Saturday, 11 November 2017

AKU, DEWI KAMALA (PART 1) - Cik Edot


AKU, DEWI KAMALA - PART 1
Karya: Dee Edot (Cik Edot) 


Nota Kaki: Penceritaan berdasarkan kisah benar. Selamat membaca!

Nama aku Dewi Kamala. Ya. Aku berbangsa India dan berasal dari Kedah. Sihir? Aku yakin bahawa kalian pasti sudah biasa mendengarnya. Malah, mungkin ada yang pernah mengalaminya. Izinkan aku memperihalkan kronologi kisah hidupku. Semoga peroleh iktibar dan pengajaran dari perkongsian kisah benar ini.
17.12.1995
Tamat menduduki SPM, aku mula bekerja di sebuah Klinik Bersalin yang terletak berhadapan Kolej SAH, Alor Setar. Namun sayang, selepas 6 bulan berkhidmat aku terpaksa berhenti kerana Klinik ini ditutup secara rasmi.
Maka, abang iparku mencadangkan aku untuk bekerja di sebuah kilang elektronik yang terletak di Sungai Petani. Awalnya, bapaku menentang keras. Namun setelah dipujuk berulang kali, akhirnya dia akur. Syaratnya, aku tidak dibenarkan menyewa bujang dan perlu tinggal di rumah kakakku yang ke dua. Aku setuju.
01.10.1996
Tanggal hari pertama aku berkhidmat di kilang ini. Aku ditempatkan di bahagian Insertion, PCB. Aku langsung tiada masalah. Malah, aku cepat mahir. Selepas beberapa bulan, aku ditukarkan ke bahagian Auto Insertion. Aku diberi tugas untuk menjaga stor. Pada awalnya, hanya aku seorang sahaja disitu sebelum Suresh pula dipindahkan ke bahagian yang sama.
Suresh? Dia merupakan pekerja seniorku. Seorang lelaki yang sudah berkahwin dan punya 2 orang cahayamata. Dia 6 tahun lebih berusia dari aku. Di mata aku, dia seorang lelaki yang baik, bersopan santun dan seorang yang peramah. Dia, aku anggap tak ubah seperti seorang abang memandangkan aku mempunyai 4 beradik perempuan semuanya.
27.08.1997
Hari ini, sebuah keluarga kenalan ibuku datang merisik. Ya, mereka merisik aku untuk anak lelaki mereka, Yavin. Aku tidak kenal lelaki ini secara langsung. Hanya gambarnya yang pernah aku tatap. Berusia 9 tahun lebih tua dari aku.
Ermmm, aku menerimanya dengan hati terbuka. Bagi aku, mungkin jodohku sampai awal. Dari tilikan Tok Sami berpandukan tarikh lahir, kami dikatakan pasangan yang secocok dan akan hidup bahagia. Bila sahaja mendengarkan kata-kata dari Tok Sami, ibu dan ayahku setuju sebulat suara.
13.02.1998
Aku bertunang. Semua baik-baik sahaja.
14.05.1998
Kami mendaftarkan perkahwinan mengikut undang-undang. Majlis perkahwinan kami diadakan sebulan selepas itu. Aku mengikut suamiku tinggal di rumah ibu bapanya di Padang Temusu.
10.09.1998
Aku disahkan mengandung. Aku masih lagi bekerja di kilang yang sama. Ulang alik menaiki van pengangkutan yang disediakan oleh pihak kilang. Suamiku pula bekerja di sebuah tempat peranginan di negeri Pahang. Setiap bulan, suamiku akan diberi cuti selama 5 hari. Masa itulah dimanfaatkan olehnya untuk pulang ke rumah bertemu aku.
GANGGUAN PERTAMA - MIMPI
Hari itu, aku pulang dari kerja. Entah kenapa, tubuhku berasa amat letih. Walhal, kerja yang dilakukan sama sahaja seperti hari-hari sebelumnya. Maka, aku terus naik ke bilikku di tingkat atas. Niatku hanya satu, tidur!
Mimpi....
Aku sedang lena diatas katil. Tiba-tiba, telingaku diganggu dengan bunyi ketukan pintu bertalu-talu. Aku mengintai dari cermin nako. Aku melihat ada seorang budak perempuan. Kulitnya, hitam legam dan berkilat. Pakaiannya lusuh. Kasihan. Aku turun ke tingkat bawah lantas membuka pintu.
Tanpa banyak soal, aku mengizinkan dia masuk. Dia tersenyum. Riang. Budak itu begitu keletah bicaranya. Pelbagai topik yang diutarakan. Aku pegun, mendengar tanpa membalas. Selang beberapa ketika, dia mohon izin untuk pulang.
Aku kembali ke bilik tidur. Aku henyakkan semula tubuhku diatas tilam. Menyambung semula lenaku yang terbantut sebentar tadi. Baru sahaja aku terlelap, sekejapan aku mendengar bunyi bising di bahagian siling. Suara kekekan tawa persis suara kanak-kanak. Di selang seli dengan bunyi seolah-olah siling itu diumpil dari bahagian dalam.
Aku kaget. Kelopak mata yang terpejam, aku buka pantas. Nah, saat ini aku terkejut. Wajah gadis hitam legam tadi terjengul di sebalik siling yang terkopak. Belum sempat aku membuka mulut. Bapp!!! Dia terlebih dahulu melompat ke atasku. Aku terjerit kecil. Lantas, leherku dicekik. Kuat. Kemudian, dicakar. Arghh....Pedih!
"Dewi!!"
"Ohhh Dewi. Bangun!"
Herkkkkkksss...
Aku yang sedang menahan cekikan budak hitam itu, akhirnya dapat melepaskan diri. Aku tersedar dari lena. Menggelupur aku bangun. Suara emak mertuaku yang terjerit-jerit dari tingkat bawah, mengejutkanku. Syukur. Hanya mimpi. Tapi, kenapa aku rasa sakit dan pedih di bahagian leher?
Aku, lantas mendapatkan cermin di meja solek. Terpempan aku! Ada kesan lebam dan cakaran di bahagian leher. Malah kesan luka cakaran menerbitkan darah. Aku menggigil, takut. Pantas aku meninggalkan bilik. Aku dapatkan emak mertuaku. Lantas aku menceritakan perihal mimipiku.
Tapi, apa yang aku dapat?
Hanya gelak tawa sahaja darinya. Kata emak mertuaku, aku hanya mereka-reka cerita bodoh. Katanya lagi, sudah hampir 20 tahun dia mendiami rumah itu. Belum pernah lagi dia mengalami mimpi sedemikian. Sudahlah dikatakan aku buat cerita, malah aku dilabel sebagai menantu yang mengada -ngada. Sengaja mencari perhatian? Sugul.
Aku diam. Aku menghubungi suamiku pula. Menceritakan perihal mimpi itu. Namun, suamiku juga berpendapat bahawa ia hanya mainan mimpi cuma. Lantas, aku persoalkan tentang luka dan lebam yang aku alami. Balas suamiku, itu adalah dari tindakan aku sendiri. Menggaru tatkala sedang tidur. Hampa.
Keesokan hari...
Aku masih dibelenggu dengan mimpi semalam. Akhirnya, aku menghubungi ibuku di kampung. Ibuku minta aku untuk pulang pada hujung minggu. Di kampung, aku dibawa ibu berjumpa Ustaz Soleh di surau.
Pelik? Jangan peliklah. Aku orang kampung, bercampur dengan orang melayu sudah terlalu lama. Ustaz Soleh memberikan aku air untuk diminum dan untuk mandian. Syukur pada Tuhan. Sejak dari itu, aku tidak lagi diganggu dalam mimpi. Keadaan baik ini berterusan hingga saat aku melahirkan anak 8 bulan kemudian.
13.05.1999
Aku selamat melahirkan. Awalnya, aku tinggal di rumah emak mertuaku. Namun, aku tidak betah berada disitu. Aku sering diganggu dengan bunyian gelang kaki dan suara-suara halus. Malah aku sering dihimpit ketika tidur. Anakku pula kerap menangis di waktu malam.
Setelah berbincang dengan suamiku, akhirnya aku menghantar anakku ke kampungku untuk dijaga oleh ibu. Aku pula? Tinggal semula dirumah kakak keduaku untuk berulang alik ke tempat kerja selepas pantang. Aku dan anak hanya akan pulang ke rumah mertua di Padang Temusu, apabila suamiku pulang bercuti dari kerja.
03.11.1999
Aku menangkap satu kelainan tentang perilaku Suresh. Ya, Memang kami rapat. Tetapi, kali ini aku tidak suka dengan caranya. Bila mana waktu bergurau, tangannya juga akan naik sekali. Menyentuh tangan, bahu dan menggeselkan tangannya pada lenganku. Aku tahu dia sengaja. Aku tidak betah, malah aku geli!
Aku beri dia amaran. Jangan sekali-kali mengulanginya. Dia hanya tersenyum dan memohon maaf. Aku anggap ia sudah berakhir kerana selepas itu dia tidak lagi mengulanginya. Tetapi, dia ada peel terbaru yang buat aku rasa serba salah.
Dia tahu aku suka makan idli. Maka, setiap hari dia akan membelikannya untuk aku. Aku jadi segan. Lantas, aku menolak terus pemberiannya apabila ditegur oleh sahabat baikku, Rosiah. Katanya, begitu jelas sekali perilaku Suresh untuk mengambil hatiku. Barangkali ada udang sebalik batu. Aku akur. Ada benarnya kata-kata Rosiah.
01.12.1999
Kemasukan pekerja baru bernama Peng. Dia lelaki, berasal dari Siam. Aku pelik. Dia dan Suresh cepat mesra. Tak sampai 2 bulan, mereka menjadi akrab. Tak ubah seperti belangkas. Ke mana sahaja pasti bersama.
Pada suatu hari...
Aku didatangi oleh Suresh dan Peng. Mereka berdiri di hadapanku. Ditangan Suresh ada selembar kain kuning yang dilipat. Manakala, di tangan Peng pula ada sebuah periuk kecil yang diperbuat dari tanah. Berkerut dahiku. Apa yang hendak mereka lakukan?
"Apa benda tu?"
Tiada jawapan.
Mereka berdua hanya berpandangan sesama sendiri. Lantas, Suresh menyerahkan kain kuning itu padaku. Entah kenapa, bagai kerbau dicucuk hidung. Aku menyambut kain kuning tersebut. Suresh senyum. Aku lihat bibirnya terkumat kamit. Aku diam. Bisu.
Sekejapan, dia mengarahkan aku untuk membuka lipatan kain kuning tersebut. Aku diminta untuk menghamparkan kain kuning itu di atas meja yang terletak disisiku. Aku sendiri hairan dengan tingkahku. Dalam hati ku bermonolog. Kenapa aku ikutkan sahaja kehendaknya?
Kemudian, datang pula si budak Siam Peng. Dia meletakkan periuk tanah yang dipegangnya sedari tadi, betul-betul ditengah hamparan kain kuning. Aku yang masih dalam keadaan membisu itu, tidak semena-mena menjenguk isi didalam periuk tanah. Aku pempan!
Aku lihat, ada segumpal rambut, paku, serbuk-serbuk halus yang mana aku tidak tahu langsung apakah ia. Dan, aku juga melihat ada sekeping kertas yang berlipat. Hati aku kuat mengatakan bahawa ia adalah sekeping gambar. Namun, aku tidak dapat melihat rupa empunya gambar tersebut.
Baru sahaja aku ingin membuka mulut bertanya, tiba-tiba.....
"Woii. Apa korang buat apa ni? Suresh, Peng!! Kau main ilmu ya?"
Rosiah! Ya, sahabatku Rosiah yang datang secara tiba-tiba. Dia menengking Suresh dan Peng dengan nada suara yang agak meninggi. Aku juga terkejut. Seolah-olah tersedar dari kebingungan.
"Rilekslah Rosiah. Kau jangan sibuk. Bukan hal kau pun."
"Mestilah aku sibuk. Entah apa yang kau buat dengan benda-benda ni. Baik kau cakap!"
"Kau ni kecohlah! Kau nak tahu sangat? Ni, benda-benda ni aku nak sihir bekas girlfriend aku. Dia nak kahwin. Aku nak nak buat dia merana. Biar dia tak bahagia!"
"Kau ni dah gila ke? Biarlah dia kawin. Yang kau dengki kenapa? Kau pun bukan bujang lagi. Dah kahwin kan? Dah ada anak pun. Busuk hati lah kau ni!"
"Arghhhhh!!! Diam kau! Selagi aku tak dapat dia semula, hati aku takkan senang. Kau jangan sibuk. Nanti dengan kau sekali aku sihir. Nak??"
Aku pantas, menarik tangan Rosiah. Tangannya berpeluh. Aku juga! Mungkin saja kata-kata Suresh tadi buat kami berdua cuak.
*****
Ya. Ironinya, kisah ini baru sahaja bermula. Mangsanya, adalah AKU!! Bukan lah bekas kekasih seperti yang dinyatakan Suresh.
*******
Nantikan sambungan kisah Aku, Dewi Kamala jam 8.00 malam esok!

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: