MEMORIES OF MURDER
===========================
Disclaimer 18SG/18SX: Cerita ini mempunyai unsur-unsur yang tidak sesuai untuk penonton di bawah umur 18 tahun.
===========================
2 JUTA ORANG PENYIASAT, LEBIH 20 000 ORANG SUSPEK, SIAPA PEMBUNUH BERSIRI HWASEONG?
Gambar di bawah adalah poster untuk filem Memories of Murder (2003). Rating filem ni agak tinggi dengan purata imdb 8.1/10 dan Rotten Tomatoes 89%.
Tapi, tahukah anda, filem ini diadaptasi dari kisah sebenar pembunuhan bersiri yang berlaku di Korea Selatan satu ketika dahulu.
Jadi, korang yang belum menonton filem ni, bacalah sedikit kupasan "Pembunuhan Bersiri Hwaseong"
PENGENALAN
Kes pembunuhan bersiri Hwaseong berlaku antara 15 September 1986 hingga 3 April 1991 di daerah Hwaseong, Korea Selatan.
Sepanjang kes ini berlaku, seramai 10 orang kaum wanita yang terdiri daripada mereka yang berusia 14 hingga 71 tahun telah dibunuh oleh seorang pembunuh misteri. Anggaran jarak masa bagi setiap pembunuhan mangsa adalah setiap 7 bulan.
Modus operandi si pembunuh adalah sama. Bayangkan, seramai 2 juta orang penyiasat telah dikerah untuk melakukan siasatan! Jumlah suspek pula meningkat setiap masa dengan angka terakhir suspek adalah seramai 21 280 orang!
Di Korea Selatan, batasan untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan adalah selama lima belas tahun. Walaupun had siasatan kes terakhir Hwaseong telah pun tamat pada bulan April 2006, fail maklumat dan bukti kes tetap disimpan oleh pihak polis demi kepentingan semasa.
Hingga ke hari ini, para penyiasat masih lagi berusaha untuk menyelesaikan kes walaupun menyedari bahawa pembunuh sebenar tidak lagi boleh didakwa serta disabitkan kesalahan.
SIASATAN
15 September 1986, mayat seorang perempuan telah ditemui di sebuah sawah dalam daerah Hwaseong. Tidak lama kemudian, satu lagi mayat dijumpai berdekatan dengan balai polis. Sejak dari penemuan kedua-dua mayat itu, pihak polis mula menyedari satu kes pembunuhan berantai mula melanda di daerah Hwaseong. Pihak polis berada dalam keadaan kelam kabut kerana sebelum ini mereka tidak pernah berhadapan dengan kes sedemikian rupa. Ini disebabkan kes pembunuhan Hwaseong merupakan pembunuhan bersiri pertama dalam sejarah jenayah Korea Selatan.
Pihak polis telah menjalankan siasatan secara besar-besaran. Dianggarkan sekitar 2 juta orang pegawai polis terlibat dalam kerja-kerja pemeriksaan 20 000 orang suspek. Cap jari daripada 40 000 orang individu juga turut diambil. Meskipun sebanyak 570 sampel DNA dan 180 sampel rambut telah dianalisa, namun tiada sebarang keputusan positif identiti suspek yang berjaya dikesan.
Melalui ujian forensik, darah suspek diklasifikasikan sebagai darah jenis B. Walau bagaimanapun, ketiadaan alat teknologi canggih DNA di Korea Selatan ketika itu telah menyebabkan perkembangan kes sedikit terbantut. Sampel darah akhirnya dihantar ke negara Jepun untuk dianalisa. Namun, tiada satu pun sampel darah yang sepadan dengan mana-mana suspek yang ditahan.
Satu-satunya bukti asas siasatan adalah deskripsi tubuh badan si pembunuh. Menerusi keterangan daripada satu-satunya mangsa yang terselamat, pembunuh Hwaseong digambarkan berusia dalam lingkungan 20an (ketika kejadian), berketinggian setinggi 165 hingga 170 sentimeter serta berat badan mencecah 75 kilogram.
Kejadian pembunuhan terakhir yang berlaku adalah pada 3 April 1991 di mana mangsa merupakan wanita tua berusia 69 tahun.
MODUS OPERANDI PEMBUNUH
Kesemua mangsa diserang pada waktu tengah malam yakni di kawasan luar bandar dan tempat yang terpencil. Pembunuh juga diyakini adalah seorang yang sangat arif dengan setiap selok belok jalan dan lokasi di daerah Hwaseong. Disebabkan itulah dia berjaya menyerang mangsa tanpa dilihat dan didengari oleh sesiapapun.
Kesemua serangan dilakukan di tempat yang sama. Perkara ini memberi gambaran bahawa pembunuh berkemungkinan besar berasal ataupun membesar di daerah Hwaseong. Berikutan pembunuh semakin berani mengganas, pihak polis mula memperketatkan kawalan keselamatan daerah. Semestinya, identiti suspek kekal menjadi misteri. Sekiranya pembunuh adalah orang asing yang menginap di daerah Hwaseong, maka tak mustahil dia akan menjadi tumpuan para penduduk. Namun, perkara sebaliknya yang telah berlaku. Pembunuh berani berlegar-legar di daerah Hwaseong tanpa mengundang rasa curiga kepada penduduk setempat.
Kesemua mangsa pembunuhan Hwaseong telah diserkup, diikat dan dicekik dengan menggunakan pakaian mangsa sendiri seperti stoking dan seluar dalam. Sebenarnya agak nampak pelik pembunuh langsung tidak memakai tali untuk menjerat mangsanya. Sepertinya, pembunuh tidak merancang kejadian, akan tetapi bertindak secara spontan.
Semasa kejadian, pembunuh berusia sekitar 20 an. Cara pembunuhannya yang sangat kejam sudah cukup untuk menandakan bahawa dia adalah seorang psikopat tegar. Malahan berkemungkinan juga dia mengalami masalah kegagalan untuk mengawal nafsu seksualnya. Manakan tidak, julat usia mangsanya adalah dari 14 hingga 71 tahun.
Dari sudut lain, pembunuh berjaya menyembunyikan diri selama 10 tahun lamanya bermaksud dia mempunyai kebolehan untuk berlakon sebagai seorang lelaki yang merendah diri, sekaligus menjauhkan dirinya dari objek syak wasangka.
Terdapat pelbagai teori dalam kes pembunuhan ini. Kesemua mangsa dikhabarkan dibunuh sewaktu hujan sedang turun. Sebelum membunuh, pembunuh akan meminta lagu kegemarannya diputarkan di radio tempatan. Andai teori ini benar sekalipun, pihak polis masih gagal menemui sebarang petunjuk. Satu-satunya titik lemah teori ini adalah keyakinan si pembunuh. Sewaktu lagu kegemarannya dimainkan di radio, bagaimana pembunuh begitu yakin boleh menjumpai mangsa berjalan keseorangan sewaktu hujan sedang turun?
IDENTITI KEKAL MENJADI MISTERI
Undang-undang batasan pembunuhan kesepuluh di Hwaseong telah pun luput pada bulan April 2006. Walau bagaimanapun, pihak polis Korea Selatan masih membuka kes ini dan mempunyai rancangan untuk memanjangkan tempoh batasan siasatan pembunuhan. Hal ini bagi membolehkan pembunuh Hwaseong disabitkan kesalahan.
Ada satu persoalan yang penting. Mengapa pelaku utama berhenti membunuh selepas kejadian terakhir (3 April 1991)?
Seperti yang kita tahu, pembunuh psikopat biasanya merogol dan membunuh atas dasar keseronokan dan semata-mata untuk merasai 'kenikmatan membunuh' yang ada dalam diri mereka. Pembunuh yang mengalami masalah personaliti tidak akan pernah berhenti membunuh dengan sendiri. Dalam kes Hwaseong, pembunuh mungkin telah membunuh diri kerana tidak lagi mahu membunuh secara berterusan.
Teori lain, selepas tahun 1991, pembunuh Hwaseong didakwa telah dikurung di sebuah hospital sakit jiwa dengan harapan bahawa dia akan dibebaskan semula satu hari nanti. Selain itu, pembunuh dikatakan sudahpun berhijrah dari Korea Selatan. Dia mungkin masih membunuh, tapi di tempat atau negara yang berlainan.
Teori terakhir, pembunuh dikatakan terlalu takut dengan berita ujian DNA yang semakin tersebar. Dia melarikan diri dari Hwaseong untuk mengelakkan dirinya daripada ditangkap oleh pihak polis.
-Tamat-
Suntingan: Nadey
No comments:
Post a Comment