Showing posts with label Kamarul Ariffin Nor Sadan. Show all posts
Showing posts with label Kamarul Ariffin Nor Sadan. Show all posts

Saturday, 17 February 2018

NALURI - Kamarul Ariffin Nor Sadan


NALURI

==============================

Aku jarang pergi menonton wayang, tapi kalau aku pergi, mesti midnight show. Setiap hari aku kerja 2 shif; pagi dan petang. Hanya selepas bekerja sahaja aku ada masa nak ke panggung wayang

Satu malam itu, seperti biasa, selepas shif petang, aku tempah siap-siap tiket wayang di panggung sebuah mall terkenal di Johor Bahru.

Biasanya aku akan letak kereta di parkir bertingkat di mall berkenaan. Parkir di aras paling dekat dengan pintu masuk ke panggung selalu penuh, jadi aku letak kereta aku di tingkat mezzanin yang berada di bawah tingkat berkenaan.

Jika kalian tidak tahu, mezzanin tu adalah aras di antara dua tingkat sesuatu bangunan. Oleh kerana mezzanin itu terletak di antara dua tingkat, tiada pintu masuk yang terus ke bangunan mall. Perlu naik setengah tangga ke aras atas atau bawah baru boleh masuk ke dalam mall.

Lumrahnya, ramai malas naik turun tangga, jadi tingkat mezzanin ini selalu kosong. Malam itu, bila aku sampai ke tingkat mezzanin, aku nampak ada satu Proton Saga generasi pertama. Aku pun parkir kenderaan aku selang satu petak dari kereta tu. Selepas parkir, aku terus bergegas ke naik ke panggung.

Aku tak ingat filem apa aku tonton malam berkenaan, tapi apa yang aku ingat, filem itu hambar. Seusai habis tayangan, aku terus bayar tiket parkir, dan langsung turun ke tingkat mezzanin di bawah untuk ke kereta aku.

Ketika aku nak masuk ke dalam kereta, aku perasan macam ada orang sedang perhatikan aku dari dalam kereta Proton Saga di sebelah kereta aku itu. Jadi, aku pun tolehlah ke kereta itu.

Tingkap kereta itu dah berlumut. Bumbung dan hudnya berdebu. Tayar depan dan belakang sudah kempis. Kelihatan seperti sudah lama kena tinggal di situ. Yang penting, tiada sesiapa di dalam kereta berkenaan.

Mungkin perasaan aku sahaja.

Aku pun mengabaikan perkara itu dan buka pintu kereta aku. Kemudian, aku terdengar sesuatu yang membuatkan dengupan jantung aku jadi laju.. Waktu itu aku tengah membelakangkan kereta itu, namun aku dengar bunyi absorber dia berkeriuk nyaring. Tubuh aku kaku. Meremang bulu roma di tengkuk.

“Nyik, nyik, nyik…”

Bunyi lagi! Aku nekad untuk toleh belakang untuk periksa. Namun sebelum pergi untuk memeriksa, aku buka pintu kereta aku dan ambil steering lock dari bawah kerusi pemandu. Aku khuatir ada orang ingin rompak aku, jadi kena bersedia. Selepas steering lock itu sudah dalam genggaman aku, baru aku toleh.

Kereta Proton Saga itu pegun sahaja bila aku lihat...

Cuma di cermin tingkap sisinya, belah tempat duduk belakang, ada tulisan "T O L O N G". Jantung aku bagai nak luruh baca tulisan itu. Tadi aku rasa tiada tulisan itu. Ke tadi aku tak perasan? Tulisan itu macam orang tulis guna jari atas cermin yang berhabuk.

"Hoi! Jangan main-mainlah!" Jerit aku sambil sua steering lock tu ke arah Proton Saga berkenaan. Mana tahu ada orang nak prank aku, atau ada penjenayah ke.

Lebih kurang seminit aku tunggu, namun tiada sebarang respons. Sunyi sahaja. Yang ada hanya desir angin. Tingkat mezzanin ini jika tidak silap antara tingkat 3 & 4, jadi angin di aras ini agak kuat. Desir angin itu buat kan hati aku semakin tak tenteram.

Sedang aku perhatikan kereta itu dari jauh, tiba-tiba kereta tu bergoyang. Lutut aku terus lemah. Rasa macam nak terjelepok jatuh, Tangan aku terketar-ketar, namun sedaya upaya, aku genggam kemas steering lock dalam tangan.

"Jangan main-mainlah weh!" Jerit aku. Suara aku gigil. Aku antara cemas dan seram. Tiba-tiba kedengaran..

"Tolong..."

Kedengaran suara bisikan dari dalam kereta tu. Tak pasti suara itu milik seorang perempuan atau suara seorang budak. Suaranya lemah, seperti tidak bermaya. Aku terus meluru ke arah kereta itu.

Aku tahu mesti kau orang rasa aku bodoh, tapi kau kena tahu kenapa aku bertindak sebegitu. Aku ini seorang doktor. Memang naluri aku akan bertindak untuk bantu orang yang ditimpa kecelakaan atau yang tercedera. Dalam fikiran aku, terbayangkan ada orang terperangkap dalam kereta tu. Aku kena tolong dia!

Sampai di kereta tu, aku terus menjengah ke dalam, namun tidak boleh nampak apa-apa disebabkan cermin tingkapnya berlumut. Aku lap cermin tingkap dengan tangan aku. Debu di cermin itu hilang, tetapi tulisan 'TOLONG' tu tidak hilang. Lumut pun masih tebal. Baru aku sedar tulisan tu ditulis dari sebelah dalam tingkap. Aku cuba buka pintu kereta berkenaan. Namun ia berkunci.

"Lari jauh dari tingkap ni!" Arah aku sebelum hayun steering lock pada cermin tu.

PRAKKK!

Cermin retak. Aku hayun sekali lagi baru tembus cermin itu, namum kerana ada lapisan tint, serpihan kaca tak bertaburan.

Aku tinjau ke dalam kabin melalui lubang pada kaca itu. Tak nampak ada sesiapa. Bau hapak menerpa hidung aku. Bau itu mengingatkan aku kepada bau kain basah diperam.

Mata aku berair. Aku lepaskan batuk dua tiga kali, dan kemudian terus bersihkan kaca dari bingkai tingkap. Setelah itu, aku masukkan tangan melalui bukaan tingkap itu dan buka pintu kereta dari dalam.

Bila pintu dah terbuka, aku kuakkan luas. Aku jengah ke dalam. Tiada ada orang! Tak puas hati, aku tinjau tempat duduk hadapan. Pun tak ada orang! Mustahil! Tak mungkin! Aku yakin aku dengar suara orang minta tolong tadi.

Tengah aku periksa dalam kabin tu, aku dengar lagi suara tu. —"tolong…”

Kalau tiada dalam kabin kereta, maknanya mesti dekat dalam… but kereta! Aku keluar dari kabin, dan terus ke belakang kereta. But, tak boleh buka. Lupa nak tarik tuil but di sebelah tempat duduk depan. Tergopoh-gapah punya pasal.

Jadi, aku pergi tarik tuil pembuka but, dan bergegas semula ke belakang. Terkejut aku tengok keadaan pintu but tu!

Setahu aku, but Proton Saga tak akan terkuak sendiri lepas tarik tuil. Kena angkat pintu but secara manual. Tapi bila aku sampai di belakang tadi, pintu but tu dah terngaga luas.

Aku terus toleh kiri kanan. Mana tahu orang yang terperangkap tu dah keluar dari but, namun tiada sesiapa kelihatan.

Tak mungkin orang itu lari cepat sangat sampai aku tak nampak. Kalau dia lari pun, mesti aku dengar bunyi derap kakinya. Sekali lagi bulu roma aku meremang!

Aku jengah sikit dalam but Saga tu, mana tahu ada apa-apa. Yang ada cuma sepasang but keselamatan dan topi keselamatan berwarna kuning.

"Encik buat apa tu?"

Tersentak aku bila ada orang sapa aku. Bagai nak melompat jantung aku keluar dari sangkar rusuk. Bila aku toleh, rupanya pegaawal keselamatan.

"Tak ada, tadi..."

Aku pun ceritalah apa yang berlaku. Muka pengawal keselamatan itu tenang sahaja mendengar cerita aku. Lepas tu dia kata, "Kereta ni memang keras. Kita orang pun selalu rasa lain macam bila ronda dekat kereta ni."

"Habis, pihak mall tak buat apa-apa ke?" tanya aku.

"Suspek kereta curi tapi dah check dengan polis, tak ada laporan hilang kenderaan ni.

Selepas borak sikit dengan pengawal keselamatan itu. Dia pesan jangan letakkan kereta di situ lagi. Dia pesan juga supaya nak balik nanti, sebelum masuk kereta, baca-bacalah apa yang patut. Takut benda itu pindah ikut kereta aku.

Peh! Makin seram aku dibuatnya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, laju gila aku pandu kereta, dan berjuta-juta kali aku toleh cermin pandang belakang. Cuak sungguh. Sampai di rumah aku baca ayat Qursi sebelum masuk rumah.

"Heeeeeehehehe..."

Dengar suara mengilai. Kebas bibir aku. Meremang satu badan. Lari masuk rumah terus selubung atas katil. Menyesal aku acah-acah berani.


Pengajaran:
1. Elak letak kenderaan di tempat yang sunyi untuk elak daripada menjadi sasaran penyamun.

2. Kalau ada perkara yang mencurigakan, terus laporkan kepada pengawal keselamatan. Tak usah pandai-pandai siasat sendiri.
-TAMAT-
___________________________
Gambar: Nadey
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Monday, 18 September 2017

TANGKI AIR KMJ - Kamarul Ariffin Nor Sadan


“Malam ni kita panjat tangki jom!”
Masa aku belajar di Kolej Matrikulasi Johor(KMJ) dulu, antara perkara yang tualang boleh dilakukan ketika kebosanan di malam minggu adalah memanjat binaan tertinggi di dalam kawasan kolej, iaitu menara tangki air.
Menara tangki air di KMJ adalah jenis cendawan/UFO— tiang menara berbentuk silinder dan tangki air berbentuk gasing. Ia adalah kawasan larangan, maka ia diperimeter oleh pagar yang tinggi.
Malam tu aku salah seorang daripada geng aku ajak panjat tangki. Selama ni aku tak pernah ikut pun dia orang naik ke atas sana, namun entah kenapa malam itu aku terasa desakan nak lihat apa yang menariknya di atas sana sampai budak-budak ni sanggup ambil risiko tertangkap melanggar peraturan untuk ke sana.
Kebanyakan geng aku yang nak naik tangki malam tu, adalah budak sains hayat, jadi kami berkumpul di Blok B(blok sains hayat) walaupun secara idealnya, bertolak dari Blok C adalah lebih selamat kerana ianya lebih dekat. (Ketika itu, Blok C adalah blok kediaman pelajar lelaki)
“Macam biasa, tepat 12.20 malam, kita gerak.” kata Lan.
“Kenapa 12.20, bukan 12.30 ke? 12.00 ke?” soal aku.
“Sebab 12.20 pak guard habis ronda.” Jawab Lan.
“Kau pasti?” soal aku lagi
“Kau ni banyak tanyalah Chaku! Kau ikut je lah. Benda ni bukan kali pertama kita orang buat. Kita orang dah recce dah jadual pak guard ronda. 12 tengah malam, dia start ronda. Dia akan pusing dari Blok admin, ke padang, lepas tu Blok F, E, D, C, B, A, pastu patah balik ke pondok guard. Biasanya dalam 20 minit, habislah dia ronda. Faham? Ada lagi apa-apa nak soal?” terang Lan panjang lebar.
Aku geleng kepala. Pokjang dan Wandol pun geleng.
Seperti yang dirancang, tepat jam 12. 20 malam, kami segera merentas gelanggang bola keranjang di sebelah blok B untuk ke rendevous point kami yang pertama, iaitu di garaj bas. Ia terletak bersebelahan dengan kawasan tangki air. Dari sana, seorang-seorang akan lari ke pagar perimeter tangki dan panjat selaju mungkin.
Lan yang pertama lari menuju pagar tu. Apabila aku lihat dia panjat pagar setingi 6 kaki itu, hati aku jadi gemuruh. Sewaktu memanjat pagar, kami agak terdedah kepada mata-mata yang meliar. Jadi kami kena lakukannya secepat mungkin, tanpa mengabaikan keselamatan. Pagar itu tingginya 6 kaki, kalau jatuh, silap hari bulan boleh patah tulang.
Selepas Lan, PokJang dan Wandol menyusul. Kemudian giliran aku. Jantung aku berdetak laju, menendang-nendang dinding dada aku dari dalam. Bibir aku terasa kering. Tangan aku berpeluh.
“Woi! Cepatlah!” kelihatan memanggil aku tanpa suara. Namun aku boleh baca melalui gerak bibirnya. Dia sedang berdiri di bukaan empat segi yang aku kira pintu masuk ke menara berbentuk silinder itu. PokJang dan Wandol tidak kelihatan, mungkin dah masuk ke dalam menara tangki air.
Aku bulatkan tekad, gembeleng seluruh tenaga, dan meluru ke pagar. Tiba sahaja di pagar, segera jaring-jaring pagar digapai, lantas aku menampung diri sendiri ke atas. Dalam kalut, dan haru biru itu, aku rasakah seolah-olah seperti ada seseorang yang berada di belakang aku. Memerhatikan gerak-geri aku.
Tiba di atas pagar, aku melangkah kaki kanan ke dalam, diikuti dengan kaki kiri, dan langsung aku terjun ke bawah. Nak cepat punya pasal. Sebaik sahaja aku mendarat ke tanah, aku segera berdiri dan memalingkan kepala aku keluar pagar. Tiada sesiapa. Aku toleh kiri, kanan. Masih tiada sesiapa kelihatan.
Aku terus lari ke pintu masuk menara.
“Woi! Kau ni dah kenapa, Chaku? Jangan lengah-lenhgah.” kata Lan dengan suara berbisik sebaik sahaja aku masuk ke dalam menara. Aku cuma geleng kepala pada Lan.
Dalam menara ni tak ada lampu. Penglihatan kami mengharapkan lampu jalan raya yang melimpah masuk ke dalam menara melalui tingkap sempit dan panjang di dinding menara. Dengan ihsan cahaya tersebut, kelihatan tangga(monkey ladder) yang berdiri vertikal dari lantai ke bukaan di siling yang berada 15 kaki di atas.
╬═╬

╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬

Dhong! Dhong! Dhong!
Pokjang dan Wandol sedang memanjat tangga tersebut. Setiap kali kaki mereka memijak palang-palang besi tangga tersebut, terhasil bunyi besi bergegar. Ia bergema dipantul oleh dinding konkrit menara tesebut. Frekuensi gemaan itu membuatkan bulu roma di tangan aku meremang.
“Kau OK tak?” soal Lan lagi.
“OK. Aku OK. Aku cuma tak sangka tangga jenis macam ni.”
“Kenapa? Kau gayat?”
“Tak. Don’t worry. Aku OK.”
“OK. ” kata Lan seraya mencebik bibir dan menggangkat kedua-dua beah bahunya, sebelum mencapai tangga dan meruntun dirinya naik. Gerak-geri Lan menaiki tangga akan cermat dan tenang. Dentang-dentung besi tangga tu tidak berapa ketara. Aku cuba meniru tekniknya.
Tingkat 1. Keadaannya serupa dengan tingkat bawah, tapi tangganya berada sedikit di kiri, berbanding di kanan di tingkat bawah. Kami teruskan memanjat.
Tingkat 2. Tangga di kanan. Kami panjat lagi.
Tingkat 3. Tangga di kiri. Sepanjang memanjat tu, aku membisukan diri. Kepala aku asyik memikirkan perasaan yang aku alami masa panjat pagar tadi.
“Chaku!! Jangan berangan. Fokus! Fokus! Kita nak panjat terowong ni gelap. Kena pakai lampu telefon.” kata Wandol, menarik aku semula dari dimensi fikiran aku, kembali ke dunia nyata.
Tingkat 4. Tangga ke atas terletak di betul-betul di tengah-tengah menara. Tangga itu menuju ke satu lubang terowong di tengah-tengah syilling. Hitam pekat di dalam lubang itu. Bayangkan kau lihat ke dalam perigi yang gelap, cuma perigi ini ke atas, bukannya ke bawah.
Aku menyusul paling akhir. Sebaik sahaja masuk ke dalam terowong, nafas aku menjadi laju. Udara terasa seperti berat. Dada seperti sempit dan terhimpit. Mungkin kerana, terowong ini, gelap, sempit ia memberi kesan psikologi kepada aku. Tambahan pula aku dah memanjat 60 kaki tangga vertikal, mungkin sudah tiada stamina.
Aku berehat sebentar di dalam terowong itu untuk mengatur semula pernafasan sambil ditemani skrin lampu telefon aku. Muda-muda lagi stamina dah macam atuk-atuk. Aku dongak ke atas. Lan, Pokjang dan Wandol meneruskan panjatan. Tak berapa lama kemudian mereka dah berjaya keluar dari terowong itu.
Dhongg! Dhongg! Dhongg!
Kedengaran gema dentangan-dentang tangga besi. Gegarannya pada palang tangga terasa di jari-jemariku yang masih menggengam erat palang tersebut. Aku langsung dongak. Tiada sesiapa di atas aku. Rakan-rakan aku memang dah keluar dari terowong ni. Mereka dah naik ke atas bumbung menara tangki.
Jika tiada sesiapa di atas, mesti dentangan itu datang dari bawah, kan? Tapi mana ada orang selepas aku. Bulu roma aku merinding. Nafas aku tercungap-cungap macam ikan di darat. Jari-jemari aku terasa kebas. Aku boleh dengar degup jantung aku sendiri di gegendang telinga.
Siapa yang Sedang menaiki tangga ni? Jangan-jangan, pak guard tak?
Aku perlahan-lahan jauhkan diri dari tangga, suluh ke lampu telefon aku ke bawah dan menjenguk ke bawah di antara celah kelengkang aku. Tiada sesiapa. Aku jengah-jengah lagi. Memang tak ada orang. Mungkin dentangan itu tadi datang dari gerakan aku sendiri agaknya.
Aku terus sambung memanjat ke atas selaju mungkin.
Apabila tiba dipenghujung terowong itu, aku lekas-lekas panjat keluar. Kaki aku hampir tergelincir, namun aku berjaya stabilkan diri semula. Udara dalam ruang ini terasa sangat lembab. Bau klorin sangat kuat. Hawanya juga sangat sejuk, mengigit ke tulang. Aku halakan lampu telefon ke sekeliling.
Itu kali pertama aku lihat binaan dalam tangki air.
Terowong yang aku lalui tadi, sebenarnya terowong merentasi tangki air. Kiranya, di sekeliling terowong itu adalah air. empat aku berdiri itu adalah pelantar bulat ditengah-tengah tangki air tersebut. Radiusnya pelantar itu lebih kurang 1 kaki sahaja. Tiada railing disekeliling pelantar kecil tersebut. Jika aku tergelincir tadi, aku akan terjatuh dalam tadahan air yang gelap gelita yang entah berapa dalamnya.
Splash! Splash! Splash!
Eh? Budak-budak ni mandi dalam ni ke? Gila! Tak cuak ke mandi dalam gelap gelita ni? Hati kering betul. Sebab tu ke dia orang selalu naik ke atas ni? Sebab nak berenang dalam dalam tangki ni?
Aku suluh lampu ke dalam air. Hitam. Tak nampak apa-apa. Cahaya lampu aku tu hanya terpantul semula, menghasilkan aura-aura cahaya yang menari-nari di siling tangki air. Kalau suruh aku turun dalam air dalam keadaan segelap ni, memang aku takkan turunlah.
“Woi Chaku! Buat apa kat dalam tu? Naik lah!”
Aku dongak ke atas. Terpacul kepala Lan, Pokjang dan Wandol dari bukaan di tengah-tengah siling. Untuk naik ke bumbung, ada satu lagi tangga vertikal menuju ke atas. Aku pun untuk panjat tangga itu dan keluar ke bumbung menara tangki air.
Sedang aku panjat, tiba-tiba aku rasa sesuatu yang basah di pergelangan kaki aku. Spontan, aku menoleh ke bawah lalu menyuluh di pergelangan kaki.
Di antara palang anak tangga, kelihatan wajah lesu seorang perempuan sedang mendongak. Rambut basahnya yang melingkar di pergelangan kaki aku. Kudrat yang bersisa dalam tubuh meluntur. Lutut melonglai.
Cebur!
Aku tergelincir daripada tangga, dan terhumban ke dalam air. Bila tubuh aku bersentuh dengan permukaan air, seluruh kulit aku bagai ditusuk sejuta jarum-jarum halus. Sejuknya bukan kepalang. Buih-buih halus merayap di permukaan kulit, mengapung ke atas mencari permukaan air.
Aku menggapai-gapai tangan. Kaki menendang-nendang. Cuba mengapungkan diri. Namun aku hilang orientasi. Buka mata, dunia sama gelap dengan menutup mata. Tak tahu mana utara mana selatan, mana timur mana barat.
Aku semakin tenggelam. Pergelangan kaki kiri aku terasa seperti dibelenggu cengkaman tangan manusia dan ia sedang menarik aku ke dasar.
Membayangkan lembaga yang aku terlihat tadi sedang menarik aku, buatkan aku bertambah panik. Aku cuba untuk bertenang dan padamkan imej menyeramkan itu daripada minda. Namun, apabila gelap menyelubungi, itu menjadi mustahil. Bila mata tak melihat, minda menjadi mata, dan mata minda aku sedang aktif mengulang tayang wajah itu.
“Tol…”
Aku cuba menjerit meminta tolong, namun sebelum sempat aku suara aku keluar, air sudah menceroboh masuk ke tenggorok. Larinks aku mengejang, menyebabkan nafas tersengkang.
Aku semakin panik.
Dada aku membara, kerana dahagakan oksigen. Kesedaran aku mengabur, kerana mula mengalami hipoksia. Otot-otot aku mengejang kerana tak mampu lagi jana tenaga melalui jalan anaerobik.
“Marilah… “
Kedengaran suara itu berbisik. Suara seorang wanita. Halus dan bernuasa menggoda. Terasa dada aku didakap kemas. Kemudian dakapan itu semakin kejap sehinggakan sisa udara di dalam paru-paru aku terhambat keluar dalam bentuk gelembung-gelembung udara dari mulut dan hidung aku.
“Bersemadilah kau di sini… “
Kara suara itu lagi. Aku tak melawan. Aku redha. Jika hari ini dan begini aku mati, maka aku merelakannya. Aku sudah tiada kudrat melawan. Tak mampu aku berjuang lagi. Selamat tinggal dunia.
“Allahuakbar! Chaku!”
Aku buka mata aku yang entah bila ditutup. Aku lihat ada limpahan sinar cahaya putih meremang ke arah aku dari suatu sudut. Dari putih chaya itu, terpacul tangan yang menghulur.
“Capai tangan aku, Chaku! Come on!”
Suara itu aku cukup kenal. Lan. Jazlan. Megat Muhammad Jazlan. Mendengar suara sahabat aku itu, tiba-tiba segala babak dalam kehidupan aku terlintas di fikiran. Hidup aku terlalu banyak perkara yang sia-sia. Banyak lagi perkara yang aku belum capai. Banyak lagi janji yamg belum dikota.
Pada ketika ini kesedaran aku kembali menjelas. Nyawa aku yang tadinya malap, kembali menyala. Aku tak mahu mati hari ini. Ajal aku bukan hari ini!
Aku angkat tangan aku dan cuba capai tangan yang dihulurkan itu, terasa seperti amat berat. Namun aku gagahkan jua. Aku gunakan kaki untuk membantu aku mengapung ke arah cahaya tadi.
Akhirnya, tangan aku disambut oleh tangan yang menghulur tadi. Tangan itu meruntun aku ke atas. Harapan aku untuk terus hidup berputik. Namun dengan tidak semena-mena muncul tangan pucat dari dasar kegelapan mencengkam lengan aku dan merentap semula ke bawah.
Perlahan-lahan aku tenggelam semula.
Aku eratkan genggaman pada tangan yang sedang menarik aku ke atas. Aku berdoa pada Tuhan agar diberi lagi aku peluang untuk memperbaiki diri. Beri aku masa untuk berubah. Ini janji aku dari lubuk hati aku. Janji yang, demi Tuhan, akan aku kotakan.
Wallahi wabillahi watallahi.
Selesai sahaja sumpah itu, beberapa lagi pasang tangan dicebur ke dalam air dan memegang lengan aku, lalu ditariknya aku ke atas sehingga keluar ke permukaan air
Lan, Wandol dan Pokjang bertungkus lumus membaea aku naik ke platform semula. Aku menarik nafas dalam-dalam. Lahap aku menghirup udara segar. Barulah aku tahu betapa hebatnya nikmat bernafas. Bila nafas aku kembali teratur, perkara pertama yang aku lakukan adalah memperbaharui syahadah aku.
Aku pun tak tahu kenapa aku berbuat demikian. Ia terasa sesuatu yang rasional untuk dilakukan ketika itu. Malahan selepas itu, entah dari mana datangnya, aku kembali mempunyai kudrat yang cukup untuk berdiri. Ajaib.
“Jom, kita turun lekas!” kata aku sambil tergopoh-gapah membawa diri aku ke tangga yang menghala ke bawah.
Laju langkah aku menuruni tangga sepanjang terowong tadi. Lan, Wandol, dan Pokjang menyusul rapat tanpa soal siasat. Sewaktu kami tiba sahaja di tingkat 4, kedengaran suara yang buat kami semakin bergegas turun.
“Heeee he he he”. Suara perempuan mengilai.
Kami turun separuh tangga, kemudian terjun. Turun separuh, terjun. Masa tu dah tak fikir pasal bising. Tak fikir pasal kantoi dengan pengawal. Kami cuma nak larikan diri dari makhluk jahanam tu.
Tiba di tingkat bawah, lintang pukang kami lari ke pagar. Panjat. Lompat. Pecut terus balik ke Blok B. Tak pandang kanan kiri. Tak pandang belakang.
Sampai di bilik. Aku terus buka pakaian, pakai tuala dan cerita semula pengalaman aku pada geng-geng yang lain. Taubat semua orang dah tak bak naik tangki lagi.
Malah beberapa hari aku tak mandi sebab terfikir apa yang ada dalam tangki air itu. Aku sebenarnya takut makhluk itu muncul dalam bilik air. Aku terbayang benda tu menyusur ke dalam saluran air, ke paip, kemudian menjelma keluar dari kepala pair atau pancuran, atau mungkin dari mangkuk tandas.
Seriau.
Aku nasihatkan agar kau orang jangan naik tangki tu. Ada benda tak baik di sana. Menunggu kau orang datang. Jangan mandi malam-malam. Jangan duduk lama-lama sangat dalam tandas. Jangan buat benda-benda tak elok dalam bilik air. Bila-bila masa sahaja ia boleh datang ziarah kau.
Ingat pesanan aku ni.
Ohya! Kolam dekat sevalah Blok A dan sebelah Blok F tu pun kau hati-hati. Malam-malam, jangan asyik pandang area situ.

****

Follow penulis di www.facebook.com/chaku

Nota: Gambar ini diambil dari atas tangki air KMJ

Sunday, 9 July 2017

MISTERI LEBUHRAYA SENAI DESARU (E22) - Kamarul Ariffin Nor Sadan


Bagi yang tak tahu, lebuhraya sepanjang 77 km yang merentasi selatan Johor ini menghubungkan Senai di barat dan Desaru di timur. Mula dibuka pada tahun 2009 namun sehingga kini, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya ini belum mencapai kapasiti anggaran.
Pendek kata, masih lengang.
Ada banyak faktor yang menjadi polemik berkenaan sambutan dingin para pengguna jalanraya, antaranya ketirisan dana, kualiti turapan dan harga bayaran tol yang tinggi, namun di kalangan orang tempatan, perkara yang sering dibisikkan adalah tentang kejadian paranormal.
Aku tak mahu cerita apa yang disampaikan dari mulut ke mulut kerana ia entah betul entah tidak. Aku cuma berhasrat kongsikan pengalaman aku sebagai salah seorang pengguna tetap lebuhraya misteri ini.
11 malam, Khamis, 5 Mac 2015.
Aku ingat benar tarikh itu kerana malam itu bulan mengambang penuh. Namun hari tersebut bukan purnama biasa. Malam itu Lunar Apogee. Pernah dengar fenomena Lunar Perigee(Supermoon) dimana bulan mengambang lebih besar daripada biasa?
Lunar Apogee adalah fenomena berlawanan dengan dengan fenomena Lunar Perigee, iaitu bulan penuh ketika jaraknya paling jauh daripada bumi.
Pada malam istimewa itu, aku memandu di LSD arah timur, menuju ke arah Pasir Gudang. Walaupun bulan purnama malam itu boleh dikatakan gelap. Remang cahaya bulan tak begitu cerah seperti purnama lain. Tambahan pula tiada kenderaan lain di atas lebuhraya, arah timur mahupun barat.
Sunyi.
Ketika melewati kilometer 33(KM33) tiba-tiba aku ditenggelami perasaan seram. Jantung aku berdebar-debar. Mulai KM33-KM37, LSD merentasi sebuah kawasan tadahan air yang membekalkan air bersih pada penduduk Johor Bahru. Ia yang terbentuk apabila air Sungai Layang dibendung oleh Empangan Sultan Iskandar.
Selain Jambatan yang merentasi Sungai Johor, kawasan yang dikatakan paling keras di LSD adalah di sepanjang 4 km ini. Jika kau lewati kawasan in tanpa pernah dengar tentang kisah-kisah angker mengenainya, kau tetap akan rasa suasana yang kurang tenteram.
Klaustrofobik.
Mungkin kerana sepnjanag 4 km ini dibenteng oleh tembok konkrit yang merupakan sebahagian konstruksi Pollutants Removal System(PRS). Seandainya berlaku kemalangan di kawasan ini yang melibatkan limpahan bahan beracun seperti minyak atau bahan kimia, sistem ini akan mengelakkan bahan tersebut daripada mencemar tadahan air bersih.
Sepanjang memandu di bentangan lebuhraya yang dilabel berpuaka ini, aku hanya fokuskan penglihatan ke atas tarmak. Bimbang jika curi pandang sana-sini, ternampak pula sesuatu yang tak diingini. Lagipun aku perlu berhati-hati kerana lebuhraya ini beralun dan berlubang-lubang macam permukaan bulan.
Sebaik sahaja aku melepasi KM35, aku terlihat segitiga merah di lorong kecemasan, seraya aku menekan brek. Entah kerana aku beri reaksi begitu pun aku tak tahu. Segitiga amaran itu bukannya di laluan aku, ia di laluan kecemasan. Aku hanya turutkan naluri.
Beberapa meter di hadapan segitiga merah yang memantul cahaya itu, pegun sebuah Perodua Kenari berwarna merah. Ketika itu kereta aku sudah pun perlahan dan apabila melewati di sebelah kenderaan itu, aku ternampak ada kelibat manusia berdiri di atas bumbungnya.
Mata ku gosok, lantas pandangan diacukan ke cermin sisi sebelah kiri. Melalui cermin kecil itu, samar-samar cahaya bulan mengesahkan ada seseorang berada di atas kenderaan buatan tempatan itu.
Berderau jantung aku. Remang bulu roma. Aku mula terbayang mahkluk yang sering diperihalkan dalam kisah-kisah penampakan di Lebuhraya Karak, namun imiganasi aku tertampa setelah mendapati kelibat itu berbaju tee cerah dan berseluar pendek, serta susuk tubuh dan gayanya kelihatan sungguh maskulin.
Itu seorang lelaki dan ditangan kanannya ada sumber cahaya yang aku kira telefon bimbitnya.
Pedal brek dipijak. Aku segera menghentikan kereta lalu tombol gear di anjak ke ‘R’. Berpandukan lampu undur kereta aku mengundur menghampiri Perodua Kenari itu.
Menerusi cermin pandang belakang, aku lihat kenderaan itu dan pemiliknya dilimpahi cahaya kuning lampu undur dan merah warna lampu brek kereta aku. Aku segera brek apabila terlihat lelaki itu memberi isyarat untuk berhenti. Ketika itu jarak aku daripada keretanya, dalam 20 meter.
Gear ditolak ke 'P', tuil brek aku tarik, lantas aku buka pintu dan keluar dari perut kereta.
“Ada apa-apa saya boleh bantu?” soalku sambil melangkah lebih dekat ke arah Perodua Kenari itu.
“Stop! Stop! Jangan datang dekat!” balasnya.
“Jangan risau. Saya cuma nak tolong.” ujarku. Mungkin dia risau jika aku ingin ambil kesempatan atas musibah yang dia alami. Bimbang aku ni perompak atau penjenayah. Sejujurnya aku ada perasaan wasangka begitu. Aku juga harus berwaspada.
“Saya faham, tapi jangan datang dekat.” pekiknya. Jarak kami lebih kurang 20 kaki, dan dia berada di atas kereta, jadi perlu tinggikan suara sedikit untuk berkomunikasi.
“OK! Apa-apa saya boleh bantu?”
“Boleh tolong telefon pihak konsesi LSD? Telefon saya tak ada line.”
Aku keluarkan telefon bimbit daripada poket seluar dan terus periksa paparan liputan signal rangkaian telefon di penjuru juru atas skrin. Dahi aku berkerut apabila lihat ikon bulatan dengan palang diagonal yang terpampang di skrin.
“Telefon saya pun tak ada line!” beritahu aku pada lelaki di atas Kenari.
“Cuba tengok dalam kereta saya, ada apa-apa tak?” soalnya.
“Hah?” responku. Keliru dengan soalannya. Aku tak pasti apa yang dia maksudkan dengan “apa-apa”.
“Maksud saya, ada binatang ke, orang ke, atau… “ penjelasan lnya terhenti.
“Atau apa?” soalku.
“...you know. Anything” balasnya dengan jawapan yang equivokal. Mengharapkan aku tahu apa yang cuba disampaikan tanpa dia perlu nyatakan secara definitif.
“Tak ada! Kereta encik apa masalahnya?” kataku.
Dia beritahu, semasa dia melewati KM34, dia terlihat ada sesuatu memanjat dari tembok konkrit, lalu melintas dihadapan keretanyanya. Kelibat itu merayap seperti seekor biawak. Namun kepalanya kelihatan sedikit ganjil. Lonjong, dan bukan leper. Memandangkan benda itu telah terlalu dekat, pemandu berkenaan terpaksa buat brek kecemasan. Berciut tayar kereta itu ketika bergeser dengan bitumen. Dia gambarkan bunyi itu seperti wanita meroyan berteriak. Bulu romaku meremang membayangkannya kata-katanya itu.
Haiwan yang melintas itu terkejut mendengar bunyi tersebut, lalu sepantas kilat ia cuba berpatah balik ke sisi jalan.
BOOM!
Tiba-tiba pemandu Kenari itu hilang kawalan ke atas kenderaannya namun berjaya mengemudi kenderaannya ke lorong kecemasan dan akhirnya berhenti di situ. Apabila turun dari kereta, dia terus memeriksa kenderaannya. Dia khuatir terlanggar haiwan itu, namun tiada tanda-tanda pelanggaran berlaku. Keretanya hilang kawalan kerana tayar hadapan sebelah pemandu meletup.
“OK OK. Lepas tu apa jadi? Tak payah cerita terperinci sangat. Apa kata encik turun dari bumbung kereta! Peliklah berbual begini.” kataku memotong ceritanya.
“Saya tak nak turun. Abang dengar dulu!”
“OK!” balas aku polos.
Dia cerita lagi. Dalam perjalanan kembali ke kereta setelah dia letakkan segitiga amaran kecemasan, dia terdengar bunyi sesuatu bergerak gerak di sebalik tembok konkrit di sisi jalan raya. Dijengah-jengah, namun tiada apa yang dapat di lihat. Sinar bulan tak cukup terang. Lampu belakang keretannya pula terlalu merah. Maka dia abaikan dan terus mengorak langkah ke keretanya.
Skreek! Skreek! Skreek!
Terdengar lagi bunyi geseran itu di belakangnya. Kini lebih jelas. Apabila dia menoleh kebelakang, hanya segitiga merah yang dipasangnya itu kelihatan di atas tarmak. Utuh di situ. Tidak terusik. Maka, dia anggap bunyi itu khayalan mindanya sahaja.
Setelah mundar mandir berhampiran keretanya buat seketika, baru dia terfikir untuk menelefon pihak konsesi lebih raya. Pada mulanya dia terfikir mahu telefon pihak insuran keretanya, namun dia tak simpan no telefon pihak insurans di dalam kereta. Kad yang diberi oleh juru tol di ambil daripada konsol di papan pemuka kereta. Di beleknya kad itu.
E22 Hotline : 07-8612222
“Jadi, awak call nombor tu?” potong ku lagi. Semakin meleret cerita dia.
“A’ah! Tapi tak dapat. Sebab tak ada line. Itu yang saya panjat atas bumbung ni!”
“Lah! Sebab tu je? Bikin suspen je lah.” ujarku separa mengeluh.
“Itu sebab saya panjat, tapi sebab saya tak nak turun, itu sebab lain!”
“Cepatlah cakap sebab apa? Saya tak ada masa nak dengar cerita panjang-panjang. Dah tengah malam ni. Saya ada urusan lain.”
“OK OK! Masa saya berdiri atas bumbung ni saya nampak ada benda panjat dinding konkrit dekat dengan tempat saya letak safety triangle tu. Lepas tu benda tu merangkak menghampiri kereta saya. Mukanya..”
Ketika ini jantung aku berdegup laju. Darah aku mulai berkumpul di dada. Bibir aku kebas. Namun bukan kerana cerita yang sedang disampaikan oleh pemandu Kenari tersebut, tetapi kerana di bawah keretanya aku ternampak ada sepasang mata yang berkilau memantulkan cahaya skarlet dari lampu belakang kereta aku.
Ia perlahan lahan bergerak keluar daripada bawah kereta dan apabila kepalanya terlah terjulur keluar dari bawah bampar kenari tu, jantung aku luruh ke abdomen.
Mukanya seperti wajah manusia tetapi lebih leper, umpama digilis sesuatu. Di mana seharusnya hidung, hanyalah rongga berbentuk segitiga yang dipisahkan ditengahnya dengan selapis membran. Dari rongga itu terjelir-jelir lidahnya, kadang kala terjelir juga dari mulutnya yang lebar dan dilengkapi barisan gigi yang simpang siur barisannya.
Ia merangkak keluar seperti seekor biawak yang kakinya terlampau panjang. Aku panik. Lutut aku terasa lemah. Terasa kaki ini bertukar menjadi tanah liat. Terliuk ditarik graviti. AKu terpaksa memegang sisi kenderaan aku untuk berundur menjauhi makhluk itu.
Melihat aku begitu, lelaki yang berdiri dia atas Kenari tadi berteriak, melaungkan nama Tuhan dan memohon perlindungan dari syaitan yang dilaknat.
Kalimah yang dilaunkan itu mengembalikan semula kudrat dalam tubuh aku. Aku menggagahkan kaki dan bergegas menuju semula ke kereta. Makhluk tadi mengekori aku. Pergerakannya kini seperti mawas yang sedang berlari dengan tangan dan kaki. Lebih laju dan lebih lincah.
Aku capai pemegang pintu, membukanya lalu melompat masuk kedalam kabin. Kepala aku terhantuk di bingkai pintu kereta semasa aksi itu. Menjadikan telinga aku berdesing. Aku kekalkan fokus untuk selamatkan diri. Tak ada masa untuk mengaduh. Pintu, aku lekas-lekas kunci.
Gear aku tukar ke D, tuil handbrake dan pendikit minyak aku tekan hingga ke lantai. Roda kereta aku yang mempunyai pacuan belakang berputar beberapa pusingan sebelum meluncur ke hadapan dengan pecutan maksima.
Namun setelah beberapa detik, aku lepaskan pendikit minyak dan menghenyak pedal brek. Terlalu pentingkan diri jika aku melarikan diri dan meninggalkan lelaki tadi seorang diri tanpa bantuan.
Aku masukkan gear ke R, lalu mengundur sepantas mungkin. Di cermin pandang belakang, aku lihat makhluk yang tadi mengejar aku kini sedang cuba memanjat Kenari. Aku halakan bontot kereta aku dan memecut ke belakang sederasnya.
BANG!
Makhluk itu tercampak ke menjauhi belakang kereta aku setelah aku merempanya dengan halaju tinggi. Tergolek-golek ia lalu tersungkur menyembah bumi. Setelah memerhatikan ia tidak bergerak, aku membuka tingkap lalu berteriak.
“Apa lagi! Cepat naik kereta aku!”

.
.
.
Tiada respon. Aku jengah kepala aku keluar tingkap untuk meninjau lelaki yang berada dia atas Kenari yang kini berada betul-betul disebelah kereta aku.

Tiada.
Lelaki itu tiada. Mana dia pergi? Dalam gelabah aku jeling semula cermin pandang belakang. Tangan aku menggeletar apabila aku lihat, apa yang aku langgar tadi sebenarnya bukan makhluk itu tetapi lelaki yang berbaju tee cerah dan berseluar pendek berkenaan. Jasadnya terkulai pegun 10 kaki dari kereta aku.
Tubuh aku longlai. Otak aku celaru. Akal aku membeku. Apa harus aku lakukan? Turun dan tolong lelaki yang aku langgar itu? Tak boleh! Makhluk Lanaktullah itu ada di luar! JIka aku tinggalkan lelaki itu, aku dikira langgar lari. Hidup lagi tak lelaki itu?
Aku jengah sekali lagi. Apa yang aku lihat berlaku buatkan aku nekad untuk tinggalkan tempat kejadian. Makhluk itu sedang menarik tubuh lelaki yang berlumuran darah itu ke sisi jalan lalu memukul bertubi-tubi. Lelaki itu langsung tidak memberi gerak balas.
Aku tekan pendikit minyak sekuat hati. Di paparan papan pemuka keluar ikon segitiga berwarna merah dan perkataan DTC menyala menandakan sistem kawalan cengkaman roda mengesan berlakunya wheelspin pada tayar belakang. Situasi ini selalunya berlaku apabila pemandu memecut serta merta daripada keadaan pegun.
“Macam mana ni? Aku dah bunuh orang! Aku dah bunuh orang!”
Sepanjang perjalanan ke susur keluar Pasir Gudang, aku cuba memikirkan apa yang harus aku lakukan sebaik sahaja sampai di plaza tol. Jika aku diamkan sahaja peristiwa ini, tiada sesiapa akan tahu. Semasa itu semua berlaku, tak ada satu saksi pun.
“Kalau lelaki tu tak mati, macam mana?”
Setahun berlalu. Aku tak laporkan peristiwa ini pada sesiapa. Setiap hari aku tunggu pegawai polis bertandang ke rumah aku. Aku tunggu mereka angkut aku ke lokap. Namun selepas satu bulan, tiada pun polis yang muncul, aku yakin lelaki itu telah mati dan tiada sesiapa tahu mengenainya.
Kerap juga aku belek surat khabar untuk periksa laporan berita yang melibatkan kematian pemandu Kenari di LSD. Tiada. Paling hampir pun, ia melibatkan sebuah kemalangan di KM15 lebuh raya itu. Kenari terbabas, kerana tergelincir akibat jalan raya basah. Pemandu itu terselamat.
Hari ini, aku buka rahsia ini kerana aku rasa berdosa. Keduanya, aku kini tak pasti apa yang aku alami itu benar-benar berlaku atau hanya khayalan minda aku. Aku harap ia adalah situasi kedua.
Apapun, jika kalian gunakan LSD agar berhati-hati di kilometer 33-37. Aku tak tahu apa yang aku jumpa itu. Namun, ada orang kata itu adalah khadam air yang ditempatkan oleh seorang pawang ketika empangan Sulatan Iskandar kering tak lama dahulu.
Ketika empangan itu kering, banyak orang merana kerana bekalan air asyik dicatu. Oleh itu ada penduduk tempatan memanggil pawang untuk kononnya memanggil air dan hujan. Pawang iberkenaan telah gunakan khadam makhluk halus untuk memenuhi hasrat itu, dengan syarat korban darah perlu diberi.
Mula-mula orang yang memanggil pawang itu akur. Korban sentiasa diberi seperti yang telah ditetapkan. Namun empangan itu tetap kering. Akhirnya kemelut air itu diselesaikan oleh Syarikat Air Johor (SAJ) dengan mengepam air dari sungai lain ke kawasan tadahan air itu. Setelah masalah itu selesai, upacara korban tidak diteruskan.
Justeru, kini khadam itu berkeliaran menagih darah yang dijanjikan pada bulan purnama setiap bulan. Jadi, berwaspadalah.



Nukilan: Kamarul Ariffin Nor Sadan (admin) 

Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!

*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Wednesday, 28 June 2017

KEBUN ORANG - Kamarul Ariffin Nor Sadan


Aku dulu bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Bandar Penawar. Sekitar tahun 1998-2002, Bandar Penawar tu bandar koboi. Apa pun tiada. Kalau nak outing, kena pergi ke bandar Kota Tinggi yang jaraknya hampir 50km Bandar Penawar, baru ada kedai snooker, jamming, pizza, Marrybrown dan sebagainya.
Sekolah aku pun masa tu baru siap. Aku batch ketiga. Jiran sebelah kami, sebuah sekolah asrama juga. Hadapan kami pun sekolah asrama. Di sisi lain pula, belukar dan hutan belantara. Siap ada babi tunggal yang sering menampilkan diri pagar belakang sekolah.
Entah apa punya benak ketika itu, selalu juga pelajar fly keluar sekolah pada waktu malam walaupun kami tahu di Bandar Penawar tiada apa-apa. Pergi kedai makan, beli makanan. Pergi kedai runcit, beli rokok. Itu sahaja motifnya. Mungkin kerana ketika itu darah muda gemar memberontak. Melanggar undang-undang dikira cool.
Nak fly ni ada banyak cabaran. Takut ditangkap oleh warden. Perlu lalu hutan. Perlu sembunyi dalam longkang untuk elak dikesan. Perlu lalu kebun orang. Sekitar sekolah tu ada kebun pisang, dan kebun tembikai.
Cerita yang aku nak cerita ni pasal pengalaman ceroboh kebun orang.
Malam tu, beberapa orang pelajar rancang untuk fly. Aku pun join sama. Jam 10 malam kami dah panjat pagar belakang asrama. Semua berjalan lancar. Masuk longkang. Keluar longkang. Lintas jalan. Masuk longkang semula. Keluar balik. Masuk kebun entah siapa.
Suspens weh ceroboh kawasan larangan. Semua orang pasang telinga. Mata meliar sana sini. Takut-takut pemilik kebun datang. Sedang menyelinap macam tikus, tiba-tiba aku nampak sesuatu bergerak-gerak di atas tunggul pokok yang telah ditebang.
“Weh, apa tu weh?” tanyaku.
“Hoi bodoh! Benda pelik jangan tegur. Jalan je.” balas kawan aku.
“Aku tak sedap hatilah. Entah-entah hantu kot” kata aku, si bodoh yang mulutnya celupar.
“Cibaileksep*! Mulut kau ni, tak ada insuranslah, Chaku.” balas seorang lagi kawan aku.
Aku yang naif ni buat tak tahu dan menghampiri susuk aneh itu. Bila aku dah dekat, tiba-tiba benda tu melompat sambil mengibas-ngibas sayapnya dan berkokok. Nasib baik kakinya tertambat pada tunggul. Kalau tidak, memang aku ditaji-taji oleh ayam jantan tu.
Sebab ayam tu bising, kami terus kelam kabut lari meninggalkan kebun berkenaan, takut pemilik kebun pergi periksa. Niaya kalau kantoi tengah fly. Pasti kena gantung sekolah.
Apabila sampai kat kedai makan. Kami cerita semula pada tentang perkara tadi.
“Bodohlah kau, Chaku. Nasib baik tak kantoi.” kata seorang kawan kepada aku.
“Ada juga orang guna ayam untuk jaga kebun, ek.” ujarku.
“Hoi bodoh! Ayam tu bukan untuk jaga kebun.”
“Habis tu?” soalku keliru.
“Itu untuk habuan untuk penjaga kebun.”
“Siapa penjaga kebun tu?” soalku lagi.
“Apa bodoh sangat kau ni?”
“Kau tak tahu ke, kalau ada ayam jantan di ikat kat tunggul, itu untuk jamu penanggal lah bodoh!” tambah seorang kawan.
“Jap. Jap. Jap. Maksud kau, kebun yang kita lalu tadi tu, ada penanggal? Mana kau tahu pasal benda ni?” ujarku.
“Itu general knowledge lah, bengap.”
"Oooo. Mana aku tahu. Aku budak urban." ngaku aku.
"Kau bukan budak Ulu Tiram ke? Urban celah mana?" ujar kawanku lalu menepuk ubun-ubun aku.
Masa balik ke asrama, kami ikut jalan lain. Jalan yang kurang angker, tapi lebih susah sebab kebunnya ada anjing. Masa kami rentas kebun tu, anjing menyalak bukan main kuat. Kami lari macam tak cukup tanah. Berdesup.
Namun, jika dibandingkan dengan anjing, ternyata aku larian ku tidak berapa laju. Kedengaran dengus nafas anjing di belakangku. Aku kumpulkan segala kudrat untuk berlari lebih pantas. Malangnya, anjing-anjing tu semakin dekat dan dekat. Tiada lagi tenaga yang bersisa dalam tubuh aku, lalu aku terjelepok jatuh tersembam ke bumi.
Ketika aku angkat muka, aku lihat berdesup anjing itu melempasi sisi aku. Ia menyalak ke langit dan bila aku teliti betul-betul, baru aku perasan anjing tu tak salak pada kami. Anjing tu menyalak pada penanggal yang mengekori kami.
Celaka betul!
Sekarang aku nak kejar kawan-kawan aku ke tidak? Sebab kalau aku kejar mereka maksudnya aku kejar penanggal yang sedang mengekori mereka.
Akhirnya aku ikut japan lain untuk pulang ke asrama. Semua orang berjaya balik dengam selamat Nasib baik tak kantoi dengan warden.
Itu kali terakhir aku fly.


Nota: Cibaileksep = gabungan cibai+rileks+sep(save) . Ia respon yang disebut jika seseorang menyebut sesuatu perkara yang tak patut disebut.
Jika anda ada kisah angkar yang ingin dikongsikan bersama pembaca Arkib Angker Negara, kirimkan kisah seram anda di inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.