Showing posts with label Shephali. Show all posts
Showing posts with label Shephali. Show all posts

Friday, 29 December 2017

SYARAT TUBUH - Shepali


3 Dalam 1
______________
SYARAT TUBUH
Karya: Shephali

Ini kisah kakak aku, Angah, yang mengamal ilmu entah apa-apa dan membawa kesan buruk pada dirinya. Angah jatuh sakit dua minggu sebelum raya, sakitnya agak teruk tapi bila dibawa ke hospital doctor kata demam biasa sahaja dan kurang air didalam badan. Dah bermacam ubat dia makan tapi tak sembuh-sembuh.

Pada hari raya ketiga, tiba-tiba angah telah diserang histeria dirumah, bertempik-tempik kemudian pengsan, kami semua terpaku tidak tahu apa yang harus dilakukan, kami telah memanggil mak saudara aku, kerana dia mempunyai kelebihan sedikit dalam bidang mistik, tetapi Mak saudara aku tidak mahu mengubat orang kerana dia tidak akan sedarkan diri sewaktu proses mengubat. Mak sedara aku cakap mungkin angah kena buatan orang, mungkin masa bulan puasa syaitan kena ikat, jadi tak berapa aktif sekarang sudah bulan syawal maka syaitan telah di bebaskan.

Mak aku cuma meminta bantuan kawannya untuk lihatkan angah, macam-macam ayat yang telah dibaca oleh kawan mak aku tetapi angah masih tidak berubah, bertempik pengsan bertempik pengsan. Sedang dalam keadaan semua buntu tiba-tiba kakak ipar aku pula menangis, katanya kepala berat, kami syak histeria ni sudah berjangkit, mak aku suruh aku turun pergi rumah mak saudara aku, tetapi baru saja kaki melangkah keluar, kakak aku pula menangis dan kemudian anak saudara aku juga turut menangis bertempik.

Semasa proses mengubat hendak dimulakan, aku telah dipaksa untuk memegang anak saudara aku, sedang aku leka memegang dan menjaganya tiba-tiba adik saudara aku telah bertindak ganas dengan mengigit bahu aku hingga berdarah. Bertambah-tambahlah fobia aku dengan histeria ni. Bila keadaan sudah mula reda sedikit dan yang lain sudah pulih.

Kini tinggal angah aku sahaja yang masih tidak sedarkan diri, ibu jari tangan angah dah terkoyak sebab ditenyeh dengan lada hitam.

Apabila mak saudara aku melihat keadaan angah yang semakin teruk menyebabkan lahir perasaan kasihan ,maka dia mempelawakan dirinya untuk membantu, lalu dibaca beberapa ayat atau mungkin juga itu mentera kerana aku tidak paham dan tahu maksud ayatnya, selepas ayat itu dibaca beberapa kali tiba-tiba angah telah sedar dari pengsan,

Tetapi mak saudara aku masih tidak sedarkan diri. Angah bangun dalam keadaan terpinga-pinga dan bertanya "apa dah jadi ni", namun soalan angah tidak dijawab oleh kami.

Kini sesi soal jawab antara mak saudara aku dengan kawan mak aku yang pandai mengubat itu, apabila disoal rupanya angah ada mempelajari ilmu syarat tubuh dan disebabkan angah tidak menghabiskan ilmu yang dituntutnya maka ilmu itu telah memakan dirinya sendiri. Angah memohon maaf dan dia tidak sangka akan jadi seteruk ni, angah telah menceritakan bahawa ilmu itu dipelajari dari mertuanya, dan dia sangat menyesal serta berjanji akan buang semua ilmu yang dipelajarinya itu.

Kesian aku tengok Angah menangis-nangis minta maaf, angah cakap dia tidak tahu pun benda ni salah, dia ikut sahaja cakap mertua dia. Kami semua hanya diam mendengar apa yang dikatakan oleh angah, tetapi ada bagusnya juga kerana masing-masing dapat pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat dilupakan. Dan aku harap angah belajar dari kesilapan dia.Kejadian itu membuatkan kami sekeluarga takut dan aku sendiri akan mintak berteman jika hendak ke tandas.

Aku pun baru pertama kali dengar pasal ilmu ni mak saudara aku cakap ilmu ni ramai wanita yang mengamalkannya dulu, kini dan selamanya. Ada yang sampai dibawa ke hujung nyawa. Ilmu Syarat tubuh ini telah lama diamalkan oleh orang dahulu sebagai syarat wajib bagi mereka.

Jika ada yang tidak mengamalkannya, orang itu dianggap ketinggalan. Ilmu Syarat Tubuh ada 4 amalan utama bagi seorang wanita, ada wanita yang mempelajarinya 1 sahaja, ada yang 2, ada yang 3 dan ada yang mengamalkan kesemuanya. Aku tak tahu lah angah aku belajar yang mana .

Ilmu Syarat Tubuh itu adalah kombinasi ilmu yang terdiri daripada Ilmu Sri Muka atau Pemanis, Ilmu Pelaris, Ilmu Penunduk dan Ilmu Kuat. Kesemua ilmu ini dianggap sebagai element penting bagi wanita menjalani kehidupan seharian mereka. Setiap ilmu itu mempunyai keperluan tertentu contohnya Sri Muka untuk kelihatan cantik dipandang orang terutama semasa menjadi pengantin sehari, diandam oleh Mak Andam, ditiup-tiup dan dijampi. Ilmu Pelaris kononnya penting bagi orang yang berniaga, Ilmu Penunduk diguna untuk suami atau majikan atau orang yang lebih berkuasa. Ilmu Kuat pula kegunaannya apabila memerlukan tenaga atau keupayaan untuk kerja-kerja berat seperti berkebun atau mengurut.

Dari mana datangnya Ilmu-ilmu ini.? Cuba Tanya dahulu diri kita sendiri ada ke tidak ilmu-ilmu tersebut pada diri kita, samada kita belajar sendiri melalui buku atau diberikan oleh mak kita, nenek kita, mak andam, tok Bidan Kampung, jiran, kawan, Mak Saudara, Kakak, Bomoh atau sebagainy. Kalau ada, dari situlah kebanyakan ilmu-ilmu ini datang sedar atau tidak, mungkin kita sudah ada memakai dan mengamalkannya.

Ilmu ini adalah amalan yang salah dan boleh menjerumus kearah syirik kepada Allah. Syirik yang besar atau syirik yang kecil ia tetap syirik dan menyekutukan Allah kerana kita bergantung harap pada yang lain selain Allah. Maka tilik-tiliklah pada diri kita ,jika kita rasa kita ada ilmu ini buangkanlah. Kembalilah bertaubat kepada Allah kerana Allah itu penerima taubat hambaNya.


Friday, 24 November 2017

REBUTAN - Shephali


REBUTAN
Karya: Shephali

Ini kisah benar dalam keluarga aku, terjadi pada 13 tahun yang dulu dan aku adalah antara saksi di tempat kejadian. Aku bukanlah seorang penulis yang hebat bercerita untuk menyampaikan suasana keseraman pada waktu kejadian itu. Bagaimanapun, kejadian itu sememangnya menyeramkan buat aku dan ahli keluarga yang lain.Atas dasar menjaga aib dan nama keluarga, aku tidak meletakkan sebarang nama mahupun nama ganti, sekadar panggilan nama pertalian di dalam keluarga semata-mata.
Alkisah, pada ketika itu. keluarga kami bakal mengadakan majlis perkahwinan antara kakak aku dan seorang pemuda dari kampung yang sama. Kakak aku ditunangkan dengan pilihan keluarga. Petang hari pernikahan itu, sebelum upacara akad nikah, angin bertiup kencang, pasir pun berterbangan menyakiti mata tetamu yang hadir di luar rumah. Perkara yang tidak selalu terjadi. Namun, kami semua tidak memikirkan sesuatu yang buruk bakal berlaku pada malam itu. Sedia maklum bahawa di sini adalah negeri pantai timur, dan lokasi kampung pula berdekatan pantai pula, menjadi tiada sesiapapun dapat menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku. Situasi angin kencang sebegitu sebenarnya adalah jarang sekali, atau seingat aku, tidak pernah berlaku sebelum ini.
Sampailah pada masa yang dijanjikan, iaitu upacara akad nikah. Tiba-tiba, Tok Kadi pula tidak berjaya untuk menyebut nama kakak aku. Walhal, nama kakak aku itu bukanlah sesukar mana. Pendek kata, sangatlah senang untuk dituturkan. Setiap percubaan lafaz akad terhenti pada nama kakak aku dek kerana kegagalan Tok Kadi untuk menyebut dan melengkapkan nama kakak aku.
Aku tidak ingat berapa kali percubaan tok kadi, sememangnya lafaz tidak dapat direalisasikan. Tetamu yang hadir setia menunggu. Celoteh dan bisikan-bisikan kecil hadirin di belakang mula berbunyi. Apakah bala yang telah berlaku? Aku tidak pasti apa yang diperkatakan oleh hadirin, tetapi yang pasti, gosip akan berlaku. Sehinggalah
ARGGHHH!!!
Salah seorang mak cik, hadirin di dalam rumah, tidak semena-mena menjerit. Gaya histeria. Pertama kali dalam hidup aku, melihat kejadian histeria di hadapan mata.
Aku dah kata, kahwin dengan anak aku! Kahwin dengan anak aku!” Bertempik-tempik diulangi ayat tersebut, sambil menggelepur tidak keruan. Merah matanya, menunjukkan emosi yang penuh dengan kebencian. Hadirin mula lari bertempiaran. Ada yang mencari ruang-ruang lain di dalam rumah. Ada yang lantas meninggalkan ruang tamu, lalu keluar ke perkarangan rumah. Terkejut, mungkin juga ketakutan. Perlakuan masing-masing pastinya didorong oleh suasana kelam kabut yang berlaku di situ. Aku? Sudah pasti aku juga sebegitu. Jantungku mengepam laju, bagaikan berlari. Sedangkan aku masih di tempat aku duduki lagi dari tadi. Maklumlah, melihat orang histeria di depan mata. Aku kaget, dalam kekalutan itu.
Selepas dapat menenangkan diri, aku segera mendapatkan anak saudaraku dalam kesibukan suasana manusia bertempiaran lari itu. Aku pandang sekeliling. Abang, kakak, mak dan semua ahli keluarga terdekat tidak kelihatan. Aku terus keluar dan menyarung selipar. Baru sahaja mahu sarung selipar, histeria berjangkit kepada orang lain. Aku tidak tahulah berapa orang yang kena, tetapi histeria bersahut-sahutan.memang menyeramkan apabila didengar dari luar.
Abang aku datang memanggilku di luar, menyuruh aku pergi ke rumah jiran sementara situasi masih belum reda. Aku tunggu sampai mak aku datang ke rumah jiran, bersama-sama dengan semua adik-beradik. Saudara mara yang lain semua berpakat untuk balik malam itu juga,.dan acara makan-makan pun tiada. Semua balik. Semua berdiam diri, tidak terkata apa-apa. Namun, sesuatu yang penting tetap berjaya dijalankan. Dalam kekalutan itu, lafaz akad pengantin selesai juga. Abangku berkata, dia walikan. Sah, dalam keributan.
Esoknya , barulah keluar cerita kenapa terjadinya semua itu.
Ada orang lain berkenan dengan pengantin lelaki rupa-rupanya. Orang kampung yang sama juga. Menggunakan belaan sendiri untuk mengucar kacirkan majlis akad nikah itu. Hajat untuk kahwinkan pengantin lelaki dengan anak dia, tidak kesampaian. Pihak kami memang tidak tahu menahu akan hal ini.
Aku tidak pandai bercerita untuk menambah rasa dan efek seram, tetapi memang masa itu sangat seram. Ketakutan dirasai berhari-hari lamanya. Sudahlah seminggu lepas itu, hari persandingan.
Jenuhlah mak aku mencari orang nak tolong kalau-kalau ada orang yang menghantar apa-apa lagi, tetapi alhamdullilah, tidak ada apa-apa berlaku pada hari persandingan.
Kesudahannya, kakak aku sudah bercerai 3-4 tahun dengan suami dia itu, dek kerana masalah rumahtangga yang tidak boleh aku nyatakan di sini. Kakak aku cakap, agak menyesal tidak biarkan sahaja bekas suaminya pada hantu mak cik itu pada malam akad nikah, lalu dibatalkan perkahwinan. Apapun, ajal, maut, pertemuan adalah ketentuan Allah. Wallahuaklam.
Anda ada kisah seram, thriller, pengalaman, atau sesuatu yang mind blowing? Hantarkan karya anda untuk dikongsi bersama di sini. Kepilkan karya anda dalam bentuk Words dan inbox kepada kami, atau hantarkan melalui email ke:
aanrc2017@gmail.com
Sila sertakan nama, link Facebook atau Twitter, untuk tujuan pengkreditan.