Thursday, 23 November 2017

KAU YANG BERNAMA SERI - Naj


KAU YANG BERNAMA SERI
Karya : NAJ
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

-------------------------------------------------------
"Seri... Bangun Seri." Kedengaran suara lunak mengejut Kak Seri dengan perlahan.
Kak Seri menggigil ketakutan.
“Ya Allah... Tolong...”
***
"Dah macam panda aku tengok kau, Kak. Kau tak tidur ke malam tadi?" Aku menegur Kakakku, Seri, yang sedang berjalan ke arah meja makan sambil menguap kecil.
Mak ayah awal pagi sudah gerak ke Terengganu. Ada jemputan daripada kawan rapat mereka katanya. Alang-alang ke Terengganu, mak kata nak honeymoon lagi di Pulau Perhentian. Amboi seronoknya......
"Ala… Kau macam tak tau je." Kak Seri menjawab sambil tangannya mencedok nasi goreng yang sempat mak masak subuh tadi.
Kak Seri memang mudah diganggu. Sejak kecil selalu saja mengigau dan bermimpi buruk. Tapi keadaannya tidaklah teruk sehinggakan dia dirasuk atau boleh nampak makhluk halus. Selalunya diganggu waktu tidur malam.
"Apa jadi Kak? Cuba kau cerita." Aku mula menyibuk. Permintaanku disambut dengan jelingan tajam oleh Kak Seri.
"Kau jangan nak mengada. Mak ayah tak ada ni, niaya kalau aku buKak mulut. Tak pasal-pasal lagi teruk nanti kena." Bebel Kak Seri sambil menyumbat sesudu nasi goreng ke dalam mulut.
Aku cuma tersengih. Aku tidur sebilik dengan Kak Seri dalam rumah teres yang ada 3 bilik ini. Setiap kali Kak Seri diganggu, pagi esoknya mesti dia tiada dalam bilik. Mesti dia menyelit di antara mak dan ayah aku. Umur Kak Seri?? Hmm sudah pertengahan 20-an.
Tapi memang Kak Seri anak kesayangan ayah. Ayah faham keadaan Kak Seri dan tak kisah pun. Mak pun begitu. Malas mahu layan. Janji tidurnya lena.
"Kau memang suka tinggal aku sendiri dalam bilik kan? Nasib baik benda alah tu tak kacau aku bila kau lari keluar. Kalau tak... Mati aku Kak. Aku lagi penakut dari kau."
Dengan mulut yang penuh, masih lagi aku mahu bersuara. Kak Seri cuma diam. Entah apa yang difikirkannya. Aku habiskan nasi di pinggan dan berlalu ke dapur.
***
Malam itu aku tertidur awal. Walaupun sedang berbual dengan Kak Seri, aku rasa terlalu mengantuk. Harapnya, tidaklah Kak Seri diganggu lagi malam ini.
***
Sekitar waktu tengah malam aku terjaga. Dalam keadaan mamai, aku membuka mata separuh dan melihat Kak Seri di sisi aku. Kami tidur bersama di atas katil bersaiz queen. Tempat Kak Seri tidur berdekatan dengan pintu bilik.
Tak semena-mena aku nampak seorang perempuan berambut panjang dan berbaju putih di hadapan pintu bilik. Perempuan itu kelihatannya tidak memandang aku. Aku terus menutup mata. Bulu roma habis mencanak naik. Harapnya 'benda' itu tak sedar yang aku dah terbangun.
Segala cerita seram tentang budak kecil yang mengira orang yang sudah tidur, atau cerita seram lainnya tentang orang yang terbangun dan ada pocong bergolek keluar dari bawah katilnya semua bermain di minda aku.
“Aduih.. Time macam ni otak aku nak fikir benda-benda ni...” Keluh aku dalam hati.
"Seri.... Bangun Seri..."
Aku terdengar suara wanita mengejut Kak Seri. Aku mula menggigil. Mahu terkencing dibuatnya jika perempuan itu mengejut aku pula.
Janganlah dia nampak selimut aku gerak-gerak sebab menggigil... Ya Allah.....
Entah kenapa perkara sebegitu yang berada dalam otak aku pada waktu kritikal begini.
"Seri.... Bangunlah... Tengok muka aku.. Cantik tak?"
Aku rasa nak pengsan. Aku tak rasa mahu terkencing lagi. Makhluk apa yang menanyakan soalan itu pada Kak Seri? Aku dengar suara dia saja pun sudah rasa ingin pengsan.
Ahhhhh! Kenapalah aku belum pengsan lagi ni? Aku dah tak sanggup hadapi ketakutan ni. Tolonglah pengsan!
Degupan jantung begitu laju dan kuat sampaikan aku boleh dengar bunyi dari dalam dadaku sendiri. Aku mula baca ayat kursi dalam hati. Air mata aku dah mula mengalir laju.
"Seri... Kalau muka aku cantik, bangunlah. Buka mata kau. Tengok aku..."
Kedengaran suara wanita itu lagi.
“Ya Allah.... Tak pergi lagi?!” Jerit hati aku.
"Seriiii........... buka mataaa........" Suara wanita itu berubah garau dan garang. Bagaikan dia marah kerana Kak Seri belum bangun lagi.
"SERIIII !!!"
"Aaaaaaaargghhh!!!"
Aku terus terduduk apabila terdengar jeritan Kak Seri. Kak Seri kelihatan terbungkam. Wanita yang aku nampak tadi hilang entah ke mana.
Dalam keadaan takut, aku memeluk Kak Seri dan cuba meredakan tangisannya. Aku tahu sekarang, kenapa Kak Seri selalu lari bila mengigau. Mungkin Kak Seri bukan mengigau pun selama ini.
"Istighfar Kak. Ingat Allah. Baca ayat kursi Kak..." Aku mengusap belakang tubuh Kak Seri yang mengongoi bagai budak kecil.
"Naj...." Kak Seri panggil dalam sedunya.
"Ya Kak…"
"Cantik tak muka aku Naj......"
Usapan aku terhenti. Kak Seri mendongak melihat aku sambil tersenyum. Refleks secara semulajadi, aku menolak Kak Seri dan turun dari katil. Menggigil-gigil badan aku waktu itu.
"Cantik tak muka aku Naj??" Tanya “Kak Seri” lagi sambil kepalanya diiring ke kiri dan ke kanan.
Aku cepat-cepat mahu membuka tombol pintu. Tetapi entah kenapa tak dapat dibuka. Kelam-kabut aku sambil menangis-nangis dengan tangan yang menggeletar cuba menarik tombol pintu.
"Naj…"
Segala kelakuan aku terhenti. Bisikan yang betul-betul berada di belakang aku amat menyeramkan.
"Tengoklah aku, Naj. Cantik taaaaaaakk........." Hilaian tawa Kak Seri di belakang aku membuatkan jantung aku terhenti rasanya. Akhirnya aku betul-betul pengsan.
***
"Woi Naj! Bangunlah! Kenapa tidur sini? Buat orang takut je."
Aku terpisat-pisat bangun. Kak Seri melihat aku dengan wajah berkerut. Aku terbangun dan terus berdiri.
Waktu itu aku tersedar yang aku tidur dalam keadaan duduk di hadapan meja solek. Tangan kanan aku menggenggam sikat berus yang kami selalu guna.
"Kak... Kau mengigau kan malam tadi?"
Aku mencucuk pipi Kak Seri dengan jari telunjuk aku. Ingin memastikan itu betul-betul Kak Seri. Dia menepis kasar.
"Apa kau merepek? Kan semalam lepas makan tengah hari aku cakap aku nak tidur rumah Jihan. Dia kan buat girls night sebab minggu depan nak kahwin dah." Kak Seri cuba mengingatkan aku lagi.
Berkerut-kerut dahi aku cuba untuk mengingat.
Ya. Semalam Kak Seri kata ingin keluar. Tapi waktu aku mahu tidur, Kak Seri pun masuk bilik ingin tidur dan ketika itu entah kenapa aku tidak ingat langsung pesanannya.
"Kau kena kacau ke dik?" Kak Seri memegang bahu aku. Aku yang sudah mula sedar apa yang terjadi sekadar mengangguk perlahan.
"Dia tanya kau ke?" Kak Seri menyoal pantas. Aku terkejut. Macam mana Kak Seri tahu?
"Aku rasa, baik kita dua blah dari sini sementara tunggu mak ayah balik." Sambung Kak Seri lagi.
Aku yang masih terpinga-pinga hanya mengikut saja.
Sepanjang minggu itu, kami tinggal di rumah Mak Busu, adik kepada mak yang tak jauh dari kawasan perumahan kami. Bila Mak Busu tanya, rupanya Kak Seri selalu tidak membaca doa sebelum tidur. Jarang mengambil wudhu' waktu bersiap-siap untuk tidur walhal dirinya senang diganggu.
Bila fikirkan semula, aku juga sedar yang malam itu aku tidak membaca doa tidur, ayat kursi dan 3 qul seperti selalu. Mungkin makhluk tersebut mengacau aku sebagai ganti ketiadaan Kak Seri. Atau mungkin juga kerana mulut aku celupar sangat pagi itu sewaktu sarapan.
Berpandukan peringatan Mak Busu, Kak Seri mula rajin membaca surah al-Mulk, 3 Qul, ambil wudhu' dan baca ayat kursi sebelum tidur. Kadang-kadang kami baca bersama-sama di atas katil semasa mempersiapkan diri untuk tidur.
Penat macam mana pun tetap kami lakukan juga. Dan dengan izin Allah, memang Kak Seri tidak diganggu makhluk itu lagi. Pernah. Tapi jarang sangat.
Aku pun sekarang sudah berpindah. Maklumlah, sudah berkeluarga dan beranak dua.
Sebagai pengajaran, ayuhlah bersama-sama tingkatkan amalan kita. Keraplah mengingati Tuhan. Solat jangan alpa. Mengaji juga jangan dilupa.
-TAMAT-
Nota: Kisah ini adalah adaptasi daripada pengalaman sebenar.
Karya : NAJ
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: