Wednesday 20 December 2017

SERU - Senyuman Perantau


SERU

======================
"Weh, Jie. Aku dengan Mads ni. Lagi nonton filem Pengabdi Setan!" Panggilan video dari Mujahid dan Mads. Mereka beriya-iya menyuruh aku menonton filem yang kini menjadi bualan peminat filem seram.
"Lain Jie, dia punya plot kejutan lain macam. Khurafat dan Munafiq ada keistimewaan dia. Yang ni pun ada keistimewaan dia. Hang kena pi tengok Jie. Aweks dia pun lawa lain macam. Haha." Mujahid menyambung lagi.
"Ahhaha. Baik lah.nanti aku nonton ya bapak!"
"Hehe.macam tu la. Kata SP. SP penakut baik jadi AP. Abey Pondan!" Suara ketawa mereka berdua berdekah-dekah. Mentang-mentang la tayangan larut malam, sempat lagi video call.
"Dah, dah. Kitorang tengok dulu. Kang tak pasal kena saman rakam video ni.Nanti kitorang review Jie."
-----
Selasa, 28 November 2017
Aku mengetit awal kad perakam waktu -7.30 pagi. Ini disebabkan aku perlu memberikan rawatan di luar kawasan. Sebagai doktor gigi, kadang-kadang kami perlu memberikan rawatan di kawasan yang agak terpencil dan susah mendapatkan rawatan pergigian. Agak memenatkan tapi aku suka untuk memberikan rawatan di kawasan kampung. Selain udara yang nyaman, penghargaan pesakit terhadap rawatan yang diberikan adalah lebih tulus. Sesekali dapatlah juga merasa pemberian buah tangan seperti rambutan yang dipetik segar.
Pesakit cabutan terakhir aku seorang lelaki tua, berumur kurang lebih 62 tahun. Aku ingat lagi mukanya yang polos, manis senyuman, berbangsa Bidayuh. Setelah memberikan suntikan, sementara menunggu ubat bius berfungsi, sengaja aku berbual dengannya. Biasanya pesakit terakhir, sempat aku berbual dan bertukar buah fikiran. Sekali-sekala, buah fikiran orang kampung ni lagi mahal harganya dan tak terdapat dalam mana-mana sukatan pembelajaran.
"Encik, datang sorang ke harini?"
"Ye lah nak. Pakcik tinggal sorang je. Anak-anak semua dah kerja. Semua kerja luar Kuching. Yang paling dekat pun Sibu."
Fush! Fush!
Bayu lembut menyapa pipiku. Pelik. Aku berada dalam bas pergigian bergerak. Mustahil ada angin yang boleh masuk. Nak kata penghawa dingin, mustahil. Penghawa dingin pun separa berfungsi dan terletak jauh dari kerusi rawatan pergigian. Aku kaget. Tubuh aku terpaku.
Terngiang-ngiang suara orang tua kampung ku, jika tiba-tiba angin datang bertiup, sedangkan tiada petanda itu angin yang sebenar, maka berhati-hatilah. Itu mungkin ada petanda kurang baik. Bukan aku mahu percaya, tapi kadangkala kita perlu berwaspada.
"Jie..Jie.." Namaku diseru lembut. Suara perempuan. Tak aku kenali.
"Jie..Jie.." Suara perempuan tadi terus menyapa. Kali ini lebih keras sedikit.
Aku berpaling ke sekeliling. Sepi. Tiada kelibat perempuan. Pembantu aku hari ni pun seorang lelaki - sedang mencuci alatan pergigian di sinki yang terletak di sudut bas. Peluh jantan mula merenek di permukaan dahi.
"Nak doktor. Nak doktor. Maaf ganggu. Pakcik dah kebas ni," pakcik tua tadi memanggilku sambil tersenyum.
"Eh, pakcik. Maaf ye. Mengelamun," sengaja aku berbasa-basi sekadar memberi alasan munasabah. Lantas, aku meneruskan cabutan gigi pakcik itu.
Zuppp!
Gigi geraham kedua ditarik keluar. Memang tak susah, sekadar cabutan gigi goyang.
"Terima kasih nak. Maaf pakcik, maksud saya Doktor. Pakcik cuma rindu, terbayang-bayang wajah anak pakcik."
"Eh, takpa pakcik. Saya tak ambil hati pun. Mati pun tak tulisnya pangkat doktor tu kat batu nisan," aku cuba berseloroh walaupun fikiran aku masih terpahat pada kejadian hembusan angin dan bisikan suara tadi.
"Lupa. Pakcik nak pesan dekat Doktor. Pakcik rasa ada benda tak baik. Rasa panas. Hati-hati ye Doktor," nada pakcik itu sedikit tegas, sambil melambai tangan lalu meninggalkan aku.
Bulu roma aku mula meremang. Walaupun matahari betul-betul tegak di atas kepala. Bukan aku mahu percaya kepada benda-benda macam ni, tapi tak salahkan jika aku berhati-hati? Aku beristighfar dan membaca ayat Qursi berulang-kali.
"Weh, Doktor. Sikmok pulang ka? Jauh pikir kitak ya. Sampei melaya dah ka?" Staff aku mengusik.
"Sikla. Sikmok eh pulang. Tidur sitok jak." Aku membalas usikan sambil tersengih.
"Juh pulang klinik."
-----
Klik. 4.30 petang.
Kad perakam waktuku disisipkan kembali di ruangan nombor 5. Jika bertugas di luar kawasan, kami memang pulang setengah jam awal, mengambil kira tiada waktu rehat tengah hari.
Eh. Hati aku terdetik. Bagus kalau aku pergi menonton Pengabdi Setan. Tapi kau sorang Jie, kau berani ke? Kau mana pernah menonton filem seram berseorangan dalam panggung. Kau pasti? Tak menyesal. Suara hati aku saling berperang. Antara niat hati teringin menonton, dan perasaan takut menonton berseorangan.
Jujurnya aku suka
Masih pada dirinya
Walaupun pernah berbeza
Langit dan udara

Nada dering telefon pintar ku berbunyi. Tertera nama Mujahid di skrin.
"Weh. Hang jadi tengok dak cerita Pengabdi Setan tu? Aku sarankan hang tengok harini jugak tau. Hari ni!"
"Aku memang ada kat City One ni. Tengah pikir lagi ni. Nak tengok ka dak."
"Hang tak yah kecut teloq sangat boleh dak? Pi beli ja tiket. Tak takut aih."
Geram juga aku dicabar begitu. Walaupun aku tahu itu cuma sekadar gurauan kasar kami -geng rakan karib berlima ketika di kampus.
"Ya la. Aku pi la. Aku ikut la kononnya saranan hang sangat tu."
Panggilan dimatikan. Aku menuju ke kaunter tiket wayang. Jam 7 malam tayangan akan bermula. Sementara menunggu, aku solat maghrib dan makan malam. Satu lagi perkara pelik dalam hidup aku, aku tak akan makan sambil menonton filem seram, gara-gara tercampak bekas bertih jagung akibat terkejut. Lucu? Tak lucu kalau korang tengok wayang di Kuching. Kadang-kadang kau sorang je tengok wayang tu. Bayangkan kalau movie seram? Fuh.
Saat ditunggu tiba, dewan 4, kerusi 17 F. Sengaja aku ambil kerusi di hujung sekali, sebab aku jenis suka bayangkan ada makhluk duduk di sebelah aku -jika kerusi tu kosong. Maksud aku kalau di hujung sekali, hanya ada satu kerusi kosong sebelah aku, rasa selamat sedikit.
Hanya ada 7 orang dalam panggung ketika itu. Sebaris aku, berada di bahagian tengah, sepasang lelaki dan wanita. Manakala dua lagi pasangan berada di barisan belakang. Lelaki tadi sebelum cerita bermula, menyilangkan kaki di atas kerusi hadapan.
Fuh, berani betul. -gumam aku. Cerita pun bermula. 20 minit pertama, ceritanya agak perlahan dan sedikit mendatar. Masuk minit ke 30, cerita bertukar rentak. Agak menarik dan mendebarkan. Kaki lelaki di sebelah aku pun mula turun dari tempat duduk di hadapan. Teman wanitanya masih tenang di sebelah.
Di kesunyian malam ini
Ku datang menghampiri
Dirimu yang telah berjanji
Sehidup dan semati

Lagu latar Kelam Malam nyanyian The Spouse ni paling mengujakan aku. Seram tetapi menenangkan halwa telinga. Babak Tony melemparkan cadar ke arah gambar ibu, babak yang paling aku suka. Bagi aku babak itu lain daripada yang lain. Dan, lelaki sebaris aku melompat dan memeluk teman wanitanya ketika babak ini. Selepas tu, dia terus mengiringkan badannya, menghadap teman wanitanya. Hehe, ingat berani sangat -aku tersengih lucu.
Babak demi babak. Adegan bersilih ganti. Sehingga klimaks cerita. Semua aku berpuas hati, kecuali adegan kejar mengejar pocong umpama Zombie membuatkan aku ketawa.
Eleh, pocong zombie ke apa. -suara hati aku bergetar.
Walaupun babak ni menyebabkan hiruk-pikuk suara perempuan dalam wayang ketika itu, aku tenang dan berasa sedikit lucu akan babak tersebut. Huh, spoil, macam zombie dalam Train to Busan.
Maka, cerita pun tamat. Aku melangkah keluar. Jam menunjukkan jam 9 malam. Aku pun tenang memandu melalui jalan Bako. Jalan itu agak sunyi dan sesekali sahaja kereta berselisih. Entah kenapa, tiba-tiba bulu roma aku meriding. Aku tak takut atau seram ketika itu. Yang aku tahu, bulu roma aku menegak dan terus menegak.
Aku perasan sesuatu. Ada dua buah kereta memberi lampu high beam kepadaku sebanyak tiga kali, tika berselisih dengan ku. Speedtrap?? Tak mungkin, jam dah pukul 9.30 malam-aku membebel sendirian.
"Jie.. Jie.."
Mata aku membulat. Suara perempuan tengah hari tadi muncul kembali.
"Jie.. Jie.."
Kereta viva aku pecut semahunya. Sekadar pecutan viva la, dalam 110/km sahaja, 120/km pun dah bergetar.
Telefon pintar aku capai, aku hubungi Mujahid.

"Weh. Aku dah tengok pengabdi setan kesayangan hang tu. Macam zombie puiii. Ada ka pocong lari macam zombie!" Suara aku tak putus-putus -sebenarnya sekadar mahu menghilangkan perasaan takut.
"Amboi. Kencang hang sembang no. Hang tak ingat ka belakang rumah hang tu kan, rumah tinggai? Ada gula-gula sat lagi baru hang tau.haha!"
Gulp!
Pahit air liur aku. Betul. Belakang rumah sewa aku memang ada sebuah rumah tinggal. Pada ketika itu, lampu viva aku betul-betul menyuluh ke arah dinding rumah tinggal tersebut.
Panggilan telefon Mujahid aku letak. Sasaran aku cuma mahu membuka mangga pintu pagar, dan masuk ke dalam rumah secepat mungkin. Pandangan mataku, ditundukkan ke lantai, agar tak terpandang dinding rumah tinggal.
Semuanya berjalan lancar sehinggalah, dahi aku terhantuk di sisi pintu kereta. Aduh. Dahi aku gosok, sambil sumpah seranah. Dan aku lupa, mata aku kini selari betul-betul dengan dinding rumah usang tadi. Ya. Aku terlihat sesuatu.
Allah. Lutut aku longlai. Pandangan mata aku tertancap di susuk tubuh berbungkus. Gula-gula. Atau pocong.
Dia membelakangkan aku. Aku tak kuat. Aku bukan jenis makin jumpa, makin kuat nak melawan atau jeling.

Aku lari masuk ke dalam rumah. Aku mandi dan menunaikan solat Isyak. Semasa memberi salam dan berdoa, aku terlihat telekung isteri ku di atas katil. Siapa yang dah menonton Pengabdi Setan mesti teringat akan babak telekung ini. Seram sejuk badanku.
Malam tu aku gatal. Sebelum tidur, langsir bilik tidur aku singkap dan intai. Ya. Aku ternampak cahaya kuning di dalam rumah tinggal tersebut. Aku tak tunggu lama. Tablet Agomelatine 25mg aku telan dan paksa diriku untuk tidur.
"Jie..Jie.."
Suara itu terus bermain dalam kotak fikiranku sehingga terlena. Atau memang nyata ada suara sedang menyeru aku?
Pengabdi Setan? Atau Suara Depresi aku sebenarnya?
Wallahu a'lam.
-TAMAT-
Suntingan Gambar: KamenRider
Editor, Arkib Angker Negara.

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

2 comments:

Anonymous said...


isy nyilu pulak baca part gigi di cabut.. teringat gigi kena cabut berkeriut je bunyi... karya senyuman perantau best sgt-sgt best..

Anonymous said...



adoi lah seram pulok gambor weh.. nice SP