Friday 22 December 2017

Si Dia (Sorotan Kisah Hijab) - Gongpal Topek


Si Dia (Sorotan Kisah Hijab)
Oleh: Rahsia
Olahan: Gongpal Topek

Assalamualaikum. Terima kasih kerana sudi membaca kisah saya tentang hijab terbuka yang pernah disiarkan di Arkib Angker Negara beberapa bulan yang lalu. Ya, kisah saya banyak tergantung. InsyaAllah, saya akan ceritakan sedikit demi sedikit tentang pengalaman saya. Disebabkan masa saya banyak dihabiskan untuk anak-anak. Masa sekarang saya ambil sedikit untuk berkongsi cerita dengan anda. Ini kisah saya tentang si dia, yang berambut panjang.
Pada petang hari Sabtu, saya tidak ingat pada tarikh berapa haribulan, tetapi tahun ini juga. Petang yang agak mendung dan cuaca yang agak sejuk. Jantung saya berdegup laju. Entah apa yang tidak kena. Puas saya Membaca ayat-ayat Al-Quran untuk menghilangkan kegelisahan di hati saya, tetapi tidak juga hilang. Malah, semakin laju rentak jantung saya berdegup. Seusai mandikan anak-anak saya, saya mengambil wuduk untuk solat Maghrib. Tiba-tiba, kucing saya pula tampak kegelisahan, mengiau tidak henti-henti mengikut arah di mana kaki saya melangkah. Saya solat maghrib pun dia berada di sisi saya. Ya, kucing saya ini kalau dia kegelisahan, bermakna ada sesuatu yang tidak kena di rumah ini. Saya pejamkan mata dan mula mencari. Adakah penghuni baru di rumah saya. Kelihatan si dia yang berambut panjang, menutupi wajah, berdiri di belakang saya.

Siapa pula dia ni? Hati saya tidak tentu arah. Saya cepat-cepat bersiap dan bawa anak-anak saya keluar daripada rumah. Kebetulan malam itu, suami mengajak saya untuk ke rumah kawannya makan jamuan hari raya yang masih berbaki seminggu sahaja lagi. Saya menunggu suami saya di luar rumah. Ketika di dalam kereta, suami melihat kegelisahan saya.
Suami: Kenapa??
Saya: Ada yg tak kena. Ada yg ‘mengikut’
Suami: Siapa?
Saya: Perempuan. Rambut panjang, tutup muka.
Suami: Tanya dia apa dia nak.
Saya: Hisy, taknaklah. Nanti dia sergah saya. Biar nampak muka 
hodoh. Jangan yang suka smbunyi-sembunyikan muka, lepastu main sergah-sergah. saya takut.

Suami: Kalau awak takut, dia jadi besar kepala. Kalau awak berani, dia lemah.
Saya diam. Lebih baik tidak bercakap apa-apa. Perasaan saya bercelaru. Perlukah saya bercakap dengan makhluk itu atau melayan perasaan saya yang takutkan benda itu.
Bagiku, adalah normal untuk berasa takut dengan benda tersebut, memandangkan penampakan itu sememangnya menyeramkan. Suami melihat kebisuan saya. Dia faham, saya takut.
Suami ajak saya membaca Fatihah dan Ayat Kursi bersama-sama. Semakin dibaca, semakin kuat dada saya ditekan-tekan dengan perasaan takut. Bismillahitawakkaltualallah. Hanya kepadamu, ya Allah, kami berserah.
Berulang-ulang suami membaca ayat suci Al-Quran. Si dia yang berambut panjang itu, mendengus marah, lalu hilang sekelip mata. Dada saya yang sakit seperti ditekan-tekan tadi juga pulih dengan serta merta. Tiada lagi perasaan gelisah. Semuanya hilang.
Alhamdulillah, sampai di rumah kawan suami, saya boleh makan seperti biasa. Tanpa ada gangguan. Namun, anak saya pula menjerit tiba-tiba. Seperti ada yang tidak kena. Kami terpaksa pulang awal.
Sampai sahaja di rumah, si dia yang berambut panjang masih menunggu. Saya sangka dia sudah pulang ke tempat asalnya. Rupa-rupanya, dia pulang ke rumah saya juga.
Saya: Abang.dia ada lagi.
Suami: Dekat mana?
Saya: Sebelah abang.
Suami: Sekejap, abang pergi ambik daun bidara.Benda macam ni selalunya takut dengan daun bidara.
Suami bangun ingin berlalu pergi, untuk mendapatkan daun bidara. Saya memandang wajah suami, meminta simpati.
Saya: Tolong jangan tinggalkan saya dengan makhluk ini, abang.
Suami: Ingat, jangan sesekali rasa takut. Sentiasa baca Al-Fatihah dan Ayat Kursi.
Suami berlalu pergi. Saya bungkam. Si dia yang berambut panjang cuba untuk saya tidak endahkan. Saya sibukkan diri dengan anak-anak saya. Walaupun si dia yang berambut panjang itu mengekori saya ke mana sahaja saya pergi. Entah apa yang dia mahu, saya pun tidak pasti. Sama ada dia cantik atau hodoh, itu pun saya tidak pasti. Wajahnya sentiasa ditutupi dengan rambut.
Sudah bosan agaknya si dia yang berambut panjang itu mengekori saya. Lalu, dia duduk betul-betul di belakang pintu utama. Tidak lama kemudian, suami saya pulang. Kebetulan pintu rumah tidak dikunci sebab suami hanya keluar di kawasan berdekatan sahaja. Suami buka pintu rumah terlalu laju, terhantuk pintu itu di kepala si dia yang berambut panjang itu.
Saya ketawa geli hati melihat keadaan itu. Dia membebel-bebel. Entah apa butiran yang dia cakap pun saya tidak faham. Sedang saya tertawa, dia mahu menerkam suami kerana suami menolak pintu terlalu kuat. Belum sempat dia menerkam, suami sudah sedia membawa masuk dahan daun bidara. Makhluk itu terkejut, lantas hilang sekelip mata. Saya dimandikan dengan rendaman air daun bidara, sebagai ikhtiar agar tidak diganggu lagi.
Keesokan harinya, baru saya tahu siapa dia. Si dia yang berambut panjang itu adalah belaan tuan rumah di atas rumah saya. Menjadi penjaga kawasan tersebut. Si dia rupanya suka menyinggah di rumah jiran-jiran yang lain juga. Setiap hari, apabila saya keluar berjalan-jalan di luar, saya mendongak melihat tingkap rumah jiran di atas rumah saya. Makhluk berambut panjang sentiasa termenung di tingkap rumah tersebut. Bak kata jiran-jiran yang pernah menyewa di rumah itu, apa sahaja yang mereka lakukan di rumah itu dapat diketahui oleh tuan rumah. Dulu, agak pelik juga macam mana perkara itu boleh berlaku. Sekarang, barulah kami tahu bagaimana tuan rumah boleh tahu keadaan penyewa-penyewa dalam rumah itu dan apa yang mereka lakukan. si makhluk berambut panjang itu, akan sentiasa merenung nasibnya di tingkap rumah tuannya. Dia sudah tidak lagi mengganggu keluarga kami, betul-betul di tingkat bawah rumah tuannya ini. Alhamdulillah. InsyaAllah, jika ada masa saya akan ceritakan lagi kisah-kisah saya yang kini sudah sedikit demi sedikit luruh hijabnya. Terima kasih kerana sudi membaca kisah saya yang tidak seberapa ini.
____________
Suntingan Gambar: Azman Zainordin
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke
aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...


lain dari yang lain karya Gongpal kali ini, sy suka just nice je.. gud job Gongpal.