Friday, 10 November 2017

PREBET SAPU - The Flash


Prebet Sapu
Karya: The Flash


Ini adalah kisah benar. Dialami sendiri oleh isteri aku,Cempaka Dahlia.
Seingat aku, ketika itu tepat pada pukul 12.40 malam. Ya, tepat sekali. Pada 12.40 malam, di mana hari dan waktu yang tak akan aku lupakan sepanjang hayat aku. Sejak aku tamat pengajian aku di universti tempatan, aku memutuskan untuk pulang dan tinggal bersama mak aku di kampung, di suatu daerah yang terpencil di Johor. Kenapa aku boleh katakan terpencil dan boleh dikatakan jauh pedalaman? Disebabkan perjalanan untuk ke rumah aku dari bandar yang terdekat pun mengambil masa 1 jam 45 minit lamanya, dengan perlu merentasi empat buah perkuburan Islam.
Talian telefon pula jangan haraplah nak dapat 4G penuh dalam skrin telefon bimbit aku. Hampir seluruh kampung aku belum berturap dan masih bertanah merah, begitulah keadaan kampung halaman yang hampir sembilan tahun aku tinggalkan sejak aku masuk ke tingkatan satu dan berpindah ke asrama penuh.
Belum sempat aku tanggalkan kasut, mak aku tak sabar-sabar untuk mendapatkan aku dari pintu rumah agam peninggalan arwah bapa aku kepada kami. Berkaca mataku melihat mak aku berlari-lari anak untuk memeluk aku yang hampir 8 bulan tidak pulang ke kampung. Aku bernasib baik, ketika itu ada prebet sapu yang mahu menumpangkan aku sampai ke rumah. Sebaik sahaja aku keluar dari kereta, terus dia menerkam ke arahku sambil mengucapkan terima kasih kepada Pak Maon, pemandu prebet sapu yang tinggal di kampung sebelah.
“Pak Maon singgahlah sekejap, boleh aku buatkan secawan kopi degan biskut kelapa,” ajak mak aku kepada si prebet sapu, namun dia hanya meggelengkan kepala dari dalam kereta tanda menolak ajakkan mak aku.
Agaknya dah larut malam, mungkin dia tak selesa nak singgah ke rumah janda yang ada nak dara. Baik sungguh hati Pak Maon bila aku tanyakan berapa tambang dari pekan ke rumah aku. Dia hanya senyum dan katanya sedekah ikhlas dan sepanjang perjalanan kami dia hanya senyum melihat aku dari pandangan cermin pandang belakang di dalam keretanya.
Masih segar dalam ingatan aku ketika aku masih berusia kira kira 6 tahun, kami selalu berjumpa di warung Wak Salam. Sememangnya ketika itu, warung ini sahajalah tempat orang orang dewasa berkumpul dan bercerita tentang hal kampung, politik, merewang kenduri yang aku sendiri tak faham tutur bicaranya (Sebenarnya bahasa Jawa).
“Arek medang opo? Arek mangan opo? Iki anak doro ne jenenge sopo iki seng bongsu yo?” Ayat-ayat sebegini yang aku selalu dengar dari mulut kawan-kawan bapa aku. Maklumlah, aku yang paling bongsu, mestilah selalu dibawanya ke mana sahaja dia melepak dan salah seorang kawan karib bapa aku adalah Pak Maon.
Setelah aku selesai memunggah keluar barang-barang daripada bonet kereta Pak Maon, dia pun terus berlalu pergi. Jam di tanganku menunjukan tepat pada pukul 12.00 malam.
Aku gagahkan diri untuk pergi ke bilik air yang berada di belakang rumah (rekabentuk rumah kampung dahulu, tandas di luar) dan aku susunkan langkah satu persatu untuk turun dari anak tangga dari rumah aku untuk menuju ke bilik air.
“Urghhhh, lampu suluh ni kenapalah sayup-sayup je cahaya dia ni?” Dengus hati ku. Belum sempat aku meneruskan langkah yang seterusnya, terdengar jeritan mak aku memanggil nama manjaku.
“Adik tak payah turun. Mak dah sediakan air panas kat atas ni. Boleh je mandi kat pelantar dapur ni.” Terus aku bergegas lari naik ke atas rumah.
Dari pelantar sudah terbau enak aroma kopi dari dapur kecil mak aku. Sesudah bersiap, aku terus mengenakan baju dan tak sabar-sabar aku nak menikmati kopi dan biskut kelapa yang dibuat sendiri oleh mak.
Sambil aku menikmati kopi terus aku bertanya pada mak.
“Eh, kenapa Pak Maon tadi tu macam sombong je mak? Tapi yang peliknya, dia bagi free je tambang pada adik”.
Lantas, mak aku menambah lagi
“Sampaikan mak ajak dia masuk minum kopi pun dia tak nak”.
“Mak, tadi masa lalu dekat jalan Lorong Merbuk tu, ramai orang ada buat kenduri ke?” Tanyaku kepada mak. Mak yang sedari tadi bercakap tidak menoleh ke arah mukaku, terus melirik mata kepadaku semacam marah dengan pertanyaan aku tadi.
Tiba-tiba, angin kuat seakan-akan ribut yang kencang menendang-nendang zink atap rumah aku, bagaikan nak tercabut. Mak masih memandang aku degan mata yang sangat merah, mungkin matanya merah akibat terkena bawang kerana dia tengah sibuk memotong bawang tadi. Aku terus menikmati kopi sambil menceritakan keadaan perjalanan aku tadi tanpa ditanya dan mak terus membisu.
“Tak lama lagi jadilah ni.” Mak aku membuka bicara memotong bebelan ku tentang perjalanan tadi. Bau wangi yang aku hidu tadi, mula aku sedari tiba tiba menjadi busuk yang amat. Bagaikan bangkai yang berhari-hari ditinggalkan. Mataku mencari mak.
“Mak, ooo mak! Kat mana? Mak kat bawah bilik air ke?” Laung aku. Laju betul mak berjalan. Rasanya baru tadi aku tercari-cari sampaikan ke ruang tamu bau busuk bangkai, bila aku ke dapur mak dah tak ada.
Pin pin pinnnnnnnn!
Bunyi hon kereta dari luar rumah yang meluru laju. Cepat cepat aku jenguk.
“Eh, kereta Pak Maon ni. Kenapa tergesa-gesa?” Getus aku dalam benak hati.
Bergetar bagaikan tiada rasa saraf kaki aku bila melihat mak aku berada di dalam kereta Pak Maon. Belum sempat mereka terangkan keadaan, aku terdengar satu hilaian bersama angin kencang dari arah belakang rumah sambil diselang seli dengan tangisan dan ketawa. Aku nampak ada benda berkain compang camping putih terbang dari dahan ke dahan pokok kelapa di sekitar rumah!
“Aku dah agak dah tadi bukan mak engkau. Dia pergi uruskan jenazah Makcik Latifah dekat Jalan Merbuk tadi,” ujar Pak Maon sambil terketar-ketar percakapan-nya. Mak aku terus memelukku, manakala Pak Maon segera melaungkan azan sekuat hati. Sekonyong-konyong itu, angin kuat menghempas atap dan zink rumah aku, sambil terdengar bunyi hilaian. Aku lihat benda itu terbang betul betul di atas rumah aku!
Selesai sahaja azan di laungkan, suasana di rumah sunyi sepi. Tiada lagi angin. Tiada bunyi cengkerik. Sunyi.
“Aku ada pergi rumah arwah tadi, mak kau yang suruh ambil kau dekat stesen bas sebenarnya. Mak kau ni aku juga yang hantar,” ujar Pak Maon.
“Aku tak sedap hati. Bila kita sampai, mak kau ada kat rumah. Masa aku nak keluar, aku jenguk dari cermin, ‘mak’ kau yang jemput aku minum kopi tu, melayang-layang masuk ke dalam rumah!” Ujar Pak Maon yang tercungap dek kerana penat.
Otak aku ligat berfikir. Air kopi dan biskut kelapa yang aku makan tu, apa dia? Ulat?!Daun?! Uri?!
Ah, sudah!
********
Suntingan dan Gambar: Gongpal Topek
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: