Wednesday, 31 May 2017

LANGSUIR FREEHAIR - Ahmad Muhsinin Zaidi


Hari ini aku kerja shift malam. Aku berkerja sebagai seorang MA di sebuah hospital sekitar Lembah Klang, di jabatan kecemasan. Hospital sekitar Lembah Klang macam ini memang tak pernah tak sibuk. Setiap masa ada pesakit teruk-teruk. Jam sudah menunjukkan jam 01:30 pagi. Aku sedang menaip report di komputer. Sejak petang tadi aku rasa loya dan pening kepala. Mahu sahaja aku ambik MC dan berehat, tapi apabila memikirkan tiada rakan yang sanggup menggantikan tempat aku, aku terus berkerja seperti biasa.
Sedang aku menaip report, kepala aku terasa berat. Dada aku terasa panas dan tekak mula rasa loya. Aku terus muntah di situ juga. Semua staf di zon merah memandang ke arah aku, beberapa saat kemudian mereka menyambung tugas mereka. Muntah aku tidak teruk jika nak dibandingkan dengan kes yang mereka sedang rawat di zon merah itu. Lagipun pasti mereka fikir aku sebagai seorang anggota perubatan tahu nak rawat diri sendiri. Aku terus bangun mencari cleaner, minta dia bersihkan muntah aku. Aku kemudian melangkah perlahan menuju bilik penyelia. Aku mahu maklunkan pada dia yang aku tidak sihat, aku mahu balik dan berehat di rumah. Penyelia aku pada malam itu adalah Encik Abdullah Sani, dia membenarkan aku balik berehat.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, semasa sedang memandu aku mula rasa lain macam. Aku setiap hari menggunakan lebuhraya untuk pergi balik kerja. Aku biasanya memandu dengan kelajuan lebih kurang 100km/j ke 120km/j. Malam ini aku rasa lain, kereta aku tidak dapat cecah kelajuan itu langsung! Aku pada mulanya fikir kereta aku mungkin ada masalah pada enjin, tapi selepas melihat meter RPM aku sudah naik hingga 5000 RPM pada kelajuan 60km/j, aku mula rasa ada yang tak kena. Jalan itu sunyi. Lebuhraya itu menuju ke Saujana Putra dan pada waktu begini memang tidak banyak kereta. Aku mahu balik ke Shah Alam.
Entah kenapa, aku mula rasa seram sejuk. Tiba-tiba semua cerita seram melintas di dalam kepala. Aku cepat-cepat menolak cermin pandang belakang ke arah lain, aku taknak tengok belakang. Aku risau kalau ada yang menumpang di tempat duduk belakang. Setakat ini masih tiada bau pelik atau bunyi yang tidak menyenangkan. Tahap keseraman aku masih boleh dikawal. Aku ternampak lampu sebuah kereta dari arah bertentangan. Aku rasa sedikit lega, sekurang-kurangnya aku tahu aku tidak keseorangan. Apabila kereta itu semakin rapat dan kami hampir berselisih, kereta itu bagi lampu tinggi. Berkali-kali dia bagi lampu. Aku syak barangkali di depan ada roadblock, tak pun ada kemalangan. Aku teruskan memandu, kereta aku masih berat, perlahan dari biasa.
Kemudian aku bertembung dengan sebuah lori pula, lori itu juga beri lampu tinggi. Aku mula pelik tapi aku teruskan perjalanan juga. Kemudian sebuah superbike memintas laju, semasa dia memotong aku, penunggang superbike itu memperlahankan motornya, dia menoleh ke arah kereta aku berkali-kali. Kemudian dia memecut pergi. Lebih kurang 5 minit kemudian, sambil aku melayan rentak muzik lagu Ka Ching oleh Shania Twain, aku perasan ada kelipan lampu biru putih dari belakang. Ah! Macam kereta polis peronda lebuhraya. Lampu itu juga bagi lampu tinggi dari belakang dan memotong aku, anggota di dalam kereta peronda itu membuka tingkap, melambai tangan seperti dan beri isyarat suruh aku berhenti. Aku makin resah, apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa semua kereta beri isyarat pada aku, macam cuba beritahu aku sesuatu, seolah-olah ada yang tak kena pada kereta aku.
"Encik, turun dari kereta sekarang"

Arah anggota polis itu.

"Kenapa? Apa salah saya? Kalau nak periksa lesen dengan IC, saya tak perlu keluar pun."

Aku membalas. Bukan apa, aku risaukan jika yang tahan aku itu bukan polis betul. Aku takut penyamun yang menyamar sebagai anggota polis.

"Ini satu arahan! Turun dari kereta awak, masuk kereta peronda kami, jangan toleh belakang!"

Anggota polis tadi semakin kasar. Dia sangat mendesak. Dia berdiri kira-kita tiga meter di hadapan kereta aku. Kereta perondanya pula di depan, rakannya sedang menunggu di dalam kereta.

Aku masih was-was. Aku risaukan jika aku masuk kereta peronda itu, mereka akan culik aku dan bunuh aku, buang mayat aku dalam estet. Tiba-tiba walkie talkie di pinggang anggota itu berbunyi.
"Sarjan Ghani kepada Koperal Farhan. Koperal Farhan mohon laporkan lokasi terkinj. Apa status pemandu tersebut? Bawa dia pergi dari situ serta merta. Over!"
Anggota itu menjawab,

"Koperal Farhan kepada Sarjan Ghani, kami sudah sampai di sini dan sedang cuba membawa pemandu pergi. ETA to base dalam masa 10 minit. Over!"

Aku mula percaya mereka anggota polis yang betul. Aku menoleh kiri dan kanan. Gelap gelita!
"Encik, diminta beri kerjasama, turun dari kenderaan awak dan masuk ke kereta peronda!"

Anggota itu memanggil lagi. Kali ini aku akur. Aku mengemas barang, mengambil telefon bimbit dan pouchbag aku. Belum sempat aku membuka pintu tiba-tiba aku rasa kereta aku digoncang!

Aku meluru keluar, berlari sekuat hati menuju ke arah kereta peronda, aku langsung tidak toleh ke belakang. Anggota polis itu terus bawa aku pergi. Suasana di dalam kereta peronda senyap sunyi. Beberapa minit kemudian kami sampai di sebuah R&R.
Aku cuba membuka mulut bertanya.

"Apa yang berlaku sebenarnya?"

Koperal Farhan menoleh ke belakang. Dia kemudian menjawab.

"Ada orang call kami, dia cakap dia nampak ada benda berdiri atas bumbung kereta awak."

"Ha?! Benda apa?!"

Aku terkejut. Serta merta bulu roma aku berdiri.

"Masa kami ikut awak dari belakang, apa yang kami nampak perempuan berambut panjang pakai jubah putih tengah berdiri. Rambut dia panjang sampai ke bonet." Jawab Koperal Farhan ringkas.
Aku cuma mendiamkan diri. Aku minta mereka hantar aku ke R&R Dengkil, kawan aku tunggu di sana. Kami berbual hingga subuh. Pukul 07:30 pagi kami pergi semula ke tempat kereta aku ditinggalkan, mujur kereta aku masih di situ dan tiada barang yang hilang.
Hari itu aku mula demam dan aku MC selama tiga hari.

p/s : Cerita ini rekaan semata-mata dan telah diolah semula. Berdasarkan cerita dari beberapa pihak
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: