Showing posts with label Fahmi Hassan. Show all posts
Showing posts with label Fahmi Hassan. Show all posts

Friday, 27 April 2018

WAD 16 - Fahmi Hassan


Wad 16

Karya: Fahmi Hassan

============================
Di hospital ini, Wad 16 merupakan wad ‘High Dependancy Unit’ (HDU). Pesakit-pesakit yang tenat dan perlu pemantauan yang lebih rapi biasanya ditempatkan di unit ini. Ada 4 bilik di wad ini. Setiap bilik mempunyai 4 katil pesakit.

Makcik Milah baru saja dipindahkan ke Wad 16 beberapa hari lepas. Baru minggu lepas Makcik Milah dan anak-cucu berkumpul meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 93. Beria sungguh Makcik Milah makan pada hari tersebut. 3 kali nasi ditambah.

2 hari selepas itu, Makcik Milah jatuh sakit. Demamnya tinggi. Panas sangat. Cepat saja kering kain-kain basah yang dituam di dahinya. Akhirnya anak Makcik Milah membawanya ke hospital setelah dia meracau-racau tak sedarkan diri.

Pada asalnya Makcik Milah dimasukkan ke wad biasa. Doktor kata, selain dari disyaki menghidap jangkitan kuman, paras sel darah merah dalam darahnya juga rendah. Kurang separuh dari paras normal.

Doktor kata mereka keliru kerana tak jumpa punca darah Makcik Milah kurang saban hari. Berbeg-beg darah telah dimasukkan, namun paras darah beliau masih tidak normal. Puas sudah pemeriksaan dilakukan termasuk prosedur memasukkan tiub kamera ke dalam usus. Masih lagi mereka gagal mencari punca.

Setelah beberapa hari, doktor memutuskan Makcik Milah perlu pemantauan yang lebih rapi akibat keadaannya yang bertambah serius. Beliau dipindahkan ke Wad 16.

Bilik berkatil 4 itu hanya didiami oleh Makcik Milah seorang. Minggu itu Wad 16 sedikit kosong. Hanya ada dua pesakit lelaki dan 1 pesakit perempuan. Terpaksa Makcik Milah tinggal seorang di bilik tersebut.

Anak-anak Makcik Milah selalu menemani beliau. Sewaktu di wad biasa, seorang anak perempuan dibenarkan untuk menunggu beliau di wad. Tapi apa yang peliknya, sekitar jam 9, Makcik Milah akan menjerit-jerit meracau menghalau anaknya pulang. Dan setiap kali beliau meracau, doktor terpaksa menyuntik ubat penenang.

Di Wad 16, tiada ahli keluarga dibenarkan di luar waktu melawat. Jam 7, semua telah diminta keluar dari Wad. Makcik Milah baring seorang ditemani para jururawat di kaunter hadapan bilik. Mujur ada monitor di kaunter jururawat untuk memantau keadaan di dalam bilik.

Malam itu, tepat jam 9, Makcik Milah mula meracau. Mula-mula perlahan, kemudian suaranya semakin kuat. Jururawat berpandangan sesama sendiri dan terus berlari ke dalam bilik Makcik Milah.
“Keluar!!! Keluarrrrrrr!!!!”

Teriakan Makcik Milah semakin kuat bila nampak jururawat masuk ke dalam bilik.

“Makcik, sabar makcik!”

“Siti, tolong ambil kain. Ikat sikit tangan Makcik Milah. Habis ‘drip’ dia cabut nanti.”

Tak sempat siti pegang tangan Makcik Milah, jarum yang memasukkan darah dari beg ke dalam urat di tangan tercabut. Memancut darah keluar mengenai cadar dan lantai.

Tak cukup dengan itu, tiang tempat beg darah digantung turut jatuh. Pecah beg tersebut dan darah mengalir membasahi lantai.

Tiba-tiba Makcik Milah terus lemah. Longlai tangannya. Dia terbaring lesu.

“Siti, telefon doktor on call, beritahu Makcik meracau. Lepas itu telefon juga minta orang datang mop darah ini. Kak Lin kemas katil kejap.”

Siti ke kaunter untuk menghubungi Dr. Kamarul. Beliau Bertugas malam itu. Kemudian beliau menghubungi unit pembersihan untuk meminta pekerja membersihkan darah di lantai.

Kak Lin keluar dari bilik. Dan tergesa-gesa keluar dari wad. Mungkin untuk mencuci tangan atau menyalin pakaian.

5 minit selepas itu, pintu Wad dibuka. Seorang pekerja lelaki datang membawa mop dan baldi.

“Bilik tu,” arah Siti sambil memuncungkan mulutnya.

Pekerja itu masuk ke dalam bilik. Tak sampai 10 saat dia keluar semula.

“Tak ada kotor pun.”

Siti pelik. Dia menjenguk ke dalam bilik Makcik Milah. Kelihatan Makcik Milah tidur dengan tenang. Langsung tiada kesan darah di lantai.

Siti semakin pelik. Kak Lin pula entah ke mana.

“Tadi banyak darah. Kejap saya tengok.”

Siti menuju ke monitor di kaunter. Video diputar ke belakang.

Kelihatan kelibat Kak Lin sedang menjilat-jilat darah di atas lantai. Rakus. Tudung yang putih bertukar merah.

Tiba-tiba, tangan lembut menyentuh bahu Siti.

“Siti dah nampak eh?” Suara lembut Kak Lin membisik di telinganya.

-TAMAT-
============================
Karya : Fahmi Hassan

Sumber Gambar: Deino3330 @ Deviantart

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Monday, 30 October 2017

Tajuk: GUMAM - Fahmi Hassan


Tajuk: GUMAM
Karya: Fahmi Hassan
===============

“Hmmmmm.. hmm.. hmmm.. hmmm…”

Ceria betul En. Aiman bergumam mendendangkan lagu. Terukir di Bintang tajuknya dari Yuna. Bergema-gema bunyi di tandas alunan muzik tanpa lirik.
“Gembira hari ni En. Aiman. Masuk gaji ke?” Aku berseloroh.
En. Aiman hanya senyum dan mengangkat kening.
Begitulah kebiasaan En. Aiman. Lebih suka bergumam lagu berbanding berbual. Ada sahaja lagu-lagu terkini yang digumamkan. Terutamanya di dalam tandas. Pilihan lagu yang tak sesuai dengan usia. Patutnya lebih layak jika lagu-lagu Sharifah Aini yang dipilihnya.
Bermacam-macam ragam orang di pejabat ini. Membuatkan hari-hari bekerja ceria dan tidak bosan. Ada yang ketawanya kuat sehingga penuh satu pejabat dengan gelaknya. Ada yang senyap tidak suka bercakap. Ada yang suka menyanyi. Yang paling ramai suka mengumpat.
Dah 3 tahun aku bertugas di sini. Seronok? Biasa lah kerja. Kalau tak seronok kena juga cari cara untuk gembira berkerja. Mana ada kerja yang seronok. Tidur ya lah seronok.
Pejabat ini agak luas. Ada lebih 250 pekerja di sini. Asal pejabat ini kecik sahaja. Hanya memuatkan sekitar 30 orang pekerja. Lama kelamaan, pekerja makin bertembah. Pejabat juga telah diubahsuai berulang kali.
Oleh itu bentuk pejabat ini agak pelik. Banyak ruang-ruang yang ditambah seolah tidak kena dengan reka bentuk pejabat. Ada yang nampak sangat gelap dan tersorok.
Waktu mula bekerja ialah jam 7.30 pagi. Tapi seawal jam 6.50 En. Aiman sudah tiba di pejabat. Rumah beliau jauh, perlu keluar awal untuk elakkan kesesakan. En. Aiman akan buka semua lampu pejabat bila dia sampai.
En. Aiman seorang yang pendiam. Dia jarang berbual dengan rakan pejabat yang lain. Cuma bergumam sambil membuat kerja kerja di komputer.
Waktu akhir pejabat beroperasi adalah jam 5.30 petang. Tapi biasalah, kerja di pejabat kadangkala terpaksa pulang lewat untuk siapkan kerja. Lagi-lagi bila dah sampai ‘dateline’.
Jadi setiap hari ada dua orang yang dijadualkan untuk menutup pejabat sekitar jam 6.15 ke 6.30 petang. Bergilir-gilir semua warga pejabat melakukan tugas ini. Semua lampu perlu dipastikan telah ditutup dan semua pintu masuk pejabat dikunci. Jadual bertugas pula biasanya dikeluarkan dua kali setahun untuk tempoh 6 bulan.
Walaupun jam 6.30, pejabat ini sangat gelap apabila semua lampu ditutup. Tiada langsung cahaya luar kerana kebanyakan tingkap terletak di dalam bilik pegawai. Jika berjalan di ruang legar pejabat tanpa bantuan lampu memang kebarangkalian untuk terlanggar perabut pejabat amat tinggi.
Tahun lepas aku mengalami kecederaan sewaktu bermain futsal. Tulang berhampiran tumit kakiku terkeluar dari soketnya. Dalam bahasa perubatan ia dipanggil ’Subtalar Dislocation’. Akibat dari itu kakiku terpaksa disimen dan aku diberikan cuti sakit untuk hampir 3 bulan.
Setelah hampir 3 bulan tidak bekerja, minggu pertama kembali ke pejabat itu amat menyeksakan bagiku. Lupa sudah apa yang perlu dibuat di pejabat. Tiada apa yang dapat menandingi perasaan bercuti berbulan-bulan di rumah.
Hari kedua aku bekerja, secara kebetulan adalah hari aku ditugaskan untuk menutup pejabat. Seorang lagi pegawai yang dijadualkan bertugas bersamaku adalah En. Aiman.
Petang itu sekitar jam 4 petang aku cuba mencari En. Aiman di tempatnya. Meja pejabatnya tersusun rapi tanpa banyak barangan di atas meja. Skrin komputernya juga gelap. Mungkin En. Aiman bercuti pada hari tersebut. Nampaknya terpaksalah aku menutup pejabat seorang diri pada hari ini.
Sekitar jam 6.30 petang, aku pun keluar dari bilik untuk menutup semua lampu dan mengunci pintu-pintu pejabat. Keadaan di luar pejabat amat senyap. Tiada seorang pun yang masih berada di pejabat selain aku.
Aku mula menutup dan memeriksa suis-suis eletrik dari kawasan yang paling jauh dari pintu keluar. Seram juga rasanya bila memikirkan yang aku hanya seorang diri di pejabat yang luas dan gelap. Tapi aku tetap tenang.
Aku biasanya akan keluar dari pintu di sebelah tepi pejabat. Untuk ke pintu ini aku perlu melalui sebuah pintu untuk ke tandas. Dari pintu itu aku akan keluar melalui satu lagi pintu yang boleh dibuka menggunakan cap jari.
Setelah semua suis lampu dan lain lain ditutup, aku menuju ke pintu keluar. Aku buka pintu pertama sambil memandang belakang bagi memastikan semua lampu telah ditutup. Setelah berpuas hati, aku menekan kunci di tombol sebelum menutup pintu. Pintu ini hanya boleh dibuka dari sebelah dalam pejabat setelah ia dikunci.
Setelah itu aku pun menuju ke pintu keluar. Aku letakkan jari di pengimbas untuk membuka pintu.
“Tetttt”. Gagal.
Aku mngesat tanganku di seluar. Mungkin sedikit basah menyebabkan pengimbas tidak dapat membaca cap jariku.
“Tetttt’. Gagal lagi.
Aduh. Mungkin ada perubahan sistem sewaktu aku bercuti membuatkan cap jariku tidak dapat lagi membuka pintu tersebut. Aku kaget. Pintu masuk ke pejabat semula tidak berpusing setelah aku cuba.
Nampaknya terpaksa aku menghubungi pegawai keselamatan untuk datang mengeluarkan aku yang terkunci. Nasib baik aku agak rapat dengan pegawai tersebut.
Alangkah malangnya panggilanku tidak diangkat. Mungkin dia sedang memandu. Sedang aku cuba untuk menghubunginya sekali lagi, aku terdengar sesuatu dari luar.
“Hmmmmm.. hmm.. hmmm.. hmmm…”
Terdengar bunyi gumaman lagu. Tapi rentaknya lain. Biasanya lagu ceria yang menjadi pilihan En. Aiman. Hari ini rentaknya sayu sahaja.
Rupa-rupanya En. Aiman ada di pejabat dan masih belum pulang. Nasib aku amat baik. Kalau tidak terpaksa pula aku menyusahkan pegawai keselamatan untuk datang membuka pintu. Pintu dibuka dari luar.
“Terima kasih En. Aiman. Kalau tidak terpaksa saya tidur di pejabat hari ini,” aku cuba berseloroh.
En. Aiman hanya senyap memandangku dan tersenyum. Dia berpusing dan terus berjalan keluar.
Aku pun menyusun barang-barangku dan turut keluar menuju ke pintu utama. Aku cuba mengejar En. Aiman tapi tidak kelihatan. Hati aku terdetik, bagaimana En. Aiman boleh tahu yang aku terkunci. Mungkin dia terdengar bunyi cubaan aku memutar tombol pintu.
Elok sahaja aku memasuki kereta untuk pulang, telefon aku berbunyi. Rupanya pegawai keselamatan menghubungi aku semula.
“Fahmi, maaf aku tak perasan kau telefon tadi. Kenapa?”
“Tadi aku terkunci di pejabat. Ingat nak minta kau datang selamatkan aku. Tapi tak apa, rupanya En. Aiman belum balik. Dia bukakan pintu tadi”.
“En. Aiman? Kau dah keluar ke Mi?”
“Dah. Dekat dalam kereta dah”.
“Mi, masa kau cuti sakit dulu, En. Aiman terlibat dalam kemalangan. Dia dah meninggal”.
Aku terdiam. Aku menjeling cermin pandang belakang. Terlihat susuk tubuh En. Aiman di pintu utama pejabat sedang tersenyum memandang kearahku.
Aku memecut laju kereta dan terus pulang ke rumah.
================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Sunday, 4 June 2017

LOCENG - Fahmi Hassan


"Ding dong! Ding dong!"
Loceng di rumah berbunyi. Aku tersentak dari lena. Cahaya dari layar tv membuatkan aku sedikit silau.

Aku capai telefon bimbit. 11.30 malam. Aku bingung. Rasa baru sahaja aku baring tadi. Baju kemeja di badan kedut seribu.
Aku teringat akan bunyi loceng tadi. Perlahan aku bangun malas. Menyeret kaki ke pintu.
Aku intai melalui lubang intip. Kosong. Tiada siapa di luar. Hanya susunan kasut yang kemas. Pintu jeriji besi masih lagi tertutup kemas.
Mungkin aku bermimpi tadi. Siapa pula yang datang ke rumahku lewat malam begini.
Aku menuju ke peti ais. Pintu peti ais dibuka. Tanganku mencapai kotak jus limau. Ringan. Hampir kosong.
Aku kosongkan segala air didalamnya sehingga titisan terakhir.
"Ding dong!"
Sekali lagi loceng berbunyi. Kali ini aku tahu ia bunyi yang betul dan bukan dari mimpi. Aku terus ke pintu.
Aku intai ke luar. Masih kosong.
Dengan perasaan tak puas hati aku buka pintu. Ada kelibat laju melintasi pintu. Susuknya kecil.
Aku capai kunci dan buka pintu jeriji besi. Aku jenguk ke kanan. Pintu kecemasan menuju ke tangga masih tertutup.
Aku pusingkan kepala ke kiri. Kosong. Sepi.
Pintu ku kuncikan semula. Mungkin ada anak anak kecil yang nakal cuba bergurau. Gurauan bodoh yang menjengkelkan.
"Ding dong!"
Sekali lagi loceng berbunyi. Aku malas mengintai lagi. Pantas aku menuju ke arah penggera dan ku padamkan suisnya. Biar ia senyap malam ini. Biar anak jiran itu kepenatan berlari selepas menekan loceng.
Aku capai tuala untuk ke tandas. Sejak pulang dari pejabat petang tadi aku tertidur tanpa sempat mandi. Entah kenapa aku rasa sangat letih.
"Ding dong!"
Loceng berbunyi lagi. Meremang bulu romaku. Suis sudah dipadam. Mana mungkin ia terus berbunyi.
Perlahan aku menuju ke pintu. Mata kiri ku pejam. Mata kanan aku letakkan di lubang intip.
Sebiji mata merah sedang memandangku garang dari luar.
Aku tak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu. Aku sedar di hospital. Tidak mampu berkata kata. Tidak mampu bergerak.
Hanya mampu melihat dan mendengar. Mendengar doktor memberitahu ibuku yang aku mengalami pendarahan di dalam otak. Aku tak mungkin bercakap dan bergerak semula.
Nukilan: Fahmi Hassan 



Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Friday, 2 June 2017

KATIL - Al-Luqman Nul Hakim


Assalamualaikum. Kisah seram ni berlaku pada tahun 2009 sewaktu saya menuntut di ILP pasir gudang. Yang mana memang dari dulu ada cerita yang dibawa dari tahun ke tahun. Saya ditempatkan di dorm 1-7 aras satu di bahagian tengah di antara dorm-dorm yang lain. Dorm ini memuatkan 10 orang di dalamnya dan setiap bilik memiliki 5 katil doubledecker. Saya tidur di bahagian atas.
Pada satu hari seperti hari-hari biasa, saya dan rakan sebilik akan pergi ke surau dan solat berjemaah maghrib dan isyak. Selepas pulang dari surau, saya dan rakan-rakan akan letakkan semua tilam di lantai dan hidupkan satu laptop untuk tonton video. Oleh kerana terlalu letih, saya tidak turut serta dan memilih untuk tidur di atas katil.
Pada tengah malam kaki saya seperti digigit nyamuk, dan terasa sungguh gatal di bahagian ibu jari sehingga membuatkan saya tersedar. Tanpa membuka mata saya menggaru ibu jari yang gatal menggunakan kaki sebelah lagi. Selepas hilang gatal dikaki, saya tidak boleh terlena dan terus berkhayal.
Tiba-tiba saya terdengar bunyi sayup dikala malam yang sunyi, dan bunyi itu membuatkn saya takut dan terus menyelubungi tubuh badan saya. Bunyi itu seperti bunyi hentakkan dua belah kaki. Dan saya dapat bayangkan hentakan itu berjalan. Itu tak ubah seperti hentakan POCONG.
Saya duduk di aras bawah, jadi saya akan dengar hentakan itu dari bahagian atas. Hentakan itu sayup saya dengar dari hujung asrama semakin lama semakin dekat. Semakin dekat. Semakin kuat... Dup! Dup! Dup! Dup!
Bunyi hentakan kedua belah kaki di atas simen itu saya rasakan semakin hampir dengan saya. Sehinggalah bunyi itu benar-benar di atas kepala saya di dorm aras atas. Ia seperti tidak berganjak dari tempatnya ketika berada di atas saya. Dalam hati hanya, Tuhan sahaja yang tahu sungguh takutnya saya pada waktu itu.
Tiba-tiba bunyi hentakan itu beransur pergi dan semakin sayu sayu sayu dan hilang. Rasa ketakutan saya itu hilang kerana bunyi hentakan itu hilang, tetapi tiba-tiba katil saya bergegar seperti dilanggar badan manusia di hujung kaki. Saya terbayang pocong melanggar katil saya. Ia berlaku sekali saja. Saya terus berdiam mata terus terpejam.
Hampir setengah jam selepas itu saya tak boleh tidur. Tiba-tiba kaki yang gatal tadi gatal kembali. Saya beranikan diri untuk bergerak kerana terlalu gatal dan menggaru mengunakan kaki sebelah lagi. Kerana menggaru yang kuat dan saya tidur di bahagian atas katil, katil itu berbunyi disebabkan besi bergesel. '' Erkkkk erkkkk”
Tiba-tiba saya seperti mendapat respon dari katil berhadapan saya, yang g mana katil itu juga berbunyi. Dan dalam hati saya—”selamat lah. Rupanya ada yang sedar…”
Saya seperti mau menjerit tapi disebabkan takut, saya diam saja. Esok saja saya tanya dengan siapa yang bunyikan katil itu. Tak lama kemudian, saya terdengar bunyi jeritan dan ada yang berlari seperti mengejar sesuatu tapi saya cuma abaikan dan terus tertidur.
Keesokan pagi saya cerita dengan rakan sekelas yang juga teman sebilik. Masing-masing tidak mempercayainya dan menggangap saya bermimpi. Bila saya balik dari kelas, saya bercerita pula pada teman sebilik yang berlainan kelas. Terdapat keraguan antara kami disebabkan saya bercerita tentang ada yang berlari-lari semalam kerana memanb berlaku kejadian pelajar lelaki dirasuk pada malam itu
Perkara yang paling membuat saya takut adalah bila saya tanya siapa yang tidur di atas katil berbunyi itu, semua terdiam kerana cuma saya seorang saja yang tidur di atas katil pada malam itu. Jadi siapa yang membunyikan katil?
Sekian.
Nota: Di dorm atas, pernah diceritakan terdapat anak kecik bermain basikal dan menembusi dinding. Selain itu saya juga selalu terdengar bunyi hentakan safetyboot pada waktu malam


Nukilan : Al-Luqman Nul Hakim (https://www.facebook.com/en.hacks)
Suntingan : Arkib Angker Negara
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Thursday, 1 June 2017

PALUAN - Fahmi Hassan


Waktu aku masih bersekolah, aku selalu bermain kompang untuk pasukan kompang di kampung. Ya, kompang yang orang sewa waktu ada majlis perkahwinan. Biasalah di Johor, kalau tak ada kompang, baik tak payah buat majlis kahwin.
Untuk memastikan paluan kompang kami tidak sumbang, latihan memang sangat penting. Biasanya latihan dilakukan selepas solat Isya’ hari Jumaat, sekitar jam 9 sehingga 11.
Nak main kompang ini memang nampak mudah. Tapi sebenarnya satu pasukan kompang perlu ada pemain untuk 3-4 jenis pukulan berbeza untuk jadikan rentak yang sedap. Nak lagi sedap kena ada jidur. Kadang-kadang ada lagu yang kena ada tamborine juga.
Jidur tu apa? Ala, gendang besar yang ketuk pakai kayu tu. Kau google lah gambar dia. Aku bukan nak cerita pasal cara bermain kompang sebenarnya.
Yang menariknya, tempat latihan kompang tu adalah sebuah pondok kerja seorang tukang kayu, merangkap ketua pasukan kompang. Dan salah satu kepakaran tukang kayu ini adalah membuat keranda.
Oleh sebab itu, memang selalu lah ada keranda kosong di situ. Ye lah, tak akan orang dah meninggal baru nak buat keranda. Sediakan keranda sebelum meninggal sama lah macam sediakan payung sebelum hujan.
Semua peralatan kami disimpan di pondok. Jadi setiap kali selepas bermain kompang di mana-mana tempat, adalah beberapa orang yang akan ditugaskan menyimpan semua kompang semula. Simpan kompang pun ada sistem. Kalau berterabur, siap lah yang bertugas kena marah.
Sampailah kepada satu malam, kami diminta untuk bermain kompang bagi satu majlis pernikahan. Agak pelik juga lah, majlis pernikahan pun nak berkompang. Malam pula. Tapi atas dasar tanggungjawab, kami pun menjalankan tugas dengan penuh ikhlas.
Selepas selesai bermain kompang, perlu tunggu majlis selesai kerana tuan rumah menjemput kami untuk turut makan. Agak lewat juga lah kami pulang. Hampir pukul 11.
Malam itu aku dan 5 orang lagi ditugaskan untuk menyimpan peralatan kompang. Kami pun berbasikal sambil membawa kompang-kompang dan jidur. Tidak lah jauh pun.
Entah kenapa malam itu rasa lain. Kami berborak-borak cuba bercerita kelakar tapi tetap rasa lain. Gelak-gelak pun tak ceria. Seperti gelak penonton Maharaja Lawak untuk persambahan bertaraf satu ‘ha’.
Sampai di pondok, semua menolak untuk menyusun kompang. Biasanya hari latihan, lampu di pondok akan dibuka. Tapi hari ini pondok gelap. Suis lampu pula terletak di rumah Pak Saleh. Pak Saleh pula garang orangnya. Tak ada orang berani kacau dia suruh buka lampu.
“Kau lah simpan. Kau lah. Kau lah”
Semua menolak-nolak. Seram. Terbayang macam-macam.
“Kau orang semua penakut. Biar aku je lah”
Akhirnya salah seorang dari kami tunjuk berani. Alhamdulillah. Lega rasa.
Oleh sebab kompang ada banyak, jadi perlu dua tiga kali juga dia ulang alik menghantar kompang. Trip yang pertama kami lihat dia berlari-lari.
“Fahmi, teman aku lah. Ada keranda doh”
Hmm. Terpaksa aku tunjuk berani. Kesian juga dia seorang. Kalau berdua kurang sedikit seramnya.
Aku bahagikan jumlah kompang yang perlu diangkat sama rata. Kami susun betul-betul supaya boleh dihabiskan dalam satu trip sahaja. Termengah-mengah aku angkat.
Waktu aku susun kompang di rak, aku menjeling sahaja keranda yang ada di bawah. Nampak keranda itu lebih bermotivasi aku menyusun. Pantas.
Dalam masa kurang 2 minit semua kompang siap disusun. Kami terus menuju ke kawan-kawan yang menunggu.
Belum sempat kami buka mulut untuk berbual, tiba-tiba:
“Pang! Pang! Pang! Pang! Pang!”
Bunyi kayu diketuk dengan kuat datang dari arah pondok. Lebih tepat, dari keranda yang aku sangka kosong itu. Berterabur kami lari. Terus bertempiaran pulang ke rumah masing-masing.
Aku tak lena tidur malam itu. Berdebar-debar sampai ke pagi. Aku sedapkan hati, mungkin kompang-kompang yang disusun tinggi itu jatuh ke atas keranda.
Tapi esoknya, tiada siapa pun marah kami yang menyusun kompang. Kalau kompang jatuh, mesti kami kena marah.
Entahlah..


Nukilan : Fahmi Hassan
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.