MADU - PREKUEL
(BAHAGIAN 1/2)
Penulis: Mohd Shahiri Abd Ghapar
===========================
1982, Kampung Paya Besar
Kejayaan Salmah mendapat gelaran ratu kebaya semasa pesta keraian yang diadakan Pejabat Tanah di kampungnya membuatkan namanya mula menjadi sebutan penduduk terutamanya para pemuda. Bertahun-tahun mereka tinggal di kampung itu, tidak pernah pula mereka sedar adanya Salmah. Selepas diselidik dan berita disampaikan dari mulut ke mulut, barulah mereka tahu bahawa Salmah rupa-rupanya anak yatim piatu yang baru berpindah ke Kampung Paya Besar untuk tinggal bersama-sama datuk dan neneknya. Ibu bapanya mati dalam kemalangan.
Dalam ramai pemuda yang memendam perasaan terhadap Salmah, Sidin yang paling bersungguh-sungguh. Dia juga yang pertama ke rumah datuk dan nenek Salmah untuk bertanyakan serba-serbi tentang Salmah. Sidin sudah jatuh hati pandang pertama. Waktu Salmah tanpa sengaja melirik kepadanya ketika berjalan di atas pentas tempoh hari, Sidin mula suka kepada Salmah. Gadisnya cantik, leher jenjang, mata bundar, kulit kuning langsat, betis beting padi, pendek kata segalanya tentang Salmah cukup pada pandangan Sidin. Dan dia mula memasang tekad untuk mendapatkan Salmah. Rombongan merisik pula dihantar bertemu datuk dan nenek Salmah.
"Tadi, si Sidin hantar emak ayahnya, merisik Mah," buntang mata Salmah apabila Nek Siah, neneknya menyampaikan berita itu. Salmah berhenti daripada kerja melipat baju.
"Ish... Mah tak kenal pun dia tu siapa, tiba-tiba pula nak merisik orang. Habis tu, nenek dengan atuk cakap apa?" Tanya Salmah penuh rasa kesal atas tindakan luar jangka Sidin itu.
"Nenek tak cakap apa-apa pun. Atuk pun dah beri kata putus. Kamu masih muda benar lagi untuk jadi isteri orang. Nenek minta Sidin bersabar setahun dua lagi," jawab Nek Siah.
"Nenek! Kena nenek cakap macam tu? Buatnya si Sidin tu sanggup menunggu?" Salmah mula tidak senang duduk.
"Ish... Kamu ni Mah. Nenek dan atuk kenal sangat dengan si Sidin tu. Masak sangat. Nanti sebulan dua, dia lupalah pasal kamu tu. Lagi-lagi kalau ada gadis lain yang melintas depan dia nanti. Usahlah kamu risau," Nek Siah menenangkan hati Salmah.
"Tapi, walau apa-apa pun, Mah tak nak pada si Sidin tu. Kutu kampung," jawab Salmah lantas terjebik mengenangkan kelakuan Sidin yang sememangnya terkenal di kampung sebagai belia bujang yang gemar ke sana ke mari tanpa tujuan.
"Ya, nenek tahu. Tapi nenek nak ingatkan kamu Mah. Kita, kalau benci pada orang, jangan terlalu mendalam bencinya. Nanti sekali, dengan kuasa Tuhan, diterbalikkan-Nya, berlakikan Sidinlah Mah nanti," nasihat Nek Siah sedikit mengusik.
Wajah manis Salmah langsung sahaja berubah kelat. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu. Nama Sidin sudah awal-awal dipangkah daripada terlukis dalam hatinya.
"Cepat sikit lipat kain tu, nanti tolong nenek petik pucuk ubi di belakang. Nenek nak celur, buat ulam makan malam nanti," pinta Nek Siah seraya menghentikan perbualan mereka berdua tentang Sidin.
Salmah angguk tanda faham dan setuju. Tangannya semakin laju meratakan kain baju yang sudah kering dalam bakul dan kemudian melipatkannya semua. Selesai melipat, dia ke dalam bilik pula untuk menyimpan pakaian ke dalam almari. Nek Siah pula berada di dapur, sedang menyiapkan juadah makan malam mereka sekeluarga.
Salmah berjalan seorang diri ke kawasan belakang kediamannya. Sunyi. Lewat petang begitu, jika ada pun hanyalah bunyi burung-burung yang berkicau mencari jalan pulang ke sarang. Hari belum gelap betul lagi namun matahari sudah hampir terbenam di ufuk barat.
Apabila dia melihat deretan pokok-pokok ubi kayu yang tumbuh subur di kawasan itu, Salmah tersenyum. Kerjanya akan jadi mudah. Dia terus sahaja memilih pucuk-pucuk yang elok untuk dijadikan ulam malam nanti. Sambil bergerak dari satu pokok ke satu pokok, dia menyanyi-nyanyi. Waktu itu, lagu Khatijah Ibrahim begitu popular dan menjadi siulan anak muda seusianya.
Salmah... tiba-tiba Salmah terdengar suara garau memanggil dia dari belakang. Cepat-cepat dia berpaling namun tiada sesiapa yang kelihatan. Salmah jadi takut namun dia masih tidak berganjak dari situ.
Siapa tu? Atuk ke? tanyanya dalam takut-takut. Matanya melilau kiri dan kanan mencari-cari kalau ada sesiapa yang berdekatan. Namun, tiada jawapan yang diterima. Salmah cuba untuk tidak menghiraukan suara yang didengarnya tadi. Katanya dalam hati, mungkin dia sendiri yang tersilap dengar. Dia meneruskan niat utamanya ke situ tadi.
Salmah... suara parau yang sama kedengaran lagi, kali ini lebih dekat dirasakan dengan dirinya. Bulu roma di tengkuk terus sahaja berdiri.
“Aku tak takutlah. Jangan main-main dengan aku. Nanti aku beritahu datuk aku, baru kau tahu!" ugut Salmah, antara berani dengan tidak. Dia masih tercari-cari lagi kelibat sesiapa yang mungkin sengaja mengusiknya. Setiap sudut dan arah diteliti, tidak terlepas dari pandangan .
"Salmah!" suara itu tiba-tiba sahaja muncul di sebelah telinga.
Salmah berpaling ke belakang. Dan waktu itulah dia melihat satu lembaga hitam berbulu seperti kera dengan mata merah sedang berdiri betul-betul di hadapannya. Salmah ingin menjerit tetapi suaranya seolah-olah tersekat. Lututnya semakin lama jadi semakin lemah. Pandangan jadi berpinar-pinar dan akhirnya kabur. Salmah pengsan.
***
Salmah membuka mata perlahan-lahan. Cahaya yang menusuk masuk menyilaukannya. Kepalanya masih terasa pening. Tubuhnya lesu. Dia memandang sekeliling untuk melihat lokasi dia sekarang. Apa yang berlaku sebelum itu, dia masih belum dapat mengingati sepenuhnya. Cuma yang melekat dalam fikiran ialah lembaga berbulu seperti seekor kera besar yang memanggil namanya.
"Hah, dah sedar pun. Risau nenek tadi. Siang tadi elok je nenek tengok. Mah tak sihat ke? Tiba-tiba pula pengsan?" Salmah yang masih mamai tersentak apabila disapa oleh Nek Siah yang masuk membawa segelas air.
"Err... Mah tak tahu nek. Mak tak ingat, tapi tadi masa pergi petik pucuk ubi, mak nampak..."
"Salmah!" suara kasar yang serupa didengarinya siang tadi tiba-tiba terngiang-ngiang di telinga.
Salmah mendongak memandang ke atas daun pintu biliknya. Dia nampak lembaga berbulu yang sama sedang memandang tepat ke arahnya sambil bergayut pada alang rumah. Serta-merta Salmah meraung. Dia menjerit-jerit seperti tidak sedarkan diri.
"Mengucap Mah, mengucap. Kenapa dengan Mah ni?" Nek Siah meluru mendapatkan Salmah yang sedang meronta-ronta sambil menangis terlolong. Matanya besar bulat terus memandang ke alang rumah.
Tok Manan, datuk Salmah kelam kabut mendapatkan kedua-duanya di dalam bilik. Jeritan Salmah menggegarkan seluruh rumah. "Mah, kenapa ni Mah? Beritahu atuk Mah," cubaan Tok Manan menenangkan Salmah.
"Salmah ni macam tersampuk atoknya. Pergilah panggil sesiapa tolong tengok-tengokkan," Nek Siah mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Salmah masih menjerit-jerit dan tidak mempedulikan langsung atok dan nenek yang cuba bercakap dengannya. Pada pandangan Salmah ketika itu, lembaga berbulu yang mengerikan itu sedang cuba menerkam sambil memanggil-manggil namanya.
"Neneknya tunggu sekejap. Peluk tubuh Mah, tenangkan dia. Aku ke rumah Haji Mail sekejap, harap-harap dia ada di rumah," pesan Tok Manan sebelum terus berlari menuju rumah Haji Ismail yang tidaklah begitu jauh dari rumahnya.
Sidin kebetulan melintasi depan rumah Tok Manan waktu itu dengan motosikalnya. Dia berpatah balik mendapatkan Tok Manan. "Kenapa tok? Nampak kelam kabut, ada apa-apa masalah?"
"Haaa... kau Sidin. Bagus. Boleh tak aku nak minta tolong kau? Pergi panggil Haji Mail sekejap, si Salmah macam dirasuk hantu," jawab Tok Manan tercungap-cungap mencuri nafas.
Sidin terlongo. Terpaku seketika seakan tidak percaya kata-kata Tok Manan. "Eh, Sidin. Kau ni, aku minta tolong ni. Boleh ke tidak?" sergah Tok Manan.
"Haa... Ya, tok. Ya. Boleh. Boleh," Sidin menjawab dalam gagap.
"Aku nak naik semula ke rumah. Tengok-tengokkan Salmah dengan Nek Siah kamu tu. Tolong cepat sikit, Sidin." Sidin hanya mengangguk beberapa kali.
Tidak lama selepas itu, dia tiba bersama Haji Ismail. Seperti menyedari kehadiran Haji Ismail, Salmah tiba-tiba senyap. Namun, matanya masih terbeliak memandang ke atas. Haji Ismail masuk ke dalam bilik dan apabila dilihatnya keadaan Salmah, dia menggelengkan kepalanya. Dia membaca doa dan menepuk bahu Salmah. Daripada memandang ke alang rumah, Salmah berpaling melihat kepada Haji Ismail. Wajahnya tampak marah. Tangan Nek Siah yang merangkul lengannya ditepis kasar sehingga Nek Siah terjelepuk ke tepi.
"Siapa kau ni? Apa tujuan kau datang ke sini?" tanya Haji Ismail kepada Salmah.
Tiada jawapan tetapi tanpa diduga Salmah ketawa bersungguh-sungguh. Nek Siah yang duduk di sisi jadi takut. Dia tahu, itu bukan Salmah yang sebenarnya.
"Aku tanya baik-baik. Apa tujuan kau datang ke sini? Kenapa kau ganggu cucu aku ni?" tanya Haji Ismail, kali ini dengan suara yang lebih keras.
"Abang aku! Abang aku suruh! Abang aku suruh!" suara kasar keluar dari mulut Salmah. Kemudian, dia merengus kuat, menahan marah. Tangannya menepuk-nepuk paha dan dadanya sendiri.
"Siapa abang kau? Kenapa dia nak kau datang sini?" soal Haji Ismail. Pandangannya tidak lepas daripada Salmah.
Salmah ketawa lagi. Beberapa kali dia ketawa. Suara parau yang begitu dalam. Haji Ismail menyergah dengan pertanyaan yang sama. Barulah dia menjawab. "Abang aku suka adik manis. Abang aku suka!"
"Kalau dia suka, kenapa dia nak seksa cucu aku? Dah, kau balik semula ke abang kau! Keluar dari badan cucu aku sekarang," tegas Haji Ismail memberi arahan.
"Aku tak nak! Nanti abang aku marah! Nanti abang aku marah!" jerit Salmah berkali-kali.
Haji Ismail membaca doa dan memicit ibu jari kaki Salmah. Serentak dengan tu, Salmah menangis, meraung kesakitan. Dia meronta-ronta minta dilepaskan tetapi tidak langsung dihiraukan oleh Haji Ismail. Malahan, berkali-kali Haji Ismail menyuruh makhluk yang berada dalam tubuh Salmah untuk pergi.
Selepas beberapa lama berlawan cakap, akhirnya makhluk itu bersetuju untuk pergi. Salmah langsung sahaja terbaring tidak sedarkan diri. Nek Siah dan Tok Manan mengangkat cucu mereka ke atas katil. Sidin yang menjadi saksi kejadian itu tadi masih berasa seperti bermimpi. Dia tidak pernah menyaksikan itu semua seumur hidupnya.
Salmah terjaga dari tidurnya tidak lama selepas itu. Tubuhnya terasa terlalu letih, seolah-olah dia baru sahaja siap melakukan kerja berat. Untuk bangun berdiri pun, Salmah tidak berdaya. Nek Siah memberi Salmah minum air penawar yang telah dibacakan doa oleh Haji Ismail, buat mengembalikan semangat Salmah. Tadi, Haji Ismail turut berpesan agar mereka sekeluarga banyak-banyak berdoa agar tidak lagi didatangi makhluk jahat yang mengganggu.
Malam itu, Salmah tidur bertemankan Nek Siah di dalam bilik. Sepanjang malam, dia tidur dengan lena dek keletihan. Esoknya, keadaan Salmah semakin pulih dan tiada lagi gangguan yang sama berlaku.
Namun, malangnya keadaan itu tidak kekal lama. Selepas sahaja azan maghrib berkumandang, Salmah tiba-tiba tidak sedarkan diri. Ketika itu dia sedang bersiap-siap di dalam bilik untuk ke dapur membantu Nek Siah menyediakan hidangan makan malam. Tiba-tiba sahaja Nek Siah terdengar suara Salmah menjerit dari dalam bilik. Setiba sahaja Nek Siah di dalam bilik, dia melihat Salmah sedang berguling-guling di atas lantai. Salmah menjerit dan meraung-raung. Sama seperti semalam cuma hari ini lebih teruk. Salmah menarik-narik rambutnya dan ada sesekali memukul tubuhnya sendiri.
Haji Ismail dipanggil untuk membantu. Namun, hari ini Haji Ismail tidak mampu berbuat apa-apa. Kata Haji Ismail, tiada makhluk yang datang menumpang tubuh Salmah. Gangguan itu dihantar dari jauh. Umpama ilmu tuju-tuju. Salmah terus sahaja menjerit dan meraung tanpa kewarasan. Hinggalah azan isyak selesai berkumandang, tanpa semena-mena Salmah diam. Dia terus terlena. Meskipun lega melihat Salmah berhenti meracau, Nek Siah dan Tok Manan bimbang dengan keadaan Salmah. Mereka kesal dengan perbuatan khianat orang yang mengguna-gunakan Salmah.
Keadaan yang menimpa Salmah berlaku hampir setiap hari. Tatkala menjelang sahaja waktu senja, Tok Manan dan Nek Siah akan risau kerana sebaik selesai azan maghrib, Salmah akan mula meracau. Dan apabila berakhir sahaja waktu maghrib, jeritan Salmah akan terhenti dengan tiba-tiba. Pelbagai ikhtiar telah Tok Manan usahakan. Beberapa orang ustaz telah ditemuinya namun keadaan Salmah masih sama.
Selama itu juga, Sidin antara pemuda yang kerap bertanyakan keadaan Salmah. Dia berjanji kepada Tok Manan, dia akan membantu memulihkan keadaan Salmah. Dia akan mencari orang yang bertanggungjawab menyebabkan Salmah jadi begitu. Setiap malam, dia akan menunggu di depan rumah Tok Manan, memerhati kawasan sekeliling kalau-kalau ada sesiapa yang datang dengan tujuan jahat.
+++++
Pada satu malam, sewaktu pulang dari warung Pak Hasan di hujung kampung, Sidin yang membonceng motosikal Jali melintasi depan rumah Tok Manan. Dari kejauhan, mereka nampak ada cahaya lampu suluh dari bawah rumah Tok Manan. Sidin jadi penasaran lalu mengajak Jali berhenti untuk mengintai dari jauh. Dia tahu ada seseorang di bawah rumah Pak Manan dengan agenda tersendiri.
Sidin dan Jali bergerak sesenyap yang mungkin supaya kehadiran mereka tidak disedari orang di bawah rumah. Sidin menghendap dari sebalik tangga rumah Tok Manan manakala Jali berpecah dan menunggu di pokok rambutan. Puas Sidin merenung dalam gelap melihat wajah orang itu tetapi pandangannya samar-samar.
Sehinggalah ada satu ketika, lelaki di bawah rumah itu mengangkat mukanya. Sidin dan Jali terus menerkam dan menahannya daripada lari. Rupa-rupanya Mahat, pemuda bodoh-bodoh alang di kampung itu yang berada di bawah rumah. Di tangannya ada sesuatu yang dibalut kain kuning selain lampu suluh yang telah tercampak ke tanah apabila dia disergah oleh Sidin dan Jali.
"Oh, ini kerja kau ya, Mahat? Tu, kau nak buat apa dengan benda dekat tangan kau tu?" kuat suara Sidin membentak Mahat. Lelaki itu panik apabila Sidin menunjal kepalanya. Jali pun telah erat memegang tangannya dari belakang.
Mendengar kekecohan di bawah rumah, Tok Manan dan Nek Siah bergegas turun. Mereka baru sahaja terlelap tetapi dikejutkan pula dengan kejadian itu. "Apa ni Sidin? Apa yang kecoh sangat ni?"
"Ni tok. Tok tengok ni. Mahat ni ada niat tak elok pada keluarga tok. Entah-entah tuju-tuju pada Salmah tu, dia juga yang hantar tok!" tukas Sidin yang sememangnya geram apabila mengenangkan nasib Salmah. Dia sendiri melihat kesengsaraan Salmah apabila tuju-tuju itu datang menganggu Salmah.
"Bukan tok. Bukan. Saya, saya tak salah tok," Mahat menafikan tuduhan Sidin. Dia merayu supaya dilepaskan.
"Usah dipercaya cakap Mahat ni tok. Nampak je macam tiga suku tapi kalau nampak perempuan cantik, boleh tahan juga dia ni," Jali pula menambah. Satu tumbukan dilepaskan ke perut Mahat kerana lelaki itu meronta lebih kuat.
"Tok, tak ingat dulu dia pernah ditangkap mengintai anak dara Tok Ketua mandi?" sambung Sidin. Dia memang mahu Mahat diambil tindakan. Dia marah benar pada Mahat.
"Kau bawa Mahat ke rumah Tok Ketua. Sekejap lagi aku sampai. Tapi jangan kau belasah pula budak ni, jadi kes lain pula nanti," Tok Manan memberi amaran.
Sidin dan Jali akur dengan arahan Tok Manan. Meskipun Mahat merayu-rayu minta dilepaskan dan meminta maaf, namun Sidin dan Jali langsung tidak mempedulikan. Mungkin kalau Mahat dilepaskan, dia akan mengulangi perbuatan yang sama satu hari nanti.
***
2002, Kampung Paya Besar
Salmah duduk bersandar di sofa buat melepaskan lelahnya selepas bertungkus lumus di dapur menyiapkan hidangan makan malam untuk anak tunggalnya, Zaini. Sekarang, dia hanya perlu menunggu Zaini tiba dari kolej. Sudah menjadi rutin, pada setiap hujung minggu jika tiada urusan penting di kolej, Zaini akan pulang ke rumah. Dia sebenarnya tidak mampu berjauhan dari emaknya untuk tempoh masa yang lama. Anak emak, katakan.
"Assalamualaikum," ada suara yang memberi salam dari luar. Salmah hairan. Orang lain yang dinanti-nantikan, orang lain pula yang tiba. Dia mengintai di sebalik langsir tingkap. Dan Salmah terpempan. Dadanya terus berdebar-debar. Orang itu langsung tidak pernah dia terfikirkan untuk muncul kembali di depan rumahnya.
Itu ialah Sidin, suami Salmah yang meninggalkannya tergantung tidak bertali. Tanpa sebarang nafkah zahir dan batin, untuk 10 tahun lamanya. Hati Salmah yang sudah lali dengan perasaan kecewa yang bertahun-tahun kini terguris semula. Namun, sekelumit rasa sayang pada Sidin dulu menyuruh dia membuka pintu dan pergi bertemu Sidin. Apatah lagi, Sidin dilihatnya dalam keadaan yang tidak terurus. Sidin kelihatan sakit. Pucat dan perutnya boyot membusung.
Salmah dan Sidin dinikahkan oleh Tok Manan kerana Sidin menunjukkan kesungguhannya untuk memperisterikan Salmah. Malah, Sidin juga yang membantu Tok Manan berusaha mencari penawar kepada penyakit misteri Salmah. Dan mungkin benar seperti yang didakwa, selepas sahaja Mahat diusir keluar dari Kampung Paya Besar, penyakit misteri Salmah hilang secara tiba-tiba. Tiada langsung walau sekali gangguan yang sama datang lagi. Sebab itulah Tok Manan berasa Sidin seorang yang paling layak dijadikan suami dan boleh melindungi cucunya.
Walaupun pada mulanya Salmah menolak tetapi dia menurut juga kemahuan datuk dan neneknya. Rasa sayang mula berputik pada Sidin apabila dia melihat cara Sidin melayan semua kehendaknya. Sidin sememangnya seorang suami yang bertanggungjawab. Namun, semua itu tidak berpanjangan. Ketika usia anak mereka, Zaini mencecah 15 tahun, Sidin mula berubah hati. Dia selalu tidak pulang ke rumah. Nafkah tidak dihulurkan. Malah Sidin sudah pandai naik tangan. Asal ada sahaja perkara yang dirungutkan oleh Salmah, tumbukan dan sepak terajanglah yang menjadi habuan.
Kedukaan Salmah bertambah apabila Sidin memberitahu niatnya untuk berkahwin seorang lagi. Salmah membantah, seperti kebanyakan isteri yang lain kerana dia tidak mahu berkongi kasih. Namun, Sidin sudah membulatkan hatinya. Salmah tidak memberi kebenaran bukan alasan untuk dia berubah fikiran. Dia sendiri yang keluar dari rumah meninggalkan Salmah dan Zaini yang masih bersekolah. Sejak dari itu, Salmah yang bertungkus lumus menjaga anak tunggal mereka.
"Aku ni tak lama dah Salmah. Sebelum aku pergi, aku nak kau tahu perkara sebenar," luah Sidin ketika berdepan dengan Salmah. Dia mula menangis dihambat kekesalan.
"Aku banyak dosa dengan kau Salmah. Aku bersalah sebab tinggalkan kau. Aku tak jalankan tanggungjawab aku sebagai suami, sebagai ayah. Tapi aku tak berdaya Salmah. Kuasa syaitan perempuan tu lagi kuat. Dia guna-gunakan aku supaya jadi bodoh, ikut cakap dia."
Salmah tergamam. Terus sahaja dia teringatkan Rafidah, isteri kedua Sidin yang juga rakan baik Salmah sewaktu di kampung dulu. Salmah sudah mengetahui bahawa Rafidah menggunakan ilmu pengasih untuk mendapatkan Sidin daripada Salmah dulu. Rafidah sendiri yang mengakuinya semata-mata untuk menyakitkan hati Salmah. Kata Rafidah, dia akan buat Sidin menyerahkan semua hartanya termasuk perniagaan Sidin kepada dirinya. Dia bukannya sayangkan Sidin tetapi dia cemburu melihat kebahagiaan Sidin dan Salmah. Namun, waktu itu Salmah marah benar pada Sidin dan hatinya langsung tidak terbuka untuk memaafkan Sidin.
"Tapi biarlah itu semua Salmah. Itu semua balasan untuk aku atas dosa-dosa aku pada kau dan Zaini. Rafidah memang nak buat aku mati. Perut aku yang membusung ini pun kerja dia," sayu suara Sidin mengucapkan ayat itu.
“Abang... jangan cakap macam tu, bang."
"Tak apa Salmah, biarlah. Aku reda tapi selagi kau tak tahu perkara sebenar, aku rasa tak tenang. Kalau aku mati, mata aku tak tutup rapat, Salmah," sambung Sidin lagi. Salmah semakin hiba mendengar pengakuan Sidin.
Sidin terus bercerita kisah yang sebenarnya. Salmah hanya mampu mendengar dengan linangan air mata. Sama sekali dia tidak menyangka semua itu. Kejam benar perlakuan yang telah ditimpakan kepadanya.
***
1982, Kampung Paya Besar
"Kalau aku hantar lagi jin untuk rasuk Salmah, nanti Haji Ismail boleh keluarkan semula. Jadi, macam mana aku nak buat supaya Salmah sakit sementara supaya aku boleh pura-pura membantu dia?" desis Sidin dalam hati.
Dia merenung siling rumah kayunya. Sebelah tangannya diletakkan di atas dahi. "Haaa... Aku tahu. Aku tahu!" dia menjerit gembira. Dia terjun dari pangkin dan berlari mendapatkan motosikal. Ada seseorang yang ingin ditemuinya.
+++++
"Mahat! Mahat! Kau tahu tak cucu Tok Manan si Salmah tu, dia suka dekat kau. Hari-hari dia tanya aku, mana abang Mahat, mana abang Mahat. Kau tak nak pergi jumpa dia?" dia memeluk tengkuk Mahat dengan tangan kanannya. Mahat ketawa terbahak-bahak apabila mendengar nama Salmah. Dia sememangnya suka pada Salmah.
"Tapi, tapi aku tiga suku. Tok Manan tak suka pada aku," keluh Mahat, tersekat-sekat.
"Kau carilah jalan nak bagi Tok Manan suka pada kau. Tanam tangkal yang macam ni bawah rumah Tok Manan, ke?" Sidin memberi cadangan sambil menunjukkan tangkal dalam balutan kuning. Apabila Mahat ingin menyambar tangkal itu, Sidin melarikan tangannya.
"Eh, ini aku punya. Kau nak, kau carilah sendiri. Sudahlah, aku nak balik," kata Sidin lalu pergi dari situ. Namun, dia sengaja menjatuhkan tangkal kuning itu ke tanah. Sambil berpura-pura tidak sedar tangkal kepunyaannya itu tercicir, dia terus berlalu.
"Sidin! Sidin! Ni kau punya!" teriak Mahat cuba memanggil Sidin supaya berhenti dan mengambil semula tangkalnya yang terjatuh tanpa disedari. Namun, Sidin lebih mengenali Mahat. Dia tahu Mahat pasti akan terpedaya dengan cadangan yang diberikannya tadi.
Akhirnya, Mahat yang memungut tangkal itu dan pada malamnya nanti, tangkal itu akan ditanam di bawah rumah Tok Manan. Mahat percaya cadangan Sidin itu akan membuatkan Salmah dan Tok Manan suka kepadanya.
+++++
"Kau setuju kalau aku nikahkah kau dengan Salmah?" soal Tok Manan kepada Sidin pada satu hari.
"Tok? Tok tak main-main, kan? Saya nak, tok. Saya nak," jawab Sidin teruja tanpa berselindung sedikit pun.
Memang itu yang direncanakan. Dia sengaja menghantar jin dan ilmu tuju-tuju kepada Salmah supaya dia sendiri dapat mengubatinya. Dengan cara itu, dia dapat memikat Salmah dan meraih kepercayaan Tok Manan.
***
2017, Shah Alam
"Kalau kamu datang ambil mak dari jauh semata-mata nak beritahu pasal benda ni, baik kamu hantar mak balik, Zaini!" keras suara Salmah menyatakan kemarahannya.
Zaini terkedu. Dia tahu keputusannya itu bukanlah sesuatu yang dijangka namun dia yakin itu keputusan yang terbaik untuk dia, Anis dan Salina.
"Anis tu tak ada sikit pun kurangnya! Kenapa mesti nak kahwin seorang lagi?" tingkah Salmah dengan pertanyaan pula.
"Zaini... Zaini nak anak, mak. Dah dekat sepuluh tahun Zaini kahwin dengan Anis, belum ada rezeki nak ada anak. Lagipun, Anis pun setuju kalau Zaini kahwin dengan Ina," jawab Zaini teragak-agak.
"Dia tu isteri yang baik, tak mungkin dia nak cakap tidak pada kamu! Tapi, mak ni mak kamu, mak boleh bantah keputusan kamu yang tak masuk akal tu! Ingat Zaini, banyak bahananya berbini dua!"
Salmah serius memberi amaran. Pendiriannya sama. Pengalaman lampau membuatkan hatinya beku..
Zaini terdiam. Dia memang tidak dapat menjawab lagi. Sekurang-kurang pada waktu itu dia perlu membiarkan Salmah menenangkan fikiran dan mempertimbangkan semula keputusannya. Niatnya berkahwin dengan Ina itu niat yang baik. Ina juga perempuan yang baik. Anis juga sudah dikenalkan pada Ina dan Anis dapat menerima Ina seadanya.
Zaini akan cuba memujuk Salmah. Walau apapun yang terjadi, dia akan berkahwin juga dengan Ina. Entah kenapa, Zaini terlalu sayang pada Ina. Dan dia tidak sanggup berpisah daripada Ina. Ina akan dijadikan isterinya yang sah. Isteri kedua.
BERSAMBUNG...
Jika anda mempunyai kisah seram, thriller atau paranormal, kongsikan kepada Arkib Angker Negara.
No comments:
Post a Comment