Sunday 24 December 2017

LIMA DALAM SATU - Suzie Aziz


LIMA DALAM SATU
Karya: Suzie Aziz

=======================
KISAH SATU: ANAK PATUNG
Kaisara tergelak-gelak ketika menonton cerita seram Annabella Creation. Mulutnya lancang mengejek rupa patung yang hodoh itu. Nora dan Danisha sekadar menjeling geram. Sakit hati mereka melihatkan ulah Kaisara yang acah-acah berani. Siap boleh buat ayat “Kalau aku ada kat situ…” lagi.
PRANGG!!
Bunyi kaca yang jatuh berkecai mengejutkan anak gadis itu. Masing-masing serentak memandang ke arah dapur yang gelap.
“Haish ni takde lain kerja cik siti la ni.” Kaisara bangkit sambil membebel memarahi tikus yang dipanggil cik siti. Nora dan Danisha hanya mematung di tempat duduk masing-masing. Mereka membiarkan sahaja Kaisara menguruskan kaca yang pecah di dapur.
Nora dan Danisha meneruskan tontonan mereka. Di dalam kaca TV kelihatan seorang gadis sedang terbongkok-bongkok di dapur seperti mencari sesuatu. Si gadis langsung tidak menyedari kehadiran sebuah anak patung yang berdiri di atas meja sambil memegang sebilah kapak. Ketika gadis itu berdiri membelakangkan meja, dengan pantas patung itu mengapak kepala si gadis. Darah memancut dari belahan di kepalanya ketika kapak ditarik. Tubuh si gadis rebah ke lantai dalam keadaan kepala hampir terbelah dua.
Selepas memastikan yang mangsanya benar-benar telah mati, anak patung itu kemudian perlahan-lahan memusingkan kepalanya memandang kamera. Nora dan Danisha menjerit di sebalik bantal. Ngeri betul. Tontonan mereka berakhir sekitar pukul 12.15 a.m. Danisha menutup TV dan masuk ke bilik yang dikongsi bersama-sama Nora.
Keesokan harinya Apartment Mentari gempar dengan penemuan mayat seorang wanita yang mati dalam keadaan yang mengerikan. Mayat ditemui oleh tuan rumah yang baru pulang dari luar negara selepas bercuti hampir dua minggu. Beliau sangat sedih kerana si mati merupakan anak saudaranya yang diminta menjaga rumah ketika ketiadaannya. Ketika tuan rumah disoal siasat oleh pihak polis, Nora dan Danisha tersengih-sengih memerhati dari atas almari yang menempatkan anak-anak patung lama milik tuan rumah.
KISAH DUA: PESONA
Farid keseorangan meredah kegelapan malam menolak motosikalnya yang kehabisan minyak. Tiada sebiji kenderaan pun melalui jalan tersebut pada jam dua setengah pagi. Ketika Farid melintasi sebuah kubur lama, kelihatan sorot lampu sebuah kereta datang dari arah depan. Farid mengangkat tangan kiri menghalang silau lampu kereta dari menyakiti matanya. Apabila kereta itu melintasinya, Farid dapat melihat sekumpulan anak gadis berada di dalam kereta jenama Mercedes. Tingkap kereta terbuka dan dua orang gadis cantik yang berada di sebelah kanan menjenguk lalu tersenyum memandang Farid yang berhenti di tepi jalan. Seorang lagi gadis yang berada di sebelah kiri di belakang sekadar melambai. Kereta itu terlajak hampir dua meter sebelum tiba-tiba ianya berhenti secara mengejut. Farid sekadar menanti ketika lampu undur menyala menandakan kereta itu akan berpatah balik ke arahnya.
“Hi handsome. Nak kemana malam-malam macam ni?” si pemandu menegur Farid ketika keretanya berhenti betul-betul disebelah pemuda itu.
Gadis cantik berambut hitam lebat itu tersenyum manis ke arah Farid. Farid menelan air liur.
“Saya nak balik rumah.”
“Penat tu bang heret motosikal. Apakata kitorang hantar abang balik, nak tak?” Gadis comel berambut pendek yang berada di belakang pemandu pula mempelawa.
Farid berkenan betul dengan gadis persis Janna Nick itu.
“Eh, tak menyusahkan adik-adik semua ke?”
“Takdelah. Lagipun kami semua dah ‘lapar’ ni.” si pemandu tersenyum menggoda.
Farid menongkat motosikalnya di tepi jalan. Si gadis persis Janna Nick keluar lalu mempersilakan Farid duduk di tengah-tengah. Farid terasa bagai di awan-awangan apabila dihimpit dua orang gadis jelita dan seksi. Matanya meliar melihat apa yang tak sepatutnya. Kereta digerakkan menuju ke destinasi yang bertentangan dengan rumah Farid.
“Korang nak makan apa ni?” Farid pura-pura bertanya.
“Kitorang nak makan abanglah.” Si gadis di sebelah kirinya berbisik sebelum menjilat telinga Farid.
Farid tergelak besar kerana tiba-tiba satu lintasan yang nakal menerjah otaknya.
“Laratke korang semua nak ‘makan’ abang? Abang ni kuat tau.”
Farid masih ketawa namun tiba-tiba ketawanya mati apabila melihat sepasang siung terjulur keluar dari celah bibir merah milik kedua gadis jelita di kiri kanannya. Mata yang galak memandangnya tadi kini bertukar hitam kesemuanya. Farid ketakutan. Si jelita persis Janna Nick menerkam leher Farid lalu membenamkan siungnya ke dalam batang leher pemuda itu. Dan gadis di sebelah kirinya pula membaham lengan Farid. Farid menggelupur kesakitan. Jeritannya terperangkap di dalam kereta.
“Girls. Jangan gelojoh sangat okay.” si pemandu tersengih memerhati Farid yang sudah kehilangan bentuk dikerjakan dua ekor makhluk di belakang. Mercedes itu terus dipandu membelah keheningan pagi.

KISAH TIGA: KORBAN

Sekumpulan anak muda sedang menghabiskan masa berbual kosong di sebuah pondok yang dibina di tepi sawah yang telah lama ditinggalkan. Kegelapan malam hanya diterangi sebiji lampu gasoline yang digantung di tengah-tengah pondok.
Hasnan menghidupkan sebatang rokok. Epul, Sahar, Fakhrul dan Mahari sibuk melayan telefon pintar masing-masing. Sambil-sambil menonton video di Youtube, mereka berbual tentang pelbagai perkara. Yang paling hangat dibualkan adalah berkenaan anak gadis Pawang Sudin yang sangat cantik. Walaupun jarang-jarang dapat dilihat, kecantikan rupa paras dan tubuh badan anak gadis Pawang Sudin memang tiada siapa boleh tandingi.
Memang menjadi impian semua anak muda kampung untuk memiliki anak gadis Pawang Sudin, namun mereka tidak berani memulakan langkah kerana mereka sedar Pawang Sudin garangnya mengalahkan singa.
Hasnan yang mendengar perbualan rakan-rakannya mengenai anak gadis Pawang Sudin bersuara.
“Selalunya malam-malam macam ni, si Salmiah tu suka mandi kat sungai hujung kampung ni.”
“Mana kau tau?” Sahar bertanya.
Sepasang matanya bersinar mendengar berita tersebut. Epul, Fakhrul dan Mahari sudah menyimpan telefon masing-masing.
“Selalu aku nampak. Dia mandi tak pakai apa-apa kau tau. Badan dia fuh.” Hasnan mengangkat ibu jari.
Epul, Fakhrul, Sahar dan Mahari bingkas bangun.

Tanpa mempelawa Hasnan mereka meluru menuju ke hujung kampung. Hasnan hanya tersengih sambil menyedut rokok di bibir dalam-dalam.
Mereka menyorok di belakang sebiji batu yang besar. Kelihatan di bawah limpahan cahaya bulan, Salmiah sedang duduk di atas seketul batu di tengah sungai yang cetek.
Sekujur tubuh Salmiah dibaluti kain batik. Bahagian badannya yang terdedah menyerlahkan kulitnya yang putih mulus. Epul mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia ingin merakam detik-detik indah itu ke dalam telefonnya. Salmiah perlahan-lahan menanggalkan kain batik yang dipakainya. Ternganga mulut anak-anak muda itu menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan di hadapan mata.
Sedang asyik mereka mengintai Salmiah yang sedang mandi di dalam sungai, tanpa disedari ada seseorang sedang berdiri di belakang mereka. Satu tusukan tajam menembusi leher Mahari. Terpercik darahnya mengenai muka Sahar yang berada di sebelahnya. Ketika Sahar berpaling ke sebelah, sebilah kapak singgah di mukanya. Kepala Sahar terbelah dua. Fakhrul yang menyedari bahaya yang mendatang, tidak mampu melakukan apa-apa. Dia hanya sempat memanggil nama Epul sebelum dadanya ditusuk sebatang tombak tepat ke jantung. 
Segalanya berlaku cukup pantas. Telefon Epul terpelanting ke tanah bersama-sama tangannya yang terputus. Dia meraung kesakitan sebelum kepalanya pula bercerai dari badan.

Hasnan muncul setelah keempat-empat anak muda itu maut di tangan Pawang Sudin.
“Cukup wak, empat orang?”
“Hehehehe lebih dari cukup. Kenyanglah belaan aku untuk empat bulan. Dah tolong aku angkut diorang semua ni ke rumah. Nanti aku bagi upah kau.”
Hasnan sekadar mengangguk. Dia menjeling ke tengah sungai, melihat seekor makhluk berambut panjang sedang bertenggek di atas batu.
KISAH EMPAT: STILETTO
Amirah bengang. Masuk kali ini sudah lima kali kasutnya diambil tanpa kebenaran. Sudahlah kasut yang ini belum pernah sekali pun dipakai. Masih terletak elok di dalam kotak. Amirah menghempaskan pintu bilik, mengejutkan Jannah yang sedang tidur di ruang tamu. Pandangan matanya tumpah ke atas wajah Amirah yang mencuka.
“Kau ni dah kenapa? Angin tidak ribut tidak balik-balik nak mengamuk ni.”
“Aku ni sakit hati dengan si Nana. Tak habis-habis kebas kasut aku. Hari tu dah janji tak buat dah.”
Jannah menguap.
“Dia ambik kasut kau lagike?”
“Yala. Kasut yang aku baru beli semalam. Kasut tu aku pun belum pakai lagi kau tau. Eiii kalau ikutkan hati…” Amirah menggenggam penumbuk kanan lalu dihentakkan ke telapak tangan kiri.
“Memang aku picit-picit budak tu.”
Jannah hanya mampu mengeleng sebelum bangun menuju ke biliknya. Sambung tidur lagi baik dari melayan bebelan Amirah.
Pukul 11 malam. Nana membuka pintu bilik Amirah perlahan-lahan. Kasut Amirah yang dipinjamnya diletakkan di tepi pintu. Selepas Nana keluar, Amirah melompat bangun dari katil lalu membuka lampu bilik. Menyirap darahnya ketika melihat tumit kasut sebelah kiri tercabut. Amirah menggertap bibir sekuat hatinya hingga terluka. Air mata merembes di pipi.
“Siaplah kau lepas ni.”
Hujung minggu. Amirah tiada di rumah. Nana masuk ke bilik Amirah. Semalam dia nampak beg kertas jenama kasut terkenal di tangan Amirah. Nampaknya dia tak perlu bersusah payah mencari kerana stiletto merah itu terletak elok di atas meja solek.
“Wow, cantiknya stiletto ni. Taste kau memang kena betul dengan aku Mirah. Pinjam ya.” Nana menyarung kasut tumit tinggi milik Amirah ke kakinya.
Saiz kaki mereka yang sama memang memudahkan Nana melakukan aktiviti meminjam tanpa kebenaran.
Taman Tasik Titiwangsa.
Nana terhencot-hencot berjalan. Entah kenapa dia merasakan stiletto yang dipakainya semakin ketat. Teman lelakinya, Razaman merasa hairan.
“You dah kenapa?”
“Entahlah you. Kasut ni macam ketat pulak.” dahi Nana berkerut seperti menahan kesakitan.
“Okay, kita duduk kat bangku tu sekejap. Bukak kasut tu.” Razaman memimpin tangan buah hatinya.
“Arhhh!!” Baru beberapa langkah berjalan Nana jatuh terjelepok. 
Kakinya terasa seperti di cengkam oleh kasut yang dipakainya.

Keadaan taman tasik yang agak suram menyukarkan penglihatan Razaman. Dia segera menyuluh kaki Nana menggunakan fungsi torchlight di telefon pintarnya. Razaman tergamam ketika melihat stiletto merah yang dipakai Nana menjadi semakin kecil. Nana sudah meraung-raung kesakitan. Dia menggelupur di atas rumput. Orang ramai yang berada di situ mula mengerumuni mereka berdua.
“You, sakit. Bukak kasut ni…bukak!” Sudah berkali-kali Nana merayu dibukakan kasutnya.
Dengan bantuan beberapa orang pengunjung yang memegang tangan dan kakinya, Razaman berusaha membuka kasut yang dipakai Nana namun gagal. Hingga akhirnya mereka mendengar bunyi derapan tulang yang patah dan Nana pengsan akibat kesakitan yang tak tertanggung. Orang ramai yang berada di situ merasa ngeri apabila melihat tulang kaki Nana yang patah tersembul keluar menembusi kulitnya.
Keesokan harinya.
Amirah tersenyum puas ketika menyaksikan sebuah video aneh yang tular di Facebook tentang seorang wanita yang menggelupur kesakitan akibat kasutnya yang semakin mengecil.
Padan muka!
KISAH LIMA: KEMBALI
Rosman terkocoh-kocoh keluar dari kereta. Dahinya berpeluh. Dia sudah lewat hampir lima belas minit untuk mesyuarat penting. Sudah terbayang muka Datuk Mukhriz yang bakal menyinga akibat kelewatannya.
“Aduh lambat pulak lift ni.” Rosman menekan butang ke tingkat 14 berkali-kali dengan harapan lift turun dengan cepat.
Sampai sahaja ke pejabat, Rosman segera menuju ke bilik mesyuarat. Di dalam kepalanya sudah tersenarai beberapa alasan munasabah yang boleh diberikan kepada Datuk Mukhriz. 
Ketika pintu bilik mesyuarat dibuka, semua kepala yang berada di dalam bilik mesyuarat serentak menoleh ke arahnya. Datuk Mukhriz yang sedang duduk di kerusi hadapan dengan telefon di telinganya, pantas berdiri.

“Maaf Datuk. Saya lambat. Tadi ada…”
Semua yang berada di bilik mesyuarat tergesa-gesa bangun dan berasak di sudut bilik di belakang Datuk Mukhriz. Muka masing-masing kelihatan cemas. Rosman merasa semakin aneh apabila air muka Datuk Mukhriz juga kelihatan seperti ternampak hantu.
“Korang ni dah kenapa? Datuk?”
“Ro…Rosman?” teragak-agak Datuk Mukhriz bertanya.
“Ya Datuk. Saya Rosman. Kenapa Datuk macam pelik je ni?” Rosman menapak ke hadapan.
Rakan-rakan sepejabatnya kelihatan semakin cemas. Masing-masing tolak menolak untuk ke belakang. Siap ada yang menadah tangan berdoa.
“Rosman. Awak baliklah. Ini bukan tempat awak lagi.” menggigil suara Datuk Mukhriz ketika menuturkan kata. Dahinya sudah dibasahi peluh.
Rosman semakin mendekat.
“Apa maksud Datuk ni? Kenapa Datuk suruh saya balik? Datuk dah tak perlukan saya ke?” suara Rosman semakin meninggi.
Dia merasa marah apabila Datuk Mukhriz menyuruhnya pergi tanpa sebarang alasan.
“Datuk, apa kita nak buat ni Datuk.” Fuad menggongcang lengan Datuk Mukhriz.
Pembantu peribadinya memang seorang yang penakut. Datuk Mukhriz tiada pilihan lain. Dia perlu lakukan sesuatu. Kedua tangannya diangkat hingga ibu jarinya menyentuh cuping telinga. Datuk Mukhriz menarik nafas dalam-dalam sebelum bilik mesyuarat bergema dengan alunan azan.
Rosman kepanasan. Dia mara mendapatkan Datuk Mukhriz. Sepasang tangannya memegang bahu Datuk Mukhriz.
“Datuk!”
Datuk Mukhriz terus mengalunkan azan. Rakan-rakan sepejabatnya masing-masing berpelukan ketakutan.
“Berhenti Datuk!”
Jeritan Rosman mengejutkan Datuk Mukhriz. Laungan azannya terus terhenti. Matanya merenung Rosman yang turut memandang ke arahnya.
“Rosman, baliklah. Dunia kita dah tak sama.” lirih suara Datuk Mukhriz berkata-kata.
“Apa…apa maksud Datuk ni? Saya tak faham.”
“Rosman. Kau dah meninggal. Kau terlibat dalam kemalangan jalan raya sebentar tadi.”
“Apa!” Rosman terperanjat besar.
“Apa Datuk merepek ni. Saya masih hiduplah Datuk.”
Dari rasa takut, Datuk Mukhriz mula merasa simpati melihatkan Rosman. Perlahan nombor telefon Haziman didailnya. Fungsi pembesar suara ditekan.
“Hello Datuk.”
“Haziman. Awak ada kat mana sekarang?”
“Saya ada kat hospital Datuk. Uruskan arwah Rosman sebelum keluarga dia sampai dari Melaka.”
Panggilan diputuskan. Datuk Mukhriz memandang Rosman yang masih berdiri mengadapnya. Wajah anak muda itu kemerahan menahan perasaan.
“Awak dah dengar sendirikan. Haziman saksi yang awak dah meninggal. Jadi baliklah Rosman.”
“Datuk.” Rosman meletakkan tangannya ke bahu Datuk Mukhriz.
“Saya orang Perlis Datuk.”
Kini giliran wajah Datuk Mukhriz pula kemerahan menahan perasaan.
-TAMAT-
======================
Suntingan dan Gambar: Kucing Kelabu
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...

hai...

just nak komen..

1) kisah anak patung- nora dan danisha anak patung ke?
2) kisah persona-best
3) kisah korban- thumbs up
4) kisah stilleto- seram doh
5) kisah kembali- x berapa faham ending bila rosman kata dia org perlis.

tq