Sunday 26 November 2017

KERUSI RODA - Bel Nawhen


KERUSI RODA
Rasanya dah tiga hari Mas melihat langkah longlai seorang lelaki lanjut usia menolak kerusi roda kosong tanpa ada sesiapa duduk diatasnya.
Wajahnya kosong, tidak beriak tetapi ketara dalam kekusutan. Entah kemana hala tuju pun Mas tidak tahu.
Kedudukan setiap wad di ground level hospital daerah itu mewujudkan seperti suasana desa. Susunan satu demi satu wad, umpama sebuah kampung yang penuh harmoni.
Pondok2 kecil diantara wad yang jarang dibiarkan kosong dari diisi oleh pelawat serta pesakit yang menghirup udara segar kadangkala menjadi pengubat ketegangan emosi dan fizikal setiap kakitangan yang berkhidmat.
"Kontrak petang lagi ke minggu ni Mas?" Soal Ashikin.
Lamunan Mas terus terhenti. Pandangannya pada susuk tubuh lelaki itu dialihkan kepada teman sekerjanya.
"Biasalah, minggu ni husband ada kursus. Jadi ambil kontrak petang, tak lah lama masa budak2 rumah ipar. Pengasuh baru tak jumpa lagi" Balas Mas.
Pandangannya kembali mencari susuk tubuh tadi.
'Sekejap je dah hilang!' getus hatinya.
"Cari siapa?" Soal Ashikin bila melihat Mas seolah mencari seseorang.
"Ada pakcik ni, aku tengok dah 3 hari dah dok tolak kerusi roda kosong, nak juga aku tahu kemana hala tuju dia maghrib2 ni. Waktu melawat dah sipi-sipi nak habis" jawab Mas tanpa menghiraukan riak perubahan wajah Ashikin.
.
Sementara itu, Karim tidak jemu menjenguk isterinya yang koma di wad icu tersebut. Kerusi roda kesayangan isterinya tetap dibawa kemana2. Lama sudah isterinya disorong kemana-mana dengan kerusi roda tersebut setelah sebelah kakinya dipotong kerana kencing manis yang tidak terkawal.
Kali ini, sebelah kakinya mendapat jangkitan pula. Puas berubat, dukun mana tak pergi, air masjid mana tak ikhtiar tetapi luka dikaki isterinya semakin membusuk. Kata mereka yang melihat kononnya isterinya terkena sihir, jika tidak diubat kakinya sebelah lagi turut dipotong.
Hari ini, fungsi buah pinggang isterinya semakin terjejas. Kuman telah merebak ke organ lain gara-gara lewat mendapatkan rawatan. Dan isterinya sudah semakin nazak cuma Karim masih berharap agar isterinya masih berpeluang untuk sihat seperti sedia kala. Buang kaki pun dia tak kisah asalkan dia mampu melihat manis senyuman isterinya semula.
.
"Code blue! Code blue di ICU" Suara dari pembesar suara hospital mengejutkan Mas yang sedang leka menulis rekod pesakit.
'Siapa pula yang collapse kat sana agaknya' Mas tertanya2.
.
"Innalillah. Tak sangka ajal suaminya lebih dahulu dari isterinya." ujar Dr Burhan.
Karim, dikejutkan pagi itu oleh pengawal keselamatan kerana dilihat terlelap dalam bilik menunggu icu tersebut tetapi tidak bangun-bangun apabila dipanggil.
Karim, menghembuskan nafas terakhir sambil duduk di atas kerusi roda isterinya.
.
"Pakcik dah berapa hari saya perasan pakcik tolak kerusi roda ni. Pakcik nak kemana?" Soal Mas.
Kebetulan, Mas baru sahaja pulang dari makmal untuk mengambil darah untuk ditransfusekan kepada pesakitnya. Tak sangka jumpa pakcik tersebut tengah malam begini.
"Pakcik nak ke ICU, tengok isteri pakcik". Jawab Karim.
"Lewat pula pakcik datang hari ni. Rasanya minggu lepas saya tengok pakcik datang petang-petang tolak kerusi roda ni" ramah Mas bertanya.
Soalan Mas dibiarkan begitu sahaja oleh Karim. Tak cukup nafas Mas mengejar langkah Karim.
'Laju betul jalan, macam pelesit' ujar hati Mas.
"Pelesit jangan sebut malam-malam ni misi. Nanti dikejar tak cukup kaki" ujar Karim seolah dapat membaca bicara hati Mas.
Terhenti sebentar pergerakan Mas. Terkedu.
Deringan telefonnya mengejutkan Mas.
"Kau kat mana, lama gila ambil darah. Aku sorang2 dalam wad ni. Siti kena pergi hantar pesakit ke Hospital Y." keras suara disebelah sana.
Mas menoleh kiri dan kanan. Serta merta bulu romanya meriding. Mas berada betul-betul di depan Bilik Mayat. Entah bila langkahnya sampai kesitu dibawa oleh Karim. Kiri kanan gelap, suram, kelam tanpa bayang sesiapa. Karim pun hilang seperti ditelan pekat malam.
Tak cukup tanah Mas berlari ke wadnya. Terasa jauh pula letaknya wad tersebut sedangkan bukan besar mana kawasan hospital ini.
Fatimah yang melihat Mas tercungap-cungap tiba didepan pintu menegur Mas.
"Kau dari mana?. Berpeluh dan tercungap macam dikejar hantu!"
"Dari blood bank. Siti dah pergi hantar pesakit ke sana ke?" soal balas Mas sambil menenangkan dirinya.
"Mana ada siti kerja malam ni. Kau mengigau ke? Kan kita kerja dengan Shira!" keras suara Fatimah. Pelik pula dengan Mas. Pergi ambil darah 'bertahun', balik dok tanya pasal kawan yang cuti bulan madu pula.
"Habis, siapa call aku tadi suruh balik cepat?" Mas tidak puas hati. Pantas memeriksa direktori telefon pintarnya. Tidak ada panggilan masuk terbaru di dalam log tersebut. Mas kehairanan.
"Kau ni jangan main-main. Jam satu pagi ni kau merepek apa? Kena sampuk ke? Jangan nak takutkan orang. Malam masih panjang okay!" lantas Fatimah meninggalkan Mas yang masih kehairanan.
Malam itu, Mas memikirkan apa yang jadi sebenarnya sebentar tadi.
Wajah Karim yang kelihatan beku dan pucat.
Bau formaline dari bilik mayat yang mencucuk hidung.
Panggilan aneh menyuruhnya balik ke wad.
Muncul satu-satu.

Mas mula menggigil ketakutan. Apakah aku diganggu sesuatu malam ini?
.
"Mas, kau tahu tak. Hari tu ada sorang pelawat meninggal masa tengah tunggu isteri dia. Kesian weh. Dah la meninggal atas kerusi roda isteri dia. Isteri pula meninggal dua hari lepas tu. Gila setia dia dengan isteri dia. Susah betul nak jumpa cinta mati macam tu" ujar teman serumah Mas, Ros.
Cawan dipegang Mas terlepas dari tangannya.
"Maksud kau. Pakcik yang bawa kerusi roda hari-hari tu? Yang aku pernah cerita tu?" soal Mas semula.
"Dialah tu. Tak jemu datang dengan harapan nak tengok isteri bangun semula. Nak bawa balik dengan kerusi roda tu. Kau tahu tak, kerusi roda tu dah diwakafkan ke unit kecemasan. Warisnya beri. Aku harap tak berhantulah kerusi roda tu. Seram pula aku fikir" ujar Ros.
Nafas Mas semakin sempit. Terasa kejadian malam itu bermain semula. Wajah Karim. Kerusi roda. Bermain satu persatu.
Dan Mas, serik sudah mahu menjadi terlalu ramah terutama bila larut malam menjelma. Seolah terdengar bunyi kerusi roda tersebut bermain ditelinganya.
*****Tamat*****
Tulisan oleh Kurator:

*Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :
Arkib Angker Negara

Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com

Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...

Serremmm...