Showing posts with label Maria Rose. Show all posts
Showing posts with label Maria Rose. Show all posts

Saturday, 24 March 2018

PAGOH - Maria Rose


PAGOH
Karya Oleh: Maria Rose

======================

Ini adalah kisah benar yang terjadi kepada saya yang tak dapat dilupakan.

Hari tu hari Khamis... entah kenapa sejak pagi hati berdebar-debar je, sekaligus terbayang wajah tua mak yang sedang sakit di Hospital Pakar Johor Bahru. Nasib kami sekeluarga amat baik, abang kami salah seorang doktor pakar di sana. Abang telah berkeluarga dan menetap di Johor Bahru. Jadi segala urusan untuk mak mendapatkan rawatan di hospital berjalan lancar. Hati kami adik-beradik sentiasa berdoa semoga mak sentiasa dalam keadaan sihat. Dua hari sebelum itu mak telah menjalani pembedahan lutut dan sudah pun dibawa pulang ke rumah abang.

Pukul 5.00 petang, hati makin berdebar dan bimbang bila dapat panggilan dari abang. Abang suruh kami semua adik-beradik, turun ke JB malam itu jugak. Kami semua rasa cemas...menurut abang, mak terpaksa dimasukkan ke hospital semula kerana mak diserang sakit jantung secara tiba-tiba. Kasihan mak bertimpa-timpa malang datang.

Sudahhhh, hati saya tak keruan... cepat-cepat minta kebenaran untuk balik awal dari bos. Sampai di rumah, suami masih di tempat kerja. Hari tu suami kena syif malam hingga jam 7.00 pagi esoknya. Bincang punya bincang, suami tak boleh pergi sebab tiada pengganti tugasnya malam tu. Macam mana pun, saya minta izin untuk pergi malam tu juga bawa anak-anak. Kakak suruh saya telefon suaminya kalau-kalau boleh temankan saya. Almaklum,perjalanan yang jauh makan masa 5-6 jam memandu lebih-lebih lagi waktu malam. Kakak sememangnya dari awal sudah ada di JB kerana menemankan mak masa operasi lutut tempoh hari. Akhirnya abang ipar dan anak perempuan sulung ikut sama. Lima orang dalam kereta, kami bertolak ke JB sesudah usai Isyak lebih kurang jam 8.30 malam. Saya lebih suka memandu daripada tercongok jadi 'co-pilot' sebab abang ipar kalau bawak kereta, batu kerikil tepi jalan itu pun boleh dikira satu-satu (umpama jer tu). Saya tak marah kalau pembaca kata saya brutal, saya memandu tidaklah brutal sampai kemana pun... cuma brutal orang perempuan lah bila bawa kereta. Tu jer!


Dari KL ikut highway utara selatan. Wakti itu highway hanya siap dibina hingga Tangkak. Jadi dari situ saya ikut jalan lama exit Tangkak/Pagoh. Kebiasaan setiap kali kalau ke JB kami akan pergi pada siang hari. Kawasan Pagoh masa tu sepanjang jalan tiada penempatan penduduk.

Yang ada hanya pokok-pokok kelapa sawit dan semak-samun yang boleh dikatakan tebal jugalah. Masa tu dah banyak cerita yang saya dengar dari pemandu-pemandu teksi yang berulang-alik dari JB ke KL dan sebaliknya. Cerita-cerita kurang enak semuanya. Cuma mereka berpesan sentiasa berjaga-jaga di satu kawasan jalan yang sunyi berhampiran dengan tanah perkuburan. Saya tak pasti samada tanah perkuburan Cina atau Melayu.

Ada juga yang kata itu asalnya tanah perkuburan zaman Jepun dulu. Arwah abah saya dulu bekerja sebagai pemandu bas di Bandar Melaka, jadi ramailah rakan-rakan sebaya Cina dan Melayu yang bawa teksi ke JB. Dari merekalah abah dapat tahu kejadian-kejadian malang berlaku pada kawan-kawannya. Ada yang meninggal dunia sebab terlanggar lembu, padahal memang tak ada langsung penduduk di situ. Ada juga seakan-akan berlanggar dengan lori parkir tepi jalan cuba mengelak sampai terjerumus dalam ladang.

Paling cuak bila tiba-tiba terlanggar orang melintas sekitar jalan sunyi tu, tapi bila berhenti tak ada pulak orang yang dilanggar itu. Mereka kata mereka dengar suara orang menjerit bila kena langgar. Tak tahulah benar ker tidak.

Sepanjang jalan masuk daerah Pagoh memang sunyi sepi. Gelap-gelita sebab tiada lampu jalan. Kawasan ladang yang amat luas. Kereta berselisih pun satu-satu jer. 3km perjalanan baru jumpa sebuah kereta. Sepanjang perjalanan, abang ipar diam jer. Tidur tidak, bercakap pun tidak. Anak-anak dah tidur di seat belakang. Dari KL tadi rancak mulut dia bercerita ini itu, katanya biar kita berbual nanti mata tak mengantuk. Masuk jer kawasan Pagoh, abang ipar langsung senyap, tak berkutik. Saya pun tak kata apa-apa sebab cemas dengan situasi yang terlalu gelap, jadi kena lebih berhati-hati memandu. Laju tetap laju. 120km/jam laju juga tu. Hati nak cepat sampai Yong Peng.

Tiba-tiba angin kencang datang. Pokok-pokokkelapa sawit meliang-liuk ditiup angin. Daun-daun kering berterbangan simpang siur. Saya katakan pada abang ipar, “nak hujan agaknya bang! Kuat ribut nih!”

Abang ipar langsung tak berkutik, menyahut cakap saya pun tak. Dalam hati berkata-kata; mungkin dia tertidur kot. Tak dengar aku cakap apa. Kesian dia. Biarlah, asalkan aku tak mengantuk. Susah juga memandu dalam keadaan kelam dengan daun-daun dan debu ditiup angin melayang-layang depan windscreen. Saya nyalakan lampu tinggi agar lebih terang jalan di hadapan.

Gelap-gelita jalanraya di depan saya. Tiba-tiba saya terpandangkan seperti sehelai kain batik buruk melayang depan windscreen berserta bunyi nyaring yang menyeramkan. Serasa terhenti jantung saya masa tu. Objek tu teris ke belakang kereta. Nekad, walau apa pun terjadi, saya tak akan jeling cermin tepi mahupun untuk melihat ke belakang. Lagi laju saya tekan pedal minyak.

Menggigil tangan memaut stereng hingga tak perasan kereta berbabas naik ke bahu jalan, terhengguk-hengguk jadinya. Dalam hati ingat Allah. Segala ayat-ayat suci yang terlintas dalam kepala saya baca. Mata saya dah terbeliak memandang jalan depan. Bersedia menerima dan bertahan apa saja yang akan berlaku. Tak berani dah nak toleh kiri kanan atau belakang. Jantung rasa nak gugur. Darah dah naik ke muka. Panas. Kaki kaku, tangan juga tak terdaya nak paut stereng. Terasa seperti kereta meluncur sendiri. Ya Allah, apa dah jadi?

ALLAHUAKBAR.!!!!....ALLAHUAKBAR!!!!.... bantulah hambaMu yang lemah ini Ya Allah! Di saat itu juga... “buukkk..." bunyi benda berat jatuh atas bumbung kereta. Tidak lama kemudian, pasir bertaburan jatuh di cermin depan, tepi dan belakang. Apa dah jadi Ya Allah? Selamatkanlah kami semua. Ke mana saya paut stereng kereta ni? Jalan masih lurus rasanya.

Lemah semua sendi. Tegak segala bulu roma, kembang rasanya badan saya seperti terapung-apung. Saya hanya nampak pasir berlumba-lumba turun dari atas bumbung kereta. Apa pulaklah mala petaka ni?. Subhanallah... selamatkanlah kami Ya RabbilAlamin. Sempat saya menoleh ke kiri. Saya lihat abang ipar dah pegang pintu kereta dan sebelah tangan bertahan atas dashboard.

Saya tak tahu di mana saya memandu masa tu. Mulut saya tak berhenti menyebut Ya Allah, Ya Allah...ayat kursi entah berapa kali saya baca, tapi rasanya ayat kursi yang saya baca lintang pukang, berulang-ulang. Saya baca sampai betul lidah menyebut. Badan saya dah mula menggigil kesejukan, tapi kenapa badan saya berpeluh.

Ya Allah… kenapa kereta saya makin lama makin perlahan? Kaki saya jadi kaku tak terdaya nak menekan pedal minyak. ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR... itu ajer yang saya laungkan sungguh-sunggu, tapi suara tak dapat keluar. Tiba-tiba terbit satu semangat dari dalam diri. Terus saya menekan minyak bila dah terasa kaki jejak di lantai kereta.

Entah berapa laju saya memandu, saya tak ingat dah. Lepas Yong Peng kami terus ke Ayer Hitam. Masih tak bercakap-cakap dengan abang ipar. Sampai Ayer Hitam kami berhenti untuk minum. Saya pun rasa nak berehat sebentar buat mengumpul semangat yang hilang.

Ketika duduk minum dan melayan anak-anak makan, saya bertanya kepada abang ipar samada abang ipar perasan atau tidak kejadian di Pagoh tadi. Abang ipar beritahu mulut dia seperti terkunci. Tak boleh bercakap. Macam ada orang tutup mulut dia.

Tapi tak berhenti dalam hati abang ipar mengaji sebaik membelok ke jalan menghala ke Pagoh. Pasir-pasir yang jatuh atas bumbung kereta pun dia perasan. Memang abang ipar dengar jelas dan nampak pasir bersepah jatuh dari atas kereta meleleh turun depan windscreen. Rupa-rupanya abang ipar pun dalam ketakutan yang amat sangat. Dia pun berpeluh-peluh rupanya. Mujur anak-anak tidur. Kalau tidak riuh rendah agaknya dalam kereta.

Kami bertolak dari Ayer Hitam ke Simpang Renggam jam dah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Hish, biar betul... jadinya kami betul-betul berada di kawasan Pagoh tepat tengah malamlah agaknya. Malam Jumaat pulak. Kolot juga tu. Orang kampunglah katakan. Nak kata saya tak mahu percaya pada perkara-perkara karut ni, susah nak jawab. Sebab perkara itu berlaku betul-betul di luar jangkaan saya. Kalau itu hanya perasaan saya jer, kenapa abang ipar saya juga dalam ketakutan? Dia tak dapat bercakap, namun sentiasa membaca ayat-ayat Al-Quran dalam hati.

Lebih kurang jam 3.00 pagi baru kami sampai JB dan terus ke Hospital jumpa abang. Anak-anak kami abang suruh sambung tidur di bilik rehat Dr.'on-call'. Esoknya barulah kami bercerita kepada adik-beradik yang lain tentang kejadian malam tadi.

Serik saya... memang serik. Selepas kejadian tu, saya tidak lagi memandu waktu malam bila ke JB/KL. Adik-beradik yang lain pun begitu. Apa-apa hal pun kami konvoi sebelah pagi. Satu pengalaman yang amat mengerikan dan tak dapat nak saya luahkan rasa perasaan saya ketika saat-saat kejadian tu.

Wallahualam. Hany Allah yang mengetahui.

TAMAT 
====================
Suntingan: Ahmad Rusydi
Gambar: nadey

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Sunday, 11 March 2018

ANDANG API - Maria Rose


ANDANG API
Nukilan: Maria Rose
====================

Dulu, ketika awal 1960-an, di mana waktu itu aku masih belasan tahun, tinggal di kampung bersama ummi dan nenek. Ummi bekerja sebagai cikgu sekolah rendah di kampung Tangga Batu. Ummi menjadi cikgu semenjak sebelum Jepun memerintah Tanah Melayu lagi (sekarang Malaysia).

Bersawah padi dan berkebun adalah pekerjaan utama orang-orang kampung aku. Paling aku seronok, bila musim menuai dan membanting padi selesai. Ketika ini, musim belalang ketik (belalang padi) membiak dengan banyaknya.

Belalang ketik ini bersaiz kecil dari belalang kunyit, berwarna coklat dan hijau muda. Belalang ketik ini juga merupakan salah satu sumber makanan yang kaya dengan nutrisi dengan cara digoreng, digulai atau pun dibuat rendang.

Orang-orang kampung dan sanak saudara beramai-ramai turun ke sawah untuk menangkap belalang padi. Penangkapannya hanya dilakukan pada waktu malam, yakni waktu belalang kurang aktif.

Kami memasuki petak sawah yang telah dituai padinya, bergerak mara perlahan-lahan sebarisan ala-ala tentera sambil menangkap belalang yang hinggap pada batang-batang padi. Belalang kami masukkan dalam pundi kain yang tergantung di leher masing-masing.

Di tangan pula memegang andang api. Andang ini diperbuat daripada pelepah daun kelapa yang sudah kering. Satu batang pelepah kelapa dipunjut dan diikat-ikat dan dinyalakan api dihujungnya.

Suasana amat meriah dengan gelak ketawa dan usik-mengusik sesama sendiri. Inilah saat paling digemari oleh muda mudi, peluang baik untuk memikat gadis yang berkenan di hati.

Macam-macam perkara lucu berlaku. Kadang-kadang belalang terbang melantun ke muka orang sebelah. Maka, makin meriah suasana dengan gelagat makcik-makcik yang melatah dek belalang hinggap pada muka mereka.

Nun jauh di hadapan kumpulan kami, dari arah bertentangan, lebih kurang jarak lima petak sawah yang dah bertuai padinya, jelas kami nampak seseorang bersendirian.

Kelihatan sebatang andang api, gayanya pula seolah-olah mengutip belalang ketik juga. Kami semua tertanya-tanya siapalah gerangan orang itu. Kenapalah sorang-sorang menangkap belalang ketik tanpa kawan.

Kami berteriak memanggilnya untuk menyertai kami. Peliknya, apabila kami berteriak, api andang orang tu tiba-tiba terpadam. Kami memutuskan untuk menyambung aktiviti kami tadi.

Namun, tatkala kami sibuk menangkap belalang, andang api menyala semula dan orang itu terbongkok-bongkok sama mengutip belalang. Ah!!! mungkin orang tu tak mahu diganggu.

“Agaknya orang dari sebelah 'baruh', pedulikanlah.” Pesan makcik yang melatah tadi.

Sebenarnya dalam hati makcik tu dah punya rasa tak enak tetapi dia masih mengunci mulut. Pesannya kepada kami anak-anak dara sunti ni, jangan tegur lagi, biarkan. Jangan sesekali tegur orang tu semula. Kami akur.

Belalang yang banyak menyebabkan kami melupakan hal tadi. Semakin leka kami menangkapnya. Dalam pada itu, kami nampak orang itu dah dekat dengan kumpulan kami. Jaraknya cuma selang satu petak sawah sahaja!

Memang jelas, orang itu berpakaian putih. Terdapat kain lilit putih atas kepala. Wajah dia kelam, tak jelas kelihatan sebab andang api yang dia pegang terlalu tinggi atas kepala. Tetapi matanya kelihatan seperti cahaya kunang-kunang. Badannya lebih kurang dua kaki lebih tinggi dari kami.

Masing-masing terkaku, senyap tak bersuara. Secara tiba-tiba, dengan tidak semena-mena angin bertiup. Terasa sejuk sangat sampai boleh menggigil dibuatnya. Suasana sepi. Hanya bunyi padi yang belum disabit bergesel satu sama lain.

Kami sudah berfikir bukan-bukan. Kelibat orang itu agak meragukan. Jari jemari mulai kaku, kedua kaki aku rasa berat, seolah-olah terpasak pada tanah. Tidak mampu untuk berganjak walau sedikit.

Muka masing-masing dah pucat lesi. Andai ditoreh sekalipun, pasti tak keluar darah agaknya. Bulu tengkuk mula meremang. Peluh pula memercik di muka masing-masing walaupun suasana ketika itu dingin.

Maklong tiba-tiba meloncat dua langkah ke depan. Andang di tangan dicampaknya. Dia bertepuk tangan tiga kali.

"Abang aji.. Kalau betul jasad macam kami, mari lah sama-sama. Tapi kalau bukan, jangan kacau anak cucu, kami tumpang lalu sahaja!” Jerit Maklong.

Jeritan Mak Long hanya dipandang sepi. Dalam suasana malam itu, kelihatan lelaki itu terbongkok-bongkok mengutip belalang. Sepertinya dia tidak menghiraukan sapaan Mak Long tadi.

Kira-kira lima depa dari Mak Long berdiri, andang api lelaki itu tiba-tiba terpadam. Kelibatnya seperti angin, melayang jauh ke tempat mula-mula kami nampak dia tadi.

“Hihihihihihi…….”

Hilaian yang menggerunkan bergema di kawasan sawah itu. Dengan serta-merta andang apinya menyala semula, nun jauh di tempat tadi. Apalagi, masing-masing tak cukup tanah lari lintang pukang balik rumah.

Putih tapak kaki bagai tak jejak bumi sebab ketakutan. Sesampai di rumah, kulihat nenek duduk bertenggek atas tangga batu di depan rumah. Menunggu aku pulang agaknya.

Nenek hairan melihat aku termengah-mengah. Dengan keadaan terketar-ketar, aku ceritakan satu-persatu.

"Kan dah pesan jangan suka keluar malam Jumaat!” Tegas nenek bersuara.

“Ya Allah, kenapalah aku terlupa malam ni malam Jumaat.” Aku mengomel sendiri. Geram dengan kelalaian sendiri yang lupa tentang hari.

Aku berlari naik atas rumah dan ke tempayan air di dapur. Air dicedok dan kujirus ke kaki. Selesai membasuh kaki dan mengambil wuduk, aku terus masuk bilik. Berharap aku dapat melelapkan mata cepat-cepat dan melupakan peristiwa tadi.

Keesokannya harinya,aku berjumpa semula dengan kawan-kawan yang sama-sama mengutip belalang malam tadi. Sudah semestinya peristiwa malam tadi menjadi topik perbualan kami.

Rupa-rupanya, ada yang sampai terbarai kain batik masa lari pulang, ada juga yang terkencing, yang tersungkur sebab tersadung tunggul pokok pun ada. Mujurlah tak ada sesiapa yang cedera.

Malam esoknya, kami pergi lagi. Bertambah besar kumpulan orang kampung kami ajak pergi tangkap belalang. Kali ini, setiap orang wajib bawa tin kosong dengan kayu sebesar lengan.

Tin kosong tu akan kami ketuk kuat-kuat berkali-kali sekiranya peristiwa sama berlaku lagi. Itulah peristiwa yang tak pernah aku lupakan. Seronok ada, takut juga tak terkata.

Masih segar dalam ingatan perasaan takut itu namun aku tak pernah serik untuk mengutip belalang ketik.

Perihal tentang andang api pada malam itu, aku sendiri tidak pasti tentangnya. Mungkin teguran buat kami si gadis yang keluar malam.

-TAMAT-
===================================
Suntinga: Ratika
Gambar: Dikmang
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.