ANAK
Karya: NAJ
=========================
Kedengaran suara anakku yang berumur 14 bulan merengek dan meraung-raung di luar tandas. Aku yang baru saja melangkah masuk hanya mampu tergelak kecil dan melihat kedua tangannya di sebalik pintu tandas itu.
Pintu tandas ini pula jenis plastik berwarna yang membolehkan aku nampak bayang di luar. Jadinya, aku dapat lihat anak kecil aku, Azmi, mengetuk-ngetuk pintu tandas tanda ingin aku segera keluar.
"Sabarlah Azmi... Ibu mandi sekejap je ni." Kataku separuh menjerit. Kemudian terdengarlah budak kecil itu menangis sambil mulutnya membebel entah apa-apa menjauhi pintu.
Nampaknya, sesi mandi badak lagi lah ni. Hatiku berbisik sambil aku sendiri tergelak kecil. Rasanya, ini perkara biasa yang dilalui oleh para emak di luar sana juga.
Usai mandi, aku keluar dan terlihat anakku sedang berbaring di atas katil sambil meminum susunya.
"Ha... Kan good boy macam ni. Ibu mandi sekejap je lah." Sambil aku mencuit-cuit pipi gebu Azmi. Tersengih-sengih satu-satunya anakku itu yang mana membuat hatiku terasa bahagia.
-------------
"Tadi dia ketuk-ketuk gegar pintu toilet tu. Nasib lah kecik lagi budak ni, bang. Kuat betul." Aku bercerita tentang apa yang terjadi petang tadi pada suami yang sedang santap.
Suamiku ketawa mendengar ceritaku. Dia mencium kepala Azmi yang berada di pangkuannya.
---------
Aku jenis manusia yang minum air sekurang-kurangnya 4 liter sehari. Amalkan gaya hidup sihat lah katakan. Jadi, memang normal untuk aku bangun setiap malam pada pukul 1 atau 2 pagi untuk ke tandas.
Aku cium pipi gebu Azmi di sisiku sebelum aku melangkah ke tandas. Nyenyak betul anak dan suamiku tidur. Kepenatan masing-masing barangkali.
Sedang aku membuang hajat, kedengaran rengekan dari luar tandas. Mula-mula jauh dan semakin lama semakin hampir. Suara Azmi merengek dan menangis kedengaran betul-betul di luar pintu tandas. Dan kelihatan lah kedua tangannya melekap di pintu dan mengetuk-ngetuk meminta aku segera keluar.
Tidur mati abang ni. Anak turun katil merengek pun tak sedar. Bisik hatiku.
Segera aku selesaikan apa yang patut. Azmi masih lagi menangis di luar tandas. Aku buka pintu dengan cepat. Sunyi.
Tiada rengekan. Tiada tangisan. Tiada Azmi di luar tandas. Aku terpaku bagaikan kakiku digam.
Azmi dan suamiku masih lagi nyenyak di atas katil. Tak terusik kelihatannya. Waktu itu lah aku terdengar suara anak kecil seperti suara Azmi menangis di belakang aku, di dalam tandas. Sayu betul. Mendayu-dayu sama seperti waktu Azmi ingin aku segera mendapatkannya.
Aku tidak tunggu lama. Aku terus lari naik ke atas katil dan bersembunyi di bawah selimut. Azmi aku peluk erat. Entah bila, aku tertidur.
Kejadian malam tadi aku tidak ceritakan pada suamiku. Mungkin cuma kejadian yang sekali lalu. Jadi tak perlu nak membuatnya risau tak bertempat.
Sesi mandi badak perlu aku lakukan sebelum Azmi sedar aku tiada di sisinya. Khusyuk anak kecil itu bermain dengan kereta api Thomasnya.
Mandi badak ni memerlukan beberapa minit saja. Jimat air.
Baru saja aku habis menggosok gigi, bunyi tangisan Azmi mula kedengaran. Mestilah. Tentu dia terdengar aku menggosok gigi tadi.
Cepat-cepat aku mandi dan mengenakan baju. Namun, apa yang aku lihat di pintu tandas buat aku terduduk di atas mangkuk jamban.
Bayang telapak tangan Azmi jelas aku lihat menepuk-nepuk pintu tandas. Tetapi.... Ada sepasang lagi tangan milik budak sekecil tangan Azmi juga sedang menepuk pintu tandas. Merinding bulu roma aku rasa. Siapa yang ketuk? Azmi atau bukan? Siapa seorang lagi yang menangis?
Memikirkan keselamatan Azmi, pantas aku buka pintu tandas. Azmi kelihatan teresak-esak bila melihat aku di depan mata. Aku terus mendukung Azmi dan meredakan tangisnya. Ya. Cuma Azmi yang berada di situ.
Kini sudah hampir 2 bulan kejadian kerap berulang, ada kala jika gangguan berlaku tengah malam aku jadi takut hendak buka pintu tandas. Bunyi tangisan dan tepukan di pintu tandas buat aku ketakutan dan berserabut. Menggigil-gigil aku menekup kedua-telinga sambil aku menangis namun cuba untuk tidak mengeluarkan suara.
Jika dulu aku hanya melihat sepasang tangan yang asing selain Azmi. Kini apa yang aku lihat di pintu adalah bayang - bayang 4 pasang tangan kecil sedang menepuk-nepuk pintu sambil kedengaran semuanya menangis dan merengek. Kesemuanya suara seperti Azmi. Dari tangisan itu aku dapat menangkap bukan bunyi dari seorang dua bayi, malah lebih!
Dalam kekalutan itu aku beranikan diri keluar dari tandas juga, dengan pantas aku mengunci pintu itu dari luar. Aku melihat Azmi dan suamiku masih nyenyak tidur di atas katil. Aku mengangkat kaki dan baring di sebelah Azmi, melentang dan menarik selimut. Mata aku masih melekat pada pintu tandas.
Siapa mereka?? Apa mereka mahu dari aku??
Tiba-tiba, pintu tandas terbuka walaupun sudah aku kunci sebentar tadi! Kelihatan beberapa pasang tangan kecil yang pucat kebiruan menguak pintu tandas perlahan-lahan.
Habis kaku satu badan, hendak mengejut suami, suaraku hilang. Aku cuba untuk mengiring, badanku seperti disimen keras. Aku hanya mampu memejam mata dan berzikir mengharapkan gangguan itu lenyap. Malam itu aku berzikir sehingga terlelap.
Perlu ke aku memberitahu suamiku mengenai hal ini?
=================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment