Thursday, 1 June 2017

PALUAN - Fahmi Hassan


Waktu aku masih bersekolah, aku selalu bermain kompang untuk pasukan kompang di kampung. Ya, kompang yang orang sewa waktu ada majlis perkahwinan. Biasalah di Johor, kalau tak ada kompang, baik tak payah buat majlis kahwin.
Untuk memastikan paluan kompang kami tidak sumbang, latihan memang sangat penting. Biasanya latihan dilakukan selepas solat Isya’ hari Jumaat, sekitar jam 9 sehingga 11.
Nak main kompang ini memang nampak mudah. Tapi sebenarnya satu pasukan kompang perlu ada pemain untuk 3-4 jenis pukulan berbeza untuk jadikan rentak yang sedap. Nak lagi sedap kena ada jidur. Kadang-kadang ada lagu yang kena ada tamborine juga.
Jidur tu apa? Ala, gendang besar yang ketuk pakai kayu tu. Kau google lah gambar dia. Aku bukan nak cerita pasal cara bermain kompang sebenarnya.
Yang menariknya, tempat latihan kompang tu adalah sebuah pondok kerja seorang tukang kayu, merangkap ketua pasukan kompang. Dan salah satu kepakaran tukang kayu ini adalah membuat keranda.
Oleh sebab itu, memang selalu lah ada keranda kosong di situ. Ye lah, tak akan orang dah meninggal baru nak buat keranda. Sediakan keranda sebelum meninggal sama lah macam sediakan payung sebelum hujan.
Semua peralatan kami disimpan di pondok. Jadi setiap kali selepas bermain kompang di mana-mana tempat, adalah beberapa orang yang akan ditugaskan menyimpan semua kompang semula. Simpan kompang pun ada sistem. Kalau berterabur, siap lah yang bertugas kena marah.
Sampailah kepada satu malam, kami diminta untuk bermain kompang bagi satu majlis pernikahan. Agak pelik juga lah, majlis pernikahan pun nak berkompang. Malam pula. Tapi atas dasar tanggungjawab, kami pun menjalankan tugas dengan penuh ikhlas.
Selepas selesai bermain kompang, perlu tunggu majlis selesai kerana tuan rumah menjemput kami untuk turut makan. Agak lewat juga lah kami pulang. Hampir pukul 11.
Malam itu aku dan 5 orang lagi ditugaskan untuk menyimpan peralatan kompang. Kami pun berbasikal sambil membawa kompang-kompang dan jidur. Tidak lah jauh pun.
Entah kenapa malam itu rasa lain. Kami berborak-borak cuba bercerita kelakar tapi tetap rasa lain. Gelak-gelak pun tak ceria. Seperti gelak penonton Maharaja Lawak untuk persambahan bertaraf satu ‘ha’.
Sampai di pondok, semua menolak untuk menyusun kompang. Biasanya hari latihan, lampu di pondok akan dibuka. Tapi hari ini pondok gelap. Suis lampu pula terletak di rumah Pak Saleh. Pak Saleh pula garang orangnya. Tak ada orang berani kacau dia suruh buka lampu.
“Kau lah simpan. Kau lah. Kau lah”
Semua menolak-nolak. Seram. Terbayang macam-macam.
“Kau orang semua penakut. Biar aku je lah”
Akhirnya salah seorang dari kami tunjuk berani. Alhamdulillah. Lega rasa.
Oleh sebab kompang ada banyak, jadi perlu dua tiga kali juga dia ulang alik menghantar kompang. Trip yang pertama kami lihat dia berlari-lari.
“Fahmi, teman aku lah. Ada keranda doh”
Hmm. Terpaksa aku tunjuk berani. Kesian juga dia seorang. Kalau berdua kurang sedikit seramnya.
Aku bahagikan jumlah kompang yang perlu diangkat sama rata. Kami susun betul-betul supaya boleh dihabiskan dalam satu trip sahaja. Termengah-mengah aku angkat.
Waktu aku susun kompang di rak, aku menjeling sahaja keranda yang ada di bawah. Nampak keranda itu lebih bermotivasi aku menyusun. Pantas.
Dalam masa kurang 2 minit semua kompang siap disusun. Kami terus menuju ke kawan-kawan yang menunggu.
Belum sempat kami buka mulut untuk berbual, tiba-tiba:
“Pang! Pang! Pang! Pang! Pang!”
Bunyi kayu diketuk dengan kuat datang dari arah pondok. Lebih tepat, dari keranda yang aku sangka kosong itu. Berterabur kami lari. Terus bertempiaran pulang ke rumah masing-masing.
Aku tak lena tidur malam itu. Berdebar-debar sampai ke pagi. Aku sedapkan hati, mungkin kompang-kompang yang disusun tinggi itu jatuh ke atas keranda.
Tapi esoknya, tiada siapa pun marah kami yang menyusun kompang. Kalau kompang jatuh, mesti kami kena marah.
Entahlah..


Nukilan : Fahmi Hassan
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: