Wednesday, 22 November 2017

S.K.T - Senyuman Perantau


S.K.T

======================
Kau menyemak punch card hari ini. Selasa, 30 November 2017. Setiap kad kau teliti dan agihkan. Dua bahagian. Yang lewat perlu dipanggil. Itulah salah satu rutin harian kau. Hanya ada dua kad sahaja diketit lebih pukul 8 pagi. Satu kad kepunyaan Jururawat Zalikha dan satu lagi kepunyaan Jururawat Fazura. Kad Fazura diketit pukul 8.10 minit pagi, manakala Zalikha tepat pukul 8.03 pagi.
Kad Fazura telah kau tandatangan, menandakan kau ambil maklum dan mengesahkan kelewatannya bersebab. Kau tak kisah jika Fazura lewat. Kau rasa Fazura selalu menolong tugasan kau sebagai Sister. Menolong atau ampu? Arghh. Kau tak peduli semua tu. Asal kerja kau senang. Zalikha? Ini masa kau balas dendam. Pada kau, Zalikha ni susah untuk ditegur dan pandai melawan. Walaupun kadang kala kau rasa teguran Zalikha berasas dan benar, kau tak pernah mengalah. Bagi kau jika kau mengalah pada orang bawahan, jatuh air muka kau.
"Nak kena kau, Zalikha. Nanti kau!"
Lidah kau jelir sambil ketawa.
-----

Tok! Tok! Tok!
"Ok, masuk."
"Assalamualaikum Sister Marzura. Kenapa ye?" Soal Zalikha.
Nafas kau hembus kuat. Pandangan mata kau diarahkan tepat kepada Zalikha. Genggaman tangan kau kepal kemas, lalu dihenyak di atas meja.
Bang!
"Waalaikumussalam. Kau rasa kenapa aku panggil kau ye?" Suara kau dikeraskan.
"Ye Sister, kenapa?"
"Kenapa? Kau buat-buat tak tahu, atau memang paloi!" Adat bagi kau. Bila kau mula marah, dialek Sarawak kau pun akan terkeluar automatik.
"Saya benar tak tahu Sister. Paloi?"
"Paloi tu macam kau lah. Punch card kau, lewat lagi. Apasal bangang?" Hati kau terbit rasa bersalah tapi otak kau menafikan. Kau rasa tindakan kau betul sebagai orang atasan. Kau betul dan sentiasa betul. Muktamad!
"Maaf Sister kalau pasal tu, saya minta maaf sangat. Saya bukan sengaja, anak saya sakit teruk. Saya kan single mother. Saya sebatang kara je sister. Maaf sister. Maaf," dia cuba menjelaskan sebab kelewatannya.
Kau memang tak peduli. Bagi kau itu semua alasan. Walaupun Fazura punya alasan lagi tidak boleh diterima akal, kau terima sahaja alasan Fazura. Tapi tidak bagi Zalikha.
"Eleh alasan kau je. Aku tak kisah kau single mother ke. Mati anak ke. Mati laki ke. Mati bapak ke. Hatta kau mati pun aku tak nak kau lewat." Kau puas. Sengaja kau sengetkan bibir kiri bagi menambahkan rasa ayat amarah itu.
"Kalau macam tu, saya minta maaf sekali lagi ye, sister," Zalikha merayu lembut.
"Go to hell. Tengok la markah SKT kau nanti. Nantikan. Haha."
-----
Malam itu, setelah selesai solat Isya', kau baringkan kepala di atas bantal kekabu empuk. Bantal kekabu itu kau lipatkan menjadi dua bahagian agar lebih tinggi. Selesa. Badan kau terasa amat penat. Letih dengan tugas hakiki dicampurkan dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.
Kau rasa semua orang tak memahami kau. Suami kau tak lekang dengan buku saham hartanahnya. Anak-anak langsung tak membantu mengemas rumah. Anak lelaki kegemarannya menyepahkan rumah. Yang perempuan bergayut dengan telefon pintar 24 jam. Bodoh! Semua nak harapkan kau. Kau terlelap dengan api kemarahan membakar.
Pang! Krak!
Bunyi benda dipecahkan. Kau terjaga. Tangan kiri kau meraba-raba di sebelah. Kosong. Kedua tangan kau menolak laju selimut yang membungkus badan kau. Suami kau tiada di sebelah. Kau bergegas turun dari katil. Bilik anak-anak kau menjadi destinasi tujuan.
Kreak!
Pintu bilik anak lelaki kau kuak. Kosong.
Kreak!
Pintu bilik anak perempuan kau jengah. Sunyi. Masih kosong.
Mana perginya mereka? Hati kau bermonolog. Kepala kau terpusing-pusing mencari.
"Hai sister, puas tidur?" Lembut suara belakang kau menyapa.
"Allah. Kenapa kau ada dalam rumah aku ni Zalikha?" Kau mulai rasa seram sejuk. Aura buruk seakan-akan kau hidu.
Muka kau pucat. Kaki kau diatur langkah ke belakang. Satu langkah. Dua langkah. Sambil mata kau terus memandang tepat Zalikha.
"Baru sekarang ingat Allah? Sister layan saya macam sampah. Sister ingat saya tak tahu? Orang lain lewat 15 minit, sister lepaskan. Saya? Lewat 2, 3 minit, layan saya macam sampah. Macam apa? Macam sampah. Sister tahu sampah?"
Suara Zalikha teresak-esak. Tangan kanan yang disoroknya di belakang, dikeluarkan. Samar-samar dengan bantuan sedikit cahaya lampu jalan, menampakkan sebilah pisau pemotong daging di tangan Zalikha.
"Apa kau nak buat Zalikha. Aku minta maaf. Aku tahu aku banyak salah dengan kau. Aku, aku, aku," suara kau umpama tersekat di celahan kerongkong.
"Maaf? Aik, bukan sister tak suka perkataan maaf ke? SKT saya pun sister ugut macam-macam. Saya tak kisah sister nak nilaikan rendah, tapi saya kurang gemar sister ugut-ugut saya dengan SKT. Saya lewat bukan sengaja. Saya kerja ikhlas. Tapi bila jadi macam ni. Saya jadi GERAM!"
Zalikha bertukar rupa. Suara tangisan lembik diambil alih suara garau dan kasar.
"Zalikha, maaf. Aku minta maaf. Maaf sangat." Mulut kau tak henti-henti memohon maaf sambil kaki kiri kau terus melangkah ke belakang.
"Anak saya dah mati sister. Esok saya datang awal kerja ye."
"Allah." Itu perkataan terakhir keluar dari mulut kau. Kaki kau tersadung penyendal pintu lalu kau terjelopok menyembah bumi.
"Yeah! Ambil kau, sister!" Dia meluru dan menghunus pisau panjang ke arah kau.
"Allah. Selamatkan aku!" Kau tempik kuat.
"Eh, eh. Apa awak ni? Mengigau la tu. Dah dah. Buka telekung tu, letih sangat la tu, tertidur paki telekung," suami kau tersengih memandang di sebelah.
Kau lega. Kau cuma mimpi. Alhamdulillah.
-----
Jam tangan kau menunjukkan pukul 1 petang. Mimpi malam tadi masih bermain-main di ruang kepala kau. Kau rasa seakan-akan mimpi itu hidup. Kau tahu mimpi mainan tidur, tetapi ada juga petanda di hantar melalui mimpi, bukan?
Punch card di atas meja kau semak. Punch card yang tertulis nama Zalikha Jannah Khair kau pegang. Lama kau tatap kad itu. Jelas. Memang benar sudah tiga kali dia lewat. Tapi semuanya hanya 2, 3 minit sahaja. Eh! Kau baru perasan. Harini dia tak datang. Ya. Dia tak hadir bekerja.
Macam mana kau tak sedar. Hati kau berbisik. Staff lain disoal. Mereka tak tahu kenapa dan mengapa dia tidak hadir. Kau cuba hubungi nombor telefon Zalikha. Tidak berjawab. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Masih tidak berjawab. Kau rasa ini masa kau tebus dosa-dosa kau. Kunci kereta di atas meja dicapai. Lantas, kau tuju ke kereta. Kau pandu ke rumah Zalikha. Bukan jauh pun. 15 minit je dari klinik.
Kau terpandang rumah teres di hujung taman. Motorsikal EX5 lama milik Zalikha tersandar di tepi tiang garaj.
Tok! Tok! Tok!
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam." Lembut dan ayu suara Zalikha. Dia mempelawa aku masuk. Seumpama penyanyi wanita bernama Babyshima. Kenapa kau langsung buta dengan kelembutan dan tingkah lakunya selama ini. Kau mula menyesal.
"Sister, masuklah. Saya tengah tengok anak saya demam teruk ni. Jom la sister, tengok wajah comel anak saya."
Kaki kau dilangkah tertib menuju bilik kedua dari kiri. Kepala kau dijenguk. Dia tersenyum sambil melambaikan tangan. Kau membalas senyuman sambil mengangkat tangan kanan. Kekok. Kau baru sedar, kau dah lama tak senyum kepada Zulaikha.
"Maaf sister. Tak sempat beritahu, tak dapat datang kerja harini. Telefon rosak," sambil tangan dia dituding ke arah sudut dinding bilik.
Kau alih pandangan kau ke sudut bilik. Dinding kuning cair itu berbekas hitam seperti tercalar. Samsung Note 2 berkecai di atas lantai. Kau rasa tak sedap hati.
"Eh, lupa. Sister pergi la tengok anak saya dalam buaian tu."
Kau bangun dan menuju perlahan ke arah buaian. Sesekali pandangan kau dilirik ke belakang, sekadar memastikan gerak geri Zalikha. Muka kau terus berubah apabila terpandang bayi Zalikha. Sekujur tubuh bayi lelaki kebiruan. Dada bayi itu tidak lagi bergerak. Mulut bayi itu berbuih-buih.
"Apa kau dah buat ni Zalikha." Air mata kau diseka Zalikha. Pantas, dia memeluk kau.
"Sister, semalam dia demam teruk. Saya bagi la ubat tu." Dia memegang tin 'ubat' di tangan kirinya.
"Itu gam karpet la Zalikha. Kau buat apa ni?" Kau mula panik. Peluh membasahi dahi kau yang luas berbintil.
"Mana ada, ni ubat la. Tengok dia dah tidur. Nyenyak." Dia tersenyum menampakkan deretan gigi taring yang sedikit berlapis.
Pintu bilik dihempas Zalikha. Kaki kau terasa berat. Tak mampu kau angkat walau seinci. Kau rasa kaki kau seperti dipasak ke lantai simen.
Kau paksa diri kau bertanya.

"Kau nak apa dari aku Zalikha?" Uniform biru muda kau dah basah dengan linangan air mata.
"Tak banyak sister. Kasih sayang seorang majikan kepada pekerja. Kasih sayang seorang ibu terhadap anak. Dan kasih sayang seorang nenek kepada anak saya. Itu sahaja yang saya dambakan, sister."
Pelukan dia semakin erat. Tiba-tiba kau rasa satu tusukan tajam dari arah belakang lalu tembus di bahagian hadapan dada. Kau sakit tapi tak mampu bersuara.
"Jom ke syurga, sister."
-----
Ps: Sesiapa yang berminat boleh mendapatkan buku segitiga yang menampilkan tiga penulis yang sering berkarya dalam AAN, deefen, shizu dan SP di bawah terbitan Kurita Publication.
Jika berminat, Whatsapp segera di 014-539 0603 untuk tempahan.
Ehem2, siapa yang nak COD kawasan Kuching dan Kota Samarahan boleh PM FB SenyumanPerantau SP😊

===================================
Gambar : #kamenrider

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: