Showing posts with label Dhaifullah Az-Zayyani. Show all posts
Showing posts with label Dhaifullah Az-Zayyani. Show all posts

Tuesday, 13 March 2018

ESRAMUDRA (SAMBUNGAN ESTODANIA) - Dhaifullah Az-Zayyani



ESRAMUDRA (SAMBUNGAN ESTODANIA)

==============

Ayyan merasakan tubuhnya diangkat seseorang. Dua tangan diletakkan di bawah badannya lalu badannya terangkat. Lengan kirinya tersentuh dada seorang lelaki yang tidak berbaju. Ayyan membuka sedikit matanya. Pandangannya menangkap wujud seorang lelaki berjambang sedang memandang ke hadapan. Hidung lelaki tersebut sedikit kemek. Rambutnya agak kerinting separas bahu.

Dia sedang diusung menuju ke Laut China Selatan. Pelahan-lahan, bahagian belakang badannya menyentuh air. Ayyan mula terfikir bahawa dia akan dilemaskan di Laut China Selatan pada malam itu. Dia pasrah sekiranya malam itu merupakan detik akhir hayatnya walaupun dia belum menyempurkan wasiat arwah datuknya. Ayyan menutup matanya semula. Tangan kanan lelaki yang sedang mengangkatnya digerakkan ke bahagian belakang kepala sehingga tubuh Ayyan sedikit terjatuh. Bahagian belakang kepala Ayyan terasa ditekan-tekan. Dalam, dan sakit. Ayyan akhirnya tidak sedarkan diri. Terkulai lemah dilengan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

Disember 2014, Pangkin Utama Istana Estodania.
Sejam selepas Azan Asar.
PERMAISURI ISABELLA memegang kembali paha kanan Farihah. Terasa semakin panas. Yakinlah dia bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan fuqaha baharunya itu.


Degupan jantung Farihah semakin kencang. Rahsia dirinya kini seperti telur di hujung tanduk. Jika Permaisuri Isabella terus mendesaknya membuka niqab, dia tiada pilihan lain selain daripada membunuh permaisuri Estodania itu. Mungkin dia akan berjaya menghabisi hayat permaisuri manusia di hadapannya itu, tetapi dia tidak mungkin dapat membebaskan diri daripada dibunuh oleh pemimpin-pemimpin Estodania yang sememangnya menjadi musuh bangsanya sejak berabad lamanya itu.

“Apakah kamu keberatan jika beta ingin melihat wajah kamu?” desak Permaisuri Isabella lagi.

Farihah hanya mendiamkan diri. Dia tidak berani bersuara kerana dia yakin suaranya juga sudah berubah menjadi Nilakendra semula.

Farihah tidak ada pilihan, kuku jarinya mula diruncingkan di sebalik jubah labuh yang dipakainya itu. Untung dia berjaya membunuh permaisuri Estodania berbanding mati katak. Bilah-bilah kukunya diwujudkan tajam. Dia mula berkira-kira menyusun strategi. Dia akan mengelar leher Permaisuri Isabella itu, lalu meninggalkan jasad Farihah di situ. Kemudian dia akan mengubah wujudnya menjadi seekor burung lalu terbang meninggalkan Estodania. Tetapi, dia pasti gagal menembusi dinding ghaib yang melindungi kota musuhnya itu.

“Farihah!” bentak Permaisuri Isabella. Tangannya menampar paha Farihah.

Tiba-tiba pintu pangkin dibuka. Terkocoh-kocoh muncul seorang bocah separas pinggang. Kulitnya berwarna biru dan anak matanya membundar berkaca. Iris matanya sepadan dengan warna biru kulitnya. Farihah segera membatukkan dirinya. Kuku runcingnya dimasukkan kembali ke dalam daging. Berkali-kali Farihah terbatuk.

Permaisuri Isabella terkejut dek kedatangan bocah biru yang tiba-tiba itu. Seperti ada perkhabaran penting yang hendak disampaikan. Dia segera memalingkan pandangan ke arah bocah biru itu. Matanya masih dipicingkan memandang Farihah dari ekor matanya.

“Ada apa Medicakk?” tanya Sang Permaisuri. Sekuntum senyuman dihadiahkan kepada Medicakk. Terlompat-lompat bocah biru itu melihat sambutan mesra permaisuri kesayangannya. Balung biru yang menegak di belakang kepalanya sehingga ke bahagian pinggang beralun-alun manja. Dia sengaja menunjukkan aksi kanak-kanak comel di hadapan Permaisuri Isabella kerana dia tahu permaisuri itu suka kepada benda-benda comel.

“Maaf andai kiranya Medicakk mengganggu pertemuan Sang Permaisuri bersama fuqaha….” ujaran Medicakk terhenti apabila terpandang Farihah sedang membongkok terbatuk. Timbul rasa kasihan di hati kecilnya.

“Fuqaha demam?” tanya Medicak. Balung panjang di belakangnya layu. Semua mata tertumpu kepada Farihah.

“Kamu demam, Farihah?” soal Permaisuri Isabella pula. Tangannya diletakkan di dahi Farihah. Masih terasa bahang panas seperti tadi.

“Tidak mengapa. Kamu pergi istirahat. Mungkin tubuh kamu masih penat dengan perjalanan semalam,” saran Permaisuri Isabella. Dia terpaksa menangguhkan hajatnya untuk bersoal-siasat dengan fuqaha baharu itu walaupun hatinya membungkam kuat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan Farihah.

“Terima kasih, tuanku. Patik undur diri,” ujar Farihah lalu meluru masuk menuju ke peraduannya meninggalkan Permaisuri Isabella bersama Medicakk. Suaranya sedikit parau. Permaisuri Isabella hanya tercengang.

“Ada apa kamu ke sini?” ujar Permaisuri Isabella sambil mengangkat tubuh kecil Medicakk. Jin perempuan itu diletakkan di ribanya. Dia menganggap Medicakk seperti anaknya sendiri memandangkan dia masih belum dikurniakan cahaya mata oleh Yang Maha Esa.

“Baginda sultan berkenan hendak bertemu Sang Permaisuri. Ada keperluan mendesak ujarnya,” ujar Medicakk. Tutur katanya kedengaran seperti Bahasa Melayu klasik. Jin ini sudah mampu berasimilasi dengan bahasa dalam yang manusia tuturkan. Permaisuri Isabella terkidum kecil.

“Sultan yang mana satu?” tanya Permaisuri Isabella lagi. Tangannya dimain-mainkan pada balung panjang Medicakk.

“Keduanya, Sang Permaisuri,” jawab Medicakk.

Permaisuri Isabella menarik nafas panjang. Jika kedua-dua sultan memanggilnya datang mengadap, maksudnya ada perkara penting yang perlu dibicarakan antara mereka bertiga.

Sebagai pemimpin tertinggi Estodania, beban yang digalaskan di bahu mereka sangat berat kerana mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kemakmuran seluruh Nusantara, bukan sahaja Estodania. Mujurlah mereka masih berpegang kepada tali Allah sebagai penguat semangat. Apa yang mereka lakukan kini, sebagai satu jihad untuk menjaga kesucian Islam dan menyelamatkan iman-iman manusia dan jin daripada terpesong.

Estodania, hanyalah satu kota yang manusia dan jin wujudkan sebagai manifestasi penerus dakwah Rasulullah. Menyebarkan Islam ke seluruh dimensi dan mengumpul sebanyak yang mungkin manusia-manusia dan jin yang beriman kepada Allah. Ancaman agama dasawarsa kini terasa sangat mencabar. Permaisuri Isabella jadi semakin kagum dengan ketabahan dan kegigihan Rasulullah S.A.W dahulu ketika Islam mula bertapak di bumi ini. Kesungguhan para sahabat menyebarkan Islam ke segenap alam turut dijadikannya teladan untuk meneruskan ibadah yang sangat tinggi nilainya itu. Sebagai hamba, Permaisuri Isabella juga mendambakan redha Allah, pahala dan Syurga. Kemakmuran dan kemajuan Estodania kini, tidak akan berlaku tanpa redha dan pertolongan daripada Allah. Untuk membangunkan kota semaju Estodania, sudah pasti banyak halangan yang terpaksa ayahanda-ayahandanya hadapi. Mereka hanyalah penerus legasi lama dahulu.

“Medicakk, kamu tak perlulah panggil bonda dengan Sang Permaisuri. Panggilan itu panjang sangat. Kamu tidak penat menuturkannya?” ujar Permaisuri Isabella. Pesanan yang disampaikan Medicakk diabaikan sebentar.

“Jadinya? Medicakk harus panggil apa?” tanya Medicakk. Kakinya yang tergantung digoyang-goyangkan. Usapan tangan Permaisuri Isabella pada balungnya terasa mendamaikan. Dia rasa sangat disayangi oleh permaisuri dua bangsa itu.

“Panggil bonda cukup. Kamu seperti anak bonda. Lagipun kamu sudah lama hidup di Estodania ini berbanding bonda,” ujar Permaisuri Isabella.

Medicakk didukungnya seperti seorang bayi. Tubuh Medicak yang kecil itu terasa ringan dan mudah dimuatan dalam kendongan tangannya. Mungkin juga kerana Medicakk adalah jin, jadi jisim badannya tidak seberat manusia biasa. Padahal, usia Medicakk jauh lebih tua berbanding dirinya. Kakinya diatur menuju ke singgahsana istana untuk bertemu dengan kedua-dua sultan Estodania. Sebentar lagi, perkhabaran gempar pasti akan didengarinya.

PERMAISURI ISABELLA melangkah masuk dengan mendahulukan kaki kanan. Medicakk telah diarahkan untuk menjaga Farihah. Hatinya masih kuat mengatakan bahawa Farihah bukanlah demam biasa. Cuma dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan kerana dia risau kelak dia menjatuhkan fitnah kepada anak didik Imam Syahriyan itu.

Di singgahsana, ada tiga kerusi ditempatkan. Setiap satunya akan diduduki oleh dirinya dan juga kedua-dua raja. Matanya hanya terpandang suaminya sahaja. Dia tidak melihat wujud raja bangsa jin di mana-mana sudut singgahsana. Kerusi yang dikhaskan untuk raja itu juga terlihat kosong.

“Assalamualaikum, kanda,”ucap Permaisuri Isabella sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan suami kesayangannya itu. Tangan suaminya dikecup.

“Mana Aminuddin?” tanya Permaisuri Isabella sambil melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah kiri suaminya. Jubahnya yang labuh dikemaskan ke tepi kerusi.

“Saya di sini. Maaf, terlupa memunculkan diri dalam hijab Permaisuri,” ujar Sultan Amin. Suaranya kedengaran dari arah kerusi kosong yang terletak di sebelah kanan suaminya. Dengan penuh keajaiban, menjelmalah seorang lelaki yang tampak sebaya dengan suaminya, Sultan Iltizam. Sultan Aminuddin segak mengenakan busana pendekar Melayu berwarna putih. Wujudnya seperti seorang manusia sempurna. Hanya bahagian alur hidunya sahaja tidak ada jika dibandingkan dengan manusia.

Permaisuri Isabella masih kagum melihat kesaktian yang berlaku di hadapan matanya sebentar tadi walaupun dia sudah kerap kali menyaksikannya. Setiap kali ada pertemuan seperti ini, Sultan Aminuddin akan menjelmakan diri dalam hijabnya. Permaisuri Isabella semakin kagum dengan kekuasaan Allah.

Sesungguhnya, hijab dan ubah fizik adalah salah satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada bangsa jin. Sultan Aminuddin pula terpaksa mewujudkan dirinya di hadapan mata mereka berdua kerana sebagai manusia biasa, kemampuan Sultan Iltizam dan Permaisuri Isabella terbatas untuk melihat alam ghaib. Mereka hanya mampu melihat jelmaan-jelmaan yang diwujudkan oleh sahabat mereka dari alam sebelah itu. Begitulah cara mereka berkomunikasi. Perbezaan dimensi tidak membataskan persahabatan mereka. Demi menjaga kesucian Islam, Sultan Aminuddin dan suaminya bersetuju untuk menjalin persahabatan demi menegakkan syiar Islam di bumi Nusantara itu.

“Tidak mengapa, Amin. Saya faham. Maaf menyusahkan kamu,” ujar Permaisuri Isabella.

“Baiklah, memandangkan semua dah ada di sini, kita boleh mulakan musyawarah,” ujar Sultan Iltizam sambil menepuk-nepuk pahanya.

Sultan Amin dan Permaisuri Isabella akur. Mereka merapatkan diri pada kerusi. Sultan Iltizam menekan beberapa punat yang terletak di lengan kanan kerusinya. Kemudian, ketiga-tiga kerusi mereka terpusing ke belakang perlahan-lahan sebelum terturun ke bawah, masuk ke dalam lantai. Layaknya seperti mereka sedang duduk di atas lif yang sedang menurun ke bawah.

Mereka dibawa ke satu ruang yang terletak di pusat istana yang betul-betul terletak di bawah singgahsana diraja. Ruang itu dilengkapi dengan teknologi-teknologi moden. Hiasan dalaman ruang itu jelas berbeza dengan bahagian atas istana yang lebih klasik dengan sentuhan-sentuhan budaya melayu lama.

Beberapa monitor komputer sedang terpasang menunjukkan statistik-statistik yang berkaitan dengan hal ehwal sosioekonomi Estodania dan Nusantara. Di bahagian tengah ruang itu, terhampar satu hologram kota Estodania yang jelas menunjukkan setiap rinci yang berlaku di Estodania saat itu secara langsung. Di bahagian belakang ruang itu, tertulis satu mushaf yang dihadiahkan oleh salah seorang pendekar lama yang banyak membantu nenek moyang mereka menegakkan syiar Islam di Nusantara. Kalimah La Ilaha illallah jelas terpampang di hadapan mereka saat ini. Elevasi kerusi mereka berhenti betul-betul di hadapan hologram kota Estodania. Bacaan ummul kitab memenuhi segenap ruang.

“Selamat datang amirul-amirul Islam semua,” ujar suara mesin cerdas yang bertindak sebagai penjaga ruang rahsia tersebut sebaik sahaja bacaan Al-Fatihah selesai.

“Terima kasih NASA,” ujar Sultan Iltizam lalu bangun dari kerusi menuju ke arah hologram Estodania di hadapannya. Langkahnya diikuti oleh Sultan Aminuddin dan Permaisuri Isabella.

“NASA, tunjukkan pesanan yang kita terima minggu lepas,” titah Sultan Iltizam kepada mesin cerdas itu.

“Baik, tuanku,” ujar NASA.

Hologram biru yang berada di hadapan mereka bertukar rupa. Relung-relung digital yang berwarna biru itu berombak-ombak membentuk peta Kepulauan Karimata yang terletak di bahagian timur laut Estodania. Hologram itu kemudiannya dizum masuk ke bahagian tanah Kenyalang. Imej dihentikan apabila tampak satu jasad sedang merangkak keluar dari laut. Jasad tersebut merupakan seekor jin yang bertubuh manusia yang tidak berkaki tetapi memiliki ekor ular sepanjang 10 meter. Makhluk itu memiliki tanduk yang melengkung seperti seekor kerbau. Sebaik sahaja tiba di daratan, jasad tersebut hilang.

“Itu adalah penampakan yang dilaporkan oleh pemantau kita dari Esramudra. Mereka hanya sempat merakamkan imej tersebut sebelum sempat mengenalpasti gerangan yang muncul. Mungkin Amin boleh menerangkan siapa gerangan tadi,” terang Sultan Iltizam. Semua mata terarah kepada Sultan Aminuddin.

“NASA cuba ulang main rakaman tadi,” pinta Sultan Amin. Tangannya diletakkan ke atas meja yang menjadi tapak hologram itu.

Rakaman hologram dimainkan semula. Sultan Aminuddin menghentikannya saat imej jin laut itu tampak sedikit jelas. Sudut pandang dari atas itu diubah ke arah hadapan. Sultan Aminuddin membesarkan bahagian wajah jin tersebut. Telinganya terlihat runcing dan tanduknya bergulung sebanyak dua kali. Mata jin tersebut berwarna biru seperti warna langit.

“Mandalika…,” ujar Sultan Amin.

“Mandalika? Legenda Bali?” tanya Permaisuri Isabella.

“Apa kaitannya dengan Bali, Indonesia?” tanya Sultan Iltizam pula. Suami isteri itu tidak memahami tema perbicaraan sahabat jin mereka itu.

“Saya sendiri tidak tahu apa perkaitannya dengan legenda Kepulauan Bali itu. Tetapi, penampakan tadi adalah Mandalika. Salah seorang jin tangguh yang membelakangkan ajaran Rasulullah,” jawab Sultan Aminuddin.

“Adakah dia salah satu ksatria Ekrandia?” tanya Permasuri Isabella lagi.

“Maaf, saya tidak pasti tentang itu. Mandalika telah menghilangkan diri dari dunia manusia dan tidak pernah kelihatan lagi sejak 1000 tahun yang lalu. Saya sendiri sudah lama tidak melihat wujud Mandalika ini,” jawab Sultan Aminuddin.

“Sebentar. Kamu kata sebelum ini Mandalika pernah wujud dalam dunia manusia? Di mana?” tanya Sultan Iltizam pula. Sultan Amin sememangnya menjadi penerang mereka bagi musuh-musuh yang mereka tidak fahami dari alam jin ini.

“Saya tidak pasti. Setakat yang saya pernah dimaklumkan, di dunia manusia, Mandalika menjelma sebagai puteri yang sangat cantik. Kecantikannya telah menyebabkan perperangan sesama manusia yang tamak dan menurut hawa nafsu cuba memperisterikannya. Diceritakan bahawa, Mandalika pernah memanggil semua raja-raja yang telah menghantar pinangannya lalu menolak lamaran mereka serentak. Mandalika kemudian terjun ke dalam laut lalu menghilang sehingga ke hari ini,” panjang lebar Sultan Amin menerangkan kisah Mandalika yang pernah dihikayatkan kepadanya oleh ayahandanya.

“Legenda Bali!” ujar Permaisuri Isabella sambil memetik jari.

“Apa permasalahan yang timbul daripada penampakan ini Izam?” tanya Sultan Aminuddin. Kali ini semua mata terarah kepada Sultan Iltizam.

“Dia muncul pada saat pesawat yang membawa Farihah singgah di Kenyalang ini. Saya cuma risau jika ada yang tidak elok berlaku,” ujar Sultan Iltizam.

“Sebut tentang Farihah, tadi saya telah menemuinya,” sampuk Permaisuri Isabella.

“Lalu?” tanya Sultan Iltizam.

“Saya rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dia. Mungkin ada kaitan dengan Mandalika ini,” jawab Permaisuri Isabella.

“Dimana dia sekarang?” tanya Sultan Aminuddin pula.

“Di kamar peraduannya. Saya dah minta Medicakk jaga dia,” jawab Permaisuri Isabella lagi.

“Mari kita pergi melawat dia,” ajak Sultan Iltizam. Kedua-duanya menurut. Kemudian mereka meninggalkan ruang rahsia itu seraya beriringan ke kamar peraduan Farihah.

BAB 3 : ESRAMUDRA
Disember 2017, Esramudra.
CAHAYA terang menerobos masuk ke dalam matanya. Terasa silau walaupun dia sedang menutup mata. Ayyan memisat-misatkan matanya. Apabila menyedari matahari sudah terasa terik. Ayyan bingkas bangun lalu beristighfar kerana teringat dia belum melaksanakan Subuh. Tatkala terduduk, alangkah terkejutnya Ayyan melihat sekitarnya. Dia kini berada dalam satu rumah yang seperti terbuat daripada logam-logam berkarat. Bahunya diikat menggunakan kain anduh berwarna putih dan terpin kemas di bahagian belakangnya. Ayyyan meraba-raba belakangnya. Terasa banyak tampalan-tampalan kain yang menarik-narik uratnya. Dia segera menggagahkan dirinya kerana dia ingin melaksanakan subuh. Kehairanan benaknya dibungkamkan dahulu. Dia akan memikirkan kepelikan itu kemudian selepas dia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Itu lebih utama. Berkali-kali istighfar terucap di lidahnya.


“Sabar dulu, anak muda. Subuh belum tiba lagi.” Sapa satu suara dari belakangnya.

Ayyan segera menoleh ke belakang. Seorang lelaki sedang mengasah-asah pedang yang tajam tanpa memandangnya.

Minda Ayyan segera dapat mengingat kembali apa yang berlaku kepadanya sebelum dia tidak sedarkan diri. Lelaki itulah yang telah menyelamatkannya di pinggir Pantai Belawai. Dengan jambang dan hidungnya yang tidak mancung, mudah bagi Ayyan mengingat kembali tampak lelaki yang menyelamatkannya itu.

“Cahaya yang kamu nampak itu bukan matahari. Itu cahaya lampu,” sambung lelaki tersebut.

“Aku di mana?” tanya Ayyan. Dia mendudukkan dirinya kembali apabila mengetahui waktu Subuh belum masuk.

“Esramudra!” jawab lelaki itu.

Pedang yang diasahnya dengan tiba-tiba dihunuskan ke arah Ayyan. Pelahan-lahan hujung pedang berwarna perak itu memanjang sehingga dekat dengan kepala Ayyan. Terkejut Ayyan melihat tingkah lelaki itu. Air liurnya ditelan jauh ke dalam anak tekak. Wajah lelaki itu tampak sangat serius. Matanya sedikit tajam dengan anak mata yang hitam pekat. Lelaki itu mencebikkan bibir lalu menarik hunusan pedang peraknya. Ayyan menarik nafas lega. Ucapan syukur dilontarkan di relung mulutnya.

“Kamu siapa?” tanya Ayyan selepas dia menenangkan dirinya.

Lelaki itu tidak menjawab. Dia berdiri bangun lalu menghilang di sebalik tirai yang diperbuat daripada kerang-kerang?. Kemudian dia datang semula bersama segelas air. Gelas itu diperbuat daripada cengkerang kima. Ayyan mula berasa pelik semula. Kima itu dihulurkan kasar kepadanya.

“Minum. Sebentar lagi akan ada yang menjemput kamu datang. Jangan kata aku tak layan kau dengan baik,” ujar lelaki itu.

Kemudian dia kembali duduk di kerusi tempat dia mengasah pedang panjang tadi. Kerusi itu berwarna putih susu dan diperbuat daripada batu. Pada perkiraan Ayyan, kerusi itu seperti terumbu karang yang selalu dia temui di dasar Laut Sulawesi. Ayyan semakin pelik melihat kelainan kerusi tersebut.

Matanya dibawa memerhatikan segenap sudut rumah tersebut. Banyak hiasan-hiasan yang diperbuat daripada hasil laut. Beberapa cengkerang siput dan kerang digantung kemas di segenap dinding. Setentang dengan Ayyan, ditempatkan satu meja yang diperbuat daripada batu yang sama dengan kerusi. Di atas meja itu, diletakkan seekor tiram gergasi yang sedang menampakkan mutiara biru yang bersinar.

Subhanallah! Belum pernah seumur hidup Ayyan menyaksikan mutiara sebesar dan secantik itu. Saiznya lebih kurang saiz bola sepak yang selalu dia dan Faris guna untuk bermain bola sepak. Faris… bagaimanakah keadaan sahabatnya itu? Entahkah hidup atau tidak.

“Assalamualaikum….. siapa di dalam?” sapa satu suara dari luar rumah. Lantang dan sedikit nyaring. Seperti suara perempuan.

“Masuklah! Pintu tak kunci!” laung lelaki yang menyelamatkannya itu.

Dia langsung tidak berganjak dari kerusinya. Kali ini tangannya sedang rancak mengasah pedang yang berwarna ungu. Ayyan baru perasan di sebelah kanan lelaki itu tergantung pelbagai jenis pedang dan tombak bermacam saiz dan warna.

Sepasang mata sedang mengintai-intai dari celah pintu. Kepalanya ditutup dengan topi kuning berbentuk piramid yang diikat pada dagunya. Terkedip-kedip matanya memandang Ayyan yang tidak berbaju itu. Tangannya memegang daun pintu. Jarinya berbentuk segi tiga dan sedikit tajam di hujung seperti di asah.

“Kau terhendap-hendap di pintu kenapa?! Masuk je lah! Bukannya aku nak makan kau!” bentak lelaki itu. Kali ini dia memusingkan badannya menghadap daun pintu. Tangannya menongkat dagu pada lututnya.

Ayyan hanya memerhatikannya. Diam tanpa kata. Baru dia perasan bahawa lelaki yang menyelamatkannya itu tidak memiliki jari kaki. Bahagian kakinya hanya membujur dengan hujung kaki kelihatan bersisik seperti ikan. Kulit lelaki tersebut sedikit gelap berkilat. Tahulah dia bahawa yang menyelamatkannya bukan manusia biasa. Tetapi mungkin salah satu bangsa jin.

Mata yang mengintai-intai di sebalik daun pintu itu tersengih-sengih. Dia melangkah masuk dengan kedua tangannya dirapatkan dan diletakkan di celah-celah pahanya. Dia hanya terkidum-kidum. Satu lagi bangsa jin pada pengamatan Ayyan. Tingginya hanya setakat paras dada Ayyan. Dia mengenakan seluar panjang berwarna biru sehingga menutup bahagian kakinya. Badannya hanya ditutup dengan rumpai-rumpai laut yang berwarna hijau tua. Ayyan tidak dapat mengenalpasti apakah jantina jin tersebut.

“Assalamualaikum, Ayyan!” sapanya sambil tersenyum.

“Wa alaikumussalam warahmatullah,” balas Ayyan sambil merapatkan tangannya dan didekatkan di dada.

“Dah! Kau pergi bersiap dan ikut Delu. Tugas aku dah selesai” ujar lelaki yang menyelamatkannya sambil membaling jubah putih Ayyan. Tiada kesan darah langsung mahupun lumpur. Jubah itu terlihat sangat bersih seperti telah dibersihkan.

Ayyan segera menyarungkan jubah putih tersebut. Dia menggagahkan dirinya untuk bangun. Belakang badannya masih terasa sakit. Tiba-tiba, bahu kanannya dipegang lelaki tadi lalu badan Ayyan ditarik ke belakang sehingga Ayyan dapat rasakan tulangnya hampir patah.

Masya-Allah. Sakitnya terasa ketika bahu kanannya ditarik ke belakang.

“Kalau kau lemah macam ini, kau tidak akan sampai ke Estodania anak muda!” marah lelaki itu. Bahu kirinya ditepuk kasar.

Usai sahaja rasa sakit ditarik tadi, tubuhnya tiba-tiba terasa ringan. Sakit-sakit di bahagian belakang hilang tanpa sisa. Subhanallah, sesungguhnya kesaktian yang alami kini adalah dengan izin Allah. Sesungguhnya manusia dan jin itu tidak diciptakan melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Ayyan membetulkan kembali akidahnya yang sedikit takjub dengan kesaktian yang dijelmakan oleh jin di kelilingnya itu.

Tangannya segera ditarik keluar dari pintu rumah. Dia dibawa berlari menuruni bukit. Tahulah dia bahawa rumah tadi terletak di atas bukit. Ayyan menoleh ke belakang. Rumah tadi rupanya diperbuat daripada kerang gergasi yang ditelengkupkan menyembah bumi. Mungkin lelaki tadi suka dengan kerang-kerang seperti itu. Selesai menuruni bukit, pegangan tangannya dilepaskan. Jin yang membawanya lari itu tercungap-cungap menarik nafas.

“Nama aku… aku del.. aku delu..” tersekat-sekat jin itu menghela nafas. Ayyan tersenyum melihat tingkahnya.

“Tarik nafasnya dulu makhluk Allah,” ujar Ayyan. Jin itu menghela nafas sedalam-dalamnya lalu menghembuskannya. Tindakan itu dilakukan sebanyak tiga kali.

“Aku Delu… Delustar..” ujarnya tersenyum.

“Aku Ayyan.. Ayyan El Daiyani,” ujar Ayyan memperkenalkan diri. Salam dihulurkan.
“Aku tahu,” balas jin itu.
“Kau dah tahu? Macam mana?” tanya Ayyan, pelik.
“Macam mana Delustar tahu, Ayyan tidak perlu tahu. Tidak penting bagi Ayyan,” jawapan jin itu mengecewakan Ayyan. Tetapi Ayyan tidak terdetik untuk mendesak jin tersebut menjawab soalannya itu.


“Tadi itu siapa?” tanya Ayyan lagi.

“Ammar. Ammar Hillman! Penjaga pintu selatan Esramudra,” terang Delustar. Nafasnya masih sedikit tercungap.

“Dia… menarik..” ujar Ayyan. Dia tidak berani menjatuhkan penilaian lebih lanjut tentang empunya badan yang telah menyelamatkannya dari serangan makhluk ghaib di pinggir Pantai Belawai itu. Kelak terjatuh fitnah. Lebih baik dia diamkan getusan hati kecilnya itu.

“Abaikan Ammar. Ammar Hillman memang macam itu. Delu sendiri tidak berani hendak bertegur sapa. Delu hanya menurut perintah Pangeran Badar,” ujar Delustar. Kawalan nafasnya kembali normal.

“Mari kita ke rumah Pangeran. Pangeran sedang menanti Ayyan. Kami semua memang menanti kedatangan Ayyan,” sambung Delustar lagi.

“Menanti kedatangan aku? Mengapa?” tanya Ayyan ingin tahu.

Banyak perkara yang pelik dia alami selepas membuka mata tadi. Tidak cukup dengan kepelikan cahaya yang sangat besar sehingga menerangkan mukim itu, ditambah lagi dengan dia sedang berbual bersama dengan jin. Sebelum ini, dia tidak pernah berbual-bual semesra itu dengan mana-mana jelmaan jin.

“Ikutkan rasa hati, ingin Delu menjawab semua persoalan yang Ayyan soalkan. Tetapi lebih molek Pangeran yang menjawab semua kemusykilan,” jawab Delustar. Sekali lagi menghampakan Ayyan.

Mereka mengatur langkah menyusuri jalan-jalan berpasir. Kiri kanan itu dipagari dengan rumpai laut. Hadapan mereka ditutupi dengan rumpai-rumpai laut yang tinggi dan padat sehingga mereka terpaksa membuka jalan menggunakan tangan sendiri. Lidah Ayyan berulang kali melagukan puji-pujian kepada Allah kerana dia yakin, keindahan yang dia saksikan itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Ayyan mendongakkan kepalanya ke atas, mencuba untuk melihat lampu gergasi yang menerangi mukim itu.

Subhanallah! Tanpa sedar, Ayyan melafazkan kalimah suci itu dengan kuat. Di atasnya, seekor ikan paus yang sangat besar sedang berenang, terapung. Beberapa ekor ikan sedang berenang ke kiri dan kanan. Berwarna-warni dipandang mata. Ayyan memusingkan badannya.

Beberapa ekor ketam sedang beratur elok memasuki kawasan rumpai laut yang baru sahaja mereka lalui. Beberapa kerang gergasi yang ditelengkupkan ke bumi tersusun rapi di kiri dan kanan mereka. Setiap kerang itu memiliki pintu seperti kerang Ammar Hillman di atas bukit tadi. Beberapa orang manusia separa ikan sedang melambai-lambai ke arahnya. Menghadiahkannya sekuntum senyuman. Bahagian atas adalah manusia dan mereka memiliki ekor seperti ikan. Berenang-renang ke sana ke mari. Ada yang menegur mereka mengucapkan selamat datang. Ayyan menjadi takjub menyaksikan keindahan itu.

“Delustar? Adakah aku bermimpi?” tanya Ayyan. Delustar tersenyum mendengar ujaran Ayyan. Dia faham bagaimana perasaan Ayyan ketika itu. Manusia biasa sepertinya memang tidak pernah menyaksikan alam mereka ini. Ayyan antara manusia yang bertuah kerana berpeluang melihat keindahan alam ciptaan Allah ini.

“Bermimpi? Ermmm.. Mungkin!. Ayyan mungkin sudah mati, dan ini adalah Syurga…” usik Delustar.

Ayyan memandangnya kaget. Delustar mengekek ketawa melihat perubahan rona wajah Ayyan. Dengan segera Ayyan beristighfar lalu mengucapkan Syahadah.

“Ayyan masih hidup lagilah!” Delustar menepuk kuat bahu kiri Ayyan.

“Nanti Pangeran akan terangkan apa yang berlaku,” sambungnya. Ayyan hanya tersenyum. Segala-galanya dia serahkan kepada Allah. Sesungguhnya dia sangat tidak memahami apa yang berlaku ketika itu. Mindanya masih jumud untuk memahami ilmu Allah yang maha luas itu.

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah….

Disember 2014, Estodania
BERIRINGAN melangkah ketiga-tiga amirul Islam kota Estodania itu menuju ke kamar peraduan Farihah yang terletak di bahagian timur Istana. Konsultasi terhadap fuqaha baharu itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingin berlaku. Langkah mereka terhenti di lorong yang menuju ke ruangan kamar Farihah.

Medicakk sedang berdiri betul-betul di tengah lorong itu. Terketar-ketar tangannya dirapatkan. Balung panjang jin itu tergerak-gerak sangat laju menandakan dia sedang dalam kegalauan. Anak matanya tergerak-gerak ke kiri dan kanan. Mulutnya terkumat-kamit menyebut butiran kata yang tidak difahami oleh Permaisuri Isabella dan Sultan Iltizam. Kedua-dua amirul itu mengerutkan dahi masing-masing. Berbeza keadaan dengan Sultan Aminuddin, raja bangsa jin itu meleret senyuman lalu melangkah ke hadapan, menghampiri Medicakk.

“Mengapa Medicakk berdurja?” tanya Sultan Aminuddin sambil mengusap-usap balung Medicakk.

Medicakk mengangkat kepalanya memandang rajanya itu. Tiba-tiba Medicakk menangis.

Meraung-raung sekuat hati lalu terduduk betul-betul di tengah lorong itu. Raungan Medicakk menyebabkan Permaisuri Isabella tidak keruan. Dengan segera dia mendekati Medicakk lalu menggendong Medicakk. Nurani keibuannya berdetik risau melihat ulah pelik Medicakk itu.

“Mengapa menangis sayang?” tanya Permaisuri Isabella.


“Fuqaha hilang. Fuqaha tiada di kamar,” ujar Medicakk.

“Bonda akan murka. Medicakk gagal jaga fuqaha…” sambung Medicakk lagi. Kepalanya dibenamkan di dada Permaisuri Isabella.

Khabar yang disampaikan oleh Medicakk itu menyebabkan ketiga-tiga amirul itu terkejut. Mereka tidak menyangka sama sekali Farihah yang mengaku demam itu akan menghilangkan diri. Padahal, belum sampai seminggu fuqaha baharu itu tiba di Estodania.


Tanda tanya tentang fuqaha itu semakin memuncak. Prasangka Permaisuri Isabella kononnya Farihah kesurupan semakin menebal.

Dengan pantas Sultan Aminuddin dan Sultan Iltizam berlari ke kamar Farihah. Permaisuri Isabella menyusul lambat-lambat kerana dia ingin menenangkan Medicakk yang sedang galau. Sultan Aminuddin mengghaibkan dirinya lalu memunculkan dirinya di tengah-tengah kamar Farihah. Kunci pintu dibuka bagi memudahkan Sultan Iltizam dan Permaisuri Isabella masuk.

Pintu kamar dibuka. Muncul susuk Sultan Iltizam dari balik daun pintu. Wajahnya jelas tergambar rasa risau. Kerisauan itu dikongsi bersama oleh mereka bertiga. Masing-masing bimbang sekiranya sikap pelik Farihah itu ada kaitan dengan penampakan Mandalika di Belawai.

“Tidak ada apa-apa yang pelik berlaku. Semua terlihat normal,” beritahu Sultan Aminuddin.

Memang benar. Kamar itu tidak menampakkan apa-apa yang janggal. Bahkan, pakaian-pakaian Farihah masih tersimpan rapi di dalam almari coklat yang terletak berhampiran dengan katil. Lampu bilik juga dipadamkan. Tidak ada tanda-tanda Farihah melarikan diri. Hanya jendela kamar sahaja yang dibiarkan terbuka dengan langsir yang diikat rapi pada kisi-kisi.


“Ada kemungkinan dia keluar berjalan-jalan. Mungkin rindu dengan kerabatnya di Karimata,” teka Sultan Aminuddin.

“Hanya Allah sahaja yang tahu. Saya sendiri tidak pasti kemana fuqaha ini pergi,” ujar Sultan Iltizam pula.

Permaisuri Isabella tiba dengan Medicakk masih dalam kendongannya. Jin cilik itu masih tersedu-sedu menahan tangis. Dia berasa sangat ralat kerana tidak dapat memenuhi arahan permaisuri kesayangannya.

“Medicakk sempat bertemu dengan fuqaha tadi?,” tanya Sultan Iltizam sebaik sahaja melihat Medicakk sudah mula bertenang.

“Medicakk belum jumpa. Medicakk tiba pintu tertutup. Medicakk masuk. Fuqaha tiada.” jawab Medicakk terhenti-henti kerana sedu.

“Maksudnya Farihah memang hilang sebelum sempat Medicakk ke sini,” simpul Sultan Aminuddin selepas mendengar ujaran Medicakk.

“Ada kemungkinan dia memang tidak masuk kamar langsung. Mungkin selepas berjumpa dengan saya, dia terus menghilangkan diri,” saran Permaisuri Isabella.

“Bagaimana keadaannya ketika dinda bertemu dengannya,” tanya Sultan Iltizam.

“Badannya panas. Sangat panas. Dinda minta dia membuka niqab kerana dinda ingin melihat wajahnya. Tetapi dia enggan. Dia hanya diam membatukan diri,” jawab Permaisuri Isabella. Sultan Iltizam menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menunduk. Tangan kirinya dicekakkan di pinggang. Sementara tangan kanannya mengusap-usap rambut belakangnya.

“Boleh jadi dia tidak selesa dengan tindakan dinda itu. Mungkin dia tidak selesa membuka niqabnya di tempat terbuka seperti pangkin istana. Apalagi pangkin itu betul-betul menghadap kota,” ujar Sultan Iltizam. Dia sedikit kesal dengan tindakan isterinya yang kedengaran mendesak Farihah menanggalkan niqab.

“Astaghfillah al-azim,” istighfar Permaisuri Isabella. Dia tersedar akan khilafnya. Rasa ingin tahunya telah menyebabkan dia hilang pertimbangan. Terbawa oleh hawa nafsu sendiri sehingga menggunakan pangkatnya untuk mendesak Farihah. Walhal, fuqaha baharu itu baru sahaja terpisah jauh daripada keluarga demi memenuhi jemputannya untuk bekerja di istana. Sepatutnya dia lebih berlembut dan tidak mendesak Farihah.

“Tidak mengapalah. Husnuzon sahaja. Mungkin dia ke kota menenangkan minda. Nanti kita arahkan pengawal istana menjejakkan di kota Estodania. Kelak dinda jangan ulangi lagi. Biar Farihah dengan rela menunjukkan seperti mana wajahnya itu,” ujar Sultan Iltizam. Resolusi mudah menenangkan suasana.

“Tapi kanda.. dinda kira ada baiknya jika kita melihat dulu bagaimana tampaknya fuqaha yang akan menyambung pengajaran Syariah Islam di Estodania ini. Supaya kita lebih mengenalinya,” ujar Permaisuri Isabella. Medicakk di tangannya hanya memandang mereka berdua. Kepalanya ditoleh-tolehkan mengikut siapa yang sedang bersuara. Perbuatan yang sama dilakukan oleh Sultan Aminuddin.

“Bagi kanda itu tidak perlu. Lagipun dia anak didik Imam Syahriyan. Tak kan dinda tidak percaya dengan utusan Imam Syahriyan? Imam itu salah satu nadi teguhnya Estodania ini. Fuqaha sebelum ini juga anak didiknya,” bantah Sultan Iltizam lembut. Dia tidak ingin melukakan hati isterinya itu.

Permaisuri Isabella melepaskan nafas keluhan. Dia kurang bersetuju dengan pendapat suaminya itu.

“Dinda cuma merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Farihah. Tingkahnya sangat tidak normal di mata dinda. Apalagi selepas mengetahui kemungkinan dia diganggu Mandalika. Jangan-jangan dia disampuk Ekrandia itu,” tuduh Permaisuri Isabella. Nadanya sedikit keras.

“Astaghfirullah.. istighfar dinda,” Sultan Iltizam tersenyum lalu mendekati isterinya itu. Tangan kanannya memeluk Permaisuri Isabella.

“Hati-hati menutur bicara, kelak terjatuh fitnah,” ujarnya. Jari telunjuknya ditekap ke bibir Permaisuri Isabella.


“Kita juga belum pasti Mandalika itu jin dari Ekrandia. Jangan tuduh melulu, sayang. Boleh jadi dia juga jin yang baik seperti sahabat-sahabat kita di sini,” sambung Sultan Iltizam sambil memandang Sultan Aminuddin.

Sahabat jin mereka itu hanya tersenyum sambil menutup mulutnya. Dia berasa geli hati melihat ulah kedua-dua sahabatnya itu.

“Ada betulnya apa yang Izam ujarkan. Selagi kita belum bertemu jawapan sebenar, lebih molek jika kita tidak menjatuhkan penilaian. Jika benar Mandalika itu dari Ekrandia, in shaa Allah, kita akan cuba perangi. Itupun jika dia mula mengganggu kita,” sampuk Sultan Aminuddin.


“Betul. Kanda setuju. Selebihnya kita serahkan kepada Allah. Kelak kanda akan hubungi sahabat kita di Esramudra untuk bertanya perkembangan. Dinda bersabar ya,” ujar Sultan Iltizam pula sambil mengusap-usap bahu kiri Permaisuri Isabella.

“Baiklah. Dinda akan cuba. Sekarang, kita cari dahulu di mana keberadaan Farihah,” ujar Permaisuri Isabella akhirnya. Mereka menarik nafas lega.


TAMAT 
====================

Gambar: NIL
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Tuesday, 30 January 2018

ESTODANIA - Dhaifullah Az-Zayyani



Tajuk : Estodania 

===========

BAHAGIAN 1 : MENJEJAK FARIS

Selamat datang ke Estodania . Kerajaan yang diperintah oleh dua raja. Kota manusia dan jin hidup bersama. Menyembah Allah. Menjaga kesucian Islam. Membina ketamadunan. bersama. Teknologisetinggi imaginasi. Kota yang mampu merealisasikan semua mimpi yang ada. Hasil kemakmuran pemerintahan dua raja daripada dua makhluk ciptaan Allah Yang Maha Esa, teknologi sudah ditahap yang paling tinggi sehingga semua yang diperlukan hanya di hujung jari. Termasuk keperluan ibadah!. Selagi Islam menjadi sandaran, kota ini akan sentiasa aman. Jajahan takhluk dan pengaruhnya merangkumi seluruh rantau Nusantara. Setiap yang berlaku di Estodania, berlaku di Nusantara. Namun, kejahatan tidak akan pernah diam jika yang Haq sudah tinggi, Batil akan datang mencela. Perancangan untuk meranapkan ketamadunan Estodania dimulakan. Bangsa Jin bergabung dengan bangsa manusia, berperang sesama sendiri untuk mendapatkan takhta Estodania kerana Estodania adalah pusat kuasa. Ingatlah! Kejahatan yang menang, pasti akan kalah. Selamat Datang ke Estodania, kota manusia dan jin tinggal bersama.

Disember 2014, Estodania,
Tiga puluh minit sebelum Asar.
NILAKENDRA menatap wajahnya pada pantulan cermin di hadapannya. Jendela pintu biliknya dibiarkan terbuka agar tiupan sang angin dapat menyerbu masuk menyejukkan biliknya itu. Langsir bilik yang berwarna emas selayaknya kerabat diraja terikat kemas pada kisi-kisi jendela. Pelahan-lahan jari kirinya menyentuh pipi kanannya yang membengkak dan berbintik-bintik merah. Tampak wajahnya di cermin kelihatan sangat hodoh. Rambutnya disikat berulang-ulang sebelum disimpul secara berpusar di belakang kepalanya. Sanggul bercorak sehelai daun yang berwarna perang dikeluarkan dari laci meja solek di hadapannya lalu dicucuk menahan sanggulan rambutnya tadi. Perlahan-lahan sanggul itu melentur sendiri mengikut lengkuk kepalanya.

Nilakendra bangun dari kerusi lalu menuju ke arah katilnya yang terletak setentang dengan meja solek. Di atas katil itu, terbaring seorang perempuan yang jauh lebih muda berbandingnya. Perempuan muda itu kelihatan tidak bermaya. Matanya terpejam rapat seolah-olah sedang tidur. Tetapi, Nilakendra tahu, bahawa perempuan itu tidak tidur. Dia sengaja memejamkan mata kerana tidak ingin melihat wajahnya. Nilakendra tersenyum sendiri. Puas melihat ketakutan yang digambarkan oleh perempuan yang berjaya diculiknya di Belawai beberapa hari yang lalu. Perempuan ini akan menjadi tiket kejayaan perancangan bangsanya. Sebagai serikandi negeranya, Nilakendra akan melakukan apa sahaja demi mencapai hajat raja mereka. Nilakendra mengapungkan dirinya sehingga jarak antara kakinya dengan lantai bilik itu separas dengan katil. Nilakendra mendekatkan dirinya ke kepala perempuan muda yang sedang terlantar di atas katil sehingga dia betul-betul terapung sejengkal daripada badan perempuan yang ada dikatilnya. Bibir perempuan itu sedang terkumat-kamit membaca sesuatu. Nilakendra menrengus marah. Dia segera menekup mulut perempuan itu.

“Farihah sedang baca apa tu?” bisik Nilakendra. Halus. Kuku jari telunjuknya diruncingkan lalu digaritkan dagu Farihah dengan kuku runcingnya.

“Buka mata, sayang… sebentar lagi kita akan bertemu Permaisuri. Bukankah kamu ingin sangat bertemu dengannya?” sambung Nilakendra lagi.

Farihah membuka matanya. Perlahan-lahan air matanya mengalir keluar. Hati wanitanya rasa tergugah melihat kehodohan wajah yang dijelmakan oleh Nilakendra. Nilakendra sangat rapat dengannya sehingga dia dapat merasa hembusan nafas perempuan jahat yang sedang terapung di atasnya itu.

“Ku pinjam tubuhmu sekali lagi. Kau hanya perlu tidur. Biar aku yang kemudi!” ujar Nilakendra lalu mengubah wujudnya ke kepulan asap hitam. Nilakendra menderu masuk ke dalam tubuh Farihah dari segenap liang-liang tubuh Farihah. Melalui mata, hidung, mulut dan telinga sehingga akhirnya kepulan asap hitam jelmaan Nilakendra itu hilang dari pandangan. Farihah memejamkan matanya. Dia tertidur dalam tangisan.

Tiba-tiba, mata Farihah terbuntang. Dengan keadaan kujur tubuhnya yang masih tegak, Farihah berdiri tegak di atas katil. Tubuhnya tertolak ke atas menegak seperti tunggul kayu yang tertolak tegak. Farihah bergerak laju menuruni katil. Dalam sekelip mata sahaja, Farihah kini betul-betul di hadapan cermin meja soleknya. Farihah tersenyum melihat wajahnya yang mulus dan cantik. Pipi kirinya disentuh. Terasa licin dan putih. Farihah tergelak besar. Tawanya bergema memenuhi segenap ruang bilik sehingga burung-burung yang duduk bertenggek di jendela bilik terbang lari dek terkejut mendengar tawanya yang seperti orang gila. Dia adalah Nilakendra yang wujud dalam jasad Farihah. Seorang fuqaha wanita baharu di Estodania.

-Disember 2017, Pantai Belawai, Kepulauan Karimata.
Dua jam selepas azan Isyak.-
AYYAN mendongak ke langit. Hamparan kelam malam disulami malap cahaya bulan menggitari pandangannya. Malam ini bintang kurang kelihatan tidak seperti biasa kelana Ayyan sebelum ini. Mungkin disebabkan kepulan awan yang memenuhi segenap sudut langit sejak maghrib tadi. Ayyan melihat jam tangannya. Kurang tiga minit masuk pukul sembilan. Masih jauh lagi perjalanan menuju ke Estodania.

"Faris, tunggu aku datang. Aku dalam perjalanan. Bertahanlah sahabat." ujar Ayyan perlahan lalu melepaskan hembusan nafas ringan.

Perjalanan menuju ke Estodania terpaksa direhatkan sebentar. Di hadapannya kini terbentang luas Laut China Selatan. Dia buntu memikirkan cara untuk melintasi laut itu. Malam ini, dia akan berhenti rehat di pinggir Belawai ini untuk memikirkan ilham menyeberang hamparan laut di hadapannya itu. Sepatutnya dia sudah berada di Tanah Emas sebulan yang lepas. Sepatutnya sekarang dia sudah hampir dengan Estodania yang terletak di penghujung tanah Asia itu. Sepatutnya dia sudah hampir dengan sahabatnya, Faris. Selepas Tanah Emas, Ayyan hanya perlu berjumpa dengan Tok Kandek yang telah berjanji membawanya ke Estodania. Ayyan melabuhkan punggungnya di atas batu besar yang mengunjur ke arah selatan.

Estodania. Satu kerajaan muluk yang terletak di hujung tanah besar Asia. Kerajaan Estodania adalah antara kerajaan yang kaya dan paling kuat di rantau Nusantara ini. Kerajaan yang ditadbir oleh Permaisuri Isabella itu sudah lama menguasai perdagangan air dan udara. Faris, sahabat sepermainannya telah merantau lebih awal ke tanah serba moden itu demi mengejar cita-citanya. Faris yang berkulit sawo matang bermata bundar bercadang hendak menjadi juru terbang. Cita-citanya itu tidak mungkin dapat dicapai jika dia terus mendiamkan diri di tanah leluhurnya.

"Aku kalau dah besar nanti nak pandu jet macam tu," Faris menunjukkan jari ke langit. Lima buah jet pemantau Kerajaan Estodania terbang melalui perkampungan mereka menuju ke arah utara. Memang Estodania merupakan kerajaan yang sangat maju sejak dulu lagi.

"Kau nak jadi tentera Estodania ke?"

"Yup. Kalau nak pandu jet macam tu kenalah jadi tentera Estodania kan?" Faris berkata dengan yakin.

"Estodania jauh sangatlah Faris. Kau ingat senang ke nak pergi sana!” ujar Ayyan.

“Ayyan. Sejauh-jauh Estodania, akak kau dah sampai sana. Duduk menetap di sana sehingga beranak-pinak dan tak pulang-pulang. Maksudnya tak jauh manapun.” ujar Faris membela niatnya.

Memang benar, kakak sulung Ayyan sudah hampir lima tahun meninggalkan kampung halaman kerana pergi merantau ke Estodania. Katanya, hendak menuntut ilmu di sana. Kebetulan pada masa itu, Permaisuri Isabella sedang mencari guru wanita yang boleh menjadi pendidik di Istana baginda. Namun, selepas tiga tahun di perantauan, kakak sulungnya senyap tanpa mengirimkan sebarang berita. Entahkan bernyawa atau tidak. Walhal, awal kelananya, mereka selalu bertukar khabar.

“Kau rasa Farihah masih hidup tak?” tanya Faris. Mata mereka masih dihalakan ke Laut Sulawesi. Kulit kayu mati dikupas-kupas sebagai hiburan.

“In shaa Allah dia masih hidup. Selagi kami belum dikirimkan mayatnya, selagi itu dia masih hidup. Kita fikir yang baik-baik. Mengapa? Rindu?” ujar Ayyan.

“Mestilah rindu. Takkanlah tak rindu pujaan hati.” balas Faris sambil merebahkan dirinya di atas pasir. Tangan didepakan.

“Don’t you miss her too? Your sister.”

“Of course, I do! Akak sendiri kot. Tapi kita hanya mampu mengirimkan doa. Tak kan lah nak pergi Estodania cari dia. Tak mampu aku. Masih budak lagi” jawab Ayyan sambil membaling-baling pasir pantai.

“Jujurnya, aku ragu dia masih hidup. No offense! Dengan apa yang berlaku di Estodania tiga tahun yang lalu, tipis peluang nak bernyawa,” luah Faris jujur tanpa mempedulikan bahawa dia sedang mendakwa bahawa kakak Ayyan itu sudah meninggal dunia.

Ayyan mengambil segenggam pasir lalu membalingnya ke muka Faris.

“Kurang ajar punya member! Kau memang nak akak aku mati ke?” pasir dibaling berkali-kali. Faris bingkas duduk lalu menepis tangan Ayyan.

“Ooii.. rilekslah aku cakap possibility je kot! Nak mengamuk kenapa?!” ujar Faris diiringi dengan tawa.

BAYU dari Laut China Selatan membelai kulit Ayyan dengan lembut. Dia biarkan. Mindanya menerawang jauh ke kisah-kisah yang berlaku setahun lalu. Ketika Faris masih menjadi sahabat yang menemaninya menjala ikan di perkampungan mereka. Sungguh saat itu dia rindu kepada sahabat sepermainannya itu. Dia dan Faris membesar bersama. Rumah mereka saling berhadapan antara satu dengan yang lain. Hampir setiap hari, Faris menjadi rakan sembang bersama Farihah, kakaknya. Sehinggalah Faris meluahkan rasa cintanya kepada Farihah. Tindakan Faris itu menyebabkan Farihah mula mengasingkan diri daripada mereka lalu akhirnya memilih untuk merantau ke Estodania.

“Ayyan! Ayyan!!” suatu petang Faris bertempik memanggil namanya. Ada nada kegirangan pada suaranya. Ayyan pada masa itu sedang menjahit pukat datuknya yang koyak. Duduk di atas batang pokok kelapa yang telah ditebang-tebang. Pukat di hadapannya diikat pada tiang-tiang kayu yang disusun rapat dan bersilang.

“Hah… kau ni dah kenapa macam toyol terjumpa guli terkinja-kinja?” tanya Ayyan sebaik sahaja Faris tiba di sebelahnya. Faris hanya melemparkan senyuman sumbing seperti kanak-kanak yang diberikan permainan baharu.

“Macam mana kau tahu toyol kalau terkinja macam aku buat tadi? Kau pernah nampak toyol?” sakat Faris.

“Pernahlah. Dia nak curi ikan aku..”
“Seriuslah? Sekarang dia ada tak?”
“Dah dah.. tak payah nak mengarut. Ada apa? Kenapa kau happy tak ingat dunia ni?”
“Baca ni!” Faris menghulurkan sehelai kertas berwarna emas yang digulung-gulung.

Ayyan membuka gulungan kertas tersebut. Ada tinta merah yang menghiasi kertas emas tersebut. Kertas berwarna emas seperti ini dia pernah nampak tiga tahun yang lalu. Tampak kertas tersebut sama dengan kertas yang diterima Farihah ketika dia mendapat surat lantikan menjadi Fuqaha di Istana Estodania. Kertas berwarna emas ini tanda urusan diraja dan hanya surat-menyurat rasmi dari istana sahaja yang dibenarkan dicetak di atas kertas seperti itu. Maksudnya, Faris juga mendapat lantikan untuk menjadi tenaga kerja di istana mega itu? Ayyan membaca satu-persatu perkataan yang dicatat menggunakan tinta merah. Jemputan Kadet Juruterbang Diraja.

“Tahniah Faris.. Akhirnya tercapai juga cita-cita kau,” ujar Ayyan. Suram.

“Laaa… tu je reaksi kau?” rungut Faris.

“Dah tu? Kau nak aku buat macam mana?” Umumkan sekampung?” ujar Ayyan.

“Tidaklah sampai macam tu sekali… agak-agak lah.” Faris merampas kembali surat tawaran di tangan Ayyan lalu mengambil tempat duduk di sebelah kanan Ayyan. Ayyan menyambung kerjanya menjahit pukat yang koyak.

“Kau tak happy ke, Yan?” tanya Faris. Senyuman di wajahnya mulai pudar.

“Yang dapat kerja tu kau, bukan aku. Aku tumpang bahagia je lah,” jawab Ayyan.

“Yang kau tak nak apply dulu kenapa?” bentak Faris. Ayyan memandangnya.

“Tak minat!” jawab Ayyan pendek lalu menyambung kerjanya.

“Tak pe lah Faris. Kau pergi je. Okey lah tu. Allah dah tunaikan impian,” sambung Ayyan. Tangannya masih rancak menjahit mana-mana bahagian pukat yang koyak. Hanya ada sedikit lagi yang perlu dijahit selepas hampir sejam duduk di pinggir pantai tersebut.

“Nanti kalau ada pengambilan baru, kau apply lah.. Boleh kita tinggal sekali. Sewa rumah sama-sama,” ujar Faris.

“In shaa Allah. Jangan risaulah. Lagipun aku malas nak tinggalkan kampung. Siapa yang nak jaga datuk aku di sini. Farihah dah hilang tanpa khabar. Kalau aku menyusul, kelak menangis pula orang tua tu. Kau pula, jangan hilang macam akak aku,” ujar Ayyan. Faris tergelak.

“Tak pelah.. kalau hilang,, hilang bersama cinta hati. Sweet ape… sehidup semati,” balas Faris.

“Sweet kepala otak kau!” bentak Ayyan. Cobang diketuk ringan di dahi Faris.

“Nanti kalau ada apa-apa berlaku, cari kami di Estodania tau. Siapa tahu suatu hari nanti, kota raksasa itu diserang garuda.” senda Faris.

“Tengoklah kalau aku ada mood.”

AYYAN melepaskan nafas berat. Permintaan Faris itulah yang mendorong dia meninggalkan kampung halaman. Lagipun, datuk yang dia sayangi telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan yang lepas. Meninggal dunia tanpa sebab. Tiba-tiba sahaja datuknya itu terlentok rebah ketika mereka sedang bersembang di pangkin rumah. Usai dikebumikan, Tok Ketua menyampaikan amanat datuknya. Dia diminta ke Estodania mencari Farihah.

Ayyan bangun dari batu tempat dia duduk. Kaki diatur ke kawasan berpasir. Kapsul Bulma dikeluarkan. Hanya berbaki tujuh biji. Pondok kecil dijelmakan untuk dia berteduh malam itu. Usai diwujudkan pondok tersebut. Ayyan mengambil air wuduk lalu mendirikan solat Isyak dan dilanjutkan dengan sedikit zikir pada wiridnya. Sekadar untuk memohon perlindungan dan bantuan daripada Yang Maha Khaliq. Sesungguhnya, perjalanannya ke Tanah Emas tidak semudah yang dia sangkakan. Selepas jatuhnya empayar gagah Permaisuri Isabella, seluruh Nusantara seperti dilanda malapetaka sehingga hampir semua teknologi yang mereka miliki tidak berfungsi sama sekali.

Selesai memuji-muji Allah Yang Maha Khaliq, Ayyan menyediakan ruang pembaringannya lalu kembali termenung mengimbas kisah-kisah yang memaksa dia memulakan kelana ini. Pandangan dipancarkan ke bumbung pondok. Gelap.

“Tok Ketua! Tok Ketua…!” tergopoh-gapah Pak Ethihar berlari ke rumah Tok Ketua. Kebetulan pada masa itu, Ayyan sedang menemankan datuknya bertemu Tok Ketua.

“Estodania dilanda musibah!” lapor Pak Ethihar terketar-ketar.

Tok Ketua cuba mengawal reaksi mukanya yang sedikit kaget mendengar perkhabaran ini.

“Sekali lagi?” soal Tok Ketua.

“Belintar liar menyerang kota sehingga semua musnah. Banyak pesawat marak disambar api..” sambung Pak Ethihar.

Pesawat? Faris! Jantung Ayyan berdegup kencang mendengar khabar yang dibawa oleh Pak Ethihar itu. Faris merupakan salah seorang juruterbang diraja. Sudah pasti dia akan menjadi kemudi hadapan jika berlaku sebarang petaka di kota perkasa itu. Usai mendengar berita itu, hati Ayyan meronta-ronta hendak menyusul Faris ke Estodania. Datuknya sendiri menyedari hal ini dan memintanya ke Estodania. Tetapi, Ayyan tidak mahu meninggalkan datuknya seorang diri di kampung tersebut. Apabila ajal tiba menjemput datuknya, barulah Ayyan boleh meninggalkan kampung halaman dengan tenang iaitu beberapa hari selepas berita musibah Estodania disampaikan oleh Pak Ethihar.

“Lindungi sahabatku Ya, Allah..” doa Ayyan lalu menutupkan matanya.

Sekali lagi, nafas berat dilepaskan. Hembusan nafas itu sebenarnya adalah lambang keluhan yang disimpankan di dalam hati. Kelana seorang diri seperti ini sememangnya membosankan dan memenatkan. Rindu pada sahabatnya semakin menebal setaip kali dia memikirkan kelana sendirian yang dia lakukan.

Tiba-tiba, pintu pondoknya diketuk dengan kuat. Bunyi ketukan itu seolah-olah ingin merobohkan pondok kecil yang dia dirikan.

“Siapa itu?” tanya Ayyan. Senyap. Tiada sebarang jawapan. Bunyi ketukan pintu yang mengganas tadi juga diam.

Usikan alam sebelah mungkin. Gumam hati Ayyan. Dia membaringkan dirinya semula.

“Buka pintu!!” satu suara bertempik kuat kedengaran dari luar sehingga menyebabkan Ayyan terkejut. Dia bingkas bangun lalu membuka pintu. Tiada sesiapa. Hanya kelam malam dan bunyi deruan ombak yang kedengaran.

“Siapa di sana? Jangan bercanda wahai makhluk Allah” ujar Ayyan cuba memberanikan diri sendiri. Masih tiada jawapan yang kedengaran.

“Jika ada sebarang masalah, mohon tampilkan diri. Saya bantu setakat mampu,” ujar Ayyan lagi. Masih tiada jawapan yang diberikan. Dalam kepekatan malam itu, Ayyan dapat melihat gelojak air laut mula bertukar warna. Daripada warna hitam kelam, rona-rona cahaya biru mula kelihatan. Kocak air semakin deras dan meninggi sehingga membentuk satu jasad.

Masya-Allah! Muslihat apa pula yang dikirimkan oleh Pawang Benayat kali ini. Bungkam Ayyan. Pencak kakinya mula dipasak. Dia sedar, malamnya kali ini tidak akan setenang yang dia harapkan.

Pertempuran dengan alam sebelah akan bermula sebentar sahaja lagi. Walaupun luka di bahu kanannya masih belum kebah, dia akan cuba untuk bertarung sekudrat tenaga. Dia harus menang kerana dia harus hidup. Jika dia mati, bagaimana dia hendak menyusul Faris di Estodania.

Walaupun warisan peninggalan arwah datuknya masih belum dikuasai dengan sempurna, dia harus mencuba untuk menang sekali lagi dalam pertarungan malam ini. Tidak boleh mati.

BAB 2 : LEGENDA MANDALIKA

Disember 2014, Pangkin Utama Istana Estodania,
Tiga puluh minit selepas Azan Asar.
Permaisuri Isabella sedang melemparkan pandangannya ke kota. Dari pangkin istana ini, dia dapat melihat kesergaman kota Estodania yang didiami oleh manusia dan jin itu. Bangunan-bangunan pencakar langit tersergam indah. Hampir kesemua bangunan di Estodania menirus mencucuk langit. Setiap bangunan itu, disambungkan dengan jalan-jalan raya yang terapung mengelilingi bangunan.

Bangunan-bangunan kaca itu membiaskan pantulan cahaya matahari sehingga kelihatan seperti berlian gergasi yang dipasakkan di pusat bumi. Indah dipandang mata. Beberapa kereta terbang melintasi pemandanganya. Hiruk-pikuk kota memang tidak kedengaran dari tempat dia berdiri. Mungkin disebabkan setiap kenderaan yang digunakan oleh manusia-manusia di Estodania tidak lagi menggunakan bahan api berkarbon monoksida. Mereka hanya menggunakan kereta yang menjana kuasa melalui magnet dan juga elektrik. Teknologi hybrid yang diterapkan dalam sistem pengangkutan Estodania sememangnya mampu menjaga kelestarian alam sejagat.

Istana diraja yang terletak di penghujung kota, tersergam indah di atas sebuah bukit. Jadi, dari kejauhan kelihatan seperti istana ini merupakan bangunan yang paling tinggi di Estodania. Istana ini memiliki lebih kurang 8 buah menara dan 50 buah beranda. Pangkin yang menjadi tempat kegemarannya ini terletak di hadapan jalan masuk ke istana. Setiap menara dihalakan mengikut arah mata angin bagi memudahkan kerajaan mereka memantau jajahan-jajahan yang terletak setentang dengan puncak menara tersebut. Jadi, dari sini dia dapat melihat sesiapa yang keluar-masuk istana.

Sebagai isteri Raja yang memerintah kota perkasa seperti Estodania, dia sememangnya dilimpahi dengan kesenangan harta. Walau bagaimanapun, sebagai kerajaan Islam, Estodania tidak akan mengabaikan kewajipan mereka kepada Allah. Islam tetap menjadi agenda utama kerajaannya.

“Assalamualaikum, Permaisuri Isabella,” Farihah menyapanya dari belakang.

Permaisuri Isabella menoleh ke belakang. Matanya menangkap imej wanita solehah yang mengenakan kerudung labuh hitam lengkap berpurdah di wajahnya. Hanya mata yang ditunjukkan pada pandangan manusia lain. Mata perempuan itu cantik beralis lentik dan hitam likat digaris halus kemas menggunakan celak mata.

“Wa alaikumussalam, Farihah” jawab Permaisuri Isabella sambil memberikan sekuntum senyuman ikhlas.

“Maaf, patik lambat datang mengadap,” tutur Farihah lembut dan sopan. Tenang hati Permaisuri Isabella mendengar kelunakan suara Fuqaha Wanita baharu kerajaan Estodania itu.

“Tidak mengapa, Farihah. Beta faham. Kamu juga perlukan masa mempersiapkan diri sebelum bertemu beta,” ujar Permaisuri Isabella. Dia berjalan menghampiri Farihah lalu memimpin ke kerusi putih yang terletak di hujung pangkin.

“Silakan duduk. Beta ada perkara yang ingin dibincangkan,” pelawa Permaisuri Isabella sambil melabuhkan punggungnya. Farihah hanya menurut sambil cuba mengekalkan imej sopan selayaknya wanita muslimah.

“Beta berterima kasih kepada Allah kerana akhirnya kami menemukan fuqaha yang akan meneruskan kelangsungan dakwah Islamiyah dalam kalangan wanita di bumi ini. Terima kasih juga kepada kamu,” Permaisuri memulakan bicara.

Farihah hanya tersenyum. Matanya sedikit menyepet apabila tersenyum. ‘Kau tunggu kehancuranmu wahai perempuan keparat!’ getus hati Farihah. ‘Apa kau ingat aku ingin membantu menyebarkan dakwah-dakwah mengarutmu itu?’

“Bagaimana kamar peraduannya? Selesa?” soal Permaisuri Isabella sehingga Farihah tersentak.

“Alhamdulillah, selesa tuanku. Patik berbesar hati mendapat kamar peraduan semewah itu,” jawab Farihah.

Tiba-tiba, dia rasa pipinya mula membengkak. Terasa pedih pada bahagian kiri. Sedikit demi sedikit, parut lecur di pipi kirinya seakan-akan ingin timbul. Bagaimana ini boleh terjadi? Bukankah dia sekarang sedang dalam wujud Farihah? Jampi dan sihir sudah dibaca untuk mengekalkan wujudnya.

“Alhamdulillah. Istana sengaja memberikan kamu yang terbaik kerana kami mengharapkan yang terbaik daripada kamu. Menyebarkan dan menjaga dakwah Islamiyah itu bukan mudah, Farihah!. Menerangkan hukum-hakam dalam Islam itu bukan mudah. Penuh pancararoba dan bencana ulah kerajaan Ekrandia. Kamu pasti boleh bertahan bukan?” ujar Permaisuri Isabella. Dia meletakkan tangannya di paha kiri Farihah. Panas.

“Inshaa Allah, patik usaha tuanku,” jawabnya Farihah sedikit terkejut.

Pipinya terasa semakin panas. Seolah-olah akan melecur terbakar. Tangannya segera dinaikkan memegang pipi. Ya, parut dipipinya mula timbul membengkak. Kurang ajar! Walaupun dia berjaya memasuki tubuh Farihah, tetapi dia masih gagal membuang kelaziman wanita muslimah itu yang banyak memuji-muji dan mengagungkan Allah sehingga akhirnya jampi yang dipasakkan menjadi goyah.

Permaisuri Isabella mula berasa hairan melihat tingkah Farihah yang semakin pelik. Farihah kelihatan seperti tidak senang duduk dan berasa tidak selesa. Tetapi, Permaisuri Isabella cuba untuk mengabaikannya kerana dia menganggap Farihah mungkin segan bersembang dengan kerabat diraja sepertinya.

“Andainya Farihah tidak berasa keberatan, beta ingin melihat wajah Farihah memandangkan Farihah akan mengepalai pengajaran Syariah Islam di Istana ini. Boleh?”

Permaisuri Isabella tidak dapat membendung keinginan hatinya melihat wajah Farihah yang ditutup dengan sehelai kain hitam. Tingkah Farihah yang tampak tidak selesa itu menguatkan lagi keinginannya melihat wajah Farihah. Padahal, sebelum ini dia cuba untuk menghormati pilihan Farihah yang mengenakan niqab saat bertemu dengan permaisuri sepertinya itu.

“Apa dia tuanku?!” Farihah tersentak mendengar permintaan Permaisuri Isabella itu. Dia tidak menjangka sama sekali bahawa Permaisuri akan memintanya menanggalkan niqab yang dipakainya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sihirnya yang hampir berkurang dan menjelmakan wajahnya sebenar. Nilakendra yang muncul dalam wujud Farihah itu mula gementar. Dia risau sekiranya rancangan yang diatur terbongkar sebelum dimulai.

“Beta ingin melihat wajah kamu!” ulang Permaisuri Isabella tegas.

Matanya dipicingkan memandang Farihah. Rasa ingin tahunya semakin menebal melihat anak mata Farihah yang tampak gelisah. Suhu badan Farihah juga terasa panas sehingga menghasilkan bahang. Firasatnya mula berdetik, adakah fuqaha yang baru dilantik ini kesurupan.

Farihah semakin gementar. Tangannya digenggam erat. Kakinya terasa menggeletar. Peluh dingin mula terembes pada wajahnya sehingga kerudung dan niqab yang dipakainya tampak basah. Permaisuri Isabella masih memicingkan pandangannya. Farihah cuba memaniskan wajah dan melemparkan sekuntum senyuman. Namun, Permaisuri Isabella masih memandangnya dengan wajah yang serius.

Disember 2017, Pantai Belawai, Kepulauan Karimata.
Empat jam selepas azan Isyak.
AYYAN memulakan pencak silatnya. Atur langkahnya sedikit ralat menahan sakit di bahu kanannya yang terluka dalam pertarungan dengan seekor naga jelmaan tiga malam yang lepas. Mindanya sedang galak memilih mana-mana bacaan yang ampuh agar kebergantungan dan keyakinannya terhadap Allah semakin kejap. Gelombang ombak laut di hadapannya sudah mula membentuk jasad seperti manusia, tetapi masih dalam wujud air. Wujud air tersebut mula menghalakan tangannya ke arah Ayyan.

“Istra… Ostra… Migamos… Kuwasa… Istra… Ostra… Migamos… Kuwasa…!”

Berbalam-balam kedengaran suara serak-serak basah mengulang-ulang ayat itu. Sesiapa yang mendengarnya pasti akan berasa seram seluruh tubuh. Layaknya seperti sedang memuja sesuatu dan memanggilnya untuk muncul. Serentak dengan itu, pokok-pokok di sekitar Pantai Belawai mula meliuk-lentok seiring dengan deruan angin yang semakin rancak.

Ayyan menuruni tangga pondok yang diwujudkannya daripada teknologi canggih Estodania itu. Segera dikecutkan pondok jelmaan itu kembali dalam bentuk kapsul lalu dimasukkan kembali ke dalam uncang yang disisipkan di pinggang kanannya. Ayyan mencuba kembali bersiap-siaga menentang musuh baharu yang masih dalam bentuk air itu.

Belum sempat Ayyan mengatur pencak, satu tumbukan padu dilayangkan tempat ke dadanya. Ayyan tertolak 2 meter ke belakang. Dadanya terasa sakit. Dia terbatuk-batuk menahan kesakitan.

“Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi” Kalimah suci yang bermaksud penyerahan diri secara total kepada Allah dan keyakinan bahawa pertolongan Allah akan diberikan kepadanya.

Wujud ombak tadi sudah sempurna jelmaannya menjadi seorang lelaki yang memiliki ekor seperti ular. Badannya masih mengeluarkan cahaya berwarna biru. Melalui suluhan cahaya tersebut, Ayyan dapat melihat telinga runcing yang terletak di sisi kiri dan kanan kepalanya dan ada tanduk melengkung yang besar di atas kepalanya. Lelaki itu sedang berpeluk tubuh. Ekornya dilayukan menganjur ke laut dan sedikit dilibaskan sehingga menghasilkan riak ombak yang kecil memukul batu-batu dipinggir pantai. Matanya memandang tepat ke arah Ayyan.

Ayyan menghela nafas panjang. Digagahkan keberanian dirinya untuk berbual dengan jelmaan jin di hadapannya itu. Ayyan masih sedar bahawa selagi dia meletakkan keyakinan kepada Allah, Ayyan akan dilindungi dan keselamatannya pasti terjaga. Cuma, kadang-kala Allah akan sengaja menurunkan ujian untuk menguji keimanannya.

“Salam Sejahtera wahai Makhluk Allah,” Ayyan memulakan bicara. Dia menapak ke hadapan sedikit. Dia tidak ingin meneruskan perlawanan tanpa mengenali siapa yang bakal menjadi lawannya itu. Boleh jadi, jin yang menjelma di hadapannya ini tidak berniat jahat seperti jelmaan naga yang ditemuinya sebelum ini. Salam yang Ayyan hulurkan disambut sepi tanpa sebarang jawapan.

“Apa mahu kamu? Dan siapa kamu sebenarnya?” Apakah kamu juga salah satu makhluk suruhan Pawang Benayat?” soal Ayyan lagi tanpa menanti jawapan salamnya. Siap-siaganya masih dijaga kalau-kalau jelmaan jin di hadapannya itu bertindak ganas menyerangnya.

Tiba-tiba, jelmaan jin di hadapannya itu tergelak. Gelak tawanya terdengar lucu pada penilaian Ayyan. Mengekek seperti anak-anak kecil dengan nafas tersekat-sekat seperti tersedu. Ayyan tercengang melihat tindak balas jelmaan jin itu. Ekornya yang mengunjur ke laut terliuk-liuk laju selari dengan kekekan tawanya.

“Apa yang lucu wahai makhluk Allah?” soal Ayyan lagi. Hatinya terasa agak marah kerana dia mengira jin itu sedang mempersendakannya. Tangannya mencapai sebatang kayu yang ditolak ombak tepat ke hujung kaki kirinya.

“Kamu kata aku suruhan Pawang Benayat?” ujar jin jelmaan itu lalu ketawa terkekek-kekek semula.

Amarah Ayyan mula meruap. Bibirnya pantas membaca Al-Fatihah lalu hembusan nafas ditiupkan pada kayu yang baru sahaja dipungutnya. Selajur kayu itu direjam ke arah jin di hadapannya. Malangnya, kayu yang dibaling tadi berjaya dielak oleh jin tersebut. Jin itu merengus marah. Ekornya terkocak lebih laju sehingga riak air laut semakin kuat.

“Tidak semudah itu jika kamu hendak menewaskan aku, anak muda!” tempik jin tersebut seperti guntur. Tubuh Ayyan dilibas kuat menggunakan ekornya tanpa sempat Ayyan mengelak. Tubuh Ayyan tercampak lalu terhempas ke batu-batu dipinggir pantai.

“Sudah! Biarkan dia!!” tempik satu suara yang lain. Jelas kedengaran suara itu berbeza daripada suara jelmaan jin tadi.

Pandangan mata Ayyan berpinar-pinar. Belakang tubuhnya terasa sangat sakit akibat terhempas ke atas batu. Dia meraba-raba belakang kepalanya. Ada darah yang mengalir. Ayyan melepaskan nafas. Matanya dihalakan ke aras langit melihat kelamnya malam. Hati kecilnya mengakui bahawa dirinya masih belum cukup kuat meneruskan kembara ke Estodania ini seorang diri. Ilmu Allah dan warisan datuknya masih belum dikuasai sepenuhnya. Sesungguhnya, dia sedar bahawa masih banyak yang dia perlu pelajari lagi.

Sepatutnya, sebelum memulakan kembara ini, dia mempersiapkan diri di Kampung Pagung terlebih dahulu. Namun, dia terlalu mengikut hawa nafsu untuk bersegera menyusuli Faris ke Estodania. Dia sangat risau akan keadaan sahabatnya itu. Farihah, kakaknya dianggap sudah tiada. Dia sudah berjaya meredhakan diri akan pemergian kakaknya itu.

Ayyan memejamkan matanya. Dia menyerah kepada takdir Allah. Berputus asa untuk terus bertahan. Tubuhnya terasa sangat lemah. Luka di bahu kanannya terasa semakin parah selepas terhempas ke batu. Terdengar bunyi sesuatu melompat ke dalam air. Ayyan beranggapan bahawa jin tadi sudah meninggalkannya. Di dalam hati, dia memanjatkan kesyukuran. Dia yakin Allah telah membantunya malam itu dengan menggerakkan hati jin tadi tidak membunuhnya. Sesiapa pun empunya suara yang menghentikan tindakan jin tadi, Ayyan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menyelamatkannya.


============

Suntingan dan Gambar: Nil 
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com