BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 2)
Karya: Ariff Budiman
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF
Aku telah mendapat undangan untuk menjadi DJ di sebuah rumah yang mengadakan kenduri. Masa aku menerimanya, isteriku masih lagi sihat. DJ merupakan kerja sambilanku. Aku telah berjanji dengan tuan rumah kenduri sebelum isteriku menerima dugaan Allah. Berat rasaya hati untuk membiarkan dirinya yang mengharapkan aku berada di sampingnya. Program bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.
“Abang pergilah. Kalau kita dah berjanji tak baik memungkirinya. Abang jangan risaukan Siti sangat sebab Allah ada bersama.”
Aku melangkah longlai dan tidak ceria memikirkan keadaan isteri. Aku tidak banyak bercakap sewaktu di rumah kenduri. Dengan hanya memasang lagu-lagu nasyid, aku terus buntu mencari idea.
Kemudian anakku menghantar SMS mengatakan emak muntah darah. Ya Allah kau percepatkanlah masa sampai jam 5 petang. Aku terpaksa menelefon bertanyakan khabar, tapi kata isteriku, tak apa dia boleh bertahan lagi.
Alhamdulillah jam dah pukul 5 petang selepas aku bereskan kerjaku. Aku bergegas pulang. Ku lihat isteriku sedang menangis menahan kesakitan. Kakinya terasa lemah dan tidak bermaya. Aku mengajaknya keluar untuk mengambil angin.
Aku hanya mengambil jalan-jalan yang mudah untuk pulang ke rumah. Aku tidak berani membawanya ke pantai. Kami melalui masjid. Terdengar bacaan ayat suci Al Quran surah Yasin yang menandakan ada kematian. Apalagi isteriku menangis bila mendengarnya. Katanya mungkin suatu hari bacaan Al Quran ini adalah untuk dirinya.
Air mata tidak mampu ku bendung lagi. Sambil memandu air mata berlinangan mengenangkan percakapan isteriku tempuh hari. Katanya. "Kalau Siti pergi abang redholah pemergian ni. Sedekahlah ayat-ayat Al Quran untuk Siti. Abang kahwinlah lain. Siti tak mau abang sunyi.”
Apalagi aku pun menangis dalam kereta. Aku berhenti di depan masjid dan terus berkata kepada isteriku. "Kita jangan mudah putus asa. Rasulullah telah diuji dengan lebih dasyat lagi. Mungkin mereka yang melakukan ini mahukan kita berputus asa." Isteriku hanya mendiamkan diri.
Keesokkan harinya jiranku telah membawa seorang pengamal perubatan untuk membantu. Aku terima saja demi isteriku asalkan ianya tidak menyeleweng. Aku tidak mahu ia berkecil hati.
Kata tok bomoh itu, dia hanya mampu menghalau keluar saja. Tapi kalau datang balik, dia tak dapat buat apa-apa ibarat menghalau anak ayam daripada memakan makanan.
Kata tok bomoh, benda yang berada di dalam badan isteriku amat kuat dan pandai. Bila dibacanya ayat, ia akan pura-pura tidur. Begitu juga kalau kami sekeluarga berhimpun untuk membaca Yasin. Bila sebut saja ayat Yasin, dia terus tertidur. Selesai membaca dia akan bangun semula.
Kata tok bomoh, kalau nak pendinding dia ada tapi kena bayar sedikit iaitu sebanyak RM 140. Ia berbentuk tangkal dan perlu digantung di leher. Aku menolaknya secara baik. Aku tidak mahu bergantung harap kepada azimat tangkal. Itu dah syirik namanya.
Sambil tersenyum, tok bomoh berkata ini semua sebab terlampau aktiflah. Ada yang cemburu dan hasad. Aku tahu, kalau di surau andai ada apa-apa hal, jemaah disuruh pergi tanya dengan Budiman dan Aishah. Orang yang hantar benda ke isteriku marah sebab ia kata Aishah suka menonjolkan diri.
Subhanallah, yang aku tahu isteriku bukanlah jenis yang suka menunjuk-nunjuk. Tidak pernah isteriku bermusuh dengan sesiapa. Cuma makcik-makcik memang mengharapkan setiap program, Aishah mesti ada sebab dia yang paling muda. Kalau tak ada Aishah, kata mereka, mereka tidak boleh bekerja.
Badanku isteriku semakin panas. Bila dia batuk berketul-ketul darah akan keluar daripada mulutnya. Aku dah mula panik.
“Bang…Siti sakit bang.”
Aku mengelap darah yang keluar dari mulutnya. Berketul-ketul melekat di tuala kecil.
Telah beberapa hari isteriku demam. Berapa biji panadol telah ditelan. Hilang peluh, panas timbul kembali.
Aku tidak sampai hati membiarkan insan yang menjagaku ketika aku pernah terlantar di hospital. Insan inilah yang berjalan kaki dari rumah ke hospital. Sampai saja di hospital baju dah berpeluh. Pernah seketika ia terlelap akibat keletihan.
Insan ini juga yang menyambutku ketika aku pulang dari tempat kerja dalam keadaan pelik. Insan inilah juga yang memasak makanan untukku dan anak-anak. Insan inilah juga yang menenangkan aku tatkala dalam keadaan marah. Insan inilah juga yang sauna aku bila aku keletihan selepas pulang dari tempat kerja.
Aku tidak sampai hati melihat badannya yang begitu panas sehinggakan bila duduk berhampiran pun terasa bahangnya. Aku terus ke klinik panel untuk mendapatkan surat rujukan yang akan aku gunakan semasa pendaftaran di hospital.
Sesampai saja di hospital, isteriku terus dibawa ke Bilik Kecemasan. Aku diberitahu oleh doktor bahawa demam isteriku terlalu panas.
Semasa menanti isteri, aku mengelamun memikirkan aktiviti yang pernah kami lalui. Insan inilah yang bertungkus-lumus menyiapkan makanan untuk hari keluarga walaupun telah dinasihat untuk berehat.
Atas dasar amanah yang diterima dia berkata. "Hari ini kita tolong orang, suatu hari nanti Allah akan tolong kita.” Semasa orang lain menolak tugasan ini, beliau bersama ibunya membalut ketupat, membuat serunding, nasi himpit dan kuah kacang.
Keesokan harinya kami terus menghantar makanan ke tempat hari keluarga yang telah diadakan. Isteriku tidak menjamah langsung makanan sebab tidak berselera. Selesai hari keluarga dia terus mengajak aku pulang sebab terlalu letih. Badannya terlalu panas.
Lamunanku terhenti apabila namaku dipanggil untuk membawa isteriku masuk ke dalam wad. Doktor suspek bermacam-macam jenis penyakit yang membuatkan dirinya tidak dapat mengawal perasaan. Aku terpaksa menenangkan perasaannya walaupun aku sendiri tahu memang ketika ini memang berat bagiuntuk sesiapa yang mengalaminya.
Lama kelamaan berita yang kami terima sedikit sebanyak melegakan hati kami. Namun panasnya masih belum hilang. Akhirnya doktor mengesahkan bahawa isteriku negatif dari penyakit TB dan dibenarkan keluar.
Keesokkan harinya isteriku batuk dan keluar darah yang banyak. Dia menangis kesakitan.
Datang seorang jiran lalu berkata. “Budiman....Bini hang ni kena santau.”
Ya Allah tiba-tiba aku seperti tersedar dari mimpi. Entah kenapa aku tak dapat kenal pasti padahal aku pun dah tahu tanda-tanda awal santau.
“Depa tutup hijab hati hang Budiman. Hang bawa jumpa ustaz,” kKata jiran lalu memberi nombor telefon. Aku terus menghubungi ustaz dan mendapat kebenaran untuk membawa isteriku ke sana. Sepanjang perjalanan kami ke sana, isteriku asyik muntah darah. Darah telah memenuhi di atas kerusinya.
Bila sampai terus ustaz membaca sesuatu. “Budiman, isteri kamu ni kena santau tuju. Ia dituju khas ke isteri kamu.”
Jatuh air mataku mendengar kata-kata ustaz. Sampai hati orang yang melakukan sihir ini. Apa salah isteriku?
Akhirnya ustaz mengeluarkan santau yang merupakan kaca-kaca halus yang keluar dari hujung kaki isteriku. Menjerit kesakitan isteriku sewaktu santau dikeluarkan daripada ibu jari kakinya.
“Alhamdulillah Budiman. Saya dah keluarkan kesemua santau daripada tubuh isteri kamu dan saya dah block orang yang buat kerja ni,” kata ustaz yang membuatkan kami rasa cukup gembira.
Selepas santau berjaya dikeluarkan, aku melihat isteriku dah tersenyum walaupun keletihan.
“Siti jom kita ke Kelantan dengan flight. Kita berehat dan sambil mencari ustaz yang pandai di sana.” Isteriku hanya mengikut saja kata-kataku.
“ Bang... Siti tak sabar nak jalan-jalan. Dah lama kita tak pi berjalan.”
Terus aku menghubungi adikku yang menetap di Kelantan…
-Bersambung jam 9.00pm-
Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment