Showing posts with label Mat Lester. Show all posts
Showing posts with label Mat Lester. Show all posts

Thursday, 8 March 2018

SHUTTER ISLAND (2010) - Mat Lester


Olahan dari Mat Lester
TAJUK : SHUTTER ISLAND (2010)
GENRE : Thriller, Misteri
RATING : imdb 8.1/10
Rotten Tomatoes 68%

SINOPSIS RINGKAS
Pada tahun 1954, dua pegawai Marsyal Amerika Syarikat iaitu Edward "Teddy" Daniels (Leonardo DiCaprio) dan Chuck Aule (Mark Ruffalo) tiba di Pulau Shutter untuk menyiasat kehilangan misteri seorang pesakit mental yang bernama Rachel Solando. Ribut badai yang melanda telah memaksa Teddy dan Chuck untuk tinggal di pulau itu lebih lama.

Bermula dengan kehilangan Dr.Lester Sheehan, Teddy dan Chuck terpaksa berhadapan dengan beberapa detik sukar terutamanya Dr. Cawley (Ben Kingston) dan beberapa kakitangan hospital lain yang dilihat enggan memberikan kerjasama untuk membantu siasatan.

Pada masa yang sama, Teddy sebenarnya mencari seorang lagi pesakit bernama Andrew Laeddis yang dipercayai telah membunuh isterinya. Lama-kelamaan berada di pulau itu, migrain yang dialami Teddy makin teruk ekoran sering dibayangi oleh isteri dan juga kisah silamnya.

Teddy mula mengesyaki dia dan Chuck sebenarnya telah menjadi mangsa konspirasi di Hospital Asschelife.

"Which would be worse...to live as a monster or to die as a good man

Thursday, 1 March 2018

BLAIR WITCH PROJECT - Mat Lester


BLAIR WITCH PROJECT
Olahan filem oleh Mat Lester

======================
Filem The Blair Witch Project telah ditayangkan di Amerika Syarikat pada tahun 1999. Siapa sangka, hanya dengan bajet serendah $60 000, filem ini berjaya mencapai kutipan box office sebanyak $248 juta di seluruh dunia sekaligus telah mencetus fenomena konsep "found footage" dalam dunia perfileman.

Filem ini mengisahkan tiga orang pelajar iaitu Heather, Mike dan Josh hilang dengan misteri semasa merakam dokumentari di hutan legenda "Blair Witch".

Apa yang menarik, sejurus selepas The Blair Witch Project ditayangkan, ketiga-tiga pelakon utamanya gagal dikesan dan dipercayai telah mati. Oleh kerana mereka bertiga menggunakan nama sebenar untuk watak masing-masing, ramai pihak yang sanggup mencari maklumat untuk menjejaki "kehilangan" mereka. Disebabkan itu juga ramai pihak yang beranggapan bahawa rakaman dalam filem ini adalah berdasarkan rakaman sebenar dari "mangsa."

Pada hakikatnya, Heather, Mike dan Josh telah menandatangi satu perjanjian dengan pihak penerbit.
Dalam perjanjian itu, mereka bertiga dikehendaki untuk bersembunyi dalam tempoh masa tertentu. Bahkan satu ketika, ibu Heather telah menerima kad simpati atas kehilangan anaknya.


Kesemua pelakon utama filem ini masih lagi hidup dan kini sibuk dengan kerjaya masing-masing .

Filem ini diteruskan dengan sekuel keduanya yang ditayangkan pada tahun 2016 bertajuk "Blair Witch". Turut berkonsepkan "found footage", ianya mengisahkan James iaitu adik kepada Heather Donahue memasuki hutan legenda "Blair Witch" bersama rakan-rakannya untuk mencari kakaknya.

Wednesday, 28 February 2018

PENDERAAN SYLVIA LIKENS - Mat Lester


KISAH BENAR....
PENDERAAN SYLVIA LIKENS
Olahan dari Mat Lester

=================================
PENGENALAN
Kejadian pembunuhan Sylvia Likens berlaku pada 26 Oktober 1965 di Indianapolis, Indiana, Amerika Syarikat. Sylvia,16 tahun, telah didera serta diseksa dengan kejam sehingga mati oleh penjaganya, iaitu Gertrude Baniszewski. Turut terlibat ialah anak-anak Gertrude dan dua orang lagi dari kawasan kejiranan yang sama.

Tiga bulan sebelum kejadian, Slyvia dan adiknya iaitu Jenny telah dihantar oleh ibu bapanya ke rumah Gertrude. Ia berikutan ibu bapa Sylvia yang juga merupakan pekerja karnival terpaksa bertugas di luar kawasan untuk satu tempoh jangka masa yang panjang. Jadi, ibu bapa Sylvia mengupah Getrude sebanyak $20 sebulan untuk mengasuh anak perempuan mereka.

Pada akhirnya, Gertrude Baniszewski, John serta Paula (anak Getrude) dan jiran mereka iaitu Coy Hubbard dan Richard Hobbs telah dibicarakan atas sabitan kesalahan menyeksa dan membunuh Slyvia. Kes kematian Slyvia Likens dianggap sebagai salah satu kes penderaan paling kejam yang pernah berlaku dalam sejarah jenayah dunia.

*
LATAR BELAKANG GERTRUDE BANISZEWSKI
Gertrude Baniszewski dilahirkan dengan nama Gertrude Van Fossan pada tahun 1929. Dia merupakan anak ketiga daripada enam orang adik beradik. Semasa zaman kanak-kanak,Gertrude dikatakan sangat rapat dengan ayahnya. Manakala, hubungan dengan ibunya pula sangatlah dingin. Ayah Gertrude meninggal dunia pada tahun 1940 akibat serangan penyakit jantung di mana Gertrude baru sahaja berusia 11 tahun ketika itu.

Lima tahun kemudian, tatkala usianya menginjak usia 16 tahun,Gertrude sanggup berhenti daripada alam persekolahan untuk mengahwini pemuda yang berusia 18 tahun, iaitu John Baniszewski. Hasil perkahwinan itu,mereka berdua dikurniakan seramai empat orang cahaya mata.

John dikatakan seorang yang panas baran. Dia sering memukul Gertrude atas alasan isterinya itu menjengkelkan dirinya. Rumah tangga John dan Getrude tidak bertahan lama. Mereka berdua akhirnya bercerai selepas tinggal bersama-sama selama 10 tahun. Gertrude telah diberikan hak penjagaan anak-anaknya.

Dalam tempoh masa setahun selepas penceraian, Gertrude berkahwin dengan seorang pemuda yang bernama Edward Guthrie.

Namun, perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama tiga bulan. Alasan penceraian, Edward berasa bosan dikelilingi oleh anak-anak Gertrude.Tidak lama selepas itu, jodoh Gertrude bercantum semula dengan John Baniszewski. Mereka berdua tinggal bersama selama tujuh tahun dan dikurniakan dua orang anak dalam tempoh tersebut. Gertrude dan John bagaimana pun sekali lagi bercerai pada tahun 1963.


Ketika Gertrude berusia 37 tahun, dia telah menjalinkan hubungan dan tinggal bersama dengan Dennis Lee Wright, 23 tahun. Dennis dikatakan sering mencederakan Gertrude. Gertrude selamat melahirkan anak Dennis yang dinamakan sebagai Dennis Jr.Dennis Jr merupakan anak terakhir Gertrude dan menjadikan jumlah anak Gertrude adalah seramai tujuh orang keseluruhannya. Sepanjang hidup Gertrude, Gertrude pernah mengalami keguguran selama enam kali. Satu daripada keguguran itu adalah akibat serangan Dennis.

Sejurus selepas kelahiran Dennis Jr,Dennis telah meninggalkan Gertrude dalam keadaan sehelai pinggang. Manakan tidak, Dennis yang menyara kehidupan Gertrude serta anak-anaknya sebelum ini. Gertrude terpaksa memikul beban sebagai ibu tunggal untuk menyara kehidupan keluarganya. Walaupun menerima nafkah wang daripada John Baniszewski, Gertrude tetap melakukan pekerjaan seperti mengasuh kanak-kanak dan mencuci pakaian.

Apa yang memburukkan lagi keadaan, anak perempuan Gertrude, iaitu Paula telah hamil 3 bulan tatkala usianya baru saja mencecah 17 tahun. Semua itu gara-gara hubungannya dengan seorang lelaki berusia yang telah pun berkahwin.

Kesihatan Gertrude makin lama makin merosot. Dia menderita beberapa penyakit kronik. Bahkan,Gertude berhenti mengamalkan cara kebersihan yang betul dan juga sering beralas perut. Kesannya, dia mengalami perubahan secara mendadak daripada segi penampilan seperti rambut keguguran, mata lebam dan tubuh badan seperti rangka. Oleh kerana enggan dipandang rendah oleh masyarakat di sekeliling, Gertrude menamakan diri sebagai "Mrs.Wright" kerana mendakwa bahawa Dennis sempat mengahwininya sebelum menghilangkan diri.

*
LATAR BELAKANG SYLVIA LIKENS
Sylvia Mary Likens dilahirkan pada 3 Januari 1949 di Lebanon, Indiana, Amerika Syarikat. Dia merupakan anak ketiga kepada pasangan Lester Cecil Likens dan Elizabeth Frances "Betty". Keluarga Sylvia tidaklah semewah mana dan mereka sering berpindah randah.Bagi menampung perbelanjaan keluarganya, Sylvia mengambil upah sebagai pengasuh, sama seperti Gertrude.

Pada bulan Julai tahun 1965, Paula Baniszewski telah berjumpa dengan rakannya iaitu Darlene McGuire. Pertemuan itu telah membawa perkenalan antara Paula dengan Sylvia serta Jenny yang baru sahaja menetap di kawasan kejiranan Gertrude. Paula kemudian membawa pasangan adik-beradik itu ke rumahnya yang terletak di 3850 East New York Street. Selepas mendengar segala luahan isi hati Sylvia, Paula menawarkan mereka berdua untuk bermalam di rumahnya.

Pada masa yang sama, ibu Sylvia iaitu Betty terpaksa meringkuk di penjara atas kesalahan mencuri barangan di kedai runcit. Atas sebab itulah Sylvia terpaksa menjaga adiknya buat sementara waktu.

Keesokan harinya, ayah Sylvia iaitu Lester tiba di bandar untuk melawat isterinya di penjara. Mereka berdua mencapai bersetuju untuk sama-sama menjelajah Amerika Syarikat sebagai pekerja karnival.

Hasil maklumat yang diperolehi dari Darlene Mcquire, Lester berjaya menemui Slyvia dan Jenny di rumah Getrude. Gertrude telah memperkenalkan dirinya sebagai "Mrs.Wright". Selepas perbincangan, Gertrude bersetuju untuk menjaga Sylvia dan Jenny buat sementara dengan upah sebanyak $20 seminggu.

Sam ada Lester ataupun Gertrud, tiada siapa pun yang tahu siapa sebenarnya yang mencadangkan penjagaan Sylvia dan Jenny. Lester langsung tidak memeriksa keadaan rumah Gertrude sebelum dia beredar pergi. Andai rumah Gertrude itu diperiksa, sudah pasti Gertrude akan membatalkan niatnya untuk meninggalkan Jenny dan Sylvia.

Bayangkan, rumah Gertrude tidak mempunyai dapur mahupun peralatan memasak yan lain. Makanan yang ada cuma keropok dan roti. Pinggan dan perkakas makanan yang lain pula hanya cukup untuk tiga orang. Begitu juga dengan katil, sekadar muat untuk beberapa orang. Apa yang lagi menjijikkan, sebahagian besar dari permukaan rumah itu sangat kotor.

*
PENDERAAN
Pada minggu pertama Slyvia dan Jenny di bawah jagaan Gertrude, semuanya baik-baik belaka. Rutin harian anak-anak Lester itu sama saja seperti remaja lain. Malah, Sylvia dan Jenny mengikuti keluarga Gertrude menghadiri upacara keagamaan di gereja pada hari Ahad.

Namun, semuanya tidak seindah yang disangka. Selepas tidak menerima sebarang bayaran $20 daripada Lester, Getrude mula menunjukkan belang. Dia berteriak kepada Sylvia dan Jenny,

"Aku jaga kamu berdua yang jalang tanpa sebarang hasil!"

Gertrude telah memaksa Sylvia dan Jenny meniarap di atas katil dengan keadaan pergelangan kaki kedua-dua adik beradik itu diikat dengan baju dan seluar dalam. Sylvia dan Jenny dipukul pada bahagian punggung dengan teruk sekali. Tidak lama selepas peristiwa itu, Lester dan Betty telah pulang untuk memantau keadaan anak perempuan mereka itu. Entah kenapa Sylvia dan Jenny tidak mengadu apa-apa kepada ibu bapa mereka. Berkemungkinan besar mereka berdua telah diugut oleh Gertrude.

Pada minggu berikutnya, Sylvia dan Jenny telah memungut botol air Coca Cola di tempat pembuangan sampah. Botol-botol yang dipungut itu kemudian dijual oleh Sylvia bagi mendapatkan sedikit wang. Wang itu pula digunakan untuk membeli gula-gula. Selepas mereka membawa gula-gula itu ke rumah, Gertrude telah menuduh mereka berdua mencuri, namun telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Sylvia. Gertrude tetap tidak percaya dan kekal dengan tanggapannya. Sylvia dipaksa menonggeng pada katil sebelum punggungnya dipukul oleh Getrude dengan pengayuh.

Tidak lama kemudian, anak-anak Gertrude yang kebetulan baru pulang dari gereja telah memberitahu Getrude bahawa mereka berasa jijik dengan makanan Sylvia. Gertrude berasa geram, lalu memaksa Sylvia memakan longgokan sosej panas. Apabila Sylvia muntah, Gertrude memaksa Sylvia mencedok dan menelan muntahnya sendiri. Sekali lagi, Lester dan Betty datang ke bandar untuk memantau keadaan. Seperti sebelumnya, Sylvia dan Jenny diam seribu bahasa.

Kemarahan Gertrude berterusan. Pada bulan Ogos 1965, selepas mendengar pengakuan dari Sylvia sendiri yang dia disentuh oleh anak lelaki Gertrude, Gertrude mengamuk sakan dan cerita itu sekadar fitnah semata-mata. Bahkan, Sylvia telah dituduh sebagai seorang pelacur. Gertrude pantas menyebarkan berita kehamilan Sylvia di kawasan kejiranannya. Gertrude semakin ganas dengan menyerang dan menendang Sylvia pada celah kangkang berkali-kali. Pernah satu ketika, Sylvia cuba duduk di atas kerusi, namun dihalang oleh Paula. Paula telah membaling kerusi ke arah Sylvia dan berkata,

"Kau tidak layak duduk atas kerusi itu!"
Sejak itu, Sylvia hanya boleh duduk di atas kerusi hanya dengan kebenaran sahaja. Gertrude turut memberikan keizinan kepada anak-anaknya untuk menjadikan Sylvia sebagai "alat permainan". Dalam "permainan" itu, Sylvia telah dipukul serta ditolak jatuh dari tangga.

Menurut cerita Jenny, sebagai tindakan membalas dendam, dia dan kakaknya itu telah menceritakan kepada rakan-rakan sekelas mereka tentang kelakuan anak Gertrude di mana Paula dan Stephanie sanggup melakukan hubungan seks dengan lelaki demi mendapat wang. Apabila teman lelaki Stephanie, Coy Hubbard,15 tahun, mengetahui berita itu, dia telah pergi ke rumah Gertrude, lalu membelasah Sylvia. Sejak itu,Gertrude memberi galakan kepada Hubbard agar kerap datang ke rumahnya untuk membelasah Sylvia.

Pada waktu ini juga, Gertrude telah menghasut rakan karib Sylvia, Anna Sisco,13 tahun. Menurut Gertrude, Sylvia telah memberitahu kepada pelajar lelaki di sekolahnya bahawa ibu Anna adalah seorang pelacur. Gertrude kemudian membawa Anna untuk menyerang Sylvia. Selepas itu, Sylvia dibelasah pula oleh Judy Duke, rakan kepada Paula. Semuanya gara-gara dakwaan Gertrude yang mengatakan Sylvia telah menyebarkan khabar angin mengenai ibu Judy.

Pada masa yang sama, Jenny telah dipaksa untuk menumbuk kakaknya sendiri. Pada mulanya Jenny enggan berbuat sedemikian hinggalah mukanya dipukul oleh Gertrude. Dalam keadaan terpaksa, Jenny telah menumbuk Sylvia.

*
SAKSI, SEKSAAN DAN DIKURUNG
Ogos 1965, sebuah rumah kosong bersebelahan rumah Gertrude telah dibeli oleh pasangan berusia yang bernama Phyllis dan Raymond Vermillion.

Selepas melihat jumlah asuhan kanak-kanak di bawah jagaan Gertrude agak ramai, Phyllis berhasrat untuk menghantar kedua-dua anak perempuannya untuk dijaga oleh Gertrude.

Satu hari, keluarga Vermillions kemudian mengadakan parti barbeku di halaman belakang rumah untuk lagi saling mengenali keluarga Gertrude. Sepanjang tempoh barbeku itu, Phyliss telah melihat Sylvia berjalan di sekitar halaman dengan kesan lebam pada matanya. Paula dengan rasa bangga, memberitahu bahawa dia adalah penyebab kesan lebam tersebut. Kemudian, di bawah pengawasan Gertrude, Paula telah menyimbah air panas pada muka Sylvia. Bagaimana pun, keluarga Vermillion tidak pernah melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Kira-kira dua bulan selepas itu, Phyllis telah pergi ke rumah Gertrude untuk meminjam barang. Phyllis melihat sendiri Sylvia berjalan dengan terhuyung-hayang dalam keadaan mulut dan matanya tertutup akibat bengkak. Paula juga telah menyebat Sylvia dengan tali pinggang di depan mata Phyllis sendiri. Sekali lagi, Phyllis hanya membisu dan tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Satu ketika, Sylvia telah pulang dari sekolah dan memberitahu Gertrude bahawa dia memerlukan pakaian khas untuk kelas gimnasium. Gertrude membalas bahawa dia tidak mampu membeli pakaian itu.Hal ini memaksa Sylvia mencuri sehelai pakaian dari sekolahnya. Gertrude kemudian mempersoalkan dari mana datangnya pakaian itu, lalu Sylvia membuat pengakuan.

Dek kerana sakit hati, Sylvia telah ditendang oleh Gertrude pada bahagian celah kangkang serta setiap jarinya dicucuh dengan bara rokok. Sylvia diarahkan menonggeng pada katil sebelum punggungnya disebat dengan tali pinggang. Selepas insiden itu, perokok di rumah Gertrude akan mencucuh dan membuang rokok ke atas badan Sylvia sebagai tanda peringatan untuk tidak mencuri.

Sylvia tidak pernah serik. Demi wang, dia keluar dari rumah untuk menjual botol soda. Apabila Sylvia kembali ke rumah, Gertrude menuduhnya keluar untuk pergi melacur. Sylvia diheret hingga ke ruang tamu dan dipaksa untuk berbogel di depan anak-anak Gertrude dan jiran-jiran lelaki. Risau Jenny dipukul, dia merelakan hati untuk beraksi lucah dengan menggunakan botol Coca-Cola.

Satu saat, Gertrude merasakan Sylvia tidak lagi layak untuk hidup dengan manusia. Asbab itu, Sylvia telah dikurung di dalam bilik bawah tanah. Oleh kerana bilik itu tidak mempunyai tandas, Sylvia terpaksa berak dan kencing merata di atas lantai. Gertrude melihat Sylvia sebagai seorang pengotor dan telah melancarkan gerakan "rejim mandi".

"Rejim mandi" ini bertujuan untuk membersihkan Sylvia. Pergelangan tangan dan kaki Sylvia diikat terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam tab yang dipenuhi dengan air panas. "Rejim mandi" ini juga dilakukan sesuka hati sama ada sekali, berkali-kali ataupun langsung tidak mandi dalam sehari. Selepas dimandikan, Paula akan menggosok seluruh tubuh badan Sylvia dengan garam.

Gertrude turut mengambil seorang budak lelaki berusia 14 tahun, Ricky Hobbs menjadi pembantunya untuk menguruskan Sylvia. Budak lelaki itu merupakan pelajar kehormat daripada keluarga kelas pertengahan yang sebelumnya tidak mempunyai sebarang masalah undang-undang. Entah mengapa, Hobbs berubah secara drastik dan menuruti segala kata-kata Gertrude. Wartawan jenayah pernah membuat spekulasi bahawa Hobbs telah digoda dan menjadi kekasih kepada Gertrude.

Anak-anak Gertrude turut menjadikan Sylvia sebagai punca pendapatan mereka. Kanak-kanak lain di kawasan kejiranan dikenakan bayaran untuk melihat Sylvia berbogel dan menolak gadis itu di tangga bilik bawah tanah. Sylvia dibiarkan berbogel secara berterusan dan jarang sekali diberi makanan.

Sekali-sekala, Gertrude dan Dennis Jr akan membersihkan bilik bawah tanah dengan memaksa Sylvia memakan tahi dan meminum air kencingnya sendiri.

*
HAMPIR DISELAMATKAN
Jenny pernah mengutus surat kepada kakaknya, Diana. Diana ketika itu sudah berkahwin dan tinggal bersama keluarganya sendiri. Dia tidak mempercayai dengan segala apa yang ditulis oleh Jenny dengan beranggapan bahawa adiknya itu sengaja mereka-reka cerita untuk tinggal bersamanya.

Namun, atas dasar prihatin sebagai seorang kakak, Diana telah melawat ke rumah Gertrude. Walaubagaimanapun, dia dihalang Gertrude untuk memasuki rumah. Diana terpaksa melihat adiknya dari luar rumah. Apabila Diana cuba mendekati Jenny, Jenny melarikan diri dan memberitahu bahawa dia tidak dibenarkan bercakap. Musykil dengan keadaan itu, Diana menghubungi agensi sosial. Jawapan yang diterima Diana, Sylvia telah melarikan diri dan telah menjadi pelacur jalanan.

*
KEMATIAN
Pada 21 Oktober, Gertrude telah mengarahkan John Jr, Coy Hubbard dan Stephanie untuk membawa keluar Sylvia dari bilik bawah tanah. Sylvia kemudian diikat pada atas katil. Gertrude memberitahu Sylvia, jika dia berjaya memegang pundi kencingnya sepanjang malam, dia akan dibenarkan untuk tidur di tingkat atas. Keesokan paginya, selepas mendapati Sylvia tidur, Gertrude memaksa Sylvia untuk melakukan aksi ghairah di ruang tamu sambil disaksikan oleh anak lelaki dan jiran jiran lelaki.

Selesai berbuat sedemikian, Sylvia dibenarkan berpakaian. Namun secara tiba-tiba, Gertrude mengungkit tentang pembohongan yang pernah dilakukan oleh Sylvia mengenai Paula dan Stephanie. Sylvia sekali lagi dibogel, diikat dan digigit. Sementara itu, salah seorang anak Getrude telah memanaskan jarum jahitan. Apabila jarum itu mula panas membara, Gertrude lantas mencacah huruf "I" dan "M" pada perut Sylvia.Gertrude kemudian mengarahkan Ricky Hobbs menyambung kerja pengukiran pada badan Sylvia. Ukiran itu adalah frasa,

"I'M A PROSTITUTE AND PROUD OF IT"
"SAYA ADALAH PELACUR DAN BERASA BANGGA DENGANNYA"

Hobbs tiba-tiba berhenti daripada mencacah kerana keliru dengan ejaan "prostitute". Gertrude kemudian menulis ejaan yang betul pada kertas. Hobbs menyambung semula kerjanya. Selepas semuanya selesai, Gertrude meninggalkan bilik itu.

Sylvia yang berbogel serta diikat telah melecur tahap "Third Degree Burn". Pada ketika inilah, Ricky, Paula dan anak perempuan Gertrude, Shirley, 10 tahun mengambil kesempatan untuk mencacah huruf "S" pada dada Sylvia.

Tidak lama kemudian, Gertrude kembali semula dan berkata kepada Sylvia,

"Apa yang kau boleh lakukan sekarang? Kau tak boleh berkahwin, kau tak boleh berpakaian depan orang. Apa yang kau boleh buat sekarang?"

Sylvia hanya membalas,
"Saya rasa tiada apa yang boleh dilakukan sekarang. Dekat sana."

Sylvia dibawa semula oleh Hobbs ke bilik bawah tanah. Di situ, dia sempat lagi dibelasah oleh Hobbs.

Tatkala malam menjelma, Jenny berjaya menyelinap masuk ke dalam bilik bawah tanah untuk berjumpa dengan Sylvia. Sylvia sempat memberitahu adiknya itu bahawa dia akan mati.

Tidak lama selepas pertemuan dengan Jenny, Gertrude memasuki bilik bawah tanah dan membenarkan Sylvia tidur atas katil pada tingkat atas rumah. Sylvia dibenarkan tidur hingga keesokan tengaharinya.

23 Oktober, selepas Sylvia terjaga, dia telah dibawa oleh Gertrude dan Stephanie ke bilik mandi untuk dimandikan dengan air panas.

Selepas dimandikan, Gertrude dan Paula memakaikan Sylvia pakaian. Gertrude kemudian menyerahkan satu surat yang sudah siap ditulis kepada Sylvia. Surat itu adalah surat "melarikan diri" yang kononnya ditulis oleh Sylvia untuk diserahkan kepada ibu bapanya.

Gertrude mempunyai rancangan di mana dia akan mengarahkan John Jr dan Jenny untuk membuang Sylvia di tempat pembuangan sampah berdekatan dan dibiarkan mati di situ. Apabila Sylvia mengetahui rancangan itu, dia cuba melarikan diri melalui pintu utama rumah. Apa yang lagi menyedihkan, dengan tubuh badannya yang kurus dan cacat, dia bergerak dengan begitu perlahan sebelum berjaya sampai ke pintu rumah. Belum sempat keluar, dia diheret semula Getrrude ke dalam rumah.

Sylvia kemudian dibawa ke dapur dan dihidangkan roti bakar. Sylvia cuba memakan roti itu namun dia tidak boleh menelan. Gertrude yang geram mengambil batang tirai di dapur lalu memukul mulut Sylvia. Selepas itu, John Jr mengikat dan mengurungnya semula ke dalam bilik bawah tanah. Gertrude turut menghidangkan satu piring keropok kepada Sylvia. Sylvia bagaimanapun enggan memakan keropok tersebut dan berkata,
"Bagi kepada anjing. Ia lebih lapar daripada aku."

Gertrude berasa marah, lalu menumbuk perut Sylvia berulang kali sebelum meninggalkan bilik bawah tanah itu.

23 Oktober, Gertrude memasuki ke bilik bawah tanah. Kali ini, dia cuba memukul Sylvia dengan kerusi, namun ianya pecah selepas terkena pada dinding. Gertrude sekali lagi menyerang dengan menggunakan pengayuh. Hayunan pengayuh yang terlalu deras itu mengena kepalanya sendiri hingga meninggalkan kesan lebam pada matanya.

Bagi menghentikan situasi aneh itu, Hobbs telah memukul Sylvia dengan batang penyapu. Sylvia akhirnya tertewas dan tidak sedarkan diri.

Sepanjang malam hingga pagi 25 Oktober, Sylvia cuba memecahkan lantai bilik bawah tanah dengan menggunaka besi penyedok tanah.Jiran-jiran di sekeliling rumah sebenarnya boleh sahaja menghubungi pihak polis, namun mereka memilih untuk tidak berbuat sedemikian.

Pada 26 Oktober, Gertrude menyuarakan hasratnya untuk memandikan Sylvia dengan air panas. Stephanie dan Ricky kemudian membawa dan meletakkan Sylvia ke dalam tab mandi. Mereka bagaimanapun mengeluarkan semula Sylvia dari tab mandi selepas mendapati Sylvia tidak lagi bernafas. Stephanie cuba memberikan bantuan pernafasan kepada Sylvia, namun sudah terlambat, Sylvia telah pun meninggal dunia.

Gertrude segera mengarahkan anak-anaknya untuk membawa mayat Sylvia ke bilik bawah tanah dan membogelkannya. Memandangkan rumahnya tidak mempunyai telefon, Gertrude serta merta mengarahkan Hobbs mencari telefon awam yang berdekatan untuk menghubungi pihak polis.

Sejurus sahaja pihak polis sampai, Gertrude telah menyerahkan sepucuk "surat" Sylvia kepada mereka. Dalam situasi genting itu, Jenny sempat berbisik kepada salah seorang polis,
"Bawa saya keluar dari sini dan saya akan memberitahu segala-galanya".

Hal ini membawa kepada penangkapan Gertrude, Paula, Stephanie, John, Hubbard dan Hobbs atas kesalahan membunuh. Kanak-kanak lain yang turut ditangkap ketika itu adalah Mike Monroe, Randy Lepper, Duke dan Sisco atas kesalahan mencederakan Sylvia.

*
PENUTUP
Gertrude, Hubbard, Hobbs dan anak-anak Gertrude telah ditahan tanpa sebarang ikat jamin hingga ke hari perbicaraan mereka.

Hasil autopsi ke atas mayat Sylvia, dia disahkan meninggal dunia akibat bengkak dan pendarahan pada bahagian otak, mengalami kejutan dan kulit yang hancur.

Gertrude Baniszewski telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Dia bagaimanapun merayu dan meminta dibicarakan. Dalam perbicaraan semula kesnya, Gertrude didapati bersalah atas kesalahan membunuh dan tetap dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Gertrude bagaimanapun dibebaskan pada tahun 1985 dengan parol. Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam komuniti Indiana. Lebih daripada 40 000 tandatangan berjaya dikumpul daripada penduduk setempat yang rata-ratanya mahukan Gertrude kekal dipenjara.

Petisyen itu tidak berkesan, Gertrude tetap melangkah keluar dari penjara dan telah berpindah ke Iowa dengan nama baru, Nadine Von Fossan. Gertrude meninggal dunia akibat penyakit kanser paru-paru pada tahun 1990.

Dalam perkembangan lain, Paula turut berpindah ke Iowa dengan menggunakan identiti baru. Pada bulan Oktober tahun 2012, Paula telah dipecat sebagai pembantu guru selepas dia mengaku bersubahat terhadap kes pembunuhan kejam Sylvia yang berlaku berpuluh tahun lama sebelumnya. Hobbs meninggal dunia pada usia 21 tahun akibat penyakit kanser. Hubbard pula mengalami masalah undang-undang secara berterusan.

Ibu bapa mendiang Sylvia telah bercerai. Betty meninggal dunia pada tahun 1998 ketika berusia 71 tahun.
Sementara itu, Jenny Likens meninggal dunia pada tahun 2004 ketika berusia 54 tahun.


-TAMAT- ðŸ˜­
NOTA KAKI :
Bagi peminat filem tegar, korang boleh menonton antara dua buah filem yang diadaptasi daripada kisah Sylvia Likens .
1) THE GIRL NEXT DOOR (2007)
Rating : imdb 6.7/10
Rotten tomatoes 67%
2) AN AMERICAN CRIME (2007)
Rating : imdb 7.4/10
Rotten Tomatoes 23%

Wednesday, 21 February 2018

MEMORIES OF MURDER Olahan Filem Oleh - Mat Lester


MEMORIES OF MURDER
Olahan Filem Oleh: Mat Lester

===========================
Disclaimer 18SG/18SX: Cerita ini mempunyai unsur-unsur yang tidak sesuai untuk penonton di bawah umur 18 tahun.
===========================

2 JUTA ORANG PENYIASAT, LEBIH 20 000 ORANG SUSPEK, SIAPA PEMBUNUH BERSIRI HWASEONG?

Gambar di bawah adalah poster untuk filem Memories of Murder (2003). Rating filem ni agak tinggi dengan purata imdb 8.1/10 dan Rotten Tomatoes 89%.

Tapi, tahukah anda, filem ini diadaptasi dari kisah sebenar pembunuhan bersiri yang berlaku di Korea Selatan satu ketika dahulu.

Jadi, korang yang belum menonton filem ni, bacalah sedikit kupasan "Pembunuhan Bersiri Hwaseong"

PENGENALAN
Kes pembunuhan bersiri Hwaseong berlaku antara 15 September 1986 hingga 3 April 1991 di daerah Hwaseong, Korea Selatan.

Sepanjang kes ini berlaku, seramai 10 orang kaum wanita yang terdiri daripada mereka yang berusia 14 hingga 71 tahun telah dibunuh oleh seorang pembunuh misteri. Anggaran jarak masa bagi setiap pembunuhan mangsa adalah setiap 7 bulan.

Modus operandi si pembunuh adalah sama. Bayangkan, seramai 2 juta orang penyiasat telah dikerah untuk melakukan siasatan! Jumlah suspek pula meningkat setiap masa dengan angka terakhir suspek adalah seramai 21 280 orang!

Di Korea Selatan, batasan untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan adalah selama lima belas tahun. Walaupun had siasatan kes terakhir Hwaseong telah pun tamat pada bulan April 2006, fail maklumat dan bukti kes tetap disimpan oleh pihak polis demi kepentingan semasa.

Hingga ke hari ini, para penyiasat masih lagi berusaha untuk menyelesaikan kes walaupun menyedari bahawa pembunuh sebenar tidak lagi boleh didakwa serta disabitkan kesalahan.

SIASATAN
15 September 1986, mayat seorang perempuan telah ditemui di sebuah sawah dalam daerah Hwaseong. Tidak lama kemudian, satu lagi mayat dijumpai berdekatan dengan balai polis. Sejak dari penemuan kedua-dua mayat itu, pihak polis mula menyedari satu kes pembunuhan berantai mula melanda di daerah Hwaseong. Pihak polis berada dalam keadaan kelam kabut kerana sebelum ini mereka tidak pernah berhadapan dengan kes sedemikian rupa. Ini disebabkan kes pembunuhan Hwaseong merupakan pembunuhan bersiri pertama dalam sejarah jenayah Korea Selatan.

Pihak polis telah menjalankan siasatan secara besar-besaran. Dianggarkan sekitar 2 juta orang pegawai polis terlibat dalam kerja-kerja pemeriksaan 20 000 orang suspek. Cap jari daripada 40 000 orang individu juga turut diambil. Meskipun sebanyak 570 sampel DNA dan 180 sampel rambut telah dianalisa, namun tiada sebarang keputusan positif identiti suspek yang berjaya dikesan.

Melalui ujian forensik, darah suspek diklasifikasikan sebagai darah jenis B. Walau bagaimanapun, ketiadaan alat teknologi canggih DNA di Korea Selatan ketika itu telah menyebabkan perkembangan kes sedikit terbantut. Sampel darah akhirnya dihantar ke negara Jepun untuk dianalisa. Namun, tiada satu pun sampel darah yang sepadan dengan mana-mana suspek yang ditahan.

Satu-satunya bukti asas siasatan adalah deskripsi tubuh badan si pembunuh. Menerusi keterangan daripada satu-satunya mangsa yang terselamat, pembunuh Hwaseong digambarkan berusia dalam lingkungan 20an (ketika kejadian), berketinggian setinggi 165 hingga 170 sentimeter serta berat badan mencecah 75 kilogram.

Kejadian pembunuhan terakhir yang berlaku adalah pada 3 April 1991 di mana mangsa merupakan wanita tua berusia 69 tahun.

MODUS OPERANDI PEMBUNUH
Kesemua mangsa diserang pada waktu tengah malam yakni di kawasan luar bandar dan tempat yang terpencil. Pembunuh juga diyakini adalah seorang yang sangat arif dengan setiap selok belok jalan dan lokasi di daerah Hwaseong. Disebabkan itulah dia berjaya menyerang mangsa tanpa dilihat dan didengari oleh sesiapapun.

Kesemua serangan dilakukan di tempat yang sama. Perkara ini memberi gambaran bahawa pembunuh berkemungkinan besar berasal ataupun membesar di daerah Hwaseong. Berikutan pembunuh semakin berani mengganas, pihak polis mula memperketatkan kawalan keselamatan daerah. Semestinya, identiti suspek kekal menjadi misteri. Sekiranya pembunuh adalah orang asing yang menginap di daerah Hwaseong, maka tak mustahil dia akan menjadi tumpuan para penduduk. Namun, perkara sebaliknya yang telah berlaku. Pembunuh berani berlegar-legar di daerah Hwaseong tanpa mengundang rasa curiga kepada penduduk setempat.

Kesemua mangsa pembunuhan Hwaseong telah diserkup, diikat dan dicekik dengan menggunakan pakaian mangsa sendiri seperti stoking dan seluar dalam. Sebenarnya agak nampak pelik pembunuh langsung tidak memakai tali untuk menjerat mangsanya. Sepertinya, pembunuh tidak merancang kejadian, akan tetapi bertindak secara spontan.

Semasa kejadian, pembunuh berusia sekitar 20 an. Cara pembunuhannya yang sangat kejam sudah cukup untuk menandakan bahawa dia adalah seorang psikopat tegar. Malahan berkemungkinan juga dia mengalami masalah kegagalan untuk mengawal nafsu seksualnya. Manakan tidak, julat usia mangsanya adalah dari 14 hingga 71 tahun.

Dari sudut lain, pembunuh berjaya menyembunyikan diri selama 10 tahun lamanya bermaksud dia mempunyai kebolehan untuk berlakon sebagai seorang lelaki yang merendah diri, sekaligus menjauhkan dirinya dari objek syak wasangka.

Terdapat pelbagai teori dalam kes pembunuhan ini. Kesemua mangsa dikhabarkan dibunuh sewaktu hujan sedang turun. Sebelum membunuh, pembunuh akan meminta lagu kegemarannya diputarkan di radio tempatan. Andai teori ini benar sekalipun, pihak polis masih gagal menemui sebarang petunjuk. Satu-satunya titik lemah teori ini adalah keyakinan si pembunuh. Sewaktu lagu kegemarannya dimainkan di radio, bagaimana pembunuh begitu yakin boleh menjumpai mangsa berjalan keseorangan sewaktu hujan sedang turun?

IDENTITI KEKAL MENJADI MISTERI 
Undang-undang batasan pembunuhan kesepuluh di Hwaseong telah pun luput pada bulan April 2006. Walau bagaimanapun, pihak polis Korea Selatan masih membuka kes ini dan mempunyai rancangan untuk memanjangkan tempoh batasan siasatan pembunuhan. Hal ini bagi membolehkan pembunuh Hwaseong disabitkan kesalahan.


Ada satu persoalan yang penting. Mengapa pelaku utama berhenti membunuh selepas kejadian terakhir (3 April 1991)?

Seperti yang kita tahu, pembunuh psikopat biasanya merogol dan membunuh atas dasar keseronokan dan semata-mata untuk merasai 'kenikmatan membunuh' yang ada dalam diri mereka. Pembunuh yang mengalami masalah personaliti tidak akan pernah berhenti membunuh dengan sendiri. Dalam kes Hwaseong, pembunuh mungkin telah membunuh diri kerana tidak lagi mahu membunuh secara berterusan.

Teori lain, selepas tahun 1991, pembunuh Hwaseong didakwa telah dikurung di sebuah hospital sakit jiwa dengan harapan bahawa dia akan dibebaskan semula satu hari nanti. Selain itu, pembunuh dikatakan sudahpun berhijrah dari Korea Selatan. Dia mungkin masih membunuh, tapi di tempat atau negara yang berlainan.

Teori terakhir, pembunuh dikatakan terlalu takut dengan berita ujian DNA yang semakin tersebar. Dia melarikan diri dari Hwaseong untuk mengelakkan dirinya daripada ditangkap oleh pihak polis.

-Tamat-
Suntingan: Nadey

Wednesday, 14 February 2018

REVIEW MOVIE: THE WAILING - Mat Lester


REVIEW MOVIE
Olahan AANRC Mat Lester


Jika semalam Mat mengulas tentang kes misteri, slot hari ini Mat ulas filem pula. Pernah tengok movie seram Korea, The Wailing? Salah satu movie seram terbaik sepanjang zaman walaupun kalau ditonton taklah seseram mana pun. Kalau korang baca komen penonton dalam dunia internet pasal movie ni, agak susahlah nak jumpa komen negatif. Sebab apa? Jalan cerita dan plot twist padu. Dengar cerita Mat Salleh pun siap nak buat versi remake The Wailing ni haa.

Apapun, baca sinopsis ringkas dulu movie ni..
TAJUK : THE WAILING (2016)
GENRE : Horror, Thriller
RATING : Imdb 7.4/10
Rotten Tomatoes 99%

SINOPSIS :
Para penduduk di sebuah kampung terpencil mula hidup dalam ketakutan selepas sejenis wabak penyakit misteri kian menular. Pengidap penyakit misteri itu akan membunuh ahli keluarganya sendiri dan seterusnya berkelakuan aneh bagaikan dirasuk.

Sangkaan awal, mereka mungkin termakan sejenis cendawan beracun namun apabila pihak polis mendapati mangsa-mangsa seperti terlibat dengan ritual berunsurkan pemujaan desas desus mengatakan dalang penyakit misteri itu adalah daripada seorang lelaki tua warganegara Jepun yang baru saja menetap di kampung tersebut.

Anggota polis iaitu Jong Goo kian buntu selepas anak perempuannya, Hyo-jin mula menunjukkan gejala penyakit misteri. Semuanya gelisah mencari jalan dengan berbagai macam cara untuk membantu anaknya serta menyelamatkan penduduk kampungnya.

Paling suspen bila Jong Goo ke rumah lelaki tua Jepun tersebut dan melihat sendiri tempat pemujaannya. Bilik ritual itu penuh dengan bangkai binatang, gambar-gambar serta barang-barang personal milik mangsa penduduk yang terkorban termasuklah kasut milik Hyo-Jin. Jong Goo mengugut agar lelaki tua itu keluar dari kampungnya.

Namun, kes tidak selesai begitu sahaja. Kesihatan anak perempuan Jong Goo semakin membimbangkan. Dek kerana berasa risau dengan cucunya, ibu mertua Jong Goo mengupah bomoh bernama Gwang untuk menyelamatkan keadaan.

Kesimpulannya, The wailing adalah simbolik mengenai siapa sebenarnya iblis. Ia merupakan isu yang tidak mampu dicegah mahupun diselesaikan oleh hukum yang sudah ada. Hyo-Jin dan mangsa-mangsa yang terkorban akibat sihir itu hanyalah untuk kepuasan nafsu individu semata-mata.

Dendam itu sifat yang tak pernah puas. Hati-hati semua. Janganlah mudah terpengaruh dengan tawaran sihir-menyihir ini kerana ia sebenarnya memakan diri sendiri.

Jika ada filem-filem seram, angker, misteri, psiko dan seangkatan dengannya bolehlah kalian berkongsi di ruang komen.
====================
Suntingan: Nadey

Sunday, 11 February 2018

LELAKI TUA - Mat Lester


LELAKI TUA
Karya Khas Ahli baharu AANRC : Mat Lester
===================================


Sebuah kereta Myvi berwarna kuning berhenti betul-betul bersebelahan dengan sebuah pondok pengawal keselamatan. Cahaya lampu depan Myvi itu menerangi pagar berpalang yang merupakan satu-satunya jalan masuk ke dalam kawasan apartment.

"Aduh! Makan gaji buta je tahu."

Rungut si gadis pemandu Myvi sebaik saja dia melihat palang pagar di depan keretanya itu langsung tidak bergerak.

Gadis itu bengang. Dia menghentak butang hon pada stereng berulang-ulang kali.

Pon..pon..pon!!!!!!!

Kebingitan bunyi hon yang bertalu-talu menyebabkan pengawal keselamatan lelaki yang sedang tidur di atas kerusi dalam pondok keselamatan itu terus terjaga.

Dia terpisat-pisat. Dalam keadaan sedikit kelam-kabut, butang suis pagar di atas meja terus ditekan. Palang pagar bergerak ke atas dengan perlahan.

Cermin tingkap pemandu Myvi diturunkan. Gadis pemandu Myvi yang berkulit cerah itu mengukir senyuman kepada pengawal keselamatan. Daripada segi raut wajahnya, dia seperti berusia dalam lingkungan 20an.

Muka pengawal keselamatan itu nampak ketat. Sebabnya, dia tahu senyuman yang terukir di bibir si gadis Myvi itu tidak lain tidak bukan hanyalah satu senyuman yang berbaur sindiran semata-mata.

"Esok buat lagi ya. Takpe, jadi guard ni kerja dia memang tidur je. Cukup bulan dapat gaji." Sindir si gadis Myvi sambil menaikkan semula cermin tingkap.

Myvi itu mula bergerak melepasi pagar berpalang sambil diperhatikan oleh pengawal keselamatan. Dia melihat jam merah bulat yang tergantung di dinding pondok.

Sudah pukul 4.30 pagi.

"Hek eleh. Poyo. Pergi clubbing lah tu. Pastu nanti sibuk up status dekat Fb, lelaki yang baik takkan tanya kisah silam perempuan. Opah kau." Cebik pengawal keselamatan itu. Dia kemudiannya kembali menyandarkan badannya pada kerusi.

Sementara itu, Myvi kuning tadi diparkir secara mengundur di tempat biasa. Radio, penghawa dingin diikuti enjin kereta dimatikan. Tangan kiri si gadis mengatur cermin pandang belakang. Tangan kanan pula sibuk mengemaskan rambutnya yang hitam pekat.

Menerusi cermin pandang belakang kereta itu, si gadis Myvi tiba-tiba terlihat seekor makhluk aneh berkepala botak serta bertelanjang bulat sedang berdiri di luar belakang keretanya.

Dari segi ketinggian makhluk itu pula menyamai ketinggian normal manusia biasa. Kedua-dua matanya putih dan telinganya pula tajam.

Gadis itu menurunkan tangan kirinya dari cermin pandang belakang. Dia mengalihkan sebentar pandangannya dari cermin . Matanya berbinar. Ketakutan sedang menyelubungi dirinya.

Si gadis cuba memberanikan diri untuk menoleh ke arah belakang. Tapi, kelibat makhluk yang dilihatnya tadi sudah langsung tidak kelihatan. Dia menarik nafas lega, cuba menyedapkan hati, mungkin apa dilihatnya tadi sekadar mainan perasaan.

Si gadis terus mencapai tas tangan merah jambu atas kerusi penumpang sebelah kerusi pemandu.Pintu pemandu kereta Myvi dibuka dan ditutup dengan hempasan yang agak kuat. Gadis itu terus berjalan dengan laju menuju ke salah satu blok apartment.

Rasa tak sedap hati, gadis itu melajukan pergerakannya. Kini, si gadis berdiri depan lif. Butang anak panah lif ditekan.

‘Ting!’

Pintu lif terbuka. Gadis itu bergegas melangkah masuk ke dalam lif.Semasa pintu lif hendak tertutup, si gadis sempat melihat seekor kucing hitam mengiau kira-kira 50 meter dari luar lif.

“Ngiau....ngiau....ngiau...ngiau…”

Pintu lif tertutup rapat. Suara kucing tadi tidak lagi kedengaran.

Lif bergerak ke atas.

Ting!

Butang lif nombor 4 menyala.

Pintu lif terbuka. Si gadis melangkah keluar dari lif dan terus berjalan menuju ke arah apartmentnya. Entah kenapa dia merasakan dirinya seolah-olah sedang diekori seseorang.

Pantas dia menoleh ke belakang. Matanya tajam melilau ke sekeliling.Tapi, tiada sesiapapun di tingkat empat apartment itu. Si gadis memalingkan semula muka ke depan. Dia berjalan semula dan akhirnya sampai ke pintu apartment..

Zip tas tangan dibuka. Tangan si gadis menyelongkar barangan dalam tas tangan. Kunci pintu apartment dikeluarkan. Kunci itu dimasukkan ke dalam lubang kunci pintu apartment.

Pintu apartment yang bernombor 4-A-17 dibuka.

Dengan terkocoh-kocoh, si gadis bergegas masuk ke dalam, kemudian menutup dan mengunci pintu apartmentnya itu. Dia menyandarkan badan ke pintu dan mengurut dada. Lega rasanya bila berjaya menapak masuk ke dalam rumah.

“Arrghhhhhh!!!!!!”

Gadis itu terjerit. Terperanjat dia tatkala terpandangkan sesuatu di hadapannya. Makhluk yang berdiri di belakang luar kereta Myvi tadi muncul semula betul-betul di depan si gadis.

Mulut makhluk itu ternganga luas, menampakkan kedua-dua gigi taring serta air liurnya yang meleleh-leleh.

"Roarrrrrr!" Sergah makhluk itu.

Si gadis hanya mampu tergamam. Mulutnya terkunci. Kakinya terasa amat berat. Makhluk itu semakin lama semakin dekat dan menghimpit dirinya. Gadis itu lemas. Nafasnya tersekat. Air matanya menjejeh keluar. Hatinya kini cuma mengharapkan dirinya akan selamat dari cengkaman makhluk itu…

***

Jari jemari Detektif Thariq bergendang di atas permukaan meja. Dari tadi lelaki yang duduk di hadapan Detektif Thariq dalam bilik soal siasat itu menundukkan kepalanya.


"Come on Sham, jangan buang masa kat sini. Banyak lagi benda yang aku nak kena uruskan. Kalau kau tak nak cerita, straight to the point. Kau beritahu je aku, Julia sekarang ada kat mana?" Soal Detektif Thariq.

"Sumpah! Aku memang tak tahu." Nafi Sham sekeras-kerasnya tanpa memandang wajah Detektif Thariq.

"Okey, masalahnya sekarang, kau adalah orang yang terakhir dilihat keluar bersama dengan Julia pada hari tu. Siap sempat pergi clubbing sama-sama." Tutur Detektif Thariq lagi.

Sham ditahan oleh pihak polis kerana disyaki sebagai suspek utama dalam kes kehilangan tunangnya, iaitu Julia. Sejak sebulan yang lepas, Julia hilang tanpa sebarang perkhabaran berita.

Sampai sekarang, dia masih belum ditemui. Kali terakhir kelibat Julia dilihat secara sahih adalah di depan pondok keselamatan dalam kawasan apartment tempat dia tinggal.

Apa yang menjadi misteri, meskipun tas Julia ditemui berada di atas lantai berdekatan dengan pintu apartment sewanya, tiada satu pun barangan berharga yang dilaporkan hilang. Lagi aneh, tiada sebarang tanda pecah masuk mahupun kesan pergelutan dalam apartment Julia itu.

"Jadi sekarang kau memang tak nak beritahu aku apa-apa?"

Sham hanya membisu.

"Okeylah..tak apa. Terpulanglah kalau kau nak terus macam ni. Aku tak rugi apa-apa pun."

Detektif Thariq kelihatan hendak meninggalkan Sham. Namun, belum sempat Detektif Thariq bangun ,Sham mendongakkan kepala dan bersuara semula.

"Ok, ok...Kalau aku ceritakan pun, kau akan percaya tak?"

"Aku tak janji, tapi semua tu bergantung dengan cerita kau." Jawab Detektif Thariq ringkas sambil melabuhkan punggung ke kerusi semula.

Tanpa melengahkan masa, Detektif Thariq meletakkan pita perakam suara di atas meja.

"Ada dua jenis cerita. Pertama, cerita benar dan kedua, cerita palsu. Kau bercakap benar, kau untung, kau bercakap bohong, kau rugi. Mula bercerita dalam kiraan tiga, dua, satu...”

Butang ‘rec’ pita perakam suara ditekan. Sham menghembuskan nafas dengan perlahan.

"Semuanya bermula selepas aku dan Julia dalam perjalanan menuju ke Pantai Air Papan kat Mersing...

***

Seawal jam 7.00 pagi, kereta Myvi kuning milik Julia yang dipandu oleh Sham melalui jalan kampung menghala ke arah Mersing. Suasana di kawasan jalan kampung itu agak lengang.

Lampu isyarat kiri Myvi itu berkelip-kelip. Sham membelokkan kereta memasuki ke dalam stesen minyak Petros. Dia keluar dari kereta tanpa mematikan enjin dan terus berjalan menuju ke tempat juruwang.

Sham bukannya nak bayar duit minyak, tapi sekadar bertanya sesuatu kepada juruwang itu. Selesai bertanya, Sham masuk semula ke dalam kereta.

Julia yang duduk atas kerusi penumpang sebelah sedang asyik berswafoto dengan telefon pintarnya. Sham hanya menggelengkan kepala melihatkan telatah Julia. Myvi dipandu keluar dari stesen minyak.

"Betul kan jalan ni bie?" Soal Julia. Dia tidak lagi berswafoto. Sudah bosan barangkali.

"Ya. Jalan ni straight . Dalam 30 kilometer je lagi."
"Jauh lagi..hm..penat dah ni ha.."
"Habis, ingat bie tak penat ke, ha?" Sergah Sham tiba-tiba.
"Apa bie ni? Melenting tak tentu pasal ni dah kenapa?"

Julia terus mencebikkan bibir dengan muka ketat. Melihatkan riak wajah Julia sebegitu, timbul rasa kesal dalam hati Sham kerana terlepas cakap kasar. Tangan kiri Sham cepat-cepat mengenggam erat tangan kanan Julia.

"Sorrylah, bie tak sengaja. I Love You so much sayang..." Pujuk Sham kembali.
Hati Julia terus cair.

"Hmm...Janganlah macam tu dah. Sayang tanya je pun." Tutur Julia dengan nada manja.
"Ya, ya..sorry..salah bie. Mintak ampun.''
Sham menundukkan kepala sedikit untuk mencium serta menggigit manja tangan Julia sekali.

"Argh! Bie ni... Hahaha.." Julia menjerit kecil sambil tergelak.
Tiba-tiba Julia ternampak seorang lelaki tua berambut uban putih sedang berlari melintasi jalan di depan mereka dalam keadaannya bertelanjang. Gelak tawa Julia tadi bertukar menjadi jeritan panik.

"Bie...!"
Sssretttttt....!!!!!!

Sham yang terkejut dengan jeritan nyaring Julia lekas menekan brek. Sepertinya, orang tua yang berlari tadi telah dilanggar. Sham dan Julia saling berpandangan antara satu sama lain. Kedua-dua mereka tak berani nak keluar dari kereta.

“Bie..ke..luar..lah te..ngok.” Suara Julia terketar-ketar.
Sham yang masih terperanjat menggeleng-gelengkan kepala.
“Kita blah jelah. Lagipun tak ada orang tengok pun.” Kata Sham.
‘Tok... tok... tok.’

Cermin tingkap di sebelah Julia diketuk. Sham dan Julia sama-sama menoleh. Rupa-rupanya, orang yang mengetuk cermin kereta adalah lelaki tua yang baru saja mereka telah langgar tadi. Mukanya penuh berlumuran dengan darah.

“Bie!” Julia menjerit dengan kedua-dua matanya terpejam. Sham memeluk badan tunangnya itu dari belakang.

“Rileks yang, rileks...” Sham cuba menenangkan keadaan.

Lelaki tua yang berdiri di luar tingkap menjelirkan lidah lalu menjilat cermin tingkap tempat Julia duduk. Dia kemudian menuding jari telunjuknya ke arah Julia. Julia memejamkan mata.

Sham mula berasa seriau. Kakinya pantas menekan pedal minyak.

Vroooom...

Myvi dipecut laju meninggalkan lelaki tua itu. Julia kembali membuka mata, dan memandang cermin sisi. Kelibat lelaki tua tadi sudah ghaib.

***

“Lepas tu?” Soal Detektif Thariq.

“Tu jelah yang berlaku. Masa balik, kitaorang tak guna jalan sama.” Balas Sham.

“Apa yang kau merepek ni? Cerita kau tergantung. Kau cuba nak main-mainkan aku ke apa?” Detektif Thariq berang.

“Aku tak merepek. Apa yang aku cerita ni benar-benar berlaku.” Sham mempertahankan diri.

“Aku boleh agak apa kesimpulan cerita yang kau cuba sampaikan. Lelaki tua tu ada kaitan dengan kehilangan Julia?”

Sham mengangguk kepala.

“Sejak kejadian tu juga, hampir tiap malam Julia mengigau. Dia asyik bermimpi lelaki tua tu.” Sham kembali bercerita.

“Mimpi apa?” Detektif Thariq ingin tahu. Dia saja melayan cerita Sham yang dianggapnya memang mengarut.

“Kena rogol dengan lelaki tua tu.” Jawab Sham.

“Tiga hari sebelum Julia hilang, aku temankan Julia pergi berjumpa dengan seorang bomoh ni untuk berubat. Bomoh tu beritahu yang nasib kami memang malang sebab terserempak dan terlanggar lelaki tua tu..”

“Bomoh tu dapat ubati Julia tak?” Detektif Thariq inginkan kepastian.

“Lepas jumpa bomoh tu, Julia cakap yang dia tak ada mimpi dah lelaki tua tu. Cumanya bomoh tu ada pesan, kena sentiasa berhati-hati. Lelaki tua tu akan terus mencari dan mengejar sesiapa saja yang dia inginkan. Apa-apa pun boleh berlaku sebab dia tu bukan manusia biasa, tapi sejenis makhluk...”

Tap!

Belum sempat Sham menghabiskan ayatnya, Detektif Thariq menekan butang ‘stop’ pada pita perakam suara.

“Maaflah. Kau sebut makhluk je aku dah terus rasa cerita kau macam melalut.” Detektif Thariq berterus terang. Dia menyimpan semula pita perakam suara ke dalam kocek kemejanya. Detektif Thariq bangkit dari kerusi.

“Jumpa lagi.” Kata Detektif Thariq sebelum dia beredar pergi dari meja.

“Kau nak tengok lelaki tua tu depan mata kau sendiri, kau cuba cari dia kat sekitar hutan tempat aku langgar dia tu. Dia tinggal dalam hutan tu. Bomoh yang aku jumpa tu yang beritahu.” Ujar Sham dari belakang.

Langkah kaki Detektif Thariq terhenti. Dia menoleh ke belakang. Sham hanya mengangguk-angguk tanda mengiakan kata-katanya tadi.

***

Kereta Perdana Hitam yang dipandu Detektif Thariq diparkir di tepi jalan tempat berlakunya pelanggaran dengan lelaki tua aneh seperti yang diceritakan oleh Sham.

Detektif Thariq melihat jam tangannya. Nampaknya, sudah pukul 7.30 malam. Dia kemudian membuka laci kereta. Sepucuk pistol jenis Revolver dan sebatang lampu suluh dikeluarkan.

Pintu kereta dibuka. Detektif Thariq keluar dari kereta, lalu memerhatikan keadaan hutan di sekeliling. Tiada bunyi manusia lain di situ melainkan hanya kedengaran bunyi cengkerik.

Detektif Thariq menyalakan sebatang rokok. Asap ditarik dan dihembus Detektif Thariq. Penuh nikmat. Lampu suluh dinyalakan. Detektif Thariq mula melangkah masuk ke dalam hutan.

***

Hampir 20 minit berlalu, Detektif Thariq semakin jauh ke dalam hutan. Langkah Detektif Thariq terhenti. Dia ternampak sebuah pondok kayu kecil terpacak kira-kira 100 meter di hadapannya.

Detektif Thariq menghampiri pondok itu. Pintu pondok nampak sedikit terbuka. Sepertinya, dalam pondok itu diterangi dengan cahaya pelita.

‘Kreekkkkkk...'

Berkeriuk bunyi pintu pondok ditolak Detektif Thariq. Ada seorang lelaki tua berambut uban putih yang memakai jubah hitam sedang duduk bersila mengadap Detektif Thariq. Mulutnya terkumat-kamit seperti sedang membaca mantera. Nampaknya, benarlah segala cerita Sham.

"Hello…boleh tanya sesuatu?" Detektif Thariq memberanikan diri untuk bertanya.Lelaki tua itu tersenyum.

"Kau datang tanpa dijemput..." Balas lelaki tua itu dengan nada yang begitu garau sekali. Dia kemudian berdiri, lalu menanggalkan jubah hitamnya.

Kini, lelaki tua itu bertelanjang bulat! Dia senyum menyeringai kepada Detektif Thariq. Menampakkan sebaris giginya yang jelek. Kedua-dua matanya bertukar menjadi putih.

Bulu roma Detektif Thariq mula meremang. Jantungnya pula berdegup semakin laju. Tangan kanan Detektif Thariq bersedia mengeluarkan pistol yang diselit pada bahagian pinggang seluar.

Tapi, belum sempat dia berbuat demikian, api pelita terpadam. Keadaan dalam pondok menjadi gelap gelita. Detektif Thariq mengetuk-ngetuk lampu suluh pada tapak tangan. Namun, lampu suluh itu langsung tidak boleh dihidupkan.

Kedengaran hembusan nafas Detektif Thariq mengeluh. Dia cuba menyalakan pemetik api. Percubaan yang pertama, tidak menyala. Detektif Thariq mengeluh. Dicuba dihidupkan pemetik api itu sekali lagi.

Percubaan yang kedua juga tidak membuahkan hasil. Tangannya menggigil cuba menyalakan pemetik api itu buat kali ketiga.Berjaya! Cahaya kecil pemetik api itu menerangi wajah makhluk berkepala botak yang berada betul-betul di depannya.

"Roarrrrr!"

Sergahan makhluk itu menyebabkan pemetik api Detektif Thariq terpelanting jatuh. Keadaan dalam pondok itu menjadi gelap-gelita. Dia teraba-raba mancari pemetik api itu.

Jantungnya berdegup kencang. Risau andai makhluk itu menyerangnya.

Prapp!

Kakinya terpijak sesuatu. Sepertinya lampu suluh tadi. Lampu itu menyala secara tiba-tiba. Pantas Detektif Thariq mencapai dan menghalanya ke arah makhluk itu. Seperti yang dijangka, makhluk hodoh itu berada di hadapannya. Mencangkung dan memandangnya.

Detektif Thariq mulai geram. Dia cuba menembak makhluk it. Malangnya, makhluk itu tidak lut dek peluru. Malah, peluru itu terpantul balik ke arah Detektif Thariq.

“Arghhhhhhh!!!!!!!’

Peluru terkena tepat ke dada Detektif Thariq. Merobek isi serta organ dalamannya. Darah mula keluar membuak-buak. Dia terpaku di situ. Pistolnya terjatuh. Dia merengkuk menahan kesakitan. Makhluk itu tersenyum. Di seret Detektif Thariq dan dibawa ke suatu sudut pondok.

“Ini tempat untuk tetamu yang tidak diundang.”

Dia membiarkan sahaja mayat Detektif Thariq di situ. Berminggu-minggu mayat itu dibiarkan di situ. Sehinggakan mayat itu mereput dan berulat. Menggeletik ulat-ulat itu jatuh. Makhluk itu mencangkung dan mengutip ulat-ulat itu. Disuapkan ke mulutnya. Dia tersenyum sendiri. Kemudian, dia memakai jubah hitam dan keluar dari pondok itu.

***

Kehilangan Detektif Thariq menimbulkan tanda-tanya. Jejaknya tidak dapat dikesan. Orang awam hanya menemui keretanya sahaja tersadai di tepi jalan.

Timbul tanda tanya di benak masing-masing kerana tiada tanda-tanda rompakan yang berlaku memandangkan kereta itu terletak elok. Malah, tiada barang-barang yang hilang. Operasi mencari Detektif Thariq diteruskan namun semuanya menemui jalan buntu.

Sham cuba tampil untuk menjelaskan tentang lelaki tua yang mungkin berkait dengan kehilangan Detektif Thariq. Namun, dia telah dituduh sebagai gila. Maka, kes itu ditutup.

Tiada seorang pun tahu, kewujudan orang tua itu sehingga kini. Mungkin dia di dalam hutan. Ataupun, mungkin juga dia sedang memerhatikan orang yang dia inginkan. Hati-hati.

-Tamat-
===================================
Suntingan: Ratika
Gambar: Dikmang

Karya asal merupakan hak milik penulis, manakala karya siap sunting adalah milik bersama pihak Arkib Angker Negara. Unsur plagiat dilarang sama sekali.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.