Showing posts with label Ibnu Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Ibnu Ahmad. Show all posts

Sunday, 8 April 2018

JIRANKU SI NENEK BONGKOK - Ibnu Ahmad


JIRANKU SI NENEK BONGKOK.
Nukilan: Fudlullah Ahmad @Ibnu Ahmad.
=======================================

Pada tahun 1985, aku tinggal di sebuah kampung di pinggir Bandar Melaka iaitu di Kampung Solok Musai. Ketika itu Negeri Melaka masih belum diishtihar sebagai bandaraya dan sekitar kediaman aku ini adalah sawah padi.

Maka ramailah kanak-kanak sebaya aku akan bermain-main di hadapan rumah paling tidak pun akan ke rumah abang Amin di pinggir sawah. Seronok sambil bermain boleh melihat abang-abang kampung pergi menangkap ikan haruan dan ikan betuk di sawah.

Permainan kami pula hanya bermain kejar-kejar dan adakala bermain ting-ting. Umur 5 tahun biasalah begitulah permainan seadanya. Aku dan abang tidak ketinggalan bermain di hadapan rumah, ada sahaja permainan yang kami mainkan.

Ada juga yang kami reka sendiri seperti membuat istana pasir di bawah rumah, dan bermain perang- perang yang senjatanya kami buat daripada batang pen. Kulit buah duku dijadikan sebagai peluru. Nostalgia sungguh. Heh!

Dalam keriangan kami bermain, setiap petang itulah jiran kami iaitu seorang nenek bongkok akan memanggil kami untuk membantunya. Umurnya dalam lingkungan 90-an ketika itu. Memakai kain tanjak di kepala, berbaju kurung kedah lusuh dan berkain batik. Itulah pakaian hari-harinya.

Aku menggelarnya sebagai nenek bongkok sebab nenek ini sudah bongkok tiga. Aku kagum juga sebab dalam usianya begitu dia masih boleh berjalan walaupun dengan bantuan tongkat. Juga masih kuat dan rajin membersihkan kawasan rumah dengan penyapu lidi. Sesekali aku dipanggilnya untuk mengangkat serta mengalihkan pasu di hadapan rumah.

Untuk pengetahuan, nenek ini tinggal di rumah melayu tradisi Melaka. Rumah Melaka kau tahu-tahu sajalah ada anjung, rumah atas dan rumah bahagian bawah. Di bahagian anjungnya ada tangga yang dibuat daripada batu. Cantik. Walaubagaimanapun nenek ini hanya tidur dibahagian bawah. Manakala dibahagian atas dibiarkan begitu sahaja.

Seminggu sekali nenek bongkok akan minta pertolongan aku membuat sesuatu di rumahnya. Entah kenapa diusia itu, langsung tiada perasaan takut atau seram. Upah biskut dan RM2.00 sangat besar ketika itu.

Awal tahun 90-an kawasan kampung ini memang seram. Banyak pokok-pokok besar di kiri kanan jalan. Tidak hairanlah ketika itu selepas pukul 7 malam tiada lagi kelihatan orang keluar dari rumah terutama kanak-kanak.

Nenek akan minta aku membantunya menyiapkan makanan yang diletakkan di tempat khas. Makanan itu akan diletakkan di dalam daun pisang yang dihias cantik. Lupa pula makanan apa yang diletak. Yang pasti nasi adalah bahan utama di dalamnya. Selepas siap dihias dan dipastikan cukup diisi makanan. Aku akan pergi ke bahagian anjung rumah dan akan memanjat ke bumbung.

Disuatu ruang khas di atas bumbung rumah, aku akan mengambil bekas yang lama dan akan mengantikan dengan yang baru. Bekas lama akan dibersihkan dan disimpan sementara menunggu bekas baru itu ditukar pada minggu seterusnya.

Usai urusan selesai, aku akan dibayar RM2.00 bagi setiap pekerjaan yang aku lakukan. Ada ketikanya abang aku yang akan membuat kerja-kerja ini bila aku tiada ketika diperlukan.

Kerja-kerja ini aku lakukan di waktu siang. Tidaklah berani jika disuruh buat pada waktu malam. Impak perbuatan aku itu, di kala malam kami adik beradik akan mendengar orang bercakap di waktu malam. Kedengaran tapak kaki mundar-mandir di anjung rumah nenek bongkok.

Pukul 1 pagi siapalah yang rajin berjalan kesana-sini. Tiadalah saudara mara yang meramaikan rumah nenek bongkok ini melainkan anaknya yang membuka kedai runcit di hujung kampung. Itupun di waktu pagi bila anaknya datang menghantar sarapan dan makanan tengahari.

Kami 7 beradik ketika itu akan tidur berpelukan kerana ketakutan. Selain mendengar tapak kaki, kami juga mendengar suara orang bercakap dalam bahasa asing yang susah kami fahamkan. Ada ketikanya macam bahasa orang asli. Yang pastinya, nenek bongkok itu tidak akan naik ke anjung rumah, kerana tempat tidurnya berada di bawah.

Pada suatu hari nenek bongkok telah datang kerumah aku. Menanyakan di mana ayah aku berada. Aku memanggil abah yang ketika itu baru selesai mengerjakan solat Asar. Nenek dipelawa naik ke dalam rumah. Emak pula dengan cepat membancuh kopi .

Beruntungnya ketika itu kuih onde-onde buah Melaka baru siap di masak. Bolehlah makan bersama nenek bongkok. Emak pula menyambung kerja di dapur setelah meletakkan hidangan di hadapan kami.

Abah mula bersuara. “Jemputlah minum nek, air kopi je ni.”

“Iya terima kasih ler, minum bolehlah makan payah sikit gigi pun dah takde.” Nenek bongkok bercakap dengan suara terketar-ketar, sesuailah dengan usianya ketika itu.

“Ha, nek jarang datang ke rumah, mesti ada benda ini.”

“Memang ada perkara aku nak cakap kat kau, Mat. Aku dah lama perhatikan kau ni. Rasanya kau je yang sesuai.”

Ketika ini aku mula merapatkan badan hampir dengan badan abah.

“Alah cerita jelah, Nenek ni lain macam pulak.”

“Sementara bini kau takde ni, aku nak wariskan ilmu aku pada kau. Aku dah tua dah tak larat.” Nenek mula mendekatkan diri dan bercakap secara berbisik.

Tiba-tiba nenek membacakan sesuatu. Tangan dia terketar-ketar. Mata tertutup manakala badannya pula berpusing-pusing. Bila matanya terbuka, nampak nenek mula menegakkan badan.

Sedangkan nenek ini berjalan pun membongkok sahaja. Air mukanya nampak berubah sedikit jernih. Nyata nenek bongkok yang kami kenal sudah berubah.

“Apa khabar? Datang dari mana ni, nek?” Abah aku memulakan perbualan.

“Aku bukan nenek, aku puteri. Kenapa aku dipanggil?”

“Oh Puteri, puteri mana ya? Nenek bongkok yang panggil rasanya.”

“Aku puteri laut dalam. Yang empunya kerajaan laut dan sungai-sungai. Nama aku Puteri…” Aku tidak berani meletakkan namanya di sini.

“Ohhh, orang laut lah ni ya. Kenapa datang ke darat?”

“Bukankah aku sudah bilang, aku dipanggil tadi, aku tidak boleh lama-lama. Nanti raja cari. Mari sini aku hadiahkan kamu ilmu pengasih dan kuat badan.”

Abah minta aku dengar dan ingat. Kakak pula yang berada di depan diminta untuk menulis mentera itu. Bacaannya pendek, menggunakan bahasa melayu aras tinggi seperti puisi.

Dulu aku ingat. Tapi memandangkan sudah lama, ingatan itu hilang begitu sahaja. Kemudian puteri tadi mengucap selamat tinggal dan badan nenek kembali bongkok. Nenek sudah kembali kepada asal.

Nenek bongkok memujuk semula abah untuk mewarisi ilmu dia. Abah menolak dengan baik. Abah tersenyum dan berkata dengan lembut pada nenek agar mencari orang lain atau cucu-cucunya.

Nenek nampak kecewa dan minta diri untuk pulang. Masa dia melangkah pulang, dia sempat merenung tajam ke arah aku. Kemudian menguntumkan senyuman yang menakutkan. Fuh!

Abah tahu aku hairan dan terpinga-pinga. Abah memanggil kami adik beradik. Diterangnya satu persatu agar kami faham dan jelas. Nenek tadi telah ‘menurun’ dan bertukar watak kepada Tuan Puteri. Ilmu yang diamalkannya dinamakan ilmu ‘orang laut’.

Manakala makanan yang aku letak itu dipanggil ‘ancak’. Bezanya ancak ini diletak di atas rumah, ada juga yang dilalukan di air lalu biasanya di sungai-sungai ataupun laut. Pengamal biasanya panjang umur dan dikurniakan badan yang sihat walaupun telah tua.

Ilmu ini biasanya diamalkan oleh para nelayan dulu kala kerana katanya boleh mendapat rezeki ikan yang lebih, selain mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini di lautan.

Tidak dapat dipastikan kenapa nenek tadi ingin mewariskan ilmunya. Mungkin ada perjanjian sebelumnya bahawa ilmu ini tidak boleh dibuang melainkan diturunkan daripada seorang waris ke waris yang lain.

Ketika aku berumur 10 tahun, kami sekeluarga telah berpindah ke rumah lain. Difahamkan nenek bongkok telah meninggal dunia dikala usianya menjangkau ke-100 lebih. 2 tahun sudah pada tahun 2016 aku balik semula ke rumah lama aku. Saja mahu mengimbau kembali kenangan masa kecil.

Rumah aku tidak berpenghuni dan dengar-dengar bertahun tidak ada yang tinggal. Dari jauh aku nampak rumah nenek bongkok masih ada. Juga tidak berpenghuni. Akar pokok sudah mula melilit sampai ke atas. Usang dan suasana begitu menyeramkan. Tingkap rumah telah senget menunggu masa untuk jatuh ke bawah.

Semasa pulang aku membetulkan cermin motor kanan. Kelihatan samar–samar di dalam cermin itu seperti seorang tua sedang memerhati. Sebiji seperti nenek bongkok. Aku tidak sedar yang aku telah memecut laju motor dalam kelajuan 90km sejam di kawasan kampung. Nasib baik tidak langgar pokok.

-Tamat-
==================================
Suntingan & Gambar: Dikmang
Karya adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Thursday, 12 October 2017

ILMU PENUNDUK SUAMI - Ibnu Ahmad


ILMU PENUNDUK SUAMI
Karya : Ibnu Ahmad

Petang itu, aku menerima teks daripada Tok Ali. Dia menyatakan ada satu kes meroyan di Seremban. Macam biasa, bila ada kes-kes melibatkan gangguan ini, Tok Ali akan mengajak aku bersama. Menjadi pembantunya.
Tok Ali ini berumur 60-an. Seorang yang sederhana. Tidak nampak sisi diri sebagai seorang perawat. Sekali pandang, tiada apa yang istimewa padanya. Gemar memakai baju Melayu hitam dan berseluar jeans apabila merawat. Pelikkan.
Kadang-kadang keluarga pesakit menyangka akulah perawatnya. Mungkin melihat cara aku berpakaian seperti seorang ustaz dan berjanggut. Bila dimaklumkan Tok Ali yang akan merawat, meraka akan tersipu-sipu malu kerana salah meneka. Huh!
Malam itu, kami menaiki motorsikal ke kediaman pesakit. Tok Ali memaklumkan sudah 3 kali suami pesakit ini merayu untuk mengubati isterinya. Dan 3 kali itulah ada sahaja halangan.Tetapi tidak pada kali ini. Janji mesti ditunaikan.
Sesampainya di sana, suami pesakit menjemput kami masuk ke dalam rumah. Rumah teres 2 tingkat ini bersih dan cantik. Perabot tersusun baik dan penuh dengan barangan hiasan. Pandai isterinya mengemas rumah kataku di dalam hati.
Suami pesakit seorang yang peramah. Mesra orangnya. Bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Hebat. Di sisinya ada 2 orang anak kecil berumur 4 dan 6 tahun sedang leka bermain. Aku pula hanya memerhati gelagat mereka sambil mendengar Tok Ali melayan borak.
Tiba- tiba aku rasa pedih di belakang tengkuk.Tangan aku terasa kesejukan. Kenapa ni ya? Dingin. Walaupun kipas hanya berpusing perlahan. Meremang bulu romaku.
"Abaikan jelah!" Kataku di dalam hati.
Tidak lama kemudian. Pesakit datang membawa dulang minuman. Kami dipelawa minum air kopi panas yang kuat aromanya.
Pesakit ini umurnya dalam lingkungan awal 30-an. Kulitnya putih persis orang Cina. Dan sedang-sedang sahaja saiz badannya. Memakai tudung, nampak ayu dan sopan.
Dia terus duduk bersimpuh di sisi suaminya. Matanya menjeling tajam ke arah aku. Aku tidak senang duduk. Dia senyum pula bila memandang Tok Ali. Hairan aku.
"Apa sebenarnya masalah isteri tuan ni?” Tanya Tok Ali. Cawan kopi diletakkan perlahan di atas meja. Berselera aku tengok cara Tok Ali minum.
"Begini. Saya sudah puas bawa isteri saya berubat. Dengar saja orang yang pandai saya akan pergi. Peliknya penyakit isteri saya masih begitu juga." Suaminya menghentikan perbualan dan menyuruh anak-anak yang leka bermain tadi masuk tidur. Saya lihat jam dinding sudah menunjukkan hampir pukul 10 malam.
Dia menyambung lagi, "Isteri saya ni Tok, bila-bila masa dia akan dirasuk gangguan. Tambah parah lepas lahirkan anak kami yang nombor 3 ini." Sambil menunjukkan bayi yang sedang tidur di dalam buaian.
Tok Ali khusyuk mendengar.
"Gangguan yang macamana tu? Cuba cerita sedikit."
"Isteri saya boleh kerasukan pada bila-bila masa saja. Biasanya dia akan lupa siapa dirinya. Kadang-kadang jadi nenek tua. Ada kala perilaku dia nampak seperti seekor harimau yang mendengus dan mencakar-cakar lantai. Ngeri!!"
Aku nampak suaminya menggengam erat tangan isteri. Romantik pula aku perhatikan mereka ni. Nasib baik aku sudah kahwin. Bermonolog aku malam-malam ni. Heh!
Tangan Tok Ali dicuit. Dengan muka penuh cemas. Suaminya berkata sambil memandang kanan dan kiri. Perlahan saja suaranya. "Saya pula Tok, selalu nampak kelibat wanita berbaju putih di dalam rumah ini. Rambutnya ikal, panjang dan berwarna hitam. Selalu kelihatan bila malam. Takut saya dibuatnya. Oleh kerana selalu nampak, saya dah jadi biasa. Tidaklah dia mengacau. Hanya suka menjelma begitu. Masalahnya apa saja ayat yang saya baca tidak memberi kesan!"
Aku perhatikan isterinya hanya mendiamkan diri. Membiarkan suami menjelaskan segalanya.
Lamunan aku terhenti bila Tok Ali mula bersuara tegas. "Baiklah mari kita mulakan. Cara saya lain sikit iya. Saya akan gunakan teknik terapi jiwa. Soul healing. Teknik ini dengan izin Allah boleh merungkai apa masalah sebenar yang dihadapi pesakit."
Bersemangat aku tengok Tok Ali memberi penjelasan.
Tok Ali meminta pesakit melunjurkan kaki. Ditutupnya pesakit tadi dengan kain di bahagian kaki. Pesakit diarahkan tenang dan perlu mendengar sahaja arahan.
Sebagai pembantu, Tok Ali meminta aku mulakan dengan membaca rukyah bermula dengan ayatul Kursi. Dan beberapa lagi set ayat rukyah di sebelah bahagian belakang pesakit.
Sebenarnya aku bukan pandai sangat. Ada kitab kecil ditangan. Bolehlah. Tinggal baca saja. Itupun kena paksa. Kalau ikutkan hati, aku suka menjadi penonton saja.
Wanita tadi tenang sahaja. Tiada sebarang tindak balas. Lepas habis bacaan rukyah. Aku laungkan azan di telinga kiri. Kemudian mengambil sejadah dan mengibas belakang wanita itu seraya berkata.
"Keluarlah kau wahai musuh Allah!"
Setakat itu sajalah yang aku tahu. Itupun jenuh Tok Ali ajar. Dan aku bukannya berani sangat. Jujur.
"Grrr...Grrr…Arghhhhh!!"
Ketika itu pesakit memalingkan kepalanya ke arah aku dan menjerit-jerit. Suaranya bertukar menjadi garau .Kelakuannya seperti harimau yang mahu menerkam mangsa.
"Pergi kau dari sini...pergi! Kau tak layak mengubat aku!"
Aku terkejut. Tanpa sedar aku sudah melompat dan berada di belakang Tok Ali. Berdebar jantung aku disergah begitu. Kalau selalu disergah begini mahu tercabut jantung aku. Huh!
"Betullah memang aku tak layak. Aku kan bantu saja." Jawabku dalam hati. Marah.
Tok Ali meminta suami menyedarkan isterinya. Dia tidak suka berdialog dengan makhluk yang menganggu pesakit. Cukuplah sekadar dia tahu bahawa pesakit memang benar-benar terkena gangguan.
Wanita tadi tersedar daripada rasukan selepas suaminya memujuk perlahan-lahan. Syukur. Keadaan kembali tenang. Tok Ali terus menghadap wanita tadi. Kemudian meminta wanita tadi meletakkan tangan ke dada kiri. Dia ikut saja tanpa membantah.
"Dengar arahan Tok ye. Tutup mata dan bayangkan apa yang tok cakap boleh?" Tok Ali memulakan sesi yang dipanggil terapi jiwa.
"Tenang dan dengar arahan Tok. Bayangkan wajah ibu dan ayah kamu. Maafkan mereka. Bayangkan mereka juga memaafkan kamu. Jika kamu sudah selesai cuba angkat jari kamu ya."
Ketika ini aku nampak wanita tadi sudah berjurai air matanya. Teresak-esak dia menangis. Hiba.
"Tenang ya. Jika kamu sudah tenang Tok nak teruskan lagi. Sekarang cuba bayangkan wajah suami kamu. Maafkan semua kesalahan dia."
Belum sempat Tok Ali menghabiskan ayat, wanita tadi meraung-raung dan melekap di kaki suaminya. Makin pelik pula aku tengok.
"Maafkan saya bang.... wuwuwuwuwu. Maafkan saya bang, saya bersalah bang... Ampun bang…wuwuwuwuwu."
"Awak tiada salah apa-apa pun. Kenapa ni? Sabar ye." Suaminya kelihatan pelik melihat gelagat isterinya.
"Bang maafkan saya...Selama ini saya simpan rahsia ni. Saya tak tahan dah. Sebenarnya...sebenarnya..."
Wanita itu semakin kuat dia meraung.
"Sebenarnya apa?” Suaminya mula tidak keruan.
Tok Ali aku nampak menghalakan tapak tangannya ke arah pesakit .Mulutnya berkumat kamit membaca sesuatu.
"Sebenarnya saya sudah tipu abang. Saya sudah guna-gunakan abang. Saya amalkan ilmu ‘tepuk bantal’. Semuanya supaya abang cintakan saya dan jadikan saya sebagai isteri. Saya belajar ilmu ini sebelum kita kahwin lagi."
"Allahuakbar...apa yang awak dah buat ni?" Suaminya berkata sambil menggelengkan kepala. Serius wajahnya.
"Maafkan saya bang. Saya tak tahan dah. Hati saya tidak tenang. Berkecamuk hati ni. Lepas ni abang nak buat apapun saya redha. Janji hati saya tenang." Wanita itu memeluk kaki suaminya dan menangis.
"Hmmm… Tak apalah abang maafkan awak. Lupakan saja ya. Abang tidak kisah pun." Pujuk suaminya penuh kasih sayang. Mungkin terharu dengan pengakuan ikhlas isterinya.
"Selama ini saya memendam rasa bersalah yang amat sangat. Tapi saya takut abang akan tinggalkan saya jika bagitau hal yang sebenar. Kita dah kahwin selama 6 tahun bang." Mereka berpeluk sambil menangis. Aku buat -buat tak nampak masa itu. Berdrama pula. Sebiji macam cerita drama Melayu petang-petang.
"Macamana ni Tok? Saya perlu buat apa?" Dalam keadaan berjuraian air mata suaminya bertanyakan soalan.
"Maafkan sajalah. Dia sudah tersiksa batinnya terlalu lama. Nanti Tok buang ilmu yang diamalkan itu. Kau pun sayangkan bini dan anak-anak kau kan?" tanya Tok Ali.
Tok Ali memanggil semula wanita tadi dan memulakan semula sesi rukyah. Syukur tiada tindak balas yang menakutkan berlaku lagi. 3 kali Tok Ali scan. Nyata gangguan tadi sudah tiada. Akhir sekali lafaz pemutus saka dan ikatan dibuat.
Tok Ali bekalkan air penawar untuk mandi dan minum. Kemudian Tok Ali mengajar mereka suami isteri zikir bagi mendapat kekuatan dalaman.
Mereka diajar berzikir setiap masa di dalam hati. Ingat Allah agar qalbu sentiasa hidup. Hati mereka tidak mati dari mengingati Allah. Hati yang kosong mudah bagi gangguan datang menghuni dan mengambil kesempatan.
Ditambah lagi jika mengamalkan ilmu yang bukan-bukan. Dikhuatiri ilmu tersebut boleh mendatangkan jin dan seterusnya menjadi saka keturunan. Disangkakan ilmu tersebut memberi kebaikan akhirnya menjadi parah dikemudian hari. Wallahualam.
Aku nampak mereka gembira. Tertera jelas diraut wajah mereka suami isteri. Selepas nasihat, air doa dan rawatan selesai. Kami meminta diri untuk pulang. Kami pulang dengan motor masing-masing.
Selalunya proses rawatan memakan masa yang lama. Tapi kali ini tak sangka selesai secepat ini.
Sebelum pulang kami singgah dulu mengeteh di kedai mamak. Macam biasa.
"Tok, ilmu apa yang dia pakai tadi tu?" Tanya aku selepas memesan 2 gelas Nescafe tarik.
"Ohh… itu ilmu penunduk naga. Bagi orang mendengar kata. Boleh juga dibuat ke atas suami atau isteri. Ada juga orang panggil ilmu ‘tepuk bantal’. Sebab apa? Bacaan mentera akan dibaca sambil menepuk bantal. Masa itu kita makrifatkan orang yang ingin dituju."
“Macam pernah ku dengar ilmu penunduk naga ni.Tapi dimana ya?” Kataku di dalam hati.
"Oh begitu. Cepat betul rawatan tadi selesai ye Tok. Nampak mudah,” ujar aku. Aku perhatikan Tok Ali berubah riak mukanya.
"Mudah kau cakap? Masa kau mengelamun di rumah pesakit tadi. Tah apa yang kau fikir. Tok dah berperang dengan hantu ilmu tu. Memang nampak macam wanita tapi muka dia ya Rabbi...sebelah cantik dan sebelah lagi buruk. Puas atok dicakar dan ditembak dengan bola api. Dengan izin Allah, sukses. Puas juga Tok cover kau. Kalau tak, dah lama dia gigit dan masuk dalam badan kau. Kau je yang tak perasan. Atok suruh kau berzikir kau berangan tah apa-apa." Panjang lebar Tok Ali berleter.
Marah betul Tok Ali kat aku. Bila masa dia berperang ni? Aku Nampak dia tenang di rumah tadi, rupanya sedang bertempur. Manalah aku tahu, bukan aku nampak pun. Syukur. Secara tersirat aku belajar sesuatu daripada Tok.
Tok Ali mengajak aku pulang. Penat. Dia beritahu ada 1 lagi kes. Ada orang call semalam. Penangan Puteri Bunian dan nenek kebayan bertongkat. Wah, aku teruja! Atok cakap kuatkan zikir qalbi dulu baru boleh ikut. Aku akur.
"Tapi bila nak pergi tok?" Tanya aku galak.
“Bila kau sudah bersedialah!”
Aku perhatikan saja Tok Ali balik. “In sya Allah.” Perlahan suara aku melafazkan kalimah itu.
-TAMAT-
--------------------
Karya : Ibnu Ahmad
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk pengkreditan.