BUNUH DIRI ATAU...???
Karya : MOBU
Sememangnya menjadi kebiasaan pada malam minggu bagi warga muda-mudi di bandar kecil itu untuk melepak. Berpeleseran di kaki-kaki lima, di bahu-bahu jalan. Langsung tak diendah cemuhan masyarakat.
Bandar itu mati sebaik menjelang malam tapi dihidupkan kembali dengan hiruk pikuk kaki lepak ini. ‘Port’ lepak yang menjadi kegemaran mereka di dataran berhadapan dengan terminal bas. Begitu juga Ashraf dan kawan-kawannya.
Aktiviti melepak anak-anak bermasalah ini kebanyakan dihabiskan dengan aktiviti yang kurang menyenangkan pandangan, apatah lagi kesihatan. Pergaulan bebas, minuman memabukkan, dadah, gam sudah menjadi pemandangan yang biasa dan menjelikkan di mata orang ramai sebaik matahari melabuhkan tirai.
Mereka sangat berani beraksi secara terbuka walaupun sudah beberapa kali dihalau dan ditangkap oleh pihak berkuasa. Tapi sedikit pun tidak melurutkan jati diri mereka sebagai sampah masyarakat yang berjaya.
Tapi tidak bagi Ash dan teman-temannya. Walaupun mereka ‘sebumbung’ tapi Ash lebih suka menghabiskan masa melepak dengan bermain gitar dan menyanyi. Ash sedikit pun tidak memperlekehkan kelakuan mereka yang lain, masih boleh berbual dan bergurau senda. Ash, Ijan, Syirhan dan Wan sudah digelar empat serangkai. Ke mana-mana sahaja mereka pergi mesti berempat, utuh ikatan persahabatan mereka.
Dalam kalangan mereka berempat, Ash lebih dihormati kerana usianya lebih tua. Suka berjenaka dan selalu membuat sesuatu yang bakal menggelikan hati sesiapa sahaja yang berdamping dengannya. Sikap yang ‘sporting’disenangi teman-teman yang lain.
Bersebelahan dengan dataran yang menjadi ‘port’ lepak terletaknya bekas tapak pembinaan bangunan yang telah menjadi tempat takungan air. Telah lama bekas pembinaan yang dahulunya hendak didirikan sebuah sekolah dibiarkan. Disebabkan lokasinya di tengah-tengah bandar, pembinaan terpaksa dihentikan bagi megelakkan kesesakan lalu lintas di kemudian hari. Takungan air itu tidak pernah kering sehingga sekarang. Sekelilingnya dipagarkan dan tidak ada sesiapa yang dibenarkan menceroboh.
Sesiapa yang tinggal berhampiran pasti tahu benar akan kejadian-kejadian ngeri yang sering berlaku di tapak pembinaan tersebut. Kejadian bunuh diri, penampakan wanita berjalan di atas permukaan air, rengekan dan tangisan serta macam-macam lagi kejadian mistik yang menjadi bahan bualan penduduk setempat.
Berbalik kepada Ash. Semenjak dua menjak kelakuan Ash agak berlainan. Tidak seperti dia yang sebelum ini, sering bergurau, bergelak ketawa, mengusik. Ash menjadi lebih pendiam dan suka termenung.
Ijan, Syirhan dan Wan tahu akan masalah keluarga yang dihadapi oleh Ash. Tidak mereka persoalkan, cuma kelakuan Ash tidak menyenangkan mereka kerana ini pertama kali Ash berperlakuan begitu.
Lagu-lagu yang dimainkan semuanya berunsurkan perpisahan. Memetik gitar juga sudah tidak serancak sebelum ini. Kebanyak masa dihabiskan termenung dan memandang tapak pembinaan. Seperti punya sesuatu difikirannya yang hanya dia ketahuan. Kawan-kawannya yang lain hanya memikirkan itu cuma masalah keluarga, tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Hari berganti hari, Ash masih begitu. Membingungkan Ijan selaku teman baik dan jiran Ash. Bila ditanya, hanya gelengan dan senyuman diberikan. Mereka bertiga mula mencari punca. Dilihat hubungan ibu dan ayahnya semakin baik, apa pula yang mengganggu fikiran pemuda itu.
Semakin hari semakin sedikit perkataan yang keluar dari mulutnya. Soalan kawan-kawan lebih banyak dijawab dengan isyarat geleng dan angguk sahaja.
Ucapan yang sering dinyatakan oleh Ashraf ke belakangan ini ialah “Aku haus”. Apabila disuakan botol air, Ash hanya menggelangkan kepala. Tapi sering kedangaran kenyataan itu dari Ash.
Pandangannya ke arah tapak pembinaan itu tak penah lekang. Setiap kali melepak, seperti sengaja menghadapkan badannya ke tapak pembinaan tersebut. Setiap kali melintasi tapak tersebut, pasti matanya tidak jemu memandang. Seperti dilihat sesuatu di kawasan tersebut.
Sehinggalah pada suatu malam yang memilukan menjadi jawapan bagi persoalan-persoalan mereka selama ini.
Makin kerap “aku haus” Ash ucapkan. Dia mundar-mandir di depan kawan-kawannya. Sudah beberapa kotak rokok dihabiskan dalam tempoh masa beberapa jam sahaja. Bila ditanya, kesunyian sahaja yang dibalas.
Beberapa minit sebelum kejadian menyayat hati berlaku, Ash menyatakan hasrat untuk menemui seseorang yang telah lama ingin berjumpa dengannya.
Apabila ditanyakan siapa dan dimana, jarinya ditudingkan ke tapak pembinaan yang telah menjadi takungan air itu. Ijan beranggap itu hanya gurauan Ashraf. Sedikit pun tidak diambil serius. Namun tanpa diketahui ianya bakal menjadi suatu kesalan buat Ijan.
Dalam mereka rancak berbual, sekali lagi dan buat kali terakhir, Ash menyuarakan yang dia haus dan nak sangat berjumpa dengan orang yang dimaksudkan sebentar tadi. Tapi ternyata tiada siapa yang peduli sehinggalah ketiadaan Ash disedari Syirhan beberapa minit kemudian.
Kekalutan berlaku sebaik ada yang melihat Ash sudah berada di tebing tapak takungan air tersebut. Di dalam kawasan pagar yang berkunci. Bagaimana Ashraf boleh masuk?
Suasana menjadi cemas. Ijan, Syirhan dan Wan bergegas berlari mendapatkan Ashraf. Diikuti yang lain diiringi jeritan yang membingit minta Ash tidak membuat sesuatu yang bodoh.
Tetapi ternyata usaha mereka sia-sia. Ash nekad terjun ke takungan tersebut. Ijan yang masih berlari melihat Ash terkapai-kapai. Semakin tenggelam. Nama Ash sahaja yang mampu dijeritkan ketika itu.
Sekarang mereka yang berlari tadi betul-betul di balik pagar besi tu. Pagar itu kukuh, tiada tanda-tanda pencerobohan, tapi bagaimana Ash masuk ke dalam. Ijan mula memanjat pagar tersebut dan terus terjun ke dalam air untuk menyelamatkan Ash.
Ternyata tiada apa yang mampu dilakukan. Usahanya sia-sia. Beberapa kali takungan itu diselami orang yang berbeza. Ijan hampir putus asa. Dia duduk ditebing memandang ke takungan dengan pandangan yang kosong. Kekesalan mula menyelubungi, air mata mula mengalir.
Tidak lama kemudian, pihak polis dan bomba tiba diikuti van ambulans. Kawasan kejadian mula sesak dikerumuni oleh orang ramai. Semua yang ada di minta tidak melepasi tape kuning yang dipasang. Operasi mencari dimulai oleh pihak berkuasa.
Mereka bertiga berpandangan dan kemudian termenung panjang. Selepas mendapat panggilan telefon dari Ijan, keluarga Ash bergegas datang. Tiada apa yang mampu diucapkan kecuali teriakan dan juraian air mata.
Selepas beberapa jam, keruman orang ramai makin menyurut. Ijan, Syirhan, Wan dan ahli keluarga Ash masih setia menanti bersama harapan agar Ash masih bernafas. Disebabkan kawasan takungan itu dalam dan gelap, kerja pencarian menjadi sukar. Setelah memakan masa beberapa jam, akhirnya pencarian menemui kejayaan. Tetapi kejayaan mengundang kepiluan.
Ash disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kematiannya diklasifikasikan sebagai bunuh diri. Tetapi kenyataan sebenarnya masih misteri dan hanya diketahui teman-teman rapat Ash dan ahli keluarganya.
Ternyata takungan itu telah memakan banyak korban manusia dan cerita mistiknya masih menjadi bualan sehingga kini.
**Sama-samalah kita sedekahkan bacaan al-Fatihah kepada kawan baik saya. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.
-TAMAT-
Karya : MOBU
Suntingan Gambar : DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment