Wednesday 31 May 2017

LANGSUIR FREEHAIR - Ahmad Muhsinin Zaidi


Hari ini aku kerja shift malam. Aku berkerja sebagai seorang MA di sebuah hospital sekitar Lembah Klang, di jabatan kecemasan. Hospital sekitar Lembah Klang macam ini memang tak pernah tak sibuk. Setiap masa ada pesakit teruk-teruk. Jam sudah menunjukkan jam 01:30 pagi. Aku sedang menaip report di komputer. Sejak petang tadi aku rasa loya dan pening kepala. Mahu sahaja aku ambik MC dan berehat, tapi apabila memikirkan tiada rakan yang sanggup menggantikan tempat aku, aku terus berkerja seperti biasa.
Sedang aku menaip report, kepala aku terasa berat. Dada aku terasa panas dan tekak mula rasa loya. Aku terus muntah di situ juga. Semua staf di zon merah memandang ke arah aku, beberapa saat kemudian mereka menyambung tugas mereka. Muntah aku tidak teruk jika nak dibandingkan dengan kes yang mereka sedang rawat di zon merah itu. Lagipun pasti mereka fikir aku sebagai seorang anggota perubatan tahu nak rawat diri sendiri. Aku terus bangun mencari cleaner, minta dia bersihkan muntah aku. Aku kemudian melangkah perlahan menuju bilik penyelia. Aku mahu maklunkan pada dia yang aku tidak sihat, aku mahu balik dan berehat di rumah. Penyelia aku pada malam itu adalah Encik Abdullah Sani, dia membenarkan aku balik berehat.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, semasa sedang memandu aku mula rasa lain macam. Aku setiap hari menggunakan lebuhraya untuk pergi balik kerja. Aku biasanya memandu dengan kelajuan lebih kurang 100km/j ke 120km/j. Malam ini aku rasa lain, kereta aku tidak dapat cecah kelajuan itu langsung! Aku pada mulanya fikir kereta aku mungkin ada masalah pada enjin, tapi selepas melihat meter RPM aku sudah naik hingga 5000 RPM pada kelajuan 60km/j, aku mula rasa ada yang tak kena. Jalan itu sunyi. Lebuhraya itu menuju ke Saujana Putra dan pada waktu begini memang tidak banyak kereta. Aku mahu balik ke Shah Alam.
Entah kenapa, aku mula rasa seram sejuk. Tiba-tiba semua cerita seram melintas di dalam kepala. Aku cepat-cepat menolak cermin pandang belakang ke arah lain, aku taknak tengok belakang. Aku risau kalau ada yang menumpang di tempat duduk belakang. Setakat ini masih tiada bau pelik atau bunyi yang tidak menyenangkan. Tahap keseraman aku masih boleh dikawal. Aku ternampak lampu sebuah kereta dari arah bertentangan. Aku rasa sedikit lega, sekurang-kurangnya aku tahu aku tidak keseorangan. Apabila kereta itu semakin rapat dan kami hampir berselisih, kereta itu bagi lampu tinggi. Berkali-kali dia bagi lampu. Aku syak barangkali di depan ada roadblock, tak pun ada kemalangan. Aku teruskan memandu, kereta aku masih berat, perlahan dari biasa.
Kemudian aku bertembung dengan sebuah lori pula, lori itu juga beri lampu tinggi. Aku mula pelik tapi aku teruskan perjalanan juga. Kemudian sebuah superbike memintas laju, semasa dia memotong aku, penunggang superbike itu memperlahankan motornya, dia menoleh ke arah kereta aku berkali-kali. Kemudian dia memecut pergi. Lebih kurang 5 minit kemudian, sambil aku melayan rentak muzik lagu Ka Ching oleh Shania Twain, aku perasan ada kelipan lampu biru putih dari belakang. Ah! Macam kereta polis peronda lebuhraya. Lampu itu juga bagi lampu tinggi dari belakang dan memotong aku, anggota di dalam kereta peronda itu membuka tingkap, melambai tangan seperti dan beri isyarat suruh aku berhenti. Aku makin resah, apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa semua kereta beri isyarat pada aku, macam cuba beritahu aku sesuatu, seolah-olah ada yang tak kena pada kereta aku.
"Encik, turun dari kereta sekarang"

Arah anggota polis itu.

"Kenapa? Apa salah saya? Kalau nak periksa lesen dengan IC, saya tak perlu keluar pun."

Aku membalas. Bukan apa, aku risaukan jika yang tahan aku itu bukan polis betul. Aku takut penyamun yang menyamar sebagai anggota polis.

"Ini satu arahan! Turun dari kereta awak, masuk kereta peronda kami, jangan toleh belakang!"

Anggota polis tadi semakin kasar. Dia sangat mendesak. Dia berdiri kira-kita tiga meter di hadapan kereta aku. Kereta perondanya pula di depan, rakannya sedang menunggu di dalam kereta.

Aku masih was-was. Aku risaukan jika aku masuk kereta peronda itu, mereka akan culik aku dan bunuh aku, buang mayat aku dalam estet. Tiba-tiba walkie talkie di pinggang anggota itu berbunyi.
"Sarjan Ghani kepada Koperal Farhan. Koperal Farhan mohon laporkan lokasi terkinj. Apa status pemandu tersebut? Bawa dia pergi dari situ serta merta. Over!"
Anggota itu menjawab,

"Koperal Farhan kepada Sarjan Ghani, kami sudah sampai di sini dan sedang cuba membawa pemandu pergi. ETA to base dalam masa 10 minit. Over!"

Aku mula percaya mereka anggota polis yang betul. Aku menoleh kiri dan kanan. Gelap gelita!
"Encik, diminta beri kerjasama, turun dari kenderaan awak dan masuk ke kereta peronda!"

Anggota itu memanggil lagi. Kali ini aku akur. Aku mengemas barang, mengambil telefon bimbit dan pouchbag aku. Belum sempat aku membuka pintu tiba-tiba aku rasa kereta aku digoncang!

Aku meluru keluar, berlari sekuat hati menuju ke arah kereta peronda, aku langsung tidak toleh ke belakang. Anggota polis itu terus bawa aku pergi. Suasana di dalam kereta peronda senyap sunyi. Beberapa minit kemudian kami sampai di sebuah R&R.
Aku cuba membuka mulut bertanya.

"Apa yang berlaku sebenarnya?"

Koperal Farhan menoleh ke belakang. Dia kemudian menjawab.

"Ada orang call kami, dia cakap dia nampak ada benda berdiri atas bumbung kereta awak."

"Ha?! Benda apa?!"

Aku terkejut. Serta merta bulu roma aku berdiri.

"Masa kami ikut awak dari belakang, apa yang kami nampak perempuan berambut panjang pakai jubah putih tengah berdiri. Rambut dia panjang sampai ke bonet." Jawab Koperal Farhan ringkas.
Aku cuma mendiamkan diri. Aku minta mereka hantar aku ke R&R Dengkil, kawan aku tunggu di sana. Kami berbual hingga subuh. Pukul 07:30 pagi kami pergi semula ke tempat kereta aku ditinggalkan, mujur kereta aku masih di situ dan tiada barang yang hilang.
Hari itu aku mula demam dan aku MC selama tiga hari.

p/s : Cerita ini rekaan semata-mata dan telah diolah semula. Berdasarkan cerita dari beberapa pihak
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.

Monday 29 May 2017

CERMIN - Tajul Ariffin Norsadan


“Din cepatlah! Aku nak balik ni. Dah pukul berape dah ni!” Kedengaran suara Daus menerusi telefon.
“Kejap-kejap, dah on the way dah ni.” Aku cuba mejawab panggilan Daus sambil menunggang motor.
“OK, cepat! Jangan singgah-singgah dah.” Daus mengeluh dan meletakkan panggilan telefon tersebut.
Jam sudah menunjukkan jam 9.15 malam. Aku sudah terlambat. Pendikit di pulas habis. Motor jenis Yamaha berwarna hitam ini meluncur dengan kecepatan tinggi. Soal keselamatan sudah tidak dipedulikan. Yang penting penting sekarang aku harus cepat.
Aku mencari tempat parkir motor setelah aku tiba di hospital. Sebuah hospital yang terletak di tengah bandar Sulawesi Selatan, Indonesia. Hospital ini menjadi tempat rujukan terakhir untuk seluruh kawasan selatan kepulauan Sulawesi.
Pusat Infeksi. Sebuah pusat di bina khas untuk menempatkan pesakit dengan penyakit berjangkit. Di situlah tempat aku bertugas malam ini. Ini malam pertamaku situ. Harap semuanya tenang tanpa ada kes kecemasan berlaku.
Kelihatan dari jauh kelibat Daus menunggu di depan pintu sambil menggalaskan begnya. Mungkin sudah tidak sabar untuk pulang.
“Sorry Daus. Tadi aku sakit perut. Aku dah siap dah tadi, tiba-tiba perut meragam.” Alasan biasa yang aku beri.
“Ah kau. Tu je alasan kau kalau terlambat.” Suara Daus agak tinggi.
“Alah, bukan aku sengaja. Dah termakan Mee Naga[1] . Nak buat macam mana?” balasku.
“Dah tahu nak jaga kau pergi makan pedas-pedas buat apa. Nah! Ni peta pesakit. Ko jangan tak buat round pulak” sinis.
“Tingkat 3 pun ada?” tanyaku.
“Ada.” Balasnya dan terus pulang.
Dengan keadaan berpeluhnya dan berlengas, aku pergi memeriksa setiap pesakit. Aku mulakan dengan tingkat 1. Jarang-jarang ada pesakit di sini. Biasa hanya pesakit yang menumpang dari wad lain. Aku ke tingkat 2. Di sini adalah yang paling banyak pesakitnya iaitu menempatkan pesakit dengan jangkitan paru-paru.
11.45 malam. Tingkat 3 belum lagi aku periksa dan di sini adalah tempat pesakit dengan penyakit berjangkit lainnya. Kebiasaannya untuk menaiki setiap tingkat kami lebih memilih untuk menaiki tangga kerana lebih cepat. Lif yang disediakan biasanya hanya digunakan oleh doktor-doktor pakar.
Akhirnya selesai di tingkat ini. Dengan penuh longlai aku menaiki tangga ke tingkat 3. Jam di tingkat sudah menunjukkan jam 12.03 tengah malam. Satu per satu anak tangga aku naik. Akhirnya aku sampai di tingkat paling atas. Betul-betul di hadapanku ada sebuah cermin. Cermin ini jadi tempat kebiasaan aku membetulkan rambut dan sekali-sekali membetulkan baju. Jadi sudah jadi kebiasaan aku untuk berbuat demikian setiap kali di depan cermin tersebut.
Segak. Bergaya. Aku bangga.
“Hensem.....”
Bisikkan halus ditelinga kedengaran sayup-sayup. Aku tidak pasti itu suara hati aku atau suara sesuatu. Bulu sudah menegak berdiri. Aku kaku. Di cermin tidak kelihatan apa-apa kecuali diriku tetapi aku dapat merasakan ada sesuatu berdiri di belakangku. Aku menguatkan diri. Pelan-pelan aku toleh ke kiri. Belum sempat aku toleh.
“Doktor, ke sini sekarang! Cepat! Ada patient kritikal!” Teriakan seorang jururawat lelaki kedengaran.
“Ye!” Aku berlari lintang pukang. Aku terus mendapatkan jururawat lelaki tersebut.
“Ye bang?.” setelah sampai didepannya. Aku berdebar. Jantungku laju berdegup.
“Tak, tadi saya dengar ada orang naik ditangga. Tiba-tiba senyap.” dia menjelaskan.
“Jadi, saya pergilah tengok kat CCTV.” Sambungnya lagi.
“ Saya nampak...”
“Ada yang benda berdiri kat belakang doktor tadi. Jadi, saya terus buat-buat panggil doktor.”
Malam itu aku tidur di bilik jururawat lelaki itu. Katanya sudah beberapa kali kejadian itu berlaku. Mungkin di tingkat 3 ini banyak pesakit yang kritikal dan meninggal akhirnya. Dan mungkin sebab itu, hanya jururawat lelaki sahaja bertugas di sini.
[1] Sejenis mee goreng yang popular di Sulawesi Selatan di mana pelanggan boleh memilih tahap kepedasan. Terdapat 10 level kepedasan.
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.

Saturday 27 May 2017

JANIN - Bel Nawhen


Dua line merah di 'pregnancy kit' ternyata mengujakan Maria. Usia Amir sudah masuk 2 tahun dan keinginan untuk hamil lagi membuak-buak.
Jika dihitung, hari itu genap 5 minggu kehamilannya. Kerana gusar impian itu menjadi angan-angan, terus dilakukan scan 4D di klinik berhampiran. Lega di hati apabila imej janin kelihatan jelas di filem dan skrin mesin scan. Mana tidak lega, keguguran sekali selepas melahirkan Amir pun cukup mendatangkan gangguan emosi kepada diri.
---
Bau yang busuk menganggu tidurnya. Pantas dalam kegelapan malam, mata mencari-cari di mana datangnya bau yang kurang enak itu. Nak kata ada bangkai binatang, mustahil. Anaknya membuang air? Itu memang bukan bau tahi!
Esoknya, tiba-tiba terasa sakit menyucuk terasa di pangkal rahim. Rasa sakit itu serupa dengan rasa sebelum keguguran setahun yang lepas.
Lantas, pesanan melalui Whatsapp dihantar kepada doktor yang merupakan rakan baiknya. Scan dilakukan segera.
"Aku tengok, kantung ada tapi janin macam belum ada lagi. Diikutkan bilangan minggu kehamilan kau, sepatutnya ada dah janin. Dah 10 minggu. Sepatutnya denyutan nadi dah nampak. Ni lebih kepada blighted ovum (kandungan tidak berjanin). Takpe. Kita tengok lagi 2 minggu. Kalau still kosong kantung kau, terpaksa cuci" ujar rakannya itu.
Hiba dan sayu rasa hati. Baru berangan mahu menimang cahaya mata. Berita yang diterima ternyata membawa khabar duka.
---
Hujung minggu, bagi mengurangkan resah di hati, Maria mengikut keluarga iparnya mendaki Bukit Jugra dan melawat istana lama di sana. Sambil mendaki bukit di awal pagi, debaran di dada menerbitkan rasa aneh di hati. Terasa ada mata yang memerhati.
Melintasi perkuburan cina pula, membuatkan Maria semakin tidak keruan. Rasa seram sejuk. Terlihat di matanya beberapa tubuh aneh berjalan laju ke kuburan masing-masing. Sambil menoleh kepadanya. Terkaku Maria disana. Terpegun.
Rasa sakit di perutnya kembali menyedarkan Maria. Merasakan apa yang dilihatnya tadi hanya khayalan semata-mata maka Maria mendiamkan diri.
Pendakian diteruskan lagi. Sampai ke puncak bukit, langkah diatur ke Istana Lama yang menjadi perhatian pelancong. Bersih. Terjaga.
Cuma, perasaan aneh masih menyelubunginya. Perasaan diperhatikan oleh entah siapa menganggu lagi. Kemuncak perasaan itu apabila terdengar bisikan halus kanak-kanak menyebut namanya.
"Maria"
Puas dicari. Namun tidak ditemui tuan punya suara.
"Mommy, tadi kita nampak kawan" ujar Auni.
"Amir, takut" ujar si adik dalam pelat.
Entah siapa yang mereka nampak pun tidak tahu. Bagi mengalih perhatian anak-anaknya, Maria menghampiri suaminya yang berkumpul bersama keluarga ipar.
---
Pulang ke rumah, rasa sakit menjadi-jadi diikuti dengan darah yang keluar tanda janin yang mungkin tidak terjadi.
Pedih

Perit
Sakit

Plan admit ke wad diteruskan. Esok Maria akan di D&C. Malam itu, tidak nyenyak tidur Maria. Gusar. Memikirkan kaitan gangguan di malam-malam sebelum.
3 malam berturut mimpikan janinnya ditarik rakus dari rahim. Tumpahan darah disana sini dengan senyum sinis wanita berbaju putih labuh berambut panjang selekeh. Rakus menjamah janinnya dan jeritan halus janin itu terdengar-dengar. Tiap kali terjaga dari mimpi, peluh dingin melencunkan bajunya.
--
Pembedahan selesai. Umpama di alam mimpi rasanya. Lama tidak dapat lena sebegitu. Cuma Maria mula rasa kehilangan. Umpama post partum blues. Maria hilang arah.
Rasa benci menggunung kepada siapa sahaja yang dilihatnya. Yang kelihatan dimata Maria, semua seolah memandangnya penuh benci. PARANOID. Hingga rakan sekerja pun tidak mahu dilihatnya.
3 malam berturut juga Maria tak tahu apa mimpi yang hadir. Cuma setiap kali bangun, Maria tercungap-cungap mencari udara. Mahu bercakap pun tak terdaya. Berjalan umpama mayat hidup yang tidak punya rasa.
Waktu maghrib, leka mengelamun di dalam gelap. Menangis meratapi nasib diri. Tidak berguna apabila sering keguguran. Suara-suara aneh bergelak ketawa di telinganya. Menuduh Maria isteri tidak ada apa-apa. Tahu hamil tetapi lekatnya tidak. Rambutnya terasa diusik. Kakinya terasa dicuit. Hari demi hari Maria semakin tertekan. Semakin menggunung sesal dan semakin benci kepada diri. Suara aneh sering menghasut. Sesak nafas Maria semakin parah.
Pisau dihala.
"Kau ceraikan aku! Aku benci kau. Kau cari isteri lain. Aku tak berguna. Kau cari skandal kau yang kau cinta!" jerkah Maria kepada Marwan.
"Atau kau bunuh aku. Aku penat macam ni. Aku benci kau. Aku benci semua" sambung Maria lagi.
Marwan kaget. Keadaan Maria parah. Belum pernah isterinya meminta yang tidak-tidak. Puas disabarkan isterinya. Bimbang jika bertindak di luar kemampuan. Dua anaknya sudah menjerit ketakutan. Kelihatan di mata mereka, itu bukan ibu tetapi entah makhluk apa yang membantu si ibu dalam amuk begitu.
Maria mengurung diri didalam bilik. Pegun. Bermain-main dengan pisau ditangan. Emosinya berkecamuk. Entah apa yang tak kena Maria tidak tahu. Benar-benar buntu.


.....Panggilan dari adiknya yang memaksanya balik untuk menyambut ulangtahun kelahiran ibunya terngiang-ngiang. Mahu tidak mahu dituruti permintaan si adik.

--
"Kaklong kau lain macam je. Ni bukan dia. Mana pernah dia macam ni. Senyap dan tak berbunyi. Macam jasad di sini tapi roh entah dimana. Bawa dia jumpa Pakcik Rahmat, ngah" bilang ibu.
--
Di rumah Pakcik Rahmat.
Pandangan Maria yang tajam penuh dendam kesumat menarik perhatian Pakcik Rahmat. Dia tahu ada benda menduduki tubuh wanita beranak dua itu.
"Cerita apa masalah"
"Tiada masalah. Disuruh ke sini maka aku turutkan. Cepat. Aku nak balik. Aku penat" ujar Maria bengis.
Kalimah Allah dibaca. Setiap baris kalimah meresahkan Maria. Terbakar di dada. Merebak ke kerongkong kemudian turun ke dada semula. Gelodak di dalam tubuhnya membuatkan Maria semakin tidak senang duduknya..
"Allahuakhbar!" laung Pakcik Rahmat sambil melakukan beberapa renjisan air ke tubuh Maria. Asap putih keluar, bertukar hitam apabila keseluruhannya dikeluarkan dari tubuh Maria.
Puff! Hilang.
Tangis mendayu kedengaran di luar rumah Pakcik Rahmat disertai dengan angin kuat seperti rempuhan makhluk entah apa. Bergegar isi rumah.
Sunyi.

Sepi.

"Minum air ni nak" ujar Pakcik Rahmat sambil menghulur secangkir air kepada Maria, disambut lemah dan dibantu suaminya.
"Isteri kau kemurungan. Apabila emosi berkecamuk, dengan diri yang sedar dalam hadas maka ada sahaja makhluk yang akan mendekat dan mengambil kesempatan. Rohnya diseru entah kemana pergi dan diganti dengan makhluk laknat itu. Jika terlambat, harus porak peranda rumahtangga kalian. Niat asal mahu kalian berpisah." panjang lebar Pakcik Rahmat memberitahu.
"Mimpi pertama dengan bau busuk itu amaran awal. Tanda ada yang sedang mendekati. Apabila mula alpa, maka kesempatan yang ada digunakan oleh makhluk itu. Janin kalian menjadi makanannya. Kemudian sedikit demi sedikit cuba memakan diri dari dalam" ujarnya lagi.
"Maka, sebagai suami kamu perlu sokong isteri dan fahami emosinya. Jangan kamu tidak ambil endah dengan aduan dan kegusarannya. Adakala, ilmu perubatan moden pun tidak boleh digunakan jika ia berkaitan dengan spiritual begini. Syaitan itu ada." ujarnya penamat bicara.

Tamat

Nukilan: Bel Nawhen
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.

Thursday 25 May 2017

KISAH SERAM MALAM JUMAAT (2) - Dziehan Mustapa


Hari itu aku kena stay after work kira overtime membantu Pn. Z untuk menyelesaikan pembelian ubat setelah duit peruntukan tambahan baru masuk.
“Dziehan, awak bantu saya yer petang ini, kita selesaikan pembelian ubat yang urgent dan running low on stock ini”
“Ok, puan. Kita kasi settle cepat supaya kita dapat bekalan ubat cepat dan tiada masalah di kemudian hari”
Jam telah pukul 5 petang dan kakitangan hospital telah mula beransur ansur pulang daripada kerja. Staff di stor farmasi pun dan mula satu-per satu meninggalkan cubicle mereka untuk pulang ke rumah.
“Pn. Z, saya ke surau dahulu yer untuk solat Asar”
Aku pun keluar daripada stor farmasi dan ke surau yang berada dihujung kawasan Hospital. Sebenarnya tidak la jauh sangat untuk berjalan kaki kerana bangunan stor farmasi, surau dan rumah mayat sahaja yang berada di penghujung kawasan Hospital.
Setelah selesai solat aku pun terus kembali ke stor farmasi.
Suasana rumah mayat seperti biasa, pasti akan ada sanak saudara, pelbagai kaum, pelbagai reaksi sedang menunggu untuk menuntut mayat keluarga, saudara-mara atau rakan mereka.
Setibanya di kawasan rumah mayat, suasana agak suram dan sedih melihat waris yang sedang menunggu. Insaf sebentar, suatu hari nanti kita semua pasti akan meninggal dunia dan meninggalkan keluarga dan sanak saudara kita.

Aku sampai di stor farmasi dan melihat Pn. Z sedang sibuk membuat pesanan ubat atas talian kepada pihak pemegang konsesi bekalan ubat-ubatan.
“Haaa, awak dah balik pun. Turn saya pula nak solat Asar yer. Awak teruskan membuat pesanan. Ikut dalam list atas meja itu”
Pn. Z pula keluar meninggalkan aku berseorangan dalam Stor Farmasi. Kaum wanita ada ruang solat seperti bilik kecil yang dijadikan surau di bangunan Stor Farmasi. So, tidaklah saya rasa takut sangat berseorangan sebentar kerana Pn. Z hanya ke surau wanita berdekatan.
“Eh budak Fadhli dan En. Nizam masih ada di dalam stor nampaknya” teriak aku sendirian. Fadhli itu budak PRP (Houseman Pharmacy) yang sekarang attach di Stor dan En. Nizam adalah Pembantu Tadbir di stor farmasi.
“Rajin pulak budak Fadhli ini tidak balik lagi. En Nizam tu tak apalah boleh clain overtime” bisik aku pada diri sendiri.
Dalam 15min kemudian Pn. Z pun masuk semula selepas bersolat.

Tiba-tiba mukanya pucat dan kelihatan cemas seperti terlihat ....
“Dziehan, saya harus segera untuk pulang ke rumah. Ada urusan keluarga yang urgent. Suami saya baru sahaja call saya. Boleh awak sambung kerja membuat pesanan ini?”

“EH...tentu sekali boleh. Tidak mengapa, family first Pn Z. Puan baliklah dahulu...jangan risau, saya boleh uruskan. Tidak banyak pun lagi” ujar saya
Pn. Z berbegas mengemas barang-barangnya dan bersiap untuk pulang atas urursan keluarga.
“Awak ok ke sorang-sorang kat stor ini?”

“Tidak mengapa Pn. Z, si budak Fadhli dan En Nizam ada kat adalam stor tu. Mereka pun belum balik lagi”
“Fadhli dan En Nizam bukan ..... (Tut, Tut, Tut...Bunyi telefon Pn. Z)”

Belum sempat Pn. Z menghabiskan ayat itu beliau terus menjawab telefon dan beredar keluar dengan cepat. Mungkin suami beliau telefon untuk segera pulang ke rumah.
Tinggallah aku sorang dalam bilik pejabat di stor farmasi itu. Depan aku ada tingkap kaca yang membolehkan aku melihat stor farmasi. Besar dan luas juga stor farmasi ini dengan rak ubat yang tersusun rapi mengikut jenis-jenis ubat.
Mana pulak budak berdua ini...si fadhli dan si zam?

Dah habis kerja ni boleh belanja mereka minum-minum di mamak. Rajin mereka buat kerja lebih masa. 
Kadang-kadang kita kena hargai staff kita, belanja sikit buat hati mereka gembira. 
Tapi.....tak nampak pulak kelibat mereka dalam stor itu melalui tingkap cermin di bilik dimana aku berada.

Cuma kedengaran bunyi printer ‘dot-metric’ treet...tit...tit, treet...tit....tit, treet...tit...tit, ....

“Hmmm ada lagi budak-budak tu rupanya. Ingatkan dah balik”.
Bunyi printer itu bermaksud mereka tengah print pesanan keluar “issue out” daripada sistem komputer untuk membolehkan mereka keluarkan ubat daripada stor dan membekalkannya mengikut pesanan daripada wad-wad.
Ku lihat jam telah pukul 7.15petang. kerja membuat pesanan dah hampir siap. Aku rasa baik aku ke surau dahulu untuk solat Maghrib. Agar selapas solat aku boleh selesaikan kerja dengan cepat. Selalunya bila dalam lepas waktu kerja ini sistem online pantas sikit. Kalau tidak macam siput jer.
Selesai solat sekali lagi aku akan melalui kawasan rumah mayat. Masih ramai lagi orang di kawasan rumah mayat ini.
Tiba-tiba aku terpandang sesuatu di atas bumbung stor farmasi daripada rumah mayat tu. Kelihatan kelibat putih yang terbang masuk ke dalam stor farmasi melalui bumbung.
Aku pandang dua kali untuk memastikan betul ker apa yang aku lihat....hmmm mungkin cuma banyangan sahaja dalam samar-samar senja yang akan menjadi gelap tidak lama lagi.
Setibanya aku di pintu pagar stor farmasi aku terdengar bunyi burung gagak. Lain macam bunyi burung gagak ini sebab ia hinggap dekat di atas pagar. Burung gagak itu memandang aku memasuki pejabat di stor farmasi dengan berbunyi sapaan yang nyaring seolah-olah ingin memberi tahu aku sesuatu.
Tapi aku tidak menghiraukannya sebab memang kawasan hospital aku tu banyak gagak. Bagi aku itu situasi biasa gagak akan berteriak.
Setibanya aku di dalam pejabat stor farmasi itu terasa sunyi sangat. Bunyi mesin printer ‘dot-metric’ tu pun tiada lagi. Namun lampu dalam stor masih terbuka.
“Masih ada lagi ke bubak-budak ni?” bisik hatiku sambil melihat ke dalam stor melalui tingkap cermin dihadapanku.
Hmmm tiada siapa pun kelihatan. Memang sunyi sangat dan aku terus duduk di kerusi hadapan desktop pejabat untuk membuat pesanan ubat seterusnya. Sedang aku memberi fokus untuk membuat pesanan ubat atas talian aku sedar seperti ada yang melambai-lambai dari dalam stor. Aku pun menoleh ingin melihat apakah yang melambai-lambai itu. Masa aku toleh tidak kelihatan apa-apa pun....
Aku teruskan kerja aku sambil memasang head phone dan mendengar lagu Metallica yang tengah up masa tu. Sekali lagi aku rasa bagaikan ada yang melambai-lambai dari dalam stor farmasi. Lalu aku cuba menjeling untuk mengintip apakah yang melambai itu.
Rupanya bendera Malaysia kecil dan diletakkan di setiap tiang rak ubat itu yang berkibar-kibar seolah-olah bagaikan ada yang melambai...aku teruskan kerja.
Tetapi kerja ku terhenti apabila aku menoleh semula untuk melihat bendera itu sekali lagi. 

“Eh bagaimana boleh ada kibaran bendera sedangkan stor ini bertutup dan tiada angin?”
Lama aku melihat bendera kecil itu. Pada setiap rak ubat tiada satu pun yang berkibar. Tiba-tiba bendera yang berada di rak tengah-tengah pula terusik-usik. Bukan seperti kibaran angin. Seperti ada sesuatu yang bermain dengan bendera tersebut.
Hati ku semakin tidak sedap. Aku terus masuk ke dalam stor ke kawasan meja kerja Fahdli dan En. Nizam. Aku ingin melihat sama ada mereka masih ada di situ atau tidak.
Bila aku menghampiri cubicle mereka di dalam stor tersebut kedengaran suara orang sedang berborak.
Hmmmm lega hati aku bila aku tahu Fadhli dan En. Nizam masih ada di situ. Aku teruskan perjalanan ke cubicle mereka...
Dup dap...dup dap....dup dap jantung ku tetiba berdegup laju...bulu romaku tegak berdiri.

Suara sahaja seperti ada orang yang sedang berborak namun tiada siapa pun di situ.
Aku menoleh ke kiri dan kanan dan tiba-tiba aku seolah-olah melihat kelibat putih yang aku lihat senja tadi di atas bumbung stor semasa balik daripada solat maghrib tadi.
Tiba-tiba lampu stor tertutup....

Seluruh ruang stor menjadi gelap gelita cuma sedikit sahaja lampu pejabat yang menerangi nun jauh dihadapan. Aku tidak menunggu lagi. Aku terus berlari secepat mungkin dari dalam gelap ke arah pejabat dan aku terus mengemas semua barang-barang kepunyaan aku ke dalam beg untuk beredar keluar daripada stor itu.

Masa itu memang aku dapat rasakan bahawa ada yang memerhati dan menghampiri aku. Tengah kelam kabut aku mengemas barang-barangku aku tercium pula bau. Yer bau kapur barus yang digunakan untuk mandikan mayat.
Aku dah tak sanggup lagi nak tunggu aku terus keluar daripada pejabat stor farmasi dan aku sempat punch out punch card aku yang diletakkan di pintu keluar pejabat stor farmasi itu...
Kemudian aku ternampak punch card En. Nizam yang berada 2 slot di bawah punch card aku. Aku menarik cardnya kerana ingin melihat pukul berapa En. Nizam pulang pada hari itu...alangkah terkejutnya aku apabila melihat pada punch card En. Nizam pada hari itu telah terketib masa pulang jam 5 petang. Habis itu yang berada dalam stor itu siapa?....Adakah itu yang cuba disampaikan oleh Pn. Z masa petang tadi sebelum beliau pulang ke rumah?
Adoiiii....aku betul betul rasa seram dan takut. Terketar-ketar tanganku. Aku terus menutup lampu pejabat stor farmasi dan mengunci pintunya secepat mungkin. Jantung aku masih berdegup laju. Bulu roma masih tegak berdiri....aku mula berjalan laju ke arah tempat letak kereta bertingkat untuk terus pulang ke rumah.
Aku masih merasakan ada sesuatu yang cuba mengekoriku. Habis semua ‘3-Kul’ dan 'Ayat Kursi' aku baca berulang-ulang kali. Setibanya aku di kawasan tempat parking hospital aku menekan butang lif untuk naik ke tingkat 5 tempat aku meletak keretaku.
Kawasan tempat letak kereta itu juga sunyi. Padahal masih awal lagi. Baru pukul 8.30 malam aku belik jam aku.
Aku menunggu dengan penuh tidak sabarnya ingin naik lif secepat mungkin. Pintu lif terbuka aku terus masuk ke dalam lif dan menekan butang tutup pintu lif secepat mungkin.
Alhamdullilah lif telah tertutup dan mula bergerak naik ke tingkat lima. Aku tersandar di dalam lif sambil cuba menenangkan ketakutan aku.
Tiba-tiba pintu lif terbuka di tingkat dua.

“Aduh....siapa pula yang tekan nak naik lif ni” bisik hatiku yang dalam ketakutan itu.
Tiada siapa pun kelihatan yang masuk ke dalam lif itu. Hati aku kembali lega....
Kemudian alat penggera lif berbunyi menunjukkan indikasi lif tersebut penuh “Overload”.
Bau kapur barus ini timbul semula dan aku di dalam lif itu tidak boleh begerak seperti kena 'tindih'.
Nak keluarkan suara menjerit pun tiada suara yang keluar. Pintu lif tertutup dan aku kelihatan seorang sahaja dalam lif yang overload....soalannya...overload dengan apa?
Lif mula bergerak ke tingkat 5. Aku cuba sedaya upaya aku untuk menggerakkan diri aku yang kena 'tindih' itu.
Aku baca dalam hati surah Kursi berkali-kali tanpa henti. Akhirnya pintu lif terbuka di tingkat 5 dan tiba-tiba aku terlepas daripada ditindih.

Aku terus keluar daripada lif tersebut dan terus belari pecut 100m ke arah kereta aku. aku masuk ke dalam kereta dan kunci pintu kereta aku.
Aku terus mencari CD bacaan surah Yassin dalam simpanan di keretaku. Cepat-cepat aku pasangkan CD itu dan terus menghidupkan enjin untuk bergerak keluar daripada tempat parking bertingkat itu.
Sepanjang perjalanan aku terus membacakan surat Yassin mengikut bacaan CD yang aku mainkan.
Setibanya dirumah aku tidak terus masuk ke dalam rumah ku. Aku duduk dalam kereta dan menghabiskan bacaan yassin. Setelah itu barulah aku keluar dan segera masuk ke dalam rumah.
Mak aku tegur...

“Kenapa pucat macam nampak hantu ini” 
Aku cuma mampu menggelengkan kepala dan menidakkannya.

Aku terus mandi dan masuk bilikku untuk tidur. Aku masih terketar-ketar dan dalam kepenatan aku tertidur tanpa menikmati makan malam yang mak aku hidangkan.
Ke esokkan harinya aku demam dan tidak hadir kerja. Pagi itu barulah aku menceritakan kepada mak aku apa yang telah terjadi.
Aku telefon Pn. Z menyatakan aku tidak hadir dan berkongsikan kisah aku dengan Pn. Z.
Pn. Z mengaku bahawa bukan kali pertama ada staff yang diganggu seperti yang aku alami di Stor Farmasi itu.
Semenjak hari uni aku tidak berani untuk stay back buat kerja di stor farmasi dan ramai juga yang tidak berani berada berseorangan di stor farmasi walaupun di siang hari.


Nukilan 

KISAH SERAM MALAM JUMAAT - Dziehan Mustapa


Pusat Matrikulasi Kolej XXX di selatan tanahair. Terletak di berdekatan dengan sebuah tasik. Sebenarnya Kolej ini telah lama dibina. Rekabentuk bangunan yang unik dengan tangganya berpusing (Spiral) hingga tingkat paling atas.
Bangunan asramanya juga adalah bangunan lama dan penuh dengan pelbagai cerita-cerita di sebalik batch demi batch pelajar yang menginap di bangunan asrama itu.
Salah satu peristiwa hitam yang pernah berlaku di bangunan asrama itu adalah seorang pelajar lelaki yang menggantungkan dirinya pada kipas dan meninggal di dalam bilik itu. Kalau ikut cerita daripada mulut ke mulut bilik tersebut telah ditutup takut ada gangguan kepada pelajar lain.
1998 adalah tarikh aku melangkah masuk ke alam Matrikulasi. Yer...aku dapat masuk ke kolej itu. Masa masuk ke Kolej XXX aku tidak tahupun semua sejarah yang pernah berlaku. Sehinggalah semester pertama selesai. Cerita demi cerita mula disampaikan dari mulut ke mulut.
Asrama lelaki cuma ada dua blok sahaja. Bangunan asramanya adalah dua tingkat. Seperti biasa lelaki ke menara gading memang sikit. Asrama perempuan pula besar dan ada 5 tingkat tidak silap aku.
Bilik yang berkunci tidak berpenghuni di asrama lelaki itu memang ada. Biliknya di tingkat bawah berkunci dan dijadikan stor untuk menyimpan katil dan tilam-tilam.
Ikut kata makcik Dewan Selera memang itulah bilik dimana kejadian bunuh diri itu berlaku. Ada masa kipas dalam bilik berkunci itu ‘on’ secara tiba-tiba dan kipas yang berpusing dalam bilik itu bekeriuk bunyinya mungkin sebab sudah uzur atas sudah rosak.
Suasana Kolej XXX ini memang nyaman sebab dikelilingi oleh pepohon besar pokok-pokok yang telah berpuluh tahun usianya. Memang redup dan sedikit berbukit kawasan kolej ini. Apabila tiba waktu senja memang akan timbul rasa seperti bukan kami sahaja yang menghuni kawasan di ‘lake garden’ itu.

Bilik aku...


Yer bilik aku terletak di tingkat satu paling hujung sekali. Sebelah bilik aku hanya ada kawasan lapang dan pohon pokok besar yang ditanam sebaris di sepanjang pagar kawasan asrama di atas bukit. Pandangan tingkap pula meninjau kawasan belakang asrama dan ampaian kain.

Setiap bilik akan ada 3 orang penghuni. Namun aku dapat bilik ‘special’. Cuma ada dua orang sahaja. Aku dan Herman. Namun bilik itu tetap ada 3 katil. Maksudnya bilik kami memang ada extra katil tidak bertuan. Kenapa yer bilik aku dan Herman hanya untuk dua orang sedangkan bilik rakan-rakan lain semuanya dengan 3 orang roomate?
Aku tak fikir apa-apa masa tu. Aku enjoy dapat bilik yang lapang dan tidak sempit kerana hanya aku dan hirman sahaja sebagai roomate. Malah ada satu locker kosong juga. Aku dan herman decide untuk guna sama katil kosong dan locker yang ada.
Tempoh pengajian Matrikulasi yang aku ambil cuma setahun sahaja. Maksudnya ada 2 semester. Aku ingat lagi masa semester pertama ketika minggu orientasi ada satu malam ini ustaz buat program di surau selepas Maghrib membawa ke waktu selepas Isyak untuk kami semua warga baru Kolej bersama-sama membaca surah Al-Baqarah dan habis membacanya beramai-ramai pada malam itu juga. Masa itu semua pun budak baru. Ikut sahaja tanpa banyak soal.
Masa berlalu dengan pantas. Semester pertama sudah ditempuhi. Tinggal satu semester lagi untuk kami semua melangkahkan diri ke menara gading.
Namun untuk menempuh semester kedua ini.....hmmmm

Pelbagai pula peristiwa yang kami rakan-rakan lelaki dan perempuan lalui semasa berada di kolej itu.

Dimulakan dengan pada satu malam jeritan sambung menyambung daripada penghuni asrama putri. Masa itu jam 2pagi. Kami kaum lelaki di asrama putra cuba berkumpul dan ingin melihat apakah yang berlaku. Kelihatan warden sibuk keluar masuk asrama putri. Rasanya ingin membantu tapi tidak dibenarkan oleh warden bertugas malam itu.
Lama juga peristiwa itu berlaku. Hingga jam 5 pagi baru selesai. Pagi itu ada beberapa orang pelajar perempuan tidak ke kelas. Rupanya peristiwa histeria berlaku. Kesihan juga pelajar perempuan yang diganggu pada malam itu.
Bagi kami kaum lelaki kejadian malam itu tidak memberi kesan ketara buat kami...mungkin sebab lelaki, macho sikit dan tidak gentar berdepan lembaga berbulu dan berantai seperti yang dikatakan oleh budak-budak perempuan sekelas dengan kami.
Rupanya mereka ini telah dikacau setiap malam oleh lembaga itu yang berjalan di koridor mereka setiap malam dengan bunyi seretan rantai dilantai. Yang melihat lembaga itu menceritakan ia besar berbulu, gelap dan tidak berwajah. Ada juga antara mereka yang pernah kena tindih dengan lembaga itu.
Aku dengar jer. Caya tak caya jer cakap geng perempuan dalam kelas aku.
Hidup rutin asrama aku macam biasa, pagi ke kuliah, petang ke kelas petang, petang bermain di padang yang kecil depan asrama, malam pergi prep dan balik basuh baju sikit sebelum kembali ke bilik untuk stay up study.
Mesti korang tertanya-tanya kenapa aku basuh baju malam hari. Sebab tempat membasuh baju terhad. Kalau waktu biasa kadang-kadang berebut. So aku buat kerja malam hari.
Sekitar pukul 11 malam. Aku berseorangan di dalam tandas untuk membasuh baju. Adakalanya aku rasa seperti ada orang yang sedang perhatikan aku dari bilik tandas paling hujung itu.
Aku toleh-toleh juga. Tapi tiada siapa. Namun riuh rendah rakan-rakan lain diluar yang menanti jam 12 malam untuk ‘light off’ buat aku sedikit berani dan tidak berasa takut membasuh baju sorang diri dalam tandas itu. Lagipun ada jer rakan-rakan yang keluar masuk menunaikan hajat sebelum masuk tidur.
Masa ‘light off’ cuma boleh buka ‘study lamp’ sahaja. Selalunya aku dan hirman akan stay up sikit sehingga pukul 1 atau 2 untuk mengulangkaji pelajaran. Al-maklumlah aku dan herman bukan ‘gifted student’ yang belajar last minute pun boleh skor. Kadang-kadang belajar di meja dan kadang-kadang atas katil.
Masa study tu memang akan berhadapan dengan tingkap. Tapi tak nampak apa pun sebab gelap diluar tu. Setakat nampak ampaian dengan baju-baju yang disedai sahaja. Ada masa aku rasa ada sesuatu yang melihat kami disebalik kain-kain bersidai di ampaian itu.
Bila ditoleh dan dipandang betul-betul tiada apa-apa pun. Kawasan Kolej itu sebelah malam memang berangin sikit. Nyaman jer dan tidak perlu aircond. Kadang-kadang aku rasa memang ada kelibat yang lalu dihadapan tingkap itu ketika aku dan Herman sedang study. Tapi aku tidak pernah pula bersuara atau berbincang dengan Herman berkaitan perkara ini walaupun dia juga merasakan perkara yang sama.
Oh yer, Herman ini memegang jawatan Ketua Pelajar masa aku di Kolej. Ada masanya Herman balik lewat sikit sebab ada meeting Persatuan Pelajar after prep. Aku tinggal berseorangan di dalam bilik. Tapi aku sentiasa rasa ada seseorang dalam bilik itu. Terutama di katil kosong dalam bilik aku itu. Walau bagaimannapun setakat hari itu aku tidak pernah pula ternampak kelibat berbaring di katil itu.
Setiap pagi seperti biasa selepas solat subuh semua pelajar akan bergegas untuk bersiap-siap ke kelas. Semua tergesa-gesa dan selalunya tidak sempat nak kemas-kemas bilik. Kemas sikit-sikit dan kumpulkan mangkuk bekas maggie yang dinikmati malam tadi dan cawan bekas milo di hujung sudut meja. Ini amalan biasa sejak semester pertama lagi. Nanti balik after makan tengahari baru aku basuh mangkuk dan cawan kotor itu. Herman pun begitu juga.
Selalunya aku akan keluar bilik dahulu. Aku sentiasa pesan kepada Herman;
“Man ko jangan lupa kunci bilik kita...nanti ada barang hilang pulak...dah la bilik kita paling hujung”
Begitulah pesan aku setiap pagi kepada roommate aku.

Herman memang amanah orangnya. Sebab aku balik setiap hari memang bilik berkunci. Setiap pelajar ada kunci bilik masing-masing. Namun ada satu perubahan ketara yang aku lihat berlaku pada Herman ini semenjak masuk semester kedua. Herman menjadi seorang yang rajin.
Maksud aku rajin sebab setiap kali aku balik ke bilik selepas makan tengahari aku lihat bilik kami telah berkemas. Katil yang kemas dan cadar yang tertarik tegang. Bukan katil Herman sahaja, katil aku pun Herman kemaskan. Katil yang kosong itu pun kemas juga. Semua mangkuk dan cawan juga telah dicuci. Wow baik sungguh Herman semenjak masuk semester kedua ini. Yelah, diakan ketua Pelajar. Memang patut menjadi contoh.
Pada suatu malam. Malam hujung minggu, selalunya aktiviti bebas. Ada yang ke kelas ada yang hanya lepak bilik. Masa tu aku dan hirman lepak dalam bilik jer sambil membelek-belek buku.

“Man aku nak ucapkan thank you kat ko” teriak aku kepada Herman.

“kenapa pula...thank you for what?” jawab Herman.
“yelah ko tolong kemas bilik, katil dan meja study everyday. Aku balik tengahari jer semua dah tersusun rapi...apa yang buat ko jadi rajin ni Man?”
“Ko biar betul An (Nama singkatanku). Aku pun nak tanya ko the same thing. Aku ingat ko balik after lunch dan tolong kemaskan katil aku dan katil kosong ni sekali”
“Ko jangan bergurau Man, bukan aku yang kemas”
“Aku pun tak kemas. Ko pun tahu aku mana sempat nak kemas pagi-pagi tu. After ko keluar bilik pergi ke kelas aku pun keluar camtu jer and kunci pintu”


Masa tu kami berpandangan antara satu sama lain dan mula merasakan sesuatu tidak kena.

Tetiba meremang jer bulu roma dan kami melihat kepada katil kosong yang kemas dengan cadar yang tertarik tegang itu.

“Man, ko ada nampak apa-apa ker dalam bilik kita” Aku memberanikan diri bertanya dengan herman malam tu

“Real nampak tak ada lah. Tapi aku rasa macam ada orang memerhatikan kita” Jawab Herman.
“Aku pun rasa camtulah”
“Habis camna ni An....seram aku”
“esok kita jumpa ustaz”


Malam tu aku dan Herman both tidak lena tidur. Meremang jer bulu roma. Mata kami asyik memandangkan katil yang kosong itu dan melihat sekali sekala ke arah tingkap. Malam itu sungguh lama rasanya. Akhirnya subuh pun menjelma. Dengan pantas aku terus ke surau dan diikuti rakan bilik aku, Hirman.
Pagi itu aku bisik pada Herman.

“Man, kita buat macam biasa. Jangan kemas bilik kita”
Man bersetuju dan faham dengan plan aku.

Pagi itu masa rehat pukul 10 pagi aku dan Herman terus ke bilik guru untuk berjumpa dengan Ustaz Yusuf. Setelah menceritakan semuanya kepada Ustaz Yusof, beliau secara spontan bersuara kecil;

“Dia kembali dah kembali semula”
“Apa ustaz?” teriak aku
“Tak ada apa-apa. Kamu berdua duduk bilik nombor berapa yer?”
Herman menjawab “Bilik nombor 25, bilik paling hujung tingkat bawah”
“OOOO patutlah. Awak sebilik dua orang sahajakan”
Dengan pantas aku menjawab “Yer ustaz. Mana ustaz tahu?kenapa bilik kami jer berdua?”

Kelihatan Ustaz semakin gelisah dan muka serba salah apabila aku mula bertanya berkaitan bilik aku dan Herman. 

“Jom kita ke bilik kamu berdua”

Aku dan herman pun bawa Ustaz Yusof ke bilik kami.

Yer betul jangkaan aku.
“Ustaz tengok, kemaskan bilik kami?” teriak aku kepada ustaz
Herman pula menyampuk; “Yer Ustaz, saya keluar pagi tadi saya tidak kemas satu benda pun dan cadar katil pun tidak tegang camni”
“Hmmmmm....”keluh ustaz...

Ustaz bagaikan telah mengetahui sesuautu

“Man, ko kumpulkan semua pelajar lelaki dan perempuan di surau untuk solat Maghrib dan Isyak malam ni...Prep malam ini dibatalkan. Namun pastikan semua wajib ke surau malam ini” arahan ustaz kepada Herman sebagai Ketua Pelajar.

Malam itu seperti yang diarahkan semua pelajar lelaki dan perempuan berada dalam surau ditingkat atas dewan selera. Selepas solat Sunat Ba’diah Magrib Ustaz mencapai mikrofon dan membuat pengumuman;
“Seperti yang telah diadukan kepada kami, ustaz dan warden yang bertanggungjawab di Kolej ini atas kes-kes yang dialami oleh rakan-rakan kamu berkaitan gangguan makhluk Allah sejak kebelakangan ini...maka malam ini kita berkumpul untuk membaca surah Al-Baqarah seperti mana kita pernah lakukan dahulu ketika baru masuk ke kolej ini...Ini ikhtiar kita agar Allah melindungi kita dan menjauhi kita daripada sebarang gangguan”
Peerrrghhh meremang bulu roma bila ustaz buat pengumuman macam itu. Seoalah-olah ustaz, warden dan guru-guru yang hadir bersama-sama malam itu telah lama mengetahui kewujudan mahluk Allah ini yang akan mengganggu para penghuni kolej itu setiap tahun.
Malam itu kami dibahagi-bahagikan beberapa kumpulan tadarus untuk membaca secara berjemaah surah Al-Baqarah. Setelah selesai membaca surah tersebut ustaz membacakan doa. Panjang juga doa yang dibacakan Ustaz Yusof malam itu.
Setelah selesai solat Isyak yang dilewatkan itu Ustaz berpesan agar tidak perlu berasa takut kerana ia juga Mahluk Allah. In Shaa Allah, Allah melindungi kita semua kata ustaz.
Kami putra dan putri penghuni Kolej XXX malam itu balik ke bilik dengan perasaan bercampur-campur. Perasaan seram, takut dan ingin tahu apakah perkara sebenar yang telah berlaku sehinggakan mahluk ini datang mengganggu.
Tapi bagi situasi aku dengan Herman, aku rasa tidak diganggu malah dibantu. Namun menyedari ia bukan manusia membuat aku dan rakan sebilik aku takut juga untuk tidur dalam bilik kami malam itu.
Mungkin atas faktor kepenatan aku dan Herman tertidur juga amalm itu dalam bilik kami. Bila bangun pagi Alhamdulillah seperti biasa. Masa aku hendak keluar bilik aku cuma memberi arahan lisan kepada Herman agar tidak mengemaskan bilik kami. Saja hendak lihat adakah bilik kami masih akan kelihatan kemas apabila balik selepas makan tengahari nanti.
Ternyata bilik kami kelihatan seperti mana kami tinggalkan pada awal pagi tadi.

“Man lihat bilik kita...Alhamdulillah”
“Alhamdulillah An...tapi tak best la pulak dah tak ada siapa nak bantu kita kemaskan bilik ni”
“Ko ni man, aku sanggup kemaskan untuk ko janji bukan...”

Semenjak hari itu sehingga kami tamat pengajian matrikulasi di Kolej XXX, tiada lagi gangguan berlaku di asrama putra dan putri. Bilik kami bersepah seperti biasa. Rahsia cerita disebalik gangguan itu masih kekal menjadi rahsia antara Ustaz dan warden-warden di situ...
Aku pernah terfikir,mungkinkah katil kosong itu milik pelajar yang membunuh diri tersebut? dan biliknya sebenarnya bukan bilik stor simpan katil dan tilam, namun bilik bernombor 25...?
Nota: Cerita ini cuma rekaan semata-mata dan tiada sebarang kaitannya antara individu yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Hanya untuk bahan bacaan santai sahaja. Don't take it seriously. Semua sekolah asrama ada ceritanya masing-masing. Tapi tak adalah sehingga menjejaskan sesiapa. Sekadar mengenang kisah lama zaman matrikulasi yang best bersama-sama rakan-rakan. Jangan takut, tiada apa yang seramnya di Kolej itu kecuali tak bersedia untuk ambil exam 

Sekian Terima Kasih


Penulis : Dziehan Mustapa