Host Blattaria
Nurhan Yusof
=====================
Seluruh ruang kecil ditutup. Bahkan lubang pintu juga ditutup dengan pita pelekat. Jam di dinding 8 pagi. Aku duduk di tengah ruang bilik. Keserabutan, kejijikan, ngeri dan kegelian membuatkan otak ku makin gila. Tiga hari tidak tidur, tiga hari tidak makan dan minum. Tubuhku lemah dan pening. Tapi tidak sesekali aku menyerah diri kepada mahkluk itu. Aku tahu mereka mengepungku di luar sana. Menunggu saja peluang. Habis rakan-rakanku sudah terkorban. Hanya tinggal aku saja yang emosinya di dera dan otak kian mereng. Tidak tahu bagaimana untuk keluar. Bilikku tiada jendela.
Aku berlari ke almari. Lalu menyelongkar laci, mengambil pisau lipat yang masih tajam untuk ku menamatkan riwayat sendiri. Ya aku sanggup mati daripada membiarkan diriku dimamah makhluk itu. Aku tidak sanggup berhadapan dengannya. Ya aku seorang pengecut. Kau yang membaca. Kau tidak faham apa yang sedang aku alami kini. Duduk saja di tempatmu. Baca catatan akhirku ini.
Pisau ditarik ke atas, lalu aku hunusnya tepat ke arah dada. Ah! Aku buang pisau itu ke lantai. Tangan terketar-ketar. Lalu terjelepok ke lantai. Kini aku sedar, aku lebih pengecut dari apa yang aku sangkakan. Aku menarik rambut lalu menghantuk kepala ke almari. Apa yang aku perlu buat sekarang? Kau yang membaca ada cadangan? Kalau kau ada cadangan sekalipun, mungkin tika itu aku dah mati agaknya.
Sudah jam 9 pagi. Lama juga aku mereng begini. Pejam celik, pejam celik nanti munculah malam. Tidak pun hujan. Saat gelap tanpa cahaya mentari nanti kita akan bertemu dengan makhluk itu. Kau tunggu saja ya. Mereka suka suhu lembab, maka keluarlah berpusu-pusu menyerang bilikku.
Dua minggu sebelum.
Di dalam rumah teres. Di luarnya hujan lebat. Hari minggu ketika ini. Maka penghuninya lebih banyak melepak di rumah saja. Tiada teman wanita pula, maka tiada alasan untuk keluar. Kedua-dua orang, termasuk aku cuma bergolek di ruang tamu. Tinggal seorang lagi Amran namanya, terkurung di dalam bilik dengan projek akhirnya.
Oh! Ya nama aku Sanusi dan kawan aku di sebelah ini namanya Nizam. Kami ralit dengan PS4, sementara menunggu Amran habiskan projeknya sebelum sama-sama keluar makan tengah hari. Seketika kemudian kedengaran pintu bilik di buka. Amran mengeluh beberapa kali. Dia memicit dahinya lalu duduk bersebelahan aku. Bau hapak menjentik hidung aku dan NIzam.
“Allah, kenapa bau kau macam lipas ni Amran?”
Amran mencium bau badannya.
Dia mengangguk.
“Dah kerja dengan natang tu, bau dia la.” Jawab Nizam pula.
Sementara Amran masih mencium bau badannya. Agaknya sudah lali dengan bau itu, mungkin dah sebati dengan deria baunya.
“Bro pergi la mandi dulu. Lepas tu keluar makan. Perut aku dah berbunyi ni.” Ujar aku sambil menolak Amran masuk ke dalam bilik air sambil terus ke dapur mahu minum air.
Amran mengikut saja tanpa banyak bicara. Wajahnya masih sugul. Pasti uji kajinya tidak menjadi.
Beberapa belas minit kemudian.
“Woi korang, ambilkan aku tuala.”
Aku ketawa kecil.
“Bongok la kau ni. Aish jap aku pergi ambil.”
Kakiku melangkah masuk ke dalam bilik Amran yang gelap gelita. Biliknya lebih kuat dengan bau lipas. Aku meraba-raba mencari tualanya namun tidak jumpa. Mana pula si saintis gila ini letak tualanya?
Aku teraba-raba mencari suis lampu. Sebaik terbukanya lampu, aku terjerit kecil. Berpuluh balang kaca dan beberapa akuarium tersusun di atas meja dan lantai. Semua penuh dengan serangga. Dalam rasa geli, aku amati setiap isi di dalam bekas kaca itu. Satu bekas aku kenal, lipas rumah yang biasa kita lihat. Automatik seluruh badanku menggeletar kegelian.
Setahu aku terdapat 30 spesis lipas yang duduk bersama manusia, jumlahnya ada beribu lagi. Kerana diikutkan lipas ada 4,500 jenis. Ini baru sedikit. Aku mencapai tuala Amran yang di sidai di atas kerusi. Tiba-tiba rasa ada sesuatu pula merayap di atas tangan. Terus saja aku melempar tuala itu ke lantai. Terlompat-lompat kerana geli.
“Allah..Allah.. besar gedabak.” Nadaku tinggi.
Lipas gergasi lebih besar dari ibu jari kaki ku. Bezanya dia tidak bersayap. Aku tepis makhluk yang berada di lengan kananku itu dengan tangan. Rasa mahu mandi semula.
“Weh, lembut sikit dengan dia.” Amran masuk tanpa tuala, mujur masih berseluar dalam. Amran lalu mengambil lipas itu dengan berhati-hati.
“Allah, hang dah kenapa Amran.” Aku meninggi suara. Tahu kadangkala Amran jadi pelupa kalah Albert Einstein. Adakala dia seolah hilang ingatan, blur memanjang.
“Kau ni lembut sikit dengan dia, aku import dari Jerman tau. Mahal ni. Ni Lipas Madagaskar, keluarga lipas gergasi. Salah satu bahan uji kaji aku. Sayang masuk dalam rumah semula sayang.” Nada Amran dilembutkan, lalu memasukkan lipas itu ke dalam bekas kaca.
Aku cuma mengerut kening, pening dengan Amran. Sejak dia menjalan projek akhirnya ini, Perangai Amran bertambah pelik. Aku harap sangat projeknya lekas habis.
“Allah aku lupa. Eh! Aku mandi ke belum?” Amran menggaru kepala.
Nizam masuk sambil menggeleng kepalanya.
“Dah kau dah mandi, cepat siap. Kita keluar makan.” Nizam berlalu, kedengaran dia mula menghidupkan enjin kereta.
Aku memandang tangan yang tersentuh lipas tadi. Ah! Kena basuh ni. Sejak aku terbaca berita tentang seorang lelaki yang telinganya di masuki serangga itu, sejak itu di mataku lipas ini menakutkan.
Seminggu kemudian.
Aku dan Nizam berdiri di luar bilik Amran. Wajah masing-masing jelas kebimbangan. Aku mengetuk sekali lagi pintu biliknya itu. Tiada orang menjawab. Senyap.
Sudah tiga hari Amran tidak keluar dari biliknya. Makan atau minum aku tidak tahu. Mungkin dia keluar tatkala kami berdua sudah tidur. Nizam membongkok, mahu mengendap di celahan lubang pintu. Gelap.
“Woi Amrannnn.” Aku hilang sabar. Kali ini aku bertalu-talu aku memukul pintu.
“Tidur mati ke pengsan?” Soal Nizam.
Shriiiitttttttt shritttttttttttt
Bunyi mendesis yang kuat.
Shrittttttttt
Aku dan Nizam amati bunyi itu. Apa pula ujikaji yang sudah Amran lakukan.
“Amrannn..” Nizam memanggil
Tiada jawapan.
“Amran kalau nak makan apa-apa nanti Whatsapp ye, kitaorang keluar makan.” Ujar aku lalu mengekori Nizam dari belakang.
Jam 11 malam. Aku dan Nizam pulang dari gerai mamak. Gelap gelita. Lampu ruang tamu yang kami buka juga sudah terpadam. Ditutup atau tiada elektrik?
Sebaik kunci dibuka, aku melangkah masuk. Bau hapak mula menjengah. Beberapa kali aku dan Nizam tersepak barang di ruang tamu. Barang bersepah seolah ada pergelutan.
Sambil tangan meraba mencari suis lampu. Tiba-tiba rasa telingaku di hinggap sesuatu. Aku sudah tahu apa itu. Kakinya berduri. Kemudian rasa lenganku pula di hinggap sesuatu. Sepantas kilat aku melompat sambil membuang serangga itu jauh dari diriku. Sebaik lampu dibuka. Aku dan Nizam terus berlari keluar. Beratus lipas melata di lantai dan dinding. Beberapa ekor mula terbang ke luar.
Kedua kami melompat kegelian. Bunyi mendesis kian menambahkan kegelian aku. Dari jauh kelihatan pintu bilik Amran terbuka.
“Amran.. Amran..” Aku menjerit geram kerana Amran membiarkan lipasnya terlepas begitu saja. Bukan seekor tapi banyak.
Panggilan aku tidak disahut. Tidak berapa lama kemudian Amran muncul sambil tersengguk-senguk, tak ubah seperti orang kecanduan ganja.
“Woi Amran sama ada engkau simpan diaorang semula dalam balang atau engkau buang natang tu. Banyak sangat woi, aku pun geli.” Nizam bersuara.
Satu jam, kami menunggu di dalam kereta. Sementara Amran melakukan kerja pembersihan. Dia masih tersengguk-sengguk sambil mengelap lelehan hingus di hidung. Wajahnya pucat dan matanya kuyu.
“Apa kena pulak dengan Amran, macam mat ganja pulak?” Soal aku.
Aku memandang Nizam yang sedang mengelap hingusnya. Tiba-tiba saja dia selesema.
Tidak lama kemudian, Amran menggamit ke arah kami. Tanda segalanya selesai.
Aku masuk sambil berhati-hati. Memandang setiap inci rumah. Keadaan selamat. Lega.
Pagi..
Shritttttt.. Shritttttt.. Shrittttt..
Bunyi mendesis itu membuatkan aku mula resah. Teringat kejadian semalam, di mana lipas-lipas Amran terlepas.
Shrittt..Shriiiiiittttt
Bunyi itu kuat. Bau hapak juga kuat. Terus saja aku keluar, menjenguk dari pintu bilik. Tiada sesiapa. Aku menjenguk ke dalam bilik Nizam, Nizam tiada.
Shrittttt Shritttttt..
Bunyi itu makin kuat tatkala tiba di bilik Amran. Aku memulas tombol. Berkunci. Terus saja aku menghubungi Nizam. Tidak tahan dengan kepelikan Amran. Mahu saja aku ajak Nizam pindah.
Irama Lagu Kumpulan Scorpions ‘Still Loving You’ kedengaran. Sah bunyi telephone pintar milik Nizam. Bunyinya dari bilik Amran.
“Woi Nizam, apa korang berdua buat kat dalam.” Aku mengetuk.
Tiada jawapan. Aku mengetap gigi tanda geram. Perangai pelik itu dah mula berjangkit dengan Nizam pula.
Bau hapak lipas makin hapak. Tiba-tiba seekor lipas melata di atas kakiku. Laju dia memanjat naik ke atas badan. Selajunya aku menepis. Tetapi makhluk itu tidak berputus asa. Sebaik jatuh di tepis, dia kembali ke arah aku semula. Selaju-lajunya dia berjalan dengan kaki berduri. Destinasinya aku.
Aku berlari mencari penyapu lidi di belakang pintu dapur. Tatkala sampai aku terkaku bersama hairan. Siapa pula mematahkan semua bilah lidi hingga menjadi sepanjang saiz jari kelingking. Rajin betul orang ni!
Dari belakang si kerdil itu masih mengejar aku. Rasa bodohnya diri, dengan cuma makhluk sebesar itu, hidup aku hari ini tidak tentu arah. Dengan ekor mata, aku dapat melihat. Seekor lipas terbang menuju ke arahku. Nasib aku mengelak. Kau yang membaca tahu? Lipas Asia adalah lipas yang tangkas terbang. Sayapnya panjang, lebih dari badan. Antara lipas kuat terbang selaju kupu-kupu. Keduanya seolah hanya mahu menghampiri aku. Bagai berlumba siapa dulu tiba menyentuh tubuhku.
“Woi tolong aku.. LIPASSSS.” Aku memanggil Amran atau Nizam. Namun keduanya cuma diam di dalam bilik.
Aku berlari masuk ke dalam bilik. Mencapai penyembur lipas yang memang sudah tersedia di dalam biliku. Terus saja aku menyembur ke arah kedua ekor serangga itu. Menggeletik lipas itu bertarung dengan maut.
Bunyi Shritttttt tidak pernah berhenti. Aku melangkah ke arah bilik Amran, lalu dengan geram aku menyembur penyembur lipas itu melalui lubang pintu. Sembur sebanyak mungkin, biar dua orang manusia di dalam itu kepeningan.
Pantas bunyi mendesis itu berhenti. Sunyi. Pintu terkuak. Kelihatan Amran dan Nizam keluar. Keduanya tersengguk-sengguk. Lelehan hingus pekat di keluar tidak henti melalui hidung. Cecair merah seperti darah kering jelas kelihatan di telinga keduanya.
Aku mengundur belakang. Melihat anak mata Nizam dan Amran bukan lagi hitam tetapi kelabu. Keduanya menapak laju ke arahku. Turut serta di belakang beratus ekor lipas dari pelbagai jenis, bentuk, warna dan saiz keluar dari bilik Amran.
Shrittttt.. Shrittttttt…
Bunyi itu keluar dari bibir Nizam dan Amran.
“Woi..woiiiii..” Aku menjerit.
Ternyata mereka seolah sudah hilang kawalan. Bagai zombie.
Aku berlari ke arah bilik. Mengunci dari dalam. Penyembur lipas di sembur ke bawah pintu. Lalu aku tutup dengan pita pelekat. Pintu bilik lalu diketuk bertalu-talu.
Dalam menggigil aku mencari telephone pintar.
“Ya Allah.. kat luar.”
Masa kini.
Aku duduk di atas kerusi. Fikir jalan penyelesaian. Kering tekak, selama tiga hari aku meminta tolong. Tiada pula jiran yang datang. Atau mungkin semuanya sudah menjadi perumah untuk sang lipas.
Aku mengelap hingus di hidung. Mungkin kerana panas badan, aku selesema. Telingaku tiba-tiba rasa berdengung. Mataku juga kian kelabu. Mungkin kerana pening tidak makan agaknya.
Aku baring di katil. Rasa lelehan cecair dari telinga. Aku calit dengan jari.
“Allah darah..” Aku bangun dari perbaringan sambil mengamati darah pekat yang berbau hapak.
Shrittttttt.. Bunyi perlahan jelas di dalam telinga.
Aku mula terketar-ketar. Tak mungkin.. tak mungkin…. Aku capai penyembur lipas, laluku sembur di dalam telinga. Aku tak mahu menyerah kalah.. Biar mati dari jadi zombie.
Ah! Pening.. pening.. Mataku kian gelap.
TAMAT CATATAN TERAKHIR.
Dr Norlidia menutup buku catatan milik seorang pemuda. Lalu dia menoleh ke arah kiri. Ada dua kapsul kaca yang besar saiznya. Dalam nya ada makhluk manusia separa Blattaria. Mungkin itu Nizam dan Amran. Tapi dimana pula Sanusi? Jika mati pasti ada mayatnya, jika hidup ke mana larinya?
Dua orang pekerja memasukkan makanan melalui lubang kecil. Dengan laju Amran dan Nizam menjamah makanan itu lalu memuntahkan semula apa yang ada di dalam perut mereka bersama najis.
Nampak jijik tapi itulah perangai pelik lipas iaitu suka melakukan ‘regurgitasi’, memuntahkan semula makanan yang dimakannya yang mengandungi bakteria dan najis. Dr Norlida berpaling ke arah lain.
Dia perlu jejaki Sanusi. Yakin lelaki itu masih ada.
SANUSI MANA ENGKAU?
TAMAT
=========================
Suntingan dan Gambar
KamenRider
Editor, Arkib Angker Negara
Cerita ini direkomendasi oleh Nil Kuhaku. Oleh kerana faktor kesihatan, KR dengan rela hati datang membantu (itulah sikap seorang hero). Beliau tertarik dengan tajuk LIPAS oleh Nurhan ini oleh kerana bulan ini adalah bulan terakhir perkhidmatannya sebagai entomologist. Doakan dia murah rejeki ya, kawang-kawang!
Henshin!
=========================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment