Monday, 4 December 2017

MENUJU ABADI - Iskandar Zulfaqar


MENUJU ABADI
Oleh: Iskandar Zulfaqar

Angin yang ghairah bersiul melepasi tingkap bilik E612 yang tidak tertutup itu terus-menerus memukul tubuh Adam yang sedang duduk kaku di atas katilnya. Lampu bilik tidak dibukanya. Tingkap juga tiada satu pun yang ditutupnya. Takut? Tiada lagi perasaan itu dalam kamus hidupnya.
Apa yang ada kini dalam fikirannya hanyalah seorang Adam yang tiada berguna. Seorang Adam yang ingin mencari abadi yang tidak pernah ditemuinya sepanjang usianya iaitu semenjak dia lahir sehinggalah malam ini. Malam yang dingin ini. Malam yang bayunya sekali-sekala membisik di telinga kiri dan telinga kanan Adam supaya mencari abadi yang ingin ditemuinya selama ini.
Kebetulan pula malam itu sudah ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing kerana cuti semester akan bermula esok. Tingkat 6 sudah tidak lagi berpenghuni kecuali bilik E612 yang dihuni oleh Adam. Roomatenya juga sudah pulang petang tadi. Hanya beberapa buah bilik sahaja yang masih berpenghuni di kolej kediaman itu. Keadaan sepi terus menyelubungi kolej kediaman itu.
Adam sudah bosan dengan hidupnya yang sering dijadikan bahan ketawa bagi semua orang. Bukan itu sahaja, Adam juga menjadi tempat orang lain melepaskan keseronokan dan stress. Sifatnya yang pendiam dan tidak melawan itulah yang menyebabkan orang lain lebih suka membulinya terutama sekali pelajar yang lebih senior.
Pernah sekali dua tahun lepas, Adam mengalami koyakan pada bahagian cuping telinganya akibat dipukul oleh pelajar senior. Dia juga diugut untuk tidak memberitahu sesiapa tentang perkara itu. Adam terpaksa menipu kedua-dua ibu bapanya mengatakan kecederaan itu disebabkan oleh dirinya sendiri kerana takut dibuli dengan lebih teruk. Bukan itu sahaja, Adam juga sering menjadi mangsa sepak terajang rakan-rakan sekelasnya. Kadang kala mereka memukulnya untuk sekadar suka-suka.
Adam tidak pernah melawan melainkan hanya menahan dan menerima kesakitan itu. Bukan buli fizikal sahaja yang Adam terpaska terima, mental Adam juga turut koyak dibuli sehari-harian. Adam selalu diejek dengan kata-kata kesat yang menghinanya. Meski hatinya sakit namun dia tidak membalas dengan apa-apa.
Kadang-kala Adam merelakan sahaja dirinya dipukul, dihina, diherdik dan macam-macam lagi. dia sudah lali dengan semua itu. Sakit yang diterimanya juga sudah dianggap biasa. Dia merasakan dirinya tidak ada guna lagi di bumi ini. Adam berharap suatu hari nanti dia akan bertemu dengan sebuah ketenangan abadi yang mampu menghilangkan segala derita yang ditanggungnya selama ini.
Dalam keadaan sepi itu, sedang Adam asyik melayan rasa hatinya tiba-tiba pintu biliknya terbuka. Di hadapan pintu itu berdirinya seorang gadis yang wajahnya sangat mempersona. Gadis itu memerhati tepat ke dalam mata Adam dan menguntum sejalur senyuman buatnya. Wajahnya sungguh indah dipandang mata. Kulitnya gebu dan mulus. Rambutnya juga hitam pekat dan lurus sepanjang paras bahu. Dia hanya mengenakan baju tanpa lengan bersama skirt pendek.
Adam membalas senyuman gadis itu. Sejenak itu juga Adam berasa hairan bagaimana gadis itu boleh masuk ke kawasan kolej kediaman lelaki sedangkan kolej kediaman itu dikawal ketat oleh pihak polis bantuan yang setia berkawal 24 jam. Gadis itu kemudiannya berjalan menghampiri Adam dan duduk di sebelahnya.
“Maafkan saya saudari. Saya ingin bertanya. Macam mana saudari boleh masuk sini?” soal Adam.
“Saya datang terus ke sini, Adam. Polis bantuan tak perasan saya,” balas gadis itu.
Adam terdiam seketika memikirkan bagaimana gadis itu tahu namanya sedangkan ini merupakan kali pertama dia bertemu dengan gadis itu.
“Awak tak boleh tinggal lama di sini. Nanti polis bantuan akan datang dan tangkap awak. tangkap kita kerana berkhalwat dalam gelap.” Adam mulai cemas.
“Jangan risau Adam. Takde orang boleh tangkap saya. Saya takkan pergi mana-mana. Saya nak bersama awak malam ni. Saya nak teman awak. Saya nak berkongsi rasa sedih yang awak alami selama ini,” kata gadis itu sambil menguntum senyum.
Sekali lagi Adam membisu. Banyak benda yang bermain dalam fikirannya ketika ini. Bermacam-macam persoalan mengganggu minda Adam. Siapa perempuan ni? Bagaimana dia masuk? Macam mana dia kenal Adam? Dia manusia atau bukan? Itu semua terus dan terus menghantui Adam.
“Maaf saudari. Saya dah biasa hidup bersendirian. Saya tak perlukan saudari untuk lalui semua ini. Dan satu lagi, bagaimana saudari tahu saya sedang dalam masalah?”
Gadis itu sekali lagi tersenyum menampakkan lesung pipitnya yang comel dan menjadi kegilaan semua lelaki yang melihat.
“Saya kenal awak Adam. Setiap masa saya perhatikan awak. Awak je yang tak perasan saya. Lagi satu, nama saya Mawar. Tak perlu awak nak bersaudari lagi dengan saya.” Mawar memperkenalkan dirinya.
“Maafkan saya Mawar. Saya masih tak percayakan awak. Saya mohon awak pergi dari sini dan tinggalkan saya sendirian.” Adam masih belum dapat mempercayai Mawar yang tiba-tiba muncul dalam biliknya itu.
“Baiklah Adam! Kalau awak tak nak saya tolong takpelah. Tapi awak kena ingat cuma saya seorang saja tahu cara untuk mencapai ketenangan abadi yang awak cari selama ini,” kata Mawar sambil bangun dan berjalan menuju ke arah pintu bilik Adam.
“Mawar, tunggu! Baiklah saya nak awak ajarkan saya bagaimana untuk mendapatkan ketenangan abadi tu.” Adam membatalkan niatnya untuk menghalau Mawar.
Mawar tersenyum dan kembali duduk di sebelah Adam. “Baiklah! Tapi sebelum saya ajarkan kepada kamu, saya akan dapatkan kepercayaan kamu terlebih dahulu.”
Perbualan antara mereka bermula. Pelbagai perkara telah mereka bincangkan dan buat pertama kalinya Adam menceritakan masalah peribadinya kepada Mawar walaupun Adam tidak pernah mengenali Mawar namun dia berasa selesa untuk berkongsi masalahnya dengan Mawar.
Adam juga sekali-sekala tertawa dengan lawak yang dibuat oleh Mawar sedangkan sebelum ini memang sukar untuk lihat Adam ketawa. Adam terlupa masalah yang dihadapinya sejenak walaupun parut daripada kesakitan yang dialaminya akibat dibuli masih ada.
“Baiklah Adam! Awak dah mula mempercayai saya. Sekarang saya akan tunaikan janji saya untuk mengajarkan kepada awak bagaimana mendapatkan ketenangan abadi yang awak cari selama ini.” Mawar tiba-tiba memotong keseronokan mereka berbual dengan mengucapkan kata-kata itu.
Adam tersenyum. Itulah yang ingin dicarinya selama ini. Itulah yang dia inginkan dalam hidupnya. Penderitaannya akibat dibuli akan berakhir tidak lama lagi. Buat pertama kali dalam hidupnya dia ingin merasai kenikmatan ketenangan yang orang lain sudah rasa tetapi tidak dirinya.
“Terima kasih Mawar! Sekarang tolong beritahu saya bagaimana untuk mencapai ketenangan tu.” Adam seperti tidak sabar lagi untuk mengetahui caranya.
Mawar tersenyum tetapi senyuman Mawar kali ini agak berbeza. Sekali lagi Mawar memerhati tepat ke dalam mata Adan.
“Mati! Itu saja cara kamu untuk dapatkan ketenangan yang kamu cari itu,” kata Mawar.
Adam terdiam seketika memikirkan kata-kata Mawar itu. Jika mati saja cara untuk melepaskan penderitaannya, dia sanggup. Biarlah dia pergi dari dunia yang fana ini kerana jika dia hidup sekalipun, dia tetap tiada berguna.
Ketika hampir untuk berkata setuju, Adam terfikir akan ibu bapanya. Ibu bapanya mesti akan merinduinya jika dia mati. Adam juga terfikir tentang bagaimana rasanya mati. Adakah mati itu menyakitkan?
“Adakah awak bersetuju, Adam?” tanya Mawar yang melihat Adam terdiam tanpa memberinya jawapan.
“Kalau saya mati, bagaimana dengan kedua-dua ibu bapa saya? Adakah mereka akan merindui saya?” soal Adam kembali.
“Selama ini adakah mereka memahami penderitaan kamu?” Mawar menghasut Adam.
Adam terfikir kembali. Selama ini dia tidak berani mengadu kepada kedua-dua ibu bapanya bahawa dia dibuli sebab itulah mereka berdua tidak terlalu mengambil berat tentangnya.
Adam juga memikirkan bagaimana rasanya ketika hendak mati. Daripada apa yang dia selalu dengar, mati itu menyakitkan. Tidak mangapa! Lagipun dalam hidupnya sudah setiap hari dia berasa sakit dipukul oleh rakan-rakannya yang membulinya.
“Baiklah! Saya bersetuju,” kata Adam.
Mawar tersenyum kerana berbangga dengan keputusan yang diambil oleh Adam itu. Dia kemudiannya mangajak Adam keluar daripada bilik dan berdiri di koridor.
“Lakukannya Adam. Awak akan merasai ketenangan abadi yang awak cari selama ini.”
Tanpa membuang masa, Adam terus memanjat koridor itu. Dia tidak terus terjun sebaliknya berhenti seketika menikmati saat-saat terakhir hidupnya. Sejalur senyuman terlirik pada wajahnya kerana sebentar lagi dia tidak akan merasai penderitaan dibuli lagi. Dia akan bebas buat selama-lamanya. Adam menoleh ke belakang untuk melihat mawar buat kali terakhir.
Sebaik menoleh, retina matanya menangkap sesuatu yang sangat mengejutkan. Wajah Mawar berubah seratus peratus. Wajahnya yang pada mulanya cantik bertukar hodoh dengan sepasang gigi taring, rambut kusut-masai, mata merah menyala sedang memerhati Adam. Adam menggigil ketakutan.
Adam tidak memikirkan apa-apa lagi. Dia terus menyambung tugasnya. Setiap hembusan angin malam telah ditembusi oleh Adam. Akhirnya sampailah tubuhnya ke tanah dari tingkat 6. Kepalanya berkecai seperti buah tembikai kerana bahagian kepala terlebih dahulu bertemu tanah. Darah mengalir laju mencorakkan bahagian bawah kolej kediaman lelaki itu.
Begitulah ketenangan abadi yang ingin dicari oleh Adam. Selepas ini tiada siapa lagi yang boleh membulinya kerana dia sudah tiada lagi di alam ini.
======================
Suntingan & Gambar: Azman Zainordin
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...

Simple but nice. Kot kot ada sambungan Adam balas dendam dekat pembuli ke syok juga, hihi