Wednesday, 13 December 2017

BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 1) - Ariff Budiman


BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 1)
Karya: Ariff Budiman
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Namaku Ariff Budiman. Aku ingin kongsikan kisah bagaimana isteriku telah disantau. Ianya terlalu perit bagi sesiapa yang menghadapinya.
Inilah kisahku...
Aku berkahwin dengan seorang gadis yang manis bernama Siti Aishah. Keesokkan harinya aku membawanya pulang ke rumahku di kampung dengan motosikal sahaja. Ada rakan-rakan yang tertawakan aku sebab membawa pulang isteri dengan motosikal dan bukannya dengan kereta. Buat apa aku nak tipu diri sendiri. Ketika itu hanya motosikal saja yang mampu aku miliki.
“Siti....Buat masa ni kita tumpang rumah emak dan ayah memandangkan abang tak mampu nak menyewa,” kataku kepada isteri.
“Tak apa bang. Siti ikut saja dan Siti akan berhenti kerja,” jawab isteriku yang membuatkan aku merasa cukup lega ketika itu. Bukan aku nak melepas tanggungjawab untuk menyediakan rumah tapi memang aku tidak mampu ketika itu dan syukur isteriku menerimaku tanpa mempersoalkan kewanganku.
Dialah yang banyak membantu ibuku dan ternyata ibuku amat menyayangi isteriku. Isteriku pandai berjimat dan mencari rezeki. Keistimewaannya ialah menjahit baju. Duit yang diperolehi akan di kumpulnya.
Akhirnya kami telah ditawarkan seunit rumah kos rendah 3 bilik berharga RM25,000. Isteriku merupakan orang yang paling gembira mendapat berita ini.
“Syukur bang. Akhirnya kita dapat beli juga sebuah rumah,” kata isteriku.
“Abang minta maaf sebab hanya rumah kos rendah saja yang mampu abang sediakan untuk Siti dan anak-anak,” kataku pendek.
“Ini pun dah bersyukur. Rumah kos rendah pun rumah kita bang. Siti tak sabar nak hidup berdikari bang.”
Akhirnya kami berpindah ke rumah baru tanpa kami sedari ia bakal menjadi detik-detik perpisahan kami. Di sebabkan kepandaian isteriku menjahit baju, maka dia telah menerima banyak tempahan dan pendapatan yang diperolehi itulah dia membantu menampung kehidupan kami.
Kami rajin juga membantu pihak surau andai ada majlis yang di buat. Isteriku minat dalam masakan. Akhirnya kami dilantik menjadi jawatankuasa surau.
Isteriku jenis yang suka bertanya dan manis mulutnya. Sebab itu dia disukai golongan yang lebih tua terutama makcik-makcik. Akhirnya seorang makcik telah menurunkan ilmu masakannya kepada isteriku.
Suatu hari makcik telah membuat pengumuman di surau...
“Makcik dah perturun ilmu masakkan dekat Aishah. Sekarang dia jadi ketua masakan. Ada apa-apa masalah tentang masakan boleh bertanya Aishah,” kata makcik.
Bermula saat itu sudah kedengaran bunyi dari belakang kami yang kurang enak.
“Aku duduk di sini dah lama. Dia baru datang sini dah jadi ketua.” Itulah ayat yang telah disampaikan kepada kami tapi kami mengambil sikap berdiam diri. Jauh di sudut hati kami bukanlah niat ingin menonjolkan diri tapi kami cuma ingin bermasyarakat.
Selang beberapa bulan, isteriku mula menunjukkan tanda-tanda kurang sihat. Dia mula batuk-batuk. Aku membawanya ke klinik dan doktor memberinya ubat batuk.
Lama kelamaan isteriku mula demam. Batuknya semakin kuat. Bila aku duduk bersebelahannya terasa bahang kepanasan. Aku basahkan tuala lalu letak di dahinya. Badannya mula berbau tapi aku hanya diamkan diri.
Jiran datang berjumpa mencadangkan agar aku mencari pakar rawatan Islam. Aku membawa isteriku berjumpa dengan seorang ustaz di USM. Bila ustaz membaca ayat quran tiba-tiba isteriku terus tidur seolah-olah tidak mahu mendengar ayat-ayat Allah.
“Tengok Encik. Dia pandai dan tak mau dengar ayat Allah. Terus dia tidur dan tutupkan telinga,” jelas ustaz kepadaku. Bila selesai, isteriku terjaga daripada tidur dan terus senyum.
Bila dia hendak solat aku akan menemaninya ke tandas dan membantu isteriku mengambil wuduk. Bila dia sedang solat, aku dan anak-anak akan duduk disebelahnya. Sebaik saja dia memberi salam, terus dia akan jatuh. Pernah terjadi bila dia beri salam terus dia jatuh dan kepalanya terkena pada tembok dan membuatkan dahi isteriku luka.
Isteriku tidak pernah mengeluh kesakitan. Semenjak hari itu setiap kali solat kami akan berada di sebelah kiri dan kanannya sehingga selesai. Nasiblah dia hendak jatuh sebelah kanan atau kiri. Janji kami sedia menanti dan menyambutnya. Selepas menyambutnya barulah dia akan tersedar dan bertanya. Kemudian kami semua akan tertawa lucu.
Ketika itu aku melihat senyum isteriku amat manis sekali. Lama-kelamaan sakit isteriku semakin melarat. Aku telah membuat keputusan membawanya ke hospital. Memandangkan kedua-dua anakku berada di asrama, jadi hospital telah menjadi rumah keduaku. Di situlah aku bermalam dan berbual dengan isteriku. Di atas sofa adalah tempat aku melelapkan mataku di waktu malam.
Pihak hospital mulanya mengesyaki isteriku menghidap penyakit tibi sebab batuknya yang berselang-seli dengan darah. Nmun hasil daripada pemeriksaan isteriku di dapati negatif dari penyakit tibi. Akhirnya dia diberi sejenis mentol untuk menghidu bila terasa hendak batuk. Setelah berada di hospital selama 9 hari, akhirnya isteriku dibenarkan pulang.
Namun demam panas masih lagi menguasai badan. Panadol, ubat hospital dan klinik ternyata tidak memberi kesan. Hari-hari pasti demam panas. Aku pening memikirkan perkara ini sehinggakan aku terlupa dengan tugas seharianku. Di surau, ramai jemaah yang bertanya ke mana menghilangnya Budiman. Kenduri dijemput tapi aku lupa untuk hadir. Sedar-sedar kenduri dah selesai. Terpaksa berjumpa tuan rumah memohon maaf.
Yang menghairankan aku, apabila menjelang Maghrib isteriku mula merasa menggigil kesejukan dan diikuti dengan badan yang panas. Apabila waktu nak mengambil air sembahyang mulalah batuk menyerang tidak henti- henti. Ini membuatkan badan bertambah sakit.
Aku mula terasa kepelikan dan mula tersedar kemungkinan ada benda lain yang mengganggu di dalam tubuh isteriku. Aku membaca Al-Mathurat didepan isteriku. Tiba-tiba ayatnya hilang di depan mata. Setelah beristighfar beberapa kali barulah penglihatanku kembali pulih.
Aku menyuruh anakku membaca surah Yasin. Tiba-tiba dibalingnya kelambu membuatkan wajah anakku pucat. Isteriku hanya tersenyum melihatnya. Aku dah semakin syak isteriku diganggu makhluk halus.
Aku mengajak isteriku turun ke bawah. Sambil bergurau kepada ipar dan anak saudara, aku berkata. "Kawan pakcik kata pakcik ni boleh berubat tapi tak yakin. Sekarang mari kita berkumpul sambil lutut bertemu lutut dan pak cik akan ubati makcik.” Isteri menjeling tajam kearahku. Aku tahu yang ia dah mula merasainya.
Aku meminta anak saudara membacakan ayat Al-Quran di depan isteriku sebab aku nak lihat reaksinya. Ternyata dia bertindakbalas. Aku melihat isteriku menggenggam tangan menahan sesuatu. Aku mendekati isteriku dalam keadaan bergurau namun di dalam hati, aku membaca ayat-ayat suci.
Bila sampai saja aku di depan isteri, aku terus meletakkan telapak tangan di dahi isteriku. Apa lagi, dia menjerit, tertawa dan mengilai. Terkejut dengan peristiwa ini, ipar dan anak saudara melarikan diri. Cuma tinggal aku dan anakku.
Aku beritahu kepada anakku jangan takut dan tolong bantu ayah memulihkan kembali emak. Aku menyuruh dia mengikuti bacaan ayat kursi. Dia membaca amat pelahan, tapi bila disuruh baca dengan kuat suaranya bertukar garau. Aku membaca ayat-ayat suci Al Quran sehinggakan membuatkan isteriku longlai tak bermaya.
Aku sendiri pun tak tahu bagaimana aku lakukan semua ini. Aku hanya ingat aku pegang di tempat tertentu sambil membaca ayat Quran. Aku menyuruh anakku menelefon abangku dan beritahu keadaan mak dan katakan ayah tak mampu nak buat seorang diri.
Isteriku ternyata letih dan tidak bermaya. Beliau berkata hendak tidur. Aku tahu bukan dia yang nak tidur tapi benda yang berada di dalam badannya.
Tiba-tiba telefonku berbunyi. Anakku memberitahu Pak Ngah sedang menuju ke rumah kami. Bila terdengar suara abangku dari dalam telefon matanya mula tidak tentu arah.
Apabila terdengar saja salam dari abangku, dia terus bingkas bangun sambil ketawa geram. Apa lagi abangku tak bagi peluang langsung. Terus dimintanya air lalu membacakan sesuatu dan ditepuk ke kepala isteriku sebanyak 3 kali. Terus longlai dan akhirnya ia keluar daripada badan isteriku.
Aku dapat merasai yang benda itu hanya keluar seketika sahaja. Sebelum ini bila aku suruh isteriku senyum sebab aku hendak uji, ternyata senyuman memang meremangkan bulu roma. Tetapi setelah kena tepuk dari abangku, dia tidak berani senyum.
Setelah keadaan tenang, abangku pun pulang kerumah. Aku sengaja uji kembali senyuman isteriku. Kini senyumannya kembali menakutkan dengan ketawa sinis.
Bila aku pulang dari tempat kerja jam 12 malam, sebelum aku masuk ke dalam rumah, aku membaca ayat kursi dan dapat merasai bahawa benda itu masih lagi berlegar di dalam rumah. Seorang bomoh tradisional datang untuk merawat isteriku dan ternyata memang ada benda di dalam tubuh isteriku.
Sewaktu kami semua tidur, aku terdengar orang berjalan. Seluruh isi rumah semalaman tidak dapat melelapkan mata sebab diganggu.
Aku mebuat solat hajat memohon kepada Allah semoga kami semua dipelihara dari gangguan iblis dan syaitan terutama sekali isteriku. Alhamdulillah isteriku dapat tidur dengan tenang walaupun aku sendiri tidak dapat tidur sebab diganggu oleh makhluk halus yang ingin masuk kembali kedalam badan isteriku.
Aku dapat merasai ia mencuit belakangku, ia mengetuk dan menolak pintu. Ada seketika ia berlari di atas bumbung. Aku hanya berzikir dan membaca Al Mathurat. Hanya kepada Allah-lah kami semua meminta pertolongan di samping berikhtiar.
-Bersambung jam 8.30pm-
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: