Tuesday 19 December 2017

MAN : DENDAM 2 - YUnk TiPah


Penulis : YUnk TiPah
MAN : DENDAM 2

Nama aku Man. Aku seorang jurujual yang sentiasa merantau ke setiap negeri. Setiap pelanggan aku pasti akan membeli barangan aku tanpa sebarang keraguan. Mahu tips yang berguna pada anda? Mari aku ajarkan.
Aku mendalami ilmu hitam. Berguru melalui media massa. Cuma sediakan ‘pengeras’ dapatlah apa yang dihajati. Ianya sedikit sebanyak membantu aku untuk melariskan perniagaan aku. Pada mata bos, akulah yang paling hebat mencari pelanggan dalam masa yang sama menaikkan keuntungan syarikat. Perniagaan apa? Haruslah rahsia.
Setiap malam jumaat sedang anak-anak muda sibuk membicarakan perihal “malam jumaat” dengan seronoknya, aku pula bahagia merperasapkan keris azimat yang aku terima dari tok guruku dengan asap kemenyan. Aku belai keris itu lalu menghiris sedikit hujung jariku. Darahku aku lumurkan ke setiap inci keris bersama alunan mentera-mentera dari mulutku. Kain kuning tersedia di sebelah untuk membaluti tubuh kerisku.
Satu kepuasan padaku setiap kali keris itu aku ‘manjakan’. Badanku akan berasa lebih segar selepas pemujaan pada kerisku itu. Terasa satu kuasa akan menjalar di setiap sendiku. Ahhhhhhh….. Sukar aku mahu nyatakan perasaanku. Melainkan anda cuba sendiri untuk menikmati apa yang aku rasakan. Mahukah anda?

Di satu negeri aku berkenalan dengan Farid. Keretaku rosak. Dia yang membaiki. Lama kelamaan kami menjadi rapat. Kebetulan adikku Fatin pula dapat menyambung pelajarannya di negeri itu. Aku dan sekeluarga bertandang ke rumah Farid di samping meminta sedikit pertolongan untuk melihat-lihat adikku. Farid tidak pernah meminta sebarang upah.
Setiap cuti semester Fatin akan meminta Farid untuk mengambilnya di Universiti dan menumpangkan barangannya sementara menunggu kemasukan semeter seterusnya. Farid tidak pernah membantah kerana dia terhutang budi padaku. Aku kerap membantu dari segi kewangan serta mendengar segala masalahnya dengan Ina kekasihnya.
Bulan berganti bulan. Fatin dan ibuku semakin berkenan dengan Farid. Keluarganya pun kelihatan ‘ada-ada’. Pastinya menjadi pilihan keluargaku untuk dijodohkan dengannya. Lelaki sekarang rupa sahaja ada tapi duit tak ada. Tetapi bukan Farid. Farid seorang yang bekerja keras. Walaupun baru berusia awal 20-an namun sudah mempunyai kereta dan motorsikal.
Kini, penghalangnya adalah Ina. Aku memanggil Fatin dan ibuku untuk belajar sama ilmuku ini. Cukuplah sekadar untuk Ina benci pada Farid. Setiap kali Ina dibawa Farid ke rumahku semestinya ibuku menjadi duri dalam daging. Katanya bersahaja tapi akan membawa pada pertelingkahan mereka berdua. Sengaja dilagakan. Seolah-olah Farid bercurang dengannya.
Aku sisipkan pada mereka seekor pelesit. Kelihatan mereka kerap bergaduh. Ina sering meminta putus tapi aku hairan kenapa Farid masih mahukan Ina menjadi halalnya. B*b*, g**p**g, p***m*k sering menjadi makanan telinga Farid. Telah aku pastikan yang Ina tidak pula menggunakan sebarang ilmu kotor padanya.

Hari perkahwinan mereka tetap berlangsung. Apa yang aku dapat maklumat dari pelesitku rakan-rakan Ina halangnya lari dari rumah. Mereka membantu memasang banner, melukis inai, menghias pelamin dan sebagainya. Tidak mengapa. Aku memperkuatkan lagi sihirku pada mereka.
Fatin semestinya kelihatan sugul. Aku memberi kekuatan yang Farid akan datang sendiri padanya kerana aku akan pastikan Ina tidak dapat melahirkan zuriat. Akan ku ikat rahimnya dan semestinya tidak akan merasai kepuasan ketika bersama. Aku yakin engkau sendiri Ina yang akan meminta cerai padanya.
Kasihan Farid. Gambir emas? Minyak Lintah? Viagra? Tak berfungsikan. Hahaha… Siapa suruh engkau mempermainkan hati adik aku. Walaupun tanpa sengaja. Tapi aku tidak boleh terima orang menyakiti keluargaku. Ina masih tidak berputus asa. Setiap air mata Farid disekanya dengan penuh kasih sayang. Sentiasa memberi sokongan untuk sentiasa redha dengan apa berlaku. Aku semakin mendidih kerana sihirku masih tidak mampu membuat mereka berpecah belah.

Aku sengaja membiarkan engkau merasai keguguran anak. Puas hatiku melihat engkau menangis tanpa Farid di sisi kau. Siapa suruh kau PJJ (perhubungan jarak jauh). Sakit bukan? Seperti itulah sakitnya aku melihat tangisan Fatin.
Pada satu malam sedang aku memandu kereta. Aku merasakan ada sesuatu meresap ke dalam badanku. Aku tidak mampu mengawal pergerakan tubuhku. Perjalanan yang sepatutnya menghala ke rumah bujangku teralih ke rumah ibuku.
Sesampai di sana, Ibu membuka pintu. Aku masuk tanpa berkata apa. Seusai pintu ditutup, naluri aku menjadi kebinatangan. Aku pegang tubuh ibuku lalu menolak dan menghempas dengan kuat ke lantai. Ibuku tergamam. Dia berusaha menyeru belaan yang telah aku ‘hadiahkan’ namun tidak muncul. Barangkali gentar dengan diriku. Kerambit yang sentiasa kubawa untuk pertahankan diri aku keluarkan dari poket seluar. Tanpa sebarang keraguan aku menyelar muka dan badan ibuku. ZASS!! ZUUPPP!!

Tiba-tiba Fatin keluar dari bilik. Aku terus meluru dan mengelar lehernya. Tak banyak. mungkin seinci dua dalamnya. Semestinya untuk dia berasa seksa sakaratulmaut. Aku perasan kuku mereka mencakar-cakar lantai. Menahan sakit barangkali. Kedua mereka aku robek perutnya. Aku tarik dan tarik ususnya dengan bahagia. Senyuman kepuasan terukir di bibirku.
Wah, liatnya nyawa mereka. Jeritan dan rayuan mereka seperti irama jazz di telingaku. Asyik sungguh aku mendengar dan tidak ketinggalan untuk aku meniru dan mengajuk suara mereka.

"Tolong…. Man… Man…. Abang…. Hhahahahaa…."
Badan Fatin aku ke’pakkan dan menjadi seperti lipatan. Wau! seperti orang seni. Belakang kepala bertemu buku lali. Aku ketawa bersendirian. Aku mencakar badan keduanya sehingga penuh kuku aku dengan daging dan kulit mereka. Aku pijak tubuh mereka dengan kerakusan. Sungguh syahdu mendengar irama tulang dipatahkan. PRAPPP!! KRUKK!! KRAKKK!!
Aku mencapai kerambitku semula. Lalu membelah dada mereka untuk mencari sekeping hati. Aku merodok dengan kasar. Kedua organ hati mereka di tanganku. Aku meratah mentah sehingga kenyang perutku.
Aku melihat ke dalam mata ibu dan adikku. Di dalam tubuhku ini sebenarnya hanya tangisan di setiap perlakuanku. Aku tidak kuat melihat kejadian ngeri yang dilakukan aku. Aku terduduk. Setelah itu kepala ku merasa berpinar. Aku pengsan bersama airmata.
Esoknya aku tersedar dan berharap semuanya hanya mainan tidur. Aku berada di atas katil hospital. Tanganku digari bersama besi katil. Polis menenangkan aku dan dinyatakan bahawa aku disabit kesalahan kerana membunuh.
Beberapa kali aku keluar masuk ke dalam mahkamah. Aku sedaya upaya mempertahankan diri dengan menyatakan yang aku tidak bersalah. Kataku Ina dan Farid yang bersalah. Namun bukti semua tertunding pada diriku. Pastinya syaitan dan iblis sedang bersuka ria kerana aku berjaya menemani mereka di neraka. Bukan diriku sahaja, malah ibu dan adikku. Semuanya angkara aku kerana mengharap pertolongan jin dan bukannya Tuhan yang menciptaku.
Kini aku hanya mampu menunggu arahan untuk meletakkan leher kepalaku ke tali gantung. Ibu… Fatin… Maafkan Man. Tunggu Man di sana ya.
P/S : Jangan sesekali memulakan amalan syirik dan menyekutukanNya. Sentiasa percaya Qada dan Qadar. Kita belum tahu balasan pada diri kita di dunia mahupun d sana nanti. Jika kita disakiti, mengadulah padaNya. Bukan berusaha mencari jalan untuk membalas dendam. Sesungguhnya iblis berjoget zamba dan bergoyang inul apabila kita menuruti bisikan jahatnya.
Sekian. Jumpa lagi...
Penulis : YUnk TiPah
Editor/Gambar : Shizu

*****
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: