Friday, 17 November 2017

TENTANG MIMPI - Gongpal Topek


Tentang Mimpi
Karya: Triple N + Gongpal Topek
Anda sering bermimpi? Ada manusia, setiap malam tidurnya, akan ‘ditemani’ dengan kisah-kisah tentang sesuatu dalam mimpinya. Ada yang menarik, ada yang normal pada pemikiran manusia, ada yang aneh dan berisi sesuatu yang luar dari norma mimpi yang dilalui pada setiap malam. Ada apa dengan mimpi? Ada yang mengatakan mimpi itu mainan tidur semata-mata. Tidak kurang yang memandang mimpi sebagai petanda alamat tentang sesuatu yang akan berlaku. Apa yang penting, hari manusia biasa kita, akan bermula dengan mood tertentu. Ada antara kita, manusia biasa, bergantung kepada mimpi yang dialami pada tidur sebelumnya, untuk menentukan mood pada pagi harinya. Adakah anda sebahagian daripada golongan tersebut?
Aku, seorang yang jarang bermimpi. Malah, jika aku katakan aku pernah menulis berdasarkan mimpi, itu semua gimik semata-mata. Aku selalu bangun dari tidurku, dengan tanpa sebarang ingatan berkaitan mimpi dalam tidurku malam itu. Namun, jika benar ada sesuatu yang aku ingat dalam mimpi, itu adalah petanda mimpi buruk buat aku. Suka untuk aku berkongsi, mimpi ketika zamanku menuntut di institut luar negara. Mimpi yang memberi amaran kepadaku, agar jangan mendekati ‘seseorang’ yang aku sukai, kerana dia, mangsa gangguan jin tidak berhati perut.
Aku mengenali ‘dia’ (aku namakan Nabila) ketika dia sedang bercuti di Korea bersama rakan-rakannya. Aku ditawarkan untuk membantu junior membawa trip Nabila sekumpulan untuk berjalan-jalan di bandar raya Seoul. Memandangkan ketika itu cuti, aku terima sahaja permintaan itu. Ditambah dengan peluang untuk mendapatkan wang sampingan hasil menjadi tourist guide bidan terjun, aku katakan ya sahaja kepada permintaan itu.
Di situ, aku mengenali Nabila. Gadis ini biasa sahaja seperti gadis lain. Riang ria, gembira merantau mengenali negara asing melalui perjalanan ke Korea ini. Sehinggalah akhir ekspedisi pelancongan mereka, aku berpeluang untuk mendapatkan nombor telefon Nabila untuk terus berhubung di kemudian hari.
Kami saling berkenalan dengan lebih rapat, walaupun jauh. Hati budi dikenali, lalu aku mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai teman wanitaku. Dia ragu-ragu, seperti ada yang cuba disorok. Selepas ditanya, barulah Nabila bersetuju untuk bercerita. Dia, sakit akibat buatan orang. Dia juga maklum, benda itu ‘ditanam’ dalam diri agar tidak dapat menemui jodohnya sampai bila-bila.
Aku tidak mempedulikan semua itu. Sepanjang hidup aku, tidak pernah aku lalui pengalaman bertemu sesuatu yang mistik, atau diganggu dengan sesuatu yang seangkatan dengannya. Jadi, aku tidak kisah semua itu. Namun, segalanya berubah dengan hanya satu mimpi. Mimpi yang mengubah persepsi aku berkenaan hantu, atau makhluk halus.
‘Syaitan’ yang bernama Sarah di dalam badan Nabila (aku ketahui melalui sesi dia diambil alih badan ketika Skype) sememangnya bencikan aku kerana cuba mendekati Nabila dengan dekat. Ada sahaja hamburan caci maki, jika kau berpeluang ‘berjumpa’ dengannya jika Nabila sakit. Aku tidak kisah semua itu. Aku tahu, selagi aku masih melihat manusia di hadapan aku dan bukannya jelmaan Sarah, aku masih boleh mengawal keadaan.
Melihatkan aku masih tidak gentar dengan ugutan secara berhadapan, Sarah mula bertukar cara. Dia kemudiannya ‘menyerangku’ melalui mimpi, melumpuhkan semangatku. Apa yang aku mimpikan?
Aku pulang ke rumah orang tuaku, bagai ada upacara seperti tahlil arwah. Suasana sugul dapat dilihat pada muka dan emosi hadirin. Semua memandang aku bagaikan aku pesalah terhadap sesuatu kejadian, yang pada masa itu aku tidak maklum apa yang telah berlaku. Melihatkan aku seperti tidak diundang, aku berlalu pergi begitu sahaja. Pemergianku dilihat dengan mata-mata para hadirin yang tidak senang akan kehadiranku.
Aku berlalu, dan tiba-tiba sampai di sebuah gua gelap. Aku masuk gua itu, di hujungnya ada penjara. Usang tetapi seperti masih digunakan. Berjeriji tiang kayu menutupi segenap kawasan hujung gua. Aku lihat ada kanak-kanak perempuan kecil duduk memeluk lututnya dalam penjara itu. Menangis, ketakutan.
Tatkala aku cuba memecahkan jeriji kayu itu, datang asap entah dari mana, menyelubungi kanak-kanak tadi. Aku kaget, apa yang perlu aku lakukan? Kanak-kanak itu mula mengerang kesakitan, semakin lama semakin kuat. Aku, dalam resahku, cuba azan, sepertimana biasa kita lakukan apabila berhadapan dengan makhluk halus.
Belum sempat dihabiskan perkataan ‘Allahuakbar’ dalam azan, bayang itu ‘terbang’ menyelubungiku. Tekakku tersangkut, bagai dicekik. Bayangan itu membentuk rupa bermata merah yang teramat, merenungku dengan penuh kemarahan. Aku dalam mimpi, tersangkut azan pada kalimah yang sama. Sedangkan, di luar mimpiku, aku terjerit baki bait ayat dalam azan itu.
Aku bangun terjerit-jerit. Mencari nafas dek kerana tersekat di dalam mimpi. Jauh dalam hatiku, tergerak satu ayat yang asing bagiku.
“Jangan hampiri. Amaran akhir…!”
Aku berang. Itulah Sarah, firasatku kuat mengatakannya itu dia. Memberi amaran supaya menjauhi Nabila (dibayangkan sebagai kanak-kanak perempuan dalam mimpi itu). Aku ceritakan segalanya tentang mimpi itu kepada Nabila, dan sejak itu, apa sahaja perkara yang dilakukan oleh keluarganya untuk tujuan perlindungan daripada gangguan, aku juga turut sama diminta melakukannya, walaupun aku jauh di perantauan. Sebagai langkah keselamatan, kata mereka.
Anda pernah alami kisah sebegini dalam mimpi anda. Apa pendapat anda? Benarkah mimpi ini amaran si ‘dia’ agar jangan bermain dengan api? Atau memang benar sekadar mainan tidurku?
Ikuti kisah ini pula. Pengalaman seseorang yang bercerita kepadaku, tentang mimpi. Mimpi dalam mimpi.
********
Terima kasih Gongpal kerana sudi memberi ruang untuk aku nukilkan kisah untuk tatapan bersama. Aku pernah bermimpi, di dalam mimpi. Bukan sekadar bait lagu yang popular dinyanyikan suatu masa dahulu, tetapi benar-benar berlaku kepadaku.
Mimpi pertama. Dalam mimpi itu, aku sedang bersiar-siar dengan keluarga (aku, suami, dan anak lelaki kami). Ketika sedang berjalan, aku nampak akan kelibat sesuatu di tepi semak jalan itu. Seperti seorang bayi, tetapi mempunyai rupa yang sangat hodoh apabila dia memandang ke arah kami. Tatkala sedang asyik melihat kehadiran bayi aneh itu, tiba-tiba datang seorang wanita mengambil bayi di semak itu, lalu diserahkan kepadaku seraya berkata,
“Nah, ini anak kamu.”
Sebaik sahaja mendengar ucapan dan tawaran mengambil bayi aneh dan hodoh itu, minda separa sedar aku berkata sendiri. Aku sedang bermimpi, aku yakin aku hanya bermimpikan semua ini. Ada imbasan memori berkenaan pesanan ustaz dan ustazah bahawa ini merupakan petanda saka. Aku yang sedari tadi baru mendapatkan bayi itu di dakapan, segera meletakkannya semula ke lantai.
“Bukan, ini bukan bayi aku!”
Anehnya, bayi tadi pandai berjalan, malah berlari lagi. Sebaik sahaja sampai ke tanah, dan menyedari yang aku tidak menerimanya, bayi itu lantas menghilang di sebalik semak, sekejap berlari, kemudian merangkak pantas pergi. Aku tersedar dari tidurku. Sedarkah aku ke alam sebenar?
Aku cuba bangun dari tidur, tetapi pada waktu itu, aku terlihat ada satu lembaga hitam pula sedang memerhatikanku yang terbaring kepenatan di atas katil. Bentuk badannya persis seorang lelaki, tetapi aku gagal mengecam rupanya dek kerana terlalu gelap. Lembaga itu mula bergerak mendekati, lalu cuba naik ke atas katil. Sedikit demi sedikit, mendekati tubuhku untuk ditindih.
Sekali lagi, aku rasakan ini bukanlah dunia nyata, aku yakin ini masih sebuah mimpi. Aku cuba menjerit dan membaca apa sahaja ayat-ayat suci yang terlintas di benak fikiranku. Setiap kali habis bacaanku, aku tersedar dalam keadaan penat. Masih di atas katil, lembaga hitam yang sama sedang cuba naik ke atas katilku.
Aku ulangi apa yang aku lakukan tadi sekali lagi. Mimpi sebegitu (lembaga datang menghampiri) aku ulangi pada malam itu sebanyak tiga kali, dan hanya sedikit perbezaan aku lakukan pada mimpi ulangan ketiga. Aku azan dan menjerit, “Berambuslah kau, bodoh!” Selepas itu, barulah aku benar-benar tersedar dari mimpi. Mimpi ngeri yang panjang. Bak kata orang barat, inception yang tidak dikawal semata-mata.
Mimpi aneh seperti itu aku pernah lalui lagi tidak lama selepas itu. Mimpi kedua ini, situasinya berbeza. Aku dan suami dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Hampir sahaja sampai ke rumah, tiba-tiba kami dengar bunyi kuat dan seperti ada benda terjatuh dari atas bumbung kereta. Ada sesuatu yang cuba menjulur mukanya dari atas kereta yang sedang suamiku pandu. Sampai sahaja di rumah, aku dapat lihat satu makhluk berbungkus, seperti pocong, sedang setia menunggu di hadapan rumah. Maksudnya, ada dua kelibat yang ‘menyerang’ sekaligus!
Aku menjerit di dalam mimpi, tetapi anda tahu apa yang berlaku? Seperti flashback, kini aku dan suami kembali berada di dalam kereta, hampir tiba ke rumah. Sesuatu jatuh ke atas bumbung, dan cik pon menunggu di depan rumah. Cuma bezanya, kali ini kami pedulikan kedua-dua makhluk itu, dan masuk ke dalam rumah. Kebetulan dalam mimpi itu, ayah aku ada di rumah. Aku ceritakan perihal kelibat yang kami lihat kepadanya.
Ayahku bagai tidak senang duduk. Dia lalu menelefon adikku supaya memanggil ustaz datang ke rumah kami. Aku pelik. Tiba-tiba, suamiku pegang saya kuat-kuat bersama ayah saya, seolah-olah cuba mengawal saya dari kesurupan. Sepertinya, saya sedang dirasuk kuat oleh sesuatu. Sedangkan aku masih seperti tadi, berdiri elok tanpa apa-apa. Aku bingung.
Aku pandang ke luar rumah. Masih ada pocong itu di hadapan pintu, tersenyum melihat aku yang sedang memandangnya. Serta merta, aku berasa di dalam hati, ini adalah mimpi. Alhamdulillah, sebaik sahaja pemikiran itu bermain di kepala, aku dapat membuka mata. Tersedar dari tidurku, yang kurasakan sangat panjang.
********
Bagaimana, kawan-kawan? Adakah anda punyai pengalaman yang sama seperti Triple N? Ataupun, gangguan misteri seperti Gongpal? Apakah agaknya semua itu ya, para pembaca? Jika anda ada jawapannya, sila berkongsi dengan kami di ruangan komen untuk perbincangan bersama. Terima kasih kami ucapkan.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: