Tuesday, 14 November 2017

JIRAN RUMAH KAK LONG - Suzana Md Zin


JIRAN RUMAH KAK LONG 
KARYA: SUZANA MD ZIN


Kak Long adalah adik-beradik yang satu-satunya tinggal berjauhan dari kami kerana mengikut suaminya berpindah kerja di Pasir Gudang. Walaupun berjauhan, namun, rumah Kak Long itulah satu-satunya port terbaik jika ayah atau mama atau adik-beradik lain nak makan angin.
Kami sampai di rumah Kak Long dalam pukul 6.30 petang. Perjalanan yang memakan masa hampir dua jam, tak terasa kepenatannya kerana terlalu gembira untuk berjumpa Kak Long sekeluarga.
Selepas menunaikan solat maghrib, telefon ku berdering, pasti tunang kesayangan ku yang menelefon bertanyakan keadaan dan perjalanan kami. Aku, bangun meminta izin untuk keluar rumah menjawab panggilan.
Rumah Kak Long yang berada di tingkat tiga, menjadikan tangga di tepi rumah sebagai 'port' untuk aku melayan panggilan buah hati. Pintu rumah Kak Long bertentangan dengan pintu rumah satu-satunya jiran Kak Long.
Sedang aku kusyuk melayani panggilan, kedengaran dari dalam rumah jiran Kak Long, suami isteri tersebut bergaduh! Ayat yang dikeluarkan juga boleh tahan lantang dan keras.
"Kau jumpa lagi dia kan?"
"Kalau kau masih nak kan betina tu, kau pergi dekat dia!"
Itulah antara butir-butir bicara pergaduhan yang aku dengar. Banyak lagi yang diteriakkan, tapi aku tak berapa tangkap apa yang dibebelkan. Yang buat aku paling tak boleh tahan, kedengaran balingan kaca, bukan satu, bukan dua keping .
Argh...takut betul aku waktu tu. Macamanalah suami dia boleh melepasi balingan kaca-kaca tersebut. Sedang aku mahu bangun untuk masuk ke dalam rumah, sempat ku lihat tombol pintu jiran Kak Long dipulas.
Apalagi, aku terus lari ke dalam, bimbang aku yang tanpa sengaja terdengar, mendapat habuan yang sama - piring terbang. Ku ceritakan kepada Kak Long satu persatu. Berkerut dahi Kak Long mendengar cerita aku.
"Lagi kau dengar apa?" tanya Kak Long sambil menghulurkan pinggan.
"Itu jelah. Serius seriau aku dengar dia gaduh, Kak...Kau tak pernah dengar ke?"
"Oh, haah dia kalau gaduh suami isteri memang gitu. Jerit-jerit. Lempar -lempar barang. Kadang-kadang barang yang dilempar sampai keluar. " ujar Kak Long aku.
"...tapi, jiran akak ni dah 4 bulan pindah. Kosong dah. Belum ada siapa yang masuk lagi..."
sambung Kak Long, tersengih.

"Kau biar betul kak?" terbeliak biji mata aku mendengar jawapan Kak Long. Bukan aku je. Ayah, mama, Alang dan Acu pun sama.
" Betul lah...Kalau kau tak percaya esok pagi kita keluar, kau tengok himpunan meter blok bangunan kitaorang dekat dinding, kat bawah sebelah tangga mula-mula nak naik tadi . Kau check papan meter board. Nombor rumah ni, ada tak. Kalau tak silap akak, meter rumah dia, dah kena cabut dah. Papan dia pun dah kosong..."
Ish, biar betul Kak Long aku ni. Tak kanlahhh. Terus terasa kenyang perut aku bila mendengar penerangan panjang lebar Kak Long.
Pagi ni aku dah bersiap-siap nak bersiar-siar di bandar ini sebelum pulang. Turun dari tangga, aku lihat papan meter rumah jiran Kak Long sudah tiada! Terus rasa kecut-perut aku. Abis, suara siapa yang aku dengar malam tadi tu siapa? Tombol pintu tu, siapa yang memulasnya?
Dari dalam kereta, aku rasa ada sepasang mata sedang merenung tajam kepada ku dari arah tingkap jiran rumah Kak Long. Apa yang pasti, aku akan berhati-hati bila melawat rumah Kak Long bila-bila nanti!
TAMAT

No comments: