Showing posts with label The Flash. Show all posts
Showing posts with label The Flash. Show all posts

Thursday, 3 May 2018

KISAH SERAM DARI KEM PLKN - Faizal


KISAH SERAM DARI KEM PLKN
Karya: Faizal

=====================

Nota kaki- Ini adalah beberapa pengalaman 2 bulan aku ketika mengikuti latihan Khidmat Negara di salah sebuah kem latihan di kawasan Lumut.Untuk pengetahuan,aku adalah batch pelatih pertama pada tahun 2004.

Kisah 1
Kem aku terletak berhampiran dengan laut. Waktu tengahari punyalah panas! Waktu malam pula sejuk dan selang seli dengan tiupan angin laut.

Kami tidur di dalam khemah jenis A Tent yang besar gedabak tu dan kawasan kem pula dibahagikan pada dua bahagian, wira( pelatih lelaki) dan wirawati.

Bilik air kami jenis besar dan lapang dan dalam satu bilik besar itu ada 10 jamban dan satu kolah mandi yang cukup besar. Macam kolah dekat masjid. Tapi keadaan bilik air tu agak suram sebab lantai dan binaannya simen. Takda jubin pun. Jadinya bila waktu malam,dengan mentol lampu yang malap tu,kolah itu nampak gelap dan menyeramkan.

Adalah satu hari tu,kawan aku,Rashid nak pergi mandi larut malam disebabkan panas.Memang pun,sudah lebih 3 malam begitu bila malam dia macam bahang.Takda angin langsung.

Waktu Rashid tu baru nak mandi,dia terperasan ada perempuan berambut panjang,sedang mencelupkan rambutnya dalam kolah!Erti kata lain,basuh rambut!Terpempan dengan pandangan tu,dia nak buka langkah seribu! Belum sempat, perempuan tu mencabut kepalanya dan merendam dan mencelup kepalanya itu berkali kali ! Kemudian di julang kepalanya itu dan di palingkan ke arah Rashid!

Kata Rashid sebelum dia tersembam pengsan, "Muka dia macam kena toreh dengan pisau"

***
Cerita 2
Ada satu malam ,ketika itu ribut di kawasan kem.Sampaikan ada beberapa khemah yang tercabut ditiup angin! Termasuklah khemah aku.Habis semua kain baju kami basah di timpa hujan.Saat itu,aku dan kawan sekhemah aku mendongak ke langit, ada puluhan yang aku rasa pontianak, terbang berlegar legar kira kira 50 meter.Kawan aku mengucap panjang! Aku dan yang lain terus azan.

***
Cerita 3
Kawan sebelah khemah aku ni ada trademark.Dia ni pakai selipar jamban yang bila kena air, dia akan berbunyi 'sreet!sreeet!' dan bunyi itu amatlah kuat.Kami selalu mengusik Fauzi tiap kali dia balik dari jamban.

Suatu malam kira kira jam 3 Pagi selepas aku dan Rashid balik dari sentri malam ( bergilir jadi Jaga di kawasan kem) ,baru mata nak lelap, aku terdengar bunyi selipar Fauzi.

"Hoi ! Malam malam pun berak ke!" perli aku dari dalam khemah.

Cepat-cepat aku lihat Rashid pergi ke arah aku.

"Zal, kau lupa ke? Fauzi mana ada.Dia kan dapat pelepasan,kakak dia kahwin.Siang tadi kita dah salam salam dengan dia.Selipar dia tu pun dia pakai wei " Terketar ketar Rashid beritahu aku.

Padahnya,malam itu aku dan Rashid tidur sekatil !
***
Cerita 4.
Cikgu kami memang ada pesan.Jangan sesekali bawak balik telur rebus tu ke khemah.Kalau nak makan,makan kejap itu. Untuk info, memang setiap pagi ada telur rebus dan tiada telur goreng dihidang pun.Nak di jadikan cerita, selepas solat Isyak,kem kami gempar! Ada wirawati kena histeria.Jenuh aku tengok cikgu cikgu ni nak memulihkan pelatih tu.Masa dia jelirkan lidah,hitam ! Antara dialog yang aku ingat yang keluar dari mulut pelatih wanita itu,

"Aku nak makan.Dia bagi aku makan!"

Setelah diselidik,aku sendiri terkejut, kami jumpa dalam khemah dia ada kulit telur yang sudah kosong isinya! Tidak dikopek pun.Kata cikgu aku, yang ganggu tu disebut bajang.
Wallahualam.


***
Cerita 5
Malam itu aku pergi ke jamban untuk berak.Tengah sedap, telinga aku menangkap bunyi suara orang.Aku syak mungkin pelatih lain.Tapi bila aku amati, suara budak kecil ! Aku dapat agak yang ada yang sedang berlari lari di depan jamban aku.Aku dah mula tak senang duduk.Cepat-cepar aku siapkan apa yang patut.

"Satu...Dua...Tiga...Empat..Lima.." kedengaran suara budak kecil itu menghitung bilangan bilik.Memang aku perasan sewaktu masuk,depan pintu, bilik aku nombor 6.Ah sudah!

"Alaaa...nombor enam ada orang la..."suara budak kecil itu kedengaran sekali lagi!

Aku meremang! Spontan,aku terus meredah pintu dan berlari deras menuju khemah! Aku tak pandang kiri kanan langsung!

***
Cerita 6
Rupanya,bukan aku seorang sahaja yang pernah diganggu dengan suara budak kecil tu.Ada pelatih dah terkena.Cumanya, dia takda menyebut ungkapan 'ada oranglah'

Cuma kali ini, pelatih itu bagitahu kami,ada benda mengangkang dari atas kubikel biliknya itu ,dengan lidah yang memanjang dan bercakap

"Ada oranglah sini" dengan suara garau.
***
Cerita 7
Ada satu kawasan dalam blok wirawati ini yang sering dijadikan kawasan untuk mereka curi curi menghisap rokok ( zaman aku PLKN semua dipilih random,asalkan lahir tahun 86 ,dan ada yang tak bersekolah pun)

Sebelum itu cikgu ada pesan,jangan sesekali menghisap rokok di kawasan pokok besar tu.

Malam itu kem aku sekali lagi gempar.Katanya ada wirawati yang pengsan di pukul.Malam itu,5 orang pelatih wanita lunyai dipukul.Siap ada yang patah gigi.

Kata mereka,mereka tak nampak dan tak tahu apa yang menghenyak tubuh mereka.Tahu tahu saja masing masing tercampak dan tersembam ke tanah!

"Saya dah cakap! Jangan.Degil! Ada dengar suara halus tak suruh nyala colok,kemudian baru rasa muka ditampar? marah sungguh Cikgu Amran malam itu.

Dan menghairankan,mereka berlima mengangguk.Entahlah,aku pun tak tahu apa yang duduk di sekitar pokok besar itu.

***
Cerita 8
Hisham,budak dari bandar.Memang anak orang kaya pun dan satu je kami ni tak gemar perangai dia.Suka cakap besar satu hal,berlagak pun ya juga.

Sejak bermacam kejadian aneh berlaku di sekitar kem, Hisham selalu bercakap besar.Katanya dia mahu menyelak kain langsuir, hendak mencabut tali pocong dan juga dia mahu mengunting rambut perempuan di bilik air itu.Kami hanya diam.Nasihat pun,kami ditempelak.

Waktu itu,dia bertugas dengan Ali,budak khemah aku( satu khemah 4 orang) untuk membuat sentri.Slot sentri mereka berdua tepat jam 12 malam.

Waktu mereka berdua sedap meronda,di kawasan ampaian.Tiba tiba tubuh Hisham diterpa oleh lembaga hitam!Ali ketika itu terkejut bukan main.

Kata Ali, dia nampak lembaga itu memasukkan lidah ke dalam mulut Hisham sambil ketawa! Ali terus meluru ke khemah cikgu.Malam itu jenuh kami pelatih lelaki mencari Hisham.Hilang! Tahu tahu saja ada yang terjumpa di tepi stor menyimpan kayak.

Sejak hari itu,Hisham selalu meracau tak tentu pasal.Penyudahnya,dia diambil oleh keluarganya dan tidak meneruskan program PLKN atas sebab kesihatan!

***
Cerita 9
Khemah wirawati di rasuk histeria. Ada budak non muslim kena juga. Punca? Buang pad dekat jamban tak basuh dan bersepah. Malam tu ada cikgu perempuan berpangkat jugak dalam askar bagitahu, dia buat inspection dekat tandas wirawati,masa dia jenguk, bersepah benda benda tu merangkak dan mencari sisa darah haid yang pelatih tinggalkan.

Disebabkan itu aku dan pelatih yang lain disarankan azan setiap penjuru kem.Dah lah pagi nanti jam 8 ada senaman pagi yang kami kena pergi!

Tapi aku tak boleh lupa, masa cikgu ni merawat, dorang menjerit punyalah kuat dan siap ada yang menari ! Sejak kejadian itu,takda siapa pun berani nak buang pad merata rata.

***
Cerita 10
Aku ada habit.Suka basuh baju tengah malam.Satu sebab orang tak ramai dalam tandas dan kedua,sejuk.Mujur ada yang meneman dan kongsi minat yang sama.

Sewaktu aku dan kawan aku sedang asyik menyidai baju di ampaian,kami ada la terpandang dari hujung ,ada pelatih yang menyidai baju.Pada mula aku tak ambil pusing.Tapi bila kawan aku tegur,dan menudingkan jari pada pelatih di hujung itu,aku mula seram!

Satu persatu anggota badan dicabut dan disidai di ampaian. Mula dengan tangan,kaki kepala ,dan badan. Jujur aku cakap,kami dapat dengan jelas kejadian malam itu. Kawan aku punyalah takut sampai terberak-berak waktu berlari !

***
Sekian sahaja kisah seram pendek aku sewaktu aku berkhidmat negara pada tahun 2004.
Korang ada kisah seram sewaktu PLKN? Ayuh kongsikan di komen.

===============================
Karya : Faizal
Suntingan Gambar (sumber dari internet) : Dikmang

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Thursday, 19 April 2018

KEMBUNG GORENG - The Flash


KEMBUNG GORENG
Karya: Faizal

======================
Link untuk cerita sebelumnya:
=====================

Nota:- Cerita ini separuh daripadanya adalah fiksyen dan separuh lagi adalah kisah benar. Mana yang benar, mana yang fiksyen, pandailah anda menilai.

Sakit benar hati Mastura membaca berita di surat khabar. Kenyataan tak masuk akal oleh juri pertandingan Ratu Kebaya, peragawati terkenal, Sakinah. Katanya, untuk format baru ini, peserta haruslah mempunyai berat badan bawah 55 kilogram.Tambah beliau lagi, amat menyakitkan matanya melihat peserta yang dianggap ‘gemuk’ memakai kebaya sendat dan ketat itu.

Hal ini sebenarnya bukan isu nasional,tetapi bagi Mastura kenyataan peragawati terkenal itu seakan terkena pada batang hidungnya ! Bentuk badan Mastura tidak lah kurus dan tidaklah terlalu gemuk, namun sesuailah kalau berkebaya, kata orang, sedap sedap badan memakai. Ikutkan hati, mahu saja dia menyantau si Sakinah. Biar padan mukanya bermuntahkan darah!

Lamunannya terhenti apabila ada yang menyapanya dari belakang.

“Kakak, teh ais satu sama lempeng kelapa sepinggang.” Suara dari belakang pelipis telinganya memecah kesunyian gerai makannya pagi itu. Cepat cepat Mastura mengiyakan permintaan itu. Timbul perasaan segan di dalam dirinya. Mesti pelanggannya itu perasan yang dia sedang mengelamun.

Usai melayan kehendak pelanggan gerainya,Mastura kembali duduk membaca akhbar.Sudah hampir 4 bulan selepas kejadian yang menimpa pasangan suami isteri, Ismail dan Zarina.Puas selepas dendamnya terbalas.

Hidupnya selepas itu boleh dikatakan sempurna. Gerai usangnya kini bertukar wajah. Dahulu Mastura hanya menghidangkan juadah sarapan pagi dan menjelang tengahari dia akan menutup gerainya.

Kini,setelah gerainya diubah suai, dia kini berniaga dari pagi hingga ke malam. Malah, dia mampu menggajikan dua orang budak lepasan sekolah yang turut membantunya di gerai. Kedudukan strategik gerainya yang di tepi jalan besar kampunnya itu membuatkan ramai yang singgah.

Sebenarnya dari dulu lagi, orang kampung memohon supaya dia melanjutkan waktu perniagaan,tapi alasan Mastura,dia tak menang tangan.

Gerai Mastura sewaktu makan tengahari tersangat sesak. Dahulu,dia hanya meletakkan 10 set meja, kini ditambah menjadi 20 set meja berserta kerusi tambahan,demi memenuhi kehendak pelanggan. Pinggan,mangkuk dan gelas semua ditambah.

Menu istimewa di gerainya tak lain tak bukan, Set Nasi Bersama Kembung Goreng. Dihidang bersama nasi panas,kembung goreng garing dihias dengan hirisan bawang Holland dan cabai kampung, disertakan dengan sambal belacan ataupun sambal tempoyak dan juga diberi juga ulam ulaman seperti ulam raja, pucuk gajus dan petai belalang. Harganya Cuma RM5.00 sahaja satu set.

Hal ini membuatkan ramai yang datang menjamu selera di gerainya.Lagipun ramai juga pemandu lori kelapa yang lalu lalang mengutip hasil penduduk Kampung Banjar yang menjadi pelanggan tetap di gerainya.

Suatu hari, dia mendapat khabar berita dari Tok Ketua bahawa kerajaan telah membina beberapa buah lot kedai di salah satu kawasan di kampungnya itu dan dia layak memohon,tetapi Mastura berkeras untuk tidak berpindah. Kemudian, dia mendapat khabar, ada beberapa gerai makanan yang sudah dibuka di kawasan baru itu.


Mastura mulai perasan, jumlah orang yang datang ke gerainya itu berkurangan, jadi suatu hari dia sengaja pergi untuk menjamu selera di kedai baru itu. Ada sebuah kedai makan sahaja di situ, dan yang lainnya kedai runcit.

Segera dia menjengah kedai makan tersebut dan alangkah sakitnya hati bila dia dapat tahu, kedai ini menjual menu yang sama macam kedainya! Ikan kembung goreng! Malah pelayan mereka terdiri dari wanita muda dan lengkap berkebaya.Untuk taknak disyaki, Mastura hanya memesan air minuman dan dibawa balik.

Hatinya berbuku. Menyumpah seranah sepanjang perjalanan. Seminggu perniagaan gerai kurang laku. Bukannya tak laku, ada orang yang menjamu selera, tetapi tak ramai seperti selalu. Mastura mula mengatur langkah.

Malam itu,dia ke Ipoh untuk berjumpa dengan wanita yang pernah menolongnya menyantau Ismail dan Zarina. Gerainya terpaksa ditutup 2 hari dek kerana dia mahu mencari ‘ubat’ untuk perniagaannya. Genap 2 hari,dia pulang .

Malam itu, seperti hari lain, dia akan menyediakan bahan mentah untuk dijual nanti di gerai. Cuma kali ini,dia menambah beberapa ramuan istimewa. Kata wanita di Ipoh itu, Mastura harus mengaulkan ikan kembung mentah itu dengan titisan dari dari ibu jari kakinya.

Tanpa berfikir panjang, dia terus menghiris ibu jarinya dan darahnya mengalir masuk ke dalam besen yang penuh dengan ikan kembung yang sudah di bersihkan.Kemudian dia menabur beberapa cubit kemenyan hitam yang sudah dijampi serapah dan segenggam abu bangkai kucing hitam yang dibakar hingga menjadi abu ! Ketiga tiga ramuan istimewa itu dibiarkan di perap semalaman.

Esok paginya, sebelum dia mengoreng ikan berkenaan, beberapa butir kata jampi serapah dibacakan. Hampir seminggu kedainya penuh! Tapi kali ini sesak daripada biasa! Mujarab sungguh ramuan istimewanya itu.

Kalau dulu sehari dia menjual 20 ekor set hidangan ikan kembung goreng nya, kini hampir 100 ekor! Hingga ke malam, memang penuh dengan orang yang datang untuk menjamu selera. Ada yang sampai dua tiga kali berulang makan di situ dalam satu hari.

Mastura tidak berhenti di situ, dia mula memasang badan. Badannya dipakai kebaya dan dicalit beberapa minyak Penarik Seri Muka yang dibuat khas oleh wanita dari Ipoh itu. Gerainya itu telah ditanam dengan beberapa pendinding, takut takut ada yang berniat jahat dengannya.Bekas simpan duit di gerainya itu dilapik dengan kain kapan yang sudah ditulis dengan jampi oleh wanita dari Ipoh itu, katanyaa takut takut ada yang menyerahkan duit jampi pada Mastura.

Memang syaitan telah menguasai diri Mastura.Walaupun sudah hampir beberapa bulan gerainya mencapai jualan yang luar biasa,dia tetap dengki dengan kedai makan baru itu.

Satu malam, waktu orang lain sudah lena diulit mimpi, dia menaburkan tanah kubur yang sudah bercampur dengan batu nisan yang sudah ditumbuk halus di hadapan kedai baru itu. Kemudian dia menyelitkan bungkusan kain hitam di bawah tempat hidangan lauk kedai tersebut dan akhir sekali, dia menyelitkan paku keranda yang bengkok sewaktu ditukang di atas penjuru pintu kedai berkenaan.

Selang beberapa hari,dia mendapat khabar berita, orang yang makan di situ mengadu, makanannya yang dijual sudah basi, berbau najis dan berbau nanah. Lama-kelamaan, kedai itu akhirnya gulung tikar dan diganti dengan tuan baru.

Namun tetap perkara yang sama terjadi. Ikutkan rekod, sudah hampir 20 penyewa sudah menyewa di kedai itu dan selalunya tidak sampai 3 bulan, mereka gulung tikar! Ada juga sesetengah penyewa kedai itu yang ternampak kelibat lelaki tidak berkepala duduk di dalam dapur tempat mereka memasak.

Mastura kini mengorak langkah. Gerainya dahulu kecil, dibesarkan lagi. Semakin hari semakin maju gerainya. Set Ikan Kembung Gorengnya memang viral! Sehinggakan menjadi pergaduhan dek kerana bekalan ikan sudah habis.

Ada yang berebut pinggan dengan pelanggan lain. Bagi mereka,kalau sehari tak rasa masakan kembung itu,hidup mereka tidak lengkap!

Hendak dijadikan cerita, dalam ramai-ramai pemandu lori kelapa yang selalu singgah di situ, Azman lah yang gemar mengusik Mastura. Dipendekkan cerita, mereka pun berkahwin.

Tetapi setelah beberapa hari berkahwin, Mastura merasakan perkahwinan ini menyusahkan.Kerana dia tidak boleh secara terang-terangan meramu adunan kembung istimewanya di hadapan suaminya! Setelah 4 bulan mendirikan rumah tangga, akhirnya Azman telah diberi nasi kangkang oleh Mastura! Dengan cara itu, Azman bukan lagi penghalang kepada menu rahsianya.

Setelah beberapa penyewa yang gagal meneruskan perniagaan di lot kedai berkenaan, munculah seorang guru pencen dari Kedah yang baru sahaja berpindah di kawasan Kampung Banjar. Dia mengikut isterinya berpindah ke kampungnya, mencuba untuk berniaga laksa di situ.

Pada awalnya guru pencen itu dapat merasakan sesuatu yang tak kena dengan persekitaran kedainya itu, hinggalah suatu hari dia terserempak dengan lembaga lelaki tidak berkepala sedang enak memakan ikan mentah di peti ais.

Lembaga itu menyumbat ikan mentah itu ke perutnya yang terburai itu. Kebetulan malam itu guru pencen itu hendak mengantar beberapa bahan mentah di kedainya. Hal itu menyebabkan guru pencen itu meminta tolong sahabat baiknya dari Kedah untuk menolongnya. Dengan izin Allah, kesemua barang dan tangkal di kedai itu dialihkan.

Mastura ketika itu tak duduk diam.Mana taknya, badannya terasa bahang, dan kejap-kejap dia asyik ternampak lelaki tidak kepala itu merangkak ke arahnya! Perniagaannya yang dulu gah kini tidak terurus. Suaminya Azman, sudahlah di kangkangnya, kini menjadi serupa mayat hidup.

Lama kelamaan, giliran gerai Mastura pula yang gulung tikar. Kali ini betul-betul gulung! Azman terlupa hendak menutup api gas dan akibatnya gerai kesayangan Mastura habis dijilat api.

KininMastura menjadi separuh gila. Semua duit untungnya memang disimpan di gerai tersebut. Barang kemas, intan ,berlian semuanya hangus terbakar. Lesap tanpa kesan. Hidupnya asyik dikejar oleh lelaki tidak berkepala.

Akhirnya setelah Mastura diceraikan Azman, dia menjadi gila. Sehinggakan orang kampung bersepakat menghantar Mastura ke Hospital Tanjung Rambutan.

Keadaanya semakin tidak terurus.Tiada waris yang hendak bertanggungjawab dengan keadaan Mastura. Heboh satu kampung disaat Mastura sendiri membuka pekung di dada.

Dia menjerit histeria di pasar tani, menceritakan segala hal perilakunya terhadap gerainya,terhadap suaminya dan juga apa yang berlaku terhadap Ismail dan Zarina. Sejak dari itu, sudah hampir setahun dia mendiami hospital sakit jiwa.

***
“Saya ingin berjumpa dengan pesakit bernama Mastura,” ujar seorang wanita berkebaya ketat.

Jururawat itu menunjukkan arah di mana Mastura berada. Ketika itu Mastura sedang duduk di atas kerusi roda mengadap peti televisyen. Ketawa sendirian tak henti-henti.

“Cik, 10 minit sahaja masa diperuntukkan. Pesakit ini ada rawatan susulan sebentar sahaja nanti,” ujar Jururawat itu dan wanita berkebaya ketat itu mengangguk faham.

“Kau bodoh.Aku tak ajar kau tamak sampai begitu,” bisik wanita berkebaya itu di tepi telinga Mastura.

Serta-merta Mastura yang dari tadi ketawa, terdiam berhenti. Menoleh ke arah wanita tersebut.Mukanya tiba-tiba murung, menangis!

Dia memegang erat tangan wanita berkebaya tersebut.

“Tolong aku, aku takut. Aku tak sanggup jumpa dia hari hari,” ujar Mastura teresak esak menangis. Wanita itu hanya tersenyum, sambil tangannya diletakkan di kepala wanita separa gila itu.

“Sabarlah sayang, hari kau akan tiba semula. Aku akan cuba keluarkan kau dari sini. Aku amat memerlukan kau,” balas wanita berkebaya itu.

Perlahan-lahan wanita itu mengeluarkan sesuatu daripada tas tangannya, sebungkus kain merah kecil yang sudah diikat dengan rambut.

“Simpan benda ini elok-elok. Dia akan tolong kau. Aku pun senang nak datang.” Bisik perlahan wanita itu di cuping telinga Mastura.Cepat cepat dia menyimpan bungkusan itu di dalam pakaian dalamnya.

Ha! Ha! Ha! Serta merta Mastura ketawa tanpa henti.Tangisnya hilang.

Wanita berkebaya itu bingkas bangun dan berjalan perlahan meninggalkan Mastura yang tak berhenti ketawa!

“Aku perlukan kau Mastura, aku perlukan pembantu,” getus wanita berkebaya ketat itu di dalam hati.

-TAMAT-
=====================
Karya: Faizal
Suntingan gambar(sumber internet) : Kucing Kelabu

Thursday, 22 March 2018

SELAMAT PENGANTIN BARU - The Flash


SELAMAT PENGANTIN BARU
Karya Oleh: Faizal

===========================
Nota kaki- Cerita di bawah berdasarkan kisah benar. Ya, ianya betul-betul berlaku. Nama, tempat dan latar adalah rekaan semata-mata.
===========================
Pengantin bersanding di atas pelamin bersatu
Diraikan sekalian para tetamu
Kompang di palu bertalu talu
Air mawar di renjis harum berbau

Bukan lancang,sebarang lancang
Lancang menempuh lautan biru
Bukan ku datang sebarang datang
Datang menyambut pengantin baru!


Lagu nyanyian M. Daud Kilau bertajuk Pengantin Bersanding memecah kesunyian Kampung Banjar,Teluk Anson. Gegak gempita perkarangan rumah Mahmud. Mana taknya, anak sulungnya, Ismail sudah naik pelamin.

Ismail, sementara itu sedang bersiap di dalam biliknya. Sebentar sahaja lagi dia akan dinikahkan. Ikutkan hati tunangnya, Zarina, dia mahu menjalankan akad di masjid kampungnya semalam. Tapi Ismail berkeras mahu bernikah pada hari Sabtu, pagi sebelum majlis resepsi. Katanya mudah. Padahal Zarina tahu, tunangnya itu hendak menunjuk pada orang kampung. Bukan dia tak tahu perangai membangga diri si Ismail!

Ismail ada memberitahu, kawan-kawannya mengejek mengatakan Ismail akan beberapa kali ‘tersangkut’ sewaktu akad nikah! Dia memang pantang dicabar. Zarina malas ambil pusing, dia sendiri juga agak gementar untuk bergelar seorang isteri sebentar lagi.

Mahmud menunggu di hujung simpang jalan, takut-takut Tok Kadi tak jumpa jalan ke rumah. Maklumlah, rumahnya jauh ke dalam sedikit. Dari jauh kelihatan Tok Kadi datang dengan keretanya. Di bahagian penumpang adalah saksi-saksinya.

“Jam 11 pagi ya Tok...” ujar Mahmud kepada Tok Kadi sejurus dia tiba di perkarangan rumah. Mahmud menjamu Tok Kadi dengan kuih tepung beras dan bubur gandum berserta air kopi pekat. Bukan main suka mereka menjamah.

Tepat jam 11 pagi, semuanya sudah bersedia. Zarina mengambil tempat di atas pelamin dan Ismail sudah duduk empuk di atas bantal sofa. Suasana menjadi sunyi ketika Tok Kadi membacakan khutbah nikah. Orang ramai mula membanjiri ruang tamu rumah si Mahmud.

Ramai yang sebenarnya berkenan hendak jadikan Ismail sebagai menantu, yelah, kerjanya sebagai guru, ada kereta, ada rumah dan mukanya boleh tahan. Sudahnya Ismail berkenankan jiran sebelah rumahnya!

Tok Kadi menanyakan beberapa soalan kepada Ismail. Soalan lazim. Apa rukun nikah? Apa rukun Islam dan sebagainya. Lancar sahaja mulut Ismail menjawab.

Dari sudut hujung di tepi pelamin, berdirinya satu susuk tubuh sedang menyorot tajam ke muka Ismail. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Usai membacanya, dia tersenyum sinis.

“Ok, dah bersedia ya?" Tanya Tok Kadi kepada Ismail dan dia hanya mengganguk faham.

“Aku nikahkan dikau, Ismail bin Mahmud dengan Zarina binti Ahmad dengan mas kahwinnya RM100, tunai...” sambil Tok Kadi terus mengoncang tangan Ismail erat.

Suasana ketika itu diam. Sunyi sepi. Untuk pengetahuan, audio lagu di luar dihentikan sementara demi memberi laluan kepada upacara akad nikah ini.

“ Er...ahhh..Aku...er...” tergagap gagap Ismail.

“Ah, sekali lagi ya. Bawa bertenang ya pengantin lakinya...” ujar Tok Kadi.

Kedengaran beberapa orang ketawa. Ada juga kedengaran yang menempelak Ismail kerana terlalu angkuh. Zarina di atas pelamin mula terbit peluh di dahi.

Cubaan kali kedua, gagal! Kali ketiga pun gagal! Hinggalah kali ke sepuluh! Gagal! Ismail gagal melafazkan akad dengan sempurna. Tergagap gagap, bila di dengar macam orang mamai!

‘Itulah, berlagak sangat! Padan muka!’
‘Muka saja lawa tapi penakut
‘Pengantin laki cikgu ke? Macam tak reti bercakap saja!’


Cakap cakap orang sekeliling hinggap di telinga Zarina dan Mahmud.

“Kita berehat dulu ya...” Ujar Tok Kadi. Ketika itu orang yang hadir untuk melihat upacara itu tidak berganjak. Mereka ingin lebih tahu apa yang akan berlaku. Mahmud menghulur segelas air kepada anaknya.


“Kenapa kau ni?” Bentak Mahmud.

“Tak tahu ayah, tiba-tiba rasa macam nak pitam, macam nak muntah pun ada.”


Majlis akad nikah disambung semula. Ismail gagal lagi! Perlahan-lahan Tok Kadi datang rapat kepada Ismail, dan bisikkan sesuatu padanya.

“Cuba kau tunjukkan lidah kau...” bisik Tok Kadi.

Imran perlahan membuka mulutnya dan mengeluarkan sedikit hujung lidahnya.


“Allahuakbar!“ Tok Kadi tiba-tiba bertakbir sejurus melihat lidah Ismail hitam.

“Ok begini, saya mohon Tuan Rumah sediakan kami satu bilik untuk majlis akad, dalam bilik itu, saya, saksi dan ibu bapa pengantin sahaja...” ujar Tok Kadi dengan nada suara yang agak kuat.

Suasana agak kelam kabut sejurus Tok Kadi bercakap demikian. Orang ramai mula berspekulasi sesama sendiri ( baca-membawang)

Kesemua ahli yang sepatutnya ada, sudah berada di dalam bilik. Ajaib, dengan sekali lafaz, Zarina sah menjadi isteri Ismail! Tanpa gagap. Kata Ismail, selepas berpindah di dalam bilik,dia dapat rasakan bahu dan kepalanya tidak ‘ditekan’ dari arah atas.

“Hati hati,banyak banyakkan selawat,” pesan Tok Kadi kepada Ismail sebelum dia keluar dari bilik.

Bersorak orang di luar bila Ismail senyum sambil menunjukkan jempul jari tanda OK!

Selepas mereka semua turun dari rumah menuju ke ruang makan beradab. Ismail yang hendak makan dahulu sebelum bersanding. Memang selalunya pengantin akan bersanding dahulu, baru makan.

“Abang kenapa?” Tanya Zarina pada suaminya.Ismail hanya mengatakan dia gementar,lalu mereka pun tersenyum gembira. Cinta yang disulam 2 tahun akhirnya ke jinjang pelamin, sambil mereka berdua memotong kek hari bahagia mereka.

Dari atas rumah, Tok Kadi melihat ke lantai rumah.Dia perhatikan setiap bucu permaidani yang dibentang. Matanya tertumpu pada satu bucu permaidani, hujungnya dilipat ke dalam!

Segera Tok Kadi bergegas ke arah karpet itu. Perlahan-lahan dia menyelak bucu permaidani, tiada apa-apa yang tersembunyi, dia duduk bersila dan mulutnya terkumat-kamit. Ada beberapa orang yang kelihatan aneh dengan tindak tanduk Tok Kadi.

Perlahan lahan tapak tangannya diletakkan di bucu permaidani. Setelah tangannya diangkat,di tapak tangannya kelihatan secebis kain kuning. Tok Kadi mengelengkan kepala. Dia bangun dan meminta salah seorang saksinya kotak mancis (saksinya itu penghisap rokok) lalu dibakar cebisan kain itu. Yang lain tidak bersuara. Hanya diam.

“Dah jom balik...” ujar Tok Kadi.Mahmud sebelum itu ada menjemputnya untuk turun makan sekali, tetapi terpaksa ditolak dek kerana dia harus menikahkan dua pasangan lagi pada hari itu.

Dari jauh ada mata yang memerhati keberangkatan Tok Kadi dari majlis, sekali lagi dia tersenyum.


“Eh Mastura, tolong aku angkat hidang ni kat khemah pengantin!” Sapa kawannya dari belakang.

Cepat cepat Mastura memotong angannya itu. Dalam hatinya menyumpah seranah kawannya itu, ganggu lamunannya. Sewaktu Mastura mencapai lauk rendang masak dinding yang ingin diletakkan ke meja pengantin, dia segera mengeluarkan bungkusan di celah lipatan kain batik kebaya lepasnya. Bungkusan santau! Miang rebung, serbuk lipan dan beberapa adunan sial telah diramu rapi oleh Mastura.

Sesudah menabur ke dalam juadah itu, dia segera menghantarnya ke khemah pengantin. Dari jauh dia melihat Zarina mencedukkan lauk itu ke dalam pinggan Ismail. Lebih menyeronokkan, Ismail, Zarina serta Mahmud menjamu lauk daging santaunya itu!

Mesti ada yang tertanya, kenapa Mastura bencikan Ismail? Untuk pengetahuan, Ismail pernah berjanji untuk memperisterikan dirinya. Tapi sewaktu tarikh yang telah dijanjikan untuk bertunang, Ismail menarik diri saat akhir, katanya dia tak yakin dengan keadaan Mastura.

Mana taknya, ketika itu Mastura menampung hidupnya dengan menjual lauk-pauk di gerai usang milik arwah bapanya. Walau begitu, makan minum mak dan adik adiknya terjaga rapi. Tak pernah pun Mastura gagal memberi makan dan minum pada mereka. Kata Ismail, pipit sama pipit, enggang sama enggang.

Zarina hanyalah anak dara yang duduk di rumah dan menunggu ehsan keluarganya yang kaya. Senang cakap, duduk di rumah, malas bekerja, hendak wang, minta ayah atau ibunya. Hal ini membuatkan Mastura berang. Tapi apa yang dibuat hari ini tidak lagi selesai.

Selesai upacara makan beradab, pengantin baru akan disandingkan. Mereka berdua naik ke atas rumah untuk bersanding. Ketika itu ada pertunjukkan silat berlaku di hadapan pengantin. Mastura ketika itu duduk di sudut hujung rumah. Ismail memang tak perasan kehadirannya. Kenapa? Sebab Ismail pernah dua tiga kali ditangkap olehnya curang. Mana mungkin dia ingat kesemua bekas kekasihnya??!

Tiba upacara merenjis tepung tawar. Sekali lagi Mastura tersenyum. Air mawar sudah diganti dengan air mandian mayat! Susah payah bukan main dia mencari air mandian mayat untuk mengenakan Ismail. Mujur dia ada kawan yang bekerja di hospital, dapatlah juga segayung air mandian mayat. Sempat dia menukar air mawar dengan air mandian mayat itu sewaktu pagi tadi, dan bekas bunga rampai, sudah dicampur dengan kemenyan hitam dan setitik darah haidnya sendiri!

Apa yang akan jadi? Hidup suami isteri ini akan melarat, tak tenteram. Itu yang apa Mastura mahukan. Dia ketawa kecil melihat tetamu yang datang merenjis dan menabur bunga rampai ke atas Ismail dan isteri.

Seminggu selepas majlis, Kampung Banjar gempar! Ismail menceraikan Zarina dengan talak tiga! Cerita rumah tangga mereka berdua ini habis dijaja sesetengah orang hingga ke pekan Teluk Anson mengetahui tragedi kahwin seminggu sudahnya ditalak tiga.

Mastura hanya ketawa mendengar cerita itu. Dia dapat tahu pun sewaktu dia sibuk menghidangkan air di gerai usangnya. Zarina dikatakan separuh gila selepas diceraikan sebegitu oleh Ismail. Kata Zarina, dia tak tahan tinggal di rumah suaminya itu, ada sahaja tak kena. Dengar cerita selepas dicerai, keluarga Zarina membawanya ke Ipoh untuk berubat. Zarina katanya muntah darah tak henti-henti selepas diceraikan.

Lagi menarik, keluarga Zarina menyerang rumah Mahmud, malam anak mereka diceraikan, kampung sekali lagi gempar! Ayah si Zarina dan Mahmud bersilat di depan rumah, dek kerana marah. Keluarga Zarina menuduh Ismail buat benda tak elok pada anak mereka.

Mastura yang dari tadi sibuk di dapur gerai, ketawa tak sudah mendengar perbualan orang kampung yang singgah di gerainya. Dia hanya ketawa dan ketawa lagi. Dendamnya berbalas.

Sebulan selepas kejadian itu, giliran Mahmud pula menceraikan isterinya! Sekali lagi Mastura gembira dengan khabar berita itu.

Suatu hari, dia terserempak dengan Ismail di pasar sewaktu dia mahu membeli lauk-pauk untuk gerainya.Ismail sememangnya tidak mengenalinya langsung.Memang tak terurus. Muka Ismail penuh dengan jambang dan misai.Geli. Sekali pandang macam orang gila! Puas hati Mastura.


Keesokkan paginya, gerainya itu disinggahi oleh Tok Kadi, dia datang ke kampung ini setelah terdengar kisah Ismail dan keluarganya. Dia datang untuk mengesahkan kejadian. Kata Tok Kadi, dia tak sangka yang akan ada orang sanggup memporak-perandakan keluarga Ismail sedemikian rupa.

Mastura tersenyum sambil mempelawa Tok Kadi untuk mencuba lepat pisangnya semasa menjamu Tok Kadi. Di dalam hati Mastura, dia lega kerana tiada siapa yang mengesyakinya.

Selang beberapa hari selepas itu, Ismail meragut nyawanya sendiri. Mayatnya di temui di dalam bilik rumahnya,tergantung. Ketika itu ayahnya, Mahmud baru pulang dari kebun terperanjat melihat keadaan anaknya itu. Sudahlah baru bercerai, kini anaknya pula membunuh diri! Dek kejadian itu, Mahmud dimasukkan hospital kerana serangan jantung.

Kini, tiada apa lagi yang perlu digusarkan oleh Mastura. Dendamnya berbalas dan bulan depan, ada rombongan memasuk meminang dirinya. Dia puas semuanya telah selesai.

Sewaktu dia hendak menutup gerainya, dia didatangi oleh seorang wanita berkebaya ketat, menaiki kereta Proton Saga berwarna biru.

“Berkesan tak?” Sapa wanita berkebaya ketat itu.

Mastura mengangguk dan menyerahkan sejumlah wang pada wanita berkenaan.


“Jangan biar diri kita dipijak ye dengan kaum lelaki...” wanita itu berpesan pada Mastura.

Dia hanya angguk.

Mastura puas. Dendamnya berbalas. Sambil itu wanita itu menuju ke keretanya, dan berlalu pergi.


Di dalam hati Mastura berkata,
‘Tak sia-sia aku berjumpa dengan wanita tu!’

Tak perlulah aku sebutkan nama, kamu semua tahu siapa dia !


---tamat--
Suntingan & Gambar: Nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Thursday, 8 March 2018

KOLEJ PERINDU - The Flash


KOLEJ PERINDU

Karya Oleh: Faizal

===============================
NOTA KAKI- Cerita ini berlaku sewaktu tahun 2008 semasa aku menuntut di UiTM Shah Alam. Ini apa yang berlaku pada aku sendiri. Selalunya aku ceritakan kisah orang, kali ini pengalaman aku sendiri.Terpulang pada kalian hendak percaya atau tidak dan aku tidak bertanggungjawab kalau sesiapa yang takut hendak menginap di kolej ini. Haa, siapa suruh nakal?!
===============================

Aduh. Aku mengeluh panjang juga bila tahu yang kami bakal ditempatkan di blok Perindu 4. Untuk pengetahuan, kolej Perindu mempunyai 4 blok dan ianya adalah satu satunya kolej kediaman lelaki di dalam UiTM Shah Alam, cuma kolej Teratai ada juga lelaki, itupun tak silap aku dua blok sahaja kerana kolej ini merupakan kolej disiplin yang terdiri daripada siswa unit uniform seperti PALAPES, NAVY dan lain lain.

Semester lepas dan sebelum kami ditempatkan di blok 1 dan 2. Blok 1 dan 2 ni bukan apa, blok yang dua ini keadaannya masih lawa dan nampak sejuk mata memandang sebenarnya. Lantainya berjubin, dekat dengan dengan kafe dan taklah sunyi.

Kalau korang nak tahu, aku menginap di kolej sehingga aku tamat belajar, itu pun sebab aku aktifkan diri di kolej. Aku sertai salah satu persatuan di kolej dan kami bergiat aktif. Persatuan Kelab Komputer aku terdiri daripada 8 orang ahli majlis tertinggi dan kami seperti sebelum ini ditempatkan satu bilik.

Sebab apa kami mengeluh bila dapat tahu kami bakal ditempatkan di Blok 4? Yang pertama blok Perindu 4 ini lantai jubinnya simen, dan yang kedua bangunan ini agak terpenci, dan keadaan blok ini kelihatan usang. Ketika ini, blok Perindu 2 sedang dinaik taraf, dicat dan diperbaiki. Berbulu aku tengok pelajar lain dapat menginap di situ.

Kami berlapan redha sahaja dengan percaturan pengurusan kolej. Kalau menyewa di luar, mesti payah. Ini kau bayar hanya sekali satu semester, duit eletrik dan air pun tak payah kau nak fikir. Jadinya, fikir kami, bersyukurlah dapat menetap di kolej, daripada kawan kawan kami yang terpaksa menumpang rumah kawan di seksyen 7 ( sebab tunggu rayuan kolej ) dan ada yang kena duduk menyewa.

Sewaktu kami mendaftar masuk, hati aku mulai rasa tak berapa senang. Mana taknya, sebesar-besar blok itu, hanya 5 bilik sahaja berpenghuni. Tak silap aku, bangunan tiga tingkat itu ada lebih kurang 30 bilik atau lebih ( tak silap aku). Bila aku tanya kerani kolej, dia cakap yang tak berpenghuni untuk pelajar yang merayu untuk penempatan. Dalam waktu 2 minggu akan penuhlah kata kerani itu. Aku angguk dan senyum.

Minggu pertama di fakulti tiada apa sangat pun. Terima jadual kelas dan berborak dengan kawan-kawan, mana taknya, hampir 2 bulan tak bersua. Aku balik ke kolej kira-kira jam 3 petang. Agak awal lah juga. Bas Rapid KL ketika itu pun tidak berapa padat. Mujur semester kali ini, jumlah mata pelajaran aku tak banyak hanya 17 jam sahaja. Jadi aku dapat rasakan semester ini aku banyak bertenang.

Tiba di depan pintu bilik, aku masukkan kunci dan putar. Jujur aku cakap, walau jam 3 petang, keadaan di situ sunyi. Sebelum ini, blok yang aku duduki semuanya berpenghuni. Oh ya, aku duduk di tingkat paling atas, kelab dalam kolej yang lagi 4 duduk di tingkat bawah sekali. Sebelah bilik aku stor tilam! Entah kenapa kami diletakkan di situ. Kadang kala aku rasa ini mesti kerja kakak kerani. Dia selalu kena usik dengan aku, jangan-jangan dia geram kot!

Usai tiba di katil, aku labuhkan badan. Terlelap! Tahu-tahu sahaja jam dah mencecah angka 6.40 petang lebih kurang. Aku mengeluh sendirian. Terlepas hendak bermain futsal. Aku jenguk telefon, ada dekat 3 panggilan tak dijawab dan 2 mesej SMS (masa ini tiada Whatsapp, jangan pelik pula ya). Padanlah, telefon aku dalam mod senyap, balik dari kelas lupa nak tukar mod.

Aku segera bangun dan capai tuala. Aku tak solat Asar lagi sebenarnya. Aku bergegas ke bilik air yang terletak di hujung bilik. Aku mandi ala kadar. Aku bergegas keluar dari bilik mandi dan duummmmmm! Aku terlanggar seseorang. Kesan dari perlanggaran itu aku terduduk jatuh, dek kerana selipar yang licin dan ditambah aku tak pakai cermin mata ketika itu (aku rabun jauh).

Aku dongakkan kepala, di hadapan aku ada susuk tubuh. Aku kecilkan mata, sah! Perempuan! Belum sempat aku cakap apa-apa, susuk tubuh perempuan itu sepantas kilat masuk ke dalam bilik air!

Aku apa lagi, bingkas bangun dan berlari ke arah bilik! Gelabah betul aku masa itu, aku punyalah kelam-kabut mencari kunci bilik dalam baldi ketika itu. Penyudahnya aku muntahkan segala isi dalam baldi! Habis berselerak ubat gigi , sabun dan segala peralatan mandi aku.

Ketika itu dalam bilik hanya aku seorang. Kawan bilik aku tak balik lagi dari kuliah, mungkin mereka ke kafe terus. Korang nak tahu, sampai kawan-kawan aku balik bilik, baru aku pergi kutip peralatan mandi aku yang berselerak depan pintu. Ya, aku memang biarkan depan bilik! Aku seorang yang penakut sebenarnya. Aku cuba hadamkan apa yang aku tengok siang tadi. Aku yakin aku tak silap, memang perempuan! Walau aku rabun, tapi aku yakin. Aku rahsiakan saja cerita tadi pada rakan-rakan sebilik aku. Aku takut mereka pun takut!

Lebih kurang selang beberapa hari, sewaktu hari Sabtu, kami satu bilik apa lagi, bermain game Counter Strike lah! Masing-masing tiada kuliah. Selepas Isyak kami mula main. Punyalah asyik sampai tak sedar jam dah hampir 12 malam. Kami berhenti pun untuk makan.


Kira kira jam 2 pagi kami selesai makan semua, aku menyambung permainan tadi. Kawan aku yang lain semuanya dah buat hal masing masing.


Aduh, lupa aku nak perkenalkan kawan sebilik aku. Kau orang tengok, aku punyalah takut sampai lupa nak bagitahu. Dalam bilik aku didiami oleh aku, Wan, Hafiz, Khalid, George (budak Sabah),Jacob (budak Sarawak), Ahmad dan Syamsul.

‘Kreenngggggg’ Masing-masing terdiam. Aku berhenti mengadap komputer. Aku ingat aku seorang yang dengar, rupanya yang lain pun dengar. Bunyi besi diseret ke lantai!

‘Krengggg’ Sekali lagi bunyi itu kedengaran! Aku telan air liur. Bulu roma aku dah mula merinding. Aku lihat Jacob mula bangun dan mengintai di celah-celah tingkap. Mujur susunan loker, kami hadang tingkap. Kalau tak mesti nampak! Wan mula merapati Jacob, mereka berdua tertunduk-tunduk di celah loker. Wan memandang kami dan menunjukkan isyarat ‘nothing happen’ .

Dammmmm! Pintu bilik kami dihentak sesuatu! Aku syak kena hentak dengan rantai besi! Aku terus melompat dari kerusi dan rapat dengan yang lain. Serius, aku dan yang lain takut. Kalau korang nak tahu, posisi laptop dan komputer masing masing mengadap pokok besar.

Daaammmmmm! Sekali lagi! Aku tengok Khalid dah berdiri. Mulutnya terkumat kamit. Kami yang lain tergumam. Untuk pengetahuan, Khalid ni seorang yang gemar ke surau dan masjid. Dia ni pun selalu juga mengikuti usrah di masjid sekitar Shah Alam. Kami kadang-kadang panggil dia ni ustaz.

Khalid perlahan-lahan berjalan menuju ke pintu, tombol pintu di putar dan daun pintu diselak sepantas kilat!

Korang nak tahu apa ada depan pintu? Aku lembaga berambut panjang sedang duduk bercangkung mengadap kami!

“Allahuakbar!” Khalid bertempik! Aku dan yang lain menjerit! Bayangkanlah, lelaki menjerit! Nampak macam lucu, tapi itulah, bayangkan kalau korang mengadap benda serupa ini .

Susuk tubuh itu kurus kering, mukanya cengkung menggerikan. Perlahan ianya mengangkat muka, aku cepat-cepat paling! Sekali lagi Khalid bertakbir! Yang aku tahu ketika itu, lembaga itu ghaib dari pandangan, cuma yang tinggal bunyi orang mengilai dan sesekali bunyi rantai dari atas bumbung!

Wan bingkas bangkit dan menarik Khalid dan menutup pintu sekuat hati! 


“Apa tuu! Hoi! Kita pindah la esok! Aku tak tahan la macam ni!” Bentak Wan.Aku terpinga-pinga. Akhirnya kami duduk rapat-rapat dan masing-masing buka cerita.


Ah, rupanya bukan aku seorang yang kena gangguan! Mereka semua kena macam aku! Cuma gangguannya lain lain! Ok, aku cerita satu persatu.

Semuanya kena dengan lembaga yang sama, jelmaan wanita berambut putih dan mukanya pucat serta matanya terbeliak merah! 


Wan ‘bertemu’ lembaga ini sewaktu dia balik dari bermain futsal.


Dekat bawah blok kami ada gelanggang badminton dan ada juga goal post bola keranjang. Wan cakap dia nampak ada orang tergantung dekat situ! Bila dia bergegas turun bawah, kepala sudah bercerai dari kepala. Dan yang celakanya, badannya itu berjalan menuju Wan! Kepalanya masih melekat di tali gantung!

Hafiz pula ternampak kelibat ‘wanita’ bila dia balik dari Restoran Hakim di seksyen 7. Begini, Hafiz ini boleh dikategorikan sebagai runner kami bila kami mengidam nak makan makanan selain kafe. Kebiasaan dialah yang akan keluar beli makanan. Hari kedua di blok ini rupanya Hafiz dah berjumpa dengan ‘wanita’ ini. Kata Hafiz,

“Masa aku nak naik tangga hujung tu, ada yang tunggu dekat tepi bilik air! Hoi, aku dah cuak, dia berdiri je tengok aku! Ujar Hafiz.

Jacob dan George pula kena kacau masa mereka di bilik air. Sedang asyik mandi (mereka yang dua ni gemar mandi malam), lampu bilik air tertutup. Pada mulanya Jacob ingat kami yang sengaja mengusik. Bila dia dan George keluar, takda siapa pun. Bila mereka masuk semula ke dalam bilik air, wanita itu dah menunggu mereka berdua di dalam kubikel mandi! Berdiri tegak memandang mereka berdua. Yang seramnya, ada dua lembaga yang sama! Memandang tepat Jacob dan George! Patutlah ada satu malam mereka berdua ni tergopoh-gapah masuk bilik.

Ahmad, rakan sebilik kami yang agak pendiam pun terkena. Dia budak landskap, jadi awal semester dah ada projek. Satu hari itu, dia balik dari fakulti ke kolej dengan berjalan kaki, sebab jarak kolej dan fakulti tak jauh mana, sewaktu dia melepaskan dahaga di mesin air watercooler di tingkat bawah, kepalanya ditekan dari atas sewaktu dia tunduk hendak minum!

Bila dia menguis belakang kepalanya, tangannya tersentuh dengan tangan seseorang. Panas dan kukunya panjang! Bila si Ahmad ni berpaling, lembaga wanita itu dah berada di belakang dia, berdiri satu kaki tinggi dari dia. Senang cerita, terapung!

Syamsul pula bagi aku ceritanya menyeramkan juga. Begini, sewaktu kami tiada di bilik, ketika itu hanya dia dan Khalid saja. Kami ketika itu ada di pusat sukan. Awal lagi sebenarnya waktu itu, kira-kira jam 8 malam ke atas. Sedang si Syamsul menaip tugasan kuliah, dia perasan pehanya disentuh.

Ketika itu dia duduk di meja belajar, bayangkan ruang kaki meja belajar agak sempit sebenarnya. Beberapa kali juga dia perasan yang peha dan kakinya dikuis sesuatu. Alangkah terkejutnya bila dia menjenguk pandang ke bawah, ada perempuan bermuka pucat menyeringai sedang melihatnya!

Mujur ada Khalid! Syamsul terkena histeria waktu itu. Mujur mudah bagi Khalid untuk memulihkan Syamsul. Dia sekadar meracau dan menjerit-jerit sahaja. Sewaktu Khalid menenangkan Syamsul, kata Khalid, “sebenarnya aku nak lari waktu tu. Kau bayangkan, benda tu perlahan-lahan merangkak keluar dari bawah meja, panjat meja dan menuju ke tingkap. Macam biawak hoi dia merangkak!” 

Cerita Khalid.

Disebabkan hal ini, Khalid dan Syamsul diserang demam. Aku pun terasa cuak, Khalid pun boleh demam. Mujur aku rasa macam nak demam!


Malam itu barulah masing-masing tahu. Rupa-rupanya semua dah ‘berjumpa’ dengan mahkluk yang sama. Secara jujurnya, tempoh 2 minggu untuk tunggu blok ini penuh merupakan satu penyeksaan yang menyakitkan. Setiap hari kami ulang-alik ke pejabat.

“Puan, kalau ada yang lulus rayuan, elok letak kat level kami dulu ya”

Inilah yang kami ucapkan setiap kali ke pejabat.


Kemudian, ada satu malam, seingat aku berbaki 4 hari sebelum tempoh rayuan kolej tamat. Kami satu bilik pergi melawat ke bilik bawah. Ingat tak, dekat tempat aku menginap ada 5 bilik je terisi. Kami menyoal mereka mengenai hal jelmaan semua. Tiada! Mereka beritahu kami tiada apa gangguan yang berlaku! Aman damai. Aku dan yang lain mula tak sedap hati. Kenapa jadi begini? Kenapa kami saja yang diganggu?

Esok paginya aku ada berjumpa dengan staff lama di kolej. Jenuh aku nak korek hal ni. Akhirnya staff itu bagitahu juga punca kenapa blok itu sebegitu.

Maaflah, aku tak boleh nak beritahu sebabnya, aku terikat pada kerahsiaan, sebab dah berjanji takkan bagi tahu pada sesiapa. Lagipun tak nak sesiapa terasa.

Gangguan berakhir atau tidak bila aku dapat tahu punca? Tak! Makin menjadi. Malam itu, kami berkumpul dalam bilik, bermain permainan video dan ada yang buat tugasan kuliah. Sejak kejadian pelik ni terjadi, masing-masing akan tunggu di kafe (selepas kuliah tamat), bila dah ada dua tiga orang barulah kami berani balik ke bilik!

‘Huuuu..huuuuu’
Aduh. Suara orang meratap. Sayu betul bunyinya. Arah bunyi itu datangnya dari stor tilam. Sebelah bilik!

Sebenarnya bilik kosong sebelah kami itu bukan stor tilam secara ‘rasmi’ tapi di situ kami pernah mengintai, memang berlonggok tilam-tilam, loker dan beberapa buah kerusi tunggang-langgang. Mungkin perabot yang sudah rosak mungkin.

Makin lama makin kuat bunyi suara orang menangis. Kami apa lagi, duduk berhimpit rapat-rapat! Khalid arahkan supaya kami yang beragama Islam mengambil buku bacaan Surah Yassin. Malam itu kami sepakat membaca Yassin. George dan Jacob hanya duduk diam melihat kami.

Sewaktu kami baca Yassin, bunyi orang menangis bertukar jadi bunyi orang menjerit dan marah. Bunyinya betul-betul dari bilik stor sebelah! Usai membaca Yassin, bunyi orang menjerit dan marah masih berterusan. Sekejap-sekejap bunyi dinding dihentak. Kadang kala pintu kami dicakar-cakar.

Khalid ketika itu mengajak kami keluar, arahkan kami supaya tinggalkan bilik dan pergi menumpang bilik kawan-kawan lain di blok depan. Kami semua bersetuju kerana masing-masing sudah ketakutan.

“Aku tak tahan juga ni geng...” keluh Khalid.

Aku dan yang lain angguk setuju. Waktu kami hendak keluar dari bilik, daun pintu diselak, lembaga wanita itu betul-betul berbaring di depan pintu! Wajahnya sugul dan sedih, memandang tepat ke arah kami!

Ketika itu lampu koridor kami lupa hendak hidupkan, biasan lampu bilik saja dah bikin hati kami seram. Wan cepat-cepat menutup daun pintu.

Bawa turun tilam ke lantai, penyudahnya kami semua tidur di bawah malam itu. Tidur berhimpit beramai-ramai. Dengar macam kelakar, tapi itulah, bila dah kena macam ini kami jadi tak tenteram. Rela lama-lama duduk di fakulti dari balik ke bilik!

Genap dua minggu kami menginap di situ. Akhirnya sedikit demi sedikit blok 4 dipenuhi. Sedikit sebanyak rasa takut itu berkurangan.


Memang diakui, sejak itu juga gangguan mulai kurang. Tapi aku tak cakap benda tu terus tiada. Ada. Penghuni lain ada juga pernah terserempak dengan lembaga wanita itu.


Aku sendiri sewaktu sedang asyik menaip tugasan di laptop, ternampak wanita itu sedang duduk dengan kaki terjuntai di atas pokok besar di tepi gimnasium. Rasa nak luruh jantung aku. Waktu Maghrib! Remang-remang senja, ketika itu suasana semacam warna jingga. Terbantut terus aku nak habiskan tugasan.

Aku rasa sampai sini sahajalah perkongsian aku, ada lagi beberapa benda yang aku rahsiakan .Kalau nak tahu, eloklah jumpa aku depan depan. Kita buat bulatan unggun api dan bercerita hantu sampai Subuh.

Akhir sekali, aku harap sesiapa sahaja yang sedang menginap di Kolej ini, percayalah,gangguan semua ini dah berakhir.


Melainkan kalau korang yang gatal tangan seru ‘dia’ balik!


Tamat-
===============
Gambar: Dikmang
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan