Sunday, 4 June 2017

LOCENG - Fahmi Hassan


"Ding dong! Ding dong!"
Loceng di rumah berbunyi. Aku tersentak dari lena. Cahaya dari layar tv membuatkan aku sedikit silau.

Aku capai telefon bimbit. 11.30 malam. Aku bingung. Rasa baru sahaja aku baring tadi. Baju kemeja di badan kedut seribu.
Aku teringat akan bunyi loceng tadi. Perlahan aku bangun malas. Menyeret kaki ke pintu.
Aku intai melalui lubang intip. Kosong. Tiada siapa di luar. Hanya susunan kasut yang kemas. Pintu jeriji besi masih lagi tertutup kemas.
Mungkin aku bermimpi tadi. Siapa pula yang datang ke rumahku lewat malam begini.
Aku menuju ke peti ais. Pintu peti ais dibuka. Tanganku mencapai kotak jus limau. Ringan. Hampir kosong.
Aku kosongkan segala air didalamnya sehingga titisan terakhir.
"Ding dong!"
Sekali lagi loceng berbunyi. Kali ini aku tahu ia bunyi yang betul dan bukan dari mimpi. Aku terus ke pintu.
Aku intai ke luar. Masih kosong.
Dengan perasaan tak puas hati aku buka pintu. Ada kelibat laju melintasi pintu. Susuknya kecil.
Aku capai kunci dan buka pintu jeriji besi. Aku jenguk ke kanan. Pintu kecemasan menuju ke tangga masih tertutup.
Aku pusingkan kepala ke kiri. Kosong. Sepi.
Pintu ku kuncikan semula. Mungkin ada anak anak kecil yang nakal cuba bergurau. Gurauan bodoh yang menjengkelkan.
"Ding dong!"
Sekali lagi loceng berbunyi. Aku malas mengintai lagi. Pantas aku menuju ke arah penggera dan ku padamkan suisnya. Biar ia senyap malam ini. Biar anak jiran itu kepenatan berlari selepas menekan loceng.
Aku capai tuala untuk ke tandas. Sejak pulang dari pejabat petang tadi aku tertidur tanpa sempat mandi. Entah kenapa aku rasa sangat letih.
"Ding dong!"
Loceng berbunyi lagi. Meremang bulu romaku. Suis sudah dipadam. Mana mungkin ia terus berbunyi.
Perlahan aku menuju ke pintu. Mata kiri ku pejam. Mata kanan aku letakkan di lubang intip.
Sebiji mata merah sedang memandangku garang dari luar.
Aku tak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu. Aku sedar di hospital. Tidak mampu berkata kata. Tidak mampu bergerak.
Hanya mampu melihat dan mendengar. Mendengar doktor memberitahu ibuku yang aku mengalami pendarahan di dalam otak. Aku tak mungkin bercakap dan bergerak semula.
Nukilan: Fahmi Hassan 



Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: