Sunday, 26 November 2017

KISAH SEORANG PENIPU - Kucing Kelabu


Kisah Seorang Penipu.
Karya : Kucing Kelabu

Majid merupakan seorang yang sangat disegani di salah sebuah kampung di kawasan utara tanah air. Ini adalah kerana Majid banyak membantu orang kampung yang terkena gangguan gangguan daripada makhluk halus sama ada disampuk, disihir dan juga rawatan saka. Hebat, Majid memang hebat. Penduduk kampung memanggilnya Dukun Majid Handsome kerana ilmu yang dipelajarinya mengaburi mata penduduk kampung supaya dia kelihatan kacak dan tampan. Sedangkan pada hakikatnya dia adalah seorang lelaki berbadan gempal dan berkulit gelap disamping mukanya ada sedikit berparut.
Ya, Majid mengamalkan ilmu yang salah. Tapi dia menjual agama dengan mengatakan apa yang dibuat olehnya mengikut ayat ayat al-Quran. Benarlah kata kata orang, sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Penipuan Majid terbongkar bila mana datang seorang pemuda dari kampung sebelah yang pada asalnya untuk menziarah saudara maranya disana. Tetapi disebabkan kepandaian Majid yang ingin mencuba akhirnya memakan diri dia sendiri.
*******************
“Assalamualaikum” Amirul memberi salam setelah dia tiba di hadapan tangga rumah saudaranya
“Waalaikumussalam” Salam Amirul disambut oleh satu suara perempuan dari bahagian belakang rumah.
“Hang rupanya Mirul. Awat mai ni? Bila sampai?” Mak Milah yang muncul dari belakang rumahnya sambil sebilah gunting pokok di tangannya.
“Baru je sat tadi Mak Ngah. Awat? Tak boleh ka Mirul nak mai jalan jalan? Ni Pak Ngah mana?”
“Awat pulak tak boleh. Boleh haih. Kot ya pun habaq la dulu nak mai. Pak Ngah kamu tu kemana lagi kalau tak ke kedai kopi Pak Meon sana tu” Mak Milah menjawab pertanyaan Amirul tadi sambil menjuihkan mulutnya ke arah kedai kopi Pak Meon yang pada hakikatnya tak nampak pun dek pandangan mata kerana kedai Pak Meon terletak di simpang jalan bersebelahan dengan tali air jauh daripada rumah Mak Milah.
“Oh, tak apalah. Siti dengan Aman ada kat atas?” Amirul bertanyakan sepupunya yang selalu bermain bersama dengannya dulu.
“Ada kat ruang tamu tu. Duk melayan cerita filipina tu. Kamu naik la dulu. Mak Ngah nak potong ranting pokok bunga tu sat. Sat lagi Mak Ngah bawak mai sirap bandung favorite hang tu.”
“Haaa… Taupun Mak Ngah saya suka sirap bandung Mak Ngah. Ok, saya naik dulu ye. Siti…. Aman…. Aku mai ni”
“Woih… bila hang sampai?” Siti menyahut teguran Amirul.
“Woih hang panggil aku. Kuajaq. Hahaha. Aku dok bagi salam sat tadi hang tak dengaq ka? Ralit sangat layan Filipina tu sampai aku bagi salam pun tak dengaq.”
“Heee…” Siti senyum mengada.
Siti dan Amirul sebaya dan satu tadika waktu kecil dulu dan bersekolah di sekolah rendah yang sama tapi Amirul memilih haluan berbeza untuk masuk ke sekolah tahfiz manakala Siti ke sekolah harian biasa. Aman pula muda dua tahun daripada Siti dan Amirul tapi mereka bertiga memang rapat dari dulu lagi macam adik beradik.
“Lama aku tak nampak hang. Hang pi duk tang mana Mirul oi” Aman bersuara.
“Biasa la… Aku sekolah bukan macam hampa berdua. Lepas abih sekolah tahfiz aku sambung masuk sekolah pondok. Tak macam hampa. Sekolah tinggi tinggi.”
“Tinggi tang mananya… Sekolah aku tinggi pun 4 tingkat ja. Hahaha” Siti ketawa mengekek.
“Ha… lepas tu hampa sambung mana? Habaq mai kat aku sat? Nak dengaq?” Mirul mengagah Siti dan Aman.
“Mana ada tinggi pun. Rendah je. Hahaha.” Aman menjawab.
“Suka hampa la. Malas aku nak layan.” Amirul malas bertekak dengan dua beradik tu. Sudah tentu dia tak akan menang. 
Mak Milah datang dari dapur sambil tangannya membawa dulang berserta satu jag air sirap bandung dan sedikit cekodok pisang.

“Sakan hampa semua sembang. Sembang pasai apa ni?”. Mak Milah bertanyakan mereka bertiga sambil meletakkan dulang tadi di atas meja kopi di ruang tamu.
“Ti, dah tau ke siapa yang bunuh perempuan tu? anak dia dah jumpa?”
“Belom la Mak. Dok siasat apa entah. Padahai yang bunuh tu ada dekat dengan depa tu ja.” Siti geram dengan babak dalam cerita Filipina yang dia tengok tu.
“Satu keluarga layan cerita drama Filipina rupanya.” Bisik hati Amirul disusuli gelak kecil.
“Hang gelak pasai apa?” Siti bertanya.
“Takdak apa aih… aku gelak sebab baca whatsapp ni ha.” Amirul cuba cover gelaknya tadi.
******************
Petang keesokannya.
Amirul, Siti dan Aman keluar pusing-pusing kampung pada petang dengan menaiki motosikal. Amirul menunggang sendirian manakala Siti membonceng motosikal bersama Aman. Mereka bertiga singgah di kedai Pak Meon untuk pekena ABC special Pak Meon yang memang terkenal kat kampung tu dan juga bihun sup air tangan Kak Maimun.
Kak Maimun merupakan janda anak dua yang kematian suami tiga tahun yang lepas. Sejak itu Kak Maimun mengambil alih tugas suaminya untuk menyara kehidupan anak-anaknya. Walaupun berstatus janda, Kak Maimun masih lagi kelihatan cantic dan anggun di usianya. Pak Meon memberi peluang kepada Kak Maimun untuk menumpang meniaga di kedai kopinya. Pelanggan Pak Meon makin hari semakin ramai hasil daya tarikan daripada Kak Maimun. Namun Pak Meon percaya rezeki yang diperolehi itu adalah dari Allah SWT yang melimpahkan rezeki kepadanya kerana membantu orang yang kesusahan.
Di satu sudut kedai Pak Meon kelihatan Majid sedang menghirup secawan kopi panas. Namun keenakan kopi panas Pak Meon itu hilang tatkala Majid melihat Amirul. Matanya tak berkelip memandang Amirul yang masuk ke dalam kedai dan duduk berhampiran dengannya.
“Weyh korang, yang duduk kat sana tu siapa? Aku tak pernah nampak pun sebelum ni?” Amirul bertanyakan siapakah Majid tu.
“Ooh… tu Pak Majid… orang kampung semua kenai dia. Dia banyak tolong orang.” Siti menjawab pertanyaan Amirul.
Tiba-tiba Aman menjerit.
“Pak Meon!!!... ABC special satu!!!”
Amirul terkejut lalu memarahi Aman
“Hang ni Aman, slow slow pun boleh kan. Dah tu order satu ja.”
“Pak Meon… ABC Special tiga.” Aman menukar order.
“Ok!” Jawab Pak Meon ringkas.
“Kak Mai… bihun sup daging satu naa… Hang nak dak Mirul?” Siti bertanyakan pada Amirul sama ada dia nak makan ke tak.
“Boleh jugak” Mirul menjawab.
“Kak Mai… Bihun sup daging tambah lagi dua… satu daging lebih. Aman punya.”
“Hang memang kuat mentekedarah ya Man. Tapi badan hang kuruih camtu jugak. Hang bela saka ka?”
“Woih hang ni. Saka saka hang jangan main tibai ja. Aku mana ada bela apa. Tak macam orang tu.” Aman memuncungkan mulutnya ke arah Majid yang duduk tidak jauh dari meraka bertiga.
Siti terkejut dengan tindakan Aman lalu memarahinya.
“Weyh…hang ni mengarut apa? Dia dengaq satgi tak pasai-pasai hang yang kena hang tau.”
“Ahh… bukan dia dengaq pun”
“Hang tau mana?” Siti membantah.
“Oih…Oih… dok gaduh apa nih… Nah ABC Special. Minum bagi sejuk sikit badan tu” Pak Meon datang membawa tiga mangkuk ABC special yang mereka order.
Tidak lama lepas tu bihun sup yang di order mereka pun sampai. Sedang asyik mereka menikmati bihun sup dan abc tu. Kenikmatan mereka diganggu oleh sapaan seseorang dari belakang.
“Seronok bersembang naa…” Suara Majid kedengaran dari belakang.
Mereka bertiga terkejut dengan sapaan Majid lalu saling menjeling antara mereka. Amirul yang sejak tadi nampak ada seseorang yang menemani Majid di mejanya memusingkan kepalanya mencari orang yang duduk dengan Majid tadi.

“Hang dok pusing pusing pala tu hang cari siapa?” Majid menegur Amirul yang kelihatan pelik padanya.

“Tak dak… tadi macam ada…” pertanyaan Amirul terhenti apabila pehanya dicubit oleh Siti yang membelakangi Majid. Siti mengetapkan bibirnya sebagai isyarat supaya Amirul tidak meneruskan pertanyaanya.
“Eh… tak dak apa lah.” Amirul menyambung.
“Makanan hampa semua ni dah bayaq tau” Majid memberitahu mereka bertiga yang dia belanja mereka semua makan.

“Terima kasih Pak Majid” Aman bersuara tanpa memandang Majid. Majid kemudian berlalu pergi dan disaat itulah kelibat orang yang menemani Majid di meja makan tadi kelihatan mengekorinya dari belakang dan semua itu dapat dilihat oleh Amirul.

Malam itu, cuaca yang panas sejak petang membuatkan tekak Amirul terasa perit. Dia melangkah keluar dari bilik Aman meninggalkan Aman yang sedang nyenyak tidur bertemankan kipas meja yang sentiasa menghadapnya. Kipas siling tak mencukupi dengan cuaca yang panas malam itu. Amirul melangkah ke dapur untuk mendapatkan seteguk air sejuk dari peti ais yang mampu menyejukkan badannya. 
Langkah Amirul tiba-tiba terbantut tatkala dia ternampak kelibat Mak Milah di dapur menghadap sinki dalam gelap yang hanya disinari cahaya bulan dari tingkap dan biasan cahaya lampu dari bahagian atas.

“Mak Ngah, buat apa dalam gelap tu? Awat tak bukak lampu?” Amirul menegur.
“Eh Mirul, dok basuh pinggan ni ha. Hang awat tak tidoq lagi?” Mak Milah menjawap pertanyaan Amirul dengan pertanyaan kembali.
“Tak boleh tidoq, hangat. Nak minum air sat.” Amirul menjawab.
“Ambik la dalam peti tu”.
Amirul mengambil gelas plastik dan menuang air sejuk dan minum. Selesai minum Amirul melangkah nak naik semula ke atas dan ke bilik.
“Mirul naik dulu ye Mak Ngah.”
“Haa… Okay.” Jawab Mak Milah.
Mak Milah masih lagi menghadap sinki. Saat Amirul menapak menaiki tangga Amirul memusingkan badannya melihat Mak Milah kat sinki. Dia rasa lain macam, namun dia abaikan rasa itu dan terus melangkah menuju ke bilik Aman. Namun belum sempat dia sampai ke bilik Aman dia ditegur.
“Haihh… Mirul, awat tak tidoq lagi. Dari mana ni?” Mak Milah yang baru keluar dari bilik tidurnya nak kedapur menegurnya bila ternampak Amirul berjalan dari dapur.
Amirul terkejut dan terkaku seketika.

“Eh, Mak Ngah?? Bukan ke tadi Mak Ngah kat da….” Amirul berpaling ke belakang dan melihat ke arah dapur. Ternyata tiada siapa pun di dapur pada masa tu.
“Siapa yang aku tegur kat dapur tadi” Hati Amirul berbisik sendirian.
“Hang ni awat? Pelik ngat aih.” Teguran Mak Milah mengejutkan Amirul kembali.
“Eh… Takdak pa. Mirul turun dapur tadi minum ayaq. Hangat betui malam ni Mak Ngah. Ni Mak Ngah nak ke mana?” Amirul menyembunyikan kegusarannya.
“Nak ke toilet sat. Pastu nak minum ayaq. Betui hang kata, malam ni hangat betui.”
“Amboii… Toilet…. Oklah Mak Ngah, Mirul masuk bilik dulu”. Mak Milah mengangguk dan terus ke tandas.
Di atas katil, Amirul masih lagi memikirkan apa yang terjadi di dapur tadi. Tangannya diletakkan ke dahi dan terus mencari jawapan kepada apa yang terjadi. Sehinggakan dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi gelas pecah di dapur.
“Pangg!!!” Bunyi seakan kaca yang terhempas ke lantai.
Amirul bergegas turun dari katil dan terus ke dapur untuk memeriksa. Dalam kegelapan Amirul ternampak satu bayangan hitam berdiri di sebelah peti ais dan berhampiran peti ais tu kelihatan sekujur tubuh sudah pun terlentang di atas lantai. Di tangga dapur, Amirul membacakan ayat suci Al-Quran dimulakan dengan Al-Fatihah dan disusuli pula dengan Ayat Qursi. Selesai membaca Amirul menghembuskan ke arah bayang yang dia nampak. Sekelip mata bayang itu hilang terbang melalui celahan tingkap cermin nako.
Amirul dengan pantas menuruni anak tangga dan mendapatkan Mak Milah yang sudah terlentang di atas lantai. Amirul cuba mengejutkan Mak Milah tapi tiada respon dari Mak Milah. Amirul bingkas bangun dan pergi ke tangga dan memanggil Pak Hadi iaitu Pak Ngahnya.
“Pak Ngah!!! Pak Ngah!!!” Jeritan Amirul memanggil Pak Hadi mengejutkan Siti yang sedang tidur kerana bilik Siti berhampiran dengan dapur rumah.
“Emm… Hang ni pasaipa pagi buta dok buat hingaq ni? Orang nak tidoq hang tau dak.” Siti yang terbangun dari tidur masih mamai dan memarahi Amirul kerana mengganggu dia tidur.
“Weyh, hang pi kejut pak hang sat. Mak hang pengsan kat dapuq ni.” Amirul memberitahu tentang keadaan Mak Milah pada Siti.
Siti yang terkejut dengar apa yang Amirul bagitau dia terus bergegas ke bilik ayahnya dan mengejutkan ayahnya. Pada masa yang sama Amirul yang menunggu ditangga berpaling kebelakang dan hampir terjatuh akibat terkejut bila dia ternampak Mak Milah tegak berdiri dibelakangnya dengan muka yang marah. Namun Mak Milah kembali pengsan bila Pak Hadi dan Siti datang mendapatkan mereka. Aman masih lagi lena di atas katil. Pak Hadi terus mengendong Mak Milah ke bilik.
“Siti, Esok hang pi rumah Pak Majid, panggil dia mai tengokkan mak hang ni.” Pak Hadi memberi arahan pada Siti.
“Baik Abah.” Siti mengiyakan tanpa banyak soal.
“Dah, malam ni takpa Abah ada jaga Mak. Hampa berdua pi masuk tidoq.”
Siti masuk semula kebiliknya tapi hati dia ada sedikit kegusaran memikirkan maknya. Amirul pergi ke tandas dan mengambil wudhuk. Malam itu Amirul sudah tidak dapat lagi untuk melelapkan matanya. Bermacam perkara bermain di dalam fikirannya. Lantas dia mencapai Al-Quran dan membaca keseluruhan surah Al Baqarah. Aman seperti biasa tidur mati tidak sedar apa yang berlaku. Hanya bangun bila orang kejut solat Subuh.
Keesokan paginya, awal-awal lagi Siti dah keluar dengan menunggang motosikal ke rumah Pak Majid. Tidak lama lepas tu Siti pulang dan disusuli oleh Pak Majid. Pak Majid datang dengan berpakaian baju melayu berwarna hitam dan berkopiah putih dan berseluar jean. Amirul yang duduk diruang tamu menikmati kopi buatannya sendiri memerhatikan gerak geri Pak Majid dari saat Pak Majid melangkah masuk ke dalam rumah pak ngahnya.
“Ha Majid, masuk masuk.” Pelawa Pak Hadi menjemput Majid masuk untuk memeriksa Mak Milah.
“Apa yang jadi ni Hadi?”
“Entahlah Majid. Semalam Milah ni pengsan. Mirul habaq kat aku ada benda ganggu Milah ni. Hang tengok-tengokkan sat ya ka dak.” Pak Hadi menerangkan pada Majid apa yang berlaku semalam.
“Boleh, aku tengok sat na.” Majid meminta izin untuk tengokkan Mak Milah yang sudah dibaringkan di ruang tamu rumah.
Majid mulakan kerjanya. Mulutnya kelihatan kumat kamit membacakan sesuatu. Amirul memerhatikan segala gerak- geri Majid. Amirul perasan yang ada jugak beberapa potong ayat Al-Quran yang dibaca. Amirul lega sekejap bila tahu Majid menggunakan ayat al-Quran. Namun kelegaan Amirul tidak lama apabila dia perasan ada kesilapan dalam ayat yang dibaca dan diselang selikan dengan mentera yang dia tidak faham.
Dengan berbekalkan ilmu dan juga 30 juzuk Al-Quran masih segar dalam ingatan Amirul, mana mungkin dia tidak dapat mengesan kesilapan dalam bacaan Majid. Amirul mula rasa tercabar dan marah kerana dia merasakan Majid mempermain-mainkan ayat suci Al-Quran. Dalam masa yang sama juga Amirul dapat memerhatikan Majid berkomunikasi dengan makhluk halus yang sama seperti dia nampak di kedai Pak Meon. Proses yang dilakukan oleh Majid memakan masa dua puluh minit sebelum semuanya selesai.
“Di… dah selesai dah semua.” Majid bersuara.
“Dah siap?” Balas Pak Hadi dengan pertanyaan.
“Dah. Memang ada benda yang mengacau bini hang. Tapi takpa aku dah halau dah.”
“Haa…elok la tu. Berapa ni?” Pak Hadi bertanyakan jumlah upah pada Majid.
“Suka hang la di. 50 pun takpa dah.” Jawab Majid.
Pak Hadi menyeluk kocek seluar dan mengeluarkan not RM50 dua keping dan menyerahkan pada Majid ketika bersalaman. Saat Majid hendak keluar dari rumah sempat dia menjeling dan senyum sinis pada Amirul yang duduk di tepi tangga.
“Hang ingat aku tak tau apa yang hang buat? Hang tunggu. Aku takkan biarkan hang terus menipu orang kampung.” Bisik Amirul dalam hatinya.

Selepas Zohor, Amirul menelefon guru pondoknya memaklumkan apa yang berlaku. Semuanya Amirul ceritakan. Tiada satu pun yang tertinggal.


Setelah memahami segala yang diceritakan oleh Amirul, tuan guru memaklumkan esok dia akan ke rumah Pak Hadi menjemput Amirul dan juga ada tujuan lain yang hanya Allah, Amirul dan gurunya sahaja yang tahu.


“Aman, Siti, hampa berdua tau kan rumah Pak Majid tang mana?” Amirul bertanya pada Siti dan Aman ketika mereka sedang menjamu makan tengah hari.

“Tau. Awat?” Siti bertanya semula.
“Aku nak tau la rumah dia. Mana tau kalau ada apa-apa lagi ka aku boleh pi panggil dia.” Amirul cuba menyembunyikan niat sebenarnya pada mereka.
“Hang tau dak pokok besaq kat simpang hujung sana?” Aman bertanya pada Amirul dengan tangannya menunjukkan kedudukan simpang itu.
“Tau tau. Awat dengan pokok besaq tu?” Amirul semakin bersemangat untuk lebih tahu.
“Dekat dengan pokok besaq tu ada lorong. Hang masuk lorong tu hang teruih ja jumpa rumah yang hang nak cari tu.” Aman menyambung.
“Rumah Pak Majid?” Amirul bertanya lagi.
“Ha la… hang nak tau rumah dia kan? The only house inside that lorong tu rumah Majid tu la.” Jawab si Aman.
“Huih, speaking hang na. Hahaha.”
“Well…” Aman menjawab sambil mengangkat bahu dan tangannya. Siti hanya mendengar sambil gelakkan Aman.
***********************
Senja berlabuh, hati Amirul gusar memikirkan keadaan Mak Milah yang tadinya elok tetapi menjadi pelik selepas waktu Asar. Kelakuan Mak Milah bukan seperti kebiasaan. Terperuk dalam bilik dan kadang kadang menjerit seorang diri.
Malam itu Amirul keseorangan dalam bilik. Aman keluar melepak dengan kawan-kawan dia. Selepas Isyak, Amirul mengikut arahan gurunya supaya banyakkan membaca Al-Quran. Sepanjang malam Amirul membaca Al-Quran. Dia hanya berhenti seketika untuk minum air. Sedang dia baca Al-Quran, Amirul perasan yang pintu bilik Aman yang dia tumpang tidur tu tiba-tiba terbuka perlahan-lahan. Amirul menoleh dan saat itu degupan jantung Amirul mula berdegup laju. Kelihatan kepala Mak Milah menjengah dari luar dan senyuman yang dilemparkan pada Amirul membuatkan Amirul tidak senang duduk. Amirul ingat pesan gurunya. Apa yang berlaku, jangan berganjak dan teruskan mengaji.

“Apa yang hang baca tu hahh?” Mak Milah menyoal.

Tersedar dengan teguran itu, Amirul menjawab.
“Baca Quran ni Mak Ngah. Mai la baca sama-sama.” Hakikatnya Amirul tau siapakah sebenarnya yang sedang berbicara dengannya. Cuma dia buat-buat tak tahu.
Di Rumah Majid.

Kepulan asap kemenyan memenuhi ruang bilik Majid dan ada asap yang keluar dari celahan ruang pintu biliknya. Majid memuja beberapa keping gambar ditangannya. Mulutnya terkumat kamit membaca mentera. Dihantarkan tentera ghaibnya untuk membuatkan orang kampung sakit supaya mereka semua mencari Majid untuk dirawat dan membayar Majid dengan sejumlah wang. Beberapa potongan ayat Al-Quran yang Majid baca ketika merawat tiada satu pun daripadanya merupakan ayat-ayat ruqyah. Bacaannya tidak betul dan tidak kena tajwidnya. Bahkan sebutan dia pun salah. Tapi disebabkan adanya bunyi bacaan Al-Quran maka orang kampung percaya pada Majid yang sebenarnya hanya mengarahkan tentera ghaibnya itu untuk berhenti dari mengganggu orang yang terkena.


“Ha ha ha… Senang-senang ja orang kampung ni kena tipu kat aku. Hahaha” Majid ketawa keseronokan.

“Majid!!! Kau kena ingat!!! Ada yang cuba menghalang kau sekarang!!!”
Gelak tawa Majid terhenti apa bila ditegur oleh pantulan dirinya yang berada di dalam cermin.
“Ahhh… Aku tau la apa yang aku buat. Hang tak payah nak sibuk. Hang buat kerja hang aku bagi hang makan. Hang lawan cakap aku, aku bunuh hang.”
“HA HA HA... HA HA HA HAAAAA!!” Jelmaan dirinya dalam cermin itu ketawa dan menghilang perlahan lahan dan berganti dengan pantulan wajah Majid yg sebenar.
Majid makin tamak, keinginannya makin membuak-buak sehinggakan dia terlupa ada perjanjian antara Majid dengan makhluk-makhluk. Darah ayam hitam dan tujuh biji telur ayam kampung direbus dan diletakkan atas pulut kuning perlu dijamu pada makhluk-makhluk tu setiap hari Khamis malam Jumaat.
Ada juga beberapa orang kampung yang sebenarnya pelik dengan kejadian gangguan yang sering berlaku dalam kampung sejak kembalinya Majid, tapi Majid pandai. Dia pengaruhi fikiran semua orang kampung dengan kebaikan palsu dia.
Di rumah Mak Milah
Kedengaran bacaan Al Quran berterusan walaupun ketika tu sudahpun menghampiri pukul dua pagi. Aman belum balik. Mungkin tidur dirumah kawan-kawannya. Amirul gagahkan dirinya untuk terus mengaji sampai pagi sehingga dia kepenatan dan tertidur. Amirul hanya tersedar bila dengar laungan azan Subuh berkumandang.
“Alhamdulillah… nasib baik benda tu dah tak ganggu. Mana la si Aman ni. Tak nak balik rumah ka.” Amirul bercakap sendirian.
Pada pandangan orang lain Mak Milah sihat macam biasa. Tapi tidak pada Amirul. Dia tahu Majid masih lagi meninggalkan belaan dia di badan Mak Milah.

Sedang Amirul minum milo panas kat dapur telefonnya berdering. Pantas dia bangun dan berlari anak mendapatkan telefonnya yang berada dalam bilik. Seperti sudah dijangka oleh Amirul, gurunya yang menelefonnya.
“Assalamualaikum… Amirul…”
“Waalaikumussalam Ayah” Amirul memang memanggil gurunya Ayah.
“Ayah dah nak sampai. Sat lagi sampai la.” Tuan guru dalam perjalanan nak bertemu Amirul.
“Ha… Ok Ayah. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Siti yang ada kat dapur turut dengar perbualan Amirul dalam telefon.
“Siapa call hang tu Mirul.” Tanya Siti yang sedang mencuci pinggan kat sinki.
“Tok guru pondok aku. Dia nak mai ambik aku.” Amirul menjawab.
“Hang nak balik dah ka?” Aman yang tiba tiba muncul dari luar melalui pintu dapur bertanya selepas dengar apa yang dicakapkan Amirul.
“Weyh, ada rupanya hang. Aku ingat dah mati kat mana dah. Ke tak jumpa jalan balik rumah? Ha, aku nak balik dah. Dok sini lama-lama pun tak boleh jugak.” Amirul menjawab.
“Amboi mulut hang… aku cabai satgi baru hang tau.” Aman rasa seperti ditembak dengan pistol je bila dengar jawapan Amirul.
“Hahaha… Aman ni memang macam ni kalau hujung minggu. Memang tak lekat kat rumah.” Siti menyampuk.
Sedang mereka asyik bersembang, guru Amirul sampai. Amirul menjemput gurunya masuk makan bersama. Sambil makan Amirul dan gurunya bercadang untuk bertolak selepas zohor. Pak Hadi yang juga ada kat dapur hanya bersetuju saja. Mak Milah pula sedang berehat-rehat di ruang tamu. Sekali sekala guru Amirul menjeling ke arah ruang tamu.
“Ada benda tak kena dengan bini hang tu Hadi. Boleh saya tengok sat.” Guru Amirul meminta izin Pak Hadi untuk melihat keadaan Mak Milah.
“Boleh Ustaz.” Jawab Pak Hadi.
Amirul dan gurunya bergerak ke ruang tamu diikuti oleh Pak Hadid an Siti. Aman masih lagi sedang makan macam orang kebulur tak makan sebulan. Setelah meneliti keadaan Mak Milah, tok guru memberitahu apa yang tak kena pada Mak Milah kepada Pak Hadi.
“Ada yang menumpang pada bini hang ni Hadi. Hang tak bawak jumpa orang yang boleh rawat ka?” tok guru Amirul bertanya.
“Ada… Hari tu ada panggil Majid datang rawat.” Jawab Pak Hadi.
“Majid?”
“Ya, Majid. Dia pun pandai juga rawat gangguan makhluk halus ni. Dia duduk kat sana tu. Ustaz tak kenai ka?”
“Tak kenai. Takpalah. Alang-alang saya dah mai ni saya minta izin nak buang benda yang menumpang kat bini hang ni lah. Boleh?”
“Silakan Ustaz.”
Guru Amirul memanggil Amirul duduk dengannya dan memulakan sesi merawat. Bacaan manzil dimulakan. Mak Milah mula menunjukkan reaksi kurang senang. Dia cuba melawan namun segala gerakan dapat ditahan dan dikawal oleh Amirul dan Pak Hadi. Selesai merawat Mak Milah keletihan yang amat sangat. Dimintanya air dan makanan kerana terasa teramat lapar.
Tok Guru menjelaskan pada Pak Hadi apa sebenarnya yang berlaku. Majid memang dah menghalau yang mengganggu Mak Milah pada malam tu, tapi pada masa yang sama dia juga turut memasang yang lain pada Mak Milah. Tujuannya supaya Pak Hadi kembali mencari dia untuk merawat Mak Milah. Majid lupa yang Allah itu Maha Kuasa.
Selepas Zohor Amirul dan gurunya berangkat dari rumah bapa saudaranya. Mereka berdua singgah di masjid. Ada rancangan yang perlu dilaksanakan. Amirul dan gurunya berada di masjid sehingga selesai solat Isyak. Mereka berdua bergerak ke arah rumah Majid. Sesampainya di sana, salam diberikan.
“Assalamualaikum”
“Assalamualaikum”
“Salam. Ada apa datang malam-malam ni?” Majid membuka pintu rumah dan bertanya.
“Dengar cerita saudara ni boleh merawat gangguan makhluk halus. Betui ka?
“Betui la tu. Awat?” Balas Majid
“Dengan cara yang salah? Hantar sesuatu kat orang kemudian sendiri rawat untuk dapatkan wang?” Amirul mula bersuara.
“Sabaq sat Mirul. Kita bincang.” Tuan Guru cuba menenangkan Amirul.
“Mana hang tau aku buat benda salah hah budak? Hang budak-budak lagi hang mana tau.” Majid mula tidak senang dengan apa yang keluar dari mulut Amirul.
“Sabaq dulu na Majid. Kita bincang elok-elok.” Tuan Guru cuba menyejukkan keadaan.
“Hang tak nak mengaku lagi? Hang dok buat tu Mak Ngah aku hang tau dak?” Amirul makin panas dengan Majid.
“Awat hang nak tuduh aku? Hang ada bukti ka?” Majid cuba mencari helah.
“Bukti tu dok ada sebelah kiri hang. Apa benda tu sebelah kiri hang tu? Nak nafi apa lagi?”.
Majid terkejut dan tidak menyangka yang Amirul boleh melihat kewujudan makhluk halus.
“Hampa berdua pi balik!!! Aku tak nak tengok muka hampa lagi. Pi balikkk!!!” Majid mula mengamuk. Dia melangkah masuk kedalam rumah dan keluar dengan sebilah parang. Di acunya parang itu kearah Amirul dan gurunya. Amirul yang tadinya berani berasa sedikit gentar.
“Hang nak bunuh kami? Bunuh la. Allah ada. Aku tak takut sikit pun kat hang.” Ayat yang keluar dari mulut Amirul memarakkan lagi api yang menyala dalam hati Majid.
Majid melangkah turun tangga rumahnya. Matanya merah memandang Amirul dan gurunya.
“Macam ni Majid. Kami balik. Tapi hang kena hentikan kerja hang ni. Takda kebaikan pun. Keburukan ada la.” Tuan Guru cuba menenangkan keadaan.
“Arghh!!! Hang pun sama. Aku cakap balik. Balik!!!”
“Ok… ok… kami balik.” Jawab Tuan Guru.
Amirul dan gurunya melangkah meninggalkan rumah Majid. Sebenarnya mereka nak melawan apa yang Majid lakukan, namun dengan keadaan Majid yang membawa parang itu membuatkan mereka membatalkan hajat.
Majid melangkah naik ke rumahnya dengan keadaan marah. Mulutnya mengomel memaki hamun Amirul dan gurunya. Dia merancang untuk menghantar sihir kepada Amirul dan gurunya itu. Sedang dia memaki hamun sambil menaiki anak tangga, tanpa dia sedari kakinya tersalah pijak anak tangga lalu dia tersadung dan kepalanya terhantuk pada bucu tangga. Darah mencurah-curah keluar di dahinya yang berlubang. Saat itu kelihatan belaan Majid tersenyum dan belaan Majid yang lain pun turut sama datang mendekati Majid.
“HA HA HA HA… MANUSIA… SENTIASA INGAT DIA YANG PALING KUAT… HA HA HA!!” belaan Majid bersuara. Lantas makhluk-makhluk itu mendekati kepala Majid dan menjilat darah yang keluar dari dahi Majid.
“Selamatkan aku… Selamatkan aku… tolong aku… tolong…” Majid merintih meminta pertolongan. Amirul dan gurunya telah jauh meninggalkan rumah Majid. Tiada siapa yang dapat menolong.
Luka di dahi Majid makin parah. Semuanya berpunca daripada Majid yang telah pun melanggar perjanjian kerana dia merasakan diri dia adalah tuan. Makanan tidak diberikan kepada belaannya seperti apa yang dijanjikan. Majid kekurangan banyak darah dan tidak lama selepas itu Majid tidak bernyawa lagi. Kedengaran hilai tawa dari makhluk belaan Majid menandakan kemenangan berpihak pada bangsa mereka.
Dua hari selepas itu, satu kampung kecoh dengan kematian Majid yang pelik. Wajahnya kelihatan tua dan tubuhnya seperti tiada darah. Kering seperti darahnya disedut sesuatu. Orang kampung mengenalinya hanya kerana baju yang dipakainya. Amirul mendapat perkhabaran tentang kematian Majid daripada Siti, lalu dia menyampaikan pada gurunya.
“Hemmm… Innalillahiwainnailaihirojiun… dah sampai masa dia.”
“Tapi cara dia mati tu pelik Ayah.”
“Tak apalah. Itu bahagian dia. Kita yang hidup ni kena sentiasa ingat. Jangan mempersendakan agama. Jangan mempermainkan ayat-ayat Allah SWT untuk mengaut keuntungan sendiri. Ayat-ayat Allah bukanlah mainan yang boleh kita permainkan. Balasan Allah pada mereka yang menyekutukanNya amatlah pedih. Semoga dia sempat bertaubat sebelum dia pergi.”
-Tamat-
Gambar : Azman Zainordin
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: