Saturday, 9 December 2017

I DON’T CARE - Ola


I DON’T CARE
Penulis : Ola

=========================
Kenapa aku dapat merasa kehadiran makhluk lain? Walaupun tidak pernah menunjukkan rupa ‘mereka’ di depan mata, sudah mampu membuatkan bulu roma ku berdiri dan jantung berdegup kencang. Ini bukan sebab jatuh cinta, ini... kecelakaan!
Segalanya bermula apabila aku menyambung pelajaran di salah sebuah politeknik di Sarawak pada tahun 2013. Perkara pertama terjadi, malam itu aku lewat mencuci baju dan menjemur pakaian. Seingat aku, dalam pukul 9 atau 10 lebih. Aku sudah dimaklumkan bahawa hostel ini agak keras dan perlu berhati-hati dalam tingkah laku mahupun pertuturan. Namun, disebabkan aku jenis 'I don't care', aku abaikan cerita-cerita seram itu. Bilikku berada di tingkat 3. Tempat sidai baju hanya di depan bilik sahaja.
Sedang aku tengah menjemur pakaian, aku terpandang seorang pelajar perempuan berada di tingkat bawah sedang berjalan seorang. Aku terhenti sekejap daripada menyidai pakaian aku yang terakhir. Aku pelik melihat gayanya berjalan. Seperti menari tetapi agak keras badannya. Aku perhatikan sahaja dan tiba-tiba dia angkat kepala dan memandang ke arah aku. Tepat! Tiba-tiba dia menjerit kuat dan serentak itu juga kedengaran aras bawah ramai pelajar menjerit lantang. Histeria. Aku sudah lali dengan keadaan itu. Seperti biasa, aku kan jenis ‘I don’t care’.
Aku menyambung semula menyidai pakaian. Apabila aku berpusing ke belakang ingin menuju ke bilik, aku perasan ada sesuatu di kawasan tangga. Aku toleh ke kanan. Lampu di situ berkelip-kelip. Pelik, sedangkan tadi baik-baik saja. Aku ternampak pelajar tadi berada disana. Keadaannya mencangkung. Rambutnya paras bahu menutup wajahnya.
Cepatnya dia naik ke tingkat 3? Fikirku. Dan disebabkan aku jenis 'I don't care ' , aku masuk selamba ke dalam bilik dan kunci pintu. Roommate aku, Mila sedang mengulangkaji pelajaran. Aku baring, ambil buku, pakai earphone dan membaca nota.
Beberapa minit kemudian, pintu bilik kami diketuk kuat. Aku dan Mila saling berpandangan. Laju sahaja Mila bangun membuka pintu. Kelihatan dua orang warden iaitu Puan Nita dan Ustazah Aminah sedang tercegat di luar.
"Baju siapa kat luar ni?” Tanya Puan Nita dengan wajah serius.
"Saya." Jawabku lalu keluar. Ramai pelajar sudah keluar dari bilik ketika itu.
"Cuci balik baju awak yang kotor atau kalau boleh buang terus." Arahnya tegas. Aku terdiam. Aku melihat baju poli-ku ada kesan muntah berwarna hijau. Selain itu , aku terkejut melihat pelajar tadi berada di tali jemuran tersebut . Lagaknya seperti ingin terjun dari tingkat 3. Memang kerja hantu ni nak bunuh orang masa tengah rasuk manusia ke? Maaf, tanya je.
"Semua pelajar pergi ke dewan sekarang!” Sekali lagi Puan Nita memberi arahan. Beberapa pelajar lelaki membantu menarik pelajar perempuan tadi. Dengan malas dan agak geram aku mengambil semula pakaian aku.
"Menyusahkan betul! Aku dah penat cuci baju aku, kau boleh pula muntah ijo kat situ. Baju poli RM30 lebih tau! Kau nak tolong aku bayar ke?!” Runggutku geram. Serta-merta pelajar itu menjelingku garang. Aku membalas balik jelingannya. Dengan keterpaksaan, aku membuang beberapa helai baju dan seluar slack ku. Hmmm
Sejak peristiwa itu, semakin banyak gangguan di hostel perempuan. Kedengaran pintu ada bunyi cakaran setiap malam. Badanku ada kesan lebam di bahagian lengan, perut, paha dan kaki. Ada pelbagai size. Kecil mahupun besar. Aku mengaku ada rasa seram tapi aku buat biasa. Tak layan. Aku sudah tahu mengecam mana satu hantu kuat atau lemah. Benar! Kalau aku demam, tandanya hantu itu kuat. Kalau aku diganggu tetapi tidak meninggalkan apa-apa kesan atau rasa takut, hantu tu lemah semangat. Tak kuasa dia layan aku yang jenis ‘I don’t care’.
Kadang-kala, mereka ada juga nak takut-takutkan aku tapi aku tak pandang pun. Macam aku cakap diawal cerita ini, aku tak melihat jelas cuma bayangan sahaja dan rasa itu sangat kuat. Aku buka lagu rohani setiap malam, namun semakin galak ‘mereka’ kacau aku dan pelajar-pelajar lain. Jadi aku abaikan anggap tidak wujud. Namun, ada satu malam itu sehingga kini aku tidak akan lupa. Kali ini 'I don't care' menjadi goyah. Buat pertama kali aku merasakan aura ini sangat kuat.
Malam itu, aku terbangun tidur pukul 1 pagi. Aku perhati lemah nota ringkasku di atas katil. Tertidur masa membaca. hmmm . Siapa suruh belajar sambil baring. Aku terasa nak pergi ke tandas. Mila pula tengah belajar dengan Jessica, mereka sama course. Jadi, aku pergi ke tandas seorang diri. Malas nak kacau mereka tengah fokus berbincang.
Lagipun, aku sudah biasa seorang diri pergi tandas walaupun pukul 3 atau 4 pagi waktu semua orang tengah tidur dan keadaan sunyi sepi. Bukan sebab terlalu berani, tetapi hajat itu perlu ditunaikan. Taklah malu terkencing di atas tilam esok hari! Apa nak takut, ramai pelajar belum tidur sebab ulangkaji untuk ujian semester. Di aras tingkat 3, ada beberapa bilik buka pintu sambil belajar.
Aku masa itu mengunakan baju tidur gaun putih aras lutut. Rambut serabai, baru bangun tidurkan? Tandas pula dihujung kiri. Aku berjalan perlahan ke tandas. Semasa aku lalu salah satu bilik yang pintu terbuka. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu suara yang kuat. Aku menjenguk bilik tersebut . Tangan pelajar itu menunding ke arahku. Matanya terbuntang luas. Disebabkan aku tak tahu kenapa dia sampai begitu sekali, aku menghampiri cuba membantu kawan dia untuk menenangkan dia. Apabila aku menghampiri , semakin dia menjerit kuat. Aku terpaksa menutup telinga.
"Kenapa?” Soalku tapi dia masih menjerit dan menunding ke arahku. Semakin ramai pelajar masuk ke bilik tersebut.
“Dia….” Semua mata memandang ke arah aku. Aku menelan air liur perlahan. Aku masih blur ini, jangan lah pandang aku macam tu…
“Kenapa dengan dia, Tina?” Tanya kawan si Tina perlahan. Beberapa pelajar yang lain sudah menjauhi aku.
“Ada..ada..setan kat belakang dia.” Dengan tergagap Tina menutur katanya sambil jarinya bergetar menunding ke arah aku. Ada beberapa pelajar menjerit ketakutan dan berlari keluar. Aku terkedu. Ketika itu, bulu tengkuk sudah meremang. Setan apa ini? Tiba-tiba juga aku teringat beberapa cerita beritahu tentang Setan paling bahaya jika menganggu pelajar di politeknik ini. Setan boleh merasuk paling lama dan susah untuk dibuang.
“Macam mana kau tau itu Setan?” Aku cuba masih berlagak cool lagi ini.
“Setan bagitau nama dia. Tolong aku Sofia, aku takut tengok rupa dia. Buruk sekali! Ada tanduk, mata merah, taring panjang.” Tina meracau. Dia menangis kuat. Dalam bilik itu tiada siapa yang melihat Setan kecuali Tina. Ada beberapa pelajar cuba menghubungi Puan Nita dan ustazah Aminah.
Dengan rasa ingin tahu rupa Setan bagaimana, aku cuba memberanikan diri menoleh kebelakang. Perlahan-lahan aku menoleh kekiri, aku merasakan ada sesuatu tajam seperti kuku mencengkam bahu kiriku.
“Jangan pandang dia!” Jerit Tina sambil menghentakkan kedua-dua kakinya di lantai. Dahiku sudah berpeluh. Aku batalkan niat. Badanku sudah mengeletar. Pertama kali, aku merasakan kali ini terlalu kuat. Aku menutup mata.
“Tuhan, Engkau kekuatanku. Engkau lebih berkuasa dari segala kuasa. Tiada iblis mampu melemahkan kami! Lindungi kami, Ya Tuhan! Dalam nama-Mu, iblis ini dihapuskan!” Doaku dalam hati. Seretak itu juga, kedengaran Puan Nita dan ustazah datang lalu membantu Tina. Setengah jam kemudian, segalanya seperti sediakala. Mujur Tina tidak dirasuk oleh Setan.
Aku terpaksa batalkan hajat nak pergi ke tandas. Terpaksa bertahan sehingga ke pagi. Kau fikir aku tak takut ke? Keesokannya, aku melihat ada 3 kesan jari runcing di bahuku. Apakah yang terjadi jika aku tetap berdegil untuk melihat ke arah belakang? Syukur kepada Tuhan, selama 2 tahun berada di Politeknik, aku tidak pernah melihat rupa ‘cantik’ mereka. Gangguan manja sahaja dan tidak lebih daripada itu.
Aku jenis ‘I don’t care’ sebab aku jenis pendiam dan pura-pura tidak merasa kewujudan setan-setan itu. Biarlah aku nampak seperti budak lembab dan susah bergaul dengan orang ramai, sebab aku menjaga batas pergaulan. Aku tidak bersuka berkawan dengan orang mulut celupar. Sebab ‘setan’ suka. heheheh.
-Tamat-
=========================
© I Don’t Care
karya Ola

Suntingan dan Gambar
Editor, Arkib Angker Negara

=========================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: