teringat-ingat arwah Zahirah. Puas saya pujuk tapi tidak berjaya. Saya kalau boleh nak Anna ni jadi penyeri majlis kita."

Anna terkejut dengan lakonan yang dipaparkan oleh Nazira. Sedih melihat ayahnya buta dalam menilai siapa Nazira yang sebenarnya.

"Anna, ayah mohon jangan rosakkan majlis ini ya. Kalau sayangkan ayah, Anna hadir."

Rizman memeluk anak gadisnya yang satu ini. Terbit rasa bersalahnya kerana sering mengabaikan gadis kecil itu. Bertambah pilu apabila anaknya itu kehilangan ibu angkatnya.

Anna terasa sakit hati.

Nazira tersenyum sinis.

*****

Anna dijadikan anak angkat kepada Zahirah dan Rizman. Zahirah tidak dapat melahirkan zuriat atas faktor-faktor kesihatan yang merbahayakan nyawanya.

Rizman akur dengan permintaan Zahirah.

Anna diambil ketika umurnya tiga bulan. Masih bayi dan tidak mengerti apa-apa. Zahirah menyayanginya seperti anak sendiri. Hubungan Anna dan Zahirah begitu rapat. Apabila kehilangan Zahirah, Anna terasa begitu sunyi dan sedih.

Setiap malam Anna menatap gambar keluarga mereka. Zahirah, Rizman dan dirinya terbias keluarga yang cukup bahagia.

Sebulan perkahwinan ayahnya bersama Nazira, hidup Anna umpama neraka. Setiap hari dia dikerah melakukan kerja-kerja rumah. Kesibukkan Rizman mengaburi matanya. Nazira pandai bermain kata-kata.

Tidak tertanggung deraan mental kepadanya, Anna bertekad, nyawa wanita itu akan diambil dari tangannya sendiri.

"Kau belum tahu gila aku bagaimana, Nazira!"

****

Rizman terpaksa meninggalkan rumah atas urusan kerja. Kali ini, trip perniagaan memakan selama tiga hari. Peluang terbuka buat Anna untuk meragut nyawa wanita itu.

Sewaktu makan malam disediakan, air minuman Nazira diletakkan ubat pelali haiwan yang dibeli oleh Anna secara diam-diam. Apabila ditanya oleh jurujual untuk tujuan apa, Anna memberikan alasan atas kiriman ayahnya yang ingin pergi berburu. Meskipun tidak masuk dek akal, gadis bawah umur dipinta untuk membeli ubat pelali itu.

Air oren yang sejuk itu diteguk oleh Nazira. Anna hanya diam menunggu masa. Pisau pemotong daging telah siap tersedia.

Nazira mula terasa hendak pitam. Kepalanya sakit dan terasa berpusing-pusing. Tidak lama kemudian, dia rebah. Anna mengheret tubuh wanita itu sekuat hati.

Sebuah bilik kosong menjadi paksi tubuh Nazira dikelar dengan kejam. Darah memercik memenuhi ruang bilik itu. Isi perut Nazira terburai. Biji matanya dikorek. Bibir Nazira ditakuk bertalu-talu. Telinganya juga tidak terlepas, dipotong kedua-dua belah.

Kesemua jari milik Nazira dikerat-kerat. Sikunya ditoreh-toreh sehingga ternampak putihnya tulang. Kaki Nazira juga ditebuk-tebuk.

Tubuh Nazira dijadikan pelampias semua amarahnya. Mayat Nazira dikerjakan sehingga tiada rupanya yang asal.

Anna puas! Anna tertawa riang. Pisau pemotong daging ditusuk perlahan-lahan ke jantungnya.

"Ibu, tunggu Anna dan ayah ya."

Anna menghembuskan nafasnya terakhir dengan seribu kepuasan.

Makhluk pujaan Nazira memgambil kesempatan menjilat banjir darah di dalam bilik itu. Sudah lama ianya tidak diberi makan.

****

KUALA LUMPUR, 19 May 2017 - Kejadian ngeri kes pembunuhan seorang wanita dan remaja di dalam keadaan sadis. Mayat wanita itu tidak dapat dikenal pasti kerana wajahnya telah hancur.

Remaja yang mati berhampiran dikenali sebagai Anna walau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan yang teruk. Sewaktu dijumpai, gadis itu mati dengan pisau pemotong daging yang tertusuk ke dadanya.

Sehingga kini kes pembunuhan ngeri ini masih berada di dalam siasatan. Pihak polis mengalu-alukan jika ada saksi berkaitan tragedi tersebut menampilkan diri membuat laporan bagi membantu siasatan.

Sekian, laporan saya Hashimah Hashim. TV3.

*****

Rizman jatuh terjelepok di dalam kamar mandi di dalam hotel. Muntah darah akibat dari keracunan. Anna sempat meletakkan racun ke dalam minuman ayahnya sewaktu mereka bertiga duduk sarapan pagi.

*****

TAMAT
Suntingan dan Gambar: Gongpal Topek
Karya ini adalah hakmilik penulis dengan kebenaran untuk disiarkan di Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Thursday, 28 December 2017

MEDINA - Daliana Zainal Abidin


MEDINA
Karya : Daliana Zainal Abidin


Medina merenung lama susuk tubuh yang diikat. Pandangannya kosong. Pisau belati dimain-mainkan di jarinya. Tubuh itu cuba meronta dengan kekuatan yang ada namun hanya sia-sia.

Medina menghampiri, hulu belati dicucuk sedikit ke arah kulit muka si empunya diri. Menjerit apabila diperlakukan sebegitu. Medina tidak peduli, semakin asyik hulu belati itu menari-nari di wajah mangsa pilihannya.

Erangan kesakitan yang menerjah tidak membuatkan Medina berhenti dari perbuatannya malah semakin teruja. Darah likat yang hanyir semakin memenuhi ruang wajah si mangsa. Kulit muka dihiris secara membabi buta dan disiat-siat satu persatu. Jeritan yang bingit membuatkan Medina bertambah geram.

Bibir mangsa digunting dengan rakus dan darah semakin laju membasahi ruang katil. Menggelitik seketika si empunya diri menahan seksaan yang berterusan.

"Saaaaaakiiiit! Toooolooonnggg hen... hen... hentikan. Aaa... aaaaku min... minnn... taa... maa... maa... afffff."

Rayuan demi rayuan tidak Medina endahkan. Dendam menguasai diri dan sudah lama dia teringin agar mangsa yang dibencinya merasai seksa yang berpanjangan. Itu masih sedikit, Medina masih belum puas. Dia senyum meleret.

***

Tajul tersedar. Kesakitan dan keperitan yang dirasai tidak tertanggung. Matanya sudah kabur dan tidak dapat melihat dengan baik ekoran darah membanjiri seluruh wajah. Tajul cuba mencari kekuatan. Namun Tajul menjerit. Kali ini benar-benar terasa bagaikan nyawanya hampir melayang.

Medina masih belum berganjak. Dia masih setia berada di hadapan Tajul. Seksaan dihentikan apabila Tajul jatuh pengsan. Medina tidak merasa puas sekiranya mangsa yang diseksa terdiam kaku. Medina galak mendengar terpekik terlolong rayuan dari mangsanya.

Medina mengambil tukul besi lalu dihentakkan ke jari kaki Tajul apabila menyedari mangsanya sudah tersedar. Semalaman sudah Medina menunggu sambil tukul besi bermain-main di tangannya.

Hentakkan pertama, Medina memukul sekuat hati. Tinggi tukul besi itu dinaikkan. Kemudian dihempaskan ke arah kaki kanan milik Tajul. Bingit terdengar jeritan Tajul, Medina naikkan sekali lagi tukul di tangannya.

Hentakkan kedua terarah ke kini kiri milik Tajul. Terbenam kepala tukul besi tersebut dan Medina teruja. Tajul menggelitik sekali lagi dan hampir hilang suaranya. Seksa menahan kesakitan tidak terbendung. Tajul mahu sahaja nyawanya ditamatkan terus.

Bibir yang hancur akibat digunting dengan rakus, isinya terjatuh ke atas badan Tajul. Medina mengutip dan dilemparkan ke tepi. Suara Tajul serak akibat menjerit dan melolong terlalu lama. Pekikan itu tidak akan didengari oleh sesiapa, pondok kecil terperosok jauh ke dalam hutan.

"Allah! Baik... kaaau... kauuuuu... bunuhhhhh... aaaakuuu..."

Tersekat-sekat Tajul bersuara. Pandangannya mulai kelam kembali dan sekiranya dihentak sekali lagi kakinya itu, dia pasti akan jatuh pengsan.

"Diam!"

Bentak Medina. Medina mengangkat tukul besi itu semula dan dihentak kaki kanan dan kiri Tajul berulang kali sehingga hancur tulang belulangnya. Tajul sudah tidak bermaya hendak menjerit. Nyawanya bagaikan di hujung tanduk ketika ini. Akhirnya Tajul pengsan sekali lagi.

Medina masih juga belum puas. Kesakitan dan dendam di dalam hatinya masih belum berakhir. Tajul layak diperlakukan sebegitu. Medina menyimpan dendam dan cara seksaan cukup lama.

Sepuluh tahun lamanya dendam dan kebencian terhadap Tajul tersemat di dalam jiwa raganya. Setiap kali Tajul melintas di hadapannya, pasti pelbagai cara seksaan bermain-main di fikirannya meskipun ketika itu dia terlalu fokus melakukan tugasan. Senyum sinis apabila terlihat wajah Tajul yang cukup meluat untuk dipandang oleh Medina.

***

Di tangan Medina, pengorek tanah pula bertukar ganti. Kali ini, bahagian mata Tajul menjadi sasaran. Mata Tajul yang suka memandang jelek ke arahnya seolah-olah menjijikkan. Medina masih menanti Tajul sedar semula. Sudah dua hari Tajul tidak sedarkan diri.

Medina bangkit, menuju ke luar pondok. Menyusur ke anak sungai yang berdekatan. Air ditadah menggunakan gayung kecil berwarna merah. Apabila sudah dipenuhi air, Medina bangun semula dan menuju ke dalam pondok kecil itu.

Di dalam pondok memuatkan satu katil bujang yang mudah alih dan dilipat. Medina menghampiri ke arah Tajul. Bekas gayung yang dipenuhi air, Medina simbahkan ke muka Tajul. Darah kering yang menyelaputi wajah Tajul basah semula.

Tajul tersedar kembali dan pada kali ini dia benar-benar terasa amat lemah. Sudah tidak mampu untuk berbicara akibat penderaan yang dialami. Tajuk dapat merasakan nyawanya pasti akan melayang tidak lama lagi. Air mata darah mengalir dan mengenai luka-luka teruk di wajahnya.

Tajul sudah tidak berdaya untuk merasai sakit dan perit. Tiba-tiba kelopak matanya disapu lembut. Seakan dibersihkan dengan cermat. Tajul cuba membuka matanya, terasa sakit tidak terperi. Tajul cuba melihat wajah siapakah yang melakukan seksaan terhadapnya.

Tajul tidak dapat melihat dengan baik. Wajah itu mendekati dan dia mengamati seboleh yang mungkin. Tajul terkesima.

"Meee... diiii... naaaaaa?"

Susah payah Tajul untuk bersuara. Terkeluar nama itu dari mulutnya.

"Syhhhh..."

Pengorek tanah diambil dan Medina terus mengorek mata Tajul yang sudah dibersihkan sebentar tadi. Kali ini Tajul sekadar mengumam menahan seksanya yang dialami. Medina mengorek mata kiri Tajul sedalam-dalamnya.

Kebencian yang menular membuat Medina hilang pertimbangan. Sekali lagi Medina mengorek pula mata kanan milik Tajul dan mencacak pengorek itu sepenuh hati. Terperosok pengorek itu sehingga ke belakang kepala Tajul.

Medina melihat Tajul nyawa-nyawa ikan. Badan Tajul diterbalikkan dan kini belati tajam bertukar ganti. Belakang badan Tajul dicacak bertalu-talu tanpa henti. Akhirnya Tajul menghembuskan nafas terakhir. Medina menjerit-jerit bagaikan tidak siuman.

"Mampus kau! Mampus! Disebabkan kau mulut lancang dan menabur pasir dalam periuk nasi aku, ini balasannya! Kau suka menabur fitnah mengatakan aku ini dan itu. Kau kata aku begitu dan begini sehinggakan semua orang memandang serong terhadap aku!"

Medina melampiaskan segala amarahnya. Dada Tajul pula dipacak belati tajam itu tanpa henti. Tajul sudah menjadi mayat namun kesakitan hati Medina masih belum berhenti. Meskipun mayat, Medina tidak puas untuk menyeksa.

"Kerana kau, aku diberhentikan kerja 24 jam! Majikan jenis apa kau ini! Sepuluh tahun aku memendam rasa dan menyimpan benci terhadap kau, sial!"

Medina menangis meluahkan rasa. Selama sepuluh tahun dia berkhidmat ditemani suka-duka yang tanggung seorang diri. Mayat lelaki di hadapannya diheret ke luar pondok. Dihancur-hancurkan di atas tanah dan Medina masukkan ke dalam guni plastik berwarna putih.

Guni itu ditarik sekuat hati Medina dan ditanam ke dalam lubang yang dalam di tepi anak sungai tersebut. Perancangan yang sudah lama Medina rancangkan.

***

"Medina!"

Namanya dipanggil nyaring. Hampir semua rakan sepejabat memandang ke arahnya. Medina terasa tidak selesa dipanggil sebegitu.

Ketuanya, Tajul Ariffin bergegas meluru ke arahnya. Medina rasa tida sedap hati, kali ini apalagi kesalahan yang cuba dilemparkan ke arahnya.

"Awak faham ke tidak? Email tu awak baca ke tidak?!"

Bagaikan halilintar suara majikannya melengking nyaring. Seluruh aras lima itu terdengar pekikannya. Medina terasa wajahnya panas bagaikan disimbah dengan bara api. Malu tidak terkata, apalah salahnya jika majikannya itu memanggil dan memarahinya di dalam bilik.

"Hoi! Dah pekak ke? Kenapa aku tanya kau tak menjawab hah?! Kenapalah syarikat boleh ambil orang bodoh dan bebal macam kau ni berkhidmat?"

Medina masih mendiamkan diri. Kolam matanya hampir sahaja pecah. Setiap minggu ada sahaja kesalahan yang sengaja Tajul libatkan dirinya. Sedangkan Medina tidak pernah bersuara atau membantah arahannya.

"Muka sahaja cantik, buat kerja macam orang bangang! Benda kecil macam itu pun kau tak boleh nak selesaikan ke? Tak pepasal aku kena panggil dengan orang atasan! Celaka betul!"

Sakit dan perit terasa di dalam dada Medina.

Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menikam dada Tajul itu dengan rakus. Medina sudah jelek asyik dipersalahkan serta dimalukan di hadapan rakan sepejabatnya. Namun keinginannya sekadar bicara dalaman.

"Aku nak kau berhenti 24 jam! Kau boleh kemas semua barang-barang kau. Mulai esok, aku tak nak tengok muka di pejabat. Kau faham?!"

Tajul berlalu pergi. Mata-mata yang memandang kelam-kelibut balik ke tempat masing-masing. Ribut yang berlaku tadi benar-benar memalukan! Medina berdendam!

Medina berjanji, Tajul Ariffin pasti akan menerima pembalasan yang setimpal!

***

Medina merias diri dengan bersolek sederhana. Temujanji makan malam sudah diatur bersama Tajul pada malam ini. Tajul bersungguh manakala Medina ada rancangan tersembunyi. Ubat tidur diletakkan siap-siap di dalam tas tangannya.

Medina kembali setelah dua tahun dia berhenti daripada syarikat itu. Sengaja dia mengumpan Tajul yang sejak dari dahulu mengejar dirinya. Apabila ditolak lamarannya, Tajul marah dan sebab itu Medina senantiasa dicari kesalahannya.

Siapa yang mahukan si Tajul yang sudah layak digelar bapa menjadi suaminya. Medina tidak mahu merosakkan rumah tangga wanita yang lain. Medina memahami betapa sakitnya bermadu oleh sebab itu lamaran bekas ketuanya itu ditolak secara baik.

Kini Medina kembali mahu membalas dendamnya. Tajul diperhatikan dan dibiarkan sahaja dahulu tangan itu merayap di bahu Medina dengan sabar.

"Kan bagus kalau dari dulu awak terima lamaran dari saya. Pasti kita tidak akan bermusuh. Kerjaya awak pun terjamin.”

“Jawatan awak pun saya boleh naikkan."

Tajul mengusap perutnya yang buncit. Sesekali kepala yang botak itu diusap perlahan. Senyuman gatal dilemparkan kepada Medina.

Tanpa Tajul sedari, Medina akan memerangkapnya pada malam temujanji yang pertama dan terakhir ini. Tajul tersenyum dan Medina pura-pura membalasnya. Sakit hati Medina terpaksa ditahan-tahan.

"Sekejap ye sayang. I nak ke bilik air."

Tajul memohon diri. Dikesempatan yang ada ubat khayal dimasukkan ke dalam minuman Tajul. Medina tersenyum puas. Dendamnya akan terlunas.

"Kau akan mampus Tajul durjana!"

-TAMAT-
Karya : @daliana zainal abidin
Suntingan Gambar : DeeFen DF

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.