Wednesday, 27 December 2017

MAGIS - Xander Xavier


MAGIS

=====================================
Magis adalah sesuatu yang luar biasa dan mengandungi keupayaan tersembunyi. Tersembunyi… Perkataan yang sesuai digunakan. Tidak semua orang tahu akan keupayaan itu dan tidak semua orang juga tahu menggunakannya dengan betul. Magis boleh menghibur. Magis juga mampu membinasakan. Magis… bukan sembarangan.
Seminggu sebelum persembahan…


Romy baru menghabiskan latihannya. Persembahan terakhir tadi adalah silap mata klasik yang lebih dikenali sebagai Zig Zag Girl. Dia duduk di anak tangga sambil mengelap peluh. Sudah sepuluh tahun dia bergelar ahli silap mata. Baru tahun ini namanya diangkat. Itu pun kerana dia menang pertandingan di peringkat Asia.

Dulu dia hanya layak untuk menerima jemputan persembahan di majlis-majlis hari jadi, tapi kini Romy ditawarkan bagi mempersembahkan silap matanya dalam jerayawara (road show) yang ditaja oleh jutawan kosmestik terkenal. Dia tersenyum mengenangkan peristiwa lalu.

“Romy… Jauh menung… Teringatkan I ke? Alah… Kita baru je habis latihan tadi,” Amber, gadis genit pembantu persembahan Romy.

Romy tidak gemar dengan tingkah lakunya yang agak sedikit… menggoda? Untuk hari ini sahaja sudah berapa juta kali dia memuji Romy. Daripada rambut panjang Romy yang diikat kemas sehingga ke badannya yang sasa. Romy jadi muak.


Amber terlalu muda untuknya. Romy berumur 40 tahun manakala Amber baru memasuki alam 20-an. Tidak dapat dinafikan memang Amber banyak membantunya ketika di atas pentas tapi sikap gadis itu membuatkannya menjadi jelak.

“Amber, you buat apa dekat sini lagi? Latihan dah habiskan? Pergi balik hotel lah. Tak habis-habis nak goda Romy,” Chong datang dan duduk di sebelah Romy.

Chong adalah sahabat baik yang juga pengurus Romy. Rajin, pintar dan kacak. Dialah penyelamat Romy setiap kali Amber datang untuk menggoda. Dia juga rimas dengan perangai Amber. Namun, mereka terpaksa menerima Amber kerana gadis itu mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia silap mata walaupun usianya masih sangat muda. Chong masih membebel dari tadi sambil memicit-micit badan Romy. Sudah bertahun dia tinggal serumah dengan Chong di Kuala Lumpur. Perangai lelaki itu persis mak-mak.

“Boys, ini Zig Zag Girl sudah boleh simpan. Bawa elok-elok. Ini barang banyak mahal tau,” Chong mengeluarkan arahan buat krew bahagian ‘props’.

“Diorang tahulah kerja diorang. You jangan suka-suka arah-arah orang, nanti orang tak suka,” Romy menegur sikap sahabatnya yang sedikit keterlaluan itu.

“Mestilah kena bagitahu nanti…,” belum sempat Chong menghabiskan ayatnya itu, kedengaran satu bunyi yang amat kuat dari arah belakang pentas.

“You see ?” Chong dan Romy berlari ke belakang pentas.

Masin benar mulut Chong. Kotak Zig Zag Girl terlepas daripada tangan dua krew tadi dan pecah. Romy mendekati kotak itu. Memang sudah tidak boleh digunakan. Kotak itu terkopak di bahagian tepi yang biasa menjadi tempat persembunyian pembantu persembahan. Teknik Romy boleh diketahui oleh penonton sekiranya kotak itu masih lagi digunakan. Chong pula masih membebel. Kadang-kala terkeluar bahasa Cina dalam amarahnya. Dua krew itu hanya menunduk dan berulang-kali meminta maaf.


“Chong, dah cukup. Jangan marah diorang lagi. Besok you dengan budak-budak ni pergi cari Zig Zag yang baru,” Romy memberikan arahan.

“Banyak mahal meh itu barang. Siapa mahu bayar?” Chong buat muka sedih.

“Takpe, I bayar. You pergi cari je. Malam ni I ‘bank-in’ duit,” Romy menepuk bahu Chong yang kekar itu.

Dia tidak suka memperbesarkan masalah yang kecil. Lagi pula melihat dua krew itu, membuatkan Romy teringat saat mudanya yang banyak dihabiskan di belakang pentas. Dia berlalu meninggalkan yang lain dalam keadaan bingung. Romy meneroboskan diri ke dalam kereta dan terus pulang ke hotel.

Keesokan harinya…
Chong memandu perlahan Honda HR-V yang baru dibeli beberapa bulan yang lalu. Untung sahaja dia menyuruh Romy sertai pertandingan itu, kalau tidak mungkin sampai ke hari ini sahabat baiknya itu masih di parti-parti hari jadi. Bila Romy kaya, dia pun kaya. Chong tersenyum senget.


“Uncle, kita nak cari dekat mana Zig Zag tu?” Soal Rafi ingin tahu. Dia dan Azizi yang berada di tempat duduk belakang hanya mendiamkan diri dari tadi.

“Carilah dekat kedai-kedai silap mata. Semua ni lu orang punya pasallah. Nanti I tunggu dalam kereta, lu orang yang pergi cari itu Zig Zag tau,” arah Chong.

“Okey, Uncle,” Azizi menjawab ringkas sambil menarik Rafi kembali menyandar.

“Kau jangan banyak tanya boleh tak ? Dahlah kau buat hal semalam. Kau yang lepaskan kotak tu kan sebab nampak tikus kan? Tak pasal-pasal kita kena berjalan pula hari ni,” Azizi membisikkan kata-kata amarah di telinga Rafi.

Rafi lebih muda dua tahun daripada Azizi. Dia 18 dan Azizi 20 tahun. Usai sahaja peperiksaan SPM dan STPM, mereka bersama-sama mencari pekerjaan dan diterima masuk untuk jerayawara ini. Azizi sebenarnya tidak gemar bekerja atau bersahabat dengan Rafi kerana dia sedikit ‘slow’ untuk usianya. Tapi mahu bagaimana lagi, rakan-rakan Azizi yang lain sudah membawa haluan masing-masing dan meninggalkannya sendirian.

“Hei, sudah sampai. You naik tingkat tiga, ada satu kedai silap mata. You tanya itu orang, ada jual Zig Zag kah. Nanti dia tahulah apa itu Zig Zag. Kalau ada, you call saya. Baru saya naik, kasi bayar punya,” Chong menyedarkan Azizi daripada lamunannya.

Mereka berada di sebuah pusat membeli-belah. Rafi sudah terlebih dahulu meninggalkan Azizi. Dia menunggu Azizi di depan lif. Azizi tahu ‘budak pengecut’ itu takkan berani pergi sendirian. Mereka naik ke tingkat tiga dan mencari kedai silap mata. Jumpa ! Tapi…

‘Under construction’

Mereka turun dan memberitahu Chong. Chong buat keputusan untuk pergi ke tempat lain. Sudah beberapa tempat mereka pergi namun, ada yang tutup dan ada juga yang sudah tidak beroperasi. Lagi pula jerayawara kali ini bertempat di Johor Bahru, jadi Chong tidak begitu pasti arah yang sepatutnya mereka tuju.

Chong mengeluarkan telefon pintar dan menaip sesuatu. Paparan yang terpancar seterusnya membuatkan lelaki Cina itu mampu menarik nafas lega. Terdapat satu kedai antik berdekatan mereka yang menjual Zig Zag. Mereka segera bertolak ke sana.

Azizi mengurut-urut kakinya. Lenguh berjalan. Mahu sahaja dia maki budak Rafi itu. Bila difikirkan semula, Rafi sentiasa ada bersama dengannya di saat susah ataupun senang. Dia teringat saat mereka mula-mula menyertai jerayawara ini. Azizi pernah hampir ditangkap saat mengintai Amber yang sedang menyalin pakaian. Nasib baik Rafi datang memberikan amaran bahawa krew lain sedang menuju ke arah mereka. Lembab-lembab Si Rafi, boleh pakai juga kadang-kadang.

Setelah sampai, Azizi dan Rafi turun daripada kenderaan dan segera melangkah ke arah kedai yang sememangnya berada di depan mata mereka. Papan tanda besar bertulis ‘Kedai Antik dan Mistik’ menyambut kehadiran mereka. Tiada penjaga kaunter. Suasana aneh mengitari mereka berdua. Barangan di situ semuanya pelik tetapi dijaga dengan sangat rapi. Bauan klasik menghidupkan lagi suasana di dalam kedai itu. Buku-buku lama juga disusun kemas. Azizi ralit membelek keris lama. Rafi memegang sebuah botol yang berisi ‘sesuatu’.

“Itu jenglot. Jangan dibuka,” seorang lelaki tua dengan janggut yang panjang mengambil botol tadi daripada tangan Rafi dan meletakkannya kembali. Dia tiba-tiba muncul. Tidak tahu dari mana. Lelaki tua tadi tersenyum memandang Rafi.

“Mahu apa orang muda ke sini? Jarang sekali anak-anak muda seperti kalian masuk ke kedai atok,” lelaki tua itu duduk di kerusi malasnya sambil menghidupkan paip berisi tembakau.
“Kami nak cari barang silap mata. Zig Zag. Atok ada jual ?” Azizi melangkah ke arah pak tua yang sedang mengeluarkan asap berkepul dari mulutnya itu.


“Zig Zag. Ada. Mari atok tunjukkan,” lelaki tua tadi menarik tangan Rafi. Azizi hanya mengekori dari belakang.

Mereka pergi ke sebuah bilik yang agak tersorok di bahagian belakang kedai. Atok memulas tombol pintu yang sudah berkarat. Hanya Zig Zag yang berada di dalam bilik itu. Pelik. Rafi ingin bertanya tapi ditegah oleh jelingan mata Azizi. Mereka masuk ke dalam bilik itu. Azizi memeriksa setiap sudut Zig Zag, dia takut kalau kotak ini mempunyai sebarang kerosakkan yang boleh membahayakan pembantu persembahan ketika berada di atas pentas.

“Wei, kau tunggu sini jap. Aku panggil Uncle Chong, nak bayar,” Azizi memberikan arahan. Rafi ditinggalkan dengan pak tua di dalam bilik tadi.

Sehari sebelum persembahan… 
Latihan hari ini hanya dihadiri oleh beberapa orang tertentu sahaja kerana segala persiapan telah disiapkan kelmarin. Hanya Romy, Chong, Rafi, Azizi dan 2 orang krew lain sahaja yang berada di dalam dewan itu.


Zig Zag baru diangkat naik ke atas pentas. Romy mendaki tangga yang sedikit tinggi itu dan berjalan menuju ke Zig Zag. Tangannya diletakkan di atas Zig Zag. Matanya tajam memeriksa setiap sudut kotak itu. Tiada yang pelik, semuanya sempurna tetapi… Terdapat satu tulisan aneh di setiap penjuru kotak. Bukan huruf rumi, jauh sekali jawi. Sanskrit mungkin… Romy tidak ambil pusing. Dia bersiap sedia dengan skrip dan gerakan yang harus dia persembahkan.

Amber naik ke atas pentas. Dia melarikan tangannya di atas badan Romy sebelum masuk ke dalam Zig Zag. Perkara yang menjadikan Romy terkenal adalah dia banyak menggunakan peralatan berbahaya di dalam persembahannya.

Amber dikunci di dalam kotak. Muka, tangan dan kaki di keluarkan mengikut lubang khas. Amber seharusnya bergerak ke tepi bagi mengelakkan badannya terkena sebarang alatan tajam. Tapi tidak kali ini… Dia menjadi kaku! Ada sesuatu yang menghalangnya daripada bergerak ke tepi!

Romy mengangkat dan menghidupkan gergaji rantai. Bunyi bingit memenuhi ruangan dewan itu. Amber kaku tidak bergerak. Dia panik. Apa yang berlaku? Kenapa dia tidak boleh bergerak? Kenapa dia tidak boleh bersuara? Kenapa mukanya tersenyum dengan sendiri? Amber takut. Bunyi gergaji rantai yang dibawa Romy semakin menghampiri. Dia menangis, tetapi air matanya tidak jatuh. Apa yang berlaku ?

WRENG ! WRENG !

Romy yakin bahawa masa yang diberikan telah cukup untuk Amber bergerak ke bahagian tepi kotak yang dikhaskan untuknya. Reaksi wajah Amber juga tersenyum seperti biasa. Dia melangkah perlahan ke arah Zig Zag dan memotong kotak itu mengikut belahan yang sudah sedia ada. Namun, ada sesuatu yang lain kali ini. Gergaji rantai Romy terasa berat seperti… Dia sedang memotong seseorang!

Romy memandang ke bawah Zig Zag. Darah mengalir perlahan keluar daripada kotak itu. Romy segera menarik keluar gergaji rantainya dan memanggil krew yang lain naik ke atas pentas. Chong turut berlari mendapatkan Romy. Azizi membantu Romy membuka kotak Zig Zag dan apabila pintu ditarik, mayat Amber yang sudah terbelah dua itu jatuh ke lantai.

“Argh!!!” mereka menjerit serentak. Chong terduduk.

Romy tergamam. Apa yang telah dia lakukan? Romy berlari pulang ke hotel. Mereka yang lain terdiam. Mereka juga takut. Chong kembali berdiri. Dia mengumpulkan krew yang lain. Dia mula bersuara.


“Kita kena rahsiakan benda ni. Kalau lu orang ada yang muka mulut, kita semua hilang ini job. Romy tengah terkenal. Kita tak boleh biarkan dia jatuh,” Chong cuba meyakinkan krew yang lain.
Salah seorang daripada mereka tidak bersetuju. Chong menjanjikan wang untuk krew itu menutup mulutnya.


Mereka semua akhirnya bersetuju untuk merahsikan perkara ini termasuk Azizi dan Rafi. Langkah seterusnya adalah menghapuskan bukti. Azizi dan Rafi diarahkan untuk menghapuskan mayat Amber manakala dua krew lain harus memadamkan rakaman cctv dan melakukan kesepakatan dengan pengawal keselamatan. Chong akan membersihkan kesan darah daripada pentas dan kotak Zig Zag. Kesepakatan dicapai. Misi harus diselesaikan.

Azizi dan Rafi binggung. Mereka tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan. Mayat Amber telah dimasukkan ke dalam guni. Mereka ketakutan. Rafi menggigil teruk. Azizi menarik-narik rambutnya. Dia tidak sangka Amber akan mati di atas pentas.

“Rafi kita nak buat apa ni? Tanam? Tenggelamkan dalam laut? Wei, aku serba salah. Apa yang kita buat ni?” Azizi mencangkung di sebelah guni berisi ‘Amber’.

“Aku… Rasa… Kita… Bakar…,” Rafi masih menggeletar.

Azizi memandang Rafi tepat ke arah matanya. Mereka sama-sama memasukkan guni tadi ke dalam kotak kayu dan pergi ke satu tempat terpencil dengan menaiki kereta Chong. Lelaki itu membenarkan mereka menggunakan keretanya. Mereka bersetuju untuk mengutip abu Amber dan menghanyutkannya ke lautan berdekatan. Setelah selesai tugasan itu, mereka kembali dan memberitahu Chong. Krew yang lain juga sudah kembali dengan rakaman cctv di tangan mereka. Chong menelefon Romy.

Chong: Hello, Romy.

Romy: Kenapa ? Aku tak nak… Aku tak nak… Aku tak nak buat ‘show’ besok.

Chong: You dengar sini ! You dengar ! Kami dah ‘settle’ dekat sini. You kena datang besok. I akan ‘call’ pengganti Amber. Kau tak boleh buat aku macam ni. Kau kena dengar cakap aku!
Romy: Aku takut…


Chong: Tak ada orang yang akan tahu. You datang sini besok.

Romy: Ok…


Hari persembahan…
Dewan mula dipenuhi dengan pengunjung. Azizi dan Rafi sibuk dengan peralatan yang akan digunakan sebentar nanti manakala Chong dari tadi keluar masuk tandas. Perutnya memulas. Romy sedang ganti pakaian. Dia asyik terkenangkan Amber. Dia rasa sangat bersalah.


Tadi malam, Romy langsung tidak dapat melelapkan mata. Setiap kali dia terlelap Amber datang dalam mimpinya. Amber datang memberi amaran. Dalam mimpi Romy, Amber seolah-olah melarang Romy masuk ke dalam kotak Zig Zag. Tapi… Dia sudah terlanjur berjanji dengan Chong. Dia harus tetap melakukan persembahan.

Lampu di atas pentas digelapkan. Perlahan-lahan Romy naik ke pentas. Keadaan kembali terang-benderang. Tepukan yang gemuruh diberikan buat Romy. Gemuruh… Segemuruh jiwanya kini. Satu per satu silap mata dipersembahkan. Penonton menjadi kagum. Kagum…

Andai sahaja mereka tahu tangan pantas ini telah membunuh satu nyawa tidak bersalah, pasti tiada lagi kagum itu. Romy menjadi kegilaan ramai wanita. Gila… Dia juga tidak tahu tahap kewarasannya kini. Sanggup melakukan persembahan di atas pentas dia melaksanakan pembunuhan.

Kini tiba masa untuk persembahan terakhirnya. Zig Zag Girl… Persembahan yang boleh meragut nyawa. Kotak maut itu dibawa naik ke atas pentas oleh Rafi dan Azizi. Mereka meletakkannya di tengah-tengah. Romy mengitari kotak itu beberapa kali.

“Now, I will bring my lovely assistant. Amber…,” nama Amber masih digunakan bagi mengaburi mata penonton.

Namun alangkah terkejutnya Romy apabila yang naik ke pentas itu rupanya mirip benar dengan Amber. Dia kaget tapi, reaksinya harus di kawal bagi mengekalkan profesionalisme. Dia memimpin tangan Amber masuk ke dalam kotak Zig Zag dan menguncinya daripada luar. Gadis itu tersenyum seperti biasa. Pakaiannya juga sama.

Romy rasa tidak sedap hati namun, persembahan harus diteruskan. 

Dia mengangkat gergaji rantainya dan bergerak ke arah Amber perlahan-lahan. Dia menghidupkan mesin itu dan mula memotong. Romy melihat ke bawah kotak Zig Zag. Tiada darah. Dia menarik nafas lega. Kotak itu dipisahkan satu persatu. Wajah, tangan dan kaki Amber masih bergerak seperti biasa. Dia lega.


Helahnya berjaya kali ini. Semua penonton memberikan tepukan untuk Romy. Dia menolak kembali kotak itu seperti asal dan membuka kunci tadi. Amber keluar dengan senyuman manis. Dia mengambil mikrofon yang sebenarnya dikhaskan untuk Romy dan bersuara.

“Do you want to see our magician in that box?” Amber bertanya kepada penonton.

“Yeah!!!” semua menjerit nyaring.

Amber meletakkan mikrofon dan melangkah ke arah Romy dengan senyuman yang sinis. Romy terundur beberapa langkah. Amber menarik baju Romy dan memasukkannya ke dalam kotak Zig Zag. Pintu segera di kunci. Romy cuba menendang pintu itu tetapi semua pergerakannya menjadi kaku.

Dia tidak dapat mengawal badannya lagi. Kepala, tangan dan kaki Romy masuk ke lubang yang disediakan dengan sendirinya. Dia panik ! Semua anggota badan kini bukan miliknya lagi. Romy cuba menjerit tapi suaranya tersangkut di kerongkong. Tiba-tiba dia terdengar sesuatu melalui ‘earpiece’ yang memang sentiasa terpasang.

“Romy, keluar daripada situ! Pengganti Amber baru bagitahu aku kereta dia rosak dekat tengah jalan. Itu bukan pengganti kita!” Suara Chong jelas kedengaran.

Sudah terlambat, Chong. Romy sudah pasrah. Dia gagal bergerak. Dia mendengar bunyi gergaji rantai semakin hampir. Dia takkan sempat bergerak ke tepi. Amber mula memotong! Romy memejamkan matanya.

WRENG !

Para penonton terdiam melihat tangan Romy yang mulanya bergerak laju, namun tidak lama kemudian berhenti bergerak. Seorang penonton mendekati pentas. Dia melihat darah pekat perlahan mengalir keluar daripada kotak Zig Zag. Dia terjatuh dan mengesot ke belakang sambil menjerit.

“Darah!!!!”

Suasana menjadi kecoh. Ada penonton yang mula berlari keluar. Ada juga yang mendekati pentas. Chong berlari membuka kotak itu. Azizi dan krew yang lain segera mengawal keadaan. Mereka melarang penonton mendekati pentas. Amber… Hilang entah ke mana.

Di dalam keriuhan itu, Rafi bersembunyi dibalik tirai. Dia tersenyum melihat pemandangan di depan matanya. Dia ketawa kecil. Sudah lama dia ingin melakukan perkara ini. Amber, gadis genit yang menggoda dan menyusahkan semua orang. Romy, ahli silap mata yang baik hati tapi… Sekejap, apa salah Romy? Tak ada salah. Rafi sengaja mahu membunuh Romy kerana dia terlalu baik. Orang baik seperti Romy tidak sepatutnya berada di samping makhluk kejam seperti Chong dan Azizi.

“Lepas ni Azizi,” Rafi membisikkan sesuatu kepada ‘sesuatu’. ‘Sesuatu’ itu adalah Amber atau lebih tepat lagi ‘Hantu Amber’.

Di Kedai Antik dan Mistik. Sehari selepas Zig Zag Romy pecah…


“Wei, kau tunggu sini jap. Aku panggil Uncle Chong, nak bayar,” Azizi memberikan arahan. Rafi ditinggalkan dengan pak tua di dalam bilik. 

Rafi berjalan mendekati kotak Zig Zag dan menyentuhnya perlahan. Di setiap penjuru kotak itu terdapat sepotong tulisan Sanskrit.


“Atok apa ni ?” Rafi bertanya.

“Ini tulisan untuk memanggil ‘sesuatu’ yang pernah terbunuh di dalam kotak ini. ‘Sesuatu’ itu akan ikut arahan orang yang memanggilnya. Tapi apabila sudah sekali digunakan, kotak ini akan meminta tumbal lagi,” pak tua itu memberikan penjelasan kepada Rafi.

“Kenapa atok jual kalau tahu benda ni bahaya ?” Perasaan ingin tahu Rafi semakin membuak-buak.

Tiba-tiba pak tua itu melutut dan menangis semahu-mahunya. Rafi mendekati atok itu dan memegang bahunya. Pak tua itu memeluk Rafi erat. Rafi membalas pelukannya walaupun terasa sedikit aneh.
“Atok dah tak sanggup mahu menjaganya lagi. Sudah banyak orang yang atok bunuh. Atok dah tua, nak…,” pak tua itu merintih di dalam dakapan Rafi.


“Mahukah kau mengambilnya ?” Atok itu bertanya dalam esak tangis.
Rafi tersenyum lebar…


-TAMAT-
P/S : Kisah ini adalah fiksyen semata-mata. Janganlah kita terpedaya dengan tipu-muslihat syaitan dan keduniaan. Janganlah kita mengkianati kepercayaan sahabat kita. Ambil yang jernih dan buang keruh daripada cerita ini. Sekian…-XX
======================
Suntingan: Kamenrider
Gambar: Xander Xavier

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: