CHINI
================================
Kuala Lumpur, 2008
“Ok. Jangan lupa siapkan tugasan kamu semua. Minggu depan mesti dah ada atas meja saya. Kalau tak 10 peratus markah kamu untuk peperiksaan akhir akan saya tolak. Jaga diri sepanjang cuti ni. Pastikan pulang dengan anggota badan yang lengkap. Kelas bersurai,” kata-kata akhir daripada Prof Anuar di sambut dengan gelak ketawa para pelajar. Mereka bakal bercuti semester.
Tapi, tak semua gembira. Zain perlahan-lahan melangkah ke arah Prof Anuar disaat rakan-rakannya yang lain beransur meninggalkan dewan kuliah. Dia mendekati Prof Anuar dengan penuh harapan. Prof Anuar masih sibuk memasukkan beberapa buah buku ke dalam beg. Zain mendekati dan…
“Prof !” Zain menjerkah
.
“Husy semangat ! Awak ni… Nasib baik saya tak kena serangan jantung tadi. Awak nak apa ni? Kenapa tak keluar lagi?” Lelaki berumur 42 tahun itu kembali ralit menggemaskan buku-bukunya.
“Alah… Prof ni… Macam tak biasa dengan saya pula. Saya nak join Ekspedisi Chini boleh tak Prof?” Zain menongkat tangan di atas meja. Mukanya sengaja dicomel-comelkan memujuk.
Prof Anuar menoleh menghadap Zain dan menyilang tanggannya ke dada. Kelihatan jelas otot sasanya. Dia mengaru-garu kepalanya beberapa kali-kali sebelum menghembuskan keluhan berat. Sukar meruntuhkan tembok semangat anak muda di depannya ini. Ini bukan kali pertama dia merayu.
“Zain, dah berapa kali saya cakap dekat awak? Ekspedisi ni untuk budak PhD yang berkursus je… Kitorang bukan suka-suka tau pilih orang. Kajian ni tajaan kerajaan dan melibatkan beberapa saintis luar. Awak baru ijazah kan…,” Prof Anuar cuba menerangkan buat kesekian kalinya. Sebelum ini anak muda itu sudah beberapa kali menemuinya bagi membincangkan hal ini.
“Alah… Prof… Saya merayu dekat Prof. Saya nak tengok naga tu. Prof jadikanlah saya ni pembantu Prof ke apa… Please Prof…,” Zain memujuk lagi.
“Awak yakin ke ada naga dalam tu? Apa-apa jelah awak ni.. Ermm baiklah! Betul nak jadi pembantu saya? Nanti saya terangkan dekat pihak pengurusan. Dengan syarat, awak kena ikut semua arahan saya, buat kerja dan jangan malas. Jangan teruja tak tentu pasal, lepas tu mengular, hilang...” Prof Anuar mengangkat beg yang telah dipenuhi dengan buku. Zain menggeleng-geleng sambil mengangkat sumpah.
“Jom ikut saya,” Zain melonjak kegirangan sambil membontoti Prof Anuar.
Profesor Anuar Zaidi. Salah seorang ahli arkeologi Malaysia yang juga merupakan pensyarah di sebuah universiti tempatan. Tegas tapi dia juga seorang yang kelakar. Berumur 42 tahun dan masih bujang. Dia mengetuai Ekspedisi Chini ini bersama beberapa orang saintis luar negara serta gabungan pelajar-pelajar PhD dari beberapa universiti tempatan berlainan bidang serta kepakaran. Zain Rahman. Pelajar Ijazah Sarjana Muda jurusan arkeologi. Berminat dengan mitos naga. Selalu dibuli kerana terlalu taksub dengan naga. Dia ingin membuktikan kepada dunia luar bahawa naga itu betul-betul wujud.
Prof Anuar memulas tombol pintu bilik pejabatnya. Zain masih setia mengekorinya. Bilik pensyarahnya itu kelihatan agak berlainan berbanding bilik pensyarah yang lain. Kelihatan banyak buku yang tersusun rapi di atas rak. Bukan banyak tetapi SANGAT banyak! Segalanya tersusun kemas, alatan tulis, komputer malah terdapat mesin taip antik dalam posisi yang cukup rapi bahkan tong sampah juga kosong. Kagum sebentar dengan sifat pembersih dan teliti pensyarahnya itu. Prof Anuar mempersilakan Zain duduk sementara dia mencari beberapa buah buku. Dia mengambil 4 buah buku dan duduk di hadapan Zain.
“Now, tell me kid. What do you know about the legendary of Tasik Chini?” Prof Anuar bertanya.
“Tasik Chini yang berkeluasan 12,565 ekar merupakan salah satu tasik daripada 12 tasik yang berdekatan dengan Sungai Pahang di Pahang tengah, Malaysia. Tasik Chini yang merupakan tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera. Pinggiran tasik berkenaan didiami oleh orang asli suku Jakun.
Tasik ini kini merupakan antara lokasi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara yang terkenal dengan kedudukan geografinya yang unik dan indah terutamanya musim berbunga teratai dari Jun hingga September. Antara lagenda yang menarik minat saya adalah lagenda Naga Tasik Chini.
Merujuk kepada legenda orang asli, tasik tersebut didiami oleh satu naga yang dikenali sebagai Naga Seri Gumum kadangkala dirujuk sebagai "Raksaksa Loch Ness Malaysia". Ia dipercayai mengandungi satu bandar purba seakan-akan di Khmer, Kemboja yang terletak di dasar tasik berkenaan, tetapi projek selanjutnya terbengkalai akibat masalah kewangan.
Satu suku orang asli yang tinggal di sana juga menjadi tarikan pakar pengkaji bahasa kerana bahasa mereka mempunyai kaitan dengan bahasa Khmer, Kemboja yang menjadi asas kepada teori bahawa penduduk asal Melayu telah turun dari kawasan Utara ke Selatan.” Zain meneguk air liur membasahkan tekak. Panjang lebar dia memberikan fakta yang dia tahu.
“Impressive. Get ready! Besok kita gerak. Awak ambil buku-buku ni. Baca. Sepanjang perjalanan kita nanti saya nak soal awak semua berkenaan Tasik Chini. Dipersilakan dengan segala hormatnya untuk keluar daripada pejabat saya,” Prof Anuar tersenyum lebar tanda dia bergurau. Dia tidak menyangka Zain mengetahui terperinci mengenai Tasik Chini. Pengetahuan Zain ini akan memudahkan kerjanya nanti. Zain memberi respon gembira yang amat sehingga terkinja-kinja dia bersorak. Dia mengambil buku-buku itu dan berlalu pergi dengan senyuman yang lebar.
Keesokan harinya, 10 pagi.
Mereka tiba di Lake Chini Resort setelah lebih kurang 3 jam menempuh perjalanan daripada Kuala Lumpur. Sesampainya mereka di sana sudah ramai yang menanti. Lebih kurang 20 orang peserta dari Britain, China dan Jepun dan selebihnya adalah pensyarah universiti tempatan dan pelajar-pelajar PhD.
Zain hanya mengikuti Prof Anuar berkenalan dengan semua peserta ekspedisi dan Zain berbangga Prof Anuar memperkenalkan dirinya sebagai pembantu penyelidik. Dengar itu sahaja cukup membuatkan Zain lebih bersemangat untuk berkhidmat dalam ekspedisi ini.
Tiga buah kanopi didirikan di sebuah kawasan penempatan khas untuk penyelidikan. Segalanya sedia lengkap dan selesa untuk penginapan selama dua minggu mereka berada di Tasik Chini ini. Malam pertama, mereka membuat sesi perkenalan dan sesi taklimat dan penyusunan jadual penyelidikan.
“Prof, saya nak terkencinglah,” Zain menguis bahu Prof Anuar.
“Habis tu awak nak saya buat apa? Nak temankan? Tak kuasa saya. Pergilah sendiri. Saya tengah fokus ni..,” Prof Anuar menolak bahu Zain.
“Prof ni... Saya nak bagitahu je. Nanti Prof ingat saya hilang,” Zain membidas kembali dengan senyuman meleret.
“Yelah, yelah. Dah pergi cepat!” Prof Anuar menolak badan Zain pula tetapi kali ini dengan gelak. Dia malu dengan buruk sangkanya tadi.
Zain masih berkira-kira dalam langkahnya. Mahu ke tandas di bilik jauh, pundinya kini tak mampu menahan lagi. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pergi ke kawasan yang agak tersorok bagi melepaskan hajat kecil yang sudah beberapa kali tertunda itu. Dia melangkah ke kawasan yang agak dekat dengan air. Saat dia sedang menurunkan zip seluarnya…
“Apa yang kamu lakukan ni?” Ada suara kecil yang nyaring daripada belakang badan Zain. Dia cepat-cepat mengatup kembali zip seluar dan menoleh ke belakang.
Dia meyuluh sekeliling menggunakan lampu daripada telefon pintar kelihatan seorang nenek bongkok memakai jubah hitam dengan penutup di kepalanya sedang memandang marah padanya. Nenek itu memegang tongkat kayu yang berukir seolah-olah bentuk bunga teratai.
"Maafkan saya, saya betul-betul tak tahan tadi," ujar Zain yang bingung menggaru kepalanya yang tak gatal, malu juga dengan perbuatannya. Dari mana nenek itu datang? Kalau perkampungan orang asli jauh juga dari tempat penyelidikan ini.
“Kamu orang bandar, datang ke sini. Aku tahu rancanganmu. Aku tahu niatmu baik. Tapi ketahuilah juga bahawa Seri Gumam tidak senang kalau diganggu. Lebih lagi, kalau kamu cuba menganggu hartanya! Nasihatku… Pulanglah. Biarkan dia di sini. Tempatnya di sini,” tegas nenek itu membuatkan Zain bertambah binggung namun Zain tahu ia adalah satu amaran. Nenek itu terus meninggalkan Zain.
“Apa yang akan terjadi kalau kami teruskan?” Zain bertanya dalam agak menekan agar suaranya sampai pada nenek itu. Seraya itu orang tua itu berhenti melangkah.
“Jika ingkar, kalian akan terima padahnya! Anak muda, hatimu suci. Lebih baik kamu pulang ke tempat asalmu. Tapi… jika kamu masih berkeras, ingatlah bunga teratai itu kuncinya,” suara si nenek semakin perlahan.
Zain bertambah keliru. Jujurnya dia memang tidak faham akan perkara yang cuba disampaikan oleh si nenek tadi.
“Nen…,” niat Zain untuk bertanya soalan terbatal kerana nenek tadi hilang begitu sahaja.
Buku roma Zain meremang. Ditambah dengan keadaan sekeliling yang gelap-gelita. Dia hanya ditemani oleh cahaya daripada telefon pintarnya. Bunyi-bunyian serangga menambah lagi keseraman membuatkan dia lupa terus dengan niat asalnya ke situ.
Tiba-tiba dia mendengar bunyi kocakan air, semakin lama semakin kuat sepertinya keadaan itu memaksa dia untuk mencari punca.
Kelihatan seperti air tasik itu berombak beralun kuat. Terus Zain membuat rakaman di telefon pintarnya, mujur telefonnya kalis air.
Rasa ingin tahu semakin membuak-buak, entah mana datang keberanian Zain menyingsing seluarnya dan masuk ke dalam air. Dingin air usah dikata. Zain mengikuti kawasan kocakkan air dan melihat sesuatu yang aneh tanpa sedar dia telah masuk ke dalam air paras pinggang. Dan…
“Arghh!” dia tenggelam ke dasar.
Dia menggelupur di dalam air untuk keluar dari tasik itu. Beberapa saat ngeri itu bertarung nyawa akhirnya dia berjaya lolos laju naik ke permukaan dan menarik nafas sehabis kapasiti paru-paru terus-menerus berlari secepat mungkin ke kumpulannya tadi. Prof Anuar terkejut melihat Zain yang berlari dalam keadaan basah kuyup tercungap-cungap untuk bercakap. Zain diampuh oleh Prof Anuar ke bawah kanopi. Ahli-ahli lain juga panik melihat keadaan Zain yang pucat lesi. Mereka semua mengelilingi Zain.
“Zain… Awak dah kenapa?! Basah kuyup. Lari lintang-pukang. Nampak hantu ke? Padan muka, kencing lagi sepah-sepah. Ada tandas tu pergi je lah,” Prof Anuar memarahi Zain sambil menghulurkan tuala.
Ironinya, Zain boleh ketawa bila dimarahi sedemikian rupa. Dia tersenyum panjang sambil mengelap rambutnya. Ahli lain sudah ada yang menggelengkan kepada menyangka bahawa Zain sudah gila. Tidak kurang juga yang ketakutan risau kalau-kalau Zain disampuk.
“Prof, I tell you what! The dragon! The dragon is not a mitos, it's here!” Zain separa menjerit menyebabkan mereka yang tadi mula hilang minat kembali mendekatinya.
“Nah… Maybe you just saw a snake,” Dr. John menyampuk.
“No no no, believe me… I saw a dragon. Seri Gumam. Snake doesn’t have tentacles. Besides, it’s huge and blue. I never saw a snake with blue colour before,” Zain cuba meyakinkan semua yang berada di situ.
“Come on guys. Don’t fight. We got something big to do tomorrow. Can we just finish everything and go to sleep. It’s late already. And you Zain, let’s go back to our room. We need to talk! Sorry guys, see
you all tomorrow okay!” Prof Anuar menarik Zain ke bilik tidur mereka.
Prof Anuar meminta Zain menceritakan segala yang berlaku kepadanya. Zain patuh. Segalanya diceritakan dari awal dari dia bertemu nenek misteri itu dan ketika dia jatuh ke dalam tasik itu. Rakaman di dalam telefon pintarnya juga ditunjukkan (nasib baik tak tertinggal). Prof Anuar tergaman dan teruja. Dalam rakaman itu, kelihatan makhluk seperti ular berkepala seakan-akan singa berenang. Sangat pantas. Malah Prof Anuar sanggup memindahkan fail video itu ke dalam komputer dan diubah kelajuannya menjadi sangat perlahan, semata-mata untuk melihat ‘naga’ itu dengan lebih jelas.
“Prof, kajian ni untuk apa sebenarnya?” Zain keliru.
“Baru sekarang nak tanya? Kajian ni sebenarnya 2 dalam 1. Satu rahsia, satu lagi tak rahsia. Yang tak rahsia tu, kita nak pulihkan populasi spesis bunga teratai yang dah sendu tu. Yang rahsia tu... Rahsialah,” Prof Anuar cuba melawak.
“Alah… Prof… Cakaplah,” Zain merayu.
“Kami nak cari sebuah bandar yang tenggelam kat dasar tasik ni! Menurut orang asli di sini, tamadun itu mempunyai harta karun yang ternilai banyaknya. Besok diorang ada buat selaman untuk tengok kawasan sekitar dasar Tasik Chini. Kita pilih lokasi yang awak jumpa naga ni. Ok tak?” Prof Anuar bersemangat. Zain lagi bersemangat mengangguk-angguk kepalanya.
Video yang sudah diolah menjadi 'slow motion' itu dilihat berkali-kali. ‘Naga’ yang dirakam di dalam video ini jelas berwarna biru langit dan sisik bercahaya berkilat. Kepalanya tak ubah seperti singa tetapi tidak berbulu. Terdapat benda yang kelihatan keras dibelakang telinganya. Sesungutnya panjang. Matanya merah saga.
Hari seterusnya semua ahli dan peserta diarahkan berkumpul di tepi tasik untuk taklimat ringkas. Zain merasakan taklimat keselamatan itu sesuatu yang membosankan kerana dia memang sudah biasa melakukan aktiviti selaman air tawar. Selepas beberapa ketika semua ahli dan saintis yang ingin menyelam boleh memilih kawasan mereka. Prof Anuar berlari ke depan. Agak kelakar sebenarnya. Dia kembali semula ke sebelah usai memilih kawasan.
“Prof kejar apa tadi Prof? Hehehe,” Zain saja mengusik.
“Saya dah cop kawasan kita Lubang Ular. Tapi di tengah sikit. Tepi sangat susah nak menyelam,” Prof Anuar menjawab serius.
Zain meneguk air liurnya. Lubang Ular? Nak bunuh aku ke Prof Anuar ni? Nama pun dah seram. Tapi dia pendam semua itu sendirian. Mereka bergerak ke bot yang akan dipandu oleh warga tempatan. Segala persiapan selaman telah disediakan di dalam bot sebelum mereka taklimat tadi.
“Tuan mahu ke mana?” Ujar si pemandu bot yang kelihatan lebih separuh abad itu sebaik sahaja Prof Anuar dan Zain duduk.
“Lubang Ular,” ringkas sahaja Prof Anuar menjawab.
“Waduh… Parah ni… Boleh, tapi jangan dekat sangat ya. Tok takut,” Prof Anuar dan Zain saling berpandangan. Reaksi mereka berbeza. Prof Anuar tersenyum sinis manakala Zain sedikit cuak.
“Kenapa Tok?” Zain bertanya ingin tahu.
“Syhhh.. Tak boleh cakap dekat sini. Nanti lepas kamu naik ke darat baru Tok ceritakan,” Zain terkulat-kulat sendiri mendengar kata-kata Tok pembawa bot.
Sepanjang perjalanan Prof Anuar menceritakan tentang Bandar Khmer kepada Zain. Dia juga meminta Zain membantunya untuk mencari bandar purba yang entah ada entah tidak itu. Kerajaan Khmer berasal daripada Kemboja dan mencapai zaman kegemilangan pada abad ke-13 sebelum berlakunya perebutan kuasa yang menyaksikan empayar itu terkubur pada abad ke-15.
Kerajaan Khmer sangat mewah dan turut menguasai bidang pembinaan. Empayar Khmer mula memasuki Tanah Melayu pada tahun 1000 hingga 1100 iaitu ketika berlaku pertelingkahan dan perebutan kuasa antara kerajaan lama Empayar Khmer dengan Thailand.
Para tentera Empayar Khmer dikatakan memasuki Tanah Melayu untuk membina kekuatan setelah gagal menguasai kawasan Lamphun (kini Hariphuncai). Menurut cerita mereka membina kota di Tasik Chini. Pada tahun 1994, penemuan artifak daripada Empayar Khmer ditemukan secara tidak sengaja oleh oleh pekerja syarikat kontraktor yang ditugaskan membersihkan dasar Tasik Chini. Dan kerana itulah mereka di sini.
“Husy, jauhnya Tok berhenti. Takut sangat Tok ni,” Prof Anuar mengusik. Dia berdiri dan menurunkan kaca mata selamannya. Mereka mula bergerak. Segala kelengkapan menyelam mereka siap sedia pakai sebaik sahaja tiba di Lubang Ular.
“Ok Tok kami pergi dulu,” Prof Anuar sudah masuk ke dalam air.
Zain berdiri. Baru sahaja dia mahu melangkah masuk ke dalam air, Tok menariknya kembali. Zain panik. Tok menghulurkan sesuatu ke tangan Zain.
“Nek Proto ada bertemu denganmu semalam kan? Dia pesan biji teratai ini kuncinya. Nah kamu ambil ni. Simpan. Jangan sampai hilang. Gunakan ketika terdesak,” Zain mengambil teratai di tangan Tok. Cantik biji teratai yang berwarna merah jambu itu getus Zain, terus disisipkan pada zip seluarnya.
Tanpa melengahkan masa lagi, Zain terus terjun ke dalam tasik. Sensasi air Tasik Chini yang dia rasakan bagai menyerap ke dalam jiwanya. Seakan-akan dia hidup di situ. Sukar diungkapkan dengan kata-kata. Dia ingin melihat naga itu sekali lagi. Walaupun dia sudah temukan bukti bahawa naga itu wujud tapi dia masih ingin melihat haiwan itu depan-depan. Dia ingin menyentuhnya. Sungguh dia taksub dengan naga.
Prof Anuar melambai-lambai meminta Zain mengikutnya. Mereka bersama-sama menjelajahi sekitar dasar tasik Chini itu. Tasik itu dipenuhi dengan pelbagai hidupan ikan air tawar, beliau tidak menyangka air tasik waktu itu lebih jernih berbanding dengan kawasan penginapan mereka. Di sini ikan-ikan bersaiz gergasi. Kayu-kayan menjadi rumah mereka.
Setelah setengah jam mereka cuba mencari kesan-kesan Bandar Khmer, Prof Anuar memberikan isyarat agar Zain tidak jauh darinya. Lagi-lagi kawasan tasik airnya senang keruh dengan tiba-tiba maka untuk langkah keselamatan dia mengikat tali dan dicangkuk gelung besi pada BCD Zain (buoyancy control device).
Dalam keralitan Zain asyik melihat ikan-ikan dan persekitaran tasik, fokusnya terganggu apabila ada bayang-bayang yang besar dan panjang melintas di atasnya. Zain berpaling. NAGA semalam! Zain menarik tali Prof Anuar di hadapannya tapi dia kalut tak sabar.
Dengan pantas dia melepaskan tali ikatan untuk mengejar naga itu seorang namun apakah daya seorang manusia untuk melawan makhluk yang memang tinggal di situ. Dia menyerah. Tiba-tiba dia sedar akan sesuatu…
Dia di mana? Dia melihat keadaan sekeliling. Sangat berbeza daripada keadaan kawasan yang dia turun awal tadi. Apa yang berlaku? Airnya tidak lagi jernih kehijauan tapi biru kehitaman, gelap. Dia panik kerana Prof Anuar tidak lagi kelihatan dan dia tidak ada 'dive comp' dan kompas.
Zain melihat skala bar oksigennya dan paras kedalaman selamannya. Oksigen banyak lagi, 90 bar dan kedalaman lebih kurang 20 meter. Dia cuba bertenang dan berenang sedikit ke hadapan namun tiada apa-apa yang dia jumpa, ikan pun tiada. Sepi.
Zain teringat sesuatu. Biji teratai! Dia mengeluarkan kembali mengeluarkan biji teratai yang disimpan di poket seluarnya.
Dengan tiba-tiba, biji teratai itu bercahaya dan bertukar menjadi bunga teratai yang sangat cantik. Dia melepaskan bunga teratai itu perlahan-lahan terapung ke atas. Sedang asyik dia melihat cahaya bunga teratai itu, dengan tidak semena-mena naga tadi menjelma entah dari arah mana.
Naga itu menghadap Zain. Mata mereka bertemu. Zain kaku namun jiwa tenang tidak takut dengan makhluk gergasi lagenda itu. Dia cuba mengawal penafasannya agar dia tidak bergerak yang boleh membuatkan naga itu lari. Makhluk di hadapannya kini sangat indah. Sisik badannya berkilauan bagai batu permata, dua pasang kaki kecil dan bola matanya bagaikan delima lebih jelas berbanding semalam. Naga itu membuka luas mulutnya. Zain sedikit kaget. Naga tadi menyambar bunga teratai bercahaya itu sekelip mata.
“Orang-orang di darat memanggilku Seri Gumam. Kau telah mengejutkanku! Tapi kau bernasib baik kerana membawakan makanan buatku. Apa mahumu? Aku penuhi kemahuanmu. Tapi hatimu suci bukan seperti yang satu lagi. Mudah termakan umpan. Tamak! Kau hanya ingin melihat bukan? Mari aku bawa,” Zain terpinga-pinga. Naga itu BERCAKAP! Dan dia mampu mendengar apa yang dikatakan oleh sang naga!
Seri Gumam mengelilinginya. Zain dapat melihat berapa panjangnya sang naga itu. Seri Gumam merapatkan badannya dengan Zain. Zain masih keliru. Tapi kini dia berada di dalam pelukan Seri Gumam, selesa.
Sang Naga meleraikan kembali badannya dan terpampanglah di hadapan Zain beberapa buah piramid yang diperbuat daripada emas. Empat buah patung batu berdiri kukuh di setiap penjuru piramid. Zain mendekati salah satu binaan piramid. Dia menyentuh dan mengetuk-ngetuk batuan yang bersinar keemasan itu, keras bunyinya beza benar dengan batu biasa. Ada pintu di setiap binaan kuno itu. Patung batu yang berdiri bagai pengawal itu diukir seperti lelaki berpakaian pahlawan kemboja. Sangat teliti. Terdapat batu delima di dahi dan anak mata setiap patung batu.
“Sudah sampai waktu untuk kau pulang,” Seri Gumam muncul dari belakang Zain saat dia masih menelek ukiran-ukiran kisah pahlawan kemboja di dinding piramid itu.
Zain menoleh ke arah Seri Gumam yang mulutnya sedia ternganga. Sang Naga mengeluarkan api berwarna biru tepat ke arahnya dan spontan Zain cuba melindungi muka dengan kedua belah tangannya. Mata terpejam rapat. Setelah beberapa minit dalam keadaan begitu. Dia perlahan-lahan membuka matanya. Terus keadaan air yang gelap tadi kembali jernih dan dia terus memeriksa bar oksigen dan bersedia naik ke atas.
Sampai sahaja di permukaan, Zain terus nampak bot Tok dan melambai-lambai ke arah bot. Syukur Tok segara mengesannya dan terus menggerakkan bot mendekati Zain. Muke Tok waktu itu cemas, segera dia membantu Zain naik ke atas bot. Tok kalut membantu Zain menanggalkan satu per satu peralatannya.
“Kau baik saja nak?” Tok bertanya.
“Terima kasih Tok? Tok…, tadikan saya jumpa naga, Seri Gumam" Terkejut Tok mendengar nama itu dari mulut Zain.
"Dia bawa saya pergi melawat Bandar tenggelam tu. Prof Anuar mana Tok? Saya nak ceritakan semuanya dekat Prof saya. Tengok tangki gas hampir habis, agak-agak sejam juga kami di bawah tapi…., saya terpisah dengan Prof Anuar semasa mengejar naga tadi,” Zain tidak dapat membendung rasa terujanya.
Lelaki lebih separuh abad itu menundukkan wajahnya. Dia diam seribu bahasa. Tok terus memandu bot pulang ke darat. Zain tertanya-tanya. Apa kena dengan Tok ini? Dari jauh Zain dapat melihat ramai orang berkumpul mengerumuni sesuatu.
“Tok, kenapa tu?” Zain curiga. Dia melihat ada saintis-saintis yang lain telah kembali ke tempat mereka berkumpul. Mereka melihat Zain dan semua berlari mendekati tepi tasik. Berhenti saja bot, mereka menyerbu dan menghujani Zain dengan pelbagai soalan. Dia masih bingung terpinga-pinga.
“Semua diam!” Zain menjerit membuatkan semua orang di situ senyap serta-merta.
“Apa yang berlaku?” Zain panik.
“Prof Anuar. Kami jumpa dia dalam keadaan terbakar dalam air berhampiran Lubang Ular. Dekat tangan dia ada beberapa ketulan emas kecil. Kami risau kau pun jadi macam dia. Kami cari kau sekeliling kawasan dengan Tok beberapa kali tadi tak jumpa-jumpa kau…,” Dr Zahid menerangkan perkara sebenar kepada Zain.
“Dalam air. Macam mana boleh terbakar?” Mata Zain mulai terasa panas. Dia tidak boleh hadam dengan berita yang keluar dari mulut Dr. Zahid. Tak mungkin!
“Kami tak tahu. Itu yang pelik sangat. Kau ok? Macam mana kau boleh terpisah dengan Prof Anuar? Dia dive buddy kau kan? Apa yang sudah terjadi tadi. Hampir tiga jam kau hilang, ikutkan memang peluang kau hidup memang tipis tapi Tok tak putus asa cari kau.” Dr Zahid memegang bahu Zain.
Zain teringat sesuatu. Seri Gumam mengeluarkan api biru… Prof Anuar tak ada bunga teratai bersamanya… Zain terduduk. Semua di situ cuba menenangkan Zain.
“Kalaulah saya tak tinggalkan Prof Anuar tadi, pasti dia selamat. Prof Anuar tak ada bunga teratai… Kenapa Prof ambil emas tu? Prof tak ada bunga teratai…,” Zain menangis semahu-mahunya.
Daripada celahan semak, Nek Proto memerhati sambil mengelengkan kepala.
P/S : Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata. Info tentang Tasik Chini diperolehi daripada Suara TV dan Wikipedia. Jangan tamak. Chill… Tak ada yang lebih berkuasa daripada Allah SWT. Ambil yang jernih dan buang yang keruh. Sekian…- XX
-Tamat-
===================================
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment