Showing posts with label Bel Nawhen. Show all posts
Showing posts with label Bel Nawhen. Show all posts

Thursday, 4 January 2018

PEMAKAN DAGING 2/2 - Bel Nawhen


PEMAKAN DAGING 2/2
Tulisan : Bel Nawhen


Tba-tiba, terasa cekikan di leher Belinda lalu menyebabkan Belinda mula hilang fokus memandu. Cekikan itu kejap dan kuat. Belinda mula rasa sesak nafas dan pandangannya mula merasa hampir kelam. Pantas, Belinda menekan brek dan keretanya terhenti di sisi jalan.

Aneh, apabila kereta selamat berhenti, cekikan itu turut sama terhenti. Bau busuk yang sebelum ini wujud bersama cekikan itu turut hilang dibawa angin lalu.

Didepan, tersergam sebuah rumah agam yang seolah sedang menanti kedatangan tetamu. Kelihatan kemas terjaga disekelilingnya. Seekor burung hantu, seolah menjadi penyambut tetamu memandang Belinda tajam. Bau dari bunga kemboja mewujudkan sedikit rasa seram di hati Belinda.

Rumah itu, seolah memanggil-manggil Belinda untuk masuk ke dalamya. Dan seperti ditarik-tarik, kaki Belinda menghampiri pintu rumah itu. Automatik, pintu terbuka seolah kehadiran Belinda di tunggu-tunggu.

"Seronok kau lari dari aku? Mana kau nak pergi?" suara yang terdengar betul-betul di belakang telinganya membuatkan peluh jantan menitis keluar. Herman!

Baru sahaja mahu melarikan diri, tangan Belinda dipegang kejap. Tidak terdaya Belinda mahu melepaskannya. Cincin yang kemas didalam genggamannya terlepas. Pantas Herman mengambilnya seraya itu tamparan hinggap di pipi mulus milik Belinda menyebabkan Belinda jatuh dan terhantuk ke bucu meja dihadapannya. Darah di dahi dan bibir Belinda tidak separah hatinya yang separa nanar.

Cincin itu, pantas disarungkan ke jari kelingkingnya semula. Terasa segala kuasa di alam semesta meresap masuk ke tubuhnya. Herman terasa seperti baru dilahirkan semula.

Belinda bermonolog. Rasanya, Herman jauh ketinggalan dirumahnya tadi usai tidur kerana kesan ubat tidurnya. Mengapa pula Herman boleh berada disini, dihadapannya walau sudah berpuluh kilometer dia memandu.

Rentapan rambutnya menyebabkan imbas semula Belinda terhenti. Rasa seperti mahu tercabut akar rambutnya dengan cengkaman kemas dari Herman. Tidak pernah Belinda lihat wajah bengis Herman seperti itu. Selama ini, Herman menatangnya seperti minyak yang penuh, layanannya malahan terlalu mesra. Tapi hari ini, sisi Herman yang satu lagi telah ditunjukkan. Mustahil lelaki tua itu punya tenaga sekuat ini.

Belinda didudukkan di kerusi betul-betul dimeja makan rumah itu. Dua buah pinggan, sudu garpu tersusun cantik. Cawan kaca juga sudah terisi air berwarna merah pekat.

Tangan dan kaki Belinda diikat kuat. Dari sisi mata, Belinda melihat Herman sedang menyediakan sesuatu. Pisau pemotong daging dipegang kemas oleh Herman. Bau enak sejenis masakan menerpa rongga Belinda. Entah apa yang disediakan oleh Herman. Hairan.

"Selama ni, aku tatang kau elok. Syarat kau aku ikut. Keluarga kau aku mewahkan. Tapi sayang, kau khianat pada aku. Kau menyibuk dengan urusan aku." tutur Herman sambil menyuakan pinggan berisi daging yang dimasak separa mentah itu. Potongan daging, disua pada Belinda. Dalam terpaksa, Belinda mengunyah.

Belinda perhati, begitu Herman menikmati juadahnya hinggakan tidak ada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Sesekali, cincin dijari diusap-usap. Sayang benar dengan cincin tersebut.

"Kenapa tak makan. Tak sedap daging yang aku masak? Kau ingat senang ke aku nak cari daging istimewa ni?" soal Herman.

Herman, entah mana suis telah dipetik, berjalan mundar mandir dihadapan Belinda sambil menarik-narik rambutnya. Triggered entah kenapa. Seolah dibisikkan kalimah hasutan kiri dan kanan cuping telinga.

'Perempuan sama sahaja. Habis madu sepah dibuang. Dah beri betis, nak peha'

'Aku dah jemu dengan perempuan-perempuan gila harta macam ni. Asal nampak aku kaya, aku pinang terus terima.'

Herman mengomel sendirian.

.
Imbas Kembali.
Maria, wanita yang dicintainya selepas Sarah. Dinikahinya tanpa ragu dengan izin Sarah. Disangka ikhlas mencintainya, rupanya ada udang disebalik batu.

Mahukan harta, malahan tidak malu-malu tinggal serumah bersama Sarah asalkan hajat dihati untuk membolot segalanya tercapai.

Suatu malam, Maria meracuni Sarah. Jasad Sarah dipotong dan isinya disajikan kepada Herman saban hari. Tulang temulang ditanam dibelakang rumah itu. Menggunakan sihir, Herman seolah masih melihat kelibat Sarah di dalam rumah dan berintraksi seperti biasa. Hinggalah keanehan 'Sarah' dapat dikenalpasti Herman apabila Sarah sering enggan mengikutnya balik ke rumah keluarga mereka. Punya banyak alasan Sarah beri dan Maria pula menyokong tindakan Sarah.

Herman, mula berang dan menikam Maria serta mencarikkan muka serta tubuh Maria kerana amarah yang menggunung. Cebisan daging Maria itu dibakar dan dijamu dihadapan Maria. Belum sempat nyawa Maria dicabut, Maria lolos. Hingga kini, Maria tidak ditemui lagi.

Dan Herman, kerana dendam yang tidak sudah, maka ilmu yang pernah mahu diturunkan kepadanya sedari dulu dipelajari tanpa ragu. Semua kerana Maria yang mengkhianati cinta dan kasihnya. Malahan, Sarah yang tidak berdosa pula menjadi mangsa.

Hirisan pisau pemotong daging ke peha Belinda menyebabkan Belinda menjerit kesakitan. Terasa mahu tercabut nyawa saat Herman menghiris hingga ke lutut. Perkara yang sama dilakukan ke peha sebelah lagi. Suara Belinda serak kerana jeritan kesakitannya.

Tikaman demi tikaman oleh Herman menyebabkan Belinda seolah sudah hampir putus nyawa. Wajah cantik Belinda, dicakar-cakar menggunakan garfu. Geram sungguh Herman.

Bisik khadam setianya agar menjamu dirinya dengan darah segar Belinda dituruti. Dibiarkan sahaja makhluk itu menjamah setiap titis darah sehingga kering.

Belinda pengsan kerana kesakitan teramat.

Herman, kepenatan dan merebahkan dirinya diatas katil yang tersedia. Puas melihat derita Belinda. Wajah yang mirip Maria itu perlu dihapuskan. Masih terasa sakit lagi dengan apa yang dilakukan Maria dahulu.

Belinda terjaga kerana rasa dahaga dek perit tekak akibat menjerit sewaktu diseksa Herman. Entah kenapa, ikatan tangan dan kaki Belinda terasa seperti sudah dilonggarkan dilonggarkan. Kunci kereta elok terletak diatas meja.

Herman, perutnya dirobek. Habis ususnya keluar. Kakinya ditetak, luka besar itu kelihatan masih baru darahnya. Herman, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Entah siapa yang telah membunuhnya.

Belinda, kejung melihat keadaan itu. Kedua tangannya spontan dilihat. Tidak ada kesan darah seperti baru sahaja melakukan pembunuhan kecuali hanya carik kesan luka diperlakukan oleh Herman.

Tanpa menanti, Belinda berlari keluar dan menuju kekeretanya yang diparkir ditepi jalan lalu memandu tanpa arah. Segala kejadian seolah diulang tayang seperti tayangan video. Pandangan Belinda kabur dengan air mata.

Cahaya entah dari mana yang muncul didepan menyebabkan Belinda gagal mengawal pemanduannya, lalu bunyi seretan tayar kereta dan hentaman satu objek menggemparkan awal pagi pekan itu. Kereta itu, menjunam masuk ke dalam gaung. Saat itu, terlihat susuk tubuh seseorang dengan kerudung hitam melambaikan tangan kepadanya. Dan ia merupakan detik terpisahnya nyawa Belinda dari jasadnya.

"Satu mayat lelaki seperti dicederakan binatang buas ditemui disebuah rumah agam terbiar. Anehnya, berpuluh tulang dipercayai milik manusia juga ditemui disekitar rumah tersebut. Terdapat dua kubur baru digali menempatkan sepasang lelaki dan perempuan tua dengan anggota badan tidak lengkap turut ditemui. Tidak jauh dari lokasi kejadian pula, sebuah kereta dilaporkan melanggar tiang lampu jalan dan terbabas ke dalam gaung berdekatan. Mayat wanita dengan wajah yang cedera parah tanpa pengenalan diri ditemui. Identiti wanita tersebut sedang dikenalpasti. Ini merupakan kejadian aneh yang belum pernah lagi terjadi di negeri ini. " ulasan dari wartawan TV10 itu menarik perhatian pelanggan Bistro Larut Malam.

Disatu sudut, seorang wanita tersenyum kepuasan. Sekurang-kurang dendam lamanya terbalas. Masih dia ingat lagi rupa Herman yang merayu meminta nyawanya nyawanya malam itu. Lebih-lebih lagi apabila cincinnya dirampas saat dia sudah tidak terdaya untuk melawan kerana tikaman yang diterimanya. Cincin itu, berderai dipecahkan betul-betul dihadapannya. Sosok khadamnya yang berang jelas kelihatan. Terkaman dari si khadam yang dahaga darah, selain tikaman bertubi diselang seli dengan cakaran dari sosok tubuh yang kurang dikenalinya itu terasa merentap nyawanya sedikit demi sedikit. Makhluk khadamnya rakus menjamah sisa percikan darah dan serpihan isinya yang bersepah sana sini.

Darah dibalas dengan darah. Cukup lama dia memerhati Herman dari jauh. Cukup lama juga dia dalam persembunyian, parut diwajahnya menyebabkan dirinya enggan bertemu masyarakat. Hidupnya dijahanamkan Herman.

Kecantikkannya yang dulu telah dirosakkan oleh Herman. Dan dia berasa puas saat merobekkan perut boroi Herman. Dia puas melihat rayu Herman untuk nyawanya hingga roh terpisah dari jasad.

Dan dia, Maria sudah terlerai dendamnya. Maria melangkah keluar dari Bistro dengan 1001 rasa. Berakhir sudah kisah si pemakan daging yang bersekongkol dengan syaitan demi dendam di atas dendam. Dan akhirnya dendam yang tidak ada kesudahan menamatkan riwayat si pemuja syaitan.

Tamat
.


Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :
Arkib Angker Negara

Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com

Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan

Monday, 1 January 2018

PEMAKAN DAGING 1/2 - Bel Nawhen


PEMAKAN DAGING 1/2
Tulisan : Bel Nawhen



Belinda.
Gadis kampung yang menjadi kegilaan ramai jejaka disekitarnya. Sudahlah cantik, bijak pula orangnya.
Sudah berkahwin tetapi memilih untuk merahsiakan perkahwinannya dari pengetahuan umum. Malu kerana lelaki yang dinikahinya itu bukan pilihannya. Dia sekadar menjadi cagar kerana ibu dan bapanya pernah berhutang bagi membiayai pembelajarannya di bumi orang kulit putih. Tamat sahaja pengajian, dia dinikahkan terus dalam majlis yang ringkas.

Herman
Orang kaya yang nafsunya sering diutamakan. Pertama kali melihat Belinda, syaitan sudah berbisik bahawa gadis itu perlu dimilikinya. Cincin dijari diusap-usap. Cinta pandang pertama entah keberapa kali itu mesti dimiliki.
Kerana itu apabila ibu bapa gadis itu berbasi basa tentang belanja yang diperlukan, tanpa ragu dia menghulurkan bantuan. Cuma sedikit jarum disuntik, satu hari nanti balasan akan dia minta.
Bila tiba masa, sudah selesai graduasi, gadis itu terus disunting. Kerana terhutang budi, maka anak mereka itu dilepaskan sebagai galang ganti. Herman bijak, pampasan berpuluh ribu diberi tanda membeli hati ralat siibu bapa yang terpaksa melepaskan anak mereka kepadanya. Gelap akhirnya mata mereka dengan rezeki terpijak itu.

Sarah.

Isteri tua Herman. Tetap setia walau Herman sudah berapa kali nikah lagi satu. Lagi satu. Dan lagi satu. Hingga tidak terhitung jumlah madunya.

Sudah puas dikunci nafsu Herman, tetap gagal. Mana tukang ubat dia tidak jumpa, mana perusuk bumi dia tidak pergi, tapi baru mukadimah jampi serapah, sudah angkat bendera putih. Bukan dia tamakkan harta Herman. Harta itu pun asalnya milik keluarganya. Tetapi Herman bijak bermain kata. Kepercayaan keluarga terhadap Herman terlalu tinggi.

"Saya boleh jalankan tanggungjawab sebagai isteri awak, tapi saya tidak mahu sesiapa tahu tentang pernikahan kita." ujar Belinda sejurus akad dilafaz.
"Saya tidak mahu tinggal dibandar ini. Dan saya tidak mahu dihalang dari bekerja. Saya tidak mahu hamil anak awak selagi cita-cita saya tidak dicapai" syarat Belinda mula diluah.
Bagi Herman, syarat itu tidak sukar. Asalkan perawan Belinda dapat ditawan. Herman sudah cukup puas hati.

Berbelas tahun dahulu.
"Ilmu menawan wanita ini, aku boleh turunkan pada kau Man, tapi kau kena tahu, syarat yang perlu kau pegang kejap adalah wanita yang kau nikahi mesti seorang perawan. Jika tidak, hidup kau sengsara. Perawan mereka umpama daging segar untuk khadam yang aku serah. Darah perawan mereka tanda penaklukan dan kemewahan yang tidak akan pernah putus"
"Kau harus tahu, wanita-wanita ini tidak akan pernah mampu hamil kerana janin mereka bakal menjadi hidangan enak untuk kau kelak" ujar Wak Jali.

Sarah pernah hamil, tetapi kandungannya ghaib beberapa minggu sebelum melahirkan. Perutnya kempis seolah tidak pernah membawa janin. Malahan Sarah sihat walafiat.

Malam sebelum bayinya hilang, bau hanyir darah menusuk hidungnya. Dalam mimpi, Sarah diserahkan seketul daging segar oleh seorang tua berpakaian serba hitam.

"Pagi nanti, kau masak daging ini untuk suami kau" ujar suara itu.

Anehnya, huluran itu disambut, dan terus mengejutkan Sarah dari lenanya.

Suaminya tidak ada disisi. Bau sesuatu sedang dimasak membuatkan Sarah melangkah kedapur.

Suaminya, sedang leka menyalai daging yang entah bila dibeli dan menghidangkannya diatas pinggan.

"Jom Sarah, kita makan. Abang lapar tadi, tengok ada daging didalam peti, abang masaklah" ujar Herman membelakangi Sarah.

Khabar duka tidak sempat Sarah beritahu, seolah dipukau, Sarah menghampiri meja makan dan menjamah hidangan itu. Sebaik sahaja kemanisan daging itu dinikmati, Sarah seolah lupa tentang kejadian janinnya yang hilang.

Dan kehidupan mereka suami isteri dijalankan seperti biasa. Setiap kali madunya keguguran atau kematian bayi mereka, pasti tidak hari itu, hari esoknya Sarah dihidangkan stik daging oleh suaminya. Rasa daging itu, membuatkan Sarah sering termimpi-mimpi dan dalam diam mendoakan madu-madunya hamil dan kemudian kehilangan bayi dalam kandungan agar Sarah boleh menikmati keenakan daging entah dari mana dibeli oleh suaminya itu.

Belinda menjalani kehidupannya seperti biasa walau sudah menikah. Tidak seorang pun dari rakan sekerjanya mengetahui bahawa Belinda sudah bergelar isteri. Jika terserempak bersama rakan sekerja saat keluar makan bersama Herman, dia hanya bilang itu merupakan ayah angkatnya yang telah banyak berjasa saat Belinda kemenara gading. Mana mungkin jasa itu mahu dilupai.
Suatu hari, sedang beriadah di taman, Belinda didatangi oleh seorang wanita.

"Suami kau tu amalkan ilmu tidak elok. Aku tak tahu apa ada pada kau, tapi ilmu dia tidak jalan pada kau. Apa kau perlu buat, ambil cincin di jari kelingkingnya itu, kemudian kau baling sehingga pecah. Madu kau dah cukup makan benda kotor sepanjang suami kalian mengamalkan ilmu itu. Cukuplah setakat ini sahaja mangsanya" teguran wanita itu, menghairankan Belinda. Tidak ada angin, tidak ada ribut, datang tidak diundang, pergi pula umpama cahaya. Ghaib.

Jujurnya, Belinda serasa tidak senang apabila bersuamikan Herman. Terasa diri diperhatikan selalu tetapi Belinda apa mahu hairan. Hidupnya tidak dikongkong pun sudah bagus. Riak dingin Sarah waktu berjumpa kali pertama dahulu juga sedikit mengundang rasa tidak senang dihatinya. Langsung tidak menyapanya. Dingin.

Belinda faham, logiknya mana ada wanita yang suka dimadukan, tetapi berkali-kali dimadukan mesti sedikit sebanyak akan mengundang rasa tidak puas dihati bagi seorang wanita bergelar isteri. Sarah berhak marah pada pandangan Belinda.

Kata-kata wanita asing tadi sedikit sebanyak menganggu aktiviti harian Belinda. Dalam diam, ada rasa ingin menamatkan pernikahannya yang rasanya terlalu awal dan tanpa cinta itu. Lelaki itu bakal menyebabkan Belinda dituduh sebagai tipikal wanita yang gilakan harta seorang lelaki tua. Maruah Belinda bakal tercemar. Belum puas lagi kecantikannya dipuja. Belum lagi Belinda merasa erti mencintai dan dicintai kerana haknya itu telah dirampas lelaki miang seperti Herman.

Belinda nekad mahu menamatkan segalanya segera. Cincin yang dimaksudkan wanita itu memang ada, dan tersarung elok di jari kekingking suaminya. Aneh letaknya disana sedangkan jari lain kosong tidak tersarung apa-apa.

Saat Herman tidur nyenyak malam itu, Belinda bertindak mencuri cincin itu, laju sahaja Belinda memecut keretanya keluar dari kawasan rumah. Bimbang Herman terjaga apabila kesan ubat tidur yang dicampur kedalam kopinya itu telah hilang.

Keretanya terasa memberat. Sudah ditekan minyak hingga tersentuh lantai kereta tetapi masih tidak memecut selaju mana seolah sedang membawa bertan-tan batu.
Bersambung..


Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :

Arkib Angker Negara

Atau emelkan ke:

aanrc2017@gmail.com

Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan

Thursday, 28 December 2017

SAHABAT SAMPAI MATI - Bel Nawhen


SAHABAT SAMPAI MATI
Oleh : Bel Nawhen



Mereka memang digelar belangkas. Pantang kemana-mana mesti nak berkepit.

Dari sekolah rendah, hingga bawa ke alam universiti.

Mereka sering bersaing antara satu sama lain. Dan kebiasaannya mereka memonopoli kedudukan tertinggi keseluruhan hampir setiap tahun.

Amira, kecil molek orangnya. Sering mendapat perhatian umum kemana sahaja dia pergi.

Tanti, paling cerdik antara mereka bertiga. Kurang bergaya dari yang lain-lain tetapi datang dari keluarga yang kaya raya.

Fayruz, berperwatakan sedikit kelelakian. Boleh dikatakan bodyguard dua lagi rakannya.

Persahabatan mereka terikat rapi tanpa ada sesiapa yang mampu memisahkan mereka. Malahan setiap ahli keluarga mereka saling mengenali antara satu sama lain.
.
Suatu masa dahulu.

"Korang rasa, kita akan terus berkawan tak sampai bila-bila?" soal Amira suatu hari tatkala mereka sedang memasuki usia 14 tahun.

"Aku rasa iyelah kot." ujar Fayrus.

"Kenapa tidak pula kan? Kita mesti akan kekal best friend forever sampai kita lelapkan mata" bangun Tanti dari duduk dan merangkul kedua bahu sahabat yang disayanginya itu.

"Entahlah" Jawab Amira

"Mana tahu bila kita dah dewasa nanti mungkin kita akan terpisah"


Galau rasa hati Amira apabila melontarkan kata. Dia cukup sayang dengan dua rakannya itu hingga melebihkan mereka dari yang lain-lain.

"Aku ada idea" tiba-tiba Fayrus menjawab,

"Jom kita buat sumpah setia dengan menggunakan darah kita" sambungnya lagi.

"Sumpah apa tu? Ada je idea kau" Tanya Tanti. Amira yang sedang gundah gulana cuba memikirkan maksud kata-kata Fayrus.

"Ala, sumpah darah" Jawab Fayrus.

"Macam ni, kita mesti janji yang kita akan jadi sahabat selamanya. Dan kalau antara kita berpisah, kita akan buat apa sahaja agar kita dapat bersama selamanya" Terang Fayrus panjang lebar.


"Benda ni tak masuk akallah. Kita ni kan sahabat. Ibu bapa kita pun tahu benda tu. Takkan benda kecil pun mereka nak pisahkan kita. Dan kalau ada apa-apa hal pun, tak mungkin kita berpisah. Siapa berani buat macam tu? Umum tahu kita bertiga ni macam kembar dah." sangkal Tanti

"Logik juga Fayrus cakap macam tu. Sebab akan datang kita tak tahu. Kot ada yang berubah hati ke. Aku sayang korang ok" sokong Amira.

Kerana gesaan dua lagi rakannya, Tanti akhirnya mengalah. Mereka menetapkan untuk berjumpa di kawasan dimana terdapat satu busut jantan yang sering menjadi tempat ramai orang memuja dan melafazkan ikrar demi memenuhi kehendak diri.

.
Malam itu.

Fayrus dan Amira masing-masing membawa sehelai kain berwarna kuning, sebatang lilin dan jarum bertemu dengan Tanti disana. Wajah Tanti jelas ketakutan.

"Sekarang, setiap dari kita perlu lafaz janji setia. Aku dah tulis caption 'Sahabat Sampai Mati' disini. Titis darah kita tanda persetujuan bersama. Janji jangan mungkir!" ujar Fayrus.

Dalam enggan, Tanti menyuakan jarinya untuk ditusuk dengan jarum yang telah dipanaskan, mencalitkan cop jari sebagai tanda tangan tanda janji telah dimateri. Amira dan Fayrus juga melakukan yang sama.

Mereka berjanji, menyimpul rapi bahawa persahabatan mereka tidak boleh dipisahkan walau dengan apa cara.

Kain kuning itu, ditanam betul-betul di kaki busut jantan tersebut. Diletakkan pemberat agar ia tidak timbul apabila hujan.

Mereka pulang dengan rasa puas dihati. Tanti yang mulanya ketakutan mula merasa satu semangat ditiupkan. Semangat setia kawan dan janji tidak akan berpaling tadah walau apa jadi dikemudian hari.

.
Tahun demi tahun mereka lalui bersama. Tidak ada apa-apa masalah hinggalah selesai graduasi universiti.

Fayrus, mendapat tawaran menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya di Indonesia.

Amira, memilih untuk berumahtangga dan tinggal di utara tanah air bersama suami pilihan hatinya.

Tanti, memulakan kerjayanya di syarikat milik datuknya.

Perhubungan mereka tetap berterusan terutama melalui whatsapp. Cuma semakin hari semakin kurang komunikasi kerana kekangan tanggungjawab yang digalas.

Lama-kelamaan Amira, semakin jauh dari keakraban mereka. Amira telah dikurniakan sepasang cahayamata kembar dan menjadi lebih sibuk ekoran perlu menguruskan rumahtangga dan mengikut suaminya berhijrah ke satu negeri ke satu negeri mandangkan suaminya merupakan seorang Pegawai Tadbir Diplomatik.

Fayrus dan Tanti pula, tetap terus berhubung meskipun tidak sekerap dahulu.

Tanti mula merasa kesunyian. Kehidupannya yang dibentuk ahli keluarga, kerjaya yang ditentukan oleh ibu bapanya membuatkan Tanti terasa dikongkong. Tanti mula rindu zaman remajanya yang bebas kemana-mana bersama sahabatnya berdua.

Tanti nekad untuk bercuti ke Indonesia bagi menemui sahabatnya, Fayrus. Hasrat dihati diutarakan kepada Fayrus melalui whatsapp tetapi tidak ada jawapan balas dari Fayrus. Tanti tetap nekad dengan keputusannya. Tiket kapal terbang ditempah dan Tanti sudah tidak sabar mahu menemui Fayrus.

Amira yang tahu tentang pertemuan tersebut memberi sokongan kepada Tanti walaupun dia tidak punya masa untuk menghubungi dua lagi rakannya, di sudut hatinya, rasa sayang masih menggunung seperti dahulu.

.
Tanti tiba di lapangan terbang dan senyum Fayrus menyambut ketibaannya. Pelukan dari tubuh dingin Fayrus terasa mendamaikan hati Tanti. Terimbau kembali kenangan manis mereka bertiga.

Tanti dibawa dirumah sewa Fayrus. Sunyi sahaja kediaman itu. Tanti semakin kehairanan apabila Fayrus yang terkenal dengan ramahnya kelihatan kurang bercakap hari itu, tetapi cuba disedapkan hati. Tanti fikir mungkin Fayrus sedikit kekok kerana mereka lama sudah tidak bersua muka sejak masing-masing memilih hala tuju masa depan mereka.

Malam itu, tidak banyak soal. Tanti tidur dengan nyenyaknya hinggalah Tanti terjaga apabila merasa hembus nafas dekat ditelinganya. Pelukan erat dari Fayrus dan terdengar esak tangis Fayrus semakin lama semakin mendayu.

"Kita dah janji sahabat sampai mati. Tapi kenapa makin lama kita makin jauh. Amira sejak kahwin, sibuk sangat. Kau pula sejak kerja tak hirau pada aku." ucap Fayrus.

"Aku sorang-sorang kat sini. Belajar. Sampailah satu hari tu, kekasih aku bawa pergi berparti. Aku dirogol beramai-ramai. Aku malu. Aku sakit. Tapi kau berdua sikit pun tak ambil tahu. Dahulu kau berdua pernah cakap, tak perlu beritahu pun, kau berdua mesti dapat rasa musibah menimpa salah seorang dari kita. Tapi kau orang tipu!" sambung Fayrus sewanya.

"Aku malu, aku tak tahu nak cerita pada siapa. Jadi aku ambil keputusan untuk membunuh diri malam itu. Kau orang mesti tak tahu kan. Mana kau orang nak tahu, kau orang tengah bahagia, tengah berseronok dengan keluarga disana" ujar Fayrus sambil memberikan senyuman sinis.

Tanti terdiam. Air liurnya terasa kesat. Pendengarannya masih elok, tidak mungkin dia tersalah dengar apa yang dikatakan Fayrus.

Fayrus tiba-tiba berada di hadapan Tanti, seinci sahaja muka mereka mahu bertembung.

"Mana janji kau dulu, sahabat hingga mati. Kau bilang apa jadi, persahabatan kita tidak akan terputus. Sekarang aku dah mati, marilah ikut aku mati sekali. Janji kau mesti tepati!" jerit Fayrus seraya menarik tangan Tanti mengikutinya menghampiri balkoni rumah sewa tersebut.

Ibarat dipukau, langkah Fayrus diikut satu demi satu oleh Tanti. Keindahan zaman persahabatan mereka seperti terlihat di ruang layar. Mempertontonkan kebahagiaan mereka satu demi satu, tidak ada duka langsung!

Langkah Tanti semakin menghampiri hujung balkoni.

"Tanti, hidup telah memisahkan kita cukup lama, tapi kita akan kembali bersama dalam kematian. Kita akan terus bersahabat hingga hujung nyawa kita" ujar Fayrus, perlahan kakinya melangkah melepasi balkoni dan melayang jatuh ke bawah.

Tanti tanpa ragu, mengikut langkah itu. Terasa kebebasan semakin menghampirinya dan keindahan persahabatan mereka menjadi perkara yang dikejar-kejar olehnya hinggalah Tanti menutup matanya pada saat hujung nyawa. Nama Amira diseru. "Aku akan menunggumu!".....
.
"Tanti! Fayrus!" Amira terbangun dari tidurnya. Mimpi ngeri sebentar tadi seperti betul-betul terjadi. Amira bermandikan keringat. Disisi, suaminya kelihatan nyenyak tidur. Semasa baru mahu menenangkan diri, tangis bayinya kedengaran. Dia melirik jam di dinding, baru pukul 3.25pagi. Jarang bayinya bangun saat ini.

Tanpa berlengah, Amira pergi melihat keadaan bayinya. Aneh. Nyenyak sungguh kembar itu tidur. Tidak ada tanda baru menangis seperti yang didengarinya.

Merasakan diri sedang berkhayal, Amira mengambil keputusan untuk membasahkan tekaknya sebentar. Amira melangkah terus ke dapur.

Dia membuka whatsapp dan bertanya keadaan dua lagi rakannya itu.

"Kau orang ok tak? Aku mimpi pasal korang. Risau pula" tulis Amira disana.

10 minit berlalu. Tidak ada apa-apa balasan.

Kantuk Amira telah hilang. Amira terus duduk di sofa ruang tamu dan membuka televisyen. Baru sahaja mahu menikmati cerita yang dipaparkan, loceng rumahnya berbunyi.

'Siapa datang pagi-pagi ni' soal hati Amirah.

Ketukan dipintu pula menganggu. Pantas, Amira membuka pintu bagi melihat kehadiran siapa di awal pagi itu.

Wajah pucat Tanti menjenguk. Tanti pantas memegang tangan Amira.

"Kenapa Tanti, apa jadi?" soal Amira. Pintu segera ditutup.

"Lama kita tak jumpa." Desis Tanti.

"Aku dan Fayrus datang nak tuntut janji kita. Janji Sahabat Sampai Mati. Aku dan Fayrus dah mati. Sekarang giliran kau untuk tunaikan janji" ujar Tanti.


Tanti mengangkat tangannya dan menunjukkan jari telunjuknya ke arah Amira. Disatu sudut, kelibat Fayrus kelihatan, semakin lama semakin menghampiri.

Amira cuba menjerit tetapi tidak kedengaran. Lidahnya kelu! Hatinya bermonolog, cuba menenangkan Tanti dan Fayrus yang sedang menuntut janji.

Semakin mendekat, bau hanyir darah semakin kuat. Bisik mereka tentang tuntutan janji Sahabat Sampai Mati itu bergema. Tangan Amira nyaris dicapai Tanti dan Fayrus.

"Sayang!" Jerit suami Amira.

Amira rebah! Pantas disambut suaminya.

Mujur suaminya keluar, Amira seolah mengigau dan hampir sahaja jatuh dari tangga rumahnya.

.
Usapan dari jemari suaminya menyedarkan Amira dari tidurnya. Amira mengusap matanya dan mula tertanya-tanya tentang kejadian malam itu. Wajah Fayrus dan Tanti terbayang-bayang dimatanya.

Pada hematnya, ia mungkin mimpi buruknya sahaja. Mana mungkin ada apa-apa berlaku kepada mereka. Kalau ada, mesti sudah sampai cerita ketelinganya.

.

Saat bersarapan bersama suaminya, suara pemberita menarik perhatiannya.

"Seorang wanita dari Malaysia dikenali sebagai Tanti dijumpai mati membunuh diri di sebuah apartment di bandaraya XY"

Serta merta sudu yang dipegangnya jatuh. Meriding segala roma apabila mendengar khabar itu.
.

Hampir setiap hari, dia mengalami mimpi yang sama. Terbangun oleh bunyi loceng pintu, kemudian dia membukanya dan bertemu dengan Tanti dan Fayrus yang berdiri di depannya.

Dan segala cerita dari saat Fayrus diperkosa dan Tanti yang mengikut langkah dimainkan saban malam. Sedikit sebanyak, Amira sudah menangkap butir tragedi yang menimpa kedua-dua rakannya.

Malam itu kerana tidak tahan menahan gangguan saban malam, Amira nekad untuk bersua muka dengan kedua-dua roh sahabatnya yang menuntut janj itu.

“Tanti, Fayrus, kau kata kau sayang aku. Benar, kita janji kita mesti akan kekal best friend forever sampai kita lelapkan mata. Tapi, aku belum bersedia untuk mengotakan janji itu. Bukan sebab aku tak sayang kalian, tapi aku hidup untuk membuktikan yang persahabatan kita masih kekal utuh dalam ingatan walaupun roh dan jasad kalian telah terpisah dari alam nyata. Mana mungkin aku lupa janji sayang kita dahulu.” Amira mula memberikan penjelasan walaupun hatinya sedang kencang berdegup! 

Tidak ada kelibat kedua sahabatnya dimana-mana. Amira terduduk. Kecewa.


“Kalian kata kalian sayang, tapi kalian memaksa aku. Pernah tak tanya, apa aku sedang rasa sekarang? Sesal menggunung kerana perkara ini terjadi” sambung Amira.

Sepasang anak mata coklatnya dikerlingkan ke bingkai gambar keluarganya semasa sambutan hari lahir anaknya yang pertama.

Minda Amira mengulang tayang segala janji persahabatan mereka dahulu. Terimbas juga dia cukup sayang dengan dua rakannya itu hingga melebihkan mereka daripada yang lain-lain.

“Betul, kita terpisah pada usia dewasa. Betul, aku salah kerana terlalu mentaati suami sehingga terlupa tentang kalian, terlupa meraikan persahabatan kita pada tarikh tertentu. Aku akui, aku salah kerana tiada di sisi ketika kau diperkosa beramai-ramai, Fayrus. Sungguh aku tidak tahu! Dan Tanti, aku kesal tidak sempat titipkan salam kepada Fayrus saat kau khabarkan mahu berjumpa dengannya" tutur Amira. Kesal.

"Kalian lupakah, bahawa Allah yang menentukan segalanya seperti jodoh, rezeki dan kerjaya kita?" soal Amira.

Perlahan, Tanti dan Fayrus keluar entah dari mana, semakin mendekati Amira.

“Fayrus, tak cukupkah susah senang kita sehingga umum tahu kita ibarat kembar tiga? Kau diperkosa? Kau ingat kami akan buang kau? Kenapa terus membunuh diri? Tak bincang dengan kami? Kau yang lupa janji!” Amira mengingatkan. Sedikit tinggi suaranya mengingatkan hakikat mereka mampu bersahabat tanpa sebarang sandaran kepada makhluk selain Allah Taala.

"Demi Allah aku sayang kalian. Izinkan aku hidup, mendoakan kalian, menguburkan kalian seperti yang dituntut syariat. Izinkan aku menyantuni ibu ayah kalian, menyambung tugas yang kalian tinggalkan agar kita sama-sama tenang menghadap Tuhan. Aku menyayangi mereka seperti mana aku mencintai ibu ayahku.” Esak tangis Amira menghiba.

Fayrus dan Tanti tidak yang mulanya kelihatan sarat dengan amarah, mula menundukkan kepala masing-masing. Terkesan dengan teguran Amira.

“Pergilah, aku mohon. Tinggalkan dunia ini, bersemadi kalian dengan tenang. Percayakan aku. Janji kalian tersemat di hati. Aku di sini untuk mengotakan janji kita,” Amira memeluk tubuh, seolah-olah roh di hadapannya mampu dipeluk.

Perlahan, bayang Tanti dan Fayrus menghilang. Sehelai kain kuning yang cukup dikenali Amira, jatuh betul-betul disebelahnya. Pantas Amira mencapainya. SAHABAT SAMPAI MATI, tulisan yang cukup dikenalinya. Terasa kesal dengan khilaf lalunya. Amira berjanji, esok dia akan kebusut itu untuk menguburkan semua kenangan itu. Kainan tersebut akan dibakar.

Semoga roh Tanti dan Fayrus tenang disana.

'Mengertilah sahabat, walau roh terpisah dari jasad. Tertanamnya kamu 7 kaki dalam, tetapi sayang persahabatan ini mana mungkin aku lupakan.' bisik hati Amira. Lantas melangkah kedalam biliknya. Suaminya dipeluk erat.



-Tamat-
Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :
Arkib Angker Negara

Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com

Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Saturday, 16 December 2017

KETAGIH - Bel Nawhen


KETAGIH
"Mama. Mama...."
Sedang leka menghisap rokok, telinga Zarith tertangkap suara panggilan kanak-kanak memanggil namanya.
Bukan sekali, berkali rasanya panggilan itu kedengaran. Acap kali tidurnya terganggu dengan suara itu. Suara panggilan yang dirindu-rindu.
***
Zarith di zaman remaja seorang gadis yang lemah tutur bicara sehinggalah berpindah ke rumah datuk dan neneknya.
Duduk dikampung tidak seindah yang didamba. Ketandusan kasih ibu dan ayah menyebabkan Zarith memilih untuk melupakan rasa rindu itu dengan bergaul bersama rakan.
Sayangnya. Rakan itu bukanlah mereka yang boleh meredakan rindunya tetapi lebih membuatkan Zarith menjadi liar. Merokok dan sex bebas menjadi aktiviti biasa bagi Zarith.
Berapa kali entah, Zarith menggugurkan kandungan kerana hamil diusia yang masih muda.
Ada sekali Zarith bermimpi dikelilingi bayi seramai 5 orang. Masih berdarah seolah masih belum dibersihkan. Merangkak menghampirinya. Memanggilnya, "Mama...mama...mama.."
Bertanyakan soalan,
"Kenapa gugurkan kami. Kami tak lihat dunia mama lagi. Kami mahu hak kami. Kenapa jual roh kami kepada iblis"

Kali pertama menggugurkan kandungan, Zarith dibawa kerumah seorang bidan kampung. Mbah Hasnah namanya. Bongkok seribu. Tapi selera makan umpama menternak jin didalam badan.
Puas membelek tubuh ranum digadis. Mbah membuat tawaran untuk tidak mengambil apa-apa upah dengan syarat janin Zarith diserahkan kepadanya bagi diuruskan sebaiknya.
Zarith, tanpa banyak soal menerima perlawaan itu. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Zarith, setuju untuk bermalam sehari dirumah Mbah Hasnah asalkan kandungannya dapat ditamatkan.
"Apa pun jadi malam ini. Apa suara kamu dengar. Apa bayang kamu lihat. Diam. Jangan jerit. Biarkan sahaja dia menjalankan tugasnya." ujar Mbah Hasnah.
Zarith mengangguk walau berasa seram sejuk pada mulanya.
Mbah Hasnah, memberikan Zarith minum air akar kayu. Katanya bagi memudahkan janin keluar. Zarith minum tanpa banyak soal. Kemudian Zarith terlena.
Rasa lekit dan sentuhan lembut dipeha serta pedih di ari-arinya membuatkan Zarith terjaga. Zarith lihat satu objek tanpa tubuh badan lengkap sedang leka menikmati uri dan janinnya. Segala sisa darah dijilat tanpa jemu. Seolah sudah lama tidak merasa hidangan sebegitu. Dalam melawan kantuk dan takut, Zarith cuba untuk tidak menjerit. Teringat pesan Mbah Hasnah.
Seolah tahu diri sedang diperhatikan, objek itu memandang tepat ke mata Zarith. Tajam menusuk ke jiwa dan membangkitkan rasa seram yang menggunung. Zarith pengsan kerana ketakutan yang teramat.
Keesokan harinya. Zarith tersedar dan melihat dirinya sudah kemas dibersihkan. Pakaian barunya sudah sedia tersarung. Kuat sungguh khudrat Mbah Hasnah.
"Kalau kau hamil lagi. Jangan segan silu datang sini. Mbah anggap kau macam anak Mbah. Mbah tolong percuma."
Sejak itu, Mbah dan Zarith menjadi bertambah rapat. 2 kali Zarith sudah menggunakan perkhidmatan Mbah dalam menggugurkan kandungan. Zarith juga menawarkan khidmat Mbah kepada rakan-rakannya yang hamil tanpa nikah yang mahu menamatkan kandungan.
--
Zarith, sudah 3 kali bernikah. Semua pasangannya berlatar belakang pelbagai. Tapi setiap kali bernikah, mesti berakhir dengan penceraian kerana setiap kali Zarith hamil. Zarith akan keguguran.
Terbaru, Zarith terpaksa menggugurkan kandungannya kerana hasil scan menunjukkan janin Zarith mengalami kecacatan. Ini semua kerana habit Zarith yang tidak boleh berhenti merokok. Rokok dan Zarith seperti sudah terikat rapi.
Zarith, telah cuba untuk berhenti merokok kerana apabila berhenti, bayangan masa lalu menghantuinya. Mimpi-mimpi itu sering menganggu tidurnya. Zarith kepingin ada zuriat sendiri. Tetapi sering kandungannya tidak mampu bertahan lama.
Selalunya, Zarith akan diberi petanda melalui mimpi. Mbah Hasnah datang memberinya minum air akar kayu. Diteguk tanpa ragu. Keesokkan harinya, Zarith pasti keguguran. Seolah makhluk tidak berjasad itu ketagih dengan rasa dan bau janin dari benih Zarith.
Zarith kemurungan. Zarith ketagihan rasa tar dan nikotin yang sudah sebati dengan setiap degup jantung dan hembusan paru-parunya.
Alah, suami-suaminya yang sebelum pun bukan betul. Nampak bergetah sikit terus nak dijadikan isteri. Baru kahwin sudah gatal mahu ada anak. Bila isteri gagal memberikan zuriat, ditinggalkan. Katanya baka isteri bukan baik-baik. Bagaimana mahu baik jika kedua-dua pun tidak amalkan gaya hidup sihat. Merokok umpama esok tiada lagi. Minum arak dan dadah seolah menjadi makanan harian. Wang ringgit habis kerananya.
Zarith terasa sunyi, seolah hidup ini bertimpa dengan masalah. Zarith, rindukan bau dadah dan asap rokok. Zarith ketagihan kedua2 nya. Zarith hidup dalam delusi. Seolah dia berada didunianya sendiri.
Ketagihan, kesan menggugurkan anak dan keguguran menjadikan mental Zarith menjadi rosak dan koyak. Zarith depress. Kemurungan. Masalah bertimpa-timpa. Zarith mengalami psikosis kerana dadah yang diambil merosakkan otak.
Semua gara2 ketagihan yang bermula dengan rokok. Dari rokok, dicuba pula dadah lalu berjangkit kepada hubungan sex rambang demi stok dadah percuma dan keperluan ketagihannya.
1).Ketagihan kepada narkotik menyebabkan :
• Hina dan Hilangnya Harga diri.
• AIDS, HIV, Hepatitis dan penyakit lain yang berlaku apabila jarum suntikan dikongsi bersama
• Rosak hubungan dengan TUHAN , kekeluargaan, rumahtangga dan hubungan dengan masyarakat
• Maksiat seperti Menyamun , merompak, membunuh dan banyak lagi perbuatan keji terpaksa dilakukan untuk memuaskan nafsu gian.

2) Ketagihan terhadap rokok pula menyebabkan kebergantungan terhadap nikotin.
3) Pengguguran haram menyebabkan gangguan psychology termasuk kemurungan kerana mainan emosi ekoran teringat kepada dosa lalu.
Notakaki:
Asalnya bermula dari merokok. Dan pengakhirannya menyebabkan gangguan emosi. Kenapa perlu bermula jika kita tahu akan pengakhirannya.

.
Tulisan oleh Kurator:

*Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :
Arkib Angker Negara

Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com

Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.