Sunday, 5 November 2017

PHOBOFILIA - Vion Krisalis


PHOBOFILIA
oleh Vion Krisalis

====================
DALAM dunia ni, apa yang paling kau takutkan?
Manusia dilahirkan dengan bermacam ragam. Kecenderungan seksual terhadap mayat, takutkan lubang-lubang kecil yang bersusun – kesukaan dan ketakutan yang pelbagai ini sebenarnya mempunyai terma psikologi tersendiri. Necrophilia. Trypophobia. Pasti kau pernah dengar, kan?
Kalau pernah dengar, baguslah. Boleh kongsikan jenis-jenis fobia dan filia berdasarkan cerita-cerita pendek aku di bawah nanti.
Sebelum tu, aku nak cerita kisah aku. Ada suatu perkara yang aku selalu fikir sedalam-dalamnya. Bagaimana rasanya? Bagaimana permulaannya? Apa tanda-tandanya?
Kematian itu, sakitkah?
Semakin aku dewasa, semakin banyak berita kematian yang aku terima. Sama ada orang-orang terdekat, atau kematian yang diviralkan menerusi video di laman Facebook. Video kematian akibat kemalangan atau pembunuhan yang sememangnya gore, kau tahu? Mungkin kerana itu aku jadi terlalu memikirkan tentang kematian.
Tahun lepas, seorang kenalan disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat. Dua minggu kemudian dijemput ajal. Umurnya masih muda, awal 20-an. Saat terima berita itu, aku terfikir, apa yang dia rasa ketika nyawa ditarik? Sakitkah? Bagaimana rupa malaikut maut yang dilihat – menyenangkan atau menakutkan? Bagaimana nasibnya sekarang ini, di alam kubur?
Aku selalu terfikirkan soalan-soalan itu dan aku tak dapat mengawalnya. Bukan aku teringin untuk merasa. Hanya keinginan untuk tahu sangat tinggi. Sebagai manusia biasa, aku juga takut untuk berdepan dengan kematian. Aku masih belum mahu meninggalkan orang-orang yang aku sayang, dan urusan aku di dunia ini masih banyak yang tertangguh.
Setiap kali mahu terlena, saat tubuh rasa melayang-layang dalam mamai, aku mula resah dan takut hingga membuatkan aku terjaga. Aku terfikir, roh aku mahu ditarik keluarkah? Adakah aku akan mati dalam tidur? Akhirnya, aku sukar untuk tidur semula dan terus berjaga untuk beberapa jam lamanya.
Bila bangun tidur, aku terfikir apakah ini hari terakhir aku di dunia ini? Bila mahu keluar rumah, aku asyik terfikir benda-benda buruk yang akan berlaku.
Dilanggar kereta ketika melintas jalan.
Tersadung dan kepala terhantuk pada batuan konkrit.
Boleh jadi juga diserang anjing dan digigit hingga parah.
Yang mana satu akan jadi penyebab kematian aku?
Tapi dalam negatif, ada juga sudut positifnya.
Kalau aku bermasam muka dengan mak, mesti aku akan terfikir, macamana kalau itu kali terakhir aku jumpa mak? Macamana kalau mak pergi tiba-tiba? Atau aku yang mati dulu sebelum sempat minta maaf?
Maka, rasa tak senang hati akan terus menghantui sampailah aku minta maaf.
Contoh lain, aku akan rasa takut untuk tinggalkan solat sebab selalu terfikir kalau-kalau aku tak sempat tunaikannya lagi.
Nampak tak sudut positifnya?
Tapi tanpa aku sedar, lama kelamaan pemikiran begini membentuk satu fobia dalam diri aku. Tanathophobia – fobia terhadap kematian.
Kau pula, apa yang kau takutkan dalam dunia ini?
1: SI BIBIR MERAH
HUJUNG bibir aku terasa pedih. Tapi aku masih juga terus mengutil kuping hingga terasa ada cecair likat melekat di jari.
Bibir aku selalu saja kering walaupun dah banyak minum air. Bila bibir kering, mulalah merekah dan berkuping. Kuping-kuping itulah yang aku cukup suka kutil. Pedih. Tetapi sensasi pedihnya buat aku ketagih untuk terus mengutil hingga terkoyak lapisan kulit bibir.
Darah masih mengalir perlahan, melekat di ibu jari dan telunjuk. Bau hanyir kuat melekat di hidung. Aku terus mengutil. Nikmat.
Beberapa ketika kemudian, aku berhenti dan terus bangun mengadap cermin. Bibir tersenyum lebar menampakkan rekahan darah kering yang melekat pada seluruh bibir. Warnanya merah gelap, warna kegemaran aku. Cantik.
2: AKU SAYANG KORANG
LIMA pinggan bersusun di atas meja. Aku cedok nasi ke dalam setiap satu. Lauk-pauk yang aku sediakan sangat menyelerakan. Daging rendang tok. Daging salai masak lemak. Kerang sambal. Aku cedokkan lauk-pauk itu ke dalam setiap pinggan. Kemudian aku duduk di kepala meja makan.
“Korang kena cuba daging salai tu. Aku masak khas untuk korang.” Mukadimah aku setelah merasa seteguk sirap selasih.
Namun suara aku tenggelam timbul dek raungan dan rintihan mereka. Aku lihat mereka yang sedang meronta-ronta dengan rasa sebal. Tingkahlaku yang amat biadap apabila tetamu terpekik terlolong ketika tuan rumah sedang bercakap. Nasib baiklah mereka masih terikat kemas pada kerusi.
Aku tarik nafas panjang dan menghembus perlahan. Entah apa yang mereka gumamkan, tak jelas butir bicaranya di sebalik gumpalan kain yang menyumbat mulut.
Hanya seorang itu yang diam membisu. Tertunduk merenung pinggan nasi dan lauk. Terharu agaknya apabila daging pahanya dijadikan juadah. Tak apa. Tak perlu berterima kasih. Cukuplah sekadar kamu semua ada dengan aku setiap masa. Tak sisihkan aku lagi macam dulu-dulu.
3: NAK CANTIK
BAGAIMANA yang dikatakan cantik sempurna? Mata bundar, bibir bak delima merekah, hidung mancung terletak, kulit putih mulus halus gebu. Kata orang, cantik itu subjektif. Tapi dengan empat kriteria itu sebagai garis panduan, kata-kata itu tak lagi boleh diterima pakai.
Puas terasa melihatkan ukiran yang aku usahakan selama hampir dua hari kini dah siap sempurna. Aku capai tisu, aku lap darah yang bersisa pada mata yang terpejam rapat. Terserlah kelopak mata yang cantik. Bibir pula dah elok terbentuk hasil ukiran semalam. Seksi.
Aku cukup berpuas hati dengan ukiran kali ini. Practice makes perfect bak kata orang putih. Berulang kali aku pratikkan teknik mengukir untuk dapatkan ukiran sesempurna ini. Bukan mudah untuk dapatkan stok dummy. Sekali tak menjadi, aku harus memburu stok lain.
Sekarang, masa untuk aku aplikasikan pada diri sendiri.
Sebelah mata aku pejamkan, dan aku letakkan bilah scalpel pada kelopak. Selamat tinggal si hodoh. Sekejap saja lagi aku akan menjadi cantik.
4: RENUNGAN
AKU cukup tak suka bila orang pandang-pandang aku. Tak selesa. Macam mana nak nyatakan rasa tu? Rasa macam... dibogelkan? Entahlah.
Aku masih ingat lagi semasa aku di sekolah rendah, tengah seronok bermain seorang diri, aku rasa diperhatikan. Bila aku toleh saja, seekor anjing kurap sedang merenung aku sambil lidah terjelir panjang. Aku tak suka. Aku rasa terancam.
Anjing itu mula mendekat. Aku merenungnya tajam, taknak mengalah. Dan tiba-tiba saja, pandangan aku gelap. Sedar-sedar saja, aku lihat jasad anjing itu dah tergedang kaku. Kedua-dua matanya lompong.
Lapan tahun berlalu. Hidup aku agak baik di kolej. Aku menghadkan pergaulan dan cuba sedaya upaya untuk tidak berada di tempat yang ramai orang. Dengan cara itu, aku dapat mengawal rasa tak selesa itu.
Namun rasa itu kembali menghantui seiring dengan munculnya seorang perempuan. Aku tahu dia sukakan aku dari cara dia merenung aku. Rimas! Aku tak suka! Satu hari dia menegur aku dan mengajak aku makan bersama. Aku bersetuju untuk bertemu pada waktu tengah malam dengan alasan kurang gangguan pada waktu itu.
Pandangan aku gelap lagi.
Dua hari kemudian, mayat perempuan itu dijumpai tanpa kedua-dua mata.
Aku teruskan hidup macam biasa. Tetapi entah kenapa, aku dapat rasakan semakin banyak renungan yang aku terima. Ke mana saja aku pergi, semua memandang aku. Aku tak suka. Aku rimas! Sejak itu, entah berapa kali pandangan aku gelap tiba-tiba. Namun ia seperti tak berakhir. Malah makin menjadi-jadi hingga merampas kebebasan aku.
Akhirnya, aku sedar semua itu tak mampu untuk selesaikan masalah aku. Hanya satu saja caranya untuk hentikan semua renungan itu.
Hanya satu cara.
Gelapkan pandangan aku untuk selama-lamanya.
5: CAKARAN MANJA
AKU suka kucing. Bukan setakat suka, tapi sayang macam anak sendiri. Aku siap bahasakan diri ‘mama’ lagi dengan mereka.
Tapi ada satu benda yang aku cukup tak suka.
Kuku.
Aku tak suka tengok mereka cakar merata-rata. Bukan sebab aku sayang perabot dalam rumah, tapi bunyi cakaran yang mengilukan telinga tu buat aku selalu terbayang-bayang kuku halus mereka tu melekat di kulit dan tembus hingga ke daging.
Inisiatif awal aku adalah dengan kerap memotong hujung tajam kuku mereka. Tapi kalau kerap potong pun, ia akan tumbuh tajam balik dengan cepat.
Aku pandang si Blackie yang mengiau nyaring. Kucing hitam gemuk itu meronta-ronta cuba lepaskan diri, perangai yang selalu dibuat setiap kali aku mahu memotong kukunya. Tapi rontaannya kali ni lebih dahsyat. Mungkin kerana aku tak lagi memegang pengetip kuku, sebaliknya memegang pisau pemotong daging yang baru saja diasah.
Kali ni, aku akan pastikan kuku kucing-kucing aku tak tumbuh lagi untuk selamanya.
6: SANG KELAWAR
SIANG tidur, malam berjaga. Macam kelawar. Bila malam tiba, aku hanya biarkan seluruh rumah aku bergelap. Hanya cahaya malap dari skrin laptop menjadi peneman, di samping secawan kopi hangat.
Kerja dari rumah yang bebas dan masa fleksibel. Tak perlu aku keluar rumah menghadap cahaya matahari yang menyakitkan kepala. Bukanlah aku ada penyakit yang membuatkan aku sensitif pada cahaya. Aku cuma terlalu sukakan kegelapan. Kerana itulah waktu siang aku gunakan untuk tidur dan hanya memulakan hari pada waktu malam. Setiap tingkap rumah aku pula ditutupi langsir tebal yang meminimakan kemasukan cahaya.
Kerana aktiviti aku itu, aku langsung tak bergaul dengan jiran tetangga. Kalaulah suatu masa nanti aku mati, pasti tak ada siapa yang akan sedar sampai mayat aku membusuk.
Bertahun-tahun aku hidup begini. Hinggalah pagi tadi ketika aku ke bilik air, secara tak sengaja aku terpandang cermin. Aku lihat keadaan fizikal aku berubah mendadak. Aku dekati cermin dan membelek-belek wajah aku. Pucat macam mayat hidup. Urat-urat hijau kelihatan timbul di pipi kiri kanan.
Aku terbayangkan watak yang cukup popular dalam budaya barat – vampire. Terfikir juga aku, mungkin aku sebenarnya berketurunan vampire? Atau mungkin kerana terlalu lama tak terdedah kepada cahaya, perlahan-lahan aku berevolusi menjadi makhluk itu?
Mengarut, aku tahu. Tapi tak mustahil untuk terjadi. Masyarakat kita kan selalu percayakan kewujudan hantu, jadi kenapa tak percayakan vampire? Bukankah vampire juga adalah hantu bagi masyarakat barat?
Aku kembali semula ke bilik untuk tidur. Dalam malap cahaya, aku berbaring di atas katil. Di sebelah jasad yang fizikalnya saling tak tumpah seperti aku.
___________________________________
Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: