Wednesday, 24 May 2017

ADRENALINA - Kamarul Ariffin Nor Sadan


“Cari apa kereta apa, bang?” soal jual.
Aku dah serik beli kereta lagi, namun aku dah tak ada pilihan lain. Aku dah tak sanggup naik bas untuk ulang alik dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya. Termasuk masa menunggu bas, perjalanan pergi ambil masa 2 jam, balik pula 3 jam.
Aku pun tak tahu kenapa balik ambil masa lebih lama. Mungkin kerana penjawat aman masuk kerja pukul 8 pagi, pekerja sektor swasta pula masuk kerja 9-10 pagi, jadi tak berapa sesak. Tetapi waktu petang, kedua-duanya pulang serentak—jam 5 petang.
4 bulan lepas aku beli sebuah kereta terpakai— Proton Putra. Enjin 4G93P 1.8L nya telah diganti dengan 4G63GT Mitsubishi EVO III dan dipadankan pula dengan sistem turbo TD05. Senarai modifikasi kereta ini berakhor di situ. Komponen lain semuanya masih stok.
Aku tak dapat tahan desakan untuk memiliki kereta ini kerana harga yang ditawarkan oleh penjual amat sukar ditolak. Hanya RM10,000. Tak masuk akal. Tapi,memandangkan ia kereta idaman aku, aku takkan lepaskan peluang memilikinya walaupun ada risiko kereta ini bermasalah.
Pada hari aku bawa kereta kuning itu pulang ke rumah, aku menguji kemampuan kenderaan itu. Pendikit minyaknya sangat responsif, tekan sahaja, terus dapat rasakan tujahannya. Pikapnya hebat. Namun, sistem kemudi dan brek pula sebaliknya. Ini menjadikannya sukar dikawal.
Namun begitu, semakin lama aku pandu kereta itu, semakin aku mengenali watak dan karektornya. Kami jadi sahabat kamcing. Ya, aku bersahabat dengan sebuah kereta. Gandingan yang tak masuk akal tetapi itulah hakikatnya.
Pada suatu malam, sedang aku menelusuri Lebuhraya Utara Selatan ke arah utara, aku terasa desakan untuk memecut lebih laju. Padahal, ketika itu aku sudah pun jauh melampaui halaju yang dibenarkan.
“Lagi…”
Pada mulanya aku ingat ia adalah desakan hati aku, sebab ia seperti datang dari dalam diri aku. Aku biasanya akan tidak mengendahkan perasaan itu. Namun, semakin lama, desakan itu berubah menjadi sesuatu yang ada kewujudannya sendiri. Sehingga pada satu tahap, aku boleh dengar suara itu di telinga.
“Lagi… “
Suara itu lembut, sayup dan bersifat memujuk. Seperti suara berbisik dalam hembusan nafas yang tenang. Sukar aku gambarkan kesan suara itu pada kewarasan aku. Ia bagai menyuntik keghairahan untuk aku pergi lebih laju dan laju. Adakah ini sebenarnya desakan adrenalina?
220km/j.
Sedar-sedar jarum speedometer telah mencecah halaju tertinggi pada bacaan meter halaju kereta buatan tempatan ini. Aku segera mendapatkan diriku semula dan memperlahankan kereta. Bulu romaku berdiri, meremang memikirkan apa yang baru sahaja berlaku. Tak sangka begitu sekali penangan adrenalina.
Tak hairanlah ramai yang sanggup memperjudi nyawa untuk lakukan perkara-perkara berbahaya seperti memanjat papan tanda yang berpuluh kaki tingginya, atas nama keseronokan. Malah ada yang memanjat menara KLCC tanpa sebarang pendakap keselamatan. Itu semua bagi melampiaskan ketagihan adrenalina.
Gila!
Sepanjang aku di Melaka, tiada perkara aneh berlaku. Bandar Melaka, jalan raya tidak luas. Kebanyakan masa aku bertenda dengan deretan kereta dalam kesesakan jalan raya. Nasib baiklah tak seteruk di bandaraya Kuala Lumpur.
Beberapa hari berlalu, dan sebaik sahaja urusan aku di Melaka selesai, aku terus memandu pulang ke Johor Bahru. Aku harus balik malam itu juga, kerana esok aku perlu masuk pejabat. Sebaik sahaja aku melewati Hentian Sebelah Yong Peng, aku di datangi sekali lagi dengan bisikan si adrenalina.
“Lajuuuu…”
Seperti dirasuk, aku menekan pendikit minyak lebih lagi. Mengabaikan pengalaman hari sudah. Kereta coupe dua pintu aku pun meluncur laju membelah kegelapan malam. Jam 2 pagi lebuhraya lengang, membolehkan aku memecut sekehendak hati tanpa halangan.
“Lagi…”
Bisikan itu semakin jelas, semakin dekat. Bagai di cuping telinga. Kini aku dapat rasakan seolah-seolah ia milik seorang gadis. Manja, menggoda dan menghayalkan. Aku turuti permintaannya. Gear ditukar, pendikit ditekan, senyuman terukir dibibir.
Deruman enjin dan bunyi geseran angin memenuhi ruang kabin. Ia bagai simfoni yang melalaikan. Getaran stereng dan papan pemuka bagaikan stimulasi sensori yang menyamankan. Aku di ambang berahi.
“LAGI!”
Suara itu kini bukan lagi bisikan, malah berubah menjadi dengus yang tegas dan kasar. Demi Tuhan, aku terasa nafas yang hembus bersama suara itu telinga kiri, sehingga aku spontan memalingkan muka ke arah suara itu.
Jantung aku berhenti berdegup, masa berhenti berdetik dan alam semesta berhenti berputar.
Di antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, terpacul wajah seorang perempuan yang lesu. Matanya kuyu, namun lirik senyuman yang menghiasi wajah pucat itu mencarik semangat diri yang menghuni tubuh ini. Senyuman itu penuh keterujaan. Penuh muslihat. Penuh intimidasi.
Pedal brek diinjak kuat, ankup brek mengetap. Walaupun roda sudah berhenti, momentum terus mengasak kereta ke hadapan. Geseran tayar dan tarmak, berciut nyaring menyebabkan bulu roma merinding. Bau getah mencair menyelinap masuk ke dalam kabin.
Kereta semakin tersasar ke bahu jalan dan aku tidak dapat mengawal arah keadaan itu. Kemudi stereng terkunci kerana aku menekan keras pedal brek berterusan. Walaupun terasa masa begitu lewat berlalu, cemas menumpulkan kemampuan berfikir.
Aku hanya kaku melihat muncung kereta menghentam benteng jalan. Aku amati bagaimana hud hadapan mulai remuk. Cermin hadapan merekah dan serpihannya menghujani kabin. Aku menutup mata selepas itu, dan dunia pun hilang dari minda.
Bila aku sedar, muka aku terasa kebas. Aku tak pasti terhantuk pada apa. Mataku berkunang-kunang, dunia bagai keladak hitam yang berpusar. Telinga pula berdesing, seperti ada sekawanan nyamuk yang bertelagah di dalam cerobong telinga.
“Lagi?”
Dalam desingan yang menjengkelkan itu, aku terdengar suara yang jahanam itu. Tersulam sindiran dalam nadanya. Lekas-lekas aku buka tali pinggang keledar dan membuka pintu. Lantas kepalaku terhentak ke bumbung. Serpihan kaca yang ada di bumbung terbenam ke dalam kulit kepala. Peritnya Tuhan sahaja yang tahu.
Aku tak sedar kereta aku terbalik.
Aku gagahkan diri merangkak keluar, dan semasa proses itu aku alami lebih banyak luka di tangan dan bahu kerana terguris dengan serpihan kaca. Aku gunakan semua kudrat yang bersisa dalam tubuh aku untuk menjauhkan diri daripada kereta.
Melihat daripada jarak ini, baru aku sedar kereta aku mungkin telah bergolek beberapa kali. Salah satu tayar hadapannya tiada. Fender hadapan dan hud robek, menampakkan jantung dermaan EVO III di dalamnya.
Kemudian di tingkap belakang, aku perasan makhluk itu menekapkan pipi kanannya ke cermin tingkap, begitu juga kedua-dua belah tapak tangannya. Mata kuyunya tadi kini terjegil memerhati aku. Entah apa sejarah silam kereta ini. Patutlah dijual dengan harga yang rendah.
“Abang OK?”
Seorang pemuda menyapa, lantas memeriksa keadaan aku. Beberapa orang lagi pengguna lebuh raya tiba. 10 minit selepas itu, kawasan nahas ini sudah seperti tapak pesta. Dikerumuni manusia. Tak sangka awal pagi sebegini, ramai juga masih menggubakan lebuhraya.
Aku dibawa ke hospital terdekat dan dubenarkan pulang pada keesokan harinya. Kereta aku pula ditunda ke bengkel. Selepas penilaian, ia diisytiharkan tidak selamat untuk diperbaiki dan perlu dimusnahkan. Baguslah macam tu.
Pihak insurans kereta tak mahu ganti rugi. Ketidakseimbangan modifikasi dipersalahkan. Enjin prestasi tinggi perlu dipadankan dengan sistem brek setara prestasinya. Begitu juga dengan sistem gantungan dan sokongan chasis.
“Cari apa kereta apa, bang?” soal jurujual sekali lagi.
“Proton Arena” jawabku.
“Nak buat kenderaan meniaga, ya?” balas si jurujual cuba beramah mesra. Kenderaan pikap ringan ini sememangnya pilihan popular di kalangan peniaga pasar malam.
“Taklah. Aku takut ada hantu duduk belakang aku. Kalau tak ada tempat duduk belakang, tak cuak sangat.” balasku pula.
“Hahaha. Sarkastik betul abang ni.” ujar jurujual yang berkacamata hipster itu sambil tersengih-sengih. Tak ubah macam kerang busuk.
Lantaklah dia nak fikir aku sarkastik atau apa. Tiada masa aku nak terangkan kisah di sebalik pilihan aku ni. Aku perlukan kenderaan untuk ke tempat kerja. Kenderaan yang tak akan ada “adrenalina” yang boleh duduk di belakang aku. Nak beli supercar tak mampu pula.
Sekarang kau tahu apa itu desakan adrenalina! Maka, hati-hatilah wahai penagih adrenalina sekalian. Silap hari, Adrenalina akan menjelmakan diri.

No comments: