PENGAWAS SPM
Karya Khas AANRC Nur Afrah Radzi
==========================
Adam mengerling sepintas lalu papan tanda Sekolah Menengah Greenville yang akan menjadi tempatnya berkampung selama dia bertugas sebagai pengawas peperiksaan SPM di situ, sebelum membelok keretanya masuk melepasi pagar utama. Dia memanjangkan leher, mencari kelibat pengawal keselamatan untuk meminta izin memarkir kenderaanya berhampiran tapak perhimpunan, namun tiada sesiapa pula yang berjaga di kawasan pagar utama.
Kereta dipandu perlahan melewati sebuah bangunan kayu yang agak kecil lalu dia memberhentikan keretanya di sebuah garaj parkir yang sudah usang menunggu masa untuk roboh, lampu kereta dipadamkan sebelum dia tergesa-gesa keluar dari keretanya. Dia melangkah laju melewati laluan deretan kelas yang sunyi untuk ke dewan Mahsuri, tempat peperiksaan besar SPM akan dijalankan.
Sesekali dia membetulkan tali leher dan tanda nama yang dipakainya supaya nampak lebih kemas. Etika pemakaian pendidik sepertinya perlu sentiasa dijaga. Derap tapak kakinya kedengaran bergema melantun ke dinding yang suram tanpa bingit suara pelajarnya seperti sekolah-sekolah biasa.
'Mungkin pelajar lain diberi cuti khas sempena hari pertama SPM...' fikir Adam telus.
Nun jauh di depan, sebuah bangunan rona kuning cair dengan tulisan yang hampir tanggal di permukaan dinding menyapa pandangan matanya. Dewan Mahsuri. Dia membaca patah perkataan itu dalam hati sebelum mula membelok ke situ.
Dewan itu tidak begitu besar. Semua kelengkapan di dalamnya juga tidak begitu mewah seperti sekolahnya. Mungkin juga kerana sekolah ini terletak jauh di pedalaman kampung. Bau sesuatu terbakar menusuk masuk ke hidungnya. Adam meninjau ke tingkap. Kepulan asap kelabu beriak lembut di luar kelas. Tukang kebun membakar sampah agaknya, dia bermonolog sendiri.
Adam mula berjalan mengitari ruang dewan. Sebarang bentuk alat komunikasi tidak dibenarkan sama sekali untuk dibawa masuk ke dalam dewan peperiksaan. Dia juga tidak dibenarkan bersembang dengan pengawas kedua yang turut berjaga di hujung dewan.
Adam berhenti pada sebuah meja. Menjeling kertas putih yang masih kosong tidak bertulis apa-apa. Pelajar itu tertunduk diam ditempatnya. Rambutnya yang panjang mengurai dibiar menutup bahagian tepi mukanya. Adam menggeleng sebelum berlalu mengitari bahagian hadapan dewan itu pula. Kebanyakan pelajar-pelajar itu tunduk. Mungkin sedang memikirkan formula yang betul bagi menjawab soalan yang dikemukakan.
Bau hangus menusuk masuk lagi ke rongga hidungnya. Diselangi bau busuk seperti bangkai yang mereput. Dia mengibas udara di depan mukanya. Menyingkir jauh bauan itu darinya.
"Cikgu.....dah siap."
Suara meredam seorang pelajar yang berdiri di sebelahnya mengejutkannya. Entah bila pelajar itu berjalan ke arahnya. Kertas yang dihulur pelajar itu spontan diambil. Adam mengerutkan dahi.
"Kenapa awak bangun?? Kalau dah siap pun tunggu saja di tempat awak. Nanti saya akan kumpulkan semua."
Dia bersuara tegas. Pelajar itu sekadar menunduk. Rambutnya dibiar mengurai menutup hampir keseluruhan wajahnya.
"Dan ikat rambut awak..awak tak tahu ke peraturan sekolah, rambut perlu diikat ke.."
Kata-katanya terhenti di situ. Matanya tertancap pada pelajar-pelajar yang duduk menunduk di meja masing-masing. Mereka semua sama. Rambut panjang mengurai yang dibiarkan menutupi sebahagian muka. Mereka semua menunduk. Langsung tidak memegang sebarang alat menulis..bahkan...tidak ada sebarang alat tulis di atas meja mereka! Adam telan liur. Matanya melilau mencari Hairul, pengawas yang turut bertugas bersamanya tadi. Tiada! Hanya ada dia, dan pelajar-pelajar aneh itu!
"Dah siap..."
Pelajar yang berdiri di sebelahnya bersuara lagi. Adam menapak ke belakang. Gugup.
"Dah siap.."
"Dah siap..."
"Dah siap..."
Kali ini giliran pelajar lain pula bersuara. Muka mereka diangkat memandang Adam yang berdiri kaku di hadapan kelas. Bunyi derakan tulang kedengaran kuat sewaktu satu persatu muka di angkat, menyerlahkan wajah hangus terbakar mereka semua. Salah seorang pelajar menyengetkan kepalanya ke sisi, merenungnya sebelum kepalanya tergolek jatuh ke lantai.
Adam menjerit sebelum berlari keluar menuju ke keretanya. Perjalanan dari dewan ke tempat parkir kereta terasa luar biasa jauhnya. Matanya melilau melihat bangunan sekolah itu yang mempunyai kesan hangus terbakar di sebahagian besar dindingnya. Dia memboloskan badannya ke dalam kereta dan sebaik sahaja keretanya melepasi pagar sekolah, telefon bimbitnya berdering kuat. Adam menyumpah dalam hati. Terkejut! Dia mengagau telefon yang disumbat ke dalam laci dashboard keretanya sebelum menekan butang hijau untuk menjawab.
"Adam, kau kat mana!!?? Kau okay tak?"
Danish, rakan sejawatnya bertanya dengan nada cemas.
"Weh..kau takkan percaya apa yang aku baru nampak tadi..."
"SMK Greenville call sekolah tanya mana kau! Kami semua risau!"
Adam mengelap peluh yang terasa merenik di dahinya. Matanya mengerling kertas soalan di atas tempat duduk penumpang disebelahnya. Liur ditelan pahit. Tangannya mencapai kertas soalan dengan kesan terbakar itu. Membaca perkataan yang tertera di atasnya dengan kuat.
"Sekolah Menengah Perempuan Gregory 1987."
"Hello???! Adam! Apa yang kau buat dekat sekolah lama tu??"
"Aku..."
"Sekolah tu dah lama ditutup! Semua budak-budak situ mati terbakar! Kau buat apa kat situ!?"
Adam menelan liur. Matanya mengerling cermin pandang belakang yang sedang membiaskan imej bangunan sekolah itu sedang hangus terbakar dijilat api yang menjulang tinggi. Telefon yang ditekap ke telinga terlepas dari genggamannya sebelum dia kelam kabut menekan gear minyak, meninggalkan sekolah penuh misteri itu jauh di belakangnya!
TAMAT
==============================
Gambar: #kamenrider
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment