MAK CIK
Karya: Nik Helmie Hisyam
Maya dan Hairul merupakan pasangan suami isteri . Maya sedang sarat mengandung dan kandungannya sekarang sudah hampir masuk 7 bulan. Mereka juga baru sahaja berpindah ke sebuah kondominium yang terletak di Cheras .
Salah satu tabiat Maya semasa mengandung adalah dia suka duduk di bawah blok kondominium pada waktu malam. Bersendirian . Katanya dia rasa selesa apabila dapat duduk sendirian sambil merasa angin malam.
Biasanya Maya akan turun ke bawah blok selepas suaminya pergi kerja sekitar pukul 8.30-9.00 malam . Sudah berbuih mulut suaminya menasihati si Maya agar tidak keluar berseorangan kerana risaukan kandungan dan diri Maya.
"Lepas ni saya dah tak nak tengok lagi awak keluar malam sorang-sorang duduk kat bawah blok." Hairul memberi arahan terhadap Maya.
"Alaaaa bukannya saya pergi jauh pun. Duduk bawah blok je amik angin malam bang oi," tingkah Maya . Maya tahu jauh dalam lubuk hati suaminya ada tersimpan perasaan marah dan risau bila dia sering keluar malam.
Pada suatu malam, Hairul lewat pergi kerja. Pukul 11 malam baru dia bergegas keluar . Sebaik sahaja Hairul keluar, Maya terus bersiap untuk turun ke bawah blok. Sesampai sahaja di bawah, kawasan yang selalu Maya duduk berasa teramat sunyi. Disebabkan sudah hampir tengah malam, maka tiada sesiapa lagi yang berada di kawasan itu.
Maya melabuhkan punggungnya di salah satu bangku. Dia langsung tidak menghiraukan suasana kesunyian di sekitarnya.
Tepat jam 12.00 malam, Maya bangun dari bangku dan bergerak menuju ke lif rumahnya. Sedang dia berdiri menunggu lif sampai, telinganya menangkap satu suara dari arah belakang berbisik kepadanya .
"Dah lama ke tunggu lif?"
Maya tersentak dan segera menoleh. Rupa-rupanya ada seorang mak cik yang berbaju kurung lusuh dengan muka yang berkedut menegurnya dengan suara yang garau .
"Allah, terkejut saya mak cik. Maaf, saya ingatkan hantu tadi. Takde la lama mana menunggu," ujar Maya kepada mak cik.
"Aku bukan hantu. Jangan takut nak," balas mak cik itu sambil ketawa kecil .
"Mengandung ya? Anak lelaki atau perempuan? Nampak sihat kandungannya tu hihihihi."
"Err anak lelaki. Alhamdullilah tak ada apa-apa masalah dengan kandungan saya," ujar Maya sambil menekan butang lif.
"Jangan ditekan banyak kali. Kadangkala lif ni sangkut sekejap di tingkat atas."
Tiba-tiba mak cik tersebut merapatkan mulutnya di telinga Maya dan berbisik.
"Nampak sedap daging anak lelaki kau. Dari belakang aku dah boleh bau darah uri yang melekat di badan anak kau hihihihi. Nanti masa bersalin, aku nak ada di situ. Nak merasa daging anak kau. Maklum la daging anak sulung rasa dia lagi sedap hihihi."
Maya menoleh kembali ke belakang dan berkata, "Kau cakap apa ni? Jangan cakap yang bukan-bukan . Mana kau tahu ini anak sulung aku?"
"Sudah aku cakap tadi, dari jauh aku dah bau darah dan daging anak kau. Aku datang dari jauh semata-mata untuk meratah darah anak kau tu hihihihi."
Tinggggg!!
Akhirnya lif sampai. Maya meluru masuk sambil mulut terkumat-kamit membaca surah kursi tanpa henti. Dia menghadap ke mak cik itu. Mak cik itu hanya ketawa kecil sambil menjelirkan lidahnya yang panjang dengan air liur yang berjurai keluar.
Mulut Maya masih tak lekang dengan membaca ayat kursi. Mak cik itu kelihatan cuba untuk bergerak masuk ke dalam lif. Namun dia tidak dapat bergerak walau seinci pun kerana badannya seperti sudah terikat dengan rantai. Mukanya yang berkedut kehitaman itu kelihatan amat menakut kan. Riak mukanya juga bertukar marah kerana Maya membaca ayat-ayat suci Al Quran.
Sambil mendengus mak cik itu berkata. "Hentikan apa yang kau baca itu! Aku laparkan darah. Walau setitik darah pun sudah cukup untuk aku merasa."
Mata mak cik itu terbeliak besar. Dia masih cuba untuk masuk ke dalam lif sambil menghulurkan tangannya cuba untuk menarik Maya .
Maya segera menekan butang untuk menutup pintu lif. Semasa lif sedang naik, dia terdengar suara mak cik itu menjerit-jerit memanggil nama Maya . Sesampai sahaja di tingkat rumahnya, Maya terus berlari ke dalam rumah. Seluruh badannya mengigil ketakutan. Dia terus masuk ke dalam bilik tidurnya dan masih lagi membaca ayat-ayat suci tanpa henti sehinga dia tertidur .
Keesokan hari, Maya menceritakan kepada suaminya tentang apa yang berlaku kepada dirinya malam tadi. Hairul begitu marah kerana risaukan keadaan Maya.
2-3 hari selepas itu, Hairul menceritakan bahawa semasa dia baru pulang dari surau, dia ada bertanya kepada imam surau tentang hal yang berlaku. Rupa-rupanya sudah ramai yang tahu perihal mak cik itu.
Ceritanya, berpuluh tahun yang dahulu mak cik itu merupakan bidan di kawasan tersebut sebelum kondominium ini dibangunkan. Dia suka membantu kaum ibu yang hendak bersalin. Cuma tabiat pelik mak cik itu ialah dia suka mengumpul darah yang keluar daripada rahim perempuan yang bersalin dan meminumnya.
Sehinggalah pada suatu hari, dia ditemui mati di dalam rumahnya dalam keadaan yang sangat tragis. Sejak dari hari itu, jin yang menyerupainya akan selalu menganggu ibu-ibu yang mengandung.
Maya terdiam apabila mendengar apa yang diceritakan Hairul. Dia bersyukur kerana tiada apa-apa yang buruk terjadi terhadap diri serta kandungannya. Dia juga berjanji bahawa dia tidak lagi akan turun ke bawah blok berseorang pada malam hari.
-TAMAT-
Karya: Nik Helmie Hisyam
Facebook: Nix Helmie Hisyam
Suntingan Karya & Gambar: DF
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment