SELAMAT MALAM
Karya : Daliana Zainal Abidin
Suntingan Gambar : DeeFen DF
Fatimah, Suhana dan Kaisara, tiga sahabat yang menyewa sebuah rumah flat sekitar Wangsa Maju. Setiap dari mereka memegang jawatan yang berbeza. Fatimah, seorang eksekutif akauntan. Suhana pula seorang kerani pentadbiran. Manakala Kaisara pula menyandang jawatan kerani sumber manusia.
Menyewa flat kos rendah berdekatan dengan transit aliran ringan Putra memudahkan tiga sahabat ini keluar bekerja. Setiap minggu mereka bergilir menumpang kereta salah seorang menuju ke stesen keretapi Wangsa Maju. JImat minyak, masa serta adil. Begitu jugalah perkongsian barang dapur, bil fasiliti. Kebiasaan Isnin hingga Jumaat mereka lebih senang makan di luar. Cuti hujung minggu, rewang sama-sama. Jadual tugasan lain juga dibuat.
Hampir dua tahun menyewa bersama. Masing-masing belum berkeinginan untuk berkahwin. Umur masih muda katanya. Lagi pula untuk membalas jasa orang tua terlebih dahulu. Setiap dari mereka datang dari negeri yang berlainan.
Fatimah dari Johor, Suhana dari Kedah dan Kaisara dari Negeri Sembilan. Untunglah Kaisara, negeri jiran dengan Kuala Lumpur. Belum sempat nak lenguh punggung, cepat sampai kampung halaman. Kadang-kadang sangkut juga berjam-jam walaupun sekadar nak balik ke Seremban! Fatimah dan Suhana lebih gemar naik kapal terbang. Tak kuasa nak memandu katanya. Air Asia, tambang murah!
Okay cukup sesi perkenalan. Panjang sangat, boleh tertidur jadinya ataupun korang cepat bosan!
***
Setiap kali 26 haribulan, pasti mereka akan merancang makan yang sedap-sedap. Reward diri sendiri katanya. Kepala yang selalu plan makan luar adalah Suhana. Dia memang kuat makan, badan kekal kurus. Fatimah dan Kaisara kata dia bela saka! Sakan tak gemuk-gemuk.
Suhana : Tim... Sara, jom kita pi makan Johnny. Tekak aku ni lapaq nak makan steamboat. Duit pun kapok-kepok ni. Gaji dah mai. He he he.
Fatimah : Roger aje. Sedap seh steamboat. Kuah tomyam.
Kaisara : Den follow yo. Janji tokak den sodap nak tolan. Powut den konyang.
Begitulah masing-masing keluar loghat ikut negeri. Mula-mula dahulu, pening antara satu sama lain nak memahami.
Tepat jam 5.30 petang, ketiga-tiga sahabat ini keluar dari pejabat masing-masing. Mujur masuk waktu dan balik kerja mereka sama.
***
Jam 6.30 petang, masing-masing tiba di tempat yang dijanjikan. Kebetulan hujan lebat sedang membasahi bumi. Kesesakan lalu lintas tidak menjadi hal bagi mereka. Sedia maklum, menggunakan perkhidmatan awam memudahkan urusan. Mujur hujan lebat kali ini tidak berlaku sebarang ‘delay’. Dulu heboh apabila perkhidamatan transit ringan ini tiba-tiba terhenti shingga tular gambar ala-ala Train To Busan.
Kreatif rakyat Malaysia!
Awal-awal lagi Suhana sudah menempah meja untuk mereka bertiga. Tiba di hadapan Restoran Johnny, Suhana memberikan nombor booking kepada pelayan yang menjemput sebentar tadi. Masuk sahaja, hampir ke semua meja penuh dengan pelanggan. Apabila musim gaji tiba, maka ramailah yang akan mengambil kesempatan untuk membeli-belah ataupun keluar makan.
Seperti biasa, mereka akan pesan set dua orang makan untuk steamboat tom yam dan menambah beberapa makanan yang lain.
Suhana : Hangpa... malam ni jom kita layan citer Sundel Bolong. Esok cuti, bolehlah tidoq lewat malam ni.
Aroma kuah tom yam membangkitkan selera. Bahan-bahan yang dicelur tadi hampir masak. Masing-masing tidak sabar. Perut sudah berdondang-sayang.
Kaisara : Se ikut yo. Nasib baik kita langgan Astro yang ado PVR. Bulih yo rakam bilo-bilo maso dan tengok time kito semuo free. Paling ponting kito sesame bayar tiap-tiap bulan. Paling best, bagi free siaran weih start 3 sampailan 19 haribulan November ni. Siaran BOO tu kalau tidak kono bayar tu.
Fatimah : Baru nak ajak tengok wayang cerita Tombiruo. Tapi takpelah, apa kata siap mengemas esok petang kita gi panggung? Eh, citer Malam Satu SUro legend urban tu. Dulu seram tau kawan tengok masak memula citer ni keluar. Siap berselubung dengan selimut. Takut seh!
Sambil makan sambil itu mulut mereka laju berbual. Di rumah kalau masing-masing kepenatan, semuanya tidur awal. Sebelum tidur mereka akan pastikan keadaan dalam isi rumah bersih. Tiada sisa makanan yang terlonggok di dalam tong sampah. Sinki pun kosong senantiasa. Bila bab buang sampah di bawah, tiga-tiga turun menemani antara satu sama lain.
Penakut tapi suka layan cerita seram!
Suhana : Huish, memang. Serang tang dia dok sakan gelak ngilai-ngilai. Meremang bulu tengkok cheq! Balik satgi kita pi singgah beli kudap-kudapan. Baru ala-ala menonton wayang.
Kaisara : Ok gak tu. RUmah nanti tak yah pasang lampu. Gittew! Bilo konangkan balik den dolu, abah den kuek bonar mengusik. Bilo semuo fokus menengok cito tu, abah den boleh sergah lak. Apo laei, semuo dok pakat nyorit la. Paling kelakar abang den, tokoncing dio lam seluar. Ha Ha Ha. Badan yo sado, tapi penakut nak mampuih tu!
Fatimah : Tapi abang kau kacak, kirim salam!
Kaisara : Mimpi yolah kirim salam. Dio nak bertunang dah tu. Penakut cito seram pun boleh jadi polis. Ha ha ha...
Suhana : Melepaih hang Tim. Ha ha ha...
Mereka bertiga berseronok hari ini.
***
Jam hampir menunjukkan pukul 8.30 malam. Mereka bertiga bergerakmenuju ke pasaraya Aeon Big membeli sedikit barang dapur dan kuda-kudapan untuk menonton telefilem seram lakonan Suzanna.
Kebanyakkan cerita seram yang dilakokan oleh Suzanna begitu menjadi. Dahulu dia agak popular dikalangan dunia artis Indonesia. Salah satu lakonan dia dalam cerita Beranak Dalam Kubur pun meninggalkankesan kepada penonton.
Cuba korang layan malam-lama semua cerita Suzanna, terasa macam dia ada di sebelah sahaja!
Okay, done provoke!
Usai membeli keperluan dapur dan kunyahan mulut, mereka bertiga menjinjit setiap seorang satu beg plastik besar. Begitulah turin mereka setiap kali tiba minggu gaji menjelma. Kesemuanya memang kuat makan!
Stesen Kuala Lumpur Sentral masih dipenuhi orang ramai. Apabila Mall Nu Sentral dibuka, lagi menambahkan kepadatan para pengunjung. Putra, jadualnya cepat dan perjalanannya pun tidak mengambil masa yang lama. Komputer pula, sudah biasa delay 5 minit, 10 minit tetapi jarang berlaku delay 10 minit buat masa kini. Kalau dahulu, ya.
Penuh sesak dalam isi perut Putra. Jam sudah hampir ke 9.30 malam. Setibanya di Stesen Wangsa Maju, mereka bertiga bergegas ke tempat parkir kereta. Malam semakin lewat. Kawasan parkir yang agak gelap mengundang bahaya. Cepat-cepat mereka bertiga masuk ke dalam perut kereta dan menuju balik ke rumah yang jaraknya cuma 15 minit sahaja. Itupun kalau tidak sesak. Kalau sesak, 1 jam baru sampai. Pernah sekali mereka terkandas gara-gara lampu trafik rosak.
***
Kawasan flat, parkirnya memang senantiasa padat. Berpusing-pusing kereta mencari petak kosong. Akhirnya setelah hampir 10 minit mencari, jumpa juga yang kosong. Itu pun jauh sedikit dari kawasan flat. Berjalan kaki ketiga-tiga mereka dengan tangan yang penuh dengan beg plastik masing-masing.
Sampai hadapan lif, rosak pula!
Suhana : Adoi, tangan cheq nak putuih boleh pulak lif ni rosak.
Fatimah : Nampak gaya panjat tangga. Nasib baik tingkat empat. Kalau tingkat 10?
Kaisara : Ini yang den hangin bonar. Apo pasal lah manjang rosak yo lif ni! Sepo lah punyo kojo ni hah! Butang pun banyak yang dah kono ompil. Tak ghoti jaga lah. Kot orang tuo camno gayo la nak panjek tango ni! Osah botul lah!
Ketiga-tiga mereka berang dengan vandalisme yang berlaku. Membebel tapi kaki gagah juga memijak tangga.
Pada tangga tingkat ke tiga, mereka terlihat seorang wanita yang terkial-kial memegang dinding memanjat tangga. Suhana memberikan beg plastiknya kepada Fatimah. Lantas tangannya memegang bahu wanita itu. Rambutnya pula panjang mencecah punggung.
Fatimah dan Kaisara sudah tergamam apabila melihat pakaian wanita itu kelihatan amat lusuh. Sikap perikemanusiaan Suhana memang tinggi sampai dia tidak meneliti dahulu siapa wanita yang berada di hadapannya.
Fatimah : Psstt... Psstt.. Suhana!
Kaisara sudah ketakutan. Dipegangnya erat lengan Fatimah yang agak sado itu. Suhan memaling. Hairan melihat rakan serumahnya pucat lesi secara tiba-tiba.
Suhana : Hangpa apa pasai? Macam nampak hantu ja!
Fatimah dan Kaisra mengangguk laju-laju mengiyakan kata-kata Suhana. Tetapi Suhana sekadar ketawa mengekek.
Suhana : Hantu apa, ini Kak Munah yang akalnya kurang sihat tu. Hangpa tak kenai ka? Itulah hangpa tak ramah dengan jiran. Kak Munah ni memang suka dok panjat-panjat tangga. Aku selalu ja tolong Kak Munah ni. Baju dia memang lusuhni ja dia dok suka pakai. Mak Esah dengan Pak Jali puas dah suruh tukaq tapi dia tak mau. Aku selalu la dok borak dengan depa orang tua. Kepala tu toksah dok pikiaq hantu manjang.
Fatimah dan Kaisara menarik nafas lega. Dari belakang masa mula-mula nampak seiras dengan Cik Pontianak!
Kak Munah yang kurang waras memang suka bermain anak tangga di aras tiga dan empat. Suhana memang selalu menggunakan tangga dari lif sebab bila waktu puncak lebih-lebih lagi petang, memang sesak. Suhana kenal benar susuk tubuh, kepanjangan rambut serta baju lusuh yang dipakai oleh Kak Munah. Kak Munah kurang waras atas sebab apa tidaklah Suhana dapat pastikan. Kata orang tuanya, terkena buatan orang.
Wallahualam.
Setelah menghantar Kak Munah pulang, mereka menuju ke pintu rumah. Keletihan tidak mematahlan semangat mereka untuk melayan telefilem Malam Satu Suro itu.
***
Malam ini, sunyi sepi. Kau terlena, dalam mimpi
Kau tersenyum kedamaian, menikmati cinta kita.
Malam ini, sunyi sepi. Bermimpilah tentang cinta.
Ku ingin selalu, bersamamu, disisimu.
Selamat malam, oh cintaku.
Meremang apabila terdengarkan lagu ini. Sedangkan ini adalah lagu romantik, tetapi apabila dinyanyikan oleh si Suketi waktu dia bertukar menjadi Sundel Bolong, mencacak bulu roma!
Fatimah dan Kaisara pada awal cerita sudah menjerit, mana tidaknya movie dimainkan bunyi petir di kawasan kuburan! Ditambah pula awal-awal lagi sudah tunjuk Suzanna menjadi Kuntilanak. Suhana sahaja yang masih rileks sebab dia selalu layan cerita Suzanna.
Di saat plot cerita sampi ke klimaks, tiba-tiba Suhana terasa gelisah dan tidak sedap hati. Seram sejuk dia rasa seperti ada yang memerhati. Fatimah dan Kaisara berselubung dalam satu selimut. Keadaan terasa sunyi dan sepi. Suhana tidak dapat fokus perjalanan cerita ini.
Dia beralih terus duduk berhimpit dengan Fatimah dan Kaisara. Kedua-duanya memandang Suhana dengan hairan. Tadi bukan main lagi rileks macam tak takut apa-apa. Mereka bertiga fokus kembali ke skrin televisyen yang saiznya agak besar itu, puas kalau menonton. Tiba-tiba ada tangan yang memukul bahu Fatimah dengan perlahan.
Fatimah : Sara, tangan tu duduk diam la. Kacaulah!
Kaisara : Bilo maso lak tangan den merayap? Elok yo den poluk bantal ni.
Fatimah : Habis tu, siapa pulak main pukul-pukul bahu aku tadi?
Kaisara dan Fatimah memaling muka ke arah Suhana.
Suhana : Eh, takdak buat apa pun na. Hangpa pasai apa dok tengok cheq? Tangan cheq elok ja tongkat dagu. Peliklah hangpa dua ni. Mentang-mentang aku baru mai himpit hangpa.
Fatimah : Sumpah! Bahu aku kena pukul-pukul manja macam ni tau.
Kedua-dua bahu Kaisara dan Suhana dipukul oleh Fatimah. Meniru aksi dipukul bahu tadi. Tiba-tiba...
“Emangnya aku yang pukul. Takut sama aku ya? Nonton itu tidak taku ya? Selamat malam teman-teman. Bagaimana dengan lakonan ku? Hi hi hi... hiiiiiiiiiiiiiii”
Alangkah terkejutnya mereka apabila makhluk yang mirip wajah Suzanna dalam cerita Sundel Bolong menegur dari belakang. Rambut yang mengerbang lebat. Matanya pula dibulatkan hitam. Wajahnya begitu putih melepak. Bajunya labuh dan terbang bergentayangan. Suzanna yang muncul ini serupa benar seperti dalam telefilem itu!
“Aku si Suketi atau Uke ini Sundel Bolong. Harap kalian suka bertemu sama aku!”
Hilaian tawa begitu menyeramkan. Ketiga-tiga mereka pengsan apabila ‘Suzanna’ merapatkan wajahnya!
***
Disebalik kejadian itu, ingat lagi di mana mereka memarkirkan kereta? Ya di atas bukit yang tiada sesiapa pun berani meletakkan kenderaan yang dikatakan ‘keras’ itu.
Lif tidak rosak sebenarnya. Elok sahaja penduduk keluar dan masuk. Mereka hairan melihat ketiga-tiga wanita itu tidak masuk ke dalam perut lif tetapi sebaliknya berpusing dan terus menaiki tangga.
Di tangga pula, mereka terserempak dengan seorang wanita yang disangka oleh Suhana itu adalah Kak Munah. Sedangkan Kak Munah sebenarnya sudah dihantar ke hospital sakit jiwa berikutan kedua orang tuanya tidak lagi mampu menjaga beliau yang semakin hari semakin teruk. Itupun sudah tiga hari yang lalu.
Jadi, ‘Kak Munah’ mana yang Suhana tolong pada malam itu?
-TAMAT-
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment