Monday, 27 November 2017

MIMPI - Ahmad Azim Zim


MIMPI

Di suatu malam yang dingin. Burung hantu, kelawar serta makhluk-makhluk yang seumpamanya keluar beterbangan dengan tujuan masing-masing. Bulan purnama yang mengambang penuh bagai menambah lagi keseraman tatkala lolongan serigala yang bergema, menandakan pemangsa yang kelaparan akan menjelma. Dalam banyak-banyak pemangsa yang keluar memburu, hanya makhluk yang bertenggek itu saja yang kehausan darah manis manusia. Setelah 10 tahun tidak menghadam apa-apa benda pejal.
Malam itu merupakan rezeki si pemangsa. Seorang penyanyi terkenal bernama Hasif sedang memandu perlahan Proton Saga di jalan yang tiada sebarang cahaya sekelilingnya. Hanya lampu kereta saja yang dapat membantu dia melihat selok belok laluan tanah merah. Hasif berasa sedikit sunyi. Berasa menyesal tidak mengajak Asfar sekali ke rumah bangsawan itu.
Pada mulanya dia tidak mahu Asfar ikut bersamanya memandangkan rakan karibnya itu seorang yang suka menyakat. Kadang-kadang Hasif tidak tahan dengan perangai gilanya sehinggalah dia terpaksa marah dan memberi teguran. Radionya yang usang itu dibuka, sekadar mahu memecahkan kesunyian yang sudah terlalu lama bermukim sepanjang pemanduannya. Hasrat Hasif yang mahu melihat bangunan bangsawan yang tersergam indah itu akhirnya tercapai dengan matanya sendiri.
Sedar atau tidak, dia kini sudah berada di depan pagar perkarangan rumah misteri itu. Hasif segera mematikan enjin kereta dan mengambil lampu suluh di dalam beg sandang lalu keluar dari kereta, menjejakkan kaki ke tanah yang sedikit berembun. Bangunan bangsawan seperti istana ratu kayangan itu diperhatikannya terlebih dahulu. Tampak jelas permandangannya tatkala bulan purnama seolah-olah memberi peluang kepada Hasif untuk melihat tanpa sebarang hijab malam. Dia membuka langkah menuju ke pagar besi yang hampir berkarat itu. Didapatinya tidak berkunci setelah mencuba menolak sedikit. Ketika pintu pagar itu ditolak, satu dentuman kuat kedengaran di belakangnya.
“BAAAAAAAAMMMMMMMMM!!!”
Hasif sangat terkejut dengan bunyi dentuman yang kuat itu. Sambil menelan air liur, segera dia menoleh ke belakang. Alangkah tergamamnya dia apabila melihat seekor makhluk yang bersayap sedang berdiri megah sambil memijak kereta Saga miliknya. Jantung Hasif berdegup kencang. Adrenalin mengalir laju sehingga menggigil badannya. Perasaanya yang sangat takut ketika itu telah membuatkannya jatuh terduduk.
Melihat makhluk merah berkepala seperti seekor kelawar itu ditambah pula lidah yang terjelir mencecah bumi. Dia hanya melihat tanpa mampu melakukan apa-apa tatkala makhluk itu membuka sayapnya, seakan memberi petanda ia bakal menyerang pada bila-bila masa sahaja. Dahi Hasif berpeluh sakan. Tangannya menggeletar. Lampu suluhnya tercampak entah ke mana. Hanya cahaya daripada sang purnama sahaja yang membantu penglihatan Hasif pada ketika ini.
Makhluk itu melompat turun dari kereta dan berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Hasif sesekali mengeluarkan bunyi yang sangat nyaring. Matanya tajam memerhati seorang manusia di hadapannya yang bakal menjadi mangsa. Yang bakal menjadi habuan perutnya. Hasif hanya terduduk kaku di atas tanah. Makhluk itu semakin hampir dengan Hasif. Lidahnya yang meleret itu menjilat-jilat muka Hasif. Tekak Hasif mula loya apabila terhidu aroma yang terhasil daripada mulut makhluk itu. Bau yang sangat hamis. Hasif memejamkan mata dan hanya mampu berserah ketika makhluk itu membuka mulut seluas-luasnya untuk menjamah Hasif.
“Huh..huh..huh...”
Hasif terbangun dan tercungap-cungap sebaik saja tersedar dari permainan mimpi. Peluhnya memercik di dahi. Dia melihat jam dinding di hadapannya yang sedang menunjukkan pukul 3 pagi.
“Astaghfirullah. Mungkin aku kena ajak Asfar dengan yang lain esok.” Bisiknya sendirian.
-TAMAT

No comments: