Tuesday, 5 December 2017

HUTAN MENGGALA - Suzie Aziz


HUTAN MENGGALA
Karya: Suzie Aziz

Link berkaitan ;
1) kampung telang

2) pemakan daging

=============================================
Sekumpulan anak muda memasuki hutan Menggala ketika matahari hampir tegak di atas kepala. Mereka merupakan siswa sebuah universiti awam yang sedang menikmati cuti semester selepas tamat peperiksaan. Oleh kerana minat yang sangat mendalam terhadap alam semulajadi dan mendaki gunung, anak-anak muda ini akan menyertai apa sahaja aktiviti yang memerlukan mereka masuk ke hutan.
Hutan Menggala adalah hutan yang begitu menarik minat mereka selepas membaca mengenainya di dalam suratkhabar. Itupun berita tentangnya muncul kerana kes kehilangan empat orang wanita dan seorang lelaki yang masih lagi menjadi misteri sehingga sekarang. Ekspedisi kali ini tidak dimaklumkan kepada sesiapa pun.
“Din, kau perasan sesuatu tak?” Husni memecahkan kesunyian yang membelengu mereka sedari tadi.

“Perasan apa?”
“Kampung yang kita lalu tadi tu sunyi aje kan. Kau rasa ada orang tinggal tak kat kampung tu?” Husni mengesat peluh di dahi.
“Seram aje aku tengok. Macam kampung hantu.”
Din sekadar mengangkat bahu. Dia sendiri perasan tentang kesunyian kampung yang dilalui mereka. Namun dia tidak begitu memikirkannya kerana lebih teruja dengan hutan yang bakal mereka teroka.
“Apa nama kampung yang kita lalu tadi ek?” Husni masih belum puas hati. Meor yang berada di hadapan Din berpaling.
“Yang kau ni sibuk sangat nak tahu pasal kampung tu dah kenapa?”
“Ala nak tau pun tak boleh.” Husni mencebik bibir. Bengang apabila dimarah begitu. Dia sedar kehadirannya di dalam kumpulan itu tidak disenangi beberapa orang, terutama Meor. Tapi disebabkan hubungan baiknya dengan Iskandar, dia akhirnya diterima masuk. Meor jugak antara orang yang paling kuat menentang kehadirannya dalam ekspedisi kali ini walaupun cadangan untuk meneroka Hutan Menggala datang dari usulnya.
“Apalah korang ni. Pasal nama kampung pun nak bertekak.” Iskandar yang berjalan di hadapan sekali bersuara.
“Nama kampung tu kalau kau nak tahu sangat, namanya Kampung Telang. Ada tertulis kat papan tanda tepi jalan tadi. Tak baca ke?”
Husni semakin mencebik selepas mendengar nada suara Iskandar yang kedengaran seperti mengejek. Meor, Din, Kamal dan Rasul hanya mampu tersenyum mendengar tempelak Iskandar. Kesunyian kembali menyelubungi perjalanan mereka. Semakin jauh mereka masuk ke dalam hutan, perjalanan mereka menjadi semakin sukar. Namun tiada riak kesal terpancar pada wajah keenam anak muda itu. Mereka benar-benar menikmati setiap kepayahan yang terpaksa dilalui.
Suasana hutan yang dipagari pohon balak yang tinggi menjulang, benar-benar memberi satu rasa ketenangan yang sukar digambar dengan kata-kata. Sementelah pula telinga mereka dihiburkan dengan nyanyian unggas rimba dan gemersik dedaun yang berlaga ditiup angin. Rasa lelah yang terpaksa diharungi hampir tiga jam terbius dengan pesona hutan yang mereka nikmati.
Sewaktu mereka memanjat satu tebing berbatu yang agak tinggi, telinga mereka menangkap bunyi deburan air. Keterujaan menghiasi raut wajah anak-anak muda itu. Ketika mereka sampai di atas tebing kelihatan air terjun yang sangat mengkagumkan berdiri di hadapan mereka. Deburan air yang jatuh memercikkan tempias yang menghasilkan pelangi akibat dari biasan cahaya matahari.
“Wuhuuu!!” Husni menjerit girang sebelum berlari menuruni tebing yg landai.
Dia tidak mempedulikan rakan-rakan kumpulannya yang sedang memandang jengkel. Dia hampir mencampakkan beg galasnya ke tanah sebelum dia melihat sesuatu yang membuatkan pergerakannya tiba-tiba terhenti. Ada sesuatu di tepi sungai yang memaksanya berpatah balik sambil menutup hidung.
“Kau ni dah kenapa? Tadi macam tak menyempat aje aku tengok nak terjun dalam sungai tu?” Meor menyoal separuh hati.
Husni terbongkok-bongkok sambil membuat gaya seperti hendak termuntah. Angin yang berhembus perlahan membawa satu bau yang kurang enak. Bau bangkai. Iskandar turun ke tepi sungai diikuti Meor dan Din. Rasul dan Kamal hanya mencangkung di sisi Husni yang masih dengan gaya mengadanya.
Setibanya mereka ke tepi sungai, masing-masing pantas menutup hidung apabila bau busuk seperti bangkai semakin kuat menerjah deria bau mereka. Berkerut dahi masing-masing apabila melihat bangkai seperti lintah bergelimpangan di atas pasir. Bukan seekor dua tetapi beratus,mungkin beribu. Bertindan-tindan. Meor kegelian melihat permandangan yang terbentang di depan mata. Lintah-lintah itu sudah berulat dan dihurung lalat.
“Lintah apa yang banyak sampai macam ni?” Din mencapai sebatang ranting kayu lalu menguis seekor lintah yang agak sempurna bentuknya. Saiznya sebesar dua jari lelaki dewasa. Bewarna hitam pekat. Tapi ada sesuatu yang menimbulkan rasa ngeri dalam hati Din. Gigi haiwan itu yang sangat tajam berlapis-lapis. Tidak dapat dibayangkan kalau dia jatuh ke dalam kumpulan lintah-lintah itu. Pasti dia hanya akan tinggal nama sahaja.
“Macamana? kita nak teruskan perkhemahan ke tak? Dah pukul lima lebih dah ni. Takkan kita nak berkhemah kat sini pulak” Meor memandang Iskandar. Selaku ketua, Iskandar perlu membuat keputusan yang tepat supaya tiada ahli kumpulannya yang tidak berpuas hati. Iskandar mendongak merenung ke dada langit yang semakin kelam.
“Aku rasa baik kita naik ke atas sikit. Lepas air terjun ni aku rasa ada tempat yang sesuai untuk kita pacak khemah.” Iskandar membetulkan beg galasnya sebelum berpatah balik mendapatkan Rasul, Kamal dan Husni yang sibuk mengibas-ngibas hidung dengan sapu tangan pink.
“Apa yang ada kat bawah tu sampai si sotong ni bukan main mengada-ngada lagi takutnya.” Rasul bertanya sambil matanya menjeling Husni yang mencebik bibir.
“Bangkai lintah.” Din menjawab pendek.
“Itu aje?” Ketawa Rasul dan Kamal meledak. Din dan Meor hanya sekadar tersengih melihat ulah keduanya sementara Husni bersendirian menahan rasa sakit hati.
“Eh, bangkai tu banyak tau. Beribu. Kalau korang tak percaya, pergi tengok!”
“Eleh, bangkai lintah je pun.” Meor mendengus.
“Kau ni memang tak puas hati dengan aku kan?” Husni mula bercekak pinggang.
“Dahlah tu. Tak habis-habis nak bertekak. Kita panjat sikit lagi sampai lepas air terjun ni. Kalau jumpa tempat yang sesuai kita akan berkhemah kat situ.” Iskandar terpaksa bersuara sebelum berlaku perang mulut antara mereka berlima.
Masing-masing akur dengan arahan yang diberikan. Husni menjeling Meor, tajam. Sewaktu melewati kawasan yang agak landai berhampiran sebiji batu yang besar, mereka dapat melihat satu kesan terbakar sepanjang lima kaki lebih berdekatan dengan sisa unggun api. Masing-masing hanya memandang tanpa ingin membuka mulut bertanya.
Hampir masuk waktu Maghrib, akhirnya mereka menemui satu kawasan yang agak lapang. Kepenatan yang masih dirasa akibat mendaki tebing yang tinggi dan licin membuatkan keenam-enam anak muda itu melemparkan badan masing-masing ke tanah. Terasa lega apabila dapat meregangkan kaki dan tangan. Langit kelihatan kelam menandakan hampir masuk waktu Maghrib. Iskandar bangkit. Dia tidak boleh berlama-lama berehat. Khemah perlu didirikan dan unggun api perlu dihidupkan.
‘Rasul, Meor. Kau orang dirikan khemah. Husni dengan Kamal, pergi cari kayu api lepastu hidupkan api. Malam ni biar aku dengan Din masak.’
Terdengar rungutan halus datang dari rakan-rakannya apabila mendengar arahan yang diberikan sebentar tadi. Iskandar mengeleng kepala. Kadang-kadang sebal juga hatinya dengan sikap mereka.
“Cepat!”
Bagai lipas kudung kelima-lima mereka bangkit lalu menjalankan tugasan masing-masing. Mereka sedar, kalau Iskandar sudah naik hantu memang buruklah akibatnya. Usai solat Maghrib dan makan malam, masing-masing mula minta diri ke khemah. Kepenatan yang masih dirasai memaksa mereka untuk tidur lebih awal. Iskandar mengunci jam. Mereka perlu bangun untuk tunaikan solat Isyak. Selepas menggantungkan tiga biji lampu gasolin yang kecil sebagai sumber cahaya, Iskandar masuk ke khemahnya yang berada di sebelah khemah Husni. Dengkuran halus kedengaran mengisi kesunyian di sekitar tapak perkhemahan itu. Tanpa mereka ketahui, ada sesuatu sedang berjaga dan memerhati di sebalik kegelapan malam.
***************
Rasul terjaga apabila pundi kencingnya mula memberi isyarat. Rasa mengantuk masih menguasai namun dia terpaksa juga keluar dan melepaskan hajat. Jam tangan yang bercahaya di dalam gelap menunjukkkan pukul 11:43 malam. Pada mulanya Rasul berniat mengejutkan Kamal yang tidur di sebelahnya tetapi hasrat itu dibatalkan sahaja. Perlahan pintu khemah dibuka. Rasul menjenguk keluar. Kawasan khemah mereka dilimpahi cahaya yang datang dari tiga biji lampu gasolin yang disangkut di ranting pokok. Unggun api pula sudah lama terpadam.

Rasul keluar dari khemah dan menuju ke sebatang pokok yang berada agak jauh tapi masih dapat dilihat dari arah khemahnya. Rasul segera mengosongkan pundi kencingnya sementara sepasang matanya melilau melihat ke dalam kegelapan hutan.
Sewaktu Rasul berpusing ingin berpatah balik ke khemah, telinganya menangkap sayup-sayup bunyi suara orang berbual datang dari arah hutan yang gelap. Mulanya dia ingin segera kembali ke khemah, takut kalau-kalau suara itu suara hantu. Tetapi ketika dia mendengar nama Meor disebut, Rasul mula curiga. Suara yang menyebut nama Meor tadi suara Husni. Rasul mula berpaling melihat ke arah datangnya suara-suara itu. Suara Husni kedengaran agak jelas berbanding suara seorang lagi lelaki. Rasul memasang telinga. Dia ingin mendengar lebih teliti.
“Meor…guna…sakit…mati…baik…”
“Psiiii…psiiii…psiiii…”

Suara Husni tenggelam timbul dibawa angin malam. Tetapi perkataan mati yang didengarnya membuatkan darah Rasul naik sampai ke kepala. Tak padan dengan sotong, ada hati nak matikan orang. Rasul ingin menyergah Husni yang sedang berbisik dengan seseorang di sebalik semak. Siapa yang berkomplot dengan si Husni tu agaknya.
Rasul mengeluarkan telefonnya. Fungsi lampu suluh dihidupkan. Dia segera menerjah semak yang jadi tempat persembunyian Husni dan seseorang. Pelik. Tiada sesiapa pun di situ. Rasul menyuluh keliling. Kelihatan beberapa helai daun pokok bergoyang seperti diredah seseuatu. Oh, kau nak lari ya. Rasul segera mengejar Husni. Dengan bantuan cahaya dari telefon bimbitnya, Rasul mengikut arah yang dilalui Husni. Agak lama dia mengejar namun bayang Husni langsung tidak kelihatan.
“Meor…guna…sakit…mati…baik…”
“Psiiii…psiiii…psiiii…”

Rasul mula memperlahankan langkah. Rasa hairan bertandang dalam hati. Itu suara yang sama didengari tadi. Peluh jantan mula membenih di dahi. Dedaun yang begemersik di sekelilingnya kedengaran seperti suara seseorang sedang berbisik. Rasul berpusing-pusing di tempatnya berdiri.
“Meor…guna…sakit…mati…baik…”
Itu…itu memang suara Husni, tetapi kini suara itu kedengaran datang dari semua arah. Rasul ketakutan. Dia menyuluh cuba mencari arah yang dilaluinya tadi. Namun dalam kegelapan malam memang sukar untuk mencari arah kembali ke khemah.
“Husni, kau jangan main-main. Keluar kau sekarang.” Rasul meninggikan suaranya. Dia masih cuba meyakinkan diri yang Husni benar-benar berada di situ.
“Husni…main…karang…”
Rasul jatuh terduduk. Gemersik dedaunan hutan bertukar menyerupai suaranya pula. Rasul dilanda ketakutan yang bukan sedikit.
“Husni…main…karang…Husni…main…karang…Husni…main…karang…”
Rasul memekup telinga. Suara yang didengarinya kini mula bertukar menjadi bisikan-bisikan tanpa kata yang membingit. Rasul bangkit sebelum kakinya mengorak langkah berlari. Cahaya dari telefon bimbitnya bergoyang-goyang mengikut rentak lariannya. Belum jauh dia berlari, kakinya tiba-tiba terasa seperti ditarik sesuatu. Rasul jatuh tertiarap. Dadanya sakit tertampan akar-akar pokok yang timbul.
Dia berusaha untuk bangun, namun sesuatu yang menyauk kakinya tadi mula membelit hingga ke paha. Rasul berusaha mencapai telefon bimbitnya yang tercampak agak jauh darinya. Setelah bersusah payah mengheret badannya, akhirnya Rasul berjaya mencapai telefonnya. Segera disuluh ke arah kaki. Rasul terpempam apabila melihat kakinya dibelit akar-akar pokok yang seakan bernyawa.
“Tolong!” Rasul menjerit meminta tolong. 
“Tolong…tolong…tolong……” Gemersik dedaunan mengajuk suaranya.

Rasul mula menangis. Ketakutan yang dialaminya sekarang memang sukar digambarkan. Akar-akar pokok yang membelit kedua kakinya mula merayap sampai ke dada. Rasul berusaha sedaya-upaya melepaskan kakinya tetapi pergerakannya terbantut apabila tanganya juga turut dibelit. Dalam samar cahaya yang datang dari telefonnya, Rasul melihat akar-akar pokok itu mula mendekati wajahnya. Jeritan kesakitan Rasul bergema memecah keheningan hutan ketika mata dan mulutnya ditembusi akar yang menjalar. Rasul menggelupur seketika sebelum segalanya berakhir. Jasad Rasul perlahan-lahan ditarik, meninggalkan telefonnya yang masih menyala.
***********
Iskandar terjaga apabila alarmnya berbunyi. Dicapainya telefon yang berada di sebelah kiri sebelum mematikan alarm. Badannya dipusingkan ke kanan dan kiri. Satu kelegaan dapat dirasakan apabila urat-urat yang tegang dikendurkan. Dia keluar dari khemah. Lampu gasolin semakin malap tanda minyak perlu ditambah. Iskandar mengisi minyak tanah ke dalam ketiga-tiga lampu sebelum bergerak mengejutkan rakan-rakannya.

Din, Meor, Husni dan Kamal keluar dari khemah masing-masing. Dalam kedinginan malam, masing-masing berpeluk tubuh kesejukan. Iskandar perasan Rasul tiada di situ.
“Mal, kau tak kejutkan Sol ke?”
Kamal berpaling ke sisi. Baharu dia perasan yang Rasul tiada di situ. Segera dia bangun dan menjenguk ke dalam khemah.
“Is, Sol takde la.” Kamal bersuara cemas.
“Takde?” Iskandar melemparkan pandangan ke dalam kegelapan hutan.
“Dia tak ada kejutkan kau bagitau dia nak kemana-mana ke?”
“Tak ada pulak. Aku pun tak sedar bila dia bangun.” Kamal menggaru kepalanya yang tak gatal.

“Ish mana pulak dia ni pergi.” Meor membebel perlahan.
“Jangan-jangan kena sorok hantu tak. Takpun kena makan dek rimau” celupar mulut Husni menuturkan pendapat. Meor pantas berdiri. Panjang langkahnya mendapatkan Husni. Belum sempat tumbukan sulungnya singgah di muka Husni, Iskandar pantas menghalang.
“Meor, ni bukan masanya.” tubuh Meor yang menggigil dipeluknya.
“Kau…kau memang dah melampau.” Mior menderam marah sebelum menolak tubuh Iskandar.
Husni mencebik mengejek. Gembira bukan kepalang hatinya melihatkan kemarahan Meor yang gagal dilunaskan. Din dan Kamal sekadar memerhati ketegangan yang tercetus. Jauh di sudut hati mereka turut memikirkan kemungkinan yang disebutkan Husni. Setelah keadaan semakin tenang, Iskandar mengarahkan rakan-rakannya untuk mengambil wuduk. Solat Isyak perlu ditunaikan dahulu sebelum memikirkan misi mencari Rasul.
Usai solat, mereka duduk di dalam bulatan. Perbincangan dilakukan samada perlu mencari Rasul atau berpatah balik untuk dapatkan bantuan. Masing-masing memberikan cadangan dan pendapat. Husni sekadar mendengar. Dia malas mencampuri urusan pencarian Rasul.
“Kita kena cari dia Is. Takkan nak tinggalkan Sol macam tu je.” Meor tetap bertegas dengan keputusannya. Kamal dan Din mengangguk. Mereka setuju untuk cuba mencari Rasul dahulu sebelum mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
“Baik. Kalau semua dah setuju, kita akan cari Rasul pagi-pagi esok.” Iskandar membuat keputusan.
“Kenapa kena tunggu esok? Kita kena cari dia sekarang.” Meor tidak berpuas hati. Antara mereka berlima, hanya Meor sahaja yang agak berani membantah kata-kata Iskandar. Iskandar mencerlung rakannya itu. Panas hatinya bila keputusannya disanggah.
“Aku taknak bahayakan keselamatan orang lain. Hutan ni bukan macam hutan belakang universiti kita tu. Kalau kau rasa tak boleh tunggu, kau boleh pergi cari sekarang. Tapi apa berlaku aku taknak tanggung.” suara Iskandar keras menerjah gegendang telinga Mior. Lelaki itu hanya mampu menggertap bibir. Tidak berani lagi menyanggah kata-kata Iskandar.
Keputusan muktamad akhirnya diambil. Masing-masing kembali ke khemah. Kamal melihat tempat tidur Rasul disebelahnya. Dia mengeluh. Berusaha menyingkirkan lintasan yang bukan-bukan yang hadir di benaknya.
Pagi keesokannya.
Usai bersarapan yang disediakan ala kadar, mereka bersiap mencari Rasul. Suasana hutan yang semakin cerah memudahkan pergerakan mereka. Iskandar mengarahkan mereka untuk menghulu sungai. Sebagai langkah keselamatan dan untuk memudahkan mereka kembali ke tapak perkhemahan, Iskandar memangkah batang pokok menggunakan kapur khas bagi setiap lima puluh langkah. Mereka berjalan dalam satu barisan. Iskandar di depan diikuti Kamal, Meor, Din dan Husni.
Hampir setengah jam berjalan meredah semak belukar, Iskandar menunjukkan isyarat berhenti. Dia membongkok mengambil sesuatu di atas tanah. Meor yang tidak sabar-sabar di belakang meluru mendapatkan Iskandar. Mulutnya terbuka ketika melihat telefon bimbit Rasul yang kehabisan bateri di tangan Iskandar. Dia memandang Iskandar yang turut memandang ke arahnya.
“Apa yang Rasul buat sampai ke sini? Pelik.” Iskandar mengerut kening.
Din, Kamal dan Husni mengerumuni Iskandar dan Meor. Masing-masing terkunci bicara. Sukar mencari alasan yang logik kenapa Rasul boleh berada sejauh itu dari khemah.
“Macamana ni Is. Aku risaula. Kau rasa Sol ada kat area sini lagike?” Din menyuarakan kebimbangan.
Iskandar menyimpan telefon bimbit Rasul ke dalam poket seluar. Dia tidak menjawab pertanyaan Din sebaliknya mengarahkan mereka untuk teruskan pencarian.
“Kita teruskan mencari lagi dua jam. Kalau tak jumpa jugak kita patah balik dan mintak bantuan pihak berkuasa.” Iskandar meneruskan langkah menuju ke utara. Kalaulah ada antara mereka yang mendongak ke atas, pasti mereka akan melihat jasad Rasul yang tergantung dalam keadaan yang mengerikan. Kelihatan akar-akar pokok menembusi setiap rongga yang ada di badannya.
Ketika menuruni satu tebing yang agak licin, Kamal tergelincir. Kakinya tersepit di celah batu. Dia mengaduh kesakitan. Iskandar segera memeriksa keadaan Kamal. Nampaknya kaki Kamal terseliuh.
“Macamana ni Mal. Kau boleh jalan tak?”
“Aku rasa macam tak boleh je ni. Takpelah Is. Kau pergi cari Sol. Biar aku tunggu kat sini. Din kau teman aku.”
Din bersetuju. Iskandar, Meor dan Husni meneruskan pencarian. Sepeninggalan ketiga mereka, Din membantu Kamal untuk duduk lebih selesa. Kaki Kamal yang terseliuh dianduh menggunakan ranting kayu dan sapu tangan pink milik Husni. Menyirap darah Kamal ketika melihat Din tersenyum sumbing sewaktu membalut kakinya.
“Kau rasa apa yang jadi dekat Sol?” Din menyoal Kamal sebelum melabuhkan punggung atas seketul batu.
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Tiba-tiba aje hilang macam tu.”
Perbualan mereka terhenti apabila kedengaran suara kokokan ayam berhampiran tempat mereka sedang duduk. Din memandang Kamal yang turut memandang ke arahnya. Wajah masing-masing bertukar cemas. Mereka teringat pesan orang tua, kalau dengar bunyi ayam berkokok di tengah hutan kemungkinan ada ular sedang kelaparan.
Kamal yang sedang duduk di atas sebatang pokok yang tumbang merasa pergerakan di bawahnya. Terasa seperti batang pokok itu bergerak. Belum sempat dia memberitahu Din tentang apa yang berlaku, seekor ular sebesar dua pemeluk tiba-tiba muncul dari belakang Kamal. Mulutnya yang sedia terbuka menyambar Kamal yang sedang duduk di atas badannya.
Separuh badan Kamal yang kini berada di dalam mulutnya diangkat dan dijulang ke udara. Kaki Kamal menendang-nendang angin. Perlahan-lahan badan Kamal ditelan dan Din dapat melihat dengan jelas bentuk badan Kamal yang masuk ke perut binatang yang kelaparan itu. Dihambat ketakutan yang bukan kepalang, Din segera bangkit berlari menyelamatkan diri. Tanpa disedarinya, dia sudah melencong jauh dari laluan asal.
Din terus berlari meredah semak belukar. Dia tidak mempedulikan ranting-ranting yang mengguris lengan dan mukanya. Apa yang penting, dia perlu pergi jauh dari binatang yang ganas itu. Kepenatan yang dialami memaksanya berhenti. Din termengah-mengah menghirup nafas. Apabila pernafasannya kembali stabil, dia melihat sekeliling. Ternyata dia berada di satu kawasan yang agak aneh. Di hadapannya terbentang satu kawasan yang lapang. Tidak ada sebarang pokok yang tumbuh di atas kawasan itu kecuali daun-daun kering yang jatuh dan menutupi permukaan tanah.
Din sedar dia sudah jauh tersesat. Untuk berpatah balik dia tidak berani. Terbayang kembali di mindanya kecelakaan yang menimpa Kamal. Dia langsung tidak menyangka batang buruk yang diingatkan hanyalah sebatang pokok tumbang rupa-rupanya badan seekor ular. Saiznya yang besar mengingatkan Din pada filem Anaconda yang pernah ditontonnya. Hatinya sebak mengenangkan arwah Kamal.
Din masih berkira-kira samada meneruskan perjalanan meredah kawasan yang lapang itu atau berpatah balik. Suasana hutan yang sepi benar-benar menguji keberaniannya. Bukan dia tidak pernah bersendirian bermalam di dalam hutan. Namun hutan Menggala ini benar-benar berbeza. Seperti ada kejahatan yang bersembunyi di sebalik kesunyiannya. Sedang dia diam memikirkan keputusan yang patut diambil, matanya tiba-tiba menangkap kelibat seseorang berdiri di hujung sempadan kawasan lapang itu. Din memicingkan mata, cuba melihat dengan lebih jelas. Memang sukar memastikan siapa yang berada di hujung sana disebabkan jarak yang jauh. Seketika Din merasa ragu-ragu. Bimbang jika ianya salah satu permainan hutan yang cuba memerangkapnya.
Lembaga seperti manusia itu mengangkat tangan dan melambai-lambai ke arah Din. Melihatkan pergerakan itu, Din mula merasa sedikit kelegaan. Mungkin itu salah seorang penduduk Kampung Telang yang bekerja mencari hasil hutan di sini. Tanpa berfikir panjang Din melangkah memasuki kawasan lapang itu.
Kakinya sedikit tenggelam di dalam daun-daun kering dan dia terpaksa berjalan seperti mengharung air sungai yang cetek. Sesekali kakinya terasa seperti tersepak sesuatu yang keras tetapi dia tiada masa hendak melihat benda tersebut. Ketika dia hampir sampai ke tengah kawasan, tiba-tiba kelihatan sesuatu sedang bergerak laju di bawah timbunan daun-daun kering menghala ke arahnya.
Din mula merasa cuak. Dia ingin berpatah balik, tetapi pergerakannya terhenti apabila melihat beberapa pergerakan yang sama datang dari arah tepi sempadan tanah lapang. Din terperangkap. Dia terbayang ular rasaksa yang menelan Kamal sebentar tadi. Dahinya berpeluh dan jantungnya berdetak laju. Din berpaling melihat ke arah lembaga manusia di hujung sana. Dia masih berdiri di situ.
“Tolong!”
Benda yang berada di bawah timbunan daun-daun kering semakin dekat dan Din tidak ada pilihan selain berlari selaju yang boleh ke tepi sempadan. Tetapi malang apabila kakinya seperti terpijak sesuatu yang membuatkannya gagal menyeimbangkan badan. Din jatuh tersembam. Ketika dia berusaha untuk bangun, dia merasa seperti ada sesuatu sedang merayap di dalam pakaiannya.
Din merasa seperti dihurung beribu-ribu semut. Kulitnya terasa seperti terbakar. Din menggelupur kesakitan. Sangat mengerikan apabila kulit wajah Din bergerak-gerak seperti ada beratus-ratus semut sedang merayap di bawah kulitnya. Darah mengalir dari setiap rongga di wajahnya. Raungan dan jeritan kesakitan Din mencemari kesunyian hutan. Daun-daun kering yang berterbangan disebabkan pergerakan Din, menyerlahkan sesuatu yang tersembunyi di bawahnya. Tulang temulang.
Pergerakan Din semakin perlahan sebelum sekujur tubuh Din yang agak berisi tiba-tiba mengecut. Dalam beberapa saat beribu-ribu serangga seperti anak lipas keluar dari rongga mulut, hidung dan mata Din lalu memakan kulitnya sehingga yang tinggal hanyalah sekujur rangka. Tidak lama kemudian, kelihatan daun-daun kering bergerak menutupi rangka Din. Lembaga manusia yang masih berdiri di hujung sempadan berpaling meninggalkan tempat itu setelah dipastikan Din tidak lagi kelihatan.
*************
Iskandar merenung jam di tangan. Sudah hampir pukul 1:30 petang. Nampaknya dia terpaksa menghentikan pencarian Rasul. Mereka sudah berjalan jauh ke dalam hutan. Sebelum berpatah balik, Iskandar mencari kawasan yang agak rata untuk memudahkan mereka menunaikan solat Zohor berjemaah. Husni kembali dengan wajah yang basah.
“Lama betul kau. Amik wuduk ke mandi?”
Husni hanya tersengih mendengar kata-kata Iskandar. Usai solat, Iskandar mengarahkan Meor berjalan di depan. Meor agak kehairanan kerana sebelum ini tidak pernah Iskandar menyuruh sesiapa berjalan di hadapan. Namun dia hanya mendiamkan diri dan mengikut arahan yang diberikan. Ketika mereka sampai di tempat dimana Kamal dan Din ditingalkan, tidak kelihatan langsung bayang keduanya. Iskandar menyuruh Meor meneruskan perjalanan. Pada anggapannya, Din sudah membawa Kamal kembali ke tapak perkhemahan mereka.
Meor mengikut jejak yang ditinggalkan Iskandar pada kiraan lima puluh langkah. Tetapi selepas hampir seratus dua puluh lima langkah berjalan, Meor tidak lagi melihat tanda di mana-mana pokok.
“Is, kau pasti ke yang kau dah tandakan pokok yang kita lalu tadi?” soalan Meor mengejutkan Iskandar yang sedang memerhatikan sesuatu.

“Kenapa kau tanya macam tu?”
“Aku rasa macam dah lebih seratus langkah aku berjalan dari tanda terakhir yang aku ikut, tapi aku tak jumpa tanda yang seterusnya.” Meor berhenti di bawah sepohon pokok. Cuba melihat kalau-kalau ada kesan kapur pada kulitnya. Puas dibelek tetapi langsung tiada kesan yang menunjukkan pokok itu pernah ditanda.
“Husni, kenapa tangan kau tu?” suara Iskandar kedengaran kasar. Meor menoleh ke arah mereka berdua.
“Ala, tangan aku luka masa panjat tebing tadi. Kena batu.” Husni mengangkat tapak tangannya menunjukkan luka yang mengalirkan darah.
“Kenapa tak balut?” Iskandar seperti tidak berpuas hati.
“Sapu tangan aku kan ada dengan Kamal. Macamana nak balut.” Husni mula mencebik mendengar nada suara Iskandar.
Iskandar memandang Husni tepat ke dalam matanya. Ketika Husni mengangkat tapak tangannya sebentar tadi, dia dapat melihat kesan kapur di celahan jemarinya. Sebagai seorang yang berpengalaman masuk ke hutan, Iskandar dapat membezakan luka yang disebabkan kemalangan atau buatan sendiri. Dia mula mengesyaki sesuatu. Husni yang turut memandang Iskandar sekadar tersengih.
Darah menitis dari tapak tangannya yang sudah diturunkan ke bawah. Raut wajahnya yang agak kebudak-budakan sebelum ini mula berubah. Meor yang memerhati dari jauh tidak mahu masuk campur. Dia sekadar berdiri berpeluk tubuh sambil menyandar pada batang pokok tanpa menyedari perubahan yang berlaku pada wajah Husni.
Sepasang mata Husni beralih memandang ke belakang Iskandar. Kelihatan sesuatu yang aneh pada pandangan mata itu. Dia mengundur beberapa tapak menjauhi Iskandar sebelum perlahan tangannya diangkat separas dada dan melambai.
“Selamat tinggal.” Husni sekadar membuat gerakan bibir tanpa suara.

Iskandar yang menyedari bahaya yang datang dari arah belakang tidak sempat menoleh. Badannya tiba-tiba sahaja ditembusi akar-akar tajam yang muncul entah dari mana. Darah memancut dari mulut Iskandar. Perutnya terburai apabila ditembusi akar sebesar lengan lelaki dewasa. Tubuhnya menggeletar ketika akar-akar itu menariknya ke dalam semak.
Meor yang menyaksikan kejadian yang tidak disangka-sangka itu menjerit memanggil nama Husni. Dia segera melarikan diri tanpa memikirkan arah mana yang harus ditujunya.
*************
Larian Meor terhenti akibat terhalang oleh sebuah paya. Meor termengah-mengah mencari nafas. Bajunya sudah lencun dek peluh. Selepas pernafasannya kembali stabil, Meor menoleh ke belakang. Baru disedari Husni tidak berada bersamanya. Meor dihambat ketakutan yang bukan kepalang. Masih terbayang bagaimana beberapa batang akar tiba-tiba muncul lalu menerjah tubuh Iskandar dari belakang.
Berceracak akar-akar hidup menikam leher, dada, perut dan paha Iskandar sehingga tembus. Meor tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegini sepanjang hidupnya. Telah banyak hutan yang diredahnya, bahkan dia pernah bertembung dengan pak belang namun makhluk yang membunuh Iskandar tadi jauh lebih mengerikan. Hutan Menggala seperti menyimpan satu misteri alam yang masih belum ditemui sesiapa.
Meor melepaskan lelahnya di bawah sebatang pokok. Walaupun masih kepenatan, dia tidak mahu terleka. Matanya melingas melihat sekeliling. Bimbang jika disergah sesuatu yang tak dijangka. Pandangan Meor terhenti di seberang paya. Di celahan pohon-pohon yang memagari kawasan paya itu, Meor melihat kelibat seseorang sedang berdiri membelakangkannya. Husni!
Meor bangkit berdiri. Dia memang tidak salah memandang. Itu memang Husni. Beg galas berjalur pink yang tersangkut di belakang memang sangat dikenalinya.
“Husni!”
Husni berpaling. Dia melambai-lambaikan tangan ketika melihat Meor di seberang sana.

“Mior. Aku dah jumpa jalan keluar!” Husni melaung sambil membuat bulatan pada mulutnya mengunakan tangan.
“Tapi kau kena seberang paya ni!”
Meor menelan liurnya yang terasa pahit. Dia melihat ke arah paya yang ditumbuhi daun menerung setinggi pinggangnya. Permukaan air kelihatan gelap disebabkan dasarnya yang berkeladak. Dia sendiri takut untuk membayangkan makhluk apa yang mendiami dasar paya itu.

“Tak ada cara lain lagi ke?” Meor memang keberatan untuk mengharung paya itu.
“Ada. Tapi kau kena lalu tempat Iskandar tadi.” Husni meletakkan begnya ke tanah.
“Aku rasa paya ni tak dalam. Cuba kau tengok pokok menerung tu!”
Meor tiada pilihan. Dia tak sanggup berpatah balik dan berhadapan dengan akar bernyawa itu lagi. Beg galasnya dicampak ke tanah. Pisau rambo yang terselit di tepi beg dicapai. Meor hanya mampu bertawakal ketika kakinya mula turun ke dalam paya.

Meor meraduk air paya yang keruh kehitaman. Matanya tidak lepas dari memerhati sekeliling dikala kerisauan semakin hebat menendang dada. Meor kini sudah sampai ke tengah paya. Kakinya sudah tenggelam hampir ke paras paha. Beberapa kali dirasakan kakinya seperti dilanggar sesuatu. Dia menggertap bibir. Cuba menahan rasa takut yang semakin membesar.
Jaraknya dengan tebing hanya tinggal lebih kurang dua meter. Meor memandang Husni yang berdiri sambil berpeluk tubuh di tepi paya. Gayanya tidak seperti Husni yang dikenalnya sejak lima bulan yang lepas. Meor hanya mampu mengurungkan rasa meluatnya melihatkan gelagat Husni.
“Blup”
“Blup”

Deria pendengaran Meor menangkap bunyi seperti gelembung udara yang pecah di permukaan air. Langkahnya terhenti. Cuba memastikan apa yang didengarinya tadi hanya sekadar mainan perasaan.
“Blup”
“Blup”

Kelihatan air bergelombang seperti ada sesuatu yang besar sedang berenang di dasar paya datang dari arah kiri tasik. Meor terkaku memandang ke kedalam air. Jelas kelihatan sesuatu yang panjang berbelang hitam kuning berenang berhampiran kakinya. Saiznya sebesar batang pinang. Meor berdoa sungguh-sungguh agar binatang itu sekadar melintasinya. Peluh dingin mengucur laju di dahinya. Dia benar-benar ketakutan.
Rumput menerung di sebelah kanan bergoyang-goyang apabila dilanggar mahluk yang Meor sendiri tidak pasti spesisnya. Meor merasa satu kelegaan yang amat sangat apabila ekor binatang itu melintasinya. Namun rasa leganya tidak bertahan lama apabila satu deburan kedengaran di sebelahnya. Meor pantas berpaling ke arah kiri. Dia tidak pasti apa yang jatuh ke dalam paya. Di kala matanya melilau melihat rumput menerung di sebelah kiri, tiba-tiba dia merasakan seperti ada bahaya sedang menanti di belakangnya. Meor tidak berani menoleh. Dadanya berombak laju menahan debaran.
Dari ekor matanya dia dapat melihat susuk berbelang hitam kuning berdiri tegak dalam jarak lima kaki. Badannya seperti ular dan binatang itu tidak mempunyai kepala. Meor menelan air liur sewaktu melihat bahagian atas binatang itu terbelah empat seperti kelopak bunga menyerlahkan lapisan gigi yang berceracak tajam di setiap sisi. Dan gelombang-gelombang yang terhasil pula menandakan sebahagian badan binatang itu yang berada di bawah air sedang bergerak-gerak. Bunyinya mendesis seperti ular tedung. Nyawa Meor kini ibarat telur yang berada di hujung tanduk.
Meor melihat ke arah tebing. Husni telah menghilangkan diri membiarkan Meor bersendirian berhadapan dengan binatang yang pastinya seekor pemangsa. Meor menggenggam erat pisau rambo ditangan. Dia mengumpul segenap kekuatan yang masih tinggal. Dia sedar mahkluk itu tidak akan menyerang jika dia tidak bergerak. Meor tidak mahu menunggu lama. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum berlari ke arah tebing, namun dasar paya yang lembut menyukarkan pergerakannya.
Merasakan mangsanya cuba melarikan diri, binatang itu melibas tubuh Meor dengan ekornya. Meor terpelanting ke sebelah kiri. Tubuhnya tengelam di dalam paya. Sedaya upaya dia cuba timbul. Beberapa kali dia tertelan air paya yang payau. Meor benar-benar cemas. Ketika dia berjaya berdiri, Meor merasakan satu belitan yang kuat yang menghalangnya dari bergerak. Pisau rambo yang masih berada di tangannya di hayun sekuat hati ke arah badan makhluk itu. Darah membuak-membuak keluar dari luka yang terhasil. Binatang itu melepaskan badan mangsanya. Meor bagai dirasuk. Ditikamnya badan binatang itu bertubi-tubi melampiaskan amarah yang membuar didada. Dia hanya berhenti apabila binatang itu terkulai tidak bergerak.
Meor mengesat percikan darah yang membasahi wajahnya. Dia tersenyum puas melihat bangkai binatang itu perlahan-lahan tenggelam ke dasar paya. Di saat dia menjerit meraikan kemenangannya dia terlupa untuk berwaspada. Ketika dia berpaling ke belakang, Meor hanya sempat melihat binatang yang serupa menerkam wajahnya sebelum sebahagian badannya hilang di dalam mulut binatang pemangsa itu. Mulut binatang yang terbuka seperti kelopak bunga itu tertutup dan badan Meor terputus dua. Badan Meor yang hanya tinggal bahagian pinggang ke bawah tumbang ke dalam paya sementara binatang itu kembali menyelam selepas menelan mangsanya. Air paya yang keruh berkeladak bertukar menjadi merah kehitaman.
Husni tersenyum melihat segala yang berlaku dihadapan matanya. Hatinya puas apabila Meor mati dibaham penunggu paya. Dia hanya meninggalkan tempat itu selepas bahagian badan Meor yang masih tinggal direntap sesuatu ke dasar paya.
******************
Husni meruntuhkan khemah dan membersihkan sisa-sisa tapak perkhemahan mereka. Daun-daun kering ditaburkan ke sekitar kawasan. Selepas sejam, kawasan itu kelihatan kembali ke asalnya. Sunyi dan tidak terusik. Husni berpuashati dengan usahanya.

Sebelum dia meninggalkan kawasan hutan itu, Husni singgah ke tepi sungai berhampiran air terjun Menggala. Hatinya sayu memandang bangkai lintah yang bergelimpangan di tepi sungai. Husni mencangkung lalu mengangkat bangkai seekor lintah yang masih sempurna. Diusap badan lintah itu penuh kasih sayang.
“Aku janji aku akan cari Sang Ratu. Hutan Menggala akan hidup sampai bila-bila.”
Husni melemparkan segala peralatan perkhemahan ke dalam keretanya. Dia melihat Kampung Telang yang sunyi melalui cermin pandang belakang. Dia tahu apa yang berlaku kepada penduduk kampung itu. Husni mengesat air mata yang mengalir di pipi. Dia harus segera mencari Sang Ratu. Kereta Husni bergerak meninggalkan Kampung Telang dan hutan Menggala. Meninggalkan penghuninya yang sudah tertidur kekenyangan sebelum ianya kembali terjaga.
*******************
Lima laporan polis telah dibuat berikutan kehilangan lima orang anak muda yang tidak pulang ke rumah ketika cuti semester bermula. Keberadaan mereka langsung tidak dapat dikesan. Nombor telefon masing-masing juga gagal dihubungi. Pihak polis buntu dalam mencari jawapan berkenaan dengan kehilangan mereka. Tetapi anda semua tahu di mana mereka berada bukan?

-TAMAT-
Suntingan: Kucing Kelabu
Gambar: KamenRider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: