REBUTAN
Karya: Shephali
Ini kisah benar dalam keluarga aku, terjadi pada 13 tahun yang dulu dan aku adalah antara saksi di tempat kejadian. Aku bukanlah seorang penulis yang hebat bercerita untuk menyampaikan suasana keseraman pada waktu kejadian itu. Bagaimanapun, kejadian itu sememangnya menyeramkan buat aku dan ahli keluarga yang lain.Atas dasar menjaga aib dan nama keluarga, aku tidak meletakkan sebarang nama mahupun nama ganti, sekadar panggilan nama pertalian di dalam keluarga semata-mata.
Alkisah, pada ketika itu. keluarga kami bakal mengadakan majlis perkahwinan antara kakak aku dan seorang pemuda dari kampung yang sama. Kakak aku ditunangkan dengan pilihan keluarga. Petang hari pernikahan itu, sebelum upacara akad nikah, angin bertiup kencang, pasir pun berterbangan menyakiti mata tetamu yang hadir di luar rumah. Perkara yang tidak selalu terjadi. Namun, kami semua tidak memikirkan sesuatu yang buruk bakal berlaku pada malam itu. Sedia maklum bahawa di sini adalah negeri pantai timur, dan lokasi kampung pula berdekatan pantai pula, menjadi tiada sesiapapun dapat menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku. Situasi angin kencang sebegitu sebenarnya adalah jarang sekali, atau seingat aku, tidak pernah berlaku sebelum ini.
Sampailah pada masa yang dijanjikan, iaitu upacara akad nikah. Tiba-tiba, Tok Kadi pula tidak berjaya untuk menyebut nama kakak aku. Walhal, nama kakak aku itu bukanlah sesukar mana. Pendek kata, sangatlah senang untuk dituturkan. Setiap percubaan lafaz akad terhenti pada nama kakak aku dek kerana kegagalan Tok Kadi untuk menyebut dan melengkapkan nama kakak aku.
Aku tidak ingat berapa kali percubaan tok kadi, sememangnya lafaz tidak dapat direalisasikan. Tetamu yang hadir setia menunggu. Celoteh dan bisikan-bisikan kecil hadirin di belakang mula berbunyi. Apakah bala yang telah berlaku? Aku tidak pasti apa yang diperkatakan oleh hadirin, tetapi yang pasti, gosip akan berlaku. Sehinggalah
ARGGHHH!!!
Salah seorang mak cik, hadirin di dalam rumah, tidak semena-mena menjerit. Gaya histeria. Pertama kali dalam hidup aku, melihat kejadian histeria di hadapan mata.
Aku dah kata, kahwin dengan anak aku! Kahwin dengan anak aku!” Bertempik-tempik diulangi ayat tersebut, sambil menggelepur tidak keruan. Merah matanya, menunjukkan emosi yang penuh dengan kebencian. Hadirin mula lari bertempiaran. Ada yang mencari ruang-ruang lain di dalam rumah. Ada yang lantas meninggalkan ruang tamu, lalu keluar ke perkarangan rumah. Terkejut, mungkin juga ketakutan. Perlakuan masing-masing pastinya didorong oleh suasana kelam kabut yang berlaku di situ. Aku? Sudah pasti aku juga sebegitu. Jantungku mengepam laju, bagaikan berlari. Sedangkan aku masih di tempat aku duduki lagi dari tadi. Maklumlah, melihat orang histeria di depan mata. Aku kaget, dalam kekalutan itu.
Selepas dapat menenangkan diri, aku segera mendapatkan anak saudaraku dalam kesibukan suasana manusia bertempiaran lari itu. Aku pandang sekeliling. Abang, kakak, mak dan semua ahli keluarga terdekat tidak kelihatan. Aku terus keluar dan menyarung selipar. Baru sahaja mahu sarung selipar, histeria berjangkit kepada orang lain. Aku tidak tahulah berapa orang yang kena, tetapi histeria bersahut-sahutan.memang menyeramkan apabila didengar dari luar.
Abang aku datang memanggilku di luar, menyuruh aku pergi ke rumah jiran sementara situasi masih belum reda. Aku tunggu sampai mak aku datang ke rumah jiran, bersama-sama dengan semua adik-beradik. Saudara mara yang lain semua berpakat untuk balik malam itu juga,.dan acara makan-makan pun tiada. Semua balik. Semua berdiam diri, tidak terkata apa-apa. Namun, sesuatu yang penting tetap berjaya dijalankan. Dalam kekalutan itu, lafaz akad pengantin selesai juga. Abangku berkata, dia walikan. Sah, dalam keributan.
Esoknya , barulah keluar cerita kenapa terjadinya semua itu.
Ada orang lain berkenan dengan pengantin lelaki rupa-rupanya. Orang kampung yang sama juga. Menggunakan belaan sendiri untuk mengucar kacirkan majlis akad nikah itu. Hajat untuk kahwinkan pengantin lelaki dengan anak dia, tidak kesampaian. Pihak kami memang tidak tahu menahu akan hal ini.
Aku tidak pandai bercerita untuk menambah rasa dan efek seram, tetapi memang masa itu sangat seram. Ketakutan dirasai berhari-hari lamanya. Sudahlah seminggu lepas itu, hari persandingan.
Jenuhlah mak aku mencari orang nak tolong kalau-kalau ada orang yang menghantar apa-apa lagi, tetapi alhamdullilah, tidak ada apa-apa berlaku pada hari persandingan.
Kesudahannya, kakak aku sudah bercerai 3-4 tahun dengan suami dia itu, dek kerana masalah rumahtangga yang tidak boleh aku nyatakan di sini. Kakak aku cakap, agak menyesal tidak biarkan sahaja bekas suaminya pada hantu mak cik itu pada malam akad nikah, lalu dibatalkan perkahwinan. Apapun, ajal, maut, pertemuan adalah ketentuan Allah. Wallahuaklam.
Anda ada kisah seram, thriller, pengalaman, atau sesuatu yang mind blowing? Hantarkan karya anda untuk dikongsi bersama di sini. Kepilkan karya anda dalam bentuk Words dan inbox kepada kami, atau hantarkan melalui email ke:
aanrc2017@gmail.com
Sila sertakan nama, link Facebook atau Twitter, untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment