Showing posts with label Dani Firdaus. Show all posts
Showing posts with label Dani Firdaus. Show all posts

Sunday, 29 October 2017

PUAKA KOLAM LAMA - Dani Firdaus


PUAKA KOLAM LAMA

====================
Fauzan merupakan seorang kaki pancing tegar. Pantang ada masa terluang, tanpa mengira hari dan tempat, pastinya Fauzan akan melunaskan gejolak nafsunya dengan memancing.
Termasuklah petang itu. Isterinya tengah sarat mengandung, pun dia masih fikirkan tentang joran, mata kail, pelampung dan ikan toman. Lelaki, kalau dah terlalu taksub dengan hobi, sudah berumah tangga pun masih tidak berubah.
Petang itu, dia ditemani Kamarul memancing di sebuah kolam nun jauh di pedalaman kampung di hulu Selangor. Dengar kata penduduk setempat kolam berkenaan memang banyak ikan yang besar-besar, lebih-lebih lagi si Toman. Memang lubuk ikan itu di situ. Tetapi, menurut orang kampung sekitar itu juga, kolam itu agak ‘keras’. Pernah sekumpulan pemancing diganggu sang penanggal, kononnya.
"Keras kau kata? Memanglah keras sebab ada batu, ada pokok kayu." nada suara Fauzan agak angkuh sambil memasang umpan.
"Kau ni berlagak la..Dah la kita ni dalam hutan." tegur Kamarul lalu melemparkan jorannya.

Rokok dihidupkan sambil menanti umpan mereka disentap sang toman. Asap berkepul ke udara, dilepaskan penuh bangga.
Jam 7.00 petang
"Kolam apa kau bawa aku ni, Rul? Seekor ikan pun tak sangkut!" bentak Fauzan.
Kamarul hanya diam membisu. Langsung tidak berpaling ke arah Fauzan yang sudah menghidupkan rokoknya yang terakhir. Baru satu jam duduk di situ, sudah sekotak rokok dihabiskan.
Pada mulanya Fauzan tidak mengendahkan gelagat rakannya itu. Dia biarkan sahaja Kamarul melayani perasaannya. Kamarul masih setiap memandang ke depan, ke arah jorannya yang entah bila akan disentap sang toman.
"Kamal, kau ok tak ni?"
Soalan Fauzan, langsung tak dijawab Kamarul.
Tiba-tiba telefon milik Fauzan berdering di dalam poket.
"Abang! Abang, dekat mana tu? Ita takut ni, bang!" suara Isteri Fauzan membentak dan menangis di talian. 
"Kenapa ni sayang?"soal Fauzan. Puntung rokok dibalingnya ke tepi.
"Ita dengar suara pelik kat luar rumah, bang! Tolong lah, bang. Balik sekarang! Ita takut!" rintih isterinya lagi.
“Ye lah. Abang balik sekarang. Kolam ni pun nampak macam kolam sial je. Sekor ikan pun takde.” Fauzan meluahkan isi hatinya.
“Abang! Abang pergi memancing? Abang cakap kat Ita abang jenguk kawan abang sakit. Abang pergi memancing rupanya?!” Ita memarahinya.
“Eh, abang bukan ke abang dah bagitahu Ita yang abang nak pergi memancing?”
“Abang balik sekarang!”

Tuut! Tuut!
Talian diputuskan oleh Ita. Fauzan menggeleng-gelengkan kepalanya. Kesal dengan sikap isterinya yang tak pernah faham tentang hobinya yang satu ini.

Telefon Fauzan berbunyi lagi.
“Abang!!!! Ada penanggal kat luar rumah!!!” jerit Ita sekuat hati apabila Fauzan mengangkat panggilan tersebut.
Fauzan menjadi gabra.
"Kamarul, berkemaslah. Jom balik sekarang. Ada benda kacau bini aku kat rumah!"
Kamarul bangun dan mengangguk perlahan. Dalam masa yang sama, kejutan buat Fauzan sekali lagi apabila menerima panggilan telefon kali ini bukan dari isterinya, tetapi..
"Woi, Fauzan kau dekat mana ha!? Seharian aku cari kau hari ini. Kata nak gi mancing petang tadi? Ni dah maghrib. Jangan kata kau tukar plan nak mancing malam pula?" soal Kamarul di talian.
Telefon yg dipegang Fauzan terlepas dari gengaman. Dia terus memandang laju ke arah ‘Kamarul’ yang berada di hadapannya tidak jauh, hanya beberapa meter. ‘Kamarul’ memandangnya sambil tersengih.
"Aku dah pesan tempat ni keras, tapi kau degil. Kau sindir aku sekarang kau terima akibatnya." kata lelaki yang menyerupai Kamarul tadi, kini perlahan-lahan bertukar wajah yang mengerikan, berlumut dan matanya merah menyala. Perlahan-lahan juga badan ‘Kamarul’ semakin membesar dan meninggi.
Waaarggghhh!!
‘Kamarul’ berderam garau.

"Pap!!" satu lebasan joran mengenai muka ‘Kamarul’ menyebabkan joran Fauzan patah. 
"Sakitlah bodoh!" Kata jembalang itu.
"Padan muka kau, dasar jembalang air!"

Dengan pantas Fauzan mencucuk mata jembalang tersebut sehingga ia meronta-ronta kesakitan. Dengan segeranya Fauzan berlari ke arah kereta lalu menghidupkan enjin. Kereta dipacu laju keluar dari kawasan kolam itu untuk pulang ke rumah.
Semasa memandu air matanya mengalir apabila mengenangkan nasib Ita di rumah. Dia sedar akan kesilapannya. “Ya, Allah. Janganlah penanggal itu apa-apakan isteri aku dan anak dalam kandungan Ita, Ya Allah.” Doanya dalam keadaan kaki terus menekan pedal. Air matanya tak henti mengalir apabila dia membayangkan penanggal telah menuju kerumahnya dan telah melakukan sesuatu yang dasyat terhadap isterinya yang dicintai.
1 jam memandu, akhirnya dia tiba di rumah.
Jantungnya berdegup laju. Dalam keadaan terburu-buru, daun pintu hadapan ditolak kuat.
“Ita! Ita..!!” laungnya memanggil isterinya.
Fauzan terus terduduk ke lantai apabila melihat isterinya sedang lena tidur di atas sofa. Televisyen terpasang tanpa ditonton. Di atas meja ada sekeping pinggan kotor, mungkin Ita baru lepas makan lalu terlelap.
Fikirannya berserabut, antara lega dan takut, antara marah dan bersyukur. Namun, dia masih berfikir, kalau bukan isterinya yang menghubunginya tadi, jadi siapa?
Fauzan bangun kembali menghampiri isterinya.
“Sayang, bangun sayang.” Sapa Fauzan sambil menggerak-gerakkan sedikit bahu isterinya.
“Abang..baru balik? Macam mana kawan abang tu, ok?” soal Ita dalam keadaan mamai.

Mendengar soalan dari Ita membuatkan air mata Fauzan makin deras.
“Kenapa abang nangis ni?” soal Ita lalu bangun dari baringannya.
“Ktang! Ktang!” bunyi bising dari luar kedengaran. Fauzan segera menuju ke luar.
Joran, perkakasan memancing dan telefonnya bergelimpangan di atas lantai depan.
"Bodoh punya manusia, dah lah memancing tempat aku kemudian tinggalkan sampah pulak!!"suara itu memarahi Fauzan.
-Tamat-
Ps: Ingat bila kita masuk tempat orang, kawasan hutan dan tempat yang jarang-jarang kita pergi, janganlah kita angkuh dan bercakap besar. Mungkin kita akan terima akibatnya nanti.
====================
Suntingan: Wan SC
Gambar: Wan SC

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Tajuk: WARUNG - Dani Firdaus


Tajuk: WARUNG
karya: Dani Firdaus

====================
Nama aku Fadil, nampak sama tapi bukan dia. Aku seorang lelaki yang tidak mempercayai kewujudan hantu. Bagi aku perangai manusia sekarang lebih teruk mengalahkan hantu.
Aku bukanlah ingin bercerita panjang lebar tentang hantu sekarang ini. Tetapi, nak bagi peringatan kepada kita semua bahawa didalam dunia ini bukan kita sahaja yang wujud..
Malam Sabtu, aku singgah di warung Lebai Hasim selepas pulang dari tempat kerja.
Teh dan kueh teow memang kegemaran aku. Lebih-lebih lagi yang warung Lebai Hasim ini. Tapi, malam itu aku berasa semacam sahaja sebab tiada pelanggan lain selain aku.
"Lebai, awat malam ni tak ada pelanggan ini?" soal aku pada Lebai yang duduk di kerusi. Televisyen warung dibiarkan terpasang tanpa sesiapa menonton.
"Entahlah Fadil, aku pun naik hairan ini. Kau tengoklah warung hujung tu bukan main ramai lagi." Lebai Hasim merungut.
Berkerut dahi aku melihat warung baru yang Lebai katakan tu. Hairan pula aku dibuatnya. Setahu aku, masa aku ke tempat kerja siang tadi, tak ada pula warung dekat situ. Bila masa pula mereka bina warung tu? Cepat betul boleh siap. Terus ramai pelanggan pula tu.
Aku menghirup teh dan menjamah kueh teow buatan Lebai Hasim. Marvelous! Seperti selalu.
"Sedap betul la kueh teow ni Lebai. Bodoh lah pelanggan-pelanggan warung tu tak pekena makanan dekat sini." aku memuji Lebai Hasim. Lebai Hasim tersenyum sahaja.
Sambil aku asyik menjamu selera, sesekali aku memandang juga ke arah gerai di hujung sana itu. Strukturnya sama macam gerai Lebai Hasyim ni. Atapnya nampak sama. Cat dindingnya juga sama. Itulah orang Melayu kita, nak bersaing tapi meniru. Bawa-bawa lah cari idea sendiri. Tak pasal-pasal warung Lebai Hasim tak ada pelanggan lain malam ini.
Sesekali aku terlihat juga Lebai Hasim yang tak terkalih matanya dari terus memandang aku. Terharu lah tu ada pelanggan setia macam aku ni, walaupun dah hampir dua minggu aku tak ke sini. Kahkahkah.
Hampir 20 minit aku menjamu selera, aku bangun daripada tempat duduk lalu aku meraba-raba ke dalam poket seluar untuk mengambil dompet.
Malangnya, "alamak Lebai, dompet saya tercicirlah." kata aku bila aku dapat merasakan poket aku kosong tidak berisi.
Lebai Hasim memandang tepat ke arahku.
"Takpe la, aku bagi makan free je..tapi ada syarat." katanya
Aku membalas pandangannya. Degupan jantung aku semakin laju.
"Syarat apa pulak ni Lebai?" soal aku sedikit tersengih.
Lebai Hasim terus menerus memandang aku tanpa berkedip. Dia bangun dari kerusi lalu berjalan perlahan ke arah aku. Dalam hati aku, dah kenapa dengan orang tua ni? Nak berdrama apa pula malam-malam macam ni?
Semakin dia mendekat ke arah aku, televisyen di belakang terpadam. Semakin dia melangkah lagi, lampu warung pulang terpadam. Apsal ni?! Gumam aku.
"Aku nak kau bagi aku darah kau!" gertak Lebai Hasim dengan raut wajah yang entah macam mana bertukar menjadi kedut seribu dan menggelebeh. Pipinya berlubang menampakkan susunan gigi yang berdarah hitam.
Mulut aku seperti terkunci rapat. Badan aku menggigil. Biar betul apa yang aku sedang pandang ni? Ya, Allah! Sedarkan aku dari mimpi ngeri ni, ya Allah!
Aku cuba memalingkan mukaku melihat apa yang aku makan tadi.
Bagai nak terkeluar kedua bola mataku melihat ke dalam pinggan tadi bukannya ada kueh teow, tetapi penuh dengan ulat yang masih hidup meliuk-lentok. Di dalam gelas tadi pula ada saki baki darah yang hanyir. Selebihnya sudah selamat aku hirup ke dalam mulut tanpa aku ketahui tadi.
Perut aku mula bergolak mual.
"Aku nak berniaga!" kata lembaga yang menyerupai lebai tadi.
Lembaga di hadapan aku berwajah hodoh, kukunya meliang-liuk panjangnya, debaran jantung aku semakin kuat saat ini barulah aku teringat pesan mak aku siang tadi,
"Fadil, kau jangan singgah warung dekat hujung simpang tiga tu malam nanti." 
"Kenapa mak?"
“Ada orang kampung pernah kena kacau dekat situ. Gerai Lebai Hasim patutnya ada satu je, ada orang nampak ada dua gerai.”
“Biar betul mak ni? Mengarut je. Itu lah orang Melayu, nampak gerai Lebai tu maju sikit, terus buat cerita kawasan gerai tu berhantu lah, apa lah.”
"Ikut kau lah nak percaya ke tak. Yang mak tahu, dulu kat situ memang ada warung sebelum Lebai Hasim bina warung dia. Entah macam mana satu hari tu, lori bawak tanah, pemandunya mabuk agaknya, rempuh warung tu sampai meninggal pemilik warung, si Deraman tu." cerita mak.
"Habis mak nak kata Deraman tu dah jadi hantulah ye? Apa benda lah mak ni. Percaya sangat benda-benda macam tu. Fadil tak pecayalah hantu-hantu ni." Aku menafikan kata-kata emak aku.

"Sekarang kau patut bayar apa yang kau dah makan dan minum tadi!" desak lembaga dihadapan aku, membuatkan fikiran aku tentang perbualan aku dengan mak pagi tadi, hilang.
Aku cuba menggerakkan badan aku untuk cabut lari, tapi kaki ini seperti telah terpasak ke bumi. Peluh mula membasahi tubuh aku. Kalau aku mati dek sebab syaitan ni, aku redha. Tetapi, aku terasa kesal kerana menidakkan kata-kata mak.
"Sekarang bersedialah kau untuk mati!" taringnya mula sampai dileher aku.
"Kejap! Kejap! Kejap! Aku ada benda nak tanya dekat kau ni, boleh tak?" soal aku padanya secara tiba-tiba dan terketar-ketar. Taringnya sudahpun melekat pada kerongkong aku.
"Apa dia?!" dia menyoal aku kembali, garang dan ngeri.
"Kau ni bukan vampaire kan?" soal aku takut-takut.
"Vampire abah kau! Aku ni hantu Malaysia lah bodoh!" jawabnya dengan marah. 
"Ngok! Hantu Malaysia gigitlah tangan ke, kaki ke. Nak leher jugak apa hal?" aku melawan. 
"Kau ini berlagak! Peduli apa sama aku." katanya sambil mula memegang leher aku.
"Mak!! Tolong Fadil, mak!!!" jerit aku semahu-mahunya.
"Hahaha manusia, dah tua bangka mengadu dekat mak lagi?" kata lembaga itu.

Tiba-tiba
"Sudah-sudah lah tu Deraman! Kau berdendam pasal tak dapat mengurat aku dulu, anak aku pulak kau nak bunuh?!" soal suara yang datang daripada belakang. Betul ke apa aku nampak ni? Mak?
"Mak, tolong Fadil!" aku menjerit semahu-mahunya.
"Ah, kau ingat aku selera sangat ke. Dah lah leher berkerak! Aku bukan nak pun, gertak je. Aku nak mintak tolong kau lapor polis, jenazah aku ada yg tertinggal.” Jelas hantu Deraman sambil menunjukkan ke arah semak samun di situ.
Pagi Ahad
Aku membaca Harian Metro Ahad
[Bukit Katil, Melaka - Pihak polis negeri menyiasat kembali lokasi kemalangan maut 12 tahun lepas kerana ada saksi mendakwa mayat mangsa Deraman bin Budin sebenarnya tidak sempurna. Hampir 2 jam pihak forensik melakukan siasatan akhirnya dakwaan itu ternyata benar. Pihak polis menemui serpihan tengkorak dan tulang jari yang sudah terkambus sekian lama di kawasan semak samun berhampiran.]
"Fadil, mak dah siapkan sarapan ni ha. Kau makan lah. Mak nak keluar zumba kejap dengan Wan Limah dan Makcik Rokiah Jongang." katanya.
Aku ke dapur. Sebaik sahaja tudung saji dibuka,
Teh dan kueh teow terhidang dihadapanku. Perut aku kembali bergelodak mual.
TAMAT
====================
Suntingan dan Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.